Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bahana foto artistik

Posted:

Seorang pelajar China nyaris maut selepas dirempuh kereta api ekspres yang berkelajuan 144 kilometer sejam ketika bergaya untuk foto 'artistik' di tepi landasan kereta api.

Xiao Li, 20, meminta rakannya, Xiao Qing mengambil beberapa gambar menarik dengan rambutnya mengerbang apabila kereta api berkenaan melewatinya di Shaodong, Hunan di selatan China.


Bagaimanapun, ketika Li cuba melakukan gaya yang sesuai, dia tersandung di landasan yang berbatu itu betul-betul di laluan kereta api dan tercampak apabila kereta api melanggar bahu kanannya. Bimbang dengan keadaan yang lebih buruk, pemandu kereta api itu segera membrekkan kenderaan terbabit, tetapi Li terselamat dan hanya mengalami lebam di bahu.

Li berkata: "Saya rasa tiba-tiba dilanggar dan saya tercampak di tepi landasan. Kereta api itu berhenti dan pemandunya menyangka dia mungkin telah membunuh saya. "Saya tidak menyedari saya hampir dirempuh. Bahu saya benar-benar lebam tetapi saya bertuah kerana masih hidup.


"Mungkin lain kali kami akan mengambil gambar di tempat yang tertutup," katanya. Jurucakap polis berkata: "Menceroboh masuk ke kawasan landasan adalah dilarang dan Li sudah pun mendapat pelajaran daripadanya." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Budak 12 tahun lahirkan kembar

Posted:

Buenos Aires: Seorang murid perempuan yang hamil pada usia 11 tahun kini menjadi ibu selepas melahirkan bayi kembar lelaki.

Kanak-kanak itu melahirkan anak hanya sebulan selepas menyambut hari jadinya yang ke-12.


Berita kelahiran itu tersiar sehari selepas kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Mexico melahirkan anak perempuan pada 27 Januari lalu, hari sama kembar lelaki itu dilahirkan di Argentina.

Seorang guru di sekolah tempat kanak-kanak itu bersekolah adalah individu pertama yang menyedari bahawa dia sedang hamil sebelum mengambil keputusan untuk memaklumkan kepada ibu kanak-kanak terbabit mengenai kecurigaannya.


Polis di bandar Chilecito, 650 batu di barat laut Buenos Aires berkata, mereka menganggap kes itu sebagai penderaan kanak-kanak dan menyoal siasat dua remaja berusia 16 dan 20 tahun. Bayi kembar itu dilahirkan lima minggu lebih awal melalui pembedahan Caesarean dan masing-masing berat 1.6 kilogram.


Pihak berkuasa berkata, kakak kanak-kanak itu yang berusia 14 tahun turut melahirkan anak tiga bulan lalu. Penduduk tempatan juga mengadakan kutipan dana khas untuk membantu bapa kepada dua kanak-kanak itu bagi membantunya untuk membesarkan bayi terbabit.

Sementara itu, di Mexico polis memburu remaja berusia 17 tahun yang menjadi bapa kepada seorang bayi perempuan selepas dia meninggalkan rumah untuk mencari kerja.


Maklumat lanjut mengenai kehidupan ibu baru itu didedahkan, kelmarin apabila ibu dan anaknya dibenarkan meninggalkan hospital di Jalisco. Kanak-kanak yang dikenali sebagai Dafne itu baru berusia lapan tahun ketika dia hamil. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Ahmad Dhani upah 'penembak tepat'

Posted:

Jakarta: Penyanyi dan penggubah lagu popular, Ahmad Dhani mengakui dia memberi perhatian tambahan kepada anak-anaknya supaya tidak terpengaruh dengan penyalahgunaan dadah.

Bekas suami Maia Estianty itu berkata, sebagai langkah menunjukkan kesungguhannya, dia turut mengupah penembak tepat bagi mengawasi anaknya. "Saya mengupah penembak tepat supaya jika ada pengedar dadah berhampiran anak saya, mereka boleh dihalang," katanya.


Menurut Ahmad Dhani, dia tidak teragak-agak mengarahkan penembak tepat itu membunuh pengedar dadah yang berani menghampiri anaknya. "Anda boleh nampak betapa saya serius.

"Jika ada pengedar dadah di sekolah anak saya, tembak mati saja," katanya. - Detik

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Gempar jumpa ikan 100kg

Posted:

Garut: Orang ramai gempar apabila satu bangkai ikan besar ditemui tersadai berhampiran Sungai Cimanuk di Sukamentri, Garut, semalam.

Menurut penduduk, ikan dipercayai jenis kancra hitam itu berukuran 170 sentimeter panjang mempunyai berat 100 kilogram (kg).


