Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Kami mahu rumah'

Posted:

Kuala Lumpur: Ibarat jatuh ditimpa tangga, lebih 20 mangsa kebakaran di Kampung Sungai Mulia, Jalan Gombak, di sini, buntu memikirkan nasib mereka selepas dikatakan tidak layak mendapat bantuan rumah.

Dalam kejadian 18 Januari lalu, enam rumah yang dijadikan 36 bilik sewa didiami 50 penghuni hangus dijilat api.


Sebahagian mereka kini menjadikan pusat pemindahan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, di sini, sebagai tempat berteduh kerana tidak mampu menyewa rumah lain berikutan dihimpit kemiskinan.

Mangsa Khalib Amin Gol, 52, berkata, kira-kira 12 keluarga yang masih tinggal di pusat itu tidak tahu ke mana hendak dituju kerana masalah kewangan dan rata-rata daripada mereka berpendapatan rendah.


"Kebakaran itu menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang dan amat sukar memulakan hidup baru di kota raya ini tambahan pula sewa rumah yang terlalu mahal serta kos sara hidup tinggi.


"Lebih memilukan, ada antara mangsa yang menderita penyakit kronik terpaksa berteduh di sini dan mengalami kesukaran mendapatkan rawatan kerana kehilangan punca pendapatan.

Foto

SEBAHAGIAN daripada 12 keluarga mangsa kebakaran di Pusat Komuniti Sentul Perdana.

"Justeru, kami merayu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu kami selain menyegerakan penempatan di rumah dari Projek Perumahan Rakyat (PPR)," katanya di sini, semalam.


Difahamkan mangsa kebakaran yang masih tinggal di pusat berkenaan terdiri daripada lapan keluarga warga Malaysia, dua keluarga penduduk tetap dan dua keluarga warga asing, manakala selebihnya sudah menumpang di rumah saudara atau mencari rumah sewa lain.

Sehingga kini, mereka menerima bantuan makanan dan peralatan asas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan RM2,000 di bawah Skim Bantuan Musibah Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) setiap keluarga serta sumbangan wang tunai daripada DBKL.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah, Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL Datuk Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pihaknya kini dalam proses menyiasat latar belakang mangsa bagi membolehkan bantuan penempatan diberikan mengikut prosedur ditetapkan.


"Bagaimanapun, bantuan penempatan bagi mangsa kebakaran hanya terhad kepada warga Malaysia sahaja, manakala bagi penduduk tetap tidak layak menerima bantuan penempatan walaupun anak-anak mereka bertaraf warga negara.


"Selain itu, bantuan berbeza antara kebakaran yang berlaku di penempatan di tanah milik kerajaan atau penempatan di tanah persendirian. Bagi mangsa (kebakaran) di tanah milik kerajaan boleh dipertimbangkan untuk mendapat bantuan rumah PPR dan mangsa yang masih bujang ditawarkan ke unit bujang," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Tangan terlekat mesin 'tikam'

Posted:

Banting: Tindakan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun memasukkan tangan kanannya di sebuah alat permainan dikenali mesin 'tikam' mengundang padah apabila tangannya terlekat di mesin itu dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Bukit Lancong, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, ketika kejadian kanak-kanak terbabit baru pulang dari sekolah sebelum singgah di kedai berkenaan untuk bermain permainan itu.


Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.56 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil tindakan pantas pegawai bomba di lokasi kejadian, mangsa berjaya diselamatkan dalam tempoh 11 minit tanpa kecederaan serius.


"Kami menghantar tujuh anggota ke lokasi kejadian sejurus selepas mendapat aduan dan tiba di lokasi pada jam 3.16 petang.


"Difahamkan, permainan itu sudah rosak dan pecah menyebabkan tangan kanan mangsa terlekat.

