Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Anggota perlu tampil

Posted:

Kuantan: Anggota gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus tampil dan mengemukakan cadangan jika mahu Artikel 88 Statut badan itu dikaji semula.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, artikel itu dibuat serta dilulus anggota gabungan FAM, bukan atas arahan presiden, timbalan presiden atau naib presiden.


"Kalau perlu dikaji semula, anggota gabungan harus tampil dan mencadangkan supaya dapat dikaji, saya sudah maklumkan kepada jawatankuasa perundangan FAM supaya kaji semula, kalau boleh kita perhalusi, tetapi jangan bila kita dah tarik artikel ini sewenang-wenangnya kita nak mengutuk.

"Ini tidak akan mencerminkan kematangan sukan bola sepak, nak mengutuk senang tapi kita nak memperkemaskan lagi itulah seelok-eloknya." Artikel 88 memperuntukkan hanya presiden dan setiausaha agung berhak mengkritik FAM dan struktur organisasinya.


Beliau yang juga Tengku Mahkota Pahang turut tidak bersetuju dengan tindakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M).


Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan saingan Liga M yang disifatkannya masih berada di tahap amatur ketika bola sepak Malaysia sudah lama di era profesional.

Foto

TUNKU Ismail bakal dibicara FAM?

Justeru, tindakan itu mendedahkan dirinya kepada 'bahaya' dan bakal berdepan Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana didakwa melanggar Artikel 88 apabila mengkritik badan itu secara terbuka.


"Saya tidak setuju dengan teguran itu kerana ia secara 'spontan'," katanya.

Beliau berkata, walaupun timbul persoalan mengenai mutu pengadilan Liga M yang menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak tempatan, Tunku Ismail perlu mengemukakan bukti atau asas kukuh mengenai perkara itu.


"Mungkin jika disertai asas dan fakta, kita boleh kaji semula perkara itu, kita harus perkemaskan.


"Saya akui memang ada kelemahan tapi kita boleh perkemaskan dan lihat semula mutu pengadilan...kita akan kaji.


"Jangan cepat menghukum, ikutlah saluran terbaik." Tengku Abdullah berkata, sesiapa saja perlu mengikut saluran betul atau sepatutnya melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu dan tidak terus melalui media yang hanya boleh menghangatkan situasi.


"Ikut saluran terbaik, bagi surat atau jumpa Setiausaha FAM.


"Sekretariat FAM akan mengkaji, jika teguran itu dapat diperbetul, kita akan betulkan." Menurutnya, lebih penting adalah sesiapa saja perlu menggunakan saluran betul iaitu melaporkan kepada FAM berhubung perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati bola sepak Malaysia.


Ditanya mengenai desas-desus peletakan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak, Tengku Abdullah memaklumkan beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.


"Wallahua'lam... lebih baik awak tanya dia (Taufek)." Sementara itu, Tengku Abdullah berkata, FAM perlu bijak menangani situasi dihadapi badan itu kini umpama berdepan kemelut berikutan beberapa isu panas menjadi perbualan hangat peminat bola sepak tempatan termasuk kes penggantungan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim dan yang terbaru membabitkan kritikan Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Goyah sebelum mara

Posted:

Dubai: Roger Federer memulakan aksi mempertahankan kejuaraan Terbuka Dubai dengan agak goyah apabila terpaksa bangkit daripada kekalahan set pertama menentang seorang pemain yang lebih popular daripadanya, kelmarin.

Pemegang rekod terbanyak kejuaraan Grand Slam itu berkata, sebelum perlawanan dia perlu mengambil masa lebih lama menyesuaikan diri menentang pemain yang tidak pernah ditemuinya dan mengalami masalah berdepan pemain terbaik dunia Arab, Malek Jaziri yang menerima sorakan padu penonton apabila kalah set pertama.


Apabila Federer menemui semula sentuhannya dan memenangi dua set berikutnya dalam kurang 75 minit, kemenangan 5-7, 6-0, 6-2 itu turut menyaksikan dirinya menerima tepukan gemuruh.

"Orang mungkin anggap undian ini mudah kerana dia seorang pemain wild card," kata Federer.


"Saya anggap sebaliknya kerana saya tidak tahu corak permainannya, pukulan kegemarannya, semua perkara itu.


"Perlawanan seperti ini kerap menjadi perlawanan besar di Timur Tengah. Pusingan pertama sentiasa mencetus tekanan sebagai juara bertahan dan saya mahu bermula dengan baik. Ia bukannya perlawanan mudah buat saya." Namun semua drama itu agak tidak munasabahl.

