Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Lin Dan buat hal!

Posted:

Kuala Lumpur: Lin Dan terus mencabul peraturan ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila tidak menyertai Siri Super Perdana Seluruh England pada 5-10 Mac sekali gus menyaksikan perebutan kejuaraan kali ini terarah kepada pemain nombor satu dan dua dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Chen Long (China).

Mengikut peraturan BWF, semua pemain berada dalam ranking 10 teratas dunia wajib menyertai semua lima kejohanan berstatus Siri Super Perdana.


"Tapi, Persatuan Badminton China (CBA) langsung tidak menyenaraikan nama Lin Dan untuk kejohanan ini," kata Pengurus Pemasaran Siri Super BWF, S Selvam.

Beliau mengesahkan, juara bertahan itu akan didenda AS$5,000 (RM15,512) kerana gagal menyertai kejohanan diwajibkan ke atas setiap pemain kelompok 10 terbaik dunia itu.


"Untuk Seluruh England, kami mengambil kira ranking dunia terakhir pemain pada November 2012 dan dia ketika itu berada di ranking kelapan dunia.


"Jika penganjur (England) membuat aduan dan mahu Lin Dan hadir, kami (BWF) akan menghantar surat kepada CBA, meminta pemain itu menghadirkan diri dan meminta surat tunjuk sebab mengapa dia tidak mengambil bahagian," kata Selvam.

Foto

Lin Dan

Berdasarkan ranking semasa, Lin Dan kini berada di kedudukan ke-14 dunia.


Chong Wei pula enggan memandang isu lain selain fokus kepada permainannya pada kejohanan itu.

"Tidak kira siapa juga lawan kerana tanpa Lin Dan, status sebagai nombor satu dunia sentiasa menjadi buruan pemain lain yang mahu menewaskan saya," kata Chong Wei, juara 2010 dan 2011 serta naib juara tahun lalu.


Pemain utama negara itu membuka saingan menentang pemain Hong Kong, Wong Wing Ki pada pusingan pertama dan diramal mudah ke final, dengan pemain seperti Wang Zhengming (China), Nguyen Tien Minh (Vietnam), Du Pengyu (China), Hu Yun (Hong Kong) serta Sho Sasaki (Jepun) dan Taufik Hidayat (Indonesia) berada dalam laluannya memburu kejuaraan ketiga di England.


Chen Long yang layak ke suku akhir tahun lalu pula meniti laluan lebih getir berbanding Chong Wei.


Selepas berdepan pemain Thailand, Boonsak Ponsana pada pusingan pertama, Kenichi Tago (Jepun) dijangka menjadi lawan di suku akhir dengan kemungkinan pemain yang kembali meningkat prestasi, Sony Dwi Kuncoro (Indonesia) ataupun Chen Jin (China) menjadi lawan separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

KAFA ketepikan tiga pemain

Posted:

Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan menyingkirkan tiga pemain menjelang April bagi memberi ruang kepada tiga muka baru untuk mengatasi krisis ketumpulan jentera serangan.

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan menyingkirkan tiga pemain yang tidak dinyatakan itu terpaksa dilakukan demi kepentingan pasukan yang kini berdepan kemarau kemenangan sepanjang pusingan pertama Liga Super musim ini.


Katanya, KAFA juga terpaksa menyingkirkan tiga pemain bagi memenuhi kuota 25 pemain seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum mendaftarkan tiga muka baru.

"Tiada masalah lain yang dihadapi kecuali ketiadaan penyerang. Bagi mengatasi masalah ini, kami terpaksa singkirkan tiga pemain bagi membawa masuk tiga pemain lain yang lebih hebat.


"Saya tidak akan sebut nama pemain kerana tidak mahu mereka terganggu. Mereka yang akan disingkirkan bukannya tidak bagus tapi kami terpaksa lakukan demi kepentingan pasukan," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Penajaan Kereta Oleh Syarikat Secretleaf di Kafe The Red Warriors, di sini, semalam.


Turut hadir, Pengarah Urusan Secretleaf, Amir Ramadzan Ibrahim. Pada majlis itu, KAFA menerima tajaan sebuah kereta Proton Persona bagi kemudahan pengangkutan persatuan induk bola sepak negeri itu.

