Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


War's 15 80's A cipta nama juara

Posted:

Kuching: War's 15 80's A mencipta sejarah apabila muncul juara Terbuka Lelaki Karnival Futsal Harian Metro edisi Sarawak yang kali pertama diadakan di negeri Bumi Kenyalang semalam.

Pada perlawanan akhir, pasukan dari Kuching itu menewaskan KTT Wirajaya dengan kemenangan tipis 1-0 di Arena Sukan.


Ketua pasukan Aishamuddin Anuarmahdi berkata, kemenangan semalam cukup bermakna kerana kali pertama mereka muncul juara tahun ini.

"Sebelum ini kami menyertai banyak kejohanan tapi sering terkandas di suku akhir dan apabila ke final, kalah pula.


"Sudah tentu kami berasa gembira kerana kali pertama karnival ini dianjurkan, kami berjaya muncul juara," katanya selepas perlawanan semalam.


Mengenai KTT Wirajaya yang ditemui pada aksi final semalam, Aishamuddin berkata, mereka memang sering bertemu lawan mereka itu.

Foto

TIGA pemain War's 15 80's A mengawal ketat pemain KTT Wirajaya.

"Minggu lalu kami baru saja bertemu mereka tapi kami tewas. Hari ini (semalam) akhirnya kami berjaya membalas dendam.


"Memang kebiasaannya kedua-dua pasukan sering bertemu dan perlawanan sering berlangsung sengit," katanya.

Selaku juara, War's 15 membawa pulang wang bernilai RM3,000 manakala KTT RM2,000 pada saingan yang dibawa oleh Ambank.


Tempat ketiga diraih Yow FC yang membawa pulang wang RM1,000 selepas menewaskan Red 8 Fansuri.


Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.


Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan Ambank, Syed Anuar Syed Ali; Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat serta Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Razali Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Pertembungan dua jagoan

Posted:

Marana, Arizona: Juara bertahan, Hunter Mahan dan pemenang 2010, Ian Poulter menempah pertembungan menarik pada separuh akhir Kejohanan Match Play Dunia WGC-Accenture selepas memenangi pertembungan suku akhir mereka semalam.

Mahan dari AS menang 1-up selepas perlawanan sengit dengan juara Terbuka AS, Webb Simpson manakala Poulter dari Britain mara dengan kemenangan 3 & 2 ke atas pemain veteran Amerika, Steve Stricker di Dove Mountain.


Satu lagi pertembungan separuh akhir antara pemain Amerika, Matt Kuchar dan Jason Day dari Australia, pemain termuda yang meneruskan saingan pada usia 25 tahun.

Kuchar muncul pemain pertama layak ke separuh akhir apabila menewaskan rakan senegara, Robert Gar rigus 3 & 2, sebelum Day bangkit mengatasi pemain Ireland Utara, Graeme McDowell 1-up dalam satu pertarungan sengit.


Kebanyakan mata bagaimanapun akan tertumpu kepada pertemuan antara Mahan dan Poulter, kedua-duanya membida untuk layak ke perlawanan akhir Match Play buat kali kedua.


Poulter pasti lebih cergas, apabila mendahului 4-up ke atas juara Match Play 2001, Stricker selepas 12 lubang sebelum melengkapkan kemenangannya dengan menolak masuk pukulan par dari jarak 10 kaki pada lubang ke-16.

Pemain Inggeris itu, yang terkenal dengan kehebatannya dalam permainan matchplay serta pukulan putt, mendahului kali pertama pada lubang ketiga par-tiga apabila dia membenam birdie dari jarak 40 kaki manakala Stricker tersasar percubaannya dari jarak tujuh kaki.


"Steve dilihat akan mendahului di sana tapi saya menolak bola masuk dan dia terlepas," kata Poulter selepas mencatat enam birdie dan satu eagle dalam 16 lubang.

"Dari situ saya mengambil alih dan mendahului. Saya sedar, saya perlu mempamerkan permainan terbaik untuk mengatasi Steve." Terdahulu, Stricker, yang meraikan hari jadi ke-46 Sabtu lalu, layak ke suku akhir dengan persembahan mengagumkan lapan birdie apabila dia menundukkan rakan senegara dari Amerika, Scott Piercy 1-up. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Peluang Djokovic bukti dominasi

Posted:

Dubai: Kejohanan pertama Novak Djokovic sejak mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia memberinya peluang membuktikan kenapa dia mungkin kekal sebagai pemain nombor satu dunia dalam masa terdekat.

Kejayaan pemain Serbia berusia 25 tahun itu di Melbourne menyaksikannya menebus dendam kekalahan pada final Terbuka AS di tangan Andy Murray, sekali gus menjadikannya pilihan utama untuk merampas kembali kejuaraan Terbuka Dubai, bermula hari ini.


