Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Selangor gah!

Posted:

Usaha Kelantan mempertahankan kejuaraan Liga Super semakin goyah apabila hingga kini hanya mencatatkan satu kemenangan selepas mengharungi enam perlawanan.

Terbaru, skuad kendalian Bojan Hodak itu tewas kepada Selangor 0-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi untuk kekal di pertengahan liga dengan meraih enam mata.


Sebaliknya Selangor muncul pendahulu baru Liga Super dengan mengumpul 13 mata, meninggalkan Pahang (12) dan Angkatan Tentera Malaysia (10) yang akan turun beraksi malam ini.

Pada perlawanan disaksikan kira-kira 25,000 penonton itu, pelawat jelas pincang tanpa kehadiran perancang tengah dan kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi yang hanya masuk sebagai pemain gantian pada awal babak kedua.


Kelekaan pemain Kelantan terutamanya di barisan pertahanan yang diketuai pertahanan import dari Nigeria, Obinna Nwaneri nyata membawa padah apabila membiarkan pemain tuan rumah meledak dua gol pada separuh masa pertama.


Francis Forkey Doe meledak gol pertama apabila melonjak tinggi untuk menyambut hantaran silang yang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang pada minit ke-13. Selepas itu giliran Ramez Dayoub pula menggandakan kedudukan apabila menanduk masuk sepakan percuma Mahali Jasuli pada minit ke-26.

Ketumpulan jentera serangan nampaknya masih menghantui Kelantan apabila penyerangnya termasuk Keita Mandjou gagal mempamerkan penyudahan tajam di samping mempersia-siakan beberapa peluang keemasan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Kami fokus terhadap Blackburn dulu: Mertesacker

Posted:

London: Per Mertesacker menegaskan Arsenal akan fokus terhadap perlawanan Piala FA menentang Blackburn hari ini, 72 jam sebelum gergasi Jerman, Bayern Munich tiba di utara London untuk pertemuan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara.

Skuad kendalian Arsene Wenger mensasarkan trofi pertama sejak kali terakhir menang Piala FA 2005 dan pertemuan menentang pasukan bahagian kedua, Rovers selari dengan peningkatan persembahan untuk merealisasikan misi memburu empat tempat teratas Liga Perdana.


Namun Mertesacker yang juga pemain pertahanan tengah Arsenal memberi amaran kepada rakan sepasukan supaya tidak membiarkan fokus mereka terganggu jika mahu melangkah jauh dalam saingan domestik.

"Kami masih mempunyai perlawanan penting saingan piala hari ini. Kami pastinya mahu melangkah jauh pada Piala FA, ini adalah sebabnya persiapan menentang Bayern belum dilakukan sepenuhnya," kata pemain antarabangsa Jerman itu.


"Bagaimanapun bermula esok persediaan untuk perlawanan awal pagi Rabu akan bertambah mantap. Bayern memang hebat tahun ini dan ia satu cabaran besar namun kami tidak sabar untuk kedua-dua aksi timbal balik itu." Pertemuan menentang Bayern mungkin memaksa bos Arsenal, Wenger membuat beberapa perubahan untuk perlawanan Piala FA menentang Blackburn yang mempamerkan peningkatan sejak Michael Appleton menggantikan bekas pengurus, Henning Berg.


Jack Wilshere (paha) dan Laurent Koscielny (betis) berusaha untuk kembali cergas manakala Thomas Vermaelen mungkin berada di bangku simpanan.

"Wilshere menjalani ujian kelmarin dan semalam," kata Wenger. "Dia kelihatan semakin baik. Dia belum pasti beraksi hari ini selepas pahanya disepak.


"Koscielny berdepan masalah," kata pengurus dari Perancis itu. "Dia turut menjalani ujian kelmarin dan semalam.

"Vermaelen kelihatan bagus dan mungkin kembali hari ini. Dia seharusnya tersenarai dalam skuad." Pemain tengah, Abou Diaby boleh diturunkan namun pertahanan kanan, Carl Jenkinson digantung selepas dibuang padang ketika menewaskan Sunderland hujung minggu lalu.


Kali terakhir Rovers bertandang di laman Arsenal ketika mereka tewas 1-7 dalam aksi Liga Perdana pada Februari 2012 sebelum tersingkir ke Liga Kejuaraan ujung musim itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

City tak mahu jadi mangsa

Posted:

Pertahanan Manchester City, Pablo Zabaleta menegaskan kelab itu bertekad untuk tidak mengalami nasib pasukan berprofil tinggi lain dengan menjadi mangsa "pembunuh gergasi" Piala FA apabila menentang Leeds pada pusingan kelima.

