Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kereta melambung, 33 penonton cedera

Posted:

Daytona Beach (Florida): Sekurang-kurangnya 33 peminat Nascar cedera apabila sebuah kereta melambung ke tempat duduk penonton di gelanggang antarabangsa Daytona Speedway kelmarin.

Nahas berlaku dalam pusingan akhir perlumbaan peringkat kedua Nationwide Series menjelang pembukaan musim Piala Sprint Daytona 500.


Kemalangan terjadi selepas pendahulu perlumbaan, Regan Smith cuba menghalang Brad Keselowski daripada memenangi pertandingan.

Keadaan itu menyebabkan pemandu baru, Kyle Larson melanggar kereta di depannya sebelum kenderaan dipandunya melayang ke udara dan merempuh pagar tempat duduk penonton.


Bahagian depan kereta Larson berkecai dan enjinnya terperosok pada lubang pagar berkenaan. Serpihan daripada kereta itu, termasuk sebuah tayar melayang ke arah tempat duduk penonton yang hampir dengan trek perlumbaan.


Larson, 20, yang tercampak keluar dari keretanya. -Reuters

Foto

KERETA dipandu Larson melayang ke arah tempat duduk penonton di gelanggang antarabangsa Daytona Speedway.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Naomi disyaki simbah sendiri asid

Posted:

London: Polis dipercayai merampas komputer milik seorang wanita muda yang cedera parah dalam serangan asid kerana mencurigai dia mungkin mencederakan dirinya sendiri.

Namun, keluarganya bimbang polis tidak membuat yang terbaik untuk menangkap pesalah itu dan hanya menumpukan kepada sesi 'soal siasat tak masuk akal.'

Naomi Oni, 20, cedera parah ekoran insiden yang berlaku ketika dia pulang dari tempat kerja pada akhir tahun lalu sebelum dimasukkan ke hospital hampir sebulan untuk rawatan.

Polis mengambil komputer riba Naomi dan dikatakan menemui bukti bahawa wanita muda itu telah membuat pencarian di Internet mengenai serangan asid sebelum insiden malang itu menimpanya.


Pencarian dikatakan termasuk maklumat mengenai Katie Piper, bekas model yang berkempen untuk mangsa yang berwajah cacat sejak dia sendiri menjadi mangsa serangan asid pada 2008.


Polis dikatakan menyoal saudara-mara Naomi untuk mengetahui sama ada dia mencederakan dirinya sendiri, tetapi teman lelakinya Ato Owede, 23, menganggap soal siasat itu 'gila.'

Dia memberitahu Sunday Times: "Polis perlu terus menyiasat.

"Mereka menumpukan kepada perkara yang salah berikutan pencarian Naomi mengenai maklumat serangan asid dan perkara seumpamanya.

"Mereka membuat kesimpulan yang bodoh," katanya.

Naomi mengalami cedera parah di muka, kaki, lengan dan kepala dan separuh buta selepas seorang yang memakai purdah menyimbah asid ke arahnya ketika dia berjalan pulang ke kediamannya di Dagenham ekoran tugas syif malam di kedai Victoria Secret di pusat beli-belah Westfield di Stratford.

Dia juga kehilangan rambut dan bulu mata dalam insiden itu serta terpaksa menjalani beberapa pembedahan sejak kejadian terbabit.

Doktor pada awalnya bimbang dia mungkin buta sepenuhnya, tetapi selepas mengikuti rawatan intensif di unit khas, mata kirinya boleh melihat semula, manakala mata kanannya separuh buta. - Sunday Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Tiger Woods, Elin bercinta semula?

Posted:

Orlando: Tiger Woods dan bekas isterinya Elin Nordegren dilihat menghabiskan waktu bersama buat kali pertama sejak beberapa tahun, mencetuskan khabar angin pasangan itu mungkin memulai lagi hubungan cinta mereka.

Sudah tiga tahun berlalu sejak Elin, 33, memukul kenderaan SUV suaminya dengan kayu golf selepas berita mengenai skandal kecurangan bintang golf itu terbongkar.


Dan kini pasangan itu muncul di acara sukan yang disertai anak mereka, Jupiter dan Florida .

Mereka kelihatan seperti sebuah keluarga besar yang bahagia sekurang-kurangnya untuk tempoh singkat sebelum mereka beredar bersama-sama.


