Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Gelanggang kota janji

Posted:

Doha: Masanya sudah tiba untuk ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal melaksanakan misi utamanya selepas memenangi Piala AFF 2010 iaitu layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

Halangan pertama bakal ditempuhinya malam ini adalah Qatar, salah sebuah pasukan pilihan kempen kelayakan Kumpulan D, selain Bahrain dan Yaman.


Biarpun dihimpit masalah kecederaan pemain, Rajagobal tidak seharusnya menjadikan kekurangan itu sebagai alasan kerana beliau seharusnya memiliki pemain pengganti selepas melakukan banyak eksperimen sejak dua tahun lalu.

Beliau juga harus menggunakan kepercayaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melaksana misi ini sebaik mungkin selepas gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF tahun lalu.


Sememangnya Qatar yang mara ke suku akhir Piala Asia 2011 berada di tahap berbeza, namun jurang perbezaan tidaklah begitu ketara dan tidak mustahil untuk Harimau Malaya melakukan kejutan.


"Qatar pasukan yang kuat, saya mahu pemain memberikan aksi terbaik kerana tiada siapa tahu apa akan berlaku. Dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku," kata Rajagobal pada sidang media semalam.

Rajagobal yang terpaksa mengetepikan 10 pemain akibat kecederaan termasuk tujuh tonggak utama masih boleh mengharapkan pemain yang sebelum ini jarang mendapat peluang untuk turun beraksi di Stadium Jassim Bin Hamad, malam ini.


Bagaimanapun, tidak banyak rombakan dijangka berlaku ke atas pasukan yang tewas 0-3 kepada Iraq pada aksi persahabatan, Jumaat lalu dengan Mohd Khyril Muhymeen Zambri bakal bergandingan bersama Mohd Amri Yahyah selain Shakir Shaari mengemudi bahagian tengah.

"Saya tidak mempunyai banyak masa untuk mempersiapkan pasukan, saya cuba mengimbangi pasukan ini dan merencana strategi terbaik dengan pemain sedia ada," kata Rajagobal.


Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit pada 1976 dan 1980 sebelum beraksi atas tiket tuan rumah pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Murray desak ujian darah

Posted:

London: Juara Olimpik, Andy Murray meminta lebih banyak ujian darah dilakukan dalam sukan tenis bagi mengelak skandal dadah yang menjadi wabak merosakkan imej sukan berbasikal berulang.

Pemain nombor tiga dunia, Murray, naib juara Terbuka Australia bulan lalu selepas tewas kepada Novak Djokovic, percaya pihak berkuasa sukan perlu melabur lebih banyak bagi program antidoping walaupun terpaksa menggunakan dana daripada hadiah kemenangan pemain.


"Sudah banyak kali saya ditanya sama ada tenis bersih atau tidak tapi saya tidak tahu bagaimana menilai sukan itu bersih," kata Murray.

"Jika seorang daripada 100 pemain mengambil dadah, pada pandangan saya ia bukan satu sukan yang bersih. Kami perlu melakukan apa yang termampu bagi memastikan semua pemain bersih.


"Ia akan dihasilkan dengan lebih banyak ujian darah. Saya tahu latihan yang dilakukan, tahu apa yang berlaku dalam dan luar badan. Saya tahu saya bersih dan berharap perkara sama bagi semua pemain tenis." Dadah dalam sukan semakin mendapati perhatian berikutan skandal Lance Armstrong.


Atlet berbasikal Amerika Syarikat itu dilucut tujuh gelaran Tour de France tahun lalu hasil siasatan Agensi Antidoping AS. Bulan lalu, Armstrong mengaku mengambil bahan terlarang ketika memenangi tujuh gelaran jelajah itu.

Murray melontar pandangan itu selepas juara Grand Slam 17 kali, Roger Federer berkata, bilangan ujian darah yang dijalankan ketika pertandingan semakin merosot tahun lalu.


Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) menjalankan program doping sukan tenis namun bajet 2013 berjumlah AS$2 juta (RM6.18 juta) yang dibayar untuk empat Grand Slam oleh ITF, jelajah lelaki dan wanita ditarik balik bagi memberi hadiah wang tunai kepada pemain utama.

"Banyak ujian darah perlu dilakukan," kata Murray. "Tahun lalu, saya diuji banyak kali terutama ketika Terbuka Perancis dan Wimbledon dan Terbuka AS namun saya berasa ia disebabkan Olimpik." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Nadal kembali beraksi

Posted:

Paris: Rafael Nadal kembali beraksi selepas berehat selama tujuh bulan dengan memberikan tumpuan kepada kejohanan kecil di Chile, minggu ini.

Juara 11 Grand Slam itu berehat sejak kecundang pada pusingan kedua Wimbledon di tangan pemain Republik Czech, Lukas Rosol, Jun lalu.


Sejak itu, Roger Federer, Andy Murray dan Novak Djokovic memenangi gelaran Grand Slam dan sebagai sebahagian daripada empat pemain terbaik dunia, persoalan kini sama ada pemain Sepanyol itu mampu kembali bersaing pada peringkat tertinggi.

Nadal, 27 tahun Jun ini, enggan meramalkan masa depannya.


Lututnya masih berasa sakit dan tak dijangka kembali mempamerkan sentuhan kemenangan pada kejohanan pertama di Vina del Mar di Chile, permulaan bagi musim gelanggang tanah liat dengan kemuncaknya Terbuka Perancis di Paris pada Mei-Jun ini.


"Lutut saya masih sakit dan kadang-kadang terpaksa berhenti beraksi tapi saya tetap perlu beraksi dan berada di sini untuk memberikan aksi terbaik dan berharap kecederaan ini tidak berlarutan," katanya.

"Permukaan gelanggang tanah liat bagaimanapun tidak begitu memberi tekanan terhadap lutut dan saya harap memberikan cabaran terbaik.


"Ada kemungkinan saya akan kalah pusingan pertama selepas begitu lama tidak bertanding," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Kick FC bernafsu

Posted:

Melaka: Kejayaan muncul naib juara Kejohanan Futsal Bawah 17 Tahun UMNO Perantau, Port Klang membuka nafsu besar Kick FC dari Meru, Klang untuk bersaing di Karnival Futsal Harian Metro.

Pengurus pasukan Kick FC, Taufik Osman berkata, walaupun tewas 2-3 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Junior Kids di final baru-baru ini, ia bukan penghalang untuk skuad terbabit mencipta kejayaan di Karnival Futsal Harian Metro.


Katanya, dia tetap bangga sekalipun sekadar muncul naib juara selepas aksi terpaksa disempurnakan menerusi sepakan penalti akibat hujan lebat yang menghalang permainan dilangsungkan di gelanggang terbuka.

Kejayaan itu membolehkan Kick FC meraih RM250 manakala Junior Kids RM500. Kira-kira 30 pasukan menyertai kejohanan itu.


Beliau berkata, pencapaian pasukan yang muncul juara kejohanan futsal B-15 di Jeram, Kuala Selangor sebelum itu juga memberi impak besar terhadap persediaan mengharungi Kejohanan Futsal Milo Hidup Bola.


Kejayaan skuad itu menewaskan Halilintar pada final membolehkan mereka meraih RM800. Halilintar selaku naib juara menerima RM500 serta hadiah iringan.

Katanya, setakat ini Kick FC memiliki tiga pasukan dalam kedua-dua kategori yang bakal dibentuk lebih mantap menjelang dua kejohanan besar terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Remaja FC jagoan Streetsoccer

Posted:

Melaka: Pasukan Remaja FC muncul juara Kejohanan Streetsoccer Jom Layan Orang Muda selepas menewaskan Arena FM, 2-1 di Dataran Pahlawan Bandar Hilir, baru-baru ini.

Kejayaan Remaja FC itu membolehkan mereka meraih RM800 manakala Arena FM, naib juara, RM500. Kejohanan itu disertai 20 pasukan, termasuk lima daripada Akademi Laut Malaysia (Alam).


