Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Tak halal duit denda'

Posted:

Arau: Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyokong tindakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai mutu pengadilan Liga M turut menekankan beliau tidak akan menghalalkan wang denda yang terpaksa dibayarnya kerana menganggap hukuman dijatuhkan badan induk itu ke atasnya 'sangat zalim'.

"Saya langsung tidak dipanggil bagi siasatan ke atas saya, sebaliknya terus dihukum kerana membuat kenyataan meminta bantuan kewangan daripada FAM selain memohon badan induk itu menyelesaikan masalah bookie.


"Apa yang dilakukan ke atas saya amat kejam dan saya berdoa agar azab dikenakan kepada mereka yang bertindak zalim dan akan mengadakan sembahyang hajat agar tiada lagi kezaliman berlaku dalam FAM," katanya.

Shahidan sekali lagi menekankan beliau secara jujur menyokong Presiden FAM Sultan Ahmad Shah namun tetap dikenakan tindakan gantung dan denda.


Justeru, beliau menyokong tindakan Tunku Ismail kerana apa yang diperkatakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu menjadi bukti jelas, FAM memang berada dalam keadaan amat teruk. Kelmarin, Tunku Ismail yang juga Tengku Mahkota Johor (TMJ) meluahkan rasa tidak puas hati dengan mutu pengadilan saingan Liga M yang disifatkannya masih berada di tahap amatur ketika bola sepak Malaysia sudah lama di era profesional.


"Saya akan menyokong mana-mana pihak yang berani memberikan cadangan serta teguran kepada FAM kerana ia menunjukkan mereka mahukan kebaikan demi industri bola sepak negara.

"Siapa 'tabuh' (kecam) FAM, saya sokong dan kecaman TMJ itu menunjukkan beliau seorang pejuang dan perlu berada dalam FAM." Menurutnya, Tunku Ismail antara individu yang dilihat layak menerajui FAM dan berharap beliau tidak dikenakan tindakan disiplin seperti yang diterimanya, kelmarin, kerana menegur badan induk berkenaan.


Shahidan hilang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kerana digantung dua setengah tahun dan denda RM39,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati bersalah melanggar Artikel 88.

Beliau tidak boleh menyertai sebarang aktiviti bola sepak peringkat kebangsaan dan negeri selama tempoh hukuman itu berkuat kuasa selepas surat hukuman dihantar dalam tempoh 14 hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Pertama kali di Bumi Kenyalang

Posted:

Kuala Lumpur: Selepas tujuh edisi berlangsung di Semenanjung Malaysia, Karnival Futsal Harian Metro buat kali pertama menjengah ke Sarawak bermula esok dan Ahad, sekali gus mencipta sejarah dengan penganjuran sulung di negeri Bumi Kenyalang itu.

Dengan nilai hadiah keseluruhan RM15,200, ia berjaya menarik minat sebanyak 192 pasukan selepas tarikh tutup penyertaan tamat pada 15 Februari lalu.


Seperti di Semenanjung, karnival yang bakal berlangsung di Arena Sukan, Kuching dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita serta Lelaki Bawah 17 Tahun.

Untuk Terbuka Lelaki, juara bakal membawa pulang RM3,000 manakala naib juara (RM2,000) dan ketiga (RM1,000).


Terbuka Wanita pula menawarkan hadiah RM2,000 bagi juara, naib juara (RM1,500) serta ketiga (RM1,000).


Kategori Lelaki Bawah 17 Tahun yang menyaksikan had minimum usia pemain 15 tahun, menawarkan RM1,500 untuk juara, naib juara (RM1,000) dan ketiga (RM700).

Selain wang hadiah yang ditawarkan, setiap peserta juga akan menerima baju-T, beg kasut, air minuman serta makanan ringan.


Lebih menarik, pemain terbaik setiap kategori akan menerima kasut futsal sumbangan Figos.

Karnival Futsal Harian Metro ini dibawa oleh AmBank dengan disokong Jabatan Belia dan Sukan Sarawak serta Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak selain dibantu H-TWO-O dan Figos manakala 56 Hotel menjadi tempat penginapan rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Perketat kawalan keselamatan

Posted:

Kuantan: Polis Pahang akan menempatkan anggota mencukupi bagi memastikan tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini pada perlawanan membabitkan skuad Tok Gajah dan Kelantan di Stadium Darulmakmur, malam esok.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, pihaknya sudah memanggil pengurusan Stadium Darulmakmur bagi mengadakan perbincangan untuk memastikan semua aspek keselamatan ditetapkan dapat dipenuhi.


