Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lelaki bogel luar bilik hotel

Posted:

Lain kali, apabila anda mahu keluar dari bilik hotel, sesuatu yang perlu anda ingat ialah: Jangan sesekali melakukannya tanpa pakaian di badan.

Rakaman video seorang lelaki yang tersilap langkah itu kini muncul di YouTube dan menjadi tontonan ramai.


Melalui rakaman kamera litar tertutup berkenaan, lelaki tidak dikenali itu dilihat meletakkan dulang berisi sisa makanan di luar biliknya tanpa berpakaian.

Disebabkan terleka, pintu bilik hotel itu tertutup sendiri dan dia tidak memiliki kunci untuk membukanya. Dalam keadaan bogel, lelaki terbabit merayau ke sana-sini di sekitar hotel sambil cuba pergi ke kaunter penyambut tetamu.


Tanpa sesuatu untuk melindungi kemaluannya, dia cuma bergantung kepada dulang makanan yang menjadi punca masalahnya sementara dia berjalan mencari penyelamat.


Namun, sebelum sampai ke kaunter penyambut tetamu, lelaki terbabit terpaksa berdepan dengan ramai pelawat hotel berkenaan.

Foto

GELAGAT seorang lelaki berbogel yang terperangkap apabila pintu bilik hotelnya tertutup secara automatik.

Foto

GELAGAT seorang lelaki berbogel yang terperangkap apabila pintu bilik hotelnya tertutup secara automatik.

Foto

PENGUNJUNG hotel terkejut melihat lelaki bogel di lobi.

Seorang ibu dan anak lelakinya pula terpaksa berkongsi lif dengan lelaki terbabit dan reaksi mereka ternyata kurang menyenangkan. Walaupun amat terdesak, lelaki malang itu masih terpaksa bersusah-payah mendapatkan bantuan daripada petugas di situ kerana mereka tetap mahukan dia menunjukkan kad pengenalan sebagai pengesahan sebelum kunci baru diberikan.


Sehingga semalam, rakaman video itu ditonton lebih 50,000 kali. Bagaimanapun, sebahagian besar penonton curiga terhadap kesahihan insiden itu dan yakin, ia dirancang lebih awal. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Janet Jackson kahwini bilionair

Posted:

Los Angeles: Penyanyi, Janet Jackson semalam mengaku sudah berkahwin dengan ahli perniagaan Qatar tahun lalu, sekali gus menafikan khabar angin kononnya perkahwinan itu akan berlangsung tahun ini.

Janet, 46, adik mendiang Michael Jackson, bertunang dengan bilionair Wissam Al Mana, 37, tahun lalu tetapi merahsiakan perkahwinannya.


"Khabar angin majlis perkahwinan besar-besaran tidak benar sama sekali. Kami berkahwin dalam majlis ringkas dan tertutup tahun lalu," kata Janet dan Wissam, dalam kenyataan kepada Entertainment Tonight. "Perkahwinan kami merupakan satu sumbangan kepada tabung kebajikan kanak-kanak kegemaran kami," sambung kenyataan itu.

Janet memang terkenal kerana merahsiakan kehidupan peribadinya daripada media. Dia jarang bercakap mengenai bekas suaminya.


Dia berkahwin dengan penyanyi soul, James DeBarge pada 1984 dan bercerai setahun kemudian. Perkahwinannya pada 1991 dengan pengarah video muzik, Rene Elizondo juga berakhir dengan perceraian pada 2000. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

20 kampung tiada wanita

Posted:

Moscow: Lebih 20 kampung di pedalaman dan wilayah gersang di Russia didiami lelaki saja.

Menurut bancian rasmi Russia, 23 kampung kecil di wilayah Krasnoyarsk langsung tidak mempunyai wanita.


Kampung itu sebahagian daripada habitasi paling pedalaman di dunia dan ada beberapa kampung hanya mempunyai seorang penduduk sementara yang lain tidak lebih empat atau lima, lapor The Siberian Times.

Suhu di wilayah itu mencecah sehingga 40 darjah selius di bawah beku pada musim sejuk dan teramat panas pada musim panas.


Ketidakseimbangan jantina itu didedahkan pada Hari Pembela Negara, acara tahunan bagi memberi penghormatan terhadap peranan lelaki pada setiap 23 Februari.


Bagaimanapun, apabila diambil kira jumlah penduduk seluruh Krasnovarsk, wilayah kedua terbesar di Russia, jumlah penduduk wanitanya melebihi penduduk lelaki dengan angka 193,000. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Dibunuh kerana 'anu' kecil

Posted:

Jakarta: Seorang wanita dilapor membunuh anak kandungnya yang berusia sembilan tahun kerana malu apabila kemaluan kanak-kanak itu semakin mengecil selepas disunatkan.

