Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Masih belum terlambat

Posted:

Melaka: Atlet olahraga negara harus berjiwa kental dan memasang impian besar untuk meletakkan negara kembali memiliki raja pecut yang digeruni di peringkat Asia Tenggara dan Asia malah mampu bersaing di persada dunia.

Bekas raja pecut Asia, Rabuan Pit tidak pernah menganggap peluang menyaksikan negara kembali memiliki jagoan 100m sudah tertutup berikutan negara memiliki kemudahan mencukupi untuk membentuk lebih ramai atlet berwibawa.


Malah dengan kemudahan latihan mencukupi selain sekolah sukan dan venue pertandingan yang lengkap, bukan masalah untuk melahirkan lebih ramai raja pecut.

Dia yang masih mengikuti perkembangan atlet muda negara termasuk pentas Sukma XV Pahang menganggap olahraga mempunyai ramai atlet berbakat.


Dengan dorongan tinggi kerajaan, Kementerian Belia dan Sukan serta agensi awam, swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO), Rabuan yakin ramai jagoan cemerlang bakal berjaya di bentuk.


Namun yang penting katanya, mereka harus lebih fokus dan meningkatkan disiplin serta keazaman dalam misi melonjak imej negara dalam sukan terbabit.

Foto

Rabuan Pit

"Semuanya terletak dalam diri atlet itu sendiri. Fokus amat penting terutama bagi menjulang misi negara selain mengikuti sesi latihan dengan berdisiplin.


"Jika tiada disiplin dalam diri atlet di dalam dan luar gelanggang, sudah pasti negara akan terus ketandusan bakat dalam acara itu.

"Atlet sekarang bertuah kerana memiliki kemudahan yang lengkap berbanding era saya dulu," katanya.


Jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan ada atlet muda mampu mewarnai acara terbabit berikutan kemunculan nama baru amat penting dalam misi membolehkan olahraga kembali mendapat tempat di hati masyarakat.


Anak kelahiran Merlimau Melaka itu turut melayakkan diri beraksi di pentas Olimpik 1980 namun langkah kerajaan memboikot sukan itu menyaksikan impiannya melakukan kejutan berkecai.


Tidak berkesempatan menjulang nama negara di pentas pertarungan itu, dia bagaimanapun tetap puas muncul gelaran manusia terpantas Asia dua tahun selepas itu.


Kekecewaan gagal ke Olimpik ditebus Rabuan di Stadium Jawaharlal Nehru, New Delhi India sekali gus memungut emas pertama selepas 11 hari kemarau pingat sambil mengelak kedudukan tangga tercorot buat kontinjen negara.


Kejayaan itu menyaksikan seluruh Asia terkejut selepas dia menumbangkan jagoh Qatar, Talal Mansor , Koji Ito (Jepun), Suchart Chairsuvaparb (Thailand) dan Chang Jae-Keun (Korea) di pentas final.


Apapun latihan keras dilalui demi meningkatkan prestasi nyata memakan diri selepas tendon kaki kanannya putus ketika beraksi pada Sukan SEA 1996 hingga menyekat hasratnya untuk terus aktif dan mengintai tempat ke Olimpik sekali lagi.


Dia hanya membuat pusingan kebangkitan pada Kejohanan Olahraga Dunia setahun selepas itu, menduduki tangga keempat di Kanada namun kecederaan berulang memaksa pelari kejohanan dunia Finland 1984 itu melupakan sukan yang pernah mengharumkan namanya dan negara.


Anak bongsu daripada lapan adik beradik itu sebenarnya anak kampung yang ikhlas membanting tulang membantu kedua ibu bapanya menoreh getah, memetik kelapa dan kerja-kerja harian yang dijadikan medium pembakar semangat untuk berjaya dalam kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Chelsea pulih imej

Posted:

London: Pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic mengaku pasukannya perlu menyalahkan diri sendiri berikutan prestasi hambar dan kini perlu mengelak daripada diaib Brentford pada perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA, malam ini.

Skuad Rafael Benitez sekali lagi mempamerkan aksi kurang meyakinkan meskipun menewaskan Sparta Prague, 1-0 pada saingan Piala Europa awal pagi kelmarin dan permainan mereka jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan Blues.