"Memandangkan perlawanan ini bakal menjadi tumpuan, kami sudah mengambil langkah perlu bagi memaksimumkan aspek keselamatan semua pihak. Ini termasuk pemain kedua-dua pasukan, penonton dan pengguna jalan raya.

"Kami juga akan mengadakan perjumpaan dengan pengurusan kedua-dua pasukan untuk memudahkan penyaluran maklumat dan nasihat mengenai langkah keselamatan yang boleh diambil," katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan pihak berkuasa menjelang perlawanan Pahang dan Kelantan di Stadium Darul Makmur, malam esok.


Sharifuddin turut menasihatkan penyokong kedua-dua pasukan mengawal emosi dan bersikap profesional bagi mengelakkan sebarang insiden.

"Polis akan mengambil tindakan tegas jika ada penyokong cuba mencetuskan provokasi." Sementara itu, Pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh meminta penyokong kedua-dua pasukan mempamerkan semangat kesukanan tinggi dan tidak melakukan sebarang provokasi.


"Penyokong harus faham, mereka datang ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.

"Saya harap penyokong Pahang dan Kelantan tidak melakukan insiden yang boleh mencetuskan kemarahan. Saya percaya mereka tidak akan berbuat demikian," katanya.


Pada perlawanan esok, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menjangkakan lebih 15,000 penyokong memenuhi Stadium Darul Makmur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

'Saya mohon maaf' - Jalaluddin

Posted:

Kuantan: "Saya mohon maaf kerana kesilapan saya menyebabkan Perak menang," kata kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar.

Pada perlawanan itu, Jalaluddin tertanduk bola ke gol sendiri pada minit akhir separuh masa pertama.


Pemain paling senior skuad Tok Gajah itu berkata, dia tidak sangka bola yang cuba ditanduk keluar sebaliknya menerjah ke gawang sendiri hingga menyebabkan skuad itu terlepas mengutip sekurang-kurangnya satu mata.

Katanya, faktor tiada nasib juga menyebabkan Pahang gagal meraih kemenangan biarpun banyak memiliki peluang, di babak kedua.


"Saya mohon maaf kepada pengurusan, rakan dan peminat kerana niat untuk mengeluarkan bola tidak berjaya, sebaliknya menjaringkan gol sendiri," katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Elavarasan desak pemain bangkit tewaskan ATM

Posted:

Kuala Terengganu: Jurulatih Terengganu, E Elavarasan yang berang dengan aksi tidak konsisten diperagakan anak buahnya ketika tunduk 0-2 kepada Kelantan, Selasa lalu, menuntut pemain bangkit menewaskan pendahulu Liga Super, Angkatan Tentera Malaysai (ATM) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, esok.

Jurulatih itu turut mengharapkan penyerang lincah dari Cameroon, Effa Owona segera sembuh untuk kembali menerajui barisan hadapan.


"Pemain perlu mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh.

"Namun sebarang kealpaan bakal mengundang padah kerana ATM mempunyai motivasi tinggi terutama selepas berada di tangga teratas carta liga.


"Bagaimanapun dengan perubahan strategi dan sedikit rombakan pemain, saya yakin Terengganu mam pu menyaingi lawan untuk memburu kemenangan kedua musim ini," katanya.


Sementara itu, pemain pertahanan, Hasmizan Kamarodin sedia memikul tugas sebagai kapten selepas Faizal Muhamad tidak dapat bermain kerana dilayangkan kad merah pada pertemuan menentang Kelantan.

"Jika diberi tanggungjawab menggalas tugas berat itu, saya sedia memikulnya dan berkerja keras memastikan kemenangan Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

'Kami tak nampak'

Posted:

Kuala Lumpur: "Kami tidak dapat melihat sebarang insiden pergaduhan membabitkan pemain Selangor dan ATM dalam salinan rakaman video yang kami terima," kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad (gambar).

Menurutnya, rakaman video diterima daripada sebuah stesen televisyen tempatan itu tidak menunjukkan sebarang insiden pergaduhan membabitkan pemain Selangor dan ATM pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, 25 Januari lalu.


