Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Terbayang waktu kiamat'

Posted:

Moscow: Ketika satu objek bercahaya terbang pantas di udara, kelas gimnastik yang diadakan di Institut Kereta Api Chelyabinsk pagi kelmarin terhenti.

Semua pelajar tertumpu ke tingkap untuk melihat objek aneh berkenaan. Beberapa detik berlalu, dan tiba-tiba dengan dentuman kuat kaca tingkap di situ berkecai dan bandar Chelyabinsk bergegar. Hentaman meteorit (tahi bintang yang gugur ke bumi) di bandar Chelyabinsk yang tidak jauh dari sempadan memisahkan Eropah serta Asia itu membayangkan bagaimana suasana dunia apabila tiba waktu kiamat.


Walaupun ia bukan yang pertama, saintis berkata, hentaman sebelum ini tidak pernah mencederakan begitu ramai orang. Pelajar di institut berkenaan bergegas menuruni tangga untuk mencari tempat selamat di luar bangunan.

Di situ, ratusan orang terpaku memandang pancaran cahaya yang amat terang - bermula dengan warna kuning sebelum bertukar menjadi oren - di langit.


Sejurus kemudian, terdengar jeritan di mana-mana dan orang ramai kelihatan keliru. Kira-kira 1,200 orang dengan 200 daripadanya kanak-kanak cedera dan sebahagian besar mereka akibat terkena kaca yang berkecai di sekolah atau tempat kerja. Kementerian Dalam Negeri berkata, beberapa mangsa mengalami kecederaan kepala dan patah tulang.


Sehingga petang semalam, tiada laporan kematian diterima. Pihak berkuasa tempatan berkata, ada hampir 305,000 meter persegi kaca pecah, menyebabkan banyak bangunan terdedah kepada cuaca sejuk. Ketika saintis cuba mencari jawapan kepada insiden itu, penduduk Chelyabinsk terpaksa berdepan kenangan yang sebelum ini hanya dapat dilihat dalam filem fiksyen sains. Bloger Darya Frenn berkata, dia terkejut apabila ada haba panas menerpa masuk ke rumah ketika dia membuka tingkap.

Foto

ASAP dari meteorit dapat dilihat di langit.

"Seolah-olah laman saya mengalami musim panas. Kemudian saya nampak cahaya terbang di langit dan semakin kecil sebelum hilang di kawasan hutan," katanya.


Beberapa saat kemudian, kata Darya, dia terdengar letupan kuat menyebabkan tingkapnya tertanggal. "Mudah-mudahan Tuhan melindungi anda daripada mengalami insiden ini," katanya. Guru Valentina Nikolayeva berkata, dia melihat cahaya luar biasa yang menerangi kelasnya. "Ia cahaya yang tak pernah saya lihat, mungkin hanya berlaku pada hari kiamat," katanya. Pada jam 9 pagi (waktu tempatan), matahari baru naik di Pergunungan Ural yang memanjang antara bahagian Eropah Russia hingga ke Siberia di timur.

Chelyabinsk adalah bandar perkilangan industri pertahanan Russia, termasuk sebahagiannya menghasilkan senjata nuklear.


Kawasan kilang di situ dipisahkan kawasan hutan luas dan tidak berpenghuni. Ketika penduduk Chelyabinsk memulakan hari baru kelmarin, seketul meteorit seberat 10 tan dan selebar tiga meter jatuh ke bumi dengan kelajuan sehingga 19 kilometer sesaat. Akademi Sains Russia berkata, ia dianggap luar biasa kerana sifatnya terlalu keras dan mungkin dihasilkan daripada besi, membolehkan serpihan daripada meteor lebih besar sampai ke bumi.


Pengarah Pusat Sains Planet dan Penerokaan di Universiti Western Ontario Peter G Brown berkata, saiz asal meteor itu mungkin selebar 15 meter dan seberat 7,000 tan. "Tenaga dihasilkan daripada letupan itu menyamai 300 kilotan bahan letupan.


"Ini menjadikannya yang terhebat direkodkan sejak kejadian di Tunguska, Siberia pada 1908," katanya. - NYT

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Asteroid hampiri Bumi

Posted:

Florida: Sebutir asteroid terbang 27,600 kilometer dari Bumi hanya beberapa jam selepas sebuah meteorit terhempas di Pergunungan Ural di Chelyabinsk, kelmarin. Saintis berkata, ia adalah asteroid besar pertama mencatat jarak terbang paling hampir dengan Bumi.

Saintis dan Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) AS bertegas, meteorit itu tidak ada kena mengena dengan asteroid berkenaan kerana kedua-duanya terbang dalam arah bertentangan.