Fernando Torres dikritik hebat kerana mensia-siakan dua peluang keemasan untuk meledakkan gol tapi penyerang itu mungkin bukan satu-satunya yang perlu dipersalahkan apabila menjaringkan hanya satu gol dalam 13 penampilan terakhirnya.

Pasukan Liga Kejuaraan, Brentford pasti memasang impian untuk mengecewakan kelab barat London itu dan Chlesea tidak boleh memandang rendah pasukan yang mengikat mereka 2-2 di Griffin, bulan lalu.


Pemain Serbia, Ivanovic akur aksi Chelsea yang kurang konsisten sepanjang kempen ini cukup membimbangkan dan perlu diperbaiki.


"Prestasi kami naik turun musim ini. Kami perlu menilai semula prestasi keseluruhan.

"Kami memiliki banyak perlawanan, bermain setiap tiga hari dalam tempoh empat bulan terakhir. Ia menjadikannya lebih sukar. Kadangkala kami tidak sempat pulih dan tidak mempunyai pasukan yang besar.


"Semua ini menjejaskan keputusan tapi kami perlu lebih tabah. Memandangkan kami mempunyai sedikit masa, kami boleh segera pulih dan bermain lebih baik." Benitez dan Torrez sekali lagi menjadi sasaran kemarahan penyokong selepas perlawanan di Prague dan Chelsea boleh memulihkan keyakinan menerusi kemenangan perlawanan Piala FA di Stamford Bridge.

Blues yang akan menentang Middlesbrough pada pusingan kelima jika menang perlawanan ini sentiasa bangkit daripada permulaan buruk untuk mengakhiri musim dengan penuh bergaya termasuk musim lalu apabila menjuarai Piala FA dan Liga Juara-Juara di bawah kendalian Roberto Di Matteo.


Jaringan penyamaan Torres menyelamatkan Chelsea daripada diaib Brenford pada pertemuan pertama kedua-dua kelab dalam tempoh 63 tahun.


Ivanovic yang membuat penampilan ke-200 bersama Chelsea awal pagi kelmarin, sedar pasukan Benitez perlukan kemenangan untuk memulihkan keyakinan.


Dia harap keputusan di Prague dan kemenangan ke atas Brenford di Bridge membantu mencapai matlamat itu.


"Ini adalah perlawanan penting buat kami bagi mengekalkan momentum.


"Kami perlu memperbaiki keputusan dalam setiap perlawanan, setiap sesi dan berharap semuanya akan berakhir dengan baik." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Mancini tak pandang rendah

Posted:

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini tidak memandang rendah kemampuan Leeds menjelang perlawanan pusingan kelima Piala FA di Eastlands, malam ini.

Skuad Mancini semakin jauh daripada buruan kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila ketinggalan 12 mata dengan baki 12 perlawanan kepada pendahulu liga, Manchester United. Malah, City juga tersingkir daripada pusingan kalah mati peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.


Pengurus pasukan berasal dari Itali itu menerima hakikat City mungkin mempunyai lebih peluang untuk menjulang Piala FA dan optimis musim ini akan berakhir baik sekiranya mereka berjaya menjulang trofi yang dimenangi pada 2011.

Namun, beliau tidak memandang remeh kemampuan Leeds yang menyingkirkan pasukan Liga Perdana, Tottenham Hotspur pada pusingan keempat.


"Piala FA kini berbeza. Pertemuan menentang Leeds bukan tugas mudah kerana mereka berjaya menundukkan Tottenham.


"Dalam Piala FA, setiap perlawanan sukar. Ini adalah caranya untuk kami tampil dengan aksi lebih baik berbanding tiga bulan lalu tapi peluang kami ke final cerah," katanya.

Lantaran itu, Mancini juga tampil melaungkan cabaran untuk bangkit selepas tewas 1-3 di tangan Southampton, minggu lalu.


Penjaga gawang dari Romania, Costel Pantilimon menggantikan tempat Joe Hart yang direhatkan.

Mancini sebelum ini merancang untuk menyenaraikan barisan pemain utama menentang skuad kendalian Neil Warnock itu, sama seperti yang pernah dilakukannya ketika menewaskan Watford dan Stoke untuk layak ke pusingan kelima.


