Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sinar terbaik Irfan, Rozaimi

Posted:

Brisbane: Peluang kini terbuka buat kapten Harimau Muda A, Irfan Fazail dan penyerang berbakat, Rozaimi Abdul Rahman mengetuk pintu kelab di Australia.

Aksi kedua-dua pemain terbabit mendapat tumpuan pencari bakat di Australia, Brad Maloney yang juga bekas pemain kebangsaan negara itu.


"Saya akan melihat aksi mereka dalam perlawanan menentang Brisbane Roar, hari ini. Namun ia bukan saja terhad kepada mereka berdua saja tapi pemain lain juga sekiranya mampu menarik perhatian," katanya.

Beliau yang turut hadir menyaksikan sesi latihan skuad kendalian Ong Kim Swee petang semalam turut kagum dengan persefahaman, teknik, kemahiran dan kepantasan pemain muda negara.


Kedua-dua pemain terbabit terlebih dulu menarik perhatian bekas pemain Sabah, Scott Ollerenshaw yang kemudian memaklumkan kemampuan mereka kepada Maloney.


"Kedua-dua pemain itu memiliki teknik yang bagus. Permainan mereka lebih matang berbanding usia. Saya harap mereka mampu mempamerkan persembahan yang biasa dilakukan ketika latihan tanpa sebarang tekanan dan semuanya berjalan lancar."

Irfan yang juga perancang tengah pasukan antara pemain paling lama dalam skuad Harimau Muda A dan turut membantu negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011.

Rozaimi yang baru dipanggil menyertai Harimau Muda A tahun ini melakukan kejutan apabila meledak 10 gol pada kempen kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Sepanyol tersungkur

Posted:

London: Pilihan utama, Sepanyol tersingkir pada pusingan pertama Piala Davis buat kali pertama sejak 2006 apabila Milos Raonis mengalahkan Guillermo Garcia-Lopez untuk memberikan Kanada kemenangan 3-2 pada perlawanan peringkat Kumpulan Dunia, semalam.

Juara lima kali yang hadir tanpa pemain bintang, bergelut sejak awal di Vancouver dan Raonic menamatkan cabaran mereka dengan kemenangan 6-3, 6-4, 6-2 ke atas Garcia-Lopez bagi meraih kemenangan pertama Kanada pada peringkat itu.


Terdahulu, penyandang juara, Republik Czech layak ke suku akhir apabila Tomas Berdych menumbangkan pemain Switzerland, Stanislas Wawrinka sehari selepas kedua-dua pemain beraksi dalam pertembungan maraton acara beregu.

Berdych meraih kemenangan mudah 6-3, 6-4, 3-6, 7-6 ke atas Wawrinka, membolehkan Czech mendahului 3-1, sehari selepas dia dan Lukas Rosol melepasi halangan pertembungan tujuh jam ke atas Wawrinka dan Marco Chiudinelli dengan keputusan 24-22 pada set terakhir.


Czech kini akan berkunjung ke Kazakhstan, April ini selepas negara Asia Tengah itu melengkapkan kemenangan 3-1 ke atas Austria.


Amerika Syarikat turut mengatasi kebangkitan Brazil di Jacksonville sebelum menempah tiket ke suku akhir dan mereka akan bertemu Serbia.

Sam Querrey melunaskan tugasnya dengan kemenangan 4-6, 6-3, 6-4, 7-6 ke atas Thiago Alves pada perlawanan penentuan selepas Thomaz Bellucci menyamakan kedudukan 2-2 dengan mengatasi John Isner 2-6, 6-4, 6-7, 6-4, 6-3.


Itali turut layak ke suku akhir dan berjumpa Kanada, selepas Fabio Fognini menundukkan pemain Croatia, Ivan Dodig pada perlawanan penentuan.

Sepanyol, hadir tanpa Rafael Nadal, David Ferrer dan Nicolas Almagro, ketinggalan 0-2 selepas dua perlawanan perseorangan pertama.


Juara lima kali itu menghidupkan kembali peluang selepas menang acara beregu namun Raonic menamatkan sebarang impian kebangkitan mereka.


"Ia amat menakjubkan," kata Raonic. "Ia sesuatu yang patut kami banggakan. Ia sesuatu yang saya harap dapat menyemarakkan minat semua terhadap sukan tenis di seluruh Kanada." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Mickelson rangkul RM18.9j

Posted:

Scottsdale, Arizona: Phil Mickelson merakam empat bawah par 67 untuk menjuarai kejohanan Terbuka Phoenix bernilai AS$6.2 juta (RM18.9 juta) sekali gus meraih kejuaraan ke-41 karier dengan kelebihan empat pukulan, semalam.