Bagi melakukannya, Djokovic mungkin perlu mengatasi pemain yang merampas kejuaraan daripadanya, Roger Federer, pemain nombor dua dunia yang memiliki kediaman di Dubai dan sering beraksi hebat serta sudah memenangi lima kejuaraan.

Sekalipun jika Federer berjaya kali keenam, sukar melihatnya merampas kedudukan pemain nombor satu berdasarkan jurang 3,000 mata di belakang Djokovic kerana dia terpaksa mengehadkan aksinya pada usia 32 tahun.


Sama ada Murray mahupun Rafael Nadal tidak bertanding di Dubai tahun ini dan bermakna permusuhan Djokovic-Federer berterusan dengan pemain veteran itu mengungguli 16-13 dalam rekod pertembungan sesama sendiri.


"Saya beraksi hebat di sini selama beberapa tahun tapi saya perlu benar-benar fokus dan yakin dengan persembahan sendiri dan harap dapat bermula dengan baik," kata Federer, merujuk kepada kekecewaannya di Dubai lima tahun lalu.

Ketika itu, sekalipun turun sebagai juara bertahan, dia diundi bertemu Murray pada pusingan pertama dan tewas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Petra rangkul kejuaraan ke-10

Posted:

Dubai: Bekas juara Wimbledon, Petra Kvitova merangkul kejuaraan perseorangan ke-10 selepas mengalahkan Sara Errani dari Itali 6-2, 1-6, 6-1 pada final kejohanan tenis Dubai, kelmarin.

Pemain Republik Czech itu bermula sebagai pemain pilihan selepas memenangi tiga pertemuan terdahulu dengan pemain nombor tujuh dunia itu dan pemain berusia 22 tahun itu membuktikan dominasinya sejak awal persembahan.


"Ia amat sukar, turun dan naik, dia boleh menyambut banyak pukulan saya dan membalasnya... saya cuba kekal fokus dan tenang dalam set terakhir," kata Petra.

Di sebalik kemenangan itu, Petra tidak begitu gembira kerana dua pemain terbaik dunia, Serena Williams dan Victoria Azarenka menarik diri daripada kejohanan itu.


"Saya masih memikirkan mengenai permainan saya, itulah keutamaan buat saya," kata Petra ditanya sekiranya dia mampu berada dalam kelompok pemain elit dunia.


Pemain Czech itu menamatkan musim 2011 sebagai pemain nombor dua dunia selepas meraih enam kejuaraan termasuk Wimbledon pada tahun itu, namun dia gagal melepasi suku akhir dalam tiga acara Grand Slam terakhir dan merudum dalam ranking.

Dia bagaimanapun akan melonjak ke tangga ketujuh dalam ranking terbaru dunia hari ini, bertukar tempat dengan Sara. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Super Junior FC garang

Posted:

Melaka: Sebanyak 11 pasukan futsal bertanding membabitkan penghuni Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz (RBLTAA) Durian Daun dalam usaha mencungkil bakat baru dalam kalangan penghuni anak-anak yatim di Kompleks Sukan Ayer Keroh, baru-baru ini.

Program anjuran Biro Sukan RBLTAA membabitkan enam dan lima pasukan bagi kategori Bawah 14 (B-14) dan B-18 berlangsung sengit dalam usaha setiap pasukan meraih kemenangan.


Dalam saingan B-14 menyaksikan pasukan Super Junior FC muncul juara, naib juara Neymar Silva FC dan ketiga diraih Libas FC.

Juara kategori B-18 pula menjadi milik Neymar Balada FC, naib juara Super Strikas FC dan ketiga milik Barcelona Junior Soccer.


Pemenang menerima piala dan pingat yang disampaikan Pengerusi Biro Sukan RBLTAA, Azmil Sambari yang mewakili Pengetua RBLTAA, Abdul Rahaman Jaafar.


Penyelaras pertandingan, Zaihairi Zailani berkata, kejohanan bertujuan mencungkil bakat baru selain mengeratkan hubungan antara penghuni dan pengurusan RBLTAA.

Menurutnya, kejohanan juga secara langsung berjaya meningkatkan disiplin dalam kalangan penghuni sekali gus berjaya mendidik peserta mematuhi peraturan dan undang-undang institusi itu.


Namun apa yang lebih penting katanya, kebajikan penghuni institusi itu sentiasa diutamakan seperti program anjuran itu walaupun mereka golongan insan yang kurang bernasib baik, pihak pengurusan sentiasa memberi perhatian dan kasih sayang kepada semua peserta.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Luka JS FC terubat

Posted:

Kuching: Nasib nyata memihak kepada pasukan JS FC apabila muncul juara Remaja Bawah 17 Karnival Futsal Harian Metro di Kuching, semalam.