"Warnock pengurus hebat dan berpengalaman. Saya menentang kelabnya, QPR tahun lalu dan kami berdepan masalah dan hanya menang 3-2 di London. Beliau sememangnya pakar taktik bola sepak.


"Saya akan melakukan sedikit rombakan kerana ada beberapa pemain yang cedera. Namun, saya tetap menyenaraikan pemain utama di padang." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Guna cara bookie

Posted:

Kangar: Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim perlu menggunakan pendekatan diambil bookie dalam usaha membanteras gejala berkenaan dikalangan pasukannya dan ia terbukti dengan kemenangan pertama skuad Singa Utara dalam saingan liga perdana pada musim ini.

Katanya, beliau perlu menggunakan pendekatan bookie dengan memberi bonus tambahan kepada pasukannya sekiranya berjaya memenangi perlawanan mereka sebagai pendorong bagi memenangi perlawanan.


"Saya perlu berbuat demikian bagi mengatasi masalah bookie yang semakin meruncing tidak kira mana-mana pasukan dan perlu selangkah lebih daripada puak bookie ini dengan menawarkan bayaran lebih yang diberikan bookie.

"Jika pemain takut bermain akibat diancam bookie dan masalah kewangan, kita perlu peka kepada masalah itu dan mengambil pendekatan memberi bonus kepada pemain sekiranya mereka berjaya memenangi perlawanan itu," katanya yang memberi wang ganjaran kepada pemain skuad Perlis selepas berjaya memenangi perlawanan menentang Kedah malam kelmarin iaitu kemenangan pertama mereka pada musim ini.


Menurutnya, selepas hari ini juga pihaknya akan mengambil pendekatan sebegini selepas ternyata berjaya mengatasi masalah bookie di dalam pasukannya.


Shahidan berkata, masalah berkenaan menjual perlawanan ini bukan sahaja berlaku di kalangan pemain malah membelenggu semua pihak pengurusan persatuan.

"Saya difahamkan lebih banyak pasukan di dalam Liga Malaysia dikawal sepenuhnya oleh bookie dan mereka bukan sahaja mendekati pemain malah pihak pengurusan persatuan.


"Jika sebelum ini, situasi bookie ini masih boleh dikawal namun kini ia ternyata lebih teruk selepas kehadiran Singapura di dalam kancah bola sepak Malaysia yang mana gejala ini semakin parah berlaku," katanya.

Shahidan berkata, sudah beberapa kali laporan dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar perkara ini diselesaikan dan disiasat dengan segera dan beliau juga sedia membantu.


"Saya mahu menentang gejala ini walaupun terpaksa berbelanja besar daripada poket sendiri bagi mengatasi masalah besar ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

KLSS pasang hajat juarai divisyen dua

Posted:

Kuala Lumpur: Sekolah Sukan Kuala Lumpur (KLSS) memasang hajat besar untuk menjulang kejuaraan Divisyen Dua Liga Hoki Remaja MHC-MILO-MSN apabila bakal bertemu PHK-MSSK Kelantan di Stadium Hoki Bukit Jalil, hari ini.

Bagaimanapun, pengurus pasukan, Zainal Ariffin Abdullah tidak mahu anak buahnya yang menewaskan Anderson Juniors, 5-1 pada separuh akhir kelmarin, terlalu teruja untuk menjulang kejuaraan itu hingga menjejaskan rentak permainan mereka.


"Bagi saya, peluang kedua-dua pasukan menjulang kejuaraan seimbang tapi sudah tentu kami mahu menetapkan sasaran untuk muncul juara.

"Kami tidak pernah bertemu PHK-MSSK Kelantan tapi apa yang saya tahu mereka bukanlah lawan yang mudah untuk dijinak.


"Sebab itu kami tidak mahu mendabik dada mengatakan mampu menewaskan mereka. Yang penting ialah aksi pemain ketika perlawanan sebenar esok (hari ini)," katanya ketika dihubungi semalam.


Kejayaan melayakkan diri ke final bermakna KLSS dan Kelantan akan menyertai enam pasukan lain dari Divisyen Satu bagi merebut Piala Milo dalam aksi kalah mati dengan undiannya akan dilakukan esok.