Pemain kurang ternama itu tidak bermain lebih tiga bulan kerana kecederaan lutut dan menduduki ranking di luar kelompok 100 terbaik serta hanya menyertai kejohanan sebagai pemain wild card.


Namun Malek memang berbakat. Pemain Tunisia itu melakukan servis pertama dengan kelajuan 217 kmj dan beraksi tanpa tekanan sebagai pemain bukan pilihan yang mampu mengancam pemain utama.

Federer juga memiliki kelebihan disebabkan tahap kecergasan lawannya yang mencurigakan.


"Ia turut bermain di fikiran saya, anda lihat sendiri, balutan besar di lututnya selain tidak beraksi langsung tahun ini," kata Federer. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Prost sokong Vettel buru trofi keempat

Posted:

Paris: Juara empat kali Formula Satu, Alain Prost menyokong usaha pemandu Red Bull, Sebastian Vettel menyamai jumlah kejuaraannya musim ini.

Prost, pemandu dari Perancis, memenangi kejuaraan dunia bersama dua pasukan dalam tempoh sembilan tahun namun Vettel memburu kejuaraan keempat berturut-turut, pencapaian yang sebelum ini hanya dilakar pemandu legenda Argentina, Juan Manuel Fangio dan Michael Schumacher.


Hanya tiga pemandu berjaya memenangi lebih daripada empat kejuaraan sejak kejohanan itu bermula pada 1950.

"Ya, sekalipun saya harap dia tidak perlu memulakan musim seperti dilakukannya dua tahun lalu apabila menang empat atau lima perlumbaan berturut-turut," kata bekas pemandu berusia 58 tahun itu apabila ditanya sama ada Vettel boleh memenangi kejuaraan keempat.


Vettel menang lima daripada enam perlumbaan pertama pada 2011 ketika merangkul kejuaraan keduanya namun semuanya lebih sukar tahun lalu, apabila diberi saingan sengit hingga ke perlumbaan penamat di Brazil oleh pemandu Ferrari, Fernando Alonso.


"Dia masih pemandu pilihan. Di belakangnya, sukar untuk diperkatakan," kata Prost yang memenangi kejuaraan bersama McLaren dan Williams.

"Adakah kehilangan (Lewis) Hamilton dan mempunyai pemandu muda menggantikannya akan menggugat McLaren? Mercedes tidak mencabar kejuaraan, saya tidak fikir begitu. Alonso mungkin paling rapat mencabar Vettel dan kenapa tidak pemandu seperti (Kimi) Raikkonen atau (Romain) Grosjean?" Anak lelaki Prost, Nicolas adalah pemandu pembangunan bersama Lotus.


Ditanya mengenai pandangannya selepas dua ujian pertama pramusim di Sepanyol, Prost berkata, Red Bull pasukan yang perlu ditundukkan manakala Mercedes yang menampilkan Hamilton mampu mengejar pasukan utama lain.

"Red Bull masih berkuasa dan pastinya lebih bagus berbanding tahun lalu," katanya. "Ferrari juga bagus. McLaren pastinya dalam kelompok tiga pasukan teratas, begitu juga Lotus." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Yow FC intai juara tahun depan

Posted:

Kuching: Kejayaan meraih tempat ketiga Terbuka Lelaki Karnival Futsal Harian Metro bukan sesuatu yang luar biasa bagi pasukan Yow FC.

Sebelum menyertai karnival kali pertama berlangsung di Kuching, Sarawak itu, mereka memang sering dilabel antara pasukan pilihan.


Pengurus pasukan, Sariman Muchimun berkata, mereka tetap puas hati dengan keputusan itu meskipun pada hakikatnya impian merangkul kejuaraan tidak menjadi kenyataan.

"Apabila sampai ke saingan separuh akhir, saya lihat empat pasukan yang bertanding termasuk kami memang selalu bertemu.


"Sebab itu kami tidak mahu meletakkan keyakinan begitu tinggi dan tempat ketiga sebenarnya satu kejayaan untuk kami," katanya.


Jelas Sariman, sekiranya Karnival Futsal Harian Metro dianjurkan sekali lagi pada tahun depan, mereka bertekad menjuarai kategori Terbuka Lelaki.

"Kami sudah memenangi banyak saingan di sekitar Sarawak terutama Kuching. Cuma ketika ini, kami belum memenangi karnival ini lagi.


