Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Mula latihan pramusim

Posted:

Sepang: Pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin (gambar) memulakan latihan pramusim bersama pasukan barunya, Red Bull KTM Ajo Racing Team, di Litar Almeria, Sepanyol, semalam.

"Saya rasa gementar memikirkan bagaimana Fahmi (Muhammad Zulfahmi) memulakan sesi latihan pramusimnya di sana. "Bagaimanapun, saya yakin beliau mampu mempamerkan aksi terbaik berdasarkan persediaan awal yang dilakukan di sini," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali kepada Bernama di Litar Sepang, semalam.


Menurut Ahmad Razlan, beliau masih menunggu laporan daripada Muhammad Zulfahmi dan juga pasukan yang diwakilinya itu.

"Saya harap jentera baru Fahmi itu dapat memberi impak baik kepadanya, terutamanya untuk memulakan musim 2013 dengan lebih baik." Muhammad Zulfahmi mula menyertai perlumbaan MotoGP Dunia pada 2009 atas tiket wild card bagi kategori 125cc dan tahun berikutnya menyertai perlumbaan penuh dengan mengutip hanya empat mata.


Beliau terus menunjukkan peningkatan pada edisi dua tahun lalu dengan menempatkan dirinya di kedudukan ke-18 dengan mengumpul 30 mata.


Apabila penganjur MotoGP Dunia, Dorna, menaik taraf kategori 125cc kepada kategori Moto3 tahun lalu, Muhammad Zulfahmi menamatkan musim penuh cemerlang dengan 128 mata untuk berada di tangga ketujuh keseluruhan.

Foto

ZULFAHMI fokus di litar.

Lebih manis, kejayaan meraih petak pertama dan menamatkan saingan di tempat kedua di gelanggang sendiri, pada Grand Prix Malaysia pada 21 Oktober lalu dan menamatkan musim 2012 dengan kemenangan tempat ketiga dan podium keduanya di Grand Prix Valencia, Sepanyol, pada 11 November lalu.


Kejayaannya pada musim 2012 membolehkan Zulfahmi menerima anugerah 'Pelumba Paling Meningkat 2012' kategori itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Juara sulung

Posted:

Kuantan: Pasukan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) muncul juara edisi sulung Kejohanan Bowling Antara Jabatan merebut Piala Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang 2013 di Megalanes, Kuantan, baru-baru ini.

Pasukan dibarisi Badli Safar Wahab, Rohaizan Saher, Abdul Aziz Mohd dan Che Alias Mohd Yusof itu mencatat 4,222 jatuhan pin, menewaskan 49 pasukan lain pada pertandingan anjuran Persatuan Bowling Tenpin Pahang (PBTP).


Naib juara milik LPKTN B yang mengumpul 4,115 pin manakala Gerakan Am (PGA), ketiga, 4,079 pin.

POLISAS membawa pulang wang tunai RM1,500, piala pusingan dan piala iringan manakala LPKTN B menerima RM900 dan PGA (RM700).


Badli berkata, kemenangan itu hasil persefahaman untuk membantu mengharumkan nama POLISAS.


"Pasukan ini juga mengadakan pemilihan untuk mencari wakil selain aktif menyertai pelbagai pertandingan. Hasilnya, kami berjaya membentuk pasukan mantap hingga bergelar juara," katanya.

Hadiah disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail. Hadir sama, Presiden PBTP, Rosli Mustafa.


Sementara itu, Pengarah Kejohanan, Darus Mahusin berkata, selain jabatan dan agensi kerajaan dari Kuantan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Pekan turut sama memeriahkan kejohanan.

"Kami akan mengadakan lebih banyak kejohanan yang diharap melahirkan ramai bakat baru dan jika mampu mempamerkan kualiti permainan terbaik, mereka boleh mewakili Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

'Malaysia miliki bakat besar golf'

Posted:

Sintok: Pengarah Kejurulatihan Golf peringkat antarabangsa, Dean Hartman berkata, pelajar Akademi Golf Nasional berbakat besar untuk diketengahkan menjadi pemain golf profesional.

