Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tikam kerongkong suami

Posted:

Philadelphia: Seorang bekas pemain bola keranjang Universiti Pennsylvania ditikam hingga mati ketika tidur oleh isterinya kerana mangsa didakwa menonton aksi lucah kanak-kanak, lapor media semalam.

Memetik kenyataan polis, media melaporkan, Maria Rey Garcia-Pellon menikam suaminya, Matthew White, berkali-kali di kerongkongnya di rumah mereka di Media, pinggir Philadelphia malam Isnin lalu.


Kata Maria, dia ternampak White menonton filem lucah memaparkan aksi remaja perempuan.

"Disebabkan saya sayangkan kanak-kanak, saya terpaksa membunuh suami saya," katanya. White, 53, pernah membantu universitinya beraksi di perlawanan akhir bola keranjang antara kolej pada 1979.


Selepas menamatkan pengajian, White bermain secara profesional untuk pasukan Portland Trail Blazers serta pernah beraksi untuk kelab di Sepanyol.


Maria - bekas penuntut universiti berprestij di AS - berkata, dia terjaga pada tengah malam dan ke dapur untuk minum.

Foto

WHITE (kanan) pernah bermain bola keranjang dalam liga antarabangsa.

Foto

Maria Rey Garcia-Pellon

Katanya, ketika itulah dia ternampak suaminya menonton filem lucah.


"Apabila kembali ke bilik tidur, saya membawa pisau dan menikam White," katanya. Akibat tikaman bertubi-tubi itu, White terjaga dan cuba melawan, tetapi gagal dan menghembus nafas terakhir tidak lama kemudian. Maria kemudian menukar pakaian dan pergi ke rumah kawannya sebelum rakannya itu menghubungi talian kecemasan 911. Sejurus selepas pihak berkuasa tiba di rumahnya, Maria ditahan sebelum didakwa atas kesalahan membunuh tahap pertama. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Lebih pintar daripada Einstein

Posted:

Essex: Lauren Marbe, 16, memeranjatkan gurunya apabila mencatatkan markah 161 pada ujian IQ Mensa selepas menduduki ujian itu secara suka-suka.

Markah ujian IQ dicatatkan anak pemandu teksi itu bermakna dia kini lebih pintar daripada Professor Stephen Hawking, Bill Gates, malah Albert Einstein yang semuanya mempunyai IQ 160.

Lauren kini tersenarai dalam persatuan Mensa yang bermakna dia secara rasmi berada dalam kelumpuk satu peratus orang paling pandai di dunia.

Pelajar Sekolah Menengah Roding Valley itu yang diramal mencatatkan semua A dalam peperiksaan GCSE berkata, dia teruja dengan pencapaiannya.


Lauren menduduki ujian IQ itu awal bulan ini.


Ibunya, Sue Marbe, pengetua sebuah sekolah rendah di Essex berkata: "Meskipun Lauren berambut blonde seperti gadis Essex lain, dia berjaya mengikis tanggapan semua pelajar perempuan Essex bodoh."

Einstien tidak pernah menduduki ujian IQ kerana peperiksaan itu tidak wujud pada zamannya. Bagaimanapun, pakar percaya dia memiliki IQ 160.

Ujian IQ bertujuan menguji keupayaan kecerdikan pelajar. Di Britain, purata markahnya ialah 100.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Mayat rentung ditemui dalam kabin

Posted:

Big Bear Lake (California): Buruan pihak berkuasa terhadap seorang bekas anggota polis Los Angeles kini bertumpu ke sebuah kabin yang terbakar di kawasan pergunungan, semalam.

Siasatan dijalankan di situ selepas polis menemui satu mayat rentung dalam kabin itu yang dijadikan suspek, Christopher Dorner sebagai tempat perlindungannya ketika dia dikepung.


Dalam insiden tembak-menembak itu, Dorner turut membunuh seorang timbalan sherif sebelum kabin berkenaan terbakar.

Satu das tembakan kedengaran dari dalam kabin berkenaan dan Dorner tidak dilihat meninggalkan tempat itu sehinggalah ia terbakar. Jurucakap Sherif Daerah San Bernardino, Jodi Miller, berkata ujian forensik akan dijalankan untuk mengesahkan sama ada mayat itu adalah Dorner atau orang lain.