Bagaimanapun Azzuddin berkata, kes itu tetap dibicarakan Jawatankuasa Tatatertib berdasarkan laporan pegawai perlawanan itu.

"Kami tetap mengambil tindakan terhadap kedua-dua pasukan berdasarkan laporan penuh pegawai perlawanan. Yang pasti, tindakan susulan terhadap mereka akan diambil," katanya.


Perlawanan Selangor dengan ATM pada saingan awal kempen Piala FA dicemari insiden pergaduhan apabila penyerang Selangor, Mohd Afiq Azmi didakwa dikasari selepas dia dikatakan terlebih dulu melakukan provokasi terhadap pemain ATM. Difahamkan, Afiq melakukan provokasi itu dengan meraikan kemenangan Selangor di depan bangku simpanan skuad ATM sejurus skuad Gergasi Merah menang menerusi penentuan sepakan penalti 3-2. Akibatnya, dia didakwa dibaling dengan botol dan disepak beberapa pemain ATM.


Sementara itu, mengulas kes penyokong Terengganu bertindak liar pada perlawanan Liga Super menentang Selangor, 15 Januari lalu yang hingga kini belum dibicarakan, Azzuddin berkata, mereka masih menunggu surat jawapan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT).

"Bagi kes PBSNT, FAM sudah mengeluarkan surat pertuduhan pada 18 Februari lalu dan mereka diminta membalas surat itu hingga tarikh akhir 26 Februari. Tiada sebarang unsur pilih kasih, kes PBSNT tetap dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM pada satu tarikh yang akan ditetapkan." Menurutnya, kes Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berjaya diselesaikan lebih awal oleh Jawatankuasa Tatatertib kerana FAM menghantar surat pertuduhan pada 29 Januari lalu.


Kelmarin, FAM mendenda KAFA RM62,500 dengan empat kesalahan yang dilakukan penyokong The Red Warriors ketika aksi Liga Super menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 15 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Irfan tuntut anak buah bangkit

Posted:

Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor Irfan Bakti Abu Salim menuntut anak buahnya mencipta kebangkitan apabila bertemu PKNS FC pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini bagi meletakkan semula skuad Red Giants di landasan kemenangan.

Selepas kedudukan tangga teratas liga dirampas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akibat kekalahan 0-2 kepada skuad juara Liga Perdana 2012 itu, Selasa lalu, Irfan tidak rela pasukannya terus keciciran mata apatah lagi beraksi di gelanggang sendiri.


"Bagi saya, kekalahan kepada ATM tidak menjejaskan rentak Selangor dan saya harap mereka tidak mengambil mudah perlawanan dengan PKNS.

"Saya mahu pemain menyerang sebaik wisel perlawanan ditiup dan pada masa sama, pemain pertahanan tidak boleh alpa," katanya yang menyaksikan pasukannya kini berkongsi 13 mata dengan LionsXII tapi menghuni tangga ketiga kerana jurang gol. ATM mendahului liga dengan 14 mata.


Di sebalik khabar buruk dua tonggak import, Francis Forkey Doe dan Ramez Dayoub tidak dapat diturunkan kerana menjalani hukuman penggantungan perlawanan, Irfan mengharapkan kehadiran semula penyerang berpengalaman, Mohd Amri Yahyah mampu menyuntik semangat pemainnya.


"Saya pasti pengalaman Amri selama 12 tahun bersama Selangor sangat penting dalam usaha memberikan semangat kepada rakan sepasukan untuk mencipta kemenangan ke atas PKNS." Amri yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha awal bulan ini baru selesai menjalani penggantungan dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Tiada calon luar KOM cabar jawatan utama

Posted:

Kuala Lumpur: Kepimpinan baru Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) terus melakukan pembaharuan dalam usaha memulihkan imej badan induk itu dengan terbaru bertegas tiada lagi calon luar dibenarkan untuk bertanding jawatan utama selepas ini.

Presiden KOM, Datuk Zainal Abidin Ahmad (gambar) berkata, cadangan itu dipersetujui sebulat suara semua ahli majlis dan perkara itu akan dibincangkan semula sebelum dibentangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).


"Contohnya, sebelum ini jawatan utama iaitu presiden boleh diisi mana-mana calon luar yang tidak terbabit dengan KOM tapi sekarang kami mahu hanya mereka daripada gabungan layak bertanding.

