Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tak tahu otak bayi disimpan 13 tahun

Posted:

Seorang ibu menyuarakan rasa kesal dan sedihnya ketika menceritakan bagaimana anggota polis tiba-tiba muncul di rumahnya untuk memaklumkan bahawa mereka menyimpan otak anaknya sejak 13 tahun lalu.

Hannah Cheevers, 34, berkata, dua pegawai polis mengetuk pintu rumahnya secara tiba-tiba untuk memberitahu otak Rhys, bayinya yang mati akibat serangan sakit jantung, masih disimpan di Hospital Southampton.


Kanak-kanak lelaki itu berusia dua hari ketika dia meninggal dunia pada 1998 dan keluarganya memberi kebenaran bedah siasat dilakukan, tetapi mereka mengandaikan tubuhnya lengkap ketika mengebumikan mayatnya.

Hannah memberitahu program Today radio 4 BBC: "Kami mengadakan upacara pengebumian dan meneruskan kehidupan seperti biasa dan 13 tahun kemudian kami diberitahu bahawa otak Rhys disimpan di hospital Southampton." Hannah yang tinggal di Wimbourne, Dorset berkata, dia terkejut dan 'tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan hakikat itu.' "Kami sangkakan dia sudah dikebumikan bersama otaknya. Kami tidak tahu-menahu mereka menyimpan otak Rhys," katanya. Polis memberitahunya otak Rhys disimpan di setor hospital tanpa disentuh, tetapi tidak dapat menyatakan sebabnya.


Hannah berkata, mereka sekeluarga memutuskan untuk mendermakan otak Rhys untuk penyelidikan hospital selepas diberitahu terdapat dua pilihan sama ada memusnahkan otak itu atau mengebumikan bersama tubuhnya. Hannah berkata: "Saya tidak mahu mengadakan satu lagi pengebumian. Saya sudah ada anak lain sekarang. Sukar untuk bercakap mengenainya lagi dan saya tidak mahu menjelaskan kepada anak saya yang lain mengapa kami perlu mengadakan upacara pengebumian lagi.


"Dan saya tidak mahu kubur Rhys digali semula hanya untuk mengebumikan otaknya. Saya tidak suka memikirkan kubur seorang kanak-kanak digali semula selepas dia dikebumikan selama 13 tahun." Kisah itu terbongkar selepas siasatan BBC menemukan bahagian tubuh daripada hampir 90 kanak-kanak disimpan oleh polis tanpa memaklumkan ibu bapa mereka.

Tahun lalu badan audit nasional mendapati pasukan polis menyimpan hampir 500 bahagian tubuh yang bertarikh sehingga 50 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Blade Runner dibenar diikat jamin RM339,000

Posted:

Pretoria: Oscar Pistorius atau Blade Runner semalam dibenar ikat jamin, membolehkannya dibebaskan daripada tahanan sementara menanti dibicarakan dalam kes membunuh teman wanitanya, Reeva Steenkamp.

Anggota keluarga bintang paralimpik itu dan peminatnya menjerit 'Ya!' sebaik Ketua Majistret, Desmon Nair mengumumkan keputusannya selepas dua jam memberi penjelasan mengenai keputusan itu.


Nair menetapkan ikan jamin sebanyak satu juta rand (RM339,000) dalam bentuk wang tunai. Dia juga menetapkan Pistorius perlu menyerahkan pasport dan senjata yang dimilikinya serta tidak dibenarkan meninggalkan Pretoria tanpa kebenaran. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

3 militan Selatan Thai serah diri di Tak Bai

Posted:

Bangkok: Tiga militan yang mengaku bersembunyi di Malaysia dan terbabit dalam pemberontakan di selatan Thailand, menyerah diri kepada pihak berkuasa semalam.

Polis berkata, Rosalee Masa, Mahadee Durae dan Arwae Leelawae, percaya kepada janji kerajaan untuk memberikan perbicaraan adil atas tindakan mereka sebelum ini. Ketiga-tiga suspek berasal dari Tak Bai di Narathiwat.


Penyerahan diri Rosalee, 31, Mahadee, 30 dan Arwae, 31 disambut Ketua Daerah Tak Bai, Somsak Sitthivorakarn; Ketua Polis Daerah Tak Bai, Prayong Kotesaka dan Komander Pasukan Khas 36, Wutthaya Chantamas.

Pemberontak itu berkata, mereka menyerah diri kerana bosan terpaksa terus bersembunyi daripada pihak berkuasa.