Ketika ditanya adakah pemain import dari Guinea, Keita Mandjou tersenarai dalam penyingkiran itu, Annuar dalam nada tegas meminta supaya dihentikan khabar angin seperti itu.


Katanya, Mandjou masih berada dalam pasukan dan berhak bermain. "Keita memang berhak bermain. Khabar angin seperti itu hanya menjatuhkan moralnya.

"Yang penting, pemain perlu bermain bersungguh-sungguh dan masalah ketiadaan penyerang ini akan diselesaikan pengurusan KAFA." Sementara itu, Amir Ramadzan berkata, pihaknya teruja dapat menaja Kelantan kerana pasukan itu mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pasukan lain.


"Kami juga akan membawa dua penyokong yang memenangi peraduan 'Beli Dan Bola' untuk menyaksikan perlawanan Piala AFC di Vietnam pada 10 April.


"Peraduan ini bermula 15 Februari hingga 15 Mac. Kami menyediakan tiket penerbangan dan kemudahan penginapan tiga hari dua malam kepada dua pemenang itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

Pandelela atlet terbaik anugerah SAM-100Plus 2012

Posted:

Kuala Lumpur: Kejayaan meraih pingat gangsa Sukan Olimpik London tahun lalu membolehkan Pandelela Rinong dinobat penerima Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2012, semalam.

Ratu terjun negara berketurunan Bidayuh itu mengetepikan saingan beberapa atlet tersohor tanah air seperti Datuk Nicol Ann David (skuasy), Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan Syafiq Ridwan Abdul Malik (tenpin boling).


Buat julung kalinya, dua atlet paralimpik iaitu Hasihin Sanawi (memanah) dan Mohd Ziyad Zolkefli (lontar peluru) turut dicalon merebut anugerah itu.

Kejayaan itu membolehkan Pandelela membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 selain trofi yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.


Dalam rakaman video yang disiarkan pada majlis itu, Pandelela berkata: "Ribuan terima kasih kepada SAM kerana memilih saya dan tidak lupa kepada ibu dan bapa serta jurulatih yang banyak memberi semangat kepada saya sebelum ini.


"Diharap anugerah ini menjadi pendorong kepada saya dan atlet lain untuk terus mengejar kejayaan pada masa akan datang." Pemenang gangsa acara 10 meter platform individu wanita Sukan Olimpik London itu memohon maaf kerana tidak dapat menyertai majlis semalam kerana menjalani latihan di China.

Olahragawati Kebangsaan 2011 itu meraih perak Kejohanan Terjun Dunia di Moscow, Russia pada 2011 dan gangsa acara sama Sukan Universiti Dunia 2011 di Shenzhen, China.


Sementara itu, pemanah remaja kebangsaan, Haziq Kamaruddin dijulang pemenang Anugerah Atlet Remaja Terbaik 2012 manakala pelumba Moto3 GP Zulfahmi Khairuddin menerima Anugerah 'Outdo Yourself 100Plus' atas prestasi cemerlang muncul naib juara perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia 2012.

Zulfahmi turut mencatat kemenangan podium dengan menduduki tempat ketiga GP Valencia, Sepanyol, tahun lalu.


Wartawan sukan akhbar The Star, Rajes Paul meraih anugerah utama Kewartawanan Sukan SAM-KBS 2012 dan menerima wang tunai RM7,000 serta piala. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

TRW lepas geram

Posted:

Kota Bharu: Kelantan mengakhiri kemarau kemenangan dengan aksi garang membenam musuh tradisi, Terengganu 2-0 di stadium keramat, Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Lebih mengejutkan, penyerang import, Keita Mandjou yang dikritik penyokong The Red Warriors (TRW) berikutan aksi longlai sebelum ini mempamer aksi membanggakan apabila menjaringkan kedua-dua gol itu.


Mandjou menjaringkan gol pertama pada minit ke-33 dan 65 sekali gus membantu Kelantan memungut tiga mata penuh dan melakar kemenangan kedua selepas tujuh perlawanan. Perlawanan disaksikan kira-kira 15,000 penyokong itu bermula dengan pasukan pelawat mengasak kubu Kelantan seawal minit keenam hingga pertahanan pasukan tuan rumah kelam kabut.

