Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tiga pemain kekang Ronaldo

Posted:

Manchester: Michael Carrick percaya Manchester United mungkin memerlukan tiga pemain untuk mengawal pergerakan Cristiano Ronaldo.

Carrick berkata, penyerang Real Madrid berusia 28 tahun itu pasti memainkan peranan besar pada pusingan kedua Liga Juara-Juara awal pagi di Bernabeu.


Carrick mendedahkan Red Devils kini bekerja keras untuk mengekang bekas rakan sekelab itu yang juga antara pemain terbaik di dunia.

"Setiap pemain masih mengingati Ronaldo. Apa yang dilakukannya bersama Real sangat hebat dan dia perlu dikekang.


"Saya rasa kami memerlukan dua atau tiga pemain. Dia terlalu bagus ketika beraksi untuk Real." Carrick menganggap bekas rakan sepasukannya itu tidak bernasib baik kerana beraksi di era sama dengan bintang Barcelona, Lionel Messi yang menyaksikan aksinya agak tenggelam.


"Dia begitu hebat kerana dapat menjaringkan banyak gol dengan cepat.

"Kerana Messi, Ronaldo gagal mendapat pujian selayaknya kerana Messi sudah mendominasi segala-galanya.


"Tetapi ia tidak dapat menafikan sumbangan besarnya di Real. Ronaldo adalah seorang pemain yang istimewa," kata pemain tengah England berusia 31 tahun itu.

Bagaimanapun, jika Carrick agak bimbang dengan kelincahan Ronaldo pada perlawanan pertama pusingan kedua itu, rakan sepasukan, Rio Ferdinand yakin bintang Portugal itu tidak mungkin berjaya mempengaruhi corak permainan.


Ferdinand berkata, memori beraksi di United pasti masih diingati Ronaldo.


"Ia pasti perlawanan yang agak beremosi untuk Ronaldo serta memori yang hebat untuknya.


"Dia mempunyai penyokong setia dan pastinya Ronaldo serta penyokongnya saling menghormati satu sama lain," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

McIlroy, Woods teraju 64 pemain

Posted:

Marana, Arizona: Pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy dan juara kejohanan utama 14 kali, Tiger Woods mengetuai senarai pemain yang diumum bersaing di Kejohanan Golf Match Play Dunia, minggu depan.

Seramai 64 pemain terbaik ranking dunia kelmarin akan beraksi pada kejohanan di Tucson namun senarai akhir tidak akan diketahui hingga Ahad ini kerana pemain memiliki tempoh hingga Jumaat untuk menyatakan persetujuan beraksi pada kejohanan bernilai AS$8.75 juta (RM27.1 juta) itu.


Juara tiga kali Masters, Phil Mickelson yang berada di kedudukan ke-10 dunia sudah mengesahkan tidak akan beraksi sekali gus membenarkan pemain yang berada di ranking ke-65 dunia, Shane Lowry dari Ireland melakukan penampilan pertama pada kejohanan membabitkan 64 pemain itu.

Jika situasi terbabit tidak berubah, Lowry bakal membuka saingan menentang pemain Ireland Utara, McIlroy yang juga juara Kejohanan PGA tahun lalu.


McIlroy, Woods, pemain England Luke Donald serta Brandt Snedeker dari Amerika Syarikat yang memenangi gelaran pertama minggu lalu di Pebble Beach dan juara PGA AS tahun lalu akan menjadi pemain pilihan andai kedudukan mereka kekal.


Juara bertahan, Hunter Mahan yang berada kedudukan ke-26 turut beraksi hari ini dan pusingan pertama membabitkan 32 pertandingan di Dove Mountain.

Pemain Afrika Selatan, Richard Sterne membaiki ranking pada Ahad untuk layak beraksi selepas melonjak daripada kedudukan ke-94 ke 55 susulan kejayaannya di Terbuka Joburg.


Enam pemain yang berada di luar kelompok 64 terbaik pada awal tahun ini turut layak beraksi termasuklah pemain Thailand, Thongchai Jaidee yang bermula di ranking ke-80 pada awal tahun dan kini berada di tempat ke-54.