"Jika positif, buruan terhadap lelaki paling dikehendaki di AS sejak minggu lalu akan berakhir seperti jangkaannya - mati dalam buruan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

16 pejuang pemisah terbunuh

Posted:

Bangkok: Enam belas pejuang pemisah selatan Thai terbunuh selepas mereka melancarkan serangan terhadap sebuah pangkalan tentera di Narathiwat, awal pagi semalam.

Anggota marin Thai di pangkalan di daerah Bacho itu yang sudah bersiap sedia menanti serangan berkenaan selepas menerima maklumat mengenai rancangan itu, melepaskan tembakan apabila kira-kira 60 pemisah berpakaian seragam tentera menghampirinya kira-kira jam 1 pagi, kata jurucakap Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri, Pramote Phromin.


Komander unit, Kapten Somkiat Philprayoon berkata, kira-kira 100 anggota pemisah terbabit dalam serangan itu.

"Enam belas pemisah disahkan mati selepas serangan berkenaan. Mereka berpakaian tentera dan bersenjatakan raifal AK47 dan M16," katanya.


Somkiat juga memberitahu wartawan, tidak ada anggota tentera Thai yang cedera dalam pertempuran selama 20 minit itu. Kira-kira 100 tentera dan polis kini melancarkan gerakan memburu baki pemisah yang melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran, sebahagiannya meninggalkan kesan darah. Gerakan memburu itu turut dilakukan di hospital dan klinik sekitar bagi mengesan penyerang yang cedera.


Keganasan di selatan Thai membabitkan wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala yang majoriti penduduknya keturunan Melayu dan beragama Islam mula meletus sejak awal 2004 selepas sebahagian penduduknya bangun memberontak menuntut pemisahan setelah ditindas puluhan tahun oleh kerajaan Thai.

Lebih 5,300 orang terbunuh sepanjang tempoh itu.


"Kami mendapat tahu mengenai rancangan mereka daripada anggota pemisah yang berpaling tadah. Kami berjaya mempertahankan kem itu dan semua anggota kami selamat," kata Pramote.

Menurutnya, pemimpin kanan pemisah itu yang lengkap dengan pakaian kalis peluru, Maroso Jantarawadee, adalah antara yang terbunuh.


Pemerintah Tentera Serantau, Leftenan Jeneral Udomchai Thammasaroraj memberitahu wartawan, pihaknya mengisytiharkan perintah berkurung di kawasan sekitar lima kilometer dari pangkalan itu bermula malam tadi hingga esok.


Kejadian semalam adalah yang paling buruk menimpa kumpulan pejuang itu sejak lebih 100 orang mati dalam sehari kira-kira sedekad lalu, termasuk 32 yang mati ditembak di Masjid Kreu-Sae di Pattani. Kejadian semalam juga berlaku sehari selepas Yingluck Shinawatra berkata kerajaannya akan menentukan Jumaat ini sama ada akan menguatkuasakan perintah berkurung di ketiga-tiga wilayah terbabit bagi mengekang keganasan yang berlaku hampir setiap hari. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

SBY arah siasat maklumat bocor

Posted:

Jakarta: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) semalam meminta Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) menyiasat kebocoran dokumen yang mengarahkan siasatan dilakukan terhadap bekas Pengerusi Parti Demokrat, Anas Urbaningrum.

"Presiden berharap KPK menyiasat dengan terperinci bagaimana dokumen berkenaan boleh bocor dan bekerjasama dengan polis," kata jurucakap Susilo, Julian Aldrin Pasha pada sidang media di pejabat presiden. Anas disingkirkan daripada jawatan itu selepas didakwa terbabit dengan rasuah.


"Presiden berpendapat sejak kebelakangan ini ada pihak yang mempunyai niat tidak baik membocorkan rahsia negara.

"Negara kita ada undang-undang. Kerana itu, kebenaran perlu ditegakkan. "Kebebasan dan maklumat kepada umum perlu mengikut peraturan," katanya.


Menurutnya, Susilo mengarahkan pesalah yang bertanggungjawab membocorkan dokumen KPK itu dihukum dengan sewajarnya.


Dia berkata, Susilo juga menegaskan jika hasil siasatan membuktikan pihak dituduh membocorkan dokumen itu dibuktikan tidak bersalah, maka reputasinya perlu dibersihkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Dipaksa mohon maaf depan keranda

Posted:

Bangkok: Polis semalam mengiringi suspek satu kes rogol dan bunuh ke upacara pengebumian mangsa di sebuah kuil di sini.