Rembatan deras penyerang import, Effa Owana ditepis penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sebelum pemain sayap, G Puaneswaran melakukan susulan dengan melakukan dua percubaan namun penjaga gawang kebangsaan itu tangkas menyelamatkan keadaan.


Selang tiga minit, giliran tuan rumah mengatur gerakan melalui pertahanan, Mohd Daudsu Jamaludin yang membuat lorongan kepada kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi yang berjaya melepaskan rembatan namun tersasar ke sisi gawang.


Selepas 12 minit, Owana terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan serius dan diganti Mohd Faderin Kadir.

Menyedari perlu kemenangan, anak didik Bojan Hodak terus menggandakan asakan dan Indraputra Mahyuddin berjaya melakukan percubaan selepas menerima lorongan Mohd Badhri atau Piya, namun tersasar jauh.


Pada minit 32, Mandjou berjaya memecah kebuntuan selepas menanduk masuk bola hantaran Mohd Shakir Shaari sekali gus meletakkan juara tiga piala itu di depan hingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, tuan rumah beraksi lebih baik untuk mempertahankan kedudukan meskipun diasak hebat pasukan kendalian E Elavarasan.


Mandjou hampir menjaringkan gol namun percubaannya pada m-54 ditepis penjaga gol, Mohd Sarmiza Yusof.


Bagaimanapun, pada minit ke-64, Mandjou tidak mensia-siakan hantaran Indraputra apabila menghadiahkan jaringan kedua kepada Kelantan sekali gus namanya bergema di dalam stadium.


Mandjou hampir mencipta hatrik namun jaringannya pada minit ke-70 dinafikan pengadil perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar kerana berada pada kedudukan ofsaid ketika menerima hantaran Badhri.


Sang Penyu terus tertekan apabila pada minit ke-80, kapten pasukan, Faizal Mohamad dilayang kad merah kerana mengasari pemain pertahanan Kelantan, Mohd Zamri Ramli.


Kelantan bagaimanapun gagal menggunakan kelebihan itu dan kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

ATM gah di Paroi

Posted:

Seremban: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mempertahankan reputasi apabila meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Selangor, 2-0 pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Insiden pergaduhan di Stadium Shah Alam pada 25 Januari lalu, jelas masih mempengaruhi minda pemain ATM dan Selangor apabila pada hujung babak kedua keadaan perlawanan menjadi sedikit panas yang menyaksikan Selangor terpaksa bermain 10 orang selepas Raimi Mohd Nor diperintah keluar padang apabila dilayangkan kad merah oleh pengadil Shuhaizi Shukri kerana menyiku Irwan Fadly Idrus dalam kotak penalti.


Sekalipun pada awal babak, kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan menghiburkan dengan saling melakukan serangan tetapi ia tidak berpanjangan apabila beberapa pemain hilang sabar hingga hampir mencetuskan pergaduhan.

ATM mula menguji benteng Selangor seawal minit kesembilan menerusi tandukan Marlon Alex James tapi tidak tepat ke sasaran disusuli sepakan K Reuben dari jarak 20 meter pada minit ke-11 yang melepasi palang.


Usaha anak buah B Sathianathan untuk mendahului pelawat akhirnya berhasil apabila Bruno Martelotto yang menerima hantaran James di bahagian tengah, bijak menggelecek pemain pertahanan Selangor sebelum memperdayakan penjaga gol pelawat, Norazlan Razali, untuk gol pertama pada minit ke-16.


Jaringan itu menyentap semangat anak buah Irfan Bakti dan mereka cuba memperkemaskan jentera serangan, namun beberapa percubaan tidak menepati sasaran, sebaliknya ATM yang berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Selangor menerusi gerakan James, Hairuddin Omar dan Martelotto.

Dua percubaan pada minit ke-26 dan ke-27 menerusi Venice Elphi dan Martelotto hampir melebarkan lagi jurang tapi Norazlan menjadi penyelamat.


Barisan depan Selangor yang diterajui Frankey Doe bersama Ramzul Zahini dilihat tidak menjadi apabila setiap gerakan mereka berjaya dipatahkan pertahanan ATM dan usaha merapatkan jurang tidak kesampaian hingga tamat separuh masa pertama.