Rosalee berkata, mereka mula bersembunyi di Malaysia sejak lima tahun lalu. "Sudah lama saya mahu menyerah tetapi tiada peluang. "Saya gembira kerana dapat kembali bersama keluarga semula kerana hidup dalam buruan amat menyeksakan diri sendiri.


"Tiada tempat yang boleh menyediakan kehidupan menggembirakan kepada saya seperti di Thailand," katanya. Rosalee turut meminta maaf atas apa yang berlaku pada masa lalu.

Namun, katanya, dia percaya jika pihak berkuasa memberi peluang, dia akan mendapat layanan adil. "Ada 27 pemberontak tinggal di Malaysia dan mahu kembali menyerah diri tidak lama lagi tetapi belum cukup yakin dengan layanan yang akan diberikan," katanya. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Helikopter TNI ditembak

Posted:

Kumpulan bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah helikopter tentera di Papua ketika pesawat itu cuba membawa mayat anggota keselamatan yang terbunuh dalam serangan terdahulu, kata pegawai semalam.

Ketua Pangkalan Tentera Jayapura, Diah Yudhanardi, berkata helikopter Puma SA-330 itu diserang kira-kira jam 8.15 pagi (7.15 pagi waktu Malaysia) ketika ia mendarat di Sinak.


Insiden itu, kata Diah, memaksa helikopter terbabit kembali ke Jayapura tanpa dapat membawa tujuh mayat tentera yang ditembak kelmarin.

"Seorang juruteknik cedera ringan di tangan kiri akibat terkena serpihan peluru, manakala juruterbang dan pembantunya selamat," katanya. Diah berkata, tentera masih cuba menguruskan helikopter lain untuk kembali ke Sinak bagi mengangkut tujuh mayat berkenaan. Tentera itu terbunuh apabila penyerang melepaskan tembakan ke arah sembilan anggota keselamatan yang sedang berjalan menuju lapangan terbang di Sinak jam 10.30 pagi (9.30 pagi waktu Malaysia) kelmarin. Serangan itu berlaku sejam selepas sebuah pos tentera di Tingginambut - terletak kira-kira 60 kilometer dari Sinak.


Seorang tentera maut dalam serangan itu dan mayatnya berjaya diterbangkan ke Jayapura pagi semalam.


Sementara itu, jurucakap polis Indonesia Agus Riyanto berkata, empat orang awam turut maut dalam serangan di Sinak. Pihak berkuasa mengesyaki serangan itu dilakukan kumpulan pemisah Pergerakan Pembebasan Papua yang diketahui bersembunyi di kawasan pergunungan Puncak Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Bom basikal meletup bunuh 16 orang

Posted:

Hyderabad: Kerajaan India didakwa melakukan kegagalan perisikan besar selepas bom berkembar yang dipasang pada dua basikal meletup, menyebabkan 16 orang terbunuh.

Serangan hampir serentak di luar sebuah panggung wayang dan perhentian bas malam kelmarin berlaku di daerah Dilsukh Nagar.


Ia adalah serangan bom maut pertama di India sejak 2011. Seorang penyiasat kanan berkata, dua kumpulan militan memperkatakan kemungkinan serangan itu ketika mereka disoal siasat Oktober tahun lalu.

Menurut pegawai yang bertanggungjawab dalam operasi antipengganas, S N Shrivastava, dua militan disoal siasat dan mendakwa mereka meninjau beberapa lokasi di Delhi, Mumbai, Hyderabad dan Pune untuk dijadikan sasaran serangan. "Satu daripada lokasi yang disebut mereka ialah Dilsukh Nagar," katanya. Pembangkang utama India, Parti Bharatiya Janata (BJP), mendakwa kejadian itu menandakan kerajaan mekanisme perisikan kerajaan pimpinan Parti Kongres. Pemimpin BJP di parlimen, Sushma Swaraj berkata, jika pihak berkuasa memiliki maklumat spesifik, apakah yang dilakukan kerajaan Pusat dan negeri.


"Mengapa tiada tindakan dilakukan bagi menghalang insiden itu berlaku?" katanya. Setakat ini tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab, tetapi kerajaan diaibkan dengan pendedahan pembangkang bahawa kegagalan keselamatan sistematik berlaku ketika negara itu berada dalam keadaan sangat berjaga-jaga. Ketika penyiasat menyelongkar kesan letupan bagi mencari petunjuk, akhbar menuduh kumpulan Mujahideen India sebagai dalang. Ahli parlimen dari Parti Komunis, Basudev Acharya, berkata setiap kali letupan seperti di Hyderabad berlaku, rakyat diberitahu berlaku kegagalan perisikan. "Mengapa sentiasa berlaku kegagalan?" katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

'AS talam dua muka'

Posted:

Russia semalam menuduh AS mengamalkan sikap talam dua muka dalam isu Syria dan menyalahkan Washington kerana menghalang kenyataan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengutuk serangan bom kereta di Damsyik.