"Kami bersyukur dengan kekuatan jentera, tangan kanan mangsa berjaya dikeluarkan tanpa kecederaan serius dalam tempoh 11 minit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Juruteknik nyaris dinoda

Posted:

Petaling Jaya: Seorang juruteknik wanita nyaris diperkosa ketika dalam perjalanan ke tempat kerja apabila dia yang berjalan seorang diri diterkam seorang lelaki tidak dikenali sebelum menariknya ke dalam semak berhampiran Jalan SS 9A/17, Sungai Way, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun menjerit meminta tolong sebelum jeritannya itu didengari seorang lelaki yang melalui kawasan itu.


Menurut sumber, lelaki terbabit cuba melarikan diri dari tempat kejadian selepas perbuatannya disedari lelaki berkenaan, tetapi diberkas sebelum diserahkan kepada anggota unit peronda (MPV) dari Balai Polis Sungai Way.

"Mangsa sudah menyedari kehadiran lelaki terbabit di jalan berkenaan, tetapi tidak menghiraukannya kerana sudah biasa menggunakan laluan itu dan tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini.


"Namun, sebaik mangsa menghampiri lelaki terbabit tiba-tiba dia diterkam dan tangannya ditarik manakala mulutnya ditutup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Anggota polis patah kaki dilanggar

Posted:

Kluang: Seorang anggota polis patah kaki kanan selepas seorang suspek pengedar dadah nekad melanggar dan menghimpitnya untuk meloloskan diri daripada ditahan dalam kejadian di persimpangan Jalan Ladang Tereh di sini, kira-kira jam 3 petang, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa Lans Koperal Anuar Ishak yang bertugas di Balai Polis Kluang Baru bersama dua rakan setugas diarah menjalankan siasatan ke atas tiga lelaki yang mencurigakan di lokasi berkenaan.


Menurut Anuar, ketiga-tiga suspek menunggang motosikal secara berasingan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

"Bagaimanapun, seorang daripada suspek yang berumur lingkungan 20-an tiba-tiba memecut dari situ sebelum dikejar.


"Suspek menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan dia kemudiannya melanggar sebelum menghimpit saya," katanya ketika ditemui di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang semalam.


Menurut Anuar yang turut menunggang Honda EX5, akibatnya, dia kehilangan kawalan sebelum terjatuh manakala kaki kanannya dihempap motosikal menyebabkannya patah.

Katanya, dia kemudiannya dihantar ke hospital berkenaan manakala suspek terbabit berjaya ditahan.


"Saya harap dapat segera sembuh kerana mahu bersama rakan setugas membanteras jenayah. Kejadian ini tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus memburu penjenayah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, tiga suspek lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan dalam kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Wanita mengaku ugut bunuh suami

Posted:

Petaling Jaya: Seorang ibu beranak lima dan rakan lelakinya masing-masing didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas mengaku salah mengugut bunuh suaminya, dua hari lalu.

Majistret Nazri Omran menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja bahagian sumber manusia B Manimala, 38, dan pemandu lori S Kosulakrisnan, 43.


Kedua-dua tertuduh turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.

Bagaimanapun, mereka membayar denda itu. Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan ugutan jenayah kepada V Kalimuthu, 41, seorang kontraktor dengan niat mendatangkan kegentaran terhadap mangsa dengan kata-kata mahu membunuhnya.


Kesalahan itu dilakukan di B5-6-52 Jalan PJS 6/5A, Sungai Way, dekat sini, pada jam 6.30 pagi, 3 Januari lalu.


Bagi pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Siti Fatimah Yahya manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Esther Tan.


Terdahulu, Esther memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan alasan tiada kecederaan berlaku dan hanya ugutan serta ia lebih kepada masalah percintaan. Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu sampai di rumahnya dan didapati seorang lelaki iaitu tertuduh berada dalam rumah bersama isteri pengadu di ruang tamu.

Pengadu cuba mendapatkan pengesahan mengenai hubungan mereka daripada tertuduh perempuan namun berlaku pertengkaran mulut dan tertuduh mengugut pengadu.


Pengadu membuat laporan polis dan kedua-dua tertuduh di tahan selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

No comments:

Post a Comment