Selain itu, Tim Clark dari Afrika Selatan, pemain Scotland, Stephen Gallacher, Chris Wood dari England serta Charles Howell dan Russell Henley dari Amerika Syarikat.


Lowry mengenepikan pemain Sweden, Fredrik Jacobson meraih tempat terakhir peserta apabila Patrick Reed melakukan birdie pada jarak 12 kaki pada lubang ke-18 di Pebble Beach untuk berkongsi kedudukan ketujuh bersama Jacobson dan menghalang pemain Sweden itu menduduki ranking ke-65.


Jacobson yang berada di ranking ke-66 adalah calon pengganti utama di depan Bernd Wiesberger dari Austria dan pemain ke-67, Dane Anders Hansen. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Federer gembira Nadal pulih

Posted:

ROTTERDAM: Roger Federer mengalu-alukan kehadiran semula Rafael Nadal tapi enggan terlalu memikirkan karisma seteru utamanya itu sebaliknya lebih menumpukan kepada aksi sendiri pada saingan Tenis Dunia Rotterdam bermula hari ini.

Selaku pilihan utama dan juara bertahan, Federer begitu bersemangat untuk turun pada perlawanan pertama selepas tewas kepada Andy Murray pada separuh akhir Terbuka Australia dan berehat bersama keluarga di Dubai dan Switzerland.


"Saya melihat beberapa gambar Rafa, minggu lalu. Dia masih bermain menggunakan tangan kiri dan bajunya juga amat menarik," seloroh Federer.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun yang sudah memenangi 17 gelaran Grand Slam memiliki jadual padat bermula minggu ini, diikuti Terbuka Dubai dan Masters Indian Wells, bulan depan di California.


"Saya gembira dia kembali beraksi dan bermain pada saingan Jelajah," kata juara dua kali Rotterdam itu.


"Dia memiliki tenaga yang hebat. Saya terkejut apabila dia tewas pada final kepada lawan yang menduduki ranking di luar kelompok 50 terbaik dunia.

"Saya pasti dia banyak mengumpul maklumat mengenai permainannya pada minggu lalu." Selepas tidak beraksi tujuh bulan akibat kecederaan tendon kaki kiri, Nadal tewas final perseorangan dan beregu Terbuka VTR di Chile.


Ketika Nadal beraksi di gelanggang tanah liat di Sao Paulo, Federer yang beraksi menentang pemain Slovenia, Grega Semlja pada pusingan pertama menyuarakan hasrat melakar hatrik kejuaraan di Rotterdam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Jom meriahkan Futsal Belia Pandan

Posted:

Kuala Lumpur: Pasukan yang ingin melakukan persiapan mengharungi beberapa kejohanan besar sepanjang tahun ini dijemput menyertai Karnival Futsal Terbuka & Kesihatan Belia Pandan 2013 pada 24 Februari ini di Ampang Sport Planet.

Hadiah lumayan berupa wang tunai lebih RM7,000 disediakan penganjur.


Juara menerima RM3,000, trofi, pingat manakala naib juara RM2,000 manakala pemenang tempat ketiga/keempat masing-masing menerima RM500.

Yuran penyertaan RM180 sepasukan namun bagi 30 pasukan terawal hanya dikenakan RM130 saja.


Format kejohanan adalah secara liga pada peringkat kumpulan, johan dan naib johan akan ke peringkat kalah mati.


Pengarah program, Mohd Shazrizat Zulkipli berkata, sambutan setakat ini cukup memberangsangkan namun masih ada ruang bagi pasukan baru.

Maklumat lanjut boleh hubungi Shazrizat di talian 014 8905560, Khairul 013-2258638 atau Sports Planet Ampang (03 42520817).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Jagoan Baling!

Posted:

Baling: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera muncul juara bola sepak Bawah 18 Tahun Zon Baling apabila menewaskan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling menerusi sepakan penalti 5-4 selepas terikat 1-1 pada final di padang Sekolah Model Khas (SMK) Baling, baru-baru ini.

Sebanyak tujuh sekolah, SMK Baling, SMK Tunku Putera, SMK Siong, SMK Bongor, MRSM, SMK An-Najjah dan Sekolah Model Khas Baling menyertai kejohanan itu.


