Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Sewa paha untuk iklan

Posted:

Tokyo: Ia negara yang terkenal kerana cara unik untuk mengiklankan produk.

Tetapi, Jepun kini melangkah satu tapak ke depan dengan wanitanya menyewakan paha mereka untuk syarikat memasarkan produk masing-masing dengan kadar bayaran tertentu.

Dengan tanggapan bahawa iklan yang baik perlu diletakkan di tempat orang akan memberikan tumpuan, paha wanita sudah pasti menjadi pilihan paling sesuai.

Dan strategi pemasaran pintar itu sudah terbukti menjana kejayaan.

Foto

TATU dipakai boleh dicabut semula.


Setakat November lalu, kira-kira 1,300 wanita muda mendaftarkan paha mereka untuk dijadikan ruang iklan dengan syarikat perhubungan awam, Absolute Territory dan jumlah itu semakin meningkat.


Paha mereka ditampal iklan dan mereka menjalani kehidupan seperti biasa, memakai skirt pendek dan mempamerkan anggota itu sebaik mungkin.

Selagi iklan itu berada di paha mereka selama lapan jam sehari atau lebih, tugas mereka selesai dan mereka akan dibayar.

Sebagai bukti mereka melakukan tugas berkenaan, peserta perlu memuatnaikkan gambar mereka 'memakai' iklan itu pada laman Facebook, Twitter atau laman sosial lain milik mereka.

Dan bukan setakat syarikat pengeluar produk saja mendapatkan khidmat mereka.

Sebuah kumpulan rock, Green Day juga menggunakan khidmat sama untuk mempromosi album baru mereka, !Uno!

Menurut jurucakap Absolute Territory, Eichi Atsumi, garis panduan perlu dipatuhi ialah mereka mendaftar menjadi iklan bergerak itu perlu mempunyai rangkaian 20 atau lebih orang dalam laman sosial dan mereka mesti berusia 18 tahun ke atas. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Detektif kes Blade Runner hadapi tuduhan bunuh

Posted:

Pretoria: Detektif menyiasat kes Oscar Pistorius atau Blade Runner dimalukan sekali lagi, semalam apabila dipanggil semula ke kandang saksi beberapa jam selepas diketahui dia berdepan dengan tujuh tuduhan cuba membunuh.

Detektif Hilton Botha yang diketawakan di mahkamah ketika memberi kenyataan terhadap pelari paralimpik itu dituduh mabuk apabila melepaskan tembakan ke arah sebuah bas mini yang membawa tujuh penumpang pada 2011.


Pistorius menafikan tuduhan merancang membunuh teman wanitanya, Reeva Steenkamp, 29, dan perbicaraan ikat jamin ke atasnya masuk hari ketiga di Pretoria, semalam.

Perbicaraan tertangguh, semalam kerana Botha tidak ada di mahkamah ketika ia bermula menyebabkan keputusan berkait dengan ikat jamin Pistorius mungkin mengambil masa lebih lama lagi.


Botha dijadual hadir di mahkamah pada Mei untuk perbicaraan kesnya. Dia dan dua anggota polis lain dituduh menembak ketika cuba memaksa sebuah bas mini berhenti pada Oktober 2011.


Jurucakap Perkhidmatan Polis Afrika Selatan, Brigadier Neville Malila berkata, pihaknya mengetahui semalam bahawa tuduhan terhadap Botha dan dua yang lain yang sebelum ini digugur, akan disebut semula oleh Pengarah Pendakwa Raya.

Ketika diminta menjelaskan mengenai tuduhan itu, Botha semalam berkata, kes itu sudah digugurkan, dia tidak mabuk dan kejadian berlaku ketika dia memburu suspek kes jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

8 askar Indonesia ditembak mati

Posted:

Jayapura: Sekumpulan lelaki bersenjata semalam menembak mati lapan tentera Indonesia dalam dua kejadian berasingan di wilayah Papua.

Jurucakap tentera di wilayah itu, Lt Kol Jansen Simanjuntak berkata, kira-kira 20 penyerang bersenjatakan pistol dan parang menyerang sekumpulan sembilan askar yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Ilaga di daerah Puncak Jaya untuk memungut kelengkapan komunikasi, menyebabkan tujuh orang terbunuh.


Dua orang awam juga ditembak dalam serangan berkenaan tetapi keadaan mereka tidak diketahui.

Laporan awal menyatakan kedua-duanya turut terbunuh.


Kira-kira sejam selepas itu, sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah pos tentera di Tinggi Nambut, sebuah kampung bersebelahan dengan daerah Puncak Jaya dan menembak mati seorang askar dan mencederakan seorang lagi sebelum melarikan diri ke hutan.


