Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Beranak tepi jalan

Posted:

London: Seorang ibu hamil bukan saja melahirkan anak di tepi jalan di luar sebuah pusat beli-belah, tetapi keseluruhan aksinya itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Kim Leighton, 25, melahirkan anak perempuan, Leanne di laluan kaki lima berhampiran pusat beli-belah Eden di High Wycombe, Buckinghamshire jam 2 pagi baru-baru ini.

Kim dibantu ibunya, Sue, 54. Beberapa pengawal keselamatan dari pusat beli-belah terbabit bergegas ke tempat kejadian dengan selimut selepas mengesan detik cemas itu di CCTV pusat beli-belah itu.

Pasangan Sue, Paul dan anak lelaki Kim, Lewis yang berusia empat tahun turut berdiri di sampingnya untuk mengalu-alukan kehadiran bayi baru itu.

Foto

PARAMEDIK tiba untuk membantu Kim dan bayinya.

Foto

KIM memberikan nama tengah Eden kepada Leanne sebagai penghargaan terhadap pusat beli-belah tempat dia dilahirkan.


Kim berkata, dia merancang untuk menunjukkan rakaman video itu kepada anak perempuannya kelak yang turut mempunyai nama tengah Eden sebagai penghargaan kepada tempat bayi itu dilahirkan.


Kim tinggal di pangsapuri berdekatan pusat beli-belah itu.

Ketika ibunya membantu dia menuruni tangga untuk ke hospital, Kim dapat merasakan bayinya seperti hendak keluar.

Kim berkata: "Ibu saya berkata 'Tidak, belum lagi' tetapi saya dapat merasakan dia ingin keluar, jadi saya tanggalkan seluar panjang saya di tepi jalan. Saya meneran dan bayi saya kemudian menggelongsor ke tangan ibu saya.

"Pengawal keselamatan berkenaan melihat apa yang berlaku di CCTV dan segera bergegas membawa selimut dan menenangkan saya hingga ambulans tiba," katanya.

"Buat masa ini, tempat lahir Leanne dicatatkan sebagai 'lain-lain', jadi saya perlu menjelaskan dan menunjukkannya rakaman video itu. Sungguh hebat kerana aksi itu sangat jelas dalam video terbabit.

"Kawan dan ahli keluarga saya tidak percaya apabila saya beritahu mereka cerita itu," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

Britney cari jodoh di Internet

Posted:

Los Angeles: Bintang pop Britney Spears mungkin tidak tahan bersendirian dalam tempoh yang lama.

Selepas hubungan cintanya dengan Jason Trawick berakhir, Britney dikhabarkan mencuba nasib dengan mencari jodoh di laman perjodohan di Internet.


"Britney dikatakan mencuba beberapa laman mencari jodoh baru-baru ini. Dia bertemu beberapa lelaki difikirkan sesuai dan hebat lalu mulai berkomunikasi, tetapi tidak mahu pergi lebih jauh setakat ini," kata satu sumber sebagaimana dipetik daripada Showbizspy, semalam.

Sumber itu berkata, Britney sangat menggemari 'permainan' barunya itu. Bagaimanapun, teman penyanyi itu mendakwa dia tidak akan bertindak lebih jauh dengan menentukan tarikh bertemu individu yang dikenalinya di beberapa laman perjodohan terbabit.


"Teman Britney tidak menentang kegiatan barunya itu selagi ia tidak menjarakkan hubungan bintang pop itu dengan keluarganya dan membuatkan dia ingin bertemu dengan kenalannya di laman berkenaan," kata sumber itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

Godam stesen TV beri amaran zombie

Posted:

Montana: Sekumpulan penggodam, semalam menceroboh stesen televisyen di sini dan menyiarkan amaran mengenai zombie hari kiamat.

Penonton yang sedang menonton rancangan sembang mengenai remaja menjalani ujian alat pengesan bohong terkejut rancangan itu tiba-tiba terpadam dan mereka dipaparkan dengan kenyataan amaran: "Mayat orang mati dibangkitkan dari kubur dan menyerang orang yang hidup." Amaran itu yang diiringi bunyi hon memberitahu penonton agar tidak "mendekati atau menangkap mayat itu kerana mereka berbahaya". Penonton juga diberitahu stesen televisyen itu akan terputus bekalan tenaga elektrik kecemasan tidak lama lagi dan mereka perlu menghidupkan radio dikuasai bateri pada frekuensi khas. Tanda di skrin juga memaparkan maklumat terperinci mengenai lokasi di mana zombie menyerang.


Sementara itu, kakitangan rangkaian televisyen di Montana, Amerika Syarikat mengakui sistem mereka diceroboh hingga membolehkan penggodam menyiarkan amaran palsu berkenaan.

Sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan menghubungi polis kerana mempercayai mesej palsu itu benar. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

Pyongyang tunjuk degil

Posted:

Seoul: Korea Utara berkata, ujian nuklear dijalankan semalam hanyalah langkah "pertama" dan memberi amaran, tindakan lebih keras bakal diambil jika negara itu berdepan sekatan lebih ketat.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Korea Utara, langkah pertama itu diambil dengan amat berhati-hati. "Jika AS terus menyukarkan keadaan dengan meneruskan permusuhan, kami tidak ada pilihan kecuali bertindak lebih keras untuk pusingan kedua atau ketiga," katanya.


Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan.

Kenyataan itu dikeluarkan hanya beberapa jam selepas ketua agensi perisikan Korea Selatan memberi amaran, Pyongyang mungkin menjalankan ujian nuklear atau peluru berpandu dalam tempoh beberapa hari atau minggu lagi. Semalam, Korea Utara berkata, ujian itu dijalankan dengan menyasarkan AS.


Pyongyang berkata, Washington menghasut komuniti antarabangsa mengecam program nuklearnya serta mengetuai usul sekatan di Majlis Keselamatan PBB. Kementerian Luar berkata, sebarang tindakan, termasuk pemeriksaan kapal secara paksa atau sekatan laut akan dianggap sebagai "tindakan perang" dan boleh mendorong "tindak balas tanpa perikemanusiaan." Kata kementerian itu, AS perlu memilih antara meredakan ketegangan atau meneruskan dasar silapnya ketika ini dengan memusuhi Korea Utara serta meningkatkan ketegangan. Majlis Keselamatan PBB dijangka bertemu dalam sesi tergempar lewat malam tadi bagi membincangkan tindak balas terhadap ujian berkenaan. Di Pretoria, Afrika Selatan, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, menggesa Pyongyang melupakan program senjata nuklear dan kembali berunding selepas mereka mengingkari resolusi PBB dengan menjalankan ujian nuklear semalam. "Meningkatkan ketegangan ketenteraan di rantau itu sangat berbahaya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

Iran gesa musnah semua senjata nuklear

Posted:

Teheran: Iran semalam menggesa supaya semua senjata atom di dunia dimusnahkan selepas Korea Utara mengumumkan ia mengadakan ujian nuklear paling kuat pernah dilakukan.

"Sudah tiba masanya kita pastikan tidak ada negara memiliki apa juga senjata nuklear dan semua senjata pemusnah perlu dimusnahkan.


"Pada masa sama, semua negara berhak untuk menggunakan aktiviti nuklear bagi tujuan keamanan, " kata jurucakap Kementerian Luar, Ramin Mehmanparast ketika ditanya mengenai ujian nuklear di Pyongyang pada taklimat mingguannya, semalam.

Iran dikenakan pelbagai sekatan antarabangsa kerana program nuklearnya yang Barat dakwa bertujuan menghasilkan senjata atom meskipun Teheran berulang kali menafikannya.


Iran adalah antara segelintir negara yang mengucapkan tahniah kepada Pyongyang selepas ia berjaya melancarkan satelit saintifik ke angkasa lepas. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

Pelajar gagal tiru tikam guru

Posted:

Dhaka: Seorang guru semalam ditikam hingga mati oleh seorang pelajar yang dihalang meniru ketika peperiksaan sehari sebelumnya.

Guru berkenaan, Mostafa Bhuiyan, 35, ditikam di dada di depan isteri dan beberapa pelajar di rumahnya.


Pelajar terbabit, Riyad, dikatakan mengetuk rumah guru itu dan meminta Mostafa keluar. Sebaik muncul di depan pintu, pelajar berkenaan menikam mangsa.

Riyad dikatakan bertindak demikian kerana dihalang meniru dalam peperiksaan matematik Sijil Sekolah Menengah sehari sebelum kejadian. Polis masih belum menahan suspek atau menemui pisau yang digunakan dalam pembunuhan itu.


Pelajar berkenaan dan keluarganya melarikan diri dari kediaman mereka sebaik selepas kejadian itu.


Beberapa pelajar dan guru serta penduduk tempatan mengepung sebuah lebuh raya selama lima jam sebagai usaha menangkap Riyad, tetapi gagal. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

Pengusaha pelacuran untuk warga tua ditahan

Posted:

Tokyo: Polis semalam menahan seorang wanita yang didakwa menjalankankan kegiatan pelacuran untuk golongan tua.

Perniagaan Risako Yokata, 53, itu dikatakan membabitkan pelacur berusia 70-an.


Menurut polis, Risako berdepan dengan dakwaan melanggar undang-undang antipelacuran.

Laporan media tempatan berkata, 10 wanita berusia 40 hingga lebih 70 tahun bekerja di sebuah rumah pelacuran milik Risako yang pelanggannya terdiri daripada lelaki dan wanita berpencen.


Dia didakwa meraih pendapatan lebih 50 juta yen (RM1.5 juta) sepanjang dua tahun lalu.


Lebih 20 peratus penduduk Jepun berusia 65 tahun ke atas menjadikannya antara negara paling ramai penduduk yang sudah berusia.