Saingan piala itu pada musim ini menghidangkan memori pahit kepada beberapa kelab elit Liga Perdana apabila mengalami kekalahan mengejut menentang lawan yang beraksi di liga bawahan.


Walaupun kejohanan itu tidak lagi menjadi keutamaan majoriti kelab Liga Perdana, ia kekal menjadi harapan kelab yang bukan beraksi di saingan mewah liga utama dengan Liverpool, Tottenham, Newcastle, Aston Villa, Norwich dan QPR sudah kecundang menentang lawan bukan pilihan musim ini.

Hanya tujuh pasukan Liga Perdana mara ke pusingan keempat bulan lalu dan ada kemungkinan beberapa keputusan mengejut berlaku lagi hujung minggu ini.


Juara Inggeris, City kelihatan goyah menanti kunjungan kelab Liga Kejuaraan, Leeds yang menewaskan Tottenham pada pusingan ketiga, Ahad ini.


Kekalahan 1-3 kepada Southampton minggu lalu menyebabkan skuad kendalian Roberto Mancini ketinggalan 12 mata kepada pendahulu, Manchester United dalam perebutan mahkota Liga Perdana.

Namun Zabaleta mendakwa semangat pemain pasukan itu masih positif.


"Kami akan belajar daripada kekalahan itu dan menggunakan perasaan kecewa itu sebagai inspirasi untuk mungkin cuba dan mendapat semula semangat kami seperti musim lalu," kata Zabaleta.

"Kami perlu teguh bersama, bertarung dan mempamerkan apa yang sebenarnya mampu kami berikan.


"Kami akan berazam dan kembali ke landasan kemenangan di Piala FA dengan ia fokus kami sekarang." Luton, pasukan yang menduduki tempat ketujuh bahagian kelima bola sepak Inggeris, Conference National berpeluang melakukan satu lagi kejutan selepas menjadi pasukan bukan liga pertama menewaskan kelab liga utama dalam Piala FA sejak Sutton melakukannya pada 1989.


Hanya enam pasukan lain dari luar Liga Bola sepak England melangkah ke tahap ini dalam Piala FA sejak Perang Dunia Kedua dan Hatters akan menanti kunjungan Millwall hari ini dan menyedari kemenangan ke atas pasukan bahagian dua liga itu akan menjadikan mereka kelab bukan liga pertama mara ke suku akhir dalam tempoh 99 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Kelab Russia pamer aksi cemerlang

Posted:

London: Kelab dari Russia memimpin aksi Liga Europa awal pagi semalam dengan kejutan Rubin Kazan ke atas juara bertahan Atletico Madrid serta Anzhi Makhachkala dan Zenit St Petersburg yang mencapai kemenangan pada perlawanan pertama pusingan kedua.

Penyerang Rubin, Gokdeniz Karadeniz (gambar) menjaringkan gol pertama pada minit keenam diikuti jaringan Pablo Orbaiz pada masa kecederaan membolehkan kelab Russia yang bermain dengan 10 pemain selepas Roman Sharonov di buang padang pada babak kedua, menang 2-0 di Atletico.


Anzhi menewaskan Hanover, 3-1 manakala Zenit menewaskan juara lima kali Piala Eropah, Liverpool, 2-0 di laman sendiri. Vladimir Darida, Frantisek Rajtoral dan Stanislav Tecl membantu pasukan tidak ternama dari Republik Czech, Viktoria Plzen mengejutkan Napoli, 3-0 di gelanggang lawan.

Juara tiga kali, Inter Milan tiada masalah menewaskan pasukan buangan Liga Juara-Juara, CFR Cluj 2-0 di laman sendiri, dengan kedua-dua gol dijaringkan Rodrigo Palacio.


Kemenangan itu bagaimanapun dibayangi kecederaan penyerang Diego Milito yang terpaksa meninggalkan padang selepas hanya beraksi enam minit, keluar sambil menangis kerana kecederaan lutut, namun rakan senegaranya dari Argentina, Palacio yang masuk menggantikannya tidak mengecewakan.


Atletico terus diulit rasa kecewa pada babak kedua selepas cubaan penjaring terbanyak, Radamel Falcao pada minit-minit akhir sekadar menggegar palang.

Penjaga gol Atletico, Sergio Asenjo turut naik ke atas ketika mereka memperoleh sepakan penjuru, membuatkan gawangnya tidak dikawal dan pemain Rubin dari Sepanyol, Pablo Orbaiz mengambil peluang itu untuk menjaringkan gol kedua sekali gus membuatkan juara bertahan itu tewas buat kali pertama di laman sendiri musim ini selain menamatkan rekod tanpa kalah 12 perlawanan pada saingan Eropah.


"Mereka yang tidak mengambil risiko jarang menang," kata jurulatih Atletico, Diego Simeone dalam laman web Uefa selepas Rubin menghadiahkan kekalahan pertama di gelanggang sendiri buat penghuni tangga kedua La Liga itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Bale wira Spurs

Posted:

Gareth Bale menjaringkan dua gol sepakan percuma ajaib untuk membantu Tottenham menewaskan Lyon, 2-1 pada pusingan kedua Liga Europa namun harapan Liverpool memulihkan imej berkecai selepas tunduk 0-2 kepada Zenit St Petersburg, di Russia.

Bale menewaskan penjaga gol Lyon, Remy Vercoutre menerusi sepakan percuma dari jarak 35 ela pada masa kecederaan babak pertama di White Hart Lane sebelum melakukannya sekali lagi pada minit ketiga masa kecederaan pada hujung perlawanan.


Samuel Umtiti menjaringkan gol tunggal Lyon selepas menewaskan Brad Friedel untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-55.

"Saya gembira kerana selama ini kerap berlatih mengambil sepakan percuma, minggu lalu saya menjaringkan gol yang dengan teknik sama," kata Bale.


Di Russia, dua gol dalam tempoh tiga minit babak kedua mengubah rentak permainan dan penguasaan pasukan pilihan Liverpoll kepada Zenit dalam aksi di atas padang becak.


Keputusan itu membuatkan aksi kedua di Anfield lebih sukar buat pengurus Liverpool, Brendan Rodgers yang tetap yakin pasukannya mampu menang.

"Aksi kami kemas dan barisan depan sering mengancam gawang lawan dan layak untuk berada di depan pada hujung babak pertama," katanya.


"Namun kami membenarkan dua gol mudah malam ini. Kami perlu menamatkan episod kekalahan meskipun menguasai perlawanan." Pelaburan besar membeli pemain Brazil, Hulk berbaloi apabila dia menjaringkan gol pertama pada minit ke-69 selepas rembatan derasnya terkena Martin Skrtel dan memperdaya penjaga gol Liverpool, Pepe Reina.

Jaringan kedua diperoleh tuan rumah pada minit ke-72 apabila Sergei Semak memperdaya Skrtel dan Glenn Johnson dan menyudahkan hantara lintang Aleksandr Anyukov.


Kata-kata berbaur perkauman dilaungkan sesetengah peminat Zenit, insiden yang dibimbangi pegawai Liverpool selepas kelab itu sering dikaitkan dengan insiden itu.


Di Republik Czech, pemain gantian Chelsea, Oscar tidak membuang masa untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-82, hanya 45 saat berada di atas padang ketika menewaskan Sparta Prague 1-0.


Oscar menerima bola daripada pemain tengah Belgium, Eden Hazard dan melakukan rembatan leret ke arah penjuru gawang Prague.


Newcastle pula sekadar seri 0-0 dengan Metalist Kharkiv di laman sendiri dengan dua gol Papiss Cisse dibatalkan kerana ofsaid.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Fokus jumpa Roma: Careras

Posted:

Milan: Pertahanan Juventus, Martin Caceres berkata, juara Itali itu mesti segera melupakan kemenangan ke atas Celtic dalam aksi Liga Juara-Juara dan fokus kepada perlawanan getir menentang Roma, hari ini.

Juve mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas juara Scotland itu di Glasgow pada pertengahan minggu ini, memberikan mereka suntikan semangat untuk pertemuan kedua di Turin tiga minggu lagi.


Namun Caceres menegaskan, Scudetto tetap menjadi keutamaan kelab itu. Mereka kini lima mata di depan Napoli dan dia yakin kemenangan ke atas Roma akan meningkatkan lagi kelebihan mereka.

"Roma pasukan yang besar. Mereka baru menukar pengurus dan biasanya meningkatkan semangat," kata pemain Uruguay, Caceres.


"Kami mahu menang. Objektif utama adalah mempertahankan gelaran tapi kami masih menaruh harapan dalam Liga Juara-Juara biarpun sedar amat sukar untuk menempuhnya hingga ke akhir." Roma memecat jurulatih veteran, Zdenek Zeman dua minggu lalu dan menggantikan jurulatih berusia 65 tahun itu dengan Aurelio Andreazzoli, sebagai pengganti sementara.


Perlawanan pertama dipimpin Andreazzoli adalah ketika mereka tewas 1-3 kepada Sampdoria di tempat lawan minggu lalu yang menyaksikan Roma jatuh ke tangga kesembilan.

Roma dibayangi masalah kecederaan selepas penyerang Pablo Osvaldo berhenti menjalani latihan kelmarin kerana kecederaan lutut kanan manakala pemain tengah, Daniele De Rossi pula diketepikan sebagai langkah berjaga-jaga selepas mengadu otot betis kirinya kejang.


Pemain tengah, Claudio Marchisio pula dijangka tidak beraksi kerana masih cedera namun jurulatih Juve, Antonio Conte akan mendapat semula khidmat pemain tengah Ghana, Kwadwo Asamoah yang pulang daripada aksi Piala Negara-Negara Afrika.

Meskipun AC Milan mempamerkan kebangkitan, mereka masih ketinggalan 14 mata berbanding Juve, membuatkan Napoli kini satu-satunya pencabar utama merebut kejuaraan Serie A. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Usah perlekeh Granada

Posted:

Pertahanan Barcelona, Adriano memberi jaminan mereka tidak akan memandang remeh kunjungan ke Granada hujung minggu ini walaupun mempunyai kelebihan 12 mata di puncak liga.

Kelab Catalan itu melebarkan kedudukan selepas membelasah Getafe, 6-1 minggu lalu dan pemain Brazil itu percaya lebih baik untuk mengekalkan persembahan seperti itu menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang AC Milan, awal pagi Khamis ini berbanding merehatkan pemain.


"Kami mempunyai kelebihan selesa ke atas Atletico dan Real Madrid namun tidak boleh melupakan saingan liga," katanya.

"Jika kami mengambil mudah, mereka akan merapatkan jurang. Kami tidak boleh berhenti. Kami perlu memberi seratus peratus pada setiap perlawanan.


"Kami sudah memasuki fasa akhir Liga Juara-Juara namun mempunyai perlawanan penting hari ini," katanya mengenai lawan dari selatan yang sudah menewaskan Real dan Deportivo dalam tempoh dua minggu lalu.


"Perlawanan ini pasti sukar kerana lawan beraksi dengan mantap dan mencatatkan dua kemenangan berturut-turut." Bagaimanapun dengan perlawanan menentang Sevilla dan aksi timbal balik separuh akhir Copa del Rey menentang Real diikuti kunjungan ke Itali pada pertengahan minggu, pemain berusia 28 tahun itu mengaku ia tempoh yang memenatkan buat skuad itu.

"Kalendar perlawanan sangat sukar dan bukan ini tiada rehat. Jika ada hari rehat yang lebih antara perlawanan, kami pasti bersyukur mendapatnya." Barca tampil tanpa David Villa apabila pemain terbabit kembali ke hospital kerana kesakitan buah pinggang manakala Xavi kekal tersisih walaupun kembali menjalani latihan ringan pada Rabu.


Granada menanti kunjungan pendahulu liga ketika berada di prestasi terbaik musim ini selepas tiga kemenangan dalam empat perlawanan dan kemenangan 1-0 ke atas Real pada aksi terakhir di laman sendiri dan bekas penyerang Barca, Nolito percaya mereka mampu melakukan satu lagi kejutan.

"Kami bersedia untuk perlawanan seperti biasa. Sama seperti kami menyiapkan diri untuk menentang Real atau Depor," katanya.


"Bola sepak adalah 11 pemain menentang 11 pemain. Kami boleh menewaskan mereka. Satu hari mereka pasti tewas." Jurulatih Granada, Lucas Alcaraz perlu melakukannya tanpa khidmat Dani Benitez apabila pemain sayap itu tersisih enam minggu kerana menjalani pembedahan hernia awal minggu ini. Real pula akan meneruskan usaha mengejar Barcelona ketika menanti kunjungan kelab jiran, Rayo Vallecano esok.


Rayo membantu Real apabila menewaskan Atletico Madrid, 2-1 hujung minggu lalu untuk mengurangkan kelebihan kelab itu ke atas skuad kendalian Jose Mourinho kepada empat mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Victoria bergaya jinak Christina

Posted:

Doha: Pemain nombor satu Dunia, Victoria Azarenka mara ke suku akhir Terbuka Qatar semalam selepas mudah membelasah pemain Amerika Syarikat (AS), Christina McHale 6-0, 6-0.

Juara bertahan, Victoria yang mungkin hilang kedudukan teratas kepada Serena Williams minggu ini langsung tidak memberi ruang kepada Christina, pemain berusia 20 tahun yang sudah meraih tujuh kemenangan ke atas 10 pemain terbaik dunia.


Pemain pilihan utama dari Belarus itu hanya memerlukan sejam untuk menyingkirkan wakil muda AS itu dengan kawalan gelanggang yang baik dan agresif.

Aksi dipamer Victoria itu sekali gus meletakkan dirinya sebagai calon pilihan mengekalkan gelaran Terbuka Qatar bagi meneruskan kecemerlangannya memenangi Terbuka Australia bulan lalu.


"Bila masuk ke gelanggang, saya sudah berasa yakin. Bila berdepan kesukaran dalam permainan, saya kekal fokus dan menggunakan peluang yang ada. "Christina beraksi cemerlang dalam beberapa perlawanan sebelum ini dan menewaskan pemain handalan dan sebab itu saya perlu kekal fokus. Saya berjaya mengatasi kekecewaan akibat cuaca berangin semalam (kelmarin)." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Tiada masalah buat Federer

Posted:

Juara dua kali, Roger Federer mudah melangkah ke suku akhir kejohanan Tenis Dunia Rotterdam semalam selepas menewaskan wakil tuan rumah, Thiemo de Bakker 6-3, 6-4.

Kemenangan dalam tempoh 62 minit itu membolehkan pemain pilihan utama dari Switzerland itu menempah pertemuan dengan pemain Perancis, Julien Benneteau buat kali keenam.


Federer, pemain nombor dua dunia bertanding di Rotterdam untuk kali kelapan dan tidak pernah gagal melayakkan diri ke suku akhir dan memenangi gelaran pada 2005 dan 2012.

"Saya gembira, permainan sangat pantas dan Thiemo adalah pemain yang bahaya," kata Federer.


"Saya gembira berjaya melepasi halangan ini untuk mara ke suku akhir sekali lagi. Ia kemenangan cukup baik." Pemain pilihan kedua, Juan Martin Del Potro berkata, dia tidak kisah dengan kedudukan keempat terbaik dunia selepas pemain Argentina itu mengalahkan pemain dari pusingan kelayakan, Ernests Gulbis 7-6 (7/5), 6-3.


"Saya tahu boleh meningkat," kata juara Terbuka Amerika Syarikat 2009 yang kini menduduki ranking ketujuh dunia itu. Selepas ini dia bakal berdepan Jarkko Nieminen selepas wakil Finland itu menyingkirkan pemain Jerman, Matthias Bachinger 6-3, 5-7, 6-3.

"Ada sebab kenapa pemain berada dalam kelompok empat terbaik dunia, mereka bermain lebih baik, saya tahu boleh mengalahkan mereka namun perlu meningkatkan prestasi. Itulah yang saya lakukan seperti cuba bermain lebih di jaring.


"Sekarang saya gembira dengan ranking semasa." Del Potro yang tewas di final kepada Federer tahun lalu hanya memerlukan lebih 90 minit untuk menumpaskan pemain Latvia, Gulbis, yang pada satu ketika menduduki kelompok 30 pemain terbaik sebelum merosot ke tangga 132.

"Ia perlawanan sukar, dia pemain yang bagus," kata Del Potro. "Saya bernasib baik pada tie-break set pertama. Kemudian pada set kedua saya memperbaiki permainan dan berjaya menamatkan permainan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Tiada tandingan

Posted:

Ramli Mohd, 48 (gambar), muncul juara kategori veteran, menewaskan lebih 30 peserta lain pada pertandingan Jogaton Kelab Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor daerah Mersing, baru-baru ini.

Bagi kategori Terbuka Lelaki pula, gelaran juara milik Alias Zaidi, 27, manakala Siti Salahah Rahman, 27, mengungguli Terbuka Wanita.


Jurutera JKR Daerah Mersing, Mohamad Kamal A Rahman berkata, pertandingan jogaton itu diadakan sempena Program Gaya Hidup Sihat di kalangan ahli kelab itu.

Menurutnya, jogaton itu disertai lebih 120 ahli kelab membabitkan saingan sejauh lima kilometer melalui Jalan Haji Musa, Jalan Ahmad, Jalan Tun Dr Ismail dan berpatah balik sebelum berakhir di Jalan Haji Musa.


Katanya, lebih menarik, pertandingan itu bukan saja mendapat sambutan di kalangan ahli kelab tapi kakitangan lain turut menyertai.


Sementara itu, Ramli tidak menduga mampu mengalahkan beberapa peserta lebih hebat daripadanya pada pertandingan itu.

"Saya hanya menjalani latihan seminggu sebelum pertandingan ini tapi ia nyata memadai untuk memenangi pertandingan.


"Program yang dianjurkan kelab sukan perlu dikekalkan pada masa akan datang bagi mencungkil bakat di kalangan ahlinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

No comments:

Post a Comment