Berikutan kemenangan itu, SMK Tunku Putera akan mewakili Zon Baling ke peringkat Zon Kuala Pegang, Kuala Ketil dan Zon Sik pada bulan depan.

Jurulatih SMK Tunku Putera, Yuhani Mat Ariffin berkata, kesungguhan pemain berlatih tanpa jemu akhirnya membuahkan hasil meskipun rata-rata pemain terdiri daripada anak kampung yang berlatih dalam keadaan serba kekurangan.


Menurutnya, semangat tinggi pemain untuk menaikkan nama sekolah dan daerah menyebabkan mereka bermain sepenuh komitmen untuk bergelar juara.


"Saya tahu semua pemain terdiri daripada anak-anak kampung tapi mereka mempunyai bakat tinggi dan seharusnya digilap supaya mereka boleh melangkah lebih jauh lagi.

"Inilah yang diterapkan kepada setiap pemain ketika berlatih di padang supaya mereka bersemangat dan bermain bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan," katanya.


Menurutnya, disiplin, komitmen tinggi dan kemahiran mengawal bola menjadi senjata pasukan meraih kemenangan meskipun diasak bertalu-talu pasukan lawan.

"Kami membuat latihan konsisten untuk menghadapi lawan selain bermain sebagai satu pasukan.


"Setiap pemain berazam memenangi perlawanan sekali gus muncul juara sebagai hadiah titik peluh mereka selama ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Tajaan melimpah

Posted:

Kuala Terengganu: Tajaan masih melimpah ruah buat T-Team walaupun Liga M sudah masuk bulan kedua.

Tajaan untuk pasukan Titans sudah mencapai RM6.28 juta sebelum Hotel Permai menghulurkan RM60,000 dan GLE Centre Kopi Super Jantan pula menambah RM20,000, kelmarin.


Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah T-Team, Datuk Mazlan Ngah berkata, sokongan kewangan diberikan kepada T-Team banyak memberi dorongan kepada pasukan untuk mencapai impian memenangi trofi pertama musim ini.

"Kami pasukan baru di bawah pengurusan baru memang memerlukan semua bantuan untuk merealisasikan harapan bukan saja pasukan malah seluruh rakyat Terengganu yang dahagakan kejayaan.


"Mungkin saingan liga kami bermula kurang menyerlah dengan dua kemenangan dan tiga kekalahan namun kami yakin dengan sokongan padu penyokong, semua rintangan dapat kami tempuhi," katanya pada majlis penyerahan tajaan di Hotel Permai, kelmarin.


Pengerusi Hotel Permai, Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar berkata, pasukan Titans adalah harapan pengusaha perniagaan yang turut mengidamkan kejayaan.

"Kami juga tidak banyak bezanya dengan T-Team, cuma kami bersaing di bidang perniagaan dan Titans pula memburu kejayaan di padang.


"Memandangkan kami juga terbabit dalam bidang pelancongan sukan termasuk berbasikal dan kapal layar, kami berasa perlu untuk turut sama bergabung," katanya.

Pengarah Urusan GLE Centre Kopi Super Jantan, Mohd Zulkifli Harun pula berkata, ramai yang melihat T-Team bukan hanya sebuah kelab bola sepak.


"Sebelum ini kami menaja pasukan Terengganu tapi turut terpanggil untuk membantu Titans selepas melihat program bersama komuniti mereka yang membabitkan pelajar sekolah, anak yatim, orang tua dan penduduk kampung.


"Kami bangga kerana ada kelab bola sepak di Kuala Terengganu yang sanggup mengorbankan wang, masa dan tenaga untuk masyarakat setempat dan bukan hanya mementingkan kejayaan dalam stadium saja," katanya.


Sementara itu, kapten, Marzuki Yusof berkata, dia dan rakan sepasukan terharu terhadap sokongan yang diberikan.