Menurut TMZ, Woods, 37, yang mula-mula datang ke acara sukan itu bersama anak lelaki dan anak perempuannya sebelum ibu kanak-kanak terbabit tiba sejam kemudian.


Apabila sampai di situ, pasangan berkenaan menghabiskan kira-kira setengah jam bersembang dan beberapa sumber berkata, mereka kelihatan gembira meluangkan masa bersama-sama. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, keluarga terkenal itu menyedari kehadiran mereka diperhatikan sebelum segera beredar bersama-sama dengan kenderaan Elin. Pertemuan itu berlangsung hanya beberapa minggu selepas laporan mengatakan bahawa Woods cuba memenangi semula hati Elin dengan perjanjian bernilai AS$200 juta (RM620 juta). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

29 serangan sepanjang malam

Posted:

Bangkok: Pejuang pemisah selatan Thai disyaki meletupkan dua bom mencederakan 10 orang, selain melakukan beberapa siri serangan di hampir 30 lokasi di wilayah itu sepanjang malam Sabtu lalu hingga pagi semalam.

Pegawai kanan polis Kolonel Tongsuk Jaranpong berkata, dalam satu kejadian kumpulan pemisah berkenaan meletupkan bom dalam tong sampah di bandar Pattani.


Letupan itu mencederakan tiga anggota polis yang berada di kawasan terbabit kerana memeriksa bahan yang mencurigakan.

Tongsuk berkata, tujuh sukarelawan keselamatan pula cedera ringan dalam satu lagi kejadian letupan di wilayah terbabit ketika dalam perjalanan menaiki pikap.


Menurutnya, pejuang pemisah turut membakar tayar dan bangunan di 29 lokasi berbeza di seluruh Pattani.


Lebih 5,000 orang terbunuh di selatan Thailand sejak pejuang Islam mula berjuang menentang kerajaan Thai. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Presiden Susilo dicadang lawat Papua

Posted:

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam digesa melawat Papua bagi meninjau keadaan sebenar di wilayah itu.

Anggota Dewan Perwakilan Rakyat dari Parti Amanat Nasional (PAN), Teguh Juwarno mencadangkan Susilo berada di wilayah itu selama sebulan.

Beliau menyuarakan cadangan itu selepas lapan anggota tentera dan empat orang awam terbunuh dalam serangan pemisah, Khamis lalu.

Teguh berkata, Susilo tidak pernah melawat bumi Cenderawasih itu sejak menjadi presiden.


"Mengapa Susilo tidak pernah membuat lawatan ke Papua. Dia perlu melakukannya bagi mengetahui keadaan sebenar yang berlaku di wilayah berkenaan," katanya.


Menurutnya, jika Susilo tidak berkesempatan untuk berbuat demikian, beliau boleh saja meminta bantuan tokoh bukan kerajaan, seperti mengarahkan Ketua Palang Merah Indonesia Jusuf Kalla. - Republika

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Megawati rasa diri disisih media

Posted:

Jakarta: Ketua Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Megawati Sukarnoputri semalam berkata, popularitinya semakin menurun dan berasa dirinya disisihkan media.

"Wartawan mungkin sudah lupa apabila bercakap mengenai politik, saya tidak disebut.


"Saya bukan hendakkan publisiti media, tetapi masyarakat perlu mengetahui kenyataan," katanya.

Menurutnya, ketika ini banyak pihak yang merancang menjebak masyarakat untuk terus berada dalam dunia khayalan, termasuk membutakan mereka dengan sejarah sebenar.


Beliau berkata, dirinya mengesyaki ada pihak yang terbabit hingga menyebabkan popularitinya menurun. - Antara Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Wanita dakwa lahir buaya

Posted:

Sinjai: Penduduk di daerah ini di Sulawesi Selatan heboh dengan kelahiran bayi lelaki yang mempunyai kembar seekor buaya.

Penduduk Sinjai dan kawasan bersebelahan berpusu-pusu mengunjungi rumah wanita bernama Huda, 40, untuk melihat kejadian aneh itu.


Anak buaya itu diletakkan di dalam besen berhampiran bayi berkenaan.

Ketika diwawancara wartawan, Huda mengaku mengalami kelainan ketika hamil kali ini, berbanding dengan sebelumnya.


