Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tendang musang selamat anak

Posted:

London: Seorang ibu terpaksa berdepan detik amat mencemaskan apabila bayinya dibaham seekor musang malam kelmarin.

Ibu mangsa, Hayley Cawley, berkata selepas membaham anaknya, haiwan liar itu cuba menggoyang-goyang dan menggonggong bayi berkenaan.


Kata Cawley, 28, banyak darah keluar akibat kecederaan dialami anaknya, Denny. "Musang itu membaham muka Denny dan menariknya keluar dari katil bayi sebelum cuba melarikan diri keluar rumah," katanya.

Tindakan nekad Cawley berjaya menyelamatkan nyawa Denny.


Kata Cawley, dia menendang musang itu sekuat hati ketika haiwan berkenaan menggonggong Denny melalui pintu rumah. Akibat tindakan itu, katanya, musang berkenaan melepaskan gigitannya dan Denny dapat diselamatkan. Sementara itu, doktor mengesahkan bayi lelaki terbabit kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan empat jam untuk merawat mukanya.


Doktor juga berjaya menyambung semula satu daripada jari Denny yang putus digigit musang itu. Kata Cawley, ketika membawa Denny ke hospital dari rumahnya di Bromley di tenggara London, dia dan pasangannya, Paul Dolan, mempersiapkan fikirannya jika bayi terbabit gagal diselamatkan. Sementara itu, kakak Dolan, Lorraine Murphy, berkata tindakan pantas Cawley berjaya menyelamatkan nyawa Denny.

Foto

KECEDERAAN Denny mungkin lebih serius jika ibunya lambat bertindak.

Foto

SEEKOR musang kelihatan mengintai dari belakang sebuah kereta tidak jauh dari rumah Denny, semalam.

Foto

DENNY terbaring di hospital selepas menerima rawatan akibat diserang musang.

Katanya, menendang badan musang itu adalah tindakan tepat bagi menyelamatkan Denny. Menurut Lorraine, 42, Denny diserang ketika dia ditinggalkan sendirian dalam katil bayi di ruang tamu rumah berkenaan. Katanya, Cawley hanya naik ke tingkat atas rumah berkenaan seketika apabila haiwan liar itu memasuki rumah itu. "Ketika ini Denny masih trauma, manakala Dolan belum mahu ditemubual," katanya. Lorraine berkata, selepas pembedahan, doktor menjangkakan peluang Denny mampu menggunakan tangannya secara normal adalah 70 peratus. Katanya, dia membuat beberapa aduan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai kerosakan bahagian belakang rumah mereka.


Kerosakan itu, kata Lorraine, menyebabkan haiwan liar berkenaan dapat menyelinap masuk. "Sehingga kini pihak terbabit belum membaiki kerosakan itu," katanya. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Sistem kebajikan Britain lahirkan ramai pemalas

Posted:

London: Hampir empat juta penduduk dewasa Britain tidak pernah mendapat pekerjaan berbayar seumur hidup dan jumlah itu adalah lebih ramai berbanding populasi Wales.

Data menunjukkan sistem kebajikan Britain menghadapi masalah besar dan ia dikritik kerana membenarkan penganggur menikmati hidup lebih baik berbanding orang lain yang bekerja. Lebih satu pertiga daripada mereka yang tidak pernah mendapat bayaran adalah berusia antara 25 hingga 64 tahun, manakala 205,000 penduduk berusia lebih 65 tahun tidak pernah bekerja sebelum menjadi pesara.


Golongan yang paling terjejas ialah anak muda dengan lebih satu per tiga daripada mereka yang berusia antara 18 dan 24 tahun tidak pernah mendapat bayaran daripada pekerjaan dilakukan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

37 mati terpijak

Posted:

Allahabad: Sekurang-kurangnya 37 orang mati terpijak pada acara agama Hindu, Kumbh Mela yang menarik kehadiran 30 juta penganut agama itu.

Puluhan lagi cedera dalam kejadian malam kelmarin di Allahabad, Uttar Pradesh.


Pegawai tempatan berkata, kejadian itu berpunca daripada penghadang di jambatan di Stesen Kereta Api Allahabad yang runtuh kerana tidak dapat menampung jumlah orang yang terlalu ramai. Bagaimanapun, saksi berkata, kejadian bermula apabila polis menyerang orang ramai dengan belantan hingga mencetuskan suasana panik.

Mangsa yang cedera dibawa dengan ambulans dari stesen berkenaan ke hospital. Namun, anggota keluarga mangsa berkata, perkhidmatan kecemasan mengambil masa terlalu lama untuk tiba di tempat kejadian. Antara yang terbunuh ialah seorang kanak-kanak berusia lapan tahun bernama Muskaan.


Menurut ibu bapanya, dia mati ketika menanti bantuan selama hampir dua jam.


Pegawai kereta api untuk laluan utara dan tengah India, Amit Malviya berkata, 20 mayat sudah dicam dan pihak berkuasa masih menanti anggota keluarga untuk mengenal pasti 16 yang lain.