Media melaporkan, penduduk tempatan bernama Wahidin orang pertama melihat ikan itu di sungai berkenaan, kelmarin.

Bagaimanapun, kata Wahidin, disebabkan saiznya yang besar, dia tidak berani menangkapnya sendirian.


"Saya memberitahu penduduk kampung dan kami sama-sama mencarinya, tetapi ikan itu gagal dikesan," katanya. Semalam, kata Wahidin, dia dan penduduk kampung sekali lagi mencari ikan berkenaan di Sungai Cimanuk.


Bagaimanapun, katanya, mereka terkejut menemui bangkai ikan itu di tepi sungai. Sementara itu, penduduk kampung percaya ikan berkenaan mati kerana air sungai dicemar sisa industri kraftangan berasaskan kulit di kawasan berhampiran. - Antara News

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Tolak perintah berkurung

Posted:

Pemimpin Islam di Narathiwat menolak cadangan kerajaan mengenakan perintah berkurung pada waktu malam di sesetengah kawasan bermasalah di selatan Thailand, lapor media semalam.

Menganggap tindakan itu memberi kesan besar kepada penduduk setempat, Pengerusi Jawatankuasa Islam Narathiwat Safa-in Jeloh berkata, idea itu tidak boleh diterima sama sekali. "Jika perintah berkurung dikuatkuasakan, orang ramai terpaksa membatalkan pelbagai aktiviti seperti menziarahi saudara-mara, menghadiri pengebumian atau bersolat di masjid setempat," katanya. Timbalan Safa-in Abdul-asi Jehmana berkata, perintah berkurung tidak akan menyelesaikan masalah pemberontakan. "Kerajaan perlu memikirkan semula cadangan itu kerana ia hanya menambah masalah kepada penduduk Narathiwat, Pattani dan Yala yang selama ini mempunyai banyak kesulitan," katanya. Sementara itu, penduduk kampung di Pattani, Abdulloh Solae berkata, jika cadangan itu diluluskan, pasti orang ramai akan terjejas.


"Untuk solat berjemaah, kami mesti keluar rumah untuk ke masjid sebelum Subuh," katanya. Rakannya, Mada-o Maming berkata, ramai penduduk Pattani bekerja pada waktu malam, terutama di kalangan penoreh getah. Sesetengah yang lain, katanya, menjadikan aktiviti menangkap ikan pada waktu malam untuk mencari rezeki. Cadangan perintah berkurung itu dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Chalerm Yubamrung sebagai langkah mengekang serangan pemberontak di selatan negara itu.

Bagaimanapun, idea itu turut dibantah Menteri Pertahanan, Sukumpol Suwanatat yang menganggap langkah itu tidak perlu diambil.


Kata Sukumpol, dia tidak berkecil hati apabila Chalerm mengecam bantahannya.


"Kami cuma berbeza pendapat.

"Sebagai pegawai atasan, tidak ada salah bagi Chalerm membuat teguran keras itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Mahmoud Ahmadinejad diserang kali kedua

Posted:

Kaherah: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, terselamat daripada diserang lelaki tidak dikenali ketika melawat sebuah diplomat negara itu, semalam.

Menurut laporan agensi berita Anatolia, Mahmoud ke rumah berkenaan untuk memperingati ulang tahun Revolusi Islam Iran. Menurut sumber, sebaik saja Mahmoud masuk ke taman rumah Mojtaba Amani bagi bertemu tetamu yang ada, seorang lelaki tiba-tiba meluru ke arahnya.


"Pegawai keselamatan Mesir dan Iran menghalang penyerang itu," katanya.

Sumber itu berkata, anggota keselamatan Iran bercadang menahan penyerang terbabit tetapi Mesir memujuk supaya dia diserahkan kepada mereka. Pasukan keselamatan Iran kemudian bersetuju dengan permintaan pihak Mesir itu. Sumber berkata, identiti lelaki terbabit tidak diketahui, tetapi dia mungkin warga Mesir berdasarkan loghat pertuturannya. "Ketika menyerbu itu, lelaki terbabit menyumpah Mahmoud dan Presiden Syria, Bashar al-Assad, tetapi dia tidak membawa sebarang senjata," katanya. Selasa lalu, Mahmoud juga cuba diserang seorang lelaki ketika dia meninggalkan Masjid al-Hussein selepas menunaikan solat Maghrib. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Pasar terbuka dibom

Posted:

Empat bom kereta memusnahkan dua pasar terbuka di kawasan majoriti Syiah di Iraq, semalam, membunuh sekurang-kurangnya 31 orang serta mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

Pengeboman di Baghdad dan sebuah bandar di selatan ibu negara Iraq itu adalah serangan terbaru dilakukan pemberontak Sunnah yang cuba mencetuskan keganasan antara mazhab serta menggugat kerajaan. Insiden semalam disasarkan ke pasar haiwan peliharaan di Kazimyah, serta pasar sayur-sayuran di Shomali, wilayah Hillah. Setiap Jumaat, penduduk Iraq bertumpu ke pasar untuk membeli-belah barang keperluan domestik kerana ia adalah hari cuti.