Jurucakap tentera Indonesia, Laksamana Muda , Iskandar Sitompul berkata, kedua-dua penyerang adalah kumpulan sama. Kawasan itu adalah kubu kuat pemisah yang berjuang menentang pemerintahan Indonesia sejak lebih 40 tahun lalu.

"Mereka dipercayai orang yang sama yang sentiasa mahu mencetuskan kekacauan di sana," kata Iskandar di Jakarta.


Jansen mengenal pasti penyerang sebagai anggota kumpulan pemisah tempatan yang diketuai oleh Goliat Tabuni. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Aquino selar tindakan pengikut Sultan Sulu

Posted:

Manila: Presiden Filipina, Benigno Aquino, semalam mengkritik kumpulan bersenjata dari negara itu yang memasuki Malaysia dan memberi amaran, tindakan itu boleh mencetuskan konflik.

Dalam komen terbuka pertamanya dalam isu itu, Aquino berkata, memasuki Malaysia dengan bersenjata bukan cara sebenar menyelesaikan isu berkenaan.


"Apabila anda mempamerkan senjata, secara spontan pihak yang lagi satu hanya ada satu cara untuk bertindak balas terhadap cabaran itu," katanya.

Berpuluh-puluh pengikut Sultan Sulu berlayar dari selatan Filipina memasuki Sabah lebih seminggu lalu untuk menuntut hak ke atas wilayah itu.


Pihak berkuasa Malaysia mengepung kumpulan terbabit yang dianggarkan seramai antara 80 hingga 400 orang dan belum ada penyelesaian dicapai. Aquino berkata, Manila sedang berunding dengan semua pihak, termasuk keluarga Sultan Sulu itu, untuk mencari penyelesaian aman. Sementara itu, Setiausaha Luar, Albert del Rosario, berkata Aquino mengarahkan pihak berkuasa "melakukan apa saja yang mungkin untuk cuba dan mendesak mereka berundur secara aman." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Bayi hidup dikatakan sudah tak bernyawa

Posted:

Jakarta: Sepasang suami isteri mengheret sebuah hospital ke mahkamah kerana cuai dan tidak bersungguh-sungguh menyelamatkan anak mereka yang baru dilahirkan, kelmarin.

Dalam kejadian itu, pasangan Ali Zuar dan Mayarni terkejut diberitahu, anak sulung mereka meninggal dunia jam 2.30 petang.


Mereka membawa mayat bayi terbabit ke rumah namun, kata Ali, apabila tiba di rumah, mereka terkejut apabila bayi itu masih bernafas. "Kami meminta bantuan jiran dan ada yang memberikan oksigen.

"Perlahan-lahan, badan anak kami yang membiru bertukar menjadi merah," katanya. - Detik

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Dapat hidung baru

Posted:

Jakarta: Selepas hidup tanpa hidung selama tiga tahun, seorang wanita kembali tersenyum apabila kecacatan itu diatasi dengan bantuan artis kesan khas yang pernah memenangi anugerah Oscar.

Yustince, 30, mengalami kecacatan itu selepas hidungnya dipotong suaminya dengan pisau.

Sejak detik malang itu, Yustince menutup kesan kecederaan itu dengan kain kasa.

Namun, dengan bantuan sebuah pertubuhan amal Yayasan Kebakaran Grossman, seorang artis berpangkalan di Hollywood, Alec Gillis diminta menyiapkan hidung palsu untuk Yustince.


Kepakaran seni mekap Gillis pernah digunakan dalam banyak filem, termasuk Jumanji, Alien vs Predator dan Cast Away.


Kata Gillis, biasanya dia menggunakan kepakaran untuk mencipta imej menakutkan orang ramai.

Gills menghasilkan sejumlah prototaip menggunakan gambar dan ukuran muka Yustince.

Hidung palsu itu boleh digam terus ke muka dan boleh dilekatkan menggunakan magnet dan diklip ke cermin mata. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

42 korban bom kereta

Posted:

Damsyik: Sebuah kereta sarat berisi bahan letupan meledak berhampiran pejabat Parti Baath yang memerintah Syria semalam, membunuh 42 orang dan mencederakan 237 orang awam serta merosakkan banyak bangunan.

Menurut media, letupan pada waktu pagi itu menggegarkan bahagian tengah Damsyik dan menyebabkan asap tebal memenuhi ruang udara ibu negara Syria itu.


Insiden berlaku ketika pembangkang Syria bertemu di Kaherah, Mesir, bagi membincangkan cadangan pemimpin mereka untuk mengadakan rundingan bersyarat dengan rejim Presiden Bashar al-Assad. Stesen televisyen Syria turut melaporkan letupan di Mazraa itu dan menganggapnya sebagai serangan 'pengganas' di kawasan yang padat dengan penduduk.