Ia kali pertama seorang pemain mendahului setiap pusingan secara bersendirian dalam jelajah itu sejak kejayaan sulung Rory McIlroy pada Terbuka AS 2011.


"Saya bertindak dengan amat bagus," kata Mickelson. "Inilah corak permainan saya selama ini dan berasa gembira kerana mampu beraksi baik dalam kejohanan besar." Selepas kemenangan dominan Tiger Woods seminggu lalu di Torrey Pines, kejayaan Mickelson membuktikan dua pemain bintang paling popular dalam sukan itu bermula dengan cemerlang awal musim dengan kejuaraan sulung semakin menghampiri pada Masters AS, April ini.

Pemain kidal berusia 42 tahun itu, juara Masters tiga kali, muncul juara kali pertama sejak kemenangan terakhir pada kejohanan National Pro-Am di Pebble Beach tahun lalu.


"Penting mula membina rentak tapi lebih penting kerana ia semakin hampir dengan Augusta," kata Mickelson. " Mickelson terlepas peluang mencatat rekod terendah selepas 72 lubang dalam sejarah PGA, 26 bawah par 254 oleh Tommy Armour III pada Terbuka Texas 2003, namun berpuas hati berkongsi catatan kedua terbaik 72 lubang dalam sejarah PGA dengan 28 bawah par 256.


Semalam, Mickelson melakukan bogey pada lubang kedua par-empat, membalasnya dengan birdie pada lubang keempat par-tiga dan lubang ketujuh, kemudian menamatkannya dengan birdie pada lubang ke-13 par-lima dan lubang ke-15 selain lubang ke-17 par-empat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Mona juara Jelajah WTA kali kedua

Posted:

Paris: Pemain Jerman, Mona Barthel merangkul kejuaraan kedua dalam Jelajah WTA dengan menundukkan pilihan utama, Sara Errani 7-5, 7-6 pada final Terbuka Paris, kelmarin.

Mona, 22, yang menduduki ranking ke-45, bertarung selama sejam 56 minit sebelum memastikan kemenangan dengan pukulan 'winners' ke-53 ketika mata penamat keempatnya.


Sara, pemain nombor tujuh dunia yang mengintai kejuaraan perseorangan ketujuh, mengalami kekecewaan kedua di Paris selepas kecundang di tangan Maria Sharapova pada final Terbuka Perancis tahun lalu.

Mona, yang menyingkirkan pemain kesayangan peminat Perancis, Marion Bartoli dan Kristina Mladenovic dalam laluan ke final, dilihat mudah melakar kemenangan apabila erampas servis lawannya untuk mendahului 2-0 pada set kedua.


Dia mendahului 5-2 namun Sara bangkit dan menggunakan kesempatan berikutan rasa gemuruh pemain Jerman itu, namun terpaksa mengaku kalah dalam penentuan tie-break.


"Agak sukar menamatkan perlawanan ini tapi ia final pertama saya dalam kejohanan besar. Saya berasa tertekan," kata Mona, yang memenangi kejuaraan pertamanya di Hobart musim lalu. "Ia minggu yang menyeronokkan. Saya tidak jangkakan menang kejohanan sebegini. Saya fikir, tahun ini pasti hebat." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Gopinanth ungguli AGN

Posted:

Nilai: G Gopinanth mempamerkan pukulan mantap untuk meraih 69 mata dan dinobat juara kategori nett Kejohanan Golf Asia Golfing Network (AGN) Klasik 2013 di Kelab Golf Nilai Springs, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Dia meninggalkan 92 pemain lain termasuk naib juara, Salleh Mon, 65 mata manakala ketiga, Mohd Azizul Ahmad (60) diikuti Jamaluddin Shamsuddin, keempat (58) dan Supiyan Ahmad, kelima (56).


"Saya tidak sangka memenangi kejohanan ini kerana saingan begitu sengit. Walaupun semua peserta pemain amatur tapi mereka mempamerkan aksi mantap.

"Saya puas hati walaupun ia bukan catatan terbaik kerana pernah melakukan lebih baik sebelum ini.


"Yang penting, kejohanan ini memberi banyak pengalaman berguna untuk meningkatkan persembahan pada saingan akan datang," kata Gopinanth.