Jurucakap balai polis Metro Jaya Jakarta, Rikwanto berkata, kejadian itu berlaku jam 2 petang di Kampung Baru Klender, Jatinegara Cakung, Jakarta Timur semalam.

"Kami menerima laporan kejadian jenayah membabitkan seorang wanita membunuh anak lelakinya.

"Dia dikatakan malu dengan kemaluan mangsa yang semakin mengecil selepas disunatkan," katanya.


Suspek membunuh anaknya dengan mengikat tangan kanak-kanak itu.


Kepala mangsa kemudian dibenamkan ke dalam tong air dan apabila dia sudah tidak bernafas lagi, tubuh mangsa diangkat dan dilap.

Setelah itu, mangsa dipakaikan baju sebelum suspek keluar rumah mengambil kakak mangsa di sebuah sekolah menengah.

"Dalam perjalanan pulang, wanita itu datang ke balai polis untuk menyerah diri. Dia mengaku membunuh anak lelakinya itu," kata Rikanto.

Menurutnya, polis masih menyiasat kes itu. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Thailand minta bantuan Malaysia

Posted:

Bangkok: Pihak berkuasa Thailand dan pemisah mungkin semakin hampir ke meja rundingan selepas sembilan tahun wilayah itu bergolak dan mengorbankan lebih 5,000 nyawa.

Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra akan bertemu rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, esok dan mungkin mendapatkan bantuan Kuala Lumpur menghubungi kumpulan pemberontak.


Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC), Paradorn Pattanathabutr berkata, ada kumpulan pemberontak beroperasi dari Malaysia dan Thailand yang mahu berunding dengan kerajaan. "Kami mahu Malaysia mempermudahkan rundingan ini," katanya. Dalam satu dokumen pada 2012, ia mencadangkan dialog dengan pemberontak, tetapi pihak tentera yang menempatkan anggotanya di selatan Thailand bersikap dingin. Komander Tentera Keempat di selatan Thailand, Udomchai Thammasarorat berkata, tentera sering berhubung dengan Malaysia.

"Kami tidak terbabit dalam pertemuan Khamis ini kerana ia merupakan inisiatif daripada kerajaan," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

SBY digesa tumpu kepentingan rakyat

Posted:

Jakarta: Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Indra, semalam menggesa Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono memberi tumpuan terhadap tugas mengurus negara.

Menurutnya, Susilo tidak boleh memegang jawatan sebagai pengerusi parti kerana gajinya dibayar untuk mentadbir negara.


Indra berkata, jawatan presiden perlu mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.

"Seseorang presiden tidak boleh menjadi pengurus parti sebab tanggungjawab keseluruhan beliau ialah bekerja untuk rakyat, tidak kepada partinya saja," kata Indra kepada wartawan di Parlimen.


Susilo mengambil alih tugas pengurusan Parti Demokrat selepas pengerusi parti sebelum itu, Anas Urbaningrum berdepan masalah rasuah.


Beliau berkata, Susilo tidak perlu bimbang jika tidak mendapat sokongan partinya. "Jika beliau melaksanakan tugasnya dengan baik, bukan partinya saja yang akan menyokong, malah parti lain juga akan berbuat demikian," katanya.

Indra mencadangkan supaya undang-undang diiwujudkan melarang presiden, parti dan juga anggota DPR tidak dilantik menjadi pengurus parti. "Ini perlu dilakukan supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada rakyat dan bukan mengutamakan parti," katanya. - kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Singapura beri 20,693 status kerakyatan

Posted:

Singapura: Republik ini memberikan bilangan tertinggi kewarganegaraan kepada pemohon warga asing tahun lalu.

Ia dilakukan walaupun kerajaan mengetatkan peraturan pemberian status pemastautin tetap sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Secara keseluruhan, 20,693 memperoleh kerakyatan Singapura tahun lalu, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri, Grace Fu di Parlimen, semalam.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 15,777.


Antara 1987 hingga 2006, 8,200 orang diberikan sijil kerakyatan setahun.


Dari 2007 hingga 2011, bilangan itu bertambah kepada 18,500 setahun, menurut statistik dikeluarkan Bahagian Populasi Nasional (NPTD).

Jurucakap NPTD memberitahu media bilangan kerakyatan diberikan bergantung kepada bilangan dan kualiti pemohon.

Permohonan berjaya tahun lalu antara 15,000 hingga 25,000 yang dijangka diberikan setiap tahun. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

No comments:

Post a Comment