Punca letupan itu tidak dinyatakan, tetapi melaporkan ada mangsa terkorban serta cedera, termasuk empat kanak-kanak. Stesen televisyen al-Ikhbariya turut menayangkan imej empat mayat terbaring di taman awam dan kenderaan terbakar.


Saksi berkata, sebuah kereta meletup di pos keselamatan di antara Kedutaan Russia dan Ibu Pejabat Parti Baath. Seorang penduduk berkata, letupan itu sangat kuat, menyebabkan barangan di kedainya jatuh.


Setakat ini Damsyik jarang menjadi sasaran serangan besar-besaran seperti yang berlaku di bandar lain di Syria.

Bagaimanapun, beberapa serangan bom kereta dilakukan dengan menyasarkan bangunan kerajaan di situ.


Letupan semalam berlaku selepas dua serangan mortar di bandar raya sama.

Kelmarin, dua mortar meletup berhampiran stadium bola sepak, menyebabkan seorang terbunuh. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Taliban ikrar terus sasar pegawai kerajaan

Posted:

Kabul: Seorang jurucakap Taliban berkata, kumpulan itu akan terus menyasarkan kakitangan kerajaan dan mana-mana penduduk Afghanistan yang mempunyai kaitan dengan tentera asing di negara itu walaupun PBB memberitahu, tindakan mereka mungkin melanggar undang-undang antarabangsa.

Zabiullah Mujahid berkata, Taliban menolak laporan terdahulu yang dikeluarkan awal minggu ini yang menuduh mereka menjadikan orang awam sebagai sasaran.


Kata Zabiullah, tuduhan misi PBB di Afghanistan itu salah kerana menuduh mereka menyebabkan kematian ramai orang awam dalam perang di negara itu.

"Taliban tidak menganggap kakitangan kerajaan dan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan tentera asing sebagai orang awam," katanya. Sementara itu. laporan PBB mendapati, 2,754 orang awam Afghanistan terbunuh pada 2012 berbanding 3,131 orang pada tahun sebelumnya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Tekanan halang penyelesaian: Iran

Posted:

New York: Seorang diplomat kanan Iran semalam berkata, peningkatan tekanan Barat ke atas program nuklear negaranya mungkin mematikan harapan mencari penyelesaian isu itu melalui rundingan.

Menjelang pertemuan di Kazakhstan Selasa depan, Duta Iran ke PBB, Mohammad Khazaee, berkata negaranya mahu berunding tetapi mengecam taktik Barat yang mengenakan sekatan ketika ini.


"Lebih banyak tekanan hanya menyebabkan lebih banyak kecurigaan dan mendorong Iran kehilangan harapan untuk mencari penyelesaian melalui rundingan," katanya. Mohammad berkata, selagi tekanan dan ugutan dikenakan ke atas Iran, Teheran tidak menganggap mereka diajak untuk berunding.

Sebelum ini, kata Mohammad, Presiden AS, Barack Obama, mengisytiharkan "perang ekonomi" terhadap Iran. Bagaimanapun, katanya, pemimpin Iran tetap mengalu-alukan gesaan Washington untuk mengadakan rundingan diplomatik. "Rundingan itu memerlukan keyakinan bersama antara AS dan Iran," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Sektor bank, kerajaan di India lumpuh

Posted:

New Delhi: Sektor bank awam dan banyak pejabat kerajaan ditutup semalam dalam mogok umum hari kedua yang dianjurkan bagi membantah rancangan kerajaan memperkenalkan reformasi propasaran.

Sebelas kesatuan sekerja mengadakan mogok itu sebagai tindak balas terhadap langkah yang dianggap sebagai "antigolongan miskin" dan mungkin menyebabkan pengangguran serta peningkatan harga barangan. Ketika kesan mogok itu tidak menyeluruh dan banyak dikesan di institusi yang mempunyai kesatuan sekerja, penganalisis berkata, ia turut menampakkan rasa tidak puas hati di kalangan pekerja. Penulis dan penganalisis politik, Shubha Singh, berkata kerajaan mesti berunding dan mendengar masalah pekerja kerana kelas berkenaan tidak lagi boleh diabaikan.


"Ia lebih penting kerana pilihan raya umum dijadual pada 2014," katanya. Antara pembaharuan dicadang kerajaan ialah membuka ruang lebih luas kepada sektor rangkaian runcit, insurans dan penerbangan kepada pelabur asing bagi merangsang pertumbuhan ekonomi. Ia turut membabitkan kenaikan harga diesel subsidi dan pengurangan potongan harga untuk silinder gas memasak bagi mengekang defisit fiskal. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

No comments:

Post a Comment