Katanya, bakat mereka perlu terus digilap dan diberi latihan lebih khusus bagi memantapkan permainan.


"Usaha dilakukan Universiti Utara Malaysia (UUM) khususnya Akademi Golf Nasional amat murni bagi melahirkan lebih ramai pemain golf berbakat untuk Malaysia.

"Malah program seperti ini juga penting untuk memastikan pelajar memiliki kelayakan akademik tinggi yang akan membantu mereka di peringkat profesional," katanya mengulas Kursus Pemantapan Permainan Golf anjuran Akademi Golf Nasional di UUM.


Wan Rosni Wan Chik, selaku ketua jurulatih golf pula menganggap kursus ini membuka ruang latihan peringkat tertinggi, yang menyaksikan latihan banyak menggunakan kekuatan mental dan cara sebegini hanya dilakukan oleh pemain profesional dengan mewujudkan simulasi permainan bagi setiap pukulan.


"Pelajar memberi maklum balas positif serta gembira dengan kursus yang dianjurkan dan berharap ilmu diperoleh dapat dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya.

Pada kursus itu, pelajar didedahkan dengan teknik latihan berprestasi tinggi serta didedahkan ilmu psikologi yang memainkan peranan penting bagi setiap pelajar mahupun atlet golf profesional. Kekuatan mental dan psikologi pelajar membantu menentukan kejayaan ketika menghadapi situasi tegang pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Kolej Risda Melaka sasar empat terbaik

Posted:

Melaka: Pasukan Kolej Risda Melaka sedia menyertai Kejohanan Bola Sepak Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi, dari 18-22 Februari.

Pengurus pasukan, Zulkapri Harun menetapkan kelompok empat pasukan terbaik sebagai sasaran.


"Tahun lalu, kami muncul naib juara kumpulan liga dan layak ke peringkat akhir Zon Selatan di Stadium Hang Tuah, Melaka.

"Bagaimanapun kami tewas kepada UiTM Melaka, 1-2 di separuh akhir tapi pencapaian itu tetap membanggakan dan kami berazam menjuarai kejohanan peringkat zon kali ini," katanya.


Musim lalu mereka menewaskan Kolej Universiti Nilai, 2-0, Insteads Johor Bahru 5-3, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) 4-1, Akademi Laut Malaysia (ALAM) Melaka 3-1 dan tewas kepada UniKL Johor Baru 1-3.


Zulkapri, bekas pemain Kwong Yik Bank pernah beraksi dalam Liga Selangor bersama Allahyarham Mokhtar Dahari dan Razali Alias, Lim Chuan Chin, Kamarulzaman Yusof, Zainal Noordin , Ong Chee Kiong dan Kee Tiong Peng.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

UniKL idam lebur SSTMI

Posted:

Kuala Lumpur: UniKL Young Guns tekad meleburkan rekod gah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Thunderbolt) dengan cuba memenangi perlawanan terakhir Liga Hoki Malaysia (LHM) sekali gus dinobat juara liga baru.

Bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini, kedua-dua pasukan masih berpeluang merangkul kejuaraan liga andai salah satu pasukan memenangi perlawanan itu.


Namun jika berakhir seri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang kini menduduki tangga teratas liga dengan memungut 18 mata akan dinobat juara liga.

Pengurus pasukan UniKL, Mohd Faiz Isa berkata, segala-galanya kini terletak di tangan pemain tapi tekad meranapkan harapan SSTMI memang tidak pernah pudar.


"Setiap tahun kami tetapkan sasaran memenangi dua piala tapi musim lalu SSTMI terlalu gah apabila mendominasi saingan.


"Tidak dinafikan mereka pasukan pilihan sejak beberapa tahun lalu tapi kini kami berpeluang menyekat SSTMI dan cuba memenangi perlawanan ini," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan SSTMI, Mohd Haimee Mohtar berkata, mereka perlu memenangi perlawanan hari ini untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.


"Tidak dinafikan barisan pemain agak sedikit tertekan kerana mereka tiada pilihan lain selain menang perlawanan esok (hari ini).