"Sebab itu saya sentiasa menyokong penuh sekiranya karnival ini dilangsungkan lagi pada tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Impian Status War's 15 Junior tercalar

Posted:

Kuching: Status War's 15 Junior selaku pasukan pilihan untuk muncul juara Karnival Futsal Harian Metro sedikit tercalar apabila sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga Remaja Bawah 17.

Pasukan yang sering merangkul banyak kejuaraan sekitar Sarawak itu, gagal melangkah ke final dan terpaksa turun pada penentuan tempat ketiga yang menyaksikan mereka menewaskan KTT Wirajaya Junior, 2-0.


"Kami memang sasarkan untuk menang kerana dalam kategori ini, kami sering muncul juara pada beberapa kejohanan sebelum ini.

"Antara yang paling membanggakan adalah memenangi saingan Hidup Bola Milo enam kali berturut-turut.


"Tapi nasib nyata tidak memihak kepada kami kerana tewas aksi separuh akhir dan terpaksa beraksi pada penentuan tempat ketiga," kata pengurus pasukan, Ahmad Tarmizi Hamdi.


Bagaimanpun, jelas beliau, War's 15 tetap puas hati dengan keputusan itu kerana setidak-tidaknya mereka tidak pulang tangan kosong.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Aprillia 7 pamer taring

Posted:

Kuching: Meskipun tidak mempunyai pengurusan yang teratur, Aprillia 7 masih mampu memenangi tempat ketiga Terbuka Wanita Karnival Futsal Harian Metro, Ahad lalu.

Tanpa sokongan mana-mana pihak, pengurus pasukan, Sahrifah Anita Wanalla berkata, kejayaan meraih tempat ketiga satu kejayaan yang cukup besar.


"Kami memang berusaha sendiri daripada semua sudut untuk menubuhkan pasukan ini.

"Malah saya sendiri yang bertindak sebagai pengurus pasukan turut bermain. Kami juga tidak mempunyai jurulatih sebelum ini.


"Hanya baru-baru ini, kami melantik jurulatih untuk membimbing kami. Pendek kata, semua atas usaha sendiri," katanya.


Jelas Sahrifah, Aprillia yang sudah lama ditubuhkan sudah sering mengecapi banyak kejayaan.

"Kejayaan meraih tempat ketiga di karnival ini adalah antara kejayaan besar kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Pengalaman jadi kelebihan

Posted:

Kuantan: Kelibat pemain negeri yang beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) menjadi kelebihan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang untuk muncul juara Kejohanan Ragbi Tujuh Sepasukan Remaja Pahang 2013, kelmarin.

Pada perlawanan akhir di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Kemunting, Kuantan, pasukan kendalian Mohd Zulkhairai Mohd Azam mudah menjinakkan Universiti Malaysia Pahang (UMP), 26- 7 untuk muncul juara kategori Cup.


Mohd Zulkhairai berkata, pengalaman luas pemain membantu UiTM Pahang merangkul kejuaraan sulung tahun ini yang akan menjadi landasan menghadapi cabaran kejohanan akan datang.

"Majoriti pemain sebelum ini pernah mewakili skuad SUKMA Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan. Kelebihan itu kami gunakan sepenuhnya untuk membentuk sebuah pasukan mantap.


"Saya harap kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk terus menyerlah seterusnya melakar kejuaraan pada tiga pertandingan selepas ini.


"Kami akan menyertai Kejohanan Jemputan Segamat 10 Sepasukan, Kejohanan UISF Tujuh Sepasukan dan Karnival Sukan Mahasiswa UiTM (KARiSMA), September ini," katanya.

Beliau berkata, kelibat dua pemain utama Dinie Afiq Mohd Zailani dan Muhammad Afiq Izzat Zulkifli akan terus ditagih bagi membawa cabaran UiTM Pahang musim ini.


Sementara itu, pasukan Kolej Metrikulasi Teknikal A yang menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul juara kategori Plate. Kategori Bowl pula milik Kolej Matrikulasi A yang menewaskan Kolej Komuniti Rompin, 19-7.

Kejohanan dua hari itu dianjur Kesatuan Ragbi Negeri Pahang (KRNP) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Pahang (MSP) dan disertai 15 pasukan tempatan. Penyampaian hadiah dilakukan Datuk Ahmad Razif Abd Rahman. Turut hadir Pengarah Kampus UiTM Jengka, Prof Madya Datuk Dr Hilmi Ab Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Program capai matlamat

Posted:

Alor Setar: Unit Sukan UiTM Kedah mengadakan dua aktiviti sukan dan riadah yang berjaya mencapai matlamatnya.

Aktiviti pertama adalah Cabaran Golf Jelajah Utara MDAB Lembah Bujang 2013 di Kelab Golf & Country Kulim, baru-baru ini.