Usaha Selangor untuk merapatkan jurang terserlah sebaik bermulanya babak kedua dan peluang menyamakan kedudukan hampir berhasil tapi percubaan Shukor Jusoh dari dalam kotak penalti pada minit ke-59 singgah di palang.


ATM hampir menambah jaringan namun percubaan James yang menerima hantaran Martelotto di bahagian tengah dihalang Norazlan pada minit ke-67 dengan penjaga gol pengalaman itu sekali lagi menyelamatkan pintu golnya apabila berjaya menepis bola sepakan Shukor Adan seminit kemudian.


Pada minit ke-87, Tentera memperoleh sepakan penalti selepas Marlon dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pertahanan Selangor dan dia berjaya menyudahkan sepakan itu dengan baik untuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-89 yang menyaksikan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

Mat Yo penyelamat maruah Johor DT

Posted:

Johor Bahru: Jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada penghujung perlawanan menjadi penyelamat buat Johor Darul Takzim yang terpaksa berpuas hati seri 2-2 dengan LionsXII pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Bagaimanapun tuan rumah yang terlebih dulu tersentak dengan gol awal pada minit ketiga akibat kelekaan pemain pertahanan Harimau Selatan yang gagal menutup ruang apabila percubaan kapten LionsXII, Shahril Ishak membuka peluang buat Harris Harun menyambar bola sebelum merembat kencang bagi menewaskan penjaga gol, Zamir Selamat.


Peluang terbaik Harimau Selatan menyamakan jaringan hadir pada minit kesembilan namun bola sepakan kapten Safiq Rahim mengecewakan apabila sekadar melambung tinggi ketika Daniel Guiza tampak lebih bersedia mengambil sepakan itu.

Bagaimanapun usaha berterusan skuad Harimau Selatan membuahkan hasil pada minit ke-12. Nurul Azwan Roya mengelirukan benteng pertahanan LionsXII apabila melintangkan bola tepat kepada Simone Del Nero untuk menanduk bola menewaskan penjaga gol, Izwan Mahbud.


Serangan bertali arus skuad Harimau Selatan hampir menambah jaringan pada minit ke-26 selepas umpanan Nurul Azwan kepada Guiza yang berjaya menggelecek dua pertahanan lawan merembat kencang, namun sempat dihadang Isa Halim bagi mengelak bola daripada menuju ke pintu gol.


Rombakan terpaksa dilakukan pengendali Harimau Selatan, Fandi Ahmad yang mengeluarkan Aidil Zafuan Abd Radzak kerana dilihat masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan otot perut dengan memasukkan Irfan Abd Ghani.

Namun percaturan itu nyata tidak menjadi, sebaliknya LionsXII mengambil kesempatan mencipta gol kedua, berpunca daripada sepakan percuma Shahril pada minit ke-38 yang mudah ditanduk Baihakki Khaizan untuk meletakkan skuad bimbingan V Sundramoorthy di depan 2-1 hingga berakhir babak pertama.


Tertekan dengan kedudukan itu, Fandi terpaksa memasukkan Safee Sali bagi menguatkan jentera serangan dan percaturan itu tampak berkesan apabila serangan bertali arus tuan rumah menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-81 hasil bola rembatan leret Norshahrul bagi memastikan skuad Harimau Selatan tidak berakhir dengan tangan kosong.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

Latiff julang T-Team

Posted:

Kuala Terengganu: T-Team hampir lemas di depan penyokong sendiri sebelum penyerang muda, Abdul Latiff Suhaimi muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-60 untuk mengikat kedudukan 1-1 dengan Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang semalam.

Ketumpulan jentera serangan diketuai bekas pemain kelab Liga Inggeris, Hull City, Caleb Folan terus menghantui anak buah Peter Butler untuk melakar kemenangan ketiga di laman sendiri biarpun mempunyai deretan peluang menghasilkan gol.


Malah, jurulatih berbangsa Inggeris itu turut mengaku pemain import tinggi lampai itu belum mencapai tahap diharapkan berikutan gagal mencetak nama sebagai penjaring walaupun sudah mengharungi tujuh perlawanan Liga Super.