Kelantan mara ke final selepas menewaskan Politeknik KPT, 4-3, namun kehilangan tonggak utama, Muhammad Ashraf Mohd Noor yang dilayangkan kad merah pada minit ke-51.


Mengulas mengenai Kelantan yang pasti tidak dapat menurunkan tonggak utamanya itu, Zainal berkata, ia mungkin memberi sedikit kelebihan kepada anak buahnya.

"Apapun kami perlu beraksi dengan kemas dan menutup segala ruang, menghalang Kelantan melakukan serangan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

'Cukup sekadar jadi penonton'

Posted:

Singapura: Sejak mengucapkan selamat tinggal sebagai pemain bola sepak pada 1999, sering timbul tanda tanya sama ada Fandi Ahmad akan menyandang tugas sebagai jurulatih skuad negara kelahirannya, Singapura.

Namun, selepas 14 tahun berlalu dan pemain bola sepak ternama Singapura itu mengaku tidak akan sesekali memimpin The Lions.


Malah, Fandi tegas menyatakan tidak pernah terfikir untuk menggalas jawatan itu sejak dua tahun lalu.

"Sudah lama saya tidak memikirkan untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan Singapura.


"Sejak kembali ke Singapura pada Mac 2011, saya sudah berhenti mengharap.


"Sebaliknya, saya kini lebih fokus pada Akademi Fandi Ahmad (FAA) dan tugas memimpin H-Two-O Dream Team berbanding tanggungjawab selaku jurulatih Singapura. Hanya dengan itu saja, saya dapat menggilap bakat muda sekali gus membantu menaikkan sukan bola sepak Singapura," kata Fandi yang mengendalikan pasukan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) di Liga Super Malaysia.

Sebelum ini, Fandi menamatkan kerjaya selaku jurulatih memimpin pasukan Indonesia, Pelita Jaya pada November 2010. Beliau kemudian memegang tanggungjawab mengendalikan skuad yang berpusat di Itali, Sekolah Bola Sepak Antarabangsa di Geneva dan kelab Itali Serie B, Vicenza.


Beberapa bulan selepas itu, beliau kembali ke Singapura untuk merasmikan FAA dan mengetuai H-Two-O Dream Team meskipun sibuk dengan komitmen selaku jurulatih sepenuh masa JDT.

Bagaimanapun, Fandi mengaku sering terfikir apa sebaliknya akan berlaku sekiranya dia bersara tanpa berpeluang memimpin negara kelahirannya sendiri.


Tetapi pada masa sama, dia seakan bosan kerana sering 'melobi' diri sendiri kepada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan akhirnya kecewa kerana tidak dihidangkan tawaran kukuh.


"Jujurnya, jika sedar potensi untuk memegang jawatan itu sebaliknya tidak diberikan peluang pastinya ia senario yang amat mendukacitakan. "Namun, saya yakin sudah melakukan yang terbaik dengan cuba memberikan khidmat.


"Cuma, kini bagi saya lebih baik andai sekadar menonton saja aksi skuad kebangsaan Singapura sebagai peminat saja. Jika peluang itu ada, ia akan datang, jika tidak, tidak mengapa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Disiplin tinggi kunci karate

Posted:

Kuala Lumpur: Status selaku atlet nombor satu Asia 2011 jelas meletakkan jaguh karate negara, Mohd Hatta Mahamut sebagai prospek utama emas buat Malaysia dalam mana-mana kejohanan utama.

Lebih hebat, dia bukan saja memiliki reputasi sebagai atlet pilihan untuk meraih emas tapi dilabel sebagai atlet contoh terbaik buat 'adik-adik' dalam skuad pelapis.


Bagi atlet pelapis R Sharmendran, Mohd Hatta sudah dianggap sebagai 'abang' sendiri lantaran sikapnya yang terbuka dan tidak lokek ilmu. Malah, mereka berdua sering keluar makan bersama dan menonton wayang yang pada Sharmendran bukan perkara biasa dilakukan bersama atlet elit lain selain hanya dengan Mohd Hatta seorang.

Ikuti temubual antara Sharmendran dan Mohd Hatta untuknya bergelar jaguh karate lebih hebat satu hari nanti.