Asteroid adalah objek yang lebih besar berbanding meteor (tahi bintang) dan mengujakan peminat astronomi di Australia yang menyaksikan ia berlalu tanpa membahayakan Bumi. Dikenali sebagai Asteroid 2012 DA14, objek itu berada lebih hampir berbanding kebanyakan satelit komunikasi dan cuaca di angkasa.

Asteroid itu terlalu kecil untuk dapat dilihat dengan mata kasar walaupun ketika ia berada di kedudukan paling hampir dengan Bimi pada jam 2.25 petang (10.25 malam waktu Malaysia) di Lautan Hindi berhampiran Sumatera. Tempat terbaik untuk menyaksikan asteroid itu menggunakan teropong ialah di Asia, Australia dan timur Eropah. Walaupun begitu, mereka hanya dapat melihat satu titik kecil bercahaya kerana ia bergerak pada kelajuan 28,000 kilometer sejam.


Secara bandingan, asteroid kelmarin itu dianggap kecil berbanding meteorit yang memusnahkan dinasor 65 juta tahun lalu selebar 9.6 kilometer. Bagaimanapun, saintis berkata, asteroid kelmarin masih boleh menyebabkan kemusnahan besar berdasarkan beratnya (143,000 tan) yang mampu menghasilkan tenaga bersamaan 2.4 juta tan TNT.


Dalam keadaan itu, kata saintis, ia boleh memusnahkan kawasan seluas 1,942 kilometer persegi. Nasa menganggarkan, meteor yang terhempas di Russia kelmarin jauh lebih kecil - kira-kira 15 meter lebar dan seberat 7,000 tan sebelum memasuki atmosfera. Ia bersamaan satu per tiga daripada asteroid yang terbang berhampiran Bumi kelmarin. Pegawai kanan Nasa, Jim Green, berkata kejadian kelmarin itu sangat luar biasa dan bersejarah. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Boleh jatuh tanpa amaran

Posted:

Cape Carnival (Florida): Sebutir batu angkasa, malah lebih besar daripada meteor yang meletup seperti bom atom di Russia boleh jatuh dari langit bila-bila masa saja dan mencetuskan huru-hara.

Berbeza dengan dunia Holywood, tiada banyak yang dapat dilakukan ahli sains dunia mengenainya. Bagaimanapun, beberapa bekas angkasawan ingin berjuang untuk melawannya. Mereka berharap insiden kosmos secara kebetulan Bumi hampir bergeser dengan asteroid berukuran 46 meter beberapa jam selepas meteor bersaiz 15 meter jatuh di Russia akan memberi kesedaran mengenai bahaya di ruang angkasa dan mendorong tindakan diambil seperti langkah mengesan dan menjejaki asteroid yang lebih baik. "Selepas insiden kelmarin, ramai orang mula sedar," kata Rusty Schweickart yang terbang dalam misi Apollo 9 pada 1969 dan membantu mewujudkan Yayasan B612 yang melindungi planet serta memberi amaran kepada NASA selama bertahun-tahun agar menyalurkan lebih banyak usaha dan wang untuk meingkatkan kesedaran mengenai asteroid. Bumi diancam meteor setiap masa iaitu serpihan asteroid atau komet yang menembusi atmosfera Bumi. Namun, banyak jika tidak semua terlalu kecil untuk dikesan dari jauh dengan peralatan yang ada sekarang. Meteor yang menggegarkan Pergunungan Ural dianggarkan 20 kali lebih berkuasa daripada bom atom yang digugurkan di Hisroshima pada Perang Dunia Kedua. Ia memecahkan ribuan kaca tingkap dan menyebabkan lebih 1,000 orang cedera di Chelyabinsk, bandar raya yang dihuni sejuta orang.


Malah, tiada siapa dapat mengesan kemunculannya yang dianggarkan bersaiz seperti sebuah bas. "Ia adalah asteroid yang kecil," kata ahli astronomi Paul Chodas yang bekerja dalam program Objek DEkat-Bumi NASA di Pasadena, California.

"Ia hanya samar-samar dan sukar dikesan bukan mustahil tetapi sukar," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Tolak cadangan perintah berkurung

Posted:

Pegawai tinggi keselamatan semalam membuat undian menolak cadangan untuk melaksanakan perintah berkurung terhad di wilayah selatan Thailand.

Pusat Pelaksanaan Polisi dan Strategi Penyelesaian Masalah Wilayah Selatan mengisytiharkan langkah itu tidak perlu selepas mengkaji bukti daripada sumber tentera dan orang awam dalam satu mesyuarat. Pusat itu berhak membuat keputusan akhir sama ada meluluskan rancangan itu ataupun sebaliknya.


Ketua Pusat Pentadbiran Sempadan Selatan Thawee Sodsong Komander Tentera Udomchai Thammasarorat dan gabenor Pattani, Yala dan Narathiwat memberitahu mesyuarat itu, undang-undang sedia ada memadai untuk menangani kegiatan kumpulan pemisah. Mereka berkata, perintah berkurung tidak diperlukan dan hanya memburukkan lagi keadaan.