Beduma FC dari Duyong dan BBFC dari Bukit Beruang meraih tempat ketiga dan keempat dan membawa pulang wang tunai RM300 dan RM250.

Kejohanan anjuran bersama Majlis Belia Malaysia (MBM), Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) dan kerajaan negeri itu memberi peluang kepada remaja mengasah bakat dalam sukan itu.


Pelbagai program lain turut diadakan termasuk pertandingan bola jaring, paintball, wall climbing dan pameran kesihatan.


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut merasmikan program manakala Presiden MGBM, Zali Mat Yasin menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Mat Zali berkata, pertandingan terbabit juga menjadi pentas persediaan pemain untuk mengharungi liga futsal lebih besar terutama Karnival Futsal Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Hajat tak sampai!

Posted:

Brisbane: Harapan untuk menyaksikan Harimau Muda A menamatkan jelajah di Australia dengan mencabar pasukan berstatus elit tidak kesampaian apabila aksi menentang Brisbane Roar yang dijadual semalam, dibatalkan.

Sebaliknya, skuad kendalian Ong Kim Swee terpaksa menentang Akademi Bola sepak Queensland yang rata-rata dibarisi pemain bawah 18 tahun.


Justeru, tuan rumah jelas bukan tandingan apabila dibolosi barisan pemain muda negara yang mudah menang 7-0.

Skuad bimbingan Kim Swee selesa mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi dua jaringan Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-22 dan 43 sebelum Ferris Danial Mat Nasir menyumbat gol ketiga (m-40).


Mereka kemudian menyumbat empat lagi gol selepas rehat menerusi S Sivanesan (m-52), A Thamil Arasu (penalti, m-75) dan dua gol Izzaq Faris Ramlan (m-64 dan 88). Kim Swee yang ditemui selepas perlawanan berkata, beliau tidak puas hati apabila rancangan bertemu juara Liga Australia (A-League) itu tidak menjadi kenyataan.


"Saya terkejut kerana dimaklumkan pada saat akhir mengenai perkara ini dan tiada apa yang boleh kami lakukan," katanya selepas perlawanan di Pusat Sukan Carrara, Gold Coast, semalam.

Kim Swee bagaimanapun berkata, individu yang mengatur perlawanan, Gary Phillips yang juga Pengarah Teknikal Kelab Bola sepak Queensland bersedia memohon maaf kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


"Perlu difahami, dengan kedudukan ranking kita, agak sukar mendapat perlawanan berkualiti menentang kelab tertentu.

"Secara tidak langsung kita perlu meningkatkannya agar dihormati dan berada dalam kelompok elit." Sementara itu, Phillips memohon maaf mengenai pembatalan itu.


"Beberapa pemain utama Brisbane Roar yang beraksi dalam Liga-A mengalami kecederaan. Mereka terpaksa memanggil balik pemain yang dilepaskan untuk perlawanan ini selain pada masa sama perlu mempersiapkan pasukan untuk mempertahankan kejuaraan tempatan serta aksi Liga Juara-Juara Asia menentang kelab Thailand minggu depan," kata bekas jurulatih Sabah itu.


Menurutnya, Brisbane Roar mahu semua pemainnya bebas kecederaan.


"Saya menerima faks mengenai perkara ini minggu lalu namun hingga petang tadi (semalam) kami masih yakin mampu menyediakan lawan berkualiti dengan menggabungkan beberapa pemain simpanan mereka, namun rancangan itu tidak diteruskan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Rozaimi pamer penyudah tajam

Posted:

Brisbane: Sedar kelibatnya diperhatikan, penyerang Harimau Muda A, Rozaimi Abdul Rahman terus mencuri tumpuan apabila mempamerkan sentuhan tajamnya.

Kali ini pemain kelahiran Sabah itu meledak dua gol ketika membantu skuad Harimau Muda A menewaskan Akademi Bola Sepak Queensland, 7-0 semalam.


Rozaimi dan kapten pasukan, Irfan Fazail menjadi tumpuan apabila aksi mereka diperhatikan pencari bakat, Brad Maloney.