Pasangan kembar Louise dan Martine Fokkens, 70, menjadi tajuk akhbar di seluruh dunia tahun lalu apabila mereka didedahkan sebagai pelacur kembar paling lama bekerja sebagai pelacur. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

50 bakal ditangkap kerana bunuh ahli sihir

Posted:

Port Moresby: Polis Papua New Guinea semalam berkata, mereka bakal membuat penangkapan pertama hampir seminggu selepas sekumpulan penduduk setempat membogel, menyeksa, mengikat dan membakar hidup-hidup seorang wanita yang didakwa penduduk setempat menjadi ahli sihir.

Jurucakap polis, Dominic Kakas, berkata kejadian pembunuhan terhadap wanita itu berlaku pada 6 Februari lalu di hadapan ratusan orang awam di Mount Hagen, bandar ketiga terbesar di Papua New Guinea.


Katanya, kira-kira 50 orang mencurah minyak tanah ke atas ibu berusia 20 tahun itu sebelum membakarnya dalam longgokan tayar kereta dan sampah.

"Mangsa dituduh mengamal ilmu sihir oleh keluarga seorang budak lelaki berusia 6 tahun yang mati di hospital sehari sebelum itu," katanya. Menurut Kakas, suspek dikenal pasti melalui temu bual dengan saksi.


"Polis mungkin menahan sehingga 50 orang untuk dijatuhkan dakwaan membunuh," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

Pendapat umum faktor utama

Posted:

Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, berkata pandangan orang awam akan menjadi faktor penting sebelum kerajaan memutuskan sama ada menguatkuasakan perintah berkurung atau tidak di selatan negara itu.

Kata Yingluck, dia menyokong cadangan dikemukakan timbalannya, Chalerm Yubamrung, pada minggu lalu selepas dua petani dan empat peniaga buah-buahan dibunuh, masing-masing di Pattani dan Yala.


"Keputusan muktamad mengenai perintah berkurung waktu malam ini akan diketahui Jumaat ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Kabinet bagi membincangkan isu berkenaan, semalam. Sebelum ini, cadangan itu mendapat bantahan daripada Menteri Pertahanan Thailand serta pemimpin Islam setempat yang menganggap pelaksanaannya hanya akan menyukarkan orang awam.

Yingluck berkata, dia menyokong usul itu ekoran siri serangan ganas yang mengorbankan lima tentera di daerah Raman, Yala, serta dua yang lain di Pattani pada Ahad lalu. Sementara itu, Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattanathabutr, berkata Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) diarah membuat kaji selidik di kalangan penduduk setempat.


Katanya, Ketua SBPAC, Thawee Sodsong diarah melaporkan keputusan kaji selidik itu kepada majlis berkenaan. "Keputusan dikumpul SBPAC mengenai cadangan berkenaan akan diberi keutamaan dalam pertemuan akan datang sebelum keputusan mengenainya dibuat," katanya. Ketika mengemukakan cadangan perintah berkurung itu, Chalerm berkata, ia boleh lebih menyukarkan pemberontak melakukan serangan. "Jika langkah ini gagal, kita boleh batalkan.


"Tiada apa yang perlu dimalukan jika ia gagal," katanya.

Bagaimanapun, pengkritik berpendapat, langkah itu hanya memberi sedikit kesan kerana pemberontak melakukan serangan di waktu siang. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

Al-Qaeda sasar konsulat AS di Chiang Mai

Posted:

Bangkok: Pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan di Konsulat AS di Chiang Mai ekoran wujud laporan ia mungkin menjadi sasaran serangan al-Qaeda serta kumpulan pengganas Salafi, kata pihak berkuasa semalam.

Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, berkata dia menerima laporan berkenaan dan mengarahkan agensi keselamatan meningkatkan kawalan di situ.


"Kedutaan AS di Thailand tidak memohon sebarang kawalan keselamatan, tetapi kerajaan perlu memantau keadaan," katanya. Sementara itu, timbalan Yingluck, Chalerm Yubumrung, enggan memberikan butiran lanjut mengenai ancaman berkenaan, tetapi mengesahkan, langkah keselamatan dipertingkatkan sejak 6 Februari lalu.

Katanya, ia akan kekal begitu sehingga latihan tentera antarabangsa dinamakan Cobra Gold, berakhir Ahad ini. "Mereka menumpukan serangan ketika latihan Cobra Gold," katanya. Chalerm berkata, sesetengah anggota militan itu mungkin masuk ke Thailand sebagai pelancong tetapi pihak berkuasa mempunyai maklumat lengkah mengenai mereka.


"Pihak berkuasa pasti mengekori suspek," katanya. Setakat ini, katanya, sesetengah ahli kumpulan berkenaan meninggalkan Thailand selepas mengetahui rancangan mereka dihidu pihak berkuasa.


"Namun, ada yang masih di sini tetapi kerajaan percaya mereka tidak mampu melakukan sebarang serangan," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/13

No comments:

Post a Comment