Selain Muskaan, mangsa lain termasuk 27 wanita dan sembilan lelaki.


Yang paling tua ialah lelaki berusia 75 tahun.

Perdana Menteri Manmohan Singh dalam satu kenyataan berkata, beliau amat terkejut dengan kejadian itu.


Ketua Menteri Uttar Pradesh, Akhilesh Yadav mengarahkan siasatan dilakukan.


Jurucukap kerajaan negeri berkata, kejadian bermula selepas penyambung penghadang pada jambatan terbabit patah.


"Orang ramai berehat dengan duduk atau bersandar pada penghadang itu menyebabkannya patah," kata Ashok Sharma.


Penganut Hindu yang hadir pada festival itu mandi di Sungai Ganges di Allahabad dengan kepercayaan bahawa amalan itu akan menghapuskan dosa mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Bas masuk parit, 3 maut

Posted:

Cox's Bazar (Bangladesh): Polis berkata, sebuah bas yang sesak dengan penumpang terhumban ke dalam parit menyebabkan 16 penumpang terbunuh.

Polis tempatan, Ranjit Kumar Barua berkata, 16 mayat termasuk kanak-kanak ditemui sementara 15 yang cedera dibawa ke hospital.


Menurutnya, bas itu membawa 43 penumpang yang pulang dari mengunjungi makam ulama tempatan, Mujibur Rahman Maizbhandari.

Kerajaan Bangladesh berkata, kemalangan jalan raya di negara itu meragut kira-kira 10,000 nyawa setiap tahun. Kemalangan dikatakan sering berpunca daripada kecuaian pemandu dan kenderaan yang tidak selamat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Kempen hapuskan ilmu hitam

Posted:

Moscow: Pemimpin Checnya, semalam mengarahkan kempen menghapuskan kepercayaan terhadap dukun dan pengamal ilmu hitam yang semakin berleluasa di wilayah pergunungan Russia itu.

Ramzan Kazyrov, orang kepercayaan Kremlin yang mentadbir wilayah penduduk Islam berkenaan turut menggesa penduduk Chechnya menjauhi mereka yang mendakwa mempunyai kuasa luar biasa.


Dalam pertemuannya dengan pemimpin majlis perbandaran, Kadyrov berkata, memohon bantuan kepada dukun dan pengamal ilmu hitam tidak akan membawa mereka ke mana dan ia dilarang dalam Islam.

Beliau memberi amaran mereka yang enggan meninggalkan amalan ilmu hitam akan dikenakan tindakan keras.


Ramai penduduk tempatan percaya Chechnya menjadi tumpuan jin yang muncul di wilayah itu selepas ia musnah akibat dua peperangan menuntut pemisahan dari Russia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Hadiah AS$1j tangkap pembunuh

Posted:

Los Angeles: Hadiah AS$1 juta (RM3 juta) ditawarkan, semalam kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat hingga tertangkapnya bekas anggota polis yang menembak mati tiga orang minggu lalu.

Ketua Jabatan Polis Los Angeles, Charlie Beck berkata, wang berkenaan hasil sumbangan orang ramai adalah yang terbesar pernah ditawarkan dalam siasatan jenayah di selatan California.


Ia ditawarkan ketika pasukan keselamatan meneruskan gerakan memburu bekas anggota polis Los Angeles yang juga anggota simpanan tentera laut Amerika Syarikat, Christopher Dorner, 33.

Beck menyifatkan gerakan itu sebagai yang paling mahal pernah dilancarkan di kawasan Los Angeles.


Dorner didakwa menembak mati pegawai keselamatan sebuah kampus dan tunangnya, anak pegawai kanan polis Los Angeles yang bertanggungjawab memecatnya pada 2008. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Belum ada keputusan perintah berkurung

Posted:

Bangkok: Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata semalam, kerajaannya belum membuat sebarang keputusan megenai langkah mengenakan perintah berkurung di selatan Thai.

"Kita tidak perlu tergesa-gesa untuk paksa penduduk berkurung di rumah pada waktu malam.

"Perintah berkurung itu hanya akan dilaksanakan sebagai jalan terakhir," kata Yingluck.

Beliau berkata demikian kepada wartawan sebagai mengulas keganasan terbaru di selatan negara itu yang meragut nyawa lima anggota tentera dan dua orang awam.


Sebelas orang lagi turut cedera dalam keganasan kelmarin, termasuk tiga kanak-kanak.


Timbalan Perdana Menteri, Chalerm Yuhamrung minggu lalu mengusulkan supaya perintah berkurung dikuatkuasakan di tiga wilayah selatan Thai yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Beliau mengusulkan demikian berikutan pembunuhan dua petani di Pattani dan empat peraih buah di Yala.

Beberapa pemimpin masyarakat Islam menolak cadangan berkenaan kerana berkata, ia akan merumitkan kehidupan harian penduduk di tiga wilayah majoriti Islam, khususnya untuk menunaikan solat Isyak dan Subuh.

Serangan ke atas anggota tentera kelmarin berlaku di Yala ketika mereka dalam perjalanan mengambil pekerja ladang.