T-Team terlebih dulu dikejutkan gol awal pelawat pada minit keempat hasil tendangan leret pemain tengah, Khairul Anuar Jamil yang bijak memperdaya penjaga tuan rumah, Mohd Iqbal Suhaimi.


Felda yang turut dahagakan kemenangan nyaris menambah jaringan menerusi penyerang, Razali Umar Kandasamy pada minit ke-40 tapi sepakannya berjaya ditangkap Mohd Iqbal biarpun hanya berdepan penjaga gol itu.


Jaringan tuan rumah hadir pada minit ke-60 apabila tendangan pemain pertahanan, Marzuki Yusof terkena pemain lawan sebelum bola singgah di kaki Abdul Latiff yang mudah menolak bola masuk ke gawang.

"Keseluruhan saya memuji persembahan T-Team yang tampil dengan aksi baik biarpun hanya mendapat satu mata di tempat sendiri.


"Bagaimanapun, saya sedikit kecewa dengan barisan penyerang kerana gagal menambah jaringan walaupun mempunyai beberapa peluang keemasan," kata Butler yang berharap Folan berusaha lebih keras untuk mengakhiri kemarau jaringan.

Sementara itu, jurulatih Felda United, K Devan puas hati dengan corak persembahan anak buahnya.


"Saya bangga pemain berjaya menguasai permainan dan sekiranya empat peluang keemasan dimiliki Razali Umar dan Rudie Ramli dimanfaatkan, pasti kami mengutip mata penuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

Hajat besar Ryukyu

Posted:

Kuala Lumpur: Misi kelab Ryukyu FC untuk melayakkan diri ke Divisyen Dua Liga Jepun (J-2) dalam tempoh tiga tahun lagi menjadi pendorong kelab berpangkalan di Okinawa itu untuk memancing dua pemain muda negara, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharulnizam Zakaria.

Kelab Divisyen Tiga itu menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan khidmat pemain Harimau Muda A itu apabila pengerusinya, Nobuyuki Sakakibara dan pengurus, Hiroyuki Shinzato sanggup bertandang ke Kuala Lumpur, Isnin ini.


Kedatangan wakil dari Ryukyu itu untuk membincangkan soal tawaran kontrak secara serius selain meninjau sesi latihan skuad kendalian Ong Kim Swee selama tiga hari di Kuala Lumpur.

"Saya sudah bertemu pengurus kelab itu sebelum ini dan beliau menerangkan mengenai misi mereka untuk layak bermain di J-2 pada 2015. Mereka menunjukkan minat mendapatkan khidmat Wan Zack dan Wan Zaharulnizam.


"Mereka akan datang ke Kuala Lumpur pada Isnin ini untuk membincangkan kontrak kerana banyak perkara perlu diteliti terlebih dulu seperti pelepasan pemain bagi tugasan antarabangsa bersama skuad negara khususnya untuk Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini," katanya.


Ryukyu berharap kedua-dua pemain sayap itu boleh menandatangani kontrak sebelum musim 2013 bermula iaitu pada 10 Mac hingga 24 November.

Wan Zack, 22, dan Wan Zaharulnizam, 21, pernah menjalani percubaan selama 19 hari bersama Ryukyu, Jun tahun lalu dan dilapor berjaya menarik perhatian jurulatih, Takeo Matsuda.


Menurut Kim Swee, walaupun Ryukyu bertaraf kelab amatur dan menamatkan saingan di tangga kesembilan musim lalu, beliau menganggap peluang kedua-dua pemain berkelana di Jepun tidak boleh dilepaskan.

"Saya sudah berbincang dengan Wan Zack dan Wan Zaharulnizam mengenai taraf liga di sana ketika mereka menjalani latihan dan mereka mengaku taraf liga itu lebih tinggi. "Lebih penting, Ryukyu mempunyai misi untuk layak ke liga lebih tinggi dan jika pemain kita beraksi baik di Jepun, ia membuka mata pencari bakat kelab lain di sana."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

Ujian skuad baru Kim Swee di Myanmar

Posted:

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23), Ong Kim Swee tidak mahu memberi tekanan kepada anak buahnya apabila berdepan skuad kebangsaan Myanmar dalam aksi persahabatan di Yangon, Jumaat ini namun pengendali itu mahu melihat peningkatan berbanding aksi di Australia awal bulan ini.

