Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Saya ada bukti'

Posted:

Kangar: Belum masanya lagi bawa masalah bookie kepada Fifa, walaupun PFA (Persatuan Bola Sepak Perlis) ada bukti cukup membuktikan wujudnya gejala itu dalam kancah bola sepak Malaysia.

Demikian kata Datuk Seri Shahidan Kassim selepas ditanya mengenai tindakannya selepas dihukum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) awal minggu lalu.


Katanya, beliau masih meneliti keperluan mendedahkan perkara berkenaan kepada media walaupun sudah beberapa kali menghantar laporan kepada FAM mengenai hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Harian Metro sebelum ini melaporkan beberapa kes rasuah melibatkan pemain Perlis dilaporkan serta disiasat pihak SPRM sejak tahun lalu sebelum disusuli beberapa lagi kes yang sama memebabitkan pemain lain disiasat suruhanjaya berkenaan awal tahun ini.


Difahamkan, pihak SPRM sejak hujung tahun lalu dan awal tahun ini juga sudah beberapa kali berhubung dengan pihak PFA berkenaan kenyataan pengakuan beberapa pemain yang disiasat dalam kes berkenaan.


"Ini isu besar kerana liga kita bakal terjejas dan saya masih belum mahu membuat pendedahan ini dan menunggu masa yang sesuai bagi melakukannya, malah wartawan juga akan terkejut mengenai perkara ini dan mereka perlu tunggu tindakan saya seterusnya.

Foto

Datuk Seri Shahidan Kassim

"Saya tidak akan mendedahkannya atas beberapa faktor lain namun saya akan melakukannya sedikit masa lagi," katanya.


Menurutnya, beliau juga terkilan dengan kenyataan FAM berhubung tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akan disiasat berbeza dengan tindakan yang dikenakan ke atas dirinya.

"FAM mengambil langkah menyiasat terlebih dahulu ke atas kenyataan beliau (Tunku Ismail) berbeza dengan apa yang berlaku kepadanya yang terus dikenakan hukuman.


"Saya langsung tidak dipanggil mengadap badan disiplin berkenaan bagi mempertahankan diri saya namun terus dikenakan hukuman gantung dan denda tanpa boleh membuat sebarang rayuan," katanya.


Shahidan berkata, FAM tidak berlaku adil dalam soal menjatuhkan hukuman serta melakukan siasatan dan sememangnya kini dibenci peminat bola sepak Malaysia.


"Berikutan insiden yang berlaku pada pertengahan babak kedua perlawanan antara Felda United dengan Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya tadi (kelmarin) apabila seorang polis bantuan terpaksa bertindak menurunkan kain rentang yang tertera "Kami mahu pengadil bijaksana" sehingga mencetuskan kemarahan penyokong Johor DT.


"Protes penyokong ini pastinya tanda sokongan kepada kenyataan Tunku Ismail yang mempertikaikan mutu pengadilan Liga M baru-baru ini," katanya.


Menurutnya, beliau akan lihat bagaimana badan induk berkenaan mengambil tindakan berhubung perkara itu adakah Tunku Ismail akan menerima nasib serupa sepertinya dengan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) atau tidak dikenakan hukuman.


"Ini penting bagi menentukan samada FAM adalah badan yang tidak mengamalkan 'double standard' (pilih kasih) seperti kesungguhan Setiausaha Agungnya Datuk Azzuddin Ahmad dalam kenyataan media sebelum ini kerana semua peminat serta rakyat negara ini sedang menumpukan perhatian kepada tindakan yang akan diambil mereka.


"Jika saya dikenakan hukuman walaupun secara terang-terangan menyokong kepimpinan FAM, inikan tindakan mengeluarkan kenyataan mempertikaikan mutu pengadilan yang secara langsung menempelak badan induk itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Thaworn sandaran Thailand

Posted:

Bangkok, Thailand: Thaworn Wiratchant akan mengetuai senarai pemain yang turut membariskan pemain nombor satu dulu dan kini untuk menyertai Terbuka Thailand, kejohanan pembuka tirai Jelajah One Asia tahun ini.

Tahun lalu, pemain golf Thailand yang ketika itu berusia 45 tahun 351 hari itu menjadi pemain tertua menjulang gelaran No 1 Asia selepas melalui musim gemilang yang menyaksikannya menjuarai Jelajah Asia tiga kali dan mengumpul 15 gelaran peribadi.


Pencapaiannya menyebabkan penganjur kejohanan Masters menjemputnya untuk kejohanan tahun ini dan April ini, dia akan membuat penampilan sulung di Augusta, pentas yang layak buat antara pemain terhebat dalam generasinya di Asia.

Sebelum itu, Thaworn, yang mempunyai cita-cita untuk menjuarai kejohanan Terbuka di tanah airnya akan mengetuai senarai pemain di Thana City Golf & Sports Club di pinggir Bangkok dari 14 hingga 17 Mac ini.


Dia akan disertai juara Major tiga kali, Padraig Harrington dari Ireland dan bekas pemenang Order of Merit Jelajah Jepun iaitu Shingo Katayama dan Kim Kyung-tae.


Juvic Pagunsan dari Filipina dan pemain China, Liang Wenchong, masing-masing pemain No 1 Jelajah Asia pada 2011 dan 2007, turut menyertai kejohanan itu selain juara bertahan Chris Wood dari England, yang memenangi Masters Qatar bulan lalu dan pemain Ireland, Paul McGinley, yang baru-baru ini dinamakan sebagai kapten Eropah untuk Piala Ryder 2014.

Thaworn yang menjuarai 19 gelaran antarabangsa termasuk Terbuka Indonesia 2011 bermain dalam setiap edisi Terbuka Thailand sejak 1988 tetapi masih belum pernah meraih kejayaan.


Dia percaya kejohanan itu bukan sekadar ujian fizikal dan mental.

"Bagi seorang rakyat Thailand, anda berhak mendapatkan trofi itu," kata Thaworn yang menjelaskan hanya dua pemain Thailand iaitu Suthep Meesawat dan Boonchu Ruangkit menjuarai Terbuka Thailand sejak 1965.


"Ia lebih daripada sekadar bermain dengan baik. Anda juga perlu mempunyai hati yang suci." Thaworn perlu menambah stamina dalam senarai keperluannya untuk berjaya tahun ini memandangkan dia perlu terbang setengah dunia untuk membuat pukulan pertama di Thana City Golf & Sports Club.


Seminggu sebelum Terbuka Thailand, Thaworn akan menyertai Kejohanan Cadillac - Kejohanan Golf Dunia di TPC Blue Monster, Doral, sebagai satu daripada ganjaran hasil pencapaian cemerlang pada 2012.


"Saya akan kembali ke Thailand, Selasa depan sebelum kejohanan itu dan mungkin mengalami keletihan jadi saya tidak tahu apa yang perlu diharapkan," kata Thaworn.


"Begitupun saya bermain untuk merebut Trofi Raja Thailand jadi saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menang." Kali terakhir Thaworn bermain di Kelab Thana adalah pada Terbuka Thailand 1998, apabila berkongsi tangga ke-33 selepas melakukan 75 pukulan pada pusingan terakhir dan berharap dapat berlatih beberapa kali sebelum terbang ke Amerika Syarikat.


"Saya ingin melihat sendiri apa perubahan yang dibuat di lapangan sejak saya bermain di sana sebelum ini, sebagai sebahagian daripada persediaan saya," kata Thaworn yang mampu mencipta keajaiban dengan pukulan jarak dekat.


Edisi ke-44 Terbuka Thailand akan disokong bersama buat kali pertama tahun ini oleh Pertubuhan Golf Jelajah Jepun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Empat pasukan selangkah ke separuh akhir

Posted:

Kuala Lumpur: Perlawanan timbal balik suku akhir Piala Milo hari ini cukup menarik apabila tiga daripada empat pasukan yang bakal turun hanya tinggal selangkah untuk mara ke separuh akhir.

UniKL, SSTMI Thunderbolt dan MBI Anderson sudah boleh menyimpan angan-angan untuk beraksi di separuh akhir selepas mencatat kemenangan selesa pada perlawanan pertama kelmarin.


UniKL dilihat pasukan cukup selesa apabila membenam Melaka HS 7-0 kelmarin sekali gus membawa agregat besar menjelang perlawanan kedua hari ini.

Begitu juga SSTMI Thunderbolt yang menang 4-0 ke atas juara Divisyen Dua, Sekolah Sukan Kuala Lumpur (SSKL) sementara MBI Anderson menewaskan PHK MSS Kelantan 5-1.


"Saya tidak fikir kami akan mengambil mudah perlawanan esok (hari ini) kerana sasaran utama memang untuk menang.


"Untuk memastikan kami layak ke separuh akhir, pasukan tetap dibarisi pemain terkuat," kata pengurus pasukan UniKL, Mohd Faiz Isa yang berharap anak buahnya dapat menebus kekecewaan musim lalu apabila sekadar muncul naib juara selepas tewas pada aksi final.

Satu-satunya perlawanan yang cukup getir hari ini dan memberi peluang sama rata kepada kedua-dua pasukan adalah pertemuan antara SSTMI Jr dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).


Tanpa diletakkan harapan tinggi, SSTMI Jr mengejutkan MBPJ kelmarin apabila menang tipis 4-3, malah pada satu ketika selesa mendahului 4-1 sebelum lawan merapatkan jurang dengan meledak dua gol.

Meskipun ketinggalan agregat satu gol, peluang masih terbuka luas kepada MBPJ andai mampu bangkit pada perlawanan kedua hari ini di Stadium Taman Daya Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Siapa juara?

Posted:

Kuching: Karnival Futsal Harian Metro edisi Kuching, Sarawak mencapai kemuncaknya dengan juara bagi setiap kategori iaitu Terbuka Lelaki, Wanita serta Remaja Bawah 17 akan diketahui hari ini.

Sebelum itu, Terbuka Wanita serta Remaja Bawah 17 akan memulakan aksi mereka hari ini dengan dua pasukan terbaike bagi setiap kategori bakal berentap di saingan final.


Turut bersaing, empat pasukan terbaik Terbuka Lelaki yang sudah menempah tiket kseparuh akhir selepas turun pada hari pertama kelmarin.

Untuk Terbuka Wanita, sebanyak 22 pasukan akan turun beraksi manakala Remaja Bawah 17 membabitkan 54 pasukan.


Sementara itu, aksi pembuka tirai membabitkan saingan awal Terbuka Lelaki semalam berlangsung meriah dengan 116 bersaing untuk merebut empat tiket separuh akhir.


Apa yang pasti, pemenang dijanjikan hadiah lumayan sebanyak RM15,200 secara keseluruhan.

Di bawa oleh Ambank, Terbuka Lelaki bakal membawa pulang RM3,000 manakala naib juara (RM2,000), ketiga (RM1,000) dan keempat (RM500).


Terbuka Wanita pula menawarkan RM2,000 bagi juara, naib juara (RM1,500), ketiga (RM1,000) dan keempat (RM500).

Kategori Remaja Bawah 17 pula RM1,500 untuk juara, naib juara (RM1,000), ketiga (RM700) dan keempat (RM500).


Pihak penganjur juga ingin mengingatkan kepada setiap peserta Terbuka Wanita dan Remaja Bawah 17 yang bakal memulakan aksi hari ini supaya mematuhi segala peraturan yang ditetapkan atau akan dibatalkan penyertaan.


Setiap peserta wajib menunjukkan kad pengenalan asal ketika pendaftaran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Mahu ceburi bidang perniagaan

Posted:

Atlet memanah negara, Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz yang ke Olimpik London tahun lalu ingin menjadi ahli perniagaan andai tidak bergelar atlet. Malah kemungkinan akan merealisasikan impian itu sebagai rancangan masa depan memandangkan dirinya baru saja mendirikan rumah tangga bersama rakan seangkatan, Siti Sholeha Mohd Yusof, dua minggu lalu.

Soalan (S): Jika bukan atlet anda ialah...


Jawapan (J): Saya berminat untuk bergelar ahli perniagaan.

S: Ahli perniagaan khusus dalam bidang apa? J: Tidak mempunyai sebarang rancangan tetap lagi. Namun, saya berminat untuk membuka kedai peralatan sukan memanah atau tidak pun restoran kerana bidang perniagaan makanan serta minuman biasanya senang maju.


S: Mengapa ingin menjadi ahli perniagaan? J: Sememangnya meminati bidang ini sejak kecil. Mungkin terpengaruh dengan ayah yang pernah membuka siber cafe ketika kami sekeluarga menetap Perlis dulu. Waktu itu, saya baru darjah tiga.


S: Mungkin anda akan merealisasikan impian ini nanti? J: Ya, saya tidak menolak kemungkinan itu. Mungkin selepas tidak bergelar atlet kelak, saya akan fokus pada rancangan untuk membuka perniagaan sendiri. S: Baru saja mendirikan rumah tangga pada perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, 10 Februari 2013, mungkin anda lihat kerjaya sebagai ahli perniagaan menjanjikan masa depan lebih baik buat keluarga? J: Pastinya, kerana selepas tidak bergelar atlet mungkin dengan nama yang sudah dilakar dalam pentas sukan Malaysia dapat membantu menaikkan lagi perniagaan saya. Malah, jika kita bijak menguruskan perniagaan biasanya ia akan mendatangkan kepulangan lumayan sekali gus bagus untuk saya dan keluarga.

S: Masih bergelar 'pengantin baru', merancang untuk berbulan madu ke mana? J: Saya mengahwini atlet memanah juga, Siti Sholeha Mohd Yusof. Dia pula sibuk menjalani Masters di Universiti Putra Malaysia manakala saya pula di tahun akhir pengajian Komunikasi di universiti sama. Selain itu, kami sibuk dengan jadual latihan padat. Maka, jujurnya kami berdua masih belum mempunyai sebarang rancangan untuk berbulan madu. Tambahan pula, saya mempunyai kejohanan dalam masa terdekat.


S: Anda memilih atlet juga sebagai teman hidup. Selain dari sifatnya yang memahami kerjaya anda sebagai atlet, mahasiswa dan pemimpin keluarga apakah kriteria yang ada pada Siti Sholeha yang paling anda suka? J: Senyumannya. Saya paling suka dengan senyumannya dan Siti Sholeha sememangnya menepati ciri-ciri isteri yang saya idamkan. Dia sememangnya seorang isteri yang memahami kerana sudah tujuh tahun kami menyulam cinta sebelum berkahwin, dia amat mengenali saya.

S: Anda berdua akan ke mana-mana kejohanan sama tahun ini? J: Saya akan ke Grand Prix Asia di Bangkok, awal bulan depan. Namun, Siti Sholeha masih belum bergelar atlet elit dan dia tidak turut serta. Kejohanan selepas itu, saya tidak pasti lagi kerana masih tidak dimaklumkan apa-apa dari jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Amy pimpin Fatin julang gimrama

Posted:

Kuala Lumpur: Bagi Fatin Zakirah Jalany, 2013 adalah medan untuk membuktikan kemampuannya di pentas utama dunia sekali gus menjulang nama Malaysia dalam sukan gimrama. Apatah lagi namanya tersenarai dalam program atlet ke Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland. Lantaran itu, Fatin menganggap dirinya bertuah apabila sering dipimpin senior, Amy Kwan Dict Weng yang dianggap sering memberi nasihat.

Amy yang sememangnya memasang misi untuk menaikkan semula sukan gimrama Malaysia seperti di zaman Faiznur Miskin dan Durratun Nashihin Rosli itu berkata, dirinya ingin sekali menyaksikan prestasi Fatin seiring dengan atlet elit memandangkan mereka sama-sama menetapkan misi menyapu bersih semua pingat emas yang dipertandingkan di Sukan Komanwel kelak. Ikuti temu bual Fatin yang mendapat tunjuk ajar Amy secara dekat baru-baru ini.


Soalan (S): Saya belum pernah ke Siri Piala Dunia namun dipilih bersama Amy ke kejohanan berprestij itu yang bermula di Russia, Perancis serta serata Eropah bulan depan. Diakui agak takut dengan pencabar hebat di sana, bagaimana untuk saya tangani perasaan itu? Jawapan (J): Hakikatnya beraksi di gelanggang antarabangsa yang bertaraf dunia serta dibarisi gimnas terbaik memang memberi tekanan. Untuk tangani perasaan takut itu sememangnya sukar kerana saya yakin walau sehebat mana seorang gimnas itu, mereka pasti ada sedikit tekanan ketika ingin beraksi. Cuma, apa yang penting jangan fikir dan terlalu risau apa tanggapan orang lain. Yakin dan lakukan yang terbaik, pasti rasa takut itu hilang.

S: Sebagai gimnas lebih senior, negara mana yang muncul sebagai pencabar terdekat kita jika di Siri Piala Dunia? J: Pastinya Russia. Semua gimnas terbaik dunia dilahirkan di negara itu. Namun, jangan terlalu risau untuk meraih pingat emas di Siri Dunia. Jika mendapat pingat itu adalah bonus tetapi penting untuk kita memperbaiki ranking Malaysia.


S: Apakah nasihat anda untuk saya meningkatkan lagi prestasi hingga bergelar gimnas terbaik nanti? J: Sentiasa dengar dan ikut cakap jurulatih. Kemudian kerap melakukan rutin yang diajarkan jurulatih dengan mempelajarinya di YouTube. Saya juga sarankan anda untuk turut sama berjoging serta bersauna dengan saya kerana sukan gimrama amat pentingkan berat badan. Kita perlu kawal pemakanan atau jika tidak perlu kerap berjoging.


S: Lagi, mungkin ada diet pemakan tertentu yang diamalkan? J: Tiada. Cuma kita kena kawal pemakanan. Sebaiknya, amalkan hanya memakan buah, yogurt dan salad.

S: Siapakah idola anda? J: Irina Viktorovna Tchachina, gimnas dari Russia. Dia meraih pingat perak di Olimpik Athens.


S: Kebetulan kita memilih gimnas sama sebagai idola. Mengapa memilih Irina? J: Melihat kehebatan dia beraksi di Olimpik. Mengagumi semua rutinnya di pentas dunia. Namun, dia memilih bersara dari dunia gimrama pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Tak mampu tawan Genting

Posted:

Ketidakmampuan mendaki puncak Genting Highlands adalah penghalang utama pelumba tempatan memenangi jersi kuning (juara individu keseluruhan) Le Tour de Langkawi (LTdL) walaupun sudah 17 tahun menganjurkan perlumbaan berprestij di Asia ini.

Seandainya kelemahan terbabit tidak diatasi adalah mustahil untuk melihat anak tempatan bergelar juara keseluruhan walaupun cemerlang pada peringkat lain.


Pendakian ke puncak Genting Highlands adalah peluang kepada pelumba pakar pendaki mendapatkan kelebihan masa dengan bagi membentuk jurang yang luas dengan pelumba terbabit hanya perlu kekal dalam kelompok besar pelumba pada baki peringkat perlumbaan selepas itu untuk bergelar juara.

Ia adalah puncanya juara keseluruhan individu dan berpasukan setiap edisi LTdL adalah di kalangan mereka yang cemerlang di Genting Highlands.


Hakikat itu diakui pelumba pecut negara, Anuar Manan (gambar) yang melihat ia sebagai kelemahan ketara membabitkan pelumba tempatan apabila bersaing dalam perlumbaan berstatus Hors itu.


"Mereka perlu kuat dalam aspek pendakian selain pecutan ketika perlumbaan landai. Jurang antara pelumba akan berlaku apabila memasuki pendakian terbabit," kata Raja Pecut LTdL 2010 itu.

Pelumba berusia 27 tahun itu adalah contoh terbaik apabila tidak mampu mencabar perebutan jersi kuning kerana lemah dalam aspek pendakian walaupun cemerlang dalam laluan landai.


"Kalau mahu menang kita kena hantar dua atau tiga pelumba berlatih di luar bersama pasukan pendaki yang handal seperti Androni Giocattoli dari Venezuela (pemenang jersi kuning, Raja Bukit dan keseluruhan berpasukan LTdL 2012).

"Kita perlu mempelajari perancangan dan latihan mereka. Mungkin kehebatan mereka kerana menjalani latihan di kawasan beraltitude tinggi dan latihan di tempat mereka lebih teruk berbanding pendakian di Genting Highlands," kata yang turut mencipta sejarah sebagai pelumba tempatan pertama memenangi peringkat perlumbaan LTdL.


Anuar menjelaskan dia turut merasakan dirinya kuat (banyak menang di Malaysia) sebelum ini namun apabila berlumba di pentas antarabangsa, sebaliknya yang berlaku.


"Saya berdepan kesukaran berlumba di pentas antarabangsa pada awalnya namun apabila sudah biasa kita akan mendapatinya semakin mudah. Jadi dari berlumba pada peringkat Asia, kita perlu tingkatkan ke peringkat lebih tinggi seperti Eropah.


"Walaupun teruk berlumba di peringkat tinggi impaknya akan dapat dilihat apabila kembali beraksi di pentas yang lebih rendah," katanya.


Tambahnya yang pernah berkelana di luar negara bersama beberapa pasukan profesional, aspek terbabit adalah antara perubahan yang perlu dilakukan.


Malah gaya pemakanan turut ditekankan Anuar kerana ia bakal memberikan kesan terhadap prestasi dan kemampuan seseorang pelumba itu.


"Apabila bersama pasukan profesional secara automatik kita melihat perbezaan dengan corak pemakanan di Malaysia di mana sesetengah cara mereka akan memberikan kebaikan seperti peningkatan dalam aspek pernafasan dan sebagainya.


"Kita mungkin akan melihat perbezaannya apabila mengamalkan pemakanan rutin di Malaysia seperti nasi yang mungkin menjejaskan prestasi jika tidak diambil dengan betul," katanya yang turut menjelaskan banyak lagi aspek lain yang perlu diberikan perhatian oleh pelumba sekiranya mahu berjaya.


Ditanya mengenai kedudukan pelumba lebuh raya yang masih jauh ketinggalan berbanding trek, Anuar menegaskan mereka mendapat pendedahan yang sewajarnya.


"Jurang yang berlaku adalah kerana pelumba trek berlatih di Australia (kuasa besar sukan berbasikal dunia) manakala pelumba lebuh raya masih kekal di Malaysia.


"Mereka mempunyai John Beasley (ketua jurulatih negara) dan beberapa kemudahan lain selain lebih kerap bersaing dengan pelumba antarabangsa, bukannya bersama pelumba tempatan (seperti pelumba lebuh raya) sekali gus membolehkan pelumba trek mudah mengukur tahap dan kedudukan mereka.


"Azizulhasni (Awang) pada permulaannya juga kurang berjaya namun apabila sudah biasa bersaing di tahap tertinggi, dia akan meningkatkan lagi prestasinya sehingga bergelar jaguh dunia pada masa kini." katanya.


Sepanjang perlumbaan LTdL yang memasuki tahun ke-18, Anuar menjadi pelumba tempatan paling cemerlang dengan satu-satunya pelumba yang menyaring jersi yang dipertandingkan serta memenangi peringkat perlumbaan.


Namun kita seharusnya berbangga dengan pencapaian terbabit kerana pelumba negara sememangnya mampu lebih menyerlah dalam LTdL jika diberikan perhatian yang khusus.


Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN) dilihat perlu memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan negara bukan saja dikenali sebagai penganjur yang cemerlang malah mampu melahirkan pelumba yang terbilang dalam LTdL.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Wang sapu bersih empat jersi

Posted:

Cameron Highlands: Pelumba Hengxiang Cycling Team, Wang Meiyin melakukan kejutan dengan menyapu bersih empat jersi -Raja Bukit, Kuning (individu keseluruhan), Asia dan Raja Pecut apabila memenangi peringkat ketiga perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) membabitkan pendakian di Cameron Highlands, semalam.

Penyarung jersi Asia dua peringkat sebelum ini jelas menafikan ramalan peringkat pendakian itu akan dikuasai pelumba ternama Eropah seperti Pierre Rolland (Team Europcar), Jackson Rodriguez (Androni Giocattoli) dan Jonathan Monsalve (Vini Fantini-Selle Italia).


Kemenangan dengan catatan masa tiga jam 50 minit 01 saat itu bukan saja membolehkan dia terus menyimpan jersi Asia dalam tiga peringkat malah merampas semula jersi Raja Bukit selain dua jersi (Raja Pecut dan Kuning) yang dimiliki pelumba Blanco Pro Cycling Team, Theo Bos.

Dia mengumpul 10'44:44s, menyingkirkan Bos dalam perebutan jersi kuning dan kejayaan memungut mata di tiga zon pecutan membolehkan dia mempunyai kelebihan enam mata mengatasi pelumba kelahiran Belanda yang mengumpul 30 mata.


"Pada awalnya saya bersama-sama empat pelumba Asia yang lain melakukan pecahan dan saya rasa semakin bertenaga dengan menjarakkan diri ketika berbaki 40 km menuju garisan penamat. "Ini adalah hari yang bersejarah dalam karier saya. Peringkat ini saya cuma melakukan pemecahan tanpa mensasarkan kejayaan yang besar ini mampu tercapai," kata juara Raja Bukit Tour of Hainan itu.


Adiq Husainie Othman muncul pelumba terbaik tempatan apabila menduduki tempat ke-33.

Sementara itu hasrat skuad negara untuk mendapatkan masa terbaik di peringkat ketiga tidak kesampaian dengan Mohd Rauf Nur Misbah (tempat ke-47), Mohd Fauzan Ahmad Lutfi (62) dan Amir Mustafa Rusli (67) berada di kelompok pertengahan.


Malaysia kini berada di kedudukan ke-17 dalam senarai 22 pasukan yang bertanding dengan dengan sasaran dalam kelompok 10 terbaik.

Perlumbaan peringkat keempat hari ini kembali berlangsung dalam laluan landai sejauh 168 kilometer dari Tapah, Perak ke Kapar, Selangor dengan tiga zon pecutan di Teluk Intan, Sungai Besar dan Kuala Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Masih tiada pengganti

Posted:

Lapan belas edisi penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) bukan satu tempoh yang singkat dan bagi bekas jaguh lumba basikal negara, Rosman Alwi (gambar) sudah tiba masanya untuk peserta tempatan meletakkan sasaran yang lebih tinggi dan bukan sekadar menjadi jaguh Asia semata-mata.

Beliau menyedari tempoh sepanjang itu sepatutnya sudah melahirkan ramai jaguh lumba basikal negara bagi acara lebuh raya tetapi sehingga kini, mereka masih ketinggalan berbanding pelumba acara trek.


"Kita masih kekurangan pertandingan untuk mengasah kemahiran pelumba kita," kata pemenang dua pingat emas Sukan Sea Bangkok 1985 itu.

Justeru menurutnya, tiada salahnya jika pelumba basikal lebuh raya mengambil pendekatan serupa seperti pelumba trek yang berguru di Melbourne, Australia yang ternyata memberi kesan positif.


"Sepatutnya, sebaik saja habis LTdL, mereka perlu dihantar berlatih di Eropah, tidak kira sama ada ke Belgium, Belanda atau Itali selama setahun dan boleh menyertai kejohanan di negara terbabit.


"Perlu diakui bahawa standard perlumbaan di luar negara jauh lebih tinggi, setakat membiasakan diri dengan laluan sedia ada belum tentu dapat membantu. Ini kerana kejohanan seperti Tour de France mempunyai tahap yang lebih tinggi dan mencabar," katanya.

Malah beliau mengharapkan pada usia kejohanan seperti itu, Malaysia sudah berada di atas menerusi kehebatan atletnya dan bukannya gah pada penganjuran semata-mata dan berharap lebih banyak pelaburan dilakukan untuk meningkatkan prestasi pelumba negara. Mengikuti perkembangan perlumbaan itu di media, Rosman mengakui kecewa dengan matlamat yang diletakkan pelumba negara yang sekadar mahu mahu menakluk peringkat Asia, sedangkan sehingga kini masih gagal mencapai matlamat itu.


Hanya Anuar Manan mencipta kejutan apabila memenangi klasifikasi pecut pada edisi 2010 dan menjuarai satu peringkat pada kejohanan sama iaitu di peringkat kelima.

"Sepatutnya kita pergi lebih jauh lagi, mengapa masih memburu Asia. Itulah yang membezakan kita dengan pelumba China, Korea mahupun Jepun. Mereka meletak sasaran lebih tinggi dan lihat di mana mereka berada sekarang.


"Sepatutnya pada usia 18 tahun penganjuran, kita boleh memberikan sesuatu tetapi setakat ini apa hasilnya. Jika Anuar boleh menyerlah, bagaimana dengan yang lain.


"Kita perlu perluaskan pemikiran kerana kita bukan saja mahu melahirkan jaguh di LTdL tetapi juga yang mampu menyerlah di Sukan Asia, Komanwel mahupun Olimpik." Pada masa sama, beliau mengharapkan Langkawi akan kekal menjadi laluan tetap LTdL dan bukannya seperti yang berlaku ketika ini.


"Langkawi perlu tetap menjadi laluan untuk kejohanan ini kerana ini yang memberi identiti kepada perlumbaan itu, seperti mana dalam Tour de France," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Pelumba negara kurang pendