Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Aku dah bunuh babaku'

Posted:

Oscar Pistorius menangis teresak-esak ketika dia menghubungi sahabat karibnya pada awal pagi Hari Valentine lalu, sejurus selepas teman wanitanya ditembak.

Kata Justin Divaris, Pistorius jelas panik dan berkata: "Babaku, aku dah bunuh babaku. Tuhan, ambillah nyawaku." Kata Divaris, 27, Pistorius menghubunginya jam 3.55 pagi dan memberitahu teman wanitanya, Reeva Stennkamp, ditembak.


"Saya bertanya kepada Pistorius apa yang berlaku.

"Dia mengulang kata-katanya memberitahu berlaku kemalangan ngeri," katanya.


Menurut Divaris, Pistorius, 26, mendakwa dia menembak Reeva. Tidak lama kemudian, kata Divaris, jiran Pistorius menghubunginya dan meyakinkan apa diberitahu atlet terbabit adalah benar.


Katanya, dia sangat terkejut dan bertanya sama ada Reeva selamat.

"Kata jiran Pistorius, Reeva dalam keadaan parah dan saya mesti segera ke sana," katanya. Selepas memaklumkan kepada pihak berkuasa, Divaris memecut keretanya ke rumah mewah atlet digelar Blade Runner itu.


Kata Divaris, Pistorius menangis sejam di garaj rumahnya ketika polis menyiasat rumah berkenaan. Reeva, 29, sedang duduk di tandas ketika dia ditembak empat kali, masing-masing pada lengan, kepala, pinggul dan jari melalui pintu.

Pistorius mengangkat tubuh Reeva ke pintu depan dan cuba menyematkan kekasihnya dengan bantuan pernafasan.


Ketika itu juga, pengawal keselamatan dan jiran yang terdengar tembakan itu tiba ke rumah. Saksi berkata, mereka melihat Reeva menghembus nafas terakhirnya di pangkuan Pistorius.


Divaris bertanggungjawab mempertemukan Reeva dengan jaguh lumba lari berkaki palsu itu.


Katanya, dia berada bersama Pistorius kira-kira 10 minit dan bertanya apa yang berlaku.


Bagaimanapun, kata Divaris, Pistorius tidak mampu menjawabnya dan terus mengulang ratapannya.


Sementara itu, sumber lain berkata, keluarga Reeva sangat sedih dengan tragedi itu dan ibu bapa bekas model berkenaan kini dirawat akibat terkejut. Bapa Reeva, Bary Stennkamp berkata, hatinya hancur dengan kematian itu, tetapi yakin ada sesuatu yang dilalui Pistorius.


"Kami tak berdendam. Ini waktu sukar untuk kami dan kami berdoa Tuhan memberi petunjuk yang jelas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

10 maut tanah runtuh di Manado

Posted:

Jakarta: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh di utara Sulawesi, semalam selepas hujan lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh, kata pihak berkuasa.

Insiden banjir dan tanah runtuh yang melanda Manado itu turut memaksa 1,200 penduduk berpindah, kata jurucakap agensi pengurusan bencana nasional, Sutopo Purwo Nugraha.


Menurutnya sembilan daripada 10 orang yang terkorban itu ditimbus dalam kejadian tanah runtuh manakala seorang mangsa maut selepas dihanyutkan air banjir.

"Bilangan mangsa mungkin meningkat kerana tanah runtuh dilaporkan berlaku di beberapa kawasan. Kami masih berusaha memindahkan penduduk walaupun proses pemindahan dihalang air banjir yang belum surut di beberapa kawasan," katanya. Air setinggi dua meter menenggelamkan lebih 1,000 kediaman di tujuh daerah menyebabkan 1,200 penduduk terpaksa berpindah. - Jakarta Globe

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Bom meletup ragut tiga nyawa

Posted:

Sebutir bom meletup tengah malam semalam dekat sebuah pasar raya utama di wilayah selatan Pattani manakala bom motosikal di menara jam majlis perbandaran membunuh tiga pengawal keselamatan, kata polis.

Insiden itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam di daerah Muang. Letupan bom berkenaan menyebabkan kebakaran yang memusnahkan keseluruhan bangunan pasar raya Diana selain mencederakan 17 penduduk yang melalui kawasan itu, kata polis. Kebakaran turut merebak ke kedai berhampiran yang menjual mesin pertanian. Anggota bomba yang dihubungi berjaya memadamkan api sejam kemudian.


Pada waktu tengah hari pula, kumpulan pemisah dipercayai meletupkan bom motosikal di bulatan menara jam Pattani membunuh dua sukarelawan keselamatan dan mencederakan 10 orang awam yang ada di situ. Kakitangan keselamatan yang bertugas pada waktu malam turut menemui lima bahan letupan disembunyikan dalam kondom di pasar basah dan taman awam di daerah Muang di sini. Ia mengandungi alat pemetik api dan jam digital. Menurut polis, pada malam kelmarin banyak bahan letupan ditanam di tempat berbeza di Muang, tetapi hanya satu yang meledak. Sementara itu, di daerah Yarang Pattani, sebuah kuarters pasukan pertahanan desa, menara isyarat telefon bimbit dan lima kamera litar tertutup dibakar dalam satu serangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

'Kami tak jumpa apa-apa”

Posted:

Pihak berkuasa Russia semalam menghentikan pencarian meteorit yang jatuh di Pergunungan Ural Jumaat lalu menyebabkan 1,200 orang cedera dan merosakkan ribuan bangunan.

Batu angkasa seberat 10 tan itu terhempas di kawasan Chelyabinsk di tengah negara itu dalam bentuk bola api ketika dunia hampir bertembung dengan asteroid yang besar.


Penduduk Chelyabinsk, bandar raya dengan populasi 1.1 juta dan pusat industri berat Russia itu masih berusaha untuk menerima hakikat kejadian dan perlu menggantkan ribuan kaca tingkap yang pecah menjelang pembukaan sekolah hari ini.

Walaupun operasi mencari ditingkatkan di tasik yang beku di tempat nelayan menemui lubang besar yang disangka disebabkan oleh meteorit, tiada sisa batu angkasa ditemui.


Dengan suhu persekitaran kira-kira negatif 17 darjah, penyelam Russia melakukan operasi mencari di Tasik Chebarkul, kira-kira 60 kilometer dari Chelyabinsk, tetapi kementerian kecemasan kini memutuskan untuk menumpukan kepada kerja pembaikan di kawasan itu, kata jurucakap kementerian itu, Vyacheslav Ladonkin kepada media. "Kumpulan penyelam bertugas di sana, tetapi kami tidak menemui apa-apa," katanya. Menurutnya, kementerian percaya lubar bulat sebesar lapan meter di tasik itu bukan disebabkan oleh bahan angkasa.


"Kami percaya ia disebabkan oleh kejadian lain. Keputusan sudah dibuat untuk menghentikan operasi mencari dan ia tidak akan diteruskan untuk hari ini," katanya.

Kira-kira 24,000 petugas kecemasan bertugas menggantikan tingkap yang pecah selepas hampir 5,000 bangunan rosak.


Insiden itu menyebabkan dinding batu bata di kilang zink tempatan runtuh dan tembok pusat luncur ais dan pusat hoki di bandar raya itu berlubang hingga beberapa perlawanan dibatalkan.

Seramai 40 orang masih dirawat di hospital, kebanyakannya mengalami cedera seperti luka, patah tulang dan pitam, seorang doktor memberitahu Rossiya Channel dari hospital Chelyabinsk, manakala pusat khas dibuka untuk memberikan bantuan psikologi. "Terdapat asap putih. Kami menyangka pesawat terbakar," kata seorang pesakit, Vera yang dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Patung Buddha diharamkan di Iran

Posted:

Teheran: Patung Buddha kini menjadi barang terbaru diharamkan di Iran selepas anak patung Barbie dan watak siri kartun televisyen, The Simpsons.

Akhbar bebas harian Arman melaporkan, pihak berkuasa merampas patung Buddha itu dari kedai di Teheran bagi menghentikan aktiviti mempromosi agama berkenaan.


Memetik pegawai perlindungan kebudayaan Iran, Saeed Jaberi Ansari, Arman melaporkan, patung Buddha melambangkan "penjajahan budaya" di negara itu.

"Kerajaan tidak membenarkan kepercayaan tertentu dipromosi melalui objek seperti patung berkenaan," katanya. Bagaimanapun, tidak dinyatakan jumlah patung Buddha yang dirampas, tetapi Saeed berkata, usaha "pembersihan" itu akan diteruskan.


Sesetengah penduduk Iran membeli patung Buddha untuk menghias rumah dan kenderaan mereka. Kebanyakan patung itu dibuat di China yang dijual di zon perdagangan bebas Iran. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Golongan Syiah tuntut perlindungan

Posted:

Bantahan tercetus di seluruh Pakistan semalam bagi menuntut perlindungan kepada golongan Syiah selepas satu letupan bom mensasarkan masyarakat minoriti itu membunuh 81 orang, insiden terbaru dalam beberapa siri serangan antara mazhab.

Bom mengandungi satu tan bahan letupan itu disembunyikan dalam tangki air meletup di pasar yang sesak di bandar Hazara, kawasan didominasi golongan Syiah di pinggir Quetta, ibu negeri wilayah Baluchistan di barat laut Pakistan petang kelmarin. Orang ramai berhimpun ketika yang lain menyelongkar sisa runtuhan, dengan beberapa yang lain menangis apabila menemui serpihan daging dan anggota tubuh akibat letupan yang turut mencederakan 178 orang itu.


Saksi, Zainab Bibi, 38, berkata, keadaan dis itu bagaikan "hari kiamat sudah tiba".

"Pada awalnya, saya tidak boleh nampak apa-apa kerana debu yang tebal, tetapi saya dapat mendengar jeritan yang kuat. "Apabila debu beransur hilang, saya lihat darah, tubuh yang terputus bergelimpangan di mana saja tanpa baju," katanya. Gabenor Baluchistan menyalahkan kegagalan agensi keselamatan dan perisikan ekoran serangan itu, mengatakan mereka terlalu takut untuk berunding dengan kumpulan yang bertanggungjawab di sebalik keganasan antara mazhab itu.


Baluchistan semakin menjadi pusat keganasan antara mazhab di kalangan kaum majoriti Sunni dan Syiah. Golongan Syiah mewakili satu perlima daripada 180 juta penduduk Pakistan. Serangan kelmarin menjadikan jumlah kematian akibat serangan antara mazhab di Pakistan tahun ini kepada hampir 200 orang, berbanding dengan lebih 400 tahun lalu - tahun di mana Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan menyifatkannya sebagai yang terburuk bagi rekod golongan Syiah di negara itu. Ia adalah serangan terbesar kedua terhadap golongan Syiah di Quetta tahun ini, selepas dua insiden pengeboman berani mati di kelab snooker pada 10 Januari lalu membunuh 92 orang, yang terburuk di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

No comments:

Post a Comment