"Saya harap mereka dapat turun dengan tenang dan beraksi sebaik mungkin kerana peluang terbuka luas untuk kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Terengganu sertai Liga Hoki kebangsaan

Posted:

Kuala Terengganu: Selepas meraih kejayaan cemerlang sebagai juara Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak Ke-50 tahun lalu, Terengganu terus bersemangat untuk muncul kuasa baru sukan tanah air apabila membuat keputusan menyertai Liga Hoki Kebangsaan musim ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, keputusan membawa pasukan hoki ke peringkat lebih berprestij itu bersandarkan kejayaan sulung merangkul kejuaraan Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak sekali gus mahu membuktikan Terengganu adalah kilang atlet untuk negara dalam pelbagai jenis sukan.


"Mesyuarat Exco bersetuju supaya Terengganu bertanding dalam kejohanan Liga Hoki Kebangsaan dan kami setuju memberi peruntukan RM1.2 juta setahun.

"Jumlah itu membabitkan peruntukan untuk gaji pemain serta pengurusan dan selebihnya pasukan akan mencari tajaan sendiri," katanya selepas melawat Projek Perumahan Rumah Pangsa Mampu Milik di Kampung Batin, Kuala Nerus, semalam.


Beliau berkata, Terengganu yang digeruni sebagai kuasa baru sukan tanah air tidak mahu ketinggalan menyertai liga utama tanah air itu yang sebelum ini didominasi pasukan bukan negeri seperti kelab Kilat, Tenaga Nasional Berhad dan Maybank.


Menurutnya, pemain terbaik Terengganu yang pernah beraksi dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan pasukan lain sebelum ini akan dipanggil untuk sesi pemilihan.

"Selain pemain tempatan, kami juga akan memilih pemain import untuk memperkuat pasukan selain mengambil jurulatih luar negara." Sebelum ini, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Zainal Abidin Hussin berkata, pihaknya berusaha mendapatkan khidmat jurulatih Korea Selatan untuk membantu mempersiapkan pasukan negeri yang akan menyertai kejohanan Liga Hoki Kebangsaan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Janji awang import

Posted:

Kota Bharu: Dua pemain import diuji Kelantan, Dickson Nwakaeme dan Salim Arrache mahu menambat hati penyokong dan jurulatih, Bojan Hodak dengan aksi lebih mantap pada perlawanan persahabatan menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, jam 4.45 petang ini.

Nwakaema, 26, dari Nigeria berkata, aksinya selama 45 minit pada babak kedua perlawanan persahabatan menentang juara Liga Perdana Indonesia (IPL), Semen Padang FC, 2 Februari lalu belum cukup untuk mempamerkan belang sebenar.


"Saya hanya berpeluang beraksi untuk separuh masa dan tempoh itu tidak cukup membuktikan kemampuan sebenar. Saya harap pada perlawanan persahabatan kedua, saya berpeluang mempamerkan kemampuan sebenar .

"Cuaca di sini agak panas tapi ia bukan masalah buat saya kerana sudah biasa bermain dalam pelbagai cuaca," katanya selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin.


Bagi Salim pula, dia masih mencari keserasian bermain dengan pemain tempatan namun tidak menganggap masalah besar.


Pemain berusia 30 tahun yang beraksi di posisi sayap itu yakin perlawanan persahabatan dengan Felda United akan meningkatkan lagi persefahaman dengan rakan sepasukan.

"Kelantan mempunyai ramai pemain hebat namun saya masih mencari keserasian. Bagaimanapun, ia bukan masalah kerana saya yakin dapat menyesuaikan diri," katanya.


Sementara itu, Hodak berkata, Nwakaeme dan Salim menunjukkan kesungguhan tinggi ketika seri 1-1 dengan Semen Padang dan dapat bermain dengan baik meskipun letih selepas menempuh perjalanan jauh "Mereka beraksi di luar jangkaan kerana masih letih akibat penerbangan jauh. Bagaimanapun, mereka masih dapat menunjukkan kebolehan.