"Mesyuarat membincangkan semua aspek dan memutuskan untuk tidak melaksanakan perintah berkurung. Langkah itu tidak diperlukan buat masa ini," kata Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Nasional, Paradorn Pattanathabutr. Pattanathabutr mesyuarakan keyakinan bahawa perintah berkurung tidak diperlukan untuk masa depan. Keadaan di selatan semakin pulih hasil kerjasama daripada penduduk tempatan.


Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri Chalerm Yubamrung yang mencadangkan perintah berkurung itu minggu lalu bagaimanapun tidak kesah dengan keputusan menolak cadangan berkenaan.


"Dia mencadangkan perintah berkurung itu sekadar memberikan pendapatnya. Dia mendengar apa yang dibincangkan dalam mesyuarat dan menerima keputusan yang diambil," katanya. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

'Kerat tangan hukuman positif'

Posted:

Bandar Seri Begawan: Mengerat tangan pencuri tidak sama dengan melapah ikan atau daging; tanggapan biasa mengenai bentuk hukuman yang dianggap tidak berperikemanusiaan tanpa memikirkan sudut positifnya, kata mufti Brunei semalam.

Dalam siri kuliah Subuh, Pehin Datu Seri Maharaja Abdul Aziz Juned membincangkan mengenai salah tanggapan terhadap hukuman memotong tangan pencuri yang meniadi isu kontroversi itu Mufti itu berkata, orang ramai sering tidak memahami undang-undang syariah dan menekankan hukuman sedemikian dijalankan bukan kerana marah atau balas dendam.


"Beberapa faktor perlu dipertimbangkan sebelum hukuman dijalankan," katanya sambil menambah lelaki atau wanita di bawah umur dan mereka yang gila dikecualikan daripada hukuman seumpamanya.

Menurutnya mencuri barangan berkaitan dengan hiburan tidak dipotong tangan walaupun membabitkan wang dan keadaan sama juga diguna pakai apabila mencuri minuman keras.


Hukuman itu hanya dijalankan terhadap pencuri yang sudah disiasat secara terperinci dan terdapat bukti kukuh yang menyokong perbuatannya. - Brunei Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Anak Ketua Dewan Syura PKS tinggalkan Indonesia

Posted:

Jakarta: Timbalan Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Kemanusiaan Denny Indrayana semalam mengesahkan Ridwan Hakim, anak keempat Ketua Dewan Syura Parti Keadilan Sejahtera Hilmi Aminuddin melarikan diri ke Turki sehari sebelum Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) dijangka mengeluarkan larangan perjalanan terhadapnya.

"Ridwan Hakim meninggalkan Indonesia menaiki penerbangan Turkish pada 7 Februari lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Seokarno-Hatta," katanya sebagaimana dipetik daripada berita Antara.


Menurutnya, dia menerima permintaan larangan perjalanan terhadap Ridwan daripada KPK pada petang 8 Februari lalu. Apabila larangan itu dikuat kuasakan Ridwan sudah pun meninggalkan Indonesia. Khamis lalu, KPK mengumumkan larangan terhadap Ridwan dan tiga lagi lelaki iaitu Ahmad Zaky, Rudy Susanto dan Jerry Roger daripada membuat perjalanan ke luar negara kerana perlu menjadi saksi dalam kes rasuah mengenai pengimportan daging lembu. Jurucakap KPK, Johan Budi menuduh Ridwan yang dijadualkan supaya hadir ke ibu pejabat KPK kelmarin untuk sesi soal siasat cuba mengelakkan diri. "Tiada maklumat yang bocor. Dia mungkin melakukan perjalanan atas beberapa sebab tertentu. Apabila kami mengeluarkan larangan itu, dia sudah pun ada di Turki," katanya sambil menambah KPK akan menyaman Ridwan untuk kali kedua sebelum dapat membawanya untuk disoal siasat. - Antara

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Raja Dangdut bertanding pilihan raya

Posted:

Jakarta: Raja Dangdut Rhoma Irama berkata, dia benar-benar serius ingin bertanding dalam pilihan raya presiden pada tahun depan.

"Pengundi serius dan saya juga serius. Saya mempunyai racangan untuk pilihan raya," katanya sebagaimana dipetik daripada laporan tribunnews.com. Rhoma berkata, dia tidak menggunakan taktik politik wang ketika berkempen. "Jika saya gunakan wang untuk mencapai cita-cita politik, ia tidak baik. Itulah yang membezakan saya dengan calon lain," katanya.


Rhoma masih mengembara ke seluruh negara bagi meraih sokongan untuk pencalonannya.

Satu daripada parti politik yang mungkin menyokong pencalonannya ialah Parti Kesedaran Nasional (PKB).- Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

No comments:

Post a Comment