"Semua ini menjadikan kami lebih bersemangat untuk memburu kejayaan apabila bertandang ke Johor Bahru berdepan Johor Darul Takzim, Sabtu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Jang janji pamer perubahan: Azmeer

Posted:

Seremban: Pemain pertahanan Negeri Sembilan, Azmeer Yusof yakin pasukan itu bakal mempamerkan perubahan ketika menentang ATM pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini.

Selepas aksi hambar sejak awal musim ini, Azmeer dan rakan sepasukan cuba bangkit dengan persembahan lebih terpuji demi merealisasikan impian meraih kemenangan pertama liga musim ini.


"Beberapa pemain utama antaranya kapten, Norhafiz Zamani Misbah dan penyerang, Ahmad Shakir Md Ali yang cedera sudah mula menjalani latihan dan kehadiran mereka mampu memperkemaskan lagi jentera pasukan.

"Saya yakin perkembangan baik ini dapat menaikkan semangat pemain untuk memberikan persembahan cemerlang sekali gus mengecapi kemenangan yang amat diharapkan," katanya.


Menurut bekas pemain Pos Malaysia itu, semua pemain akan berusaha memberikan persembahan terbaik kerana mahu membawa pasukan keluar daripada kelompok terbawah carta liga.


"Saya yakin mereka sudah menanam tekad untuk bangkit demi mempertahankan reputasi pasukan dan aksi di halaman sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meraih tiga mata." Tonggak berusia 23 tahun yang bergandingan dengan Wiliam Paul Modibo, Mohd Fauzi Nan dan Tengku Qaiyyum Ubaidilah setakat ini berjaya melaksanakan tugas dengan baik tapi ketumpulan barisan depan membuatkan skuad Hoben Jang Hoben gagal mencapai kemenangan dalam lima perlawanan liga sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Perlis kembali beraksi malam

Posted:

Kangar: Masalah lampu limpah di Stadium Utama berakhir apabila boleh digunakan pada waktu malam ketika Perlis berdepan Sabah pada kempen Liga Perdana, Isnin depan.

Pengurus pasukan, Shahruddin Ismail berkata, sistem lampu limpah di stadium itu sudah memenuhi tahap piawaian 1,000 lux seperti ditetapkan Jawatankuasa Pertandingan FAM selepas kerja pembaikan dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, baru-baru ini.


"Jika sebelum ini, pasukan Perlis terpaksa beraksi pada jam 4.45 petang sejak kempen Liga M musim ini bermula, kini semua perlawanan boleh diadakan pada waktu malam tanpa sebarang masalah," katanya.

Berikutan itu, beliau dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berharap FAM akan turun membuat pemeriksaan terhadap sistem lampu dalam tempoh terdekat dan seterusnya memberikan kelulusan.


"Kami sudah memaklumkan perkara itu kepada FAM sebaik saja kerja pembaikan selesai baru-baru ini.


"Kami harap FAM akan turun membuat pemeriksaan dan memberikan kelulusan supaya perlawanan dengan Sabah pada aksi Liga Perdana boleh berlangsung jam 8.45 malam."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Nazmi janji rebut tempat

Posted:

Kelana Jaya: "Misi saya belum habis lagi, apa orang nak cakap saya tak kisah, saya akan 'fight' (berjuang) dalam padang," kata pemain muda, Muhamad Nazmi Faiz Mansor yang bertekad mempamerkan aksi terbaik bersama pasukan baru, PKNS FC dalam usaha merebut tempat dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara ke Sukan Sea Myanmar, hujung tahun ini.

Biarpun mengetahui dirinya kini tiada dalam perancangan awal jurulatih, Ong Kim Swee bagi perlawanan persahabatan menentang Myanmar di Yangon pada 22 Februari dan ke Slovakia selama lima bulan bermula 15 Mac ini, ia langsung tidak melunturkan semangatnya.


Pemain berusia 19 tahun itu yang menamatkan kontrak dengan kelab Portugal, SC Beira-Mar secara mengejut untuk menyertai PKNS sedar, dia perlu membuktikan kemampuan jika mahu memikat semula hati jurulatih negara itu.

"Semestinya saya tidak akan hilang macam itu saja (diketepikan daripada skuad B-23), saya akan berusaha untuk mendapat tempat. Semuanya terpulang kepada diri sendiri, saya perlu tunjukkan aksi lebih baik untuk diserapkan dalam pasukan," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Kelana Jaya semalam.