"Apapun saya belum dapat membuat sebarang keputusan (untuk memilih mereka)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Negeri Sembilan hela nafas lega

Posted:

Seremban: Tempoh rehat panjang tanpa perlawanan membuka ruang kepada beberapa pemain Negeri Sembilan yang cedera untuk pulih dan memberi petanda positif buat pasukan apabila saingan Liga Super bersambung pada 16 Februari.

Antara pemain skuad Hoben Jang Hoben itu yang mengalami kecederaan serius termasuk kapten, Norhafiz Zamani Misbah, Idris Karim, Ahmad Shakir Md Ali, Muszaki Abu Bakar dan Mohd Alafi Mahmud.


Norhafiz Zamani kini hampir pulih selepas diturunkan pada sebahagian perlawanan persahabatan bertemu Sime Darby FC di Stadium Selayang, Ahad lalu manakala Mohd Alafi bakal berada kembali dalam kesebelasan utama skuad itu.

Mohd Alafi lega kerana kecederaan lututnya sudah pulih untuk diturunkan pada perlawanan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, kelak.


"Saya harap dapat turun beraksi pada perlawanan menentang ATM di laman sendiri. Sudah pasti saya mahu memberikan persembahan terbaik dan membantu pasukan mencapai kemenangan.


"Tugas berat dihadapi ketika ini berikutan masih tidak dapat menurunkan semua pemain utama pada perlawanan lalu hingga meletakkan pasukan dalam kelompok terbawah carta liga," katanya.

Bekas pemain MP Muar itu yang beraksi di barisan depan yakin peluang pasukan memperbaiki kedudukan belum tertutup kerana banyak lagi perlawanan bakal dihadapi tetapi perlu memastikan pasukan tidak lagi keciciran mata.


"Saya yakin kami masih mampu menghadapi saingan ini dengan baik dan bangkit daripada aksi hambar sebelum ini kerana semangat sepasukan belum luntur untuk meletakkan pasukan kembali ke landasan kemenangan." Sementara itu, pemain tengah, Abdul Halim Zainal juga bertekad memberikan persembahan terbaik pada perlawanan menentang ATM.

"Saya yakin kehadiran semula beberapa pemain utama akan memberi kesan positif kepada kekuatan pasukan sekali gus mencerahkan misi mencapai kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Saya belum sedia beraksi: Shahrulnizam

Posted:

Ipoh: "Saya belum bersedia lagi. Mungkin selepas menjalani latihan selama dua atau tiga minggu lagi barulah saya boleh diturunkan.

"Memang hajat di hati nak turun beraksi dengan segera tapi saya tahu jurulatih tidak akan benarkan," kata Shahrulnizam Mustapa mengenai kedudukannya dalam pasukan ketika ini.


Kapten Perak musim lalu menjalani pembedahan pergelangan kaki sebelum musim bermula berkata, setakat ini dia sudah menyertai latihan bersama pasukan tapi belum berani menggunakan kakinya dengan lasak kerana takut kembali cedera..

Jangkaan Shahrulnizam akan dapat beraksi ketika Perak bertandang ke Kuala Terengganu untuk pertembungan dengan Terengganu apabila liga bersambung pada 15 Februari nyata meleset berikutan pengakuannya itu.


"Sebenarnya kecederaan asal saya sudah sembuh tapi bengkak semula akibat melakukan aktiviti fizikal semasa menjalani latihan di sekolah semangat Outward Bound, Teluk Batik, baru-baru ini.


"Pergerakan di atas pasir pantai tidak sama dengan ketika memijak permukaan keras. Bagaimanapun bengkaknya sudah surut dan saya tidak berasa sakit lagi," kata bekas pemain tengah kebangsaan itu.

Pemain yang lebih dikenali sebagai Arul itu yakin jika mengikuti program pemulihan dengan betul dia akan dapat beraksi tidak lama lagi.


"Jika boleh saya mahu turun semasa kami bertemu LionsXII di Stadium Jalan Besar pada 23 Februari.

