Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Dipaksa kahwin perogol

Posted:

Kabul: Seorang wanita Afghanistan yang dipenjarakan kerana berzina selepas dirogol suami sepupunya kini dipaksa berkahwin dengan lelaki terbabit untuk memulihkan maruah keluarga dan mengelak dipinggir masyarakat.

Gulnaz, 22, berkahwin dengan perogolnya minggu lalu di Kabul selepas dipenjara 13 bulan.

Kisah menyayat hati itu menunjukkan nasib dihadapi beribu-ribu wanita Afghanistan tanpa bantuan undang-undang.

Gulnaz didapati bersalah kerana "berzina secara paksaan" ekoran serangan kejam pada 2008 yang menyebabkan dia hamil.

Foto

GULNAZ bersama anak perempuannya, Badam Bagh.


Dia dihukum penjara dua tahun, tetapi ditambah kepada 12 tahun selepas dia merayu.


Gulnaz melahirkan anak perempuan, Badam Bagh di penjara wanita di Kabul sebelum Presiden Hamid Karzai membebaskannya tanpa syarat pada Disember 2011.

Walaupun bebas dari penjara, Gulnaz hidup terpinggir dan miskin kerana semua golongan ibu tanpa suami di Afghanistan dihindari masyarakat dan keluarga sendiri.

Dia disarankan menerima syarat perjanjian dan menemui keluarga perogol itu untuk berunding.

Ketika tinggal di penjara, dia dilaporkan menggunakan jarum untuk mentatu nama perogol itu di tangannya sebagai tanda cinta.

Perkahwinan mereka disahkan mahkamah keluarga di Kabul Sabtu lalu, tetapi kebanyakan terbabit dalam kes itu bimbang Gulnaz menjalani kehidupan sebagai hamba kerana menjadi isteri kedua lelaki itu.

Malah, terdapat kebimbangan bahawa dia mungkin dibunuh untuk memulihkan maruah keluarga perogol itu.

Heather Barr dari Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Afghanistan berkata: "Saya rasa dia tidak memikirkan mengenai dirinya, tetapi lebih kepada anak perempuannya dan diskriminasi yang perlu dihadapinya.

"Tetapi sukar membayangkan kehidupan menanti mereka adalah indah"

"Gulnaz telah sah menjadi isteri kedua kepada lelaki yang merogolnya.

"Sedihnya terdapat berpuluh-puluh lagi kes seumpamanya dan kerajaan gagal mengambil tindakan serius untuk menanganinya." - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Tsunami 0.9 meter ragut 5 nyawa

Posted:

Kepulauan Solomon: Satu gempa bumi kuat berukuran 8.0 magnitud yang menyebabkan tsunami, meragut sekurang-kurangnya lima nyawa di kawasan terpencil Kepulauan Solomon semalam.

Gempa itu berpusat 340 kilometer ke timur Kira Kira dekat Solomon, kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii.


Amaran tsunami dikeluarkan kepada penduduk kepulauan itu dan negara Pasifik Selatan lain, termasuk Australia dan New Zealand. Ia kemudian dibatalkan bagi sesetengah kawasan yang terletak jauh ke pedalaman. Tsunami berketinggian 0.9 meter melanda dekat bandar Lata di Pulau terpencil Santa Cruz, membanjiri beberapa kampung dan lapangan terbang utama bandar itu serta memaksa penduduk berlari menyelamatkan diri ke kawasan tinggi. Lebih 30 gempa susulan yang berukuran hingga 6.6 magnitud juga dicatatkan berlaku dalam tempoh beberapa jam selepas gempa pertama, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat. Pengarah Hospital Lata, Augustine Pilve memberitahu televisyen New Zealand, terdapat lima orang yang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.

Dia juga berkata, ada kemungkinan angka korban meningkat berikutan tsunami itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Beg disambar burung kea

Posted:

Auckland: Seorang pelancong Scotland rugi AS$1,000 (RM3,000) apabila wangnya dicuri seekor burung kea.