Penyerang berusia 22 tahun itu kini mengumpul empat gol sepanjang empat aksi persahabatan di Gold Coast, Australia yang berakhir semalam.


"Saya masih meningkatkan prestasi kerana mahu lebih konsisten. Sepanjang jelajah ini masih banyak peluang yang gagal saya sempurnakan," katanya.


Menurut Rozaimi, dia mahu terus belajar dengan mendapat pendedahan secukupnya bagi menjadi penyerang lebih baik.

Sebelum ini pemain terbabit meledak satu gol ketika menentang Palm Beach Sharks dan sekali lagi ketika menewaskan Brisbane Lions.


Rozaimi dilihat antara pemain cemerlang dalam perlawanan pendedahan selama dua minggu ini.

Ia pastinya mencetuskan saingan sengit untuk mengetuai jentera serangan skuad muda negara itu apabila penyerang lain iaitu Izzaq Faris Ramlan, A Thamil Arasu dan Ferris Danial Mat Nasir turut menggegar gawang lawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Fahad tak ambil mudah

Posted:

Doha: Ketua jurulatih Qatar, Fahad Thani tidak mengendahkan krisis kecederaan pemain skuad Harimau Malaya sebaliknya beliau berwaspada pada perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Jassim Bin Hamad, malam ini.

Walaupun pasukannya memiliki kelebihan untuk mengutip tiga mata penuh pada aksi Kumpulan D itu, Fahad tetap melabel Malaysia antara pencabar kempen kelayakan ini.


"Kami tidak tahu pemain (Malaysia) yang cedera, jika tahu, anda boleh beritahu kami. Kami tidak terlalu fokus kepada apa yang berlaku dalam kem Malaysia, kami lebih fokus kepada pasukan kami.

"Malaysia, Indonesia atau negara Asia Tenggara yang lain boleh dianggap sebagai pasukan masa depan Asia. Mereka mempamerkan banyak peningkatan, kami ada melihat Malaysia bermain dalam Piala AFF dan perlawanan persahabatan menentang Iraq.


"Sudah pasti mereka datang ke sini untuk menang, untuk mendapatkan tiga mata, mereka juga ada peluang untuk layak. Dalam bola sepak apa saja boleh berlaku," katanya pada sidang media semalam.


Fahad, 39, bekas pemain kebangsaan yang mengambil alih tugas pengendali dari Brazil, Paulo Autouri bulan lalu memulakan tugas dengan cemerlang apabila membimbing skuad Al-Annabi (The Maroon) itu menewaskan Lubnan, 1-0 pada aksi persahabatan baru-baru ini.

Menurutnya, dia hanya akan membuat sedikit perubahan ke atas skuadnya sambil mengharapkan penyerang naturalisasi dari Uruguay, Sebastian Soria kembali cergas bagi aksi menentang Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Permainan pantas pilihan Harimau

Posted:

Doha: Corak permainan pantas menjadi taruhan skuad Harimau Malaya untuk mencipta kejutan ke atas Qatar bagi aksi pembukaan Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 di Doha malam ini.

Atas kertas, tampak mustahil buat skuad kendalian Datuk K Rajagobal untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata pada aksi di Stadium Jassim Bin Hamad yang mempunyai kapasiti 22,000 penonton itu tapi bagi penyerang, Mohd Khyril Muhymeen Zambri, agak terlalu awal untuk membuat kesimpulan.


Khyril, 25, yang kini menjadi tonggak utama selepas ketiadaan Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha yakin corak permainan pantas boleh menghukum tuan rumah.

"Kami perlu melakukan serangan balas pantas apabila berdepan Qatar. Setiap peluang yang dicipta perlu digunakan sebaik-baiknya. "Kami tidak tertekan sebaliknya mereka pasukan pilihan dan bermain di tempat sendiri yang akan merasai tekanan," katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan di padang Kompleks Sukan Aspire, Doha semalam.