"Begitupun segala-galanya bergantung kepada keputusan jurulatih. Setakat ini dia tidak mendesak supaya turun beraksi walaupun kecederaan yang saya alami sudah sembuh." Pemain itu berkata, beberapa rakan seperti Karim Rouani, S Chanturu dan V Thirumurugan bagaimanapun tampak bersedia mencurah keringat untuk kemenangan pasukan selepas berehat panjang.


Namun menurut Arul, bek kiri Perak, Mohd Nasir Basharuddin terpaksa berehat lebih lama selepas mengalami kecederaan kaki teruk ketika bertemu Selangor pada 21 Januari lalu di Stadium Lumut.


"Kecuali Nasir, pemain lain yang cedera sudah sembuh dan berpeluang kembali ke dalam pasukan apabila liga bersambung."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Misi emas makin jelas

Posted:

Brisbane: Tempoh dua minggu sesi latihan dan perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan di Australia memberikan gambaran jelas kepada pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee merencana perancangannya mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Kim Swee sudah mengenal pasti kemampuan sebenar pemainnya di pentas yang lebih tinggi terutamanya mereka yang baru menyertai skuad muda negara pada tahun ini.


"Bagi saya tempoh dua minggu di sini umpama pra-musim seperti dilakukan kelab ternama dunia, Manchester United dan Real Madrid. Kemenangan tidak mustahak, namun lebih tertumpu kepada memupuk persefahaman dan keserasian antara pemain sebelum berlangsungnya Sukan SEA.

"Pemain seperti Rozaimi (Abdul Rahman), contohnya walaupun cemerlang dalam kancah tempatan sebelum ini masih memerlukan beberapa perlawanan pendedahan di tahap tertinggi sebelum dapat menyesuaikan diri.


"Mereka yang mengatakan kami mengunjungi Australia untuk berehat, saya harap mereka dapat pastikan dakwaan itu berasas sebelum menimbulkan spekulasi," katanya selepas mengharungi empat perlawanan di Australia.


Menurutnya, media tempatan yang membuat liputan sesi latihan ini dapat menilai sama ada skuad negara datang untuk berehat atau mencari pengalaman bagi mematangkan corak permainan.

Tempoh dua minggu di Australia juga membuka peluang Kim Swee mengenali lebih dekat karektor pemain, sama ada di atas atau luar padang.


"Rozaimi, misalnya, dilihat memiliki ketahanan mental apabila membuat pilihan meneruskan sesi latihan di Australia walaupun mendapat berita kematian datuknya beberapa hari lalu. Malah, dia muncul penjaring utama skuad negara dengan empat gol," katanya.

Kecuali perlawanan terakhir kelmarin, skuad muda negara didedahkan perlawanan bermutu tinggi terutamanya aksi menentang Brisbane Olympic yang menyaksikan mereka kecundang 1-2.


"Keseluruhan saya nampak kesungguhan beberapa pemain baru seperti Adam Nor Azlin, D Kenny Pallraj, Muhammad Nurridzuan Abu Hasan dan Ariff Farhan Mohd Isa dengan pemain lama seperti Irfan (Fazail), Izham Tarmizi (Roslan) dan Izzaq Faris (Ramlan) tetap konsisten.


"Kunjungan ini mendedahkan kelemahan dan dengan tempoh masa yang ada, kami perlu membaikinya. Saya percaya dengan perancangan rapi termasuk latihan empat bulan di Slovakia selepas ini kami mampu melakukannya." Tanpa sejumlah pemain utama yang bersama skuad kebangsaan dan mengalami kecederaan, Harimau Muda A mencatatkan dua kemenangan awal apabila menewaskan Palm Beach Sharks (5-1) dan Brisbane Lions (2-1) sebelum tewas 1-2 kepada Brisbane Olympic.


Aksi menentang juara Liga Australia (A-League), Brosbane Roar yang tidak kesampaian kelmarin menyaksikan anak buah Kim Swee mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas Akademi Bola Sepak Queensland.


Skuad muda negara dijadual tiba di Kuala Lumpur hari ini dengan aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan Myanmar menanti dua minggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

No comments:

Post a Comment