Wang itu disambar burung ketika dia sedang mengambil gambar. Peter Leach berkata, dia berhenti seketika mengambil gambar pemandangan di Puncak Arthur. "Sepasang pelancong Kanada menegur dengan berkata: 'Kami melihat burung itu mengambil sesuatu dari kereta kamu,'" kata Leach.


Apabila memeriksa, dia menyedari wangnya hilang, disambar burung berkenaan.

"Burung itu membawa lari beg berisi AS$1,099 (RM3,405) yang diletakkan di atas papan pemuka kereta," katanya.


Leach melaporkan kejadian itu kepada polis.


"Polis yang menangani kes itu serius pada peringkat awal, tetapi berkata, 'Bolehkah saya berhenti sekejap untuk ketawa,'" kata Leach. – Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Pendapatan anak SBY pula dipertikai

Posted:

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono perlu bertindak lebih daripada sekadar membuat dakwaan salah laku dalam isu cukai keluarganya.

Bekas Menteri Kewangan, Fuad Bawazier, berkata Susilo perlu menangani isu itu dengan telus demi kepentingan orang awam.


"Pembayar cukai mesti membuat penjelasan sama ada berlaku kesilapan pengisian dokumen atau sebarang masalah lain.

"Kita semua tidak tahu apa yang berlaku dan mereka mesti menjelaskannya," katanya kepada media, semalam. Isu percanggahan data bayaran cukai ahli keluarga Susilo dilaporkan akhbar The Jakarta Post awal minggu ini.


Menjawab isu itu dalam sidang media di Jeddah, Arab Saudi, Isnin lalu, Susilo berkata, maklumat disiarkan akhbar itu berbeza daripada data diterima pihak berkuasa percukaian Indonesia.


"Bagaimanapun, itu bukan apa yang ingin saya jelaskan.

"Saya mahu memberitahu rakyat Indonesia bahawa saya dan anak lelaki saya memenuhi tanggungjawab membayar cukai secara jujur," katanya. Dokumen diperoleh The Jakarta Post menunjukkan beberapa percanggahan antara kekayaan keluarga Susilo dengan pendapatan tahunan mereka.


Maklumat itu dikesan hasil dokumen diserahkan Susilo dan dua anak lelakinya, Agus Harimurti dan Edhie Baskoro.

Sebagai pegawai pasukan Komando Simpanan Strategik Angkatan Darat di Jakarta, Agus mengisytiharkan pendapatan tahunannya pada 2011 sebanyak RM22,619.


Bagaimanapun, Agus didapati membuka empat akaun bank berbeza dan menyimpan lebih RM512,300 pada tahun sama. Tiada sebarang dokumen menjelaskan bagaimana Agus memperoleh pendapatan tambahan itu. Penyata pendapatan Edhie pada 201 juga menimbulkan tanda tanya apabila dia memperoleh pendapatan RM58,595 sebagai wakil rakyat Parti Demokrat.


Pada masa sama, dia juga memiliki pelaburan bernilai RM288,000 di syarikat PT Yastra Capital, selain simpanan tunai bernilai lebih RM1 juta. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Raffi berang dituduh meracau

Posted:

Jakarta: Selebriti yang kini menjadi suspek kes dadah, Raffi Ahmad, berang apabila peguam kontroversi, Farhat Abbas, mendakwa dia sering meracau menyebut nama bekas kekasihnya, Yuni Shara.

Peguam bela Raffi, Rahmat Harahap, berkata sepanjang berada dalam tahanan pihak berkuasa antidadah di Jakarta, penyanyi dan hos berusia 25 tahun itu tidak pernah mengigau.


"Bagi Raffi, kenyataan seperti itu adalah fitnah dan mengganggu," katanya.

Sebelum ini, Farhat mendakwa, Raffi sering mengigau dan menyebut nama Yuni Shara sepanjang berada dalam tahanan pihak berkuasa.