Soalan (S) : Untuk menjadi jaguh karate hebat, apakah tips atau kriteria yang saya perlukan? Jawapan (J) : Pertama sekali, disiplin. Itu perkara utama untuk menjadi jaguh karate yang hebat. Malah, seperti yang kita tahu, sukan karate asalnya dari Jepun dan negara matahari terbit itu mengamalkan disiplin tinggi. Kemudian, kita perlu dengar dan patuhi arahan jurulatih, jangan sesekali ingkar. S: Sudah berapa lama Mohd Hatta terbabit dalam arena sukan tempur karate? J: Secara keseluruhan sudah 16 tahun terbabit dalam sukan ini. Bermula dengan sekadar mengisi masa lapang hinggalah kini menjadi kerjaya.


S: Bagaimana anda boleh berkecimpung dalam sukan ini secara serius? J: Ceritanya begini. Mulanya saya menyertai sukan karate atas desakan ibu kerana tidak tahu aktiviti apa untuk saya lakukan pada setiap hujung minggu. Bermula dari situ, saya giat berlatih dan terpilih menyertai pelbagai kejohanan termasuk Sukma hinggalah diberi kepercayaan mewakili negara. Namun, sukan karate kini seakan 'hidup' saya dan saya terlalu cintakan karate.

S: Bersandarkan pengalaman 16 tahun berkecimpung dalam sukan karate, apa pandangan Mohd Hatta terhadap prestasi barisan pelapis sekarang, terutama saya? J: Jujurnya skuad pelapis berada apda landasan tepat untuk membangunkan sukan karate negara. Mereka dilihat berdiri seiringan dengan barisan atlet elit atau dalam erti kata lain, sama hebat. Terus terang, saya bersama rakan seangkatan skuad elit berasa tercabar dan ingin melakukan lebih baik. Namun, senario ini bagus kerana masing-masing ingin bersaing untuk menjadi atlet yang lebih baik sekali gus membangunkan lagi sukan karate Malaysia. Anda pula saya lihat amat berbakat dan antara pelapis terbaik yang dilihat sebagai 'cabaran' buat skuad elit.


S: Saya belum pernah mewakili negara dalam kejohanan utama atau pentas antarabangsa yang besar, apa nasihat Mohd Hatta untuk saya sekiranya berjaya dipilih mewakili negara ke saingan Terbuka Belanda, bulan depan dan Sukan Sea Myanmar kelak? J: Tekanan bertempur pada kejohanan bertaraf dunia pastinya lebih hebat. Yang penting kita jangan takut. Namun, saya optimis anda mampu lakukan yang terbaik sekiranya terpilih kerana amat berbakat. Lagipun, pelapis sekarang ini mempunyai kelebihan mempelajari teknik bertempur pada kejohanan utama menerusi Internet dan YouTube. Berbeza pada zaman saya dulu yang perlu belajar menerusi pengalaman sendiri. Saya yakin anda pasti boleh lakukan yang terbaik buat negara.

S: Apa aktiviti di masa lapang selain karate? J: Saya tidak banyak masa terluang. Terlalu sibuk dengan jadual latihan padat. Malah, kami turut menjalani latihan pada cuti umum. Jika adapun sehari saja, iaitu hari Ahad dan masa itu digunakan untuk berehat atau menonton wayang bersama rakan dan jika mampu saya bermain futsal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Wendy idam 'terbang tinggi'

Posted:

Kuala Lumpur: Atlet terjun negara, Wendy Ng ingin menjadi seorang juruterbang pesawat komersil andai tidak bergelar atlet.

Soalan (S): Jika bukan atlet, anda seorang...


Jawapan (J): Juruterbang walaupun sebenarnya saya turut mengidam kerjaya sebagai ahli perniagaan seperti ayah.

S: Mengapa? J: Kerana kerjaya sebagai juruterbang amat mencabar apatah lagi sebagai wanita. Menjadi juruterbang juga saya berpeluang 'melancong' ke seluruh pelusuk dunia sambil bekerja. Bagi saya, ia amat seronok. Sememangnya kerjaya juruterbang adalah cita-cita saya sejak kecil.