Sementara itu, kategori gross yang hanya dihadkan kepada tiga tempat, menyaksikan Azhar Md Nor muncul juara dengan 76 mata diikuti Khairul Nizam, (80) dan Soldin Sidol, ketiga (84).

Penyelaras Kejohanan, C C Loh berkata, cuaca panas tidak menghalang peserta yang mewakili pelbagai agensi antaranya CommerceDotCom, Synergycentric, POIS, BERNAS, Altel, Aturniaga dan Strateq mempamerkan persembahan terbaik.


Beliau yang juga Ketua Pemasaran AGN berpuas hati dengan komitmen peserta.

"Kami harap kejohanan ini bukan saja memberi ruang kepada pemain memburu hadiah semata-mata tapi juga merapatkan hubungan satu sama lain.


"Saya yakin kejohanan ini memberi pengalaman berguna kepada pemain bagi meningkatkan persembahan dan mencapai kejayaan lebih baik pada kejohanan lain.


"Tambahan pula Nilai Springs Golf menawarkan lapangan 27 lubang yang menghidangkan cabaran kolam pasir dan kolam air buat pemain."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

JAKOA Pahang benam Perak

Posted:

Kuantan: Pahang menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk menewaskan Perak, 3-2 menerusi sepakan penalti pada perlawanan akhir bola sepak Karnival Perpaduan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kesembilan di padang Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, kelmarin.

Terikat tanpa jaringan pada masa sebenar, tuah nyata berpihak kepada skuad bimbingan Mohd Zam Saney yang berjaya menghasilkan jaringan menerusi penyerang adik-beradik, Azahari, Azizan Darma Raju dan Awi Wok.


Kehebatan tuan rumah yang membariskan pemain berpengalaman terserlah apabila memenangi semua lima perlawanan peringkat kumpulan sebelum dinobat juara.

Mohd Zam berkata, selepas hanya menduduki tempat ketiga tahun lalu, kesungguhan menebus kekecewaan itu menjadi pembakar semangat kepada pemain membuktikan kebolehan.


"Gandingan pemain muda dan senior memantapkan pasukan ini yang meletakkan sasaran menebus kekecewaan musim lalu seterusnya menjulang imej selaku tuan rumah," katanya.


Kemenangan pasukan bola sepak itu menjadi pelengkap kejayaan membanggakan kontinjen Pahang apabila dinobat juara keseluruhan karnival itu.

Majlis penyampaian hadiah dan penutup karnival dilakukan Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Mohd Sani Mistam. Turut hadir Pengarah JAKOA Pahang, Isa Hamid. Lebih 1,000 atlet lapan kontinjen seluruh negara menyertai karnival bertujuan mengeratkan lagi hubungan di kalangan peserta dan urusetia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Zhe Yew, Wan Kong jagoan BEDUMA

Posted:

Melaka: Tan Zhe Yew dan Hau Wan Kong muncul juara beregu badminton lelaki kategori 40 tahun ke bawah Terbuka BEDUMA di Dewan Taming Sari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh, kelmarin.

Naib juara pula menjadi milik pasangan Alvin Chi dan Ng Yong manakala tempat ketiga dimenangi Mohd Dzahir Ismail dan Tay Say Kiang.


Kategori veteran 41 tahun ke atas pula menyaksikan pasangan Rossham Mat Noh dan Mohd Nizam Abdullah muncul juara. Naib juara disandang Ramesh Karpan dan Yaakob Suin manakala Tan Tian dan Low Kim Chye ketiga.

Juara kedua-dua kategori menerima wang tunai RM300, raket jenama Yonex dan hamper manakala naib juara menerima RM200, kasut Yonex dan hamper, ketiga dan keempat RM100 dan hamper. Tempat kelima hingga kelapan menerima sepasang stokin sukan serta hamper.


Majlis penyampaian disempurnakan Ahli Majlis MBMB, Alias Samad.


Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Belia MAYC Kampung Duyong, Nasrul Ahmad dan Pengerusi Pertandingan, Zakaria Abu Samah.

Program anjuran Pertubuhan Belia MAYC Kampung Duyong itu yang mendapat kerjasama JPP KMDG Zon 8 dan MAYC Kawasan Kota Melaka, Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) serta MAYC negeri Melaka, menyaksikan 24 beregu kategori terbuka 40 tahun ke bawah dan 16 pasangan 41 tahun ke atas, mengambil bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Belum selamat

Posted:

Kelana Jaya: Tindakan Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengambil keputusan meletakkan jawatan dalam dua jawatankuasa kecil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum menyelesaikan kemelut membabitkan dirinya dengan badan induk bola sepak tempatan itu.

FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad menekankan bekas Menteri Besar Perlis itu tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan.


"Kami sudah terima suratnya minggu lalu tapi beliau tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan," katanya ketika ditemui semalam.

Shahidan baru-baru ini membuat keputusan untuk mengundur diri sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Kewangan dan AJK Bola Sepak Wanita FAM kerana kecewa berikutan tindak tanduk badan induk itu yang tidak boleh ditegur berdasarkan kuasa Artikel 88 yang menghalang kebebasan bersuara.


Beliau membuat keputusan itu selepas menerima surat pertuduhan dari FAM sebelum menyatakan hasratnya menerusi surat yang dihantar kepada badan induk itu.


Azzuddin yang enggan mengeruhkan lagi keadaan, menjelaskan pertuduhan itu bukan diputuskan olehnya tapi keputusan sebulat suara Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu.

"Kami bukan sengaja membuka kertas pertuduhan. Sebelum ia dilakukan, kami perlu mendapat pandangan semua pihak termasuk anggota (Jawatankuasa) Tatatertib. Bila mereka mengesahkan ada kes, baru buat pertuduhan.


"Apabila surat pertuduhan diluluskan barulah saya menurunkan tandatangan. Kira saya ini macam 'pejabat pos' saja.

"Tapi banyak tanggapan ingat saya yang memulakan perkara ini semua." Meskipun melepaskan jawatan Shahidan akan menunggu hingga selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 bagi melepaskan jawatan yang disandangnya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kepada Menteri Besar.


Shahidan berdepan tiga pertuduhan susulan kenyataan beliau mengenai FAM yang disiarkan Arena Metro pada 15 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Izham idam keputusan positif

Posted:

Brisbane: Penjaga gol Harimau Muda A, Izham Tarmizi Roslan mengharapkan keputusan positif mampu dilakar skuad itu apabila menentang kelab Liga Australia (A-League), Brisbane Roar, hari ini bagi memastikan reputasi pasukan itu terus dihormati lawan.

"Perlawanan hari ini lebih sengit berbanding tiga aksi persahabatan sebelum ini. Kami perlu meningkatkan prestasi walaupun tanpa kehadiran sejumlah pemain utama kerana kecederaan.


"Semua pemain perlu berkomunikasi di atas padang kerana kesilapan akan berlaku sekiranya tidak saling mengingati antara satu sama lain," kata penjaga gol berusia 22 tahun itu.

Dia dijangka diberi kepercayaan mengawal gawang pada perlawanan menentang juara bertahan Liga-A itu.


Skuad Harimau Muda A yang kini berada di Australia sudah mengharungi tiga aksi persahabatan dengan mencatatkan dua kemenangan dan satu kekalahan.


"Yang penting kami mempamerkan aksi terbaik dan meraih kemenangan bagi menutup kem latihan di sini dengan nada positif."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

'FAM tak pernah abaikan Nazmi'

Posted:

Brisbane: "Mustahil Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mengabaikan Nazmi Faiz Mansor selepas mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk mengasah bakatnya"·

Itu pandangan pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee mengenai pemain tengah berbakat yang menamatkan kontrak bersama kelab Portugal, SC Beira Mar, baru-baru ini.


Terdahulu terdapat dakwaan mengatakan Nazmi Faiz berdepan masalah kewangan di Portugal hingga mendorongnya kembali ke Malaysia.

"Selama ini FAM membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk Harimau Muda, termasuk Nazmi Faiz, mustahil kebajikannya diabaikan. Persoalannya sekarang apa tujuan dan matlamat Nazmi Faiz (pulang ke Malaysia) bersama ejennya," katanya yang kini berada di Australia untuk latihan dan perlawanan persahabatan skuad kendaliannya.


Kim Swee bagaimanapun berkata, daripada memikirkan masalah pemain terbabit, lebih baik beliau memberikan perhatian kepada pasukannya.


Punca sebenar kepulangan pemain berusia 19 tahun itu masih misteri walaupun terdapat pelbagai andaian dan dakwaan.

Nazmi Faiz kini menandatangani kontrak bersama pasukan Liga Super, PKNS FC namun masih belum boleh beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

No comments:

Post a Comment