Ini kerana, selepas sering berdepan kekecewaan apabila tewas pada aksi final sepanjang menyertai beberapa kejohanan sebelum ini, mereka akhirnya berjaya muncul juara kali pertama selepas menewaskan Coneli Tiger 2-1 pada aksi final.


Pengurus pasukan Osman Dan berkata, mereka menyasarkan untuk menang sejak awal lagi apatah lagi kerana karnival ini berlangsung buat kali pertama di Bumi Kenyalang.

"Kami memang selalu beraksi di final tapi tidak pernah menang. Jadi kali ini kami memang meletakkan sasaran untuk menang.


"Alhamdulillah akhirnya impian kami menjadi kenyataan. Sudah pasti kami tidak akan lupakan kemenangan ini," katanya.


Selaku juara, JS FC membawa pulang wang tunai RM1,500 manakala Coneli Tiger, RM1,000.

Tempat ketiga menjadi milik War's 15 Junior yang membawa pulang RM700.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Bandarayaku A ungguli Terbuka Wanita

Posted:

Kuching: Meskipun baru ditubuhkan dua bulan lalu, Bandarayaku A sudah boleh berbangga apabila muncul juara Terbuka Wanita Karnival Futsal Harian Metro di Kuching, Sarawak.

Mereka berjaya menewaskan Bankers Tidal Bore menerusi penentuan penalti 2-1 selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi final, semalam.


Ketua pasukan Rogayah Ali berkata dia serta rakan sepasukannya memang menetapkan sasaran untuk mara ke final.

"Sebenarnya pasukan ini baru saja ditubuhkan selama dua bulan dan ini kemenangan terbesar kami setakat ini.


"Kami akan menyertai banyak lagi kejohanan selepas ini. Kemenangan ini memberi keyakinan kepada kami untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," katanya.


Sementara itu, pengurus pasukan, Zaidi Pathi berkata, pasukannya sememangnya diuruskan dengan baik di bawah seliaan Majlis Bandaraya Kuching Utara (MBKU).

"Kami pasti akan menyertai karnival ini sekiranya dianjurkan lagi pada masa depan," katanya.


Kemenangan itu membolehkan mereka merangkul wang bernilai RM2,000 sementara Bankers Tidal Dore membawa pulang RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Kuasa henjutan Chicchi

Posted:

Kapar, Klang: Henjutan bertenaga pelumba Vini Fantini-Selle Italia, Francesco Chicchi menafikan kemenangan pertama Andrea Guardini dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat keempat sejauh 168 kilometer semalam.

Kedua-dua pelumba bersaing sengit menuju ke garisan penamat namun Chicchi ternyata lebih pantas untuk mengecewakan Guardini yang memegang rekod kemenangan 11 peringkat pada dua edisi LTdL yang lalu.


"Saya tersilap kerana memulakan henjutan lebih awal sepatutnya pada jarak 250 meter ke garisan penamat dan ia mengundang padah apabila kekurangan tenaga dan sekadar di tempat kedua. Saya masih berharap dapat memenangi sekurang-kurangnya satu peringkat perlumbaan, namun bukan esok (hari ini)," kata pelumba pecut berusia 23 tahun kelahiran Itali itu.

Bagaimanapun juara bertahan Raja Pecut sejak dua edisi itu sudah mempamerkan belangnya apabila merampas jersi biru itu (Raja Pecut) yang dipakai pelumba Hengxiang Cycling Team, Wang Meiyin kelmarin.


"Memandangkan saya sudah mendapat jersi biru, saya akan cuba mempertahankannya terlebih dulu berbanding memburu peringkat perlumbaan namun saya tetap akan mencuba kerana sudah berada dalam prestasi terbaik," kata pemenang satu peringkat perlumbaan di Giro d'Italia itu.


Sekalipun gagal mendapatkan sebarang mata dalam tiga zon pecutan di Teluk Intan, Sungai Besar dan Kuala Selangor, kemampuan Guardini meraih tempat kedua membolehkan dia mengumpul 41 mata keseluruhan, mengatasi Meiyin lima mata di tempat kedua.

Sementara itu Chicchi jelas gembira untuk meraih kemenangan pertama pasukannya di LTdL selepas gagal dalam tiga peringkat sebelum ini.


"Terima kasih kepada rakan sepasukan yang bekerja keras dalam tiga peringkat awal untuk saya dan Yonatha Monsalve (peringkat ketiga). Kini saya berada dalam prestasi terbaik," kata bekas juara dunia bawah 23 tahun pada 2002 itu.

Pelumba pasukan profesional benua itu berkata, tiga peringkat awal sebelum ini sukar buat mereka kerana kehadiran ramai pelumba pecut dan pendaki yang hebat terutamanya di kalangan pasukan Pro Tour.