"Ia bagi memastikan calon terbabit lebih mengetahui tentang olahraga dan berpengalaman. Bermakna, cadangan ini memberi ruang kepada ahli setiap negeri untuk menjawat jawatan penting," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis KOM semalam.


Zainal berkata, mesyuarat semalam turut membincangkan mengenai elaun menyertai kejohanan luar negara yang akan diwujudkan semula selepas dimansuhkan lebih 10 tahun.


Jelas beliau, pemberian elaun sememangnya amat diperlukan atlet untuk menampung perbelanjaan di luar negara.

Zainal berkata, untut atlet yang menyertai kejohanan di peringkat Asia, mereka bakal menerima elaun RM30 sehari manakala di peringkat Eropah RM50 sehari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Mahu bawa isu ke FIFA

Posted:

Arau: "Saya akan cuba mendapatkan keadilan, jika tidak di peringkat dalam negara, saya akan membawa isu ini ke peringkat antarabangsa termasuk FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa)," kata Datuk Seri Shahidan Kassim.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu berkata, tindakan itu terpaksa diambil demi memastikan keadilan dapat ditegakkan selepas kezaliman dilakukan terhadap dirinya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mengkritik badan induk bola sepak negara.


"Saya akan membawa dan membuat laporan mengenai isu utama yang dialami FAM pada masa ini termasuk masalah Artikel 88 Peraturan 2010-2014 FAM." Menurut Shahidan, beliau sudah tiada pilihan dan akan berbincang dengan rakan-rakan bagi membawa perkara ini kepada FIFA agar FAM tidak sewenang-wenangnya menghukum orang yang menyokong dan mereka yang meminta bantuan.

Menurutnya, sepatutnya Artikel 88 mengambil tindakan terhadap mereka berniat buruk kepada FAM dan bukan kepada mereka yang bermaksud baik.


Shahidan berkata, FAM perlu ingat bukan beliau seorang saja menegur badan induk itu, malah ramai lagi mengeluarkan teguran bersifat baik, namun tindakan diambil ke atas dirinya.


"Saya bukan orang baru dalam kancah bola sepak Malaysia, (pasukan) saya pernah menang Piala Malaysia dan saya pernah menang empat piala dalam bidang sukan lain selain membawa pulang pingat daripada Olimpik melalui sukan terjun."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

'FAM makin tak terkawal'

Posted:

Kuala Lumpur: "Kalau sudah tiada kawalan, bermakna mereka boleh buat apa saja yang mereka suka."

Demikian pandangan pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengenai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dilihat semakin 'kejam' apabila tidak henti-henti menjatuhkan hukuman dengan yang terbaru, ke atas Datuk Seri Shahidan Kassim.


Shahidan seperti juga beberapa tokoh sukan sebelum ini, antaranya termasuklah Tan Sri Annuar Musa, menjadi mangsa terbaru Artikel 88 Peraturan 2010-2014 FAM apabila digantung dua tahun enam bulan dan denda RM39,000 kerana kesalahannya membuat kenyataan mengkritik badan induk itu.

Bagi Kay Kim, FAM seharusnya lebih terbuka untuk menerima teguran dan kritikan kerana sedikit-sebanyak ia membantu menambah baik persatuan itu dan bukan sebaliknya apabila terus menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang membuat teguran.


"Kita duduk dalam negara yang menggunakan sistem demokrasi. Bermakna kritikan itu dibenarkan dan (kritikan) perlu untuk menambah baik satu-satu institusi," katanya.


Bagaimanapun jelas beliau, pada akhirnya keputusan tetap terletak di tangan FAM serta barisan jawatankuasa untuk menentukan hukuman ke atas mereka yang terbabit dan pihak luar tidak mempunyai kuasa melakukan perubahan.

"Itu terpulang pada mereka, jawatankuasa sudah putuskan." Namun pada akhir perbualan, Kay Kim melemparkan nasihat yang sepatutnya diambil kira FAM dalam usaha memastikan arena bola sepak negara terus maju.


"Kita sepatutnya perlu lihat pencapaian skuad negara. Kalau pasukan negara tidak menunjukkan peningkatan, mereka (FAM) sepatutnya perlu bertanggungjawab." Naib Presiden, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menjadi pegawai pertama badan induk kebangsaan itu yang dihukum pada 1991 disusuli Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pada 1991 dan 2007.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

No comments:

Post a Comment