Sumber polis berkata, bom pertama meledak sebelum tengah hari di laluan masuk pasar Kazimyah.

Katanya, ketika orang ramai panik dan cuba meninggalkan kawasan itu, kereta kedua yang diisi bom diletupkan beberapa meter dari situ. "Sekurang-kurangnya 17 orang maut dan 45 cedera akibat dua letupan itu dan mereka semua adalah orang awam," katanya.


Kira-kira sejam kemudian, dua bom kereta meletup serentak di Shomali, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan 26 lagi cedera.


Serangan semalam berlaku ketika sebahagian penduduk Iraq berfahaman Sunnah bangkit menyanggah kerajaan.

Semalam, puluhan ribu orang berkumpul di kawasan majoriti Sunnah di barat dan utara Iraq. Penunjuk perasaan menghalang dan mendirikan solat di lebuh raya utama Iraq ke Jordan.


Ramadi ialah ibu negeri wilayah Anbar dan bekas kubu kuat kumpulan al-Qaeda.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Ulama berpengaruh pertahan Osama

Posted:

Cendekiawan Arab Saudi yang berpengaruh dan profesor di Universiti Raja Saudi, Mohamed al-Arifi mencetuskan kontroversi apabila berkata al-Qaeda 'tidak menyokong pertumpahan darah, sebaliknya menjadi mangsa kepada ideologi buruk.

Dalam satu wawancara televisyen baru-baru ini, Mohamed mendakwa Osama bin Laden (yang dirujuknya sebagai Sheikh Osama) adalah mangsa.


Mohamed yang terkenal dengan kenyataan dan fatwa kontroversi seperti menggesa anak perempuan agar tidak memakai pakaian terdedah di depan bapa mereka, berkata demikian ketika menjawab soalan di televisyen al-Jazeera milik Qatar, semalam. Mohamed berkata, sesetengah orang menyifatkan al-Qaeda dengan pendapat dan tanggapan yang bukan menjadi pegangan kumpulan itu.

"Tanggapan mereka tidak betul. Anggota al-Qaeda tidak menuduh umat Islam lain murtad dan mereka tidak menyokong pertumpahan darah. "Saya bukanlah sebahagian daripada al-Qaeda dan tidak mengikut cara pemikiran mereka, tetapi Allah mengatakan: 'Dan apabila kamu memberi keterangan perlu adil," katanya.


Beliau berkata, berdasarkan pertemuannya dengan anggota al-Qaeda yang menjalani program pemulihan pengganas di Arab Saudi, beliau menyedari bahawa mereka tidak memegang pendapat dan pemikiran seperti yang dituduh oleh pihak tertentu.


"Malah, pemimpin al-Qaeda, Sheikh Ossama bin Laden tidak mengamalkan pemikiran jahat seperti didakwa," katanya. Menyedari kesan yang akan dihadapinya dengan berkata demikian, Mohamed cuba membela diri dengan berkata: "Saya bukan mahu membela Osama atau al-Qaeda, Saya cuma meberi keterangan yang adil."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Warga emas 70 tahun ditinggalkan di tepi jalan

Posted:

Madinah: Seorang lelaki berusia 70 tahun yang menderita penyakit Alzheimer dan demensia ditinggalkan di tepi jalan selepas Hospital Kesihatan Mental Madinah dan Pusat Hal Ehwal Sosial Madinah enggan membantunya.

Lelaki tua itu dibawa anak saudaranya ke hospital berkenaan dan ditinggalkan di situ. Apabila doktor memeriksanya, mereka mendapati dia menghidap Alzheimer dan demensia. Doktor memutuskan bahawa pesakit itu memerlukan khidmat penjagaan sosial dan perlu dirujuk kepada pusat hal ehwal sosial. Hospital itu menulis surat kepada balai polis tempatan menjelaskan keadaan warga emas terbabit dan meminta mereka membawanya ke pusat berkenaan.


Bagaimanapun, kakitangan pusat itu memberitahu anggota polis agar membawa semula warga emas berkenaan keesokan hari kerana pengarah mereka tiada.

Jurucakap polis Madinah Fahd al-Ghannam kemudian menulis surat kepada pejabat gabenor meminta bantuan untuk menyelesaikan masalah warga emas berkenaan. - Al Arabiya

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

No comments:

Post a Comment