Farhat juga mendakwa, Yuni Shara bertanggungjawab menyebabkan Raffi mengambil dadah dan mencadangkan supaya kakak Krisdayanti itu melakukan "sumpah pocong" - sejenis amalan tradisi penduduk setempat yang bersumpah dengan memakai kain kafan - untuk membersihkan namanya.


Rahmat berkata, dia amat mengenali Raffi dan sepanjang disoal siasat, tertuduh tidak pernah mengigau.

"Penyiasat juga tidak pernah memberitahu Raffi mengigau atau meracau," katanya. - Detik

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Thailand bantu CIA dera suspek dalam tahanan

Posted:

Washington: Thailand semalam disenaraikan dalam kalangan 54 kerajaan di seluruh dunia yang membantu CIA mendera suspek.

Dalam satu laporan, Thailand dikatakan adalah satu daripada enam sekutu Amerika Syarikat yang membenarkan CIA memasuki pusat tahanan tempat banduan 'dihentak ke dinding, didera secara fizikal, dibogelkan dan dipukul.' Bangkok tidak mengulas dakwaan terbaru itu meskipun sebelum ini menafikan membantu Amerika Syarikat melakukan penderaan itu selepas serangan 11 September.


Laporan oleh Yayasan Masyarakat Terbuka, sebuah pertubuhan milik George Soros itu menyenaraikan secara menyeluruh negara yang membantu Washington dalam penderaan kejam yang dibenarkan pentadbiran George W Bush.

Yayasan berkenaan menemui bukti bahawa 54 negara menyokong sistem berkenaan dengan mewujudkan penjara CIA, menyoal siasat suspek, membenarkan ruang angkasanya untuk penerbangan rahsia dan membekalkan maklumat perisikan.


Kebanyakan negara itu pernah terbabit dalam memerangi pejuang Islam di negara asal mereka, termasuk Afghanistan dan Mesir. Laporan itu, turut menyenaraikan sekutu rapat Amerika, seperti Australia, Britain, Kanada, Denmark, Finland, Jerman, Ireland, Itali, Poland, Sepanyol, Sweden dan Turki.


Laporan itu juga menyenaraikan Iran dengan berkata, meskipun hubungan buruk dengan Amerika Syarikat, Teheran secara tidak langsung menyerahkan sekurang-kurangnya 10 suspek, kebanyakannya Arab kepada Amerika menerusi kerajaan Afghanistan.

Setakat ini, hanya Kanada meminta maaf kerana peranannya menyeksa tahanan sementara Australia, Britain dan Sweden menawarkan ganti rugi kepada individu yang didera di negara masing-masing. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Dua cedera diserang biawak komodo

Posted:

Jakarta: Dua pekerja pusat perlindungan cedera parah selepas diserang biawak komodo, kata pihak berkuasa semalam.

Seorang daripada mangsa adalah renjer taman perlindungan berusia 50 tahun yang sedang berada di mejanya ketika dia diserang.


Pegawai Taman negara Komodo, Heru Rudiharto, berkata seekor biawak komodo sepanjang dua meter masuk ke bilik mangsa.

"Dia terkejut dan cuba menyelamatkan diri dengan melompat naik ke kerusi, tetapi biawak itu menerkam dan membaham satu daripada kakinya," katanya.


Menurut Heru, mangsa pernah diserang biawak komodo pada 2009 dan sejak itu mengalami trauma. Seorang lagi mangsa adalah pekerja berusia 35 tahun yang cuba membantu.


Kata Heru, mangsa kedua turut diserang di kakinya. "Kedua-dua mangsa dalam keadaan stabil selepas luka mereka dijahit, tetapi pemantauan diteruskan untuk mengelak sebarang jangkitan," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Chokri maut ditembak

Posted:

Tunis: Seorang pemimpin pembangkang yang lantang mengkritik kerajaan serta keganasan dilakukan kumpulan Islam radikal maut ditembak, semalam, menjadikan beliau mangsa pertama pembunuhan politik di negara itu selepas era revolusi rakyat.

Dalam insiden yang bakal meningkatkan ketegangan di negara utara Afrika itu, Chokri Belaid ditembak ketika meninggalkan rumahnya di Tunis.


Chokri adalah anggota utama gabungan kumpulan beraliran kiri yang dikenali sebagai Barisan Popular.

Agensi berita TAP melaporkan, dia dikejarkan ke sebuah pusat perubatan berhampiran tetapi gagal diselamatkan. Berkhidmat sebagai peguam, Chokri, 48, dikenali sebagai pengkritik utama parti Islam beraliran sederhana, Ennahda, yang menguasai kerajaan Tunisia. Lebih 1,000 orang berkumpul di Tunis untuk mengecam insiden itu di depan Kementerian Dalam Negeri dan menyalahkan kerajaan atas kejadian itu.


Ia adalah lokasi sama mencetuskan protes besar-besaran antikerajaan yang akhirnya menjatuhkan diktator Tunisia, dua tahun lalu.


Sementara itu, Ennahda berkata, pembunuhan itu adalah "jenayah kejam" yang dilakukan untuk menggugat keselamatan dan kestabilan Tunisia. "Ennahda berpendapat ada pihak bersekongkol dalam jenayah ini dan menggesa pasukan keselamatan mengambil segala langkah perlu bagi mengesan pelakunya dan membawa mereka ke muka pengadilan," kata kenyataan itu.

Motif pembunuhan itu masih samar, tetapi ia berlaku ketika Tunisia bergelut untuk mengekalkan kestabilan dan memulihkan ekonominya. Revolusi rakyat di Tunisia berjaya menggulingkan Zine El Abidine Ali sebelum kebangkitan itu merebak ke beberapa negara Arab lain. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Pusat Perisik tentera Syria diserang

Posted:

Damsyik: Sekurang-kurangnya 12 tentera Syria terbunuh dalam dua serangan bom kereta yang mensasarkan ibu pejabat perisikan tentera di bandar Palmyra, selatan-tengah Syria, semalam.

Kumpulan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi berkata, lebih 20 tentera juga cedera, sebahagiannya parah selepas serangan serentak itu.

Menurutnya, penentang Presiden Bashar al-Assad menyerang bangunan berkenaan sebaik serangan bom kereta di bandar yang terkenal kerana kesan runtuhan empayar Rome dan diiktiraf sebagai kawasan warisan dunia oleh Unesco.

Tembak menembak yang berlaku selepas pengeboman berkenaan menyebabkan lapan orang awam cedera.


Agensi berita Sana melaporkan, dua lelaki meletupkan diri mereka dalam dua kereta yang sarat dengan bahan letupan.


Pengeboman bunuh diri seumpama itu semakin meningkat di Syria dan biasanya didakwa oleh kumpulan jihad, khususnya Barisan Al-Nusra, yang disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, lebih 60,000 orang mati sejak keganasan meletus pada Mac 2011, ekoran pemberontakan untuk menggulingkan Bashar.

Kelmarin, 106 orang, 42 penentang, 37 orang awam dan 27 tentera kerajaan maut dalam pertempuran di seluruh negara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Ramai pertikai kemampuan pesawat Iran

Posted:

London: Pakar penerbangan meragui kemampuan pesawat dibangunkan Iran yang didakwa mampu mempunyai pelbagai kelebihan.

Berdasarkan gambar dianalisis, mereka bukan saja mempertikaikan kehebatan pesawat berkenaan, malah curiga jika ia benar-benar boleh terbang.


Seorang daripada mereka, David Cenciotti, berkata dia mengesan beberapa kelemahan ketara pada pesawat berkenaan.

"Panel depan kokpit kelihatan terlalu ringkas dan sangat kecil untuk memuatkan seorang juruterbang di dalamnya.


"Nampaknya juruterbang berada dalam sebuah pesawat mini," katanya.


Dinamakan sebagai Qaher 313, Teheran mendakwa pesawat berkenaan boleh mengelak dikesan radar, tidak memerlukan landasan panjang untuk mendarat serta menguasai udara dengan senjata berbahaya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

No comments:

Post a Comment