Kejohanan tahunan kali kedua itu membabitkan penyertaan pemain seluruh kampus UiTM termasuk Sabah selain wakil PDRM Daerah Yan Kedah, Shah Alam, Pulau Pinang dan Kelantan.

Antara VVIP yang menyertai kejohanan itu adalah Rektor UiTM Kedah, Prof Madya Dr Haidar Dziyauddin, Rektor UiTM Perlis, Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman dan Pengurus Besar INSPIN Kedah, Mohamad Che Nai.


Kejohanan bertujuan mengumpul dana Tabung MDAB UiTM Kedah itu dimenangi Pensyarah FSSR, Mohamat Najib Mat Noor yang juga Presiden Kelab Golf UiTM Kedah. Aktiviti kedua pula adalah program mendaki Gunung Jerai dianjur Kelab Rekreasi Sukan Xtreme (KeReXs) UiTM Cawangan Kedah pada 19 dan 20 Januari lalu.


Program disertai 25 pegawai, 10 pelajar KeReXs dan Dr Haidar diadakan bagi memupuk semangat kerjasama antara Pegawai Kehormat Kesatria (PKK) UiTM Kedah.

Menurut Timbalan Rektor HEP, Kol (KEST) Dr Asmadi Mohammed Ghazali, latihan seperti itu perlu diadakan sebulan sekali bagi mengekalkan kecergasan mental dan fizikal semua ahli PKK.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

30 pelajar ikuti klinik memanah

Posted:

Melaka: Seramai 30 pelajar Kolej Komuniti Selandar, Jasin mengikuti Klinik Memanah anjuran bersama kolej terbabit dan Persatuan Memanah Negeri Melaka di Lapang Sasar Memanah Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.

Program kerjasama Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) dan Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Melaka (USPTNM) turut disertai pegawai belia dan sukan kolej, S Shashidharan.


Jurulatih program, Zainudin Talib berkata, tujuan klinik diadakan bagi membudayakan dan memperkenalkan sukan itu di kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).

Malah ia antara usaha pencarian bakat untuk mewakili IPTA/IPTS di peringkat negeri dan kebangsaan.


"Sesi mini pertandingan turut diadakan sebagai kemuncak aktiviti dengan hadiah cenderahati disediakan kepada pemenang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Tarikh penentu!

Posted:

Shah Alam: Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 5 April bagi keputusan saman pemula yang difailkan Tan Sri Annuar Musa (gambar) berhubung penggantungan beliau sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hakim Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu di dalam kamarnya.


Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Annuar ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, prosiding pendengaran yang ditetapkan semalam bagaimanapun ditangguhkan kerana FAM (defendan) belum memfailkan hujahan bertulis yang sepatutnya dihantar Jumaat lalu.

"Justeru, mahkamah mengarahkan defendan memfailkan hujahan bertulis dalam tempoh tiga minggu," katanya.


Katanya, selain itu, FAM kelmarin memfailkan permohonan Aturcara 33 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi mahkamah memutuskan persoalan undang-undang berhubung saman itu.


"Mahkamah juga menetapkan 26 Mac untuk mendengar permohonan defendan," katanya.

Pada 5 Jun tahun lalu, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), selaku plaintif memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan FAM sebagai defendan pertama dan Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad sebagai defendan kedua.


Dalam pernyataan tuntutannya, Annuar mendakwa hukuman yang dijatuhkan terhadapnya tidak sejajar dengan pertuduhan asal dan draf pertuduhan terhadapnya mengandungi kecacatan serta FAM bertindak secara mala fide (berniat jahat).

Beliau berkata, Azzuddin dalam surat bertarikh 2 April 2012 juga melarang beliau daripada menghantar wakil ke Mesyuarat Khas Ke-21 Jawatankuasa Tatatertib FAM dengan alasan defendan kedua sendiri yang akan mewakili beliau.


Annuar juga berkata, Azzuddin tidak sepatutnya menjadi wakil beliau kerana defendan kedua adalah pihak yang membuat tuduhan.


Sehubungan itu, Annuar menuntut 10 perisytiharan berhubung tindakan FAM, yang membawa kepada penggantungan beliau.


Antaranya, pertuduhan FAM terhadap beliau dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mac 2012 adalah cacat, tidak sah dan terbatal.


Annuar juga mendakwa perbicaraan tatatertib pada 4 April 2012 dan hukuman terhadap beliau pada keesokan harinya (5 April 2012) tidak mematuhi prinsip keadilan asasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

No comments:

Post a Comment