S: Lantaran sudah memilih kerjaya sebagai atlet sekarang ini, siapakah anda dalam 10 tahun akan datang? J: Jujurnya saya tidak pasti lagi tapi saya kini pelajar tahun pertama jurusan Sains Sukan di Universiti Malaya (UM). Nampaknya, saya perlu fokus dalam kerjaya bergelar atlet terjun sekarang. Saya percaya bakal menjadi seorang jurulatih terjun kelak untuk membangunkan sukan ini di Malaysia.


S: Selain sukan terjun mungkin ada meminati sukan lain? J: Terlalu cintakan sukan terjun. Saya tidak meminati sukan lain.

S: Mungkin ada hobi tertentu pada masa lapang? J: Jujurnya tiada. Kerana saya bersama rakan dalam skuad terjun terlalu sibuk dengan jadual latihan yang padat. Kami tiada masa untuk memiliki hobi atau perkara lain pada masa lapang. Malah, pada masa ini saya berada di Dali, China menjalani latihan intensif bersama skuad elit. Tahun Baru Cina pun kami raikan di China sambil berlatih. Memang sunyi bila mengenangkan keluarga sedang bergembira meraikan perayaan. Namun inilah pengorbanan saya untuk negara. S: Selain terjun, ada keistimewaan lain? J: Mungkin saya agak pandai memasak kerana suka menolong ibu di dapur dulu dan setiap kali skuad terjun bercuti daripada latihan.


S: Jika orang tidak mengenali anda, mereka menganggap....

J: Saya sering dilabel sebagai sombong. Mungkin kerana raut wajah saya, entahlah. Namun, saya mudah ramah jika mereka mula bercakap dengan saya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Hilang tanpa pengganti

Posted:

Kuala Lumpur: Kali terakhir nama seorang pelari pecut menjadi sanjungan peminat sukan tanah air adalah pada 2003, sewaktu Nazmizan Mohamad mengukir nama sebagai jaguh pecut Asia Tenggara di Sukan Sea Vietnam.

Meskipun tidak memecah sebarang rekod, kejayaan anak kelahiran Terengganu itu menjadi atlet ketiga memenangi pingat emas berganda Sukan Sea dalam acara 100 dan 200 meter, selepas Tan Sri Dr M Jegathesan pada 1965 dan G Rajalingam (1967), meletakkan dirinya di tahap tersendiri. Rabuan Pit pula mengakhiri penampilan Malaysia dalam acara pecut Sukan Asia ketika memenangi emas di India pada 1982.


Sekalipun tidak memenangi pingat emas Sukan Sea, Watson Nyambek dan Azmi Ibrahim tetap menjadi perhatian dan dikenali ramai terutama saingan mereka merebut gelaran pelari pecut nombor satu negara.

Kehadiran mereka juga sentiasa mendapat liputan media jiran setiap kali berlangsungnya temasya Sukan SEA. Ini kerana 'aura' mereka yang tersendiri.


Sejak itu, negara terus tercari-cari siapa raja pecut baru dan kemunculan beberapa nama seperti Mohd Noor Imran Hadi, Zabidi Ghazali dan Abdul Latif Nyat gagal mencuri tumpuan, malah langsung tidak dikenali di negara sendiri.


Jauh sekali jika mahu dibanding kelompok pelari Jamaica yang terus mengungguli pentas pecut dunia seperti Asafa Powell, Yohan Blake apatah lagi Usain Bolt yang masing-masing gah dengan catatan bawah 10 saat.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong mengaku realiti yang dihadapi acara pecut, apatah lagi jika membabitkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) secara umumnya.


"Bukan saja acara pecut, malah kita banyak hilang pingat dalam acara lain yang sebelum ini diungguli negara seperti lari berpagar 110m lelaki dan jalan kaki. Kita tewas di Palembang, sejak Yuan Yufang bersara," katanya.

Melihat kepada perubahan kepimpinan baru KOM, beliau yakin olahraga akan bangkit meskipun tidak pada tahap segera. Jelas Zolkples, sudah dua pertemuan diadakan bersama KOM bagi membincangkan hala tuju serta program berkaitan.


Hubungan 'dingin' MSN-KOM mewarnai dunia sukan sejak beberapa tahun lalu, dikatakan turut menjejaskan prestasi atlet hingga akhirnya kerusi panas persatuan itu bertukar tangan kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad yang menewaskan Datuk Seri Shahidan Kassim pada pemilihan tahun lalu.