Nazmi berdepan pelbagai kritikan kerana membuat keputusan drastik meninggalkan kelab SC Beira-Mar biarpun sudah menandatangani kontrak selama tiga tahun pada Julai tahun lalu.


Dia yang menjadi pemain bola sepak pertama negara ditawarkan kontrak sebagai pemain profesional membiarkan peminat tertanya-tanya dengan kepulangannya kerana enggan menceritakan punca sebenar di sebalik tindakannya itu.

Nazmi yang menjadi tonggak skuad B-23 negara mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Jakarta 2011 sudah seminggu menjalani latihan bersama PKNS di bawah kendalian Abdul Rahman Ibrahim.


Walaupun tidak dibenarkan bermain dalam perlawanan domestik hingga jendela perpindahan pemain dibuka semula April ini, pemain tengah itu menganggap ia tidak akan menjejaskan prestasinya.

"Setakat ini latihan saya OK, walaupun saya tidak boleh bermain, saya akan gunakan masa ini membuat latihan. Saya perlu buat latihan lebih daripada biasa kerana saya sedar, semuanya kini terletak pada diri sendiri," katanya yang menafikan mendapat tawaran kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City untuk menjalani latihan di Wales.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Selangor pertama layak ke suku akhir

Posted:

Kota Kinabalu: Kerapuhan pertahanan tuan rumah membenarkan juara lima kali Piala FA, Selangor mencatat kemenangan selesa 3-0 seterusnya menutup peluang Sabahawks untuk mara ke suku akhir aksi kalah mati pusingan kedua di Stadium Likas, semalam.

Perlawanan yang berlangsung dalam hujan renyai itu menyaksikan pelawat menguasai sepenuhnya perlawanan walaupun dibanjiri kira-kira 5,000 penyokong tuan rumah.


Sebaik sepak mula, Selangor melancarkan gerakan memburu gol awal dan peluang terhidang seawal minit ke-18 apabila tandukan Muhd Ramzul Zahini Adenan dinafikan penjaga gol tuan rumah, Shahril Sa'ari.

Namun, Sabah tidak menyerah kalah dan cuba membalas serangan apabila Juffrey Omopor mencuri tumpuan m-33 apabila melakukan percubaan terus ke gawang Selangor namun berjaya ditepis penjaga gol, Norazlan Razali.


Bagaimanapun pada minit akhir babak pertama, Selangor berjaya mendahului menerusi rembatan pemain import, Francis Forkey Doe selepas menerima hantaran Solihin Kanasian untuk menewaskan Shahril.


Selangor semakin rakus menambah jaringan pada babak kedua dan usaha mereka terhasil m-52 apabila Mohd Raimi Mohd Noor mudah menewaskan Norazlan dalam aksi satu lawan satu selepas menerima umpanan Francis dalam kotak penalti.

Tidak cukup dengan dua gol, pasukan Gergasi Merah menambah gol ketiga melalui jaringan mudah Francis yang memanfaatkan hantaran Mohd Raimi m-86.


Bagaimanapun, Sabah cuba bangkit dengan peluang mencipta gol pada minit terakhir perlawanan hasil rembatan Juffrey Omopor tapi dinafikan penjaga gawang lawan.

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti puas hati dengan aksi dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan.


Namun, beliau turut melahirkan rasa kecewa melihat persembahan beberapa pemain tonggak yang masih gagal menunjukkan aksi memberangsangkan.


"Pada perlawanan ini, saya sasar hanya satu gol kerana ini adalah perlawanan kalah mati dan hanya kemenangan membolehkan Selangor ke pusingan seterusnya.


"Tetapi bila dapat tiga gol, ini sudah cukup membanggakan kami," katanya yang berharap pemain lebih fokus pada perlawanan akan datang.


Katanya, Selangor bakal menghadapi lebih banyak perlawanan Liga Super dan Piala AFC selepas ini dan perlu melakukan persiapan rapi supaya keputusan dicatat tidak menghampakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

No comments:

Post a Comment