"Namun kami sudah mendapat rentak dan akan terus membantu Monsalve (juara jersi kuning 2011) hari ini menguasai Genting Highlands," katanya.


Perlumbaan peringkat keempat dari Tapah ke Kapar semalam berakhir dalam kelompok besar walaupun sekali lagi pemecahan dilakukan beberapa pelumba dari Asia pada peringkat awal perlumbaan.


Perlumbaan akan bersambung pada peringkat kelima hari ini dari Proton, Shah Alam ke puncak Genting Highlands sejauh 110.3 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Raja Bukit mungkin ditentukan hari ini

Posted:

Kapar, Klang: Pemilik jersi Raja Bukit LTdL 2013 berkemungkinan besar akan ditentukan hari ini apabila saingan mendaki ke puncak Genting Highlands bermula.

Seperti kebiasaannya pendakian kategori Hors ini akan menawarkan pungutan mata tertinggi dalam perlumbaan LTdL iaitu 25 mata dan bakal menentukan juara jersi merah itu selain kemungkinan jersi kuning selaku juara individu keseluruhan.


Pelumba Hengxiang Cycling Team, Wang Meiyin dilihat hampir pasti meraih jersi Raja Bukit kali ini selepas mempamerkan pendakian mengagumkan di Cameron Highlands, kelmarin dan mengutip mata sebanyak mungkin.

"Hari ini (semalam) saya rasa lebih selesa kerana berehat (laluan landai peringkat keempat) dengan misi utama mendapatkan keputusan terbaik esok (hari ini)," kata pelumba dari China itu.


Dia yang mencipta sejarah LTdL kelmarin apabila meraih empat jersi selepas memenangi peringkat ketiga tetap merendah diri menjelang aksi pendakian lebih sukar hari ini.


"Semua pasukan hebat (pelumba pendaki) yang lain belum mempamerkan kekuatan sebenar, mungkin esok (hari ini)," katanya.

Pastinya Meiyin bakal mendapat cabaran beberapa pelumba handalan Eropah hari ini seperti Pierre Rolland (Team Europcar), Jackson Rodriguez (Androni Giocattoli), Jonathan Monsalve (Vini Fantini-Selle Italia) dan ramai lagi.


Mengenai strategi yang bakal digunakannya, Meiyin berkata pasukannya mungkin tidak akan menggunakan pendekatan yang sama seperti di Cameron Highlands dengan dia melakukan gerakan secara bersendirian ketika perlumbaan berbaki 40 kilometer.

Meiyin menamatkan saingan peringkat keempat semalam di tempat ke-64 namun ia tidak memberikan masalah kepadanya yang masih mengekalkan tiga jersi, Raja Bukit, jersi kuning dan Asia, walaupun terlepas jersi Raja Pecut kepada Andrea Guardini dari Astana Pro Tour.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Anuar belum mampu pamer taring sebenar

Posted:

Kapar, Klang: Prestasi pelumba tempatan terus mengecewakan selepas peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 semalam.

Kecuali Anuar Manan yang tampak memberikan saingan, skuad kebangsaan dan Terengganu Cycling Team (TSG) dilihat masih belum mampu memberikan cabaran bermakna.


Lebih mengecewakan sasaran skuad kebangsaan yang mahu berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik tampak sukar apabila menghuni tangga ke-17 dalam senarai 22 pasukan bertanding TSG di tempat ke-21.

Bagi Anuar yang juga pelumba Synergy-Baku Cycling Project, dia tetap fokus dalam misinya walaupun masih belum menyarung sebarang jersi dan menang dalam empat peringkat awal perlumbaan.


"Saya cuba sedaya mungkin mengutip mata dalam zon pecutan hari ini dan masih berusaha untuk mencari podium pertama," katanya yang menjadi pelumba terbaik tempatan semalam apabila menamatkan saingan di tempat kelapan.


Menurutnya, kegagalan rakan sepasukannya membuka laluan dengan baik mengundang padah apabila dia terpaksa bersaing secara bersendirian menuju ke garisan penamat.

"Saya akan terus mencuba selepas ini walaupun pasukan Pro Tour seperti Astana Pro Team dan Blanco Pro Cycling Team mengawasi pergerakan saya," kata juara Raja Pecut edisi 2010 itu.


Anuar kini menjadi taruhan terbaik pelumba tempatan seandainya mahu memenangi sesuatu kali ini walaupun kini sekadar mengumpul 29 mata, ketinggalan 12 mata dalam perebutan jersi Raja Pecut.

Peringkat kelima hari ini sejauh 110.3 kilometer mempertandingkan tiga zon pecutan di Coalfields, Paya Jaras dan Gombak sebelum mendaki ke Genting Highlands.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

No comments:

Post a Comment