Menurutnya, ketika melahirkan kandungannya di Dusun Bontosunggu di Sinjai Barat, Desa Terasa, dia hanya dibantu oleh suami, Marping. "Yang keluar bukan bayi, tetapi telur putih sebesar bola tenis. Tiba-tiba telur itu pecah dan seekor buaya berwarna hitam dan keemasan muncul. Perut saya tetap besar. Keesokan harinya, saya melahirkan pula bayi saya," katanya.


Huda dan suaminya yakin anak buaya yang mereka namakan Nur Baya itu ialah kembar anak lelaki mereka yang diberi nama Muhammad Nur. - Kompas

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Dibunuh kerana potong barisan makanan

Posted:

Bangkok: Seorang lelaki dibunuh dua remaja selepas dia memotong barisan untuk mengambil makanan buat anaknya dalam satu upacara keagamaan di Chiang Mai semalam.

Polis Chiang Mai Kolonel Suchart Kan-ngen berkata, mangsa, Mon Lungpan, 43, berasal dari Myanmar.


Mon membawa isteri dan anaknya menghadiri upacara keagamaan di sebuah kuil di daerah Mae Taeng. Upacara itu dibanjiri orang ramai dan kebanyakan mereka bersesak-sesak beratur untuk mengambil makanan percuma.

Pergaduhan tercetus apabila Mon memotong barisan bagi mengambil makanan untuk anaknya. Dua remaja yang berdiri di belakangnya berang dengan tindakan itu dan seorang daripadanya mengelar tengkuk mangsa dengan serpihan kaca. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Perang makin sengit

Posted:

Beirut: Pejuang penentang Presiden Bashar al-Assad dilapor melancarkan serangan baru terhadap sebuah kompleks kerajaan di bandar raya Aleppo, utara Syria.

Pengarah Pemerhati Syria untuk Hak Asasi, Rami Abdul Rahman berkata, kompleks itu termasuk sebuah akademi polis dan beberapa pos tentera yang ditugaskan di kawasan barat Aleppo.


Kumpulan penentang berusaha menyerang kompleks strategik itu sejak beberapa bulan lalu.

Semalam, mereka membedilnya dengan meriam tetapi masih tidak berjaya apabila tentera Bashar bertindak balas dengan melancarkan serangan udara, kata Rami.


Kumpulan penentang berkenaan menguasai sebahagian besar kawasan di pinggir Aleppo dan seluruh kejiranan di pusat bandar itu yang menjadi medan tempur utama.


Dalam pada itu, pertempuran untuk menguasai lapangan terbang utama di bandar kedua Syria itu juga semakin sengit.

Rami juga berkata, serangan tiga misil yang didakwa dilepaskan tentera kerajaan di utara bandar raya Aleppo kelmarin menyebabkan 58 orang terbunuh, termasuk 36 kanak-kanak.


Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi berkata, angka itu meningkat selepas lebih banyak mayat wanita dan kanak-kanak ditemui di bawah runtuhan bangunan di daerah Tari al-Bab yang terkena bedilan peluru berpandu itu.

Aktivis mendakwa misil berkenaan dilepaskan dari pangkalan tentera berhampiran Damsyik.


Bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat disahkan.


Sementara itu, sekurang-kurangnya 110 orang terbunuh dalam pertempuran di seluruh negara itu sepanjang semalam.


Menurut pertubuhan itu, mereka terdiri daripada 46 orang awam, 35 penentang dan 29 anggota tentera.


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lebih 70,000 orang mati sepanjang perang saudara di Syria sejak dua tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Iran tawan dron asing

Posted:

Teheran: Pengawal Revolusi Iran semalam berkata, ia menawan sebuah pesawat tanpa juruterbang asing ketika mengadakan latihan ketenteraan di selatan negara itu.

Jurucakap latihan berkenaan, Jeneral Hamid Sarkheili berkata, unit perang saraf elektronik pasukan berkenaan mengesan isyarat menunjukkan beberapa dron asing cuba memasuki ruang angkasa Iran.


"Pakar kami mengambil alih kawalan satu daripada sistem penerbangan pesawat terbabit dan mendaratkannya berhampiran bandar Sirjan, tempat pasukan itu mengadakan latihan," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut sama ada dron itu milik tentera Amerika Syarikat.


Jurucakap CIA di Washington enggan mengulas laporan berkenaan.


Iran sebelum ini menawan beberapa dron Amerika Syarikat, termasuk yang canggih - RQ-170. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

No comments:

Post a Comment