Mereka turut memaksa suspek, Suthee Boonphrom, 23, meminta maaf di depan keranda wanita itu. Dia juga dibawa ke tempat kejadian sebagai sebahagian usaha untuk mengimbas semula perbuatan jenayahnya.


Lelaki itu, pemandu teksi dua roda, merogol sebelum membunuh mangsa pada 4 Februari lalu di Soi Phokaeo 3, daerah Bang Kapi yang tidak jauh dari kediaman Perdana Menteri Yingluck Shinawatra. Dia ditahan Sabtu lalu di wilayah Phetchabun.

Saudara-mara mangsa Isnin lalu membawa kerandanya di depan kediaman Yingluck untuk mendesak beliau mengarahkan Suthee meminta maaf kepada mangsa. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Anggota TNI bunuh kekasih, ibu

Posted:

Garut: Seorang anggota tentera Indonesia ditahan semalam kerana disyaki membunuh kekasihnya, Shinta Mustika, 19 dan ibu wanita itu, Onah, 39.

Mayat kedua-dua beranak itu ditemui Isnin lalu.

Ketua Polis Garut, Komisioner Umar Surya Fana berkata, pihaknya berjaya membongkar identiti suspek tidak lama selepas kedua-dua mayat berkenaan ditemui.

Dalam kejadian itu, Shinta ditikam 18 kali sementara ibunya, 12 kali. - kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Terus bekal senjata

Posted:

Moscow: Pegawai tertinggi syarikat perdagangan senjata milik Russia semalam berkata, Moscow akan terus menghantar produk mereka kepada kerajaan Syria walaupun perang saudara di negara itu semakin meningkat.

Pengarah Rosoboronexport, Anatoly Isaikin berkata, aktiviti perdagangan senjata dengan Syria tidak dihalang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


"Justeru, Russia tidak berniat menghentikan dagangan itu dengan Damsyik," katanya di sidang media semalam.

Isaikin berkata, Russia kini menghantar senjata pertahanan - kebanyakannya sistem pertahanan udara ke Syria.


Bagaimanapun, katanya, tiada satu pun senjata itu yang boleh digunakan untuk menyerang, seperti pesawat udara, helikopter dan kenderaan berperisai. Moscow menjadi pelindung utama rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad ketika negara itu mengalami konflik berterusan.


Sebagai negara sahabat Syria, Russia melindungi negara itu daripada percubaan mengenakan sekatan PBB ekoran tindakan ganasnya mengekang kebangkitan rakyat sejak 23 bulan lalu.

Konflik itu setakat ini mengorbankan lebih 70,000 nyawa. Menurut Isaikin, lebih banyak penghantaran akan dijalankan di bawah kontrak sedia ada. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Qatar serah kedutaan Syria kepada kumpulan penentang

Posted:

Beirut: Qatar menyerahkan bangunan Kedutaan Syria di Doha kepada kumpulan penentang kerajaan, Gabungan Kebangsaan Syria, menurut sebuah kenyataan dikeluarkan semalam.

Pertubuhan itu berkata, Doha membuat keputusan menyerahkan pemilikan bangunan itu kepada duta mereka ke Qatar, Nizar al-Haraki.


"Qatar bertindak lebih pantas berbanding negara lain yang bergabung dalam kumpulan Sahabat Syria," kata kumpulan itu.

Istilah Sahabat Syria merujuk kepada sejumlah negara Barat dan Arab serta Turki yang menyokong kebangkitan rakyat bagi menjatuhkan rejim Presiden Bashar al-Assad.


Menurut Gabungan Kebangsaan Syria, bendera revolusi akan dikibarkan di atas bangunan berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

10 maut akibat serangan Nato

Posted:

Kabul: Satu serangan Nato membunuh 10 orang awam kebanyakannya wanita atau kanak-kanak, kata pegawai Afghanistan, semalam.

Gabenor Kunar Sayed Fazulullah Wahidi berkata, lima kanak-kanak, empat wanita dan seorang lelaki dewasa terbunuh dalam serangan berkenaan.


Tiga komander Taliban termasuk pemimpin militan terlibat dengan al-Qaeda dikenali sebagai Shahpoor, turut terbunuh.

Katanya, mangsa terbunuh dalam serangan Nato dalam usaha menyokong operasi darat tentera AS dan Afghanistan di sebuah lembah dikuasai Taliban.


Sementara itu, Nato berkata, mereka sedang menyiasat dakwaan kematian orang awam itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

No comments:

Post a Comment