Serangan bom di lebuh raya sibuk kelmarin membunuh 60 orang dan merosakkan bangunan Kedutaan Russia di Damsyik. Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, berkata Moscow kecewa kerana tindakan pengganas di Syria tidak dikutuk akibat pendirian AS. "Kami percaya Washington bersikap talam dua muka dan sangat berbahaya bagi AS apabila mereka meninggalkan prinsip asas untuk mengutuk sebarang tindakan pengganas yang menyatukan komuniti antarabangsa menentang keganasan," katanya. Seramai 90 orang terbunuh dalam empat serangan bom di sekitar Damsyik kelmarin, menjadikan ia antara hari paling berdarah di ibu negara Syria itu sejak rejim Presiden Bashar al-Assad diasak rakyatnya hampir dua tahun lalu. Pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, selain 60 orang yang maut dalam letupan bom berhampiran Kedutaan Russia itu, banyak lagi mangsa terbunuh dalam tiga letupan terancang di Barzeh.


PBB berkata, 70,000 orang terbunuh di Syria sejak negara itu terjerumus dalam konflik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Morsi dicalon jadi angkasawan

Posted:

Kumpulan pembangkang Mesir menggunakan cara luar biasa membantah Presiden Mohammed Morsi: Mencalonkannya untuk satu pertandingan ke angkasa lepas.

Pergerakan Belia 6 April berkata dalam laman web rasminya, mereka mencalonkan nama presiden itu di Internet kerana ingin menyingkirkan beliau. Mereka menggesa penyokong pembangkang mengundi presiden itu supaya dia berpeluang memenangi kunjungan ke angkasa.


Pejabat media presiden tidak mengulas mengenai tindakan itu.

"Tiada ada orang yang boleh tahan dengan dengan penipuan Morsi yang dilakukan secara terang-terangan. Atas sebab inilah presiden memerlukan undian anda. Presiden Morsi, kami ucapkan perjalanan yang selamat," kata kumpulan itu.


Kumpulan 6 April adalah dalang di sebalik pemberontakan 2011 yang menggulingkan kerajaan Hosni Mubarak. Kebanyakan penyokongnya menyokong Morsi pada pilihan raya Jun tahun lalu yang dimenangi secara tipis untuk menjadi Presiden Mesir pertama diundi secara bebas. Bagaimanapun, ia kemudian menjadi pengkritik utama presiden dan partinya Ikhwanul Muslimin. Pembangkang menuduh Morsi memonopoli kuasa dan mengingkari janji untuk mewujudkan kerajaan menyeluruh dan memperkenalkan pembaharuan. Penyokong Morsi menyangkal tuduhan itu dengan berkata, kerajaan baru tidak dapat memperbaiki segera pentadbiran buruk selama 29 tahun dalam sekelip mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Kingdom Tower tertinggi di dunia

Posted:

London: Syarikat Britain yang membina bangunan The Shard memperoleh kontrak menguruskan pembinaan bangunan yang akan menjadi binaan paling tinggi di dunia.

Syarikat Mace yang berpangkalan di London memenangi kontrak bernilai 780 juta pound (RM2.4 bilion) membina Kingdom Tower di Jeddah, Arab Saudi yang akan mempunyai ketinggian melebihi 999.7 meter.


Buat masa ini, The Shard ialah bangunan tertinggi di Eropah Barat dan Mace turut memainkan peranan penting membina beberapa mecu tanda terkenal di London, termasuk London Eye. Mace akan bekerjasama dengan syarikat EC Harris dari Britain membina Kingdom Tower yang dijangka siap pada 2018. Kingdom Tower berukuran 500,000 meter persegi bakal mempunyai ketinggian empat kali lebih tinggi berbanding The Shard.

Bangunan itu menghadap Laut Merah dan dijangka mengambil alih gelaran Burj Khalifa di Dubai sebagai bangunan pencakar langit tertinggi di dunia. Projek diumumkan bilionair Saudi, Putera Al-Waleed bin Talal adalah sebahagian projek pembinaan semula utara Jeddah bernilai 13 bilion pound (RM40.3 bilion).


Ia akan mempunyai 59 lif dengan pergerekan terpantas pada kadar 10 meter sesaat dan hotel lima bintang Four Season. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

No comments:

Post a Comment