Kim Swee sedar ramai pihak mahu melihat hasil latihan dan perlawanan bersama kelab di Gold Coast dan Brisbane dan beliau berharap pasukannya dapat memberikan tentangan hebat ke atas pemain senior Myanmar.


"Ini pasukan baru, saya tidak boleh nilai pemain melalui satu perlawanan saja dan kita akan menentang pasukan kebangsaan Myanmar yang beraksi dalam Piala Suzuki AFF dan ia bukan perlawanan yang mudah.

"Tapi saya tidak mahu pemain mudah mengaku kalah, saya mahu mereka mengekalkan disiplin dan corak permainan yang diterapkan sebelum ini. Yang penting, prestasi pemain dan bukannya keputusan perlawanan," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Kim Swee menyenaraikan 18 pemain untuk ke Yangon hari ini termasuk tonggak pertahanan Harimau Malaya, Mohd Fadhli Shas dan Wan Zack Haikal Wan Nor serta tiga pemain yang kurang mendapat pendedahan antarabangsa D Kenny Pallraj, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan dan Adam Nor Azlin.


Akibat masalah kecederaan pemain, beberapa pemain utama disisihkan antaranya kapten, Irfan Fazail, Gary Steven Robbart dan Ahmad Hazwan Bakri.

Ketiadaan pemain tonggak ini tidak meresahkan Kim Swee kerana beliau menganggap inilah peluang terbaik untuk pemain lain merebut tempat dalam pasukan yang bakal memikul misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar hujung tahun ini.


"Myanmar pasukan yang bagus, dalam aksi Piala AFF tahun lalu mereka hanya kalah 0-1 kepada Filipina. Tapi saya tidak menganggap ketiadaan beberapa pemain utama satu masalah besar kerana saya yakin pemain lain mampu menjalankan tugas dengan baik."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

'Rehat tahun ini lebih berkualiti'

Posted:

Selamat bertemu lagi peminat sukan tanah air. Saya rasa peralihan dari tahun 2012 ke 2013 bagaikan tempoh rehat paling singkat buat saya biarpun mengikut perancangan asal, saya sepatutnya berehat selepas Terbuka Malaysia sebelum menyertai Seluruh England.

Tempoh rehat yang cukup panjang tapi hakikatnya, saya hanya ada lima hari untuk mendapat rehat sepenuhnya.


Saya pasti ramai yang mahu tahu bagaimana saya kekalkan momentum dan tahap kecergasan sewaktu pertandingan.

Sebenarnya tiada beza sangat antara tahun lalu dan tahun ini. Meskipun hanya mendapat tempoh rehat yang pendek, hanya lima hari berbanding sebelumnya, kali ini rehat saya lebih berkualiti kerana buat kali pertama tidak pulang menyambut Tahun Baru Cina di Pulau Pinang, sebaliknya berada di Kuala Lumpur bersama keluarga baru sejak berkahwin dengan Wong Mew Choo.


Saya rasa selama ini banyak masa dihabiskan atas jalan ataupun dibazirkan untuk perjalanan pulang dan kembali ke Pulau Pinang.


Selepas berada di tahap tertinggi, sebagai pemain nombor satu dunia, definisi rehat bagi saya tidak sama seperti dulu kerana saya lebih gemar berehat di rumah, makan bersama keluarga sejak bergelar suami.

Malah jika dulu saya sentiasa fikir mahu datang ke Kuala Lumpur lebih awal untuk menjalani latihan, untuk mengembalikan tahap kecergasan terbaik, kali ini saya memang berada di Kuala Lumpur, lebih mudah untuk saya menguruskan diri.


Tetapi makan minum hendaklah dijaga dengan baik, terutamanya pemain yang baru naik.

Konsepnya mudah, jika mahu banyak berseronok, kami sebagai atlet juga perlu bekerja keras untuk mengembalikan tahap kecergasan tepat pada masanya.


Justeru, kepada pemain yang baru meningkat naik, nasihat saya, disiplin perlu diutamakan, bukan saja ketika menjalani latihan tapi dalam menjalani kehidupan seharian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

No comments:

Post a Comment