Laluan mereka disekat oleh sebuah pikap sarat dengan bom buatan sendiri yang kemudian diletupkan oleh pejuang pemisah yang bersembunyi berhampiran.

Polis berkata, pikap yang sarat dengan bom itu mungkin milik seorang guru, Somsak Kwanma yang ditembak mati pada 11 Disember lalu.

Polis percaya serangan itu didalang oleh Abdul Rohing Da-eso, yang juga dikenali sebagai Ustaz Rohing Asong.

Di Pattani, dua orang awam ditembak mati sementara empat yang lain, termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam serangan berasingan.

Keganasan di selatan Thai meletus sejak awal 2004 apabila penduduk Islam keturunan Melayu bangkit menuntut kemerdekaan dan keadilan selepas puluhan tahun ditindas oleh kerajaan Thai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Mahkamah luluskan tukar jantina anak

Posted:

Bogor: Sebuah mahkamah rendah semalam membenarkan pasangan suami isteri Achmadi dan Tugini menukar nama serta jantina anak mereka di sijil kelahiran.

Hakim Ronald Lumbuun, membenarkan nama Anindya Thalita Putri, 5, menjadi Azriel Anindya Putra, manakala jantina asal pada dokumen kelahirannya ditukar menjadi lelaki daripada perempuan. "Kebenaran ini diberikan selepas membuat pertimbangan daripada aspek perubatan dan agama," katanya. Dalam perbicaraan, mahkamah turut mendengar keterangan seorang doktor yang menjalankan pembedahan pada alat kelamin Anindya, Jose Batubara.


Kata Jose, budak lima tahun itu tidak memiliki sel telur dan hormon esterogen yang membolehkan dia memiliki payu dara.

Justeru, kata Jose, budak terbabit perlu menjalani pembedahan menukar jantina. Seorang lagi saksi ialah pakar undang-undang Islam, Syaiful Anwar.


Kata Syaiful, walaupun menukar jantina dengan alasan nafsu atau duniawi haram, hukum itu menjadi sebaliknya jika dibuat berdasarkan keperluan perubatan. Saksi lain berkata, tingkah laku Anindya memang menunjukkan ciri seorang budak lelaki, sama ada cara berpakaian atau kecenderungan bermain. - tribunnews.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Aquino desak selesai segera rundingan damai

Posted:

Sultan Kudarat: Presiden Benigno Aquino semalam mendesak supaya rundingan damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan dipercepatkan.

Beliau yang membuat lawatan bersejarah ke kubu kuat kumpulan pejuang Islam berkenaan di selatan Filipina berkata, rundingan itu perlu diselesaikan sebelum penggal perkhidmatannya berakhir pada 2016.


"Kita hanya ada tiga tahun empat bulan lagi. Kita perlu menyegerakan segala-galanya untuk menjadikan keamanan berkekalan," katanya.

Dalam lawatannya itu, Aquino turut menyerahkan bantuan pelajaran, kesihatan dan kelengkapan harian kepada keluarga anggota MILF itu untuk membuktikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup golongan minoriti di negara berkenaan.


Menurut Aquino, perjanjian damai itu akan menjamin keamanan tidak kira siapa yang akan menggantikan beliau kelak.


"Kita sudah hampir meraih kejayaan hasil daripada kerja kuat kita. Ini bukan masanya untuk kita menjadi lemah," katanya kepada pemimpin MILF, masyarakat Islam dan diplomat asing di kubu pejuang berkenaan.

MILF menandatangani rangka kerja perjanjian dengan kerajaan untuk membentuk satu wilayah autonomi baru di Mindanao menjelang 2016 bagi mengakhiri perjuangan menuntut kemerdekaan yang berlaruran sejak puluhan tahun lalu.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Seluruh bandar sedih Lolong mati

Posted:

Manila: Penduduk bandar Bunawan di selatan Filipina merancang mengadakan upacara pengebumian untuk buaya air masin terbesar di dunia dan menyimpan bangkainya di sebuah musium bagi menarik pelancong.

Buaya seberat satu tan itu diisytihar mati kelmarin, beberapa jam selepas terlentang dengan perutnya menggelembung dalam kolam di taman eko-pelancongan di bandar itu.


Datuk Bandar Bunawan, Edwin Cox Alorde berkata: "Seluruh bandar, malah seluruh wilayah Agusan del Sur bersedih dengan kematian buaya itu.

"Telefon saya tidak berhenti berdering kerana orang ramai mahu meluahkan kesedihan mereka," katanya.


Sejak ditangkap September tahun lalu, buaya berkenaan menarik pelancong dan mendatangkan pendapatan kepada bandar Bunawan.


Rekod Dunia Guinness mengiktiraf sang bedal berukuran 6.17 meter itu sebagai buaya air masin paling besar pernah ditangkap.

Ia dinamakan Lolong, sempena nama seorang pegawai alam sekitar yang mati akibat serangan sakit jantung selepas membantu penduduk menangkap reptilia yang dianggar berusia lebih 50 tahun itu.-AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

No comments:

Post a Comment