"Acara pecut antara yang dikenal pasti. Acara paling popular dan ditunggu-tunggu. Kita harap dapat melihat hasilnya pada Sukan Sea Myanmar kelak. Malah kita sudah kenal pasti ramai atlet daripada Sukan Malaysia (SUKMA) yang boleh diketengahkan.


"Begitu juga dalam acara 4x100m, jika sebelum ini kita mempunyai kuartet Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir, Siti Zubaidah Adabi dan Yee Li Ying tetapi terbabit dengan kes doping, dengan adanya atlet baru seperti Zaidatul Husna dan Zaidatul Husni kita harap mampu memberikan harapan baru asalkan mereka dilatih oleh jurulatih sama dan tidak seperti sebelum ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Daya tarikan olaharga makin susut

Posted:

Kuala Lumpur: Realitinya, sukar melihat negara melahirkan seorang Raja Pecut dalam tempoh terdekat. Memang menakutkan tapi usaha perlu dilakukan untuk memastikan misi melahirkan seorang jaguh pecut sehebat Tan Sri Dr M Jegathesan, Rabuan Pit mahupun Nazmizan Mohamad untuk yang sekali lagi menjulang nama negara.

Penasihat Khas kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, untuk mencari pengganti pelari sebagus Nazmizan dalam tempoh tiga hingga lima tahun sangat tipis.


Menurutnya, terpulang kepada sejauh mana pihak terbabit, khususnya Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) merangka program pembangunan akar umbi.

"Sebelum ini, Institut Sukan Negara (ISN) mempunyai pusat satelit di Miri yang memberi tumpuan kepada atlet pecut di bawah kendalian jaguh pecut Watson Nyambek, begitu juga dengan pusat satelit kendalian Nordin Jadi di Johor yang memberi tumpuan kepada atlet larian jarak sederhana, 400 dan 800m. Semua itu masih di peringkat awal dan hasilnya belum diperoleh," katanya.


"Kita mempunyai program tapi ia bagaikan ketinggalan dan kurang meyakinkan. Apa yang boleh dilakukan adalah menunggu impak menyeluruh program dilaksanakan pada masa ini atau meredah mencari atlet berbakat. Ia seperti menangkap sesuatu dalam gelap." Dr Ramlan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif ISN justeru berpendapat, untuk melahirkan seorang pelari pecut, dua aspek perlu diberi perhatian iaitu atlet berbakat dan jurulatih berwibawa yang mampu memupuk bakat atlet hingga berjaya.


"Contoh terbaik adalah ketika Watson di bawah kendalian Daniel St Hillarie. Ia bukan hanya membabitkan atlet pecut saja tapi juga olahraga secara menyeluruh. Apa yang berlaku ketika ini bukan hanya menjejaskan acara pecut semata-mata tapi juga acara seperti lompat tinggi dan lompat jauh." Mengakui krisis antara Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) turut menjejaskan perancangan jurulatih dengan ISN, beliau mengharapkan kepimpinan baru membawa lembaran baru buat kemajuan atlet. "Jurulatih boleh membentangkan cadangan untuk atlet kepada ISN tanpa perlu menunggu 'jambatan kembali dibina'.

"Dari aspek teknikal ia tidak mendatangkan masalah kerana ia boleh diukur, membabitkan jenis otot digunakan untuk pecutan, kaedah latihan penyesuaian fizikal serta pemantauan yang perlu dilakukan dan semua itu memerlukan pengurusan dan koordinasi dengan pihak berkaitan.


"Mereka tidak boleh tunggu untuk membuat perancangan meskipun persatuan berdepan masalah." Satu aspek yang menurut Dr Ramlan perlu diberi perhatian adalah daya tarikan sukan olahraga yang makin menyusut berbanding sukan lain yang jauh lebih popular dan glamor.

"Ada yang pada mulanya dilihat berbakat dalam olahraga tapi memilih untuk menyertai sukan lain seperti bola sepak dan badminton, mereka menggunakan kepantasan larian untuk bola sepak.


"Latihan olahraga amat lasak dan spesifik, ia memerlukan dedikasi menyeluruh dan usaha perlu dilakukan untuk menarik ramai generasi muda menyertai olahraga."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

No comments:

Post a Comment