Penyerang Kedah itu yang bergandingan dengan Mohd Amri Yahyah ketika Malaysia tumpas 0-3 di tangan Iraq pada aksi pemanas badan di Dubai, Jumaat lalu juga mengingatkan rakan sepasukan dapat menutup setiap pergerakan pemain skuad Al-Annabi (The Maroon).


"Kelebihan kami laju, kalau nak lawan fizikal pemain Qatar memang sukar. Kami cuba main bola rendah dan buat satu-dua sentuhan. "Jangan bagi ruang kepada mereka, mana-mana pemain hebat sekalipun, kalau tak bagi ruang pasti tidak boleh bermain dengan baik," katanya yang menjadi penyerang tunggal skuad Piala AFF 2012 dibawa ke Doha.

Selain Khyril, Rajagobal turut memiliki penyerang veteran, Amri, Abdul Hadi Yahya dan penjaring terbanyak Liga Super, Fauzi Rozlan untuk diturunkan pada perlawanan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

'Biaq pi kat dia'

Posted:

Arau: "Dia (Setiausaha FAM, Datuk Azzuddin Ahmad) siapa? Berapa ramai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dalam FAM? Saya tak kisah, jika dia masih nak teruskan siasatan, biaq pi kat dia (biarkan dia)."

Demikian reaksi Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung kenyataan Azzuddin yang Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu tetap tidak akan terlepas daripada hukuman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meskipun meletakkan jawatan dalam dua jawatankuasa kecil badan induk itu.


Pada masa sama, Shahidan turut mempersoalkan 'kewujudan' beberapa badan disiplin dalam FAM apabila ramai individu mahu mengambil tindakan ke atasnya.

"Jika mereka mahu teruskan siasatan, sila teruskan dan jika tindakan itu boleh menaikkan imej FAM serta kualiti bola sepak Malaysia, saya reda kerana saya sentiasa berfikiran positif.


"Saya tiada kuasa menghalang mereka melakukan siasatan. Jika itu yang mereka mahu, saya tidak kisah disiasat dan biar rakyat serta peminat bola sepak menilai sendiri tindakan yang mereka (FAM) ambil," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Shahidan berkata, beliau tidak mahu bersengketa dengan FAM kerana menganggap badan induk itu organisasi yang kuat.

"Saya bukan penjenayah hingga ada individu bertindak menghantar surat kepada saya dan mahukan hukuman dikenakan. Pendirian saya tetap sama, saya sokong Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan tidak pernah putus menyokong kepimpinannya." Menurutnya, perkara paling penting yang perlu diutamakan dalam FAM adalah isu menjual perlawanan oleh individu tidak bertanggungjawab dan bukan soal Artikel 88 mengenai tindakan dikenakan ke atas dirinya.


"Saya berdepan masalah pembayaran gaji pemain dan perkara itu saya panjangkan kepada FAM, namun tiada bantuan diberikan, sebaliknya mereka mahu mengambil tindakan ke atas saya kerana lantang memohon bantuan.

"Mereka (FAM) tidak peduli masalah pengurusan PFA tapi hanya tahu mengambil tindakan sedangkan saya hanya memohon bantuan," katanya sambil menekankan rakyat kini pandai menilai apa yang dilakukan FAM.


Katanya, sewaktu perlawanan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertemu Kelantan tempoh hari, orang ramai dapat menyaksikan sendiri bagaimana penonton mencemuh apabila nama individu tertentu diumum melalui pembesar suara.


"Itu salah satu bukti rakyat kini menilai tingkah laku kita dan saya hanya mewakili peminat yang mahukan bola sepak negara kembali mengalami zaman kegemilangan dan bukan sebaliknya.


"Saya mempertahankan FAM namun saya dikenakan tindakan disiplin. Walaupun sudah meletak dua jawatan dalam FAM, mereka masih mahu mengambil tindakan ke atas saya." Justeru, beliau minta FAM supaya mengambil kira sumbangannya terhadap badan induk itu, antaranya dalam bentuk kewangan sejak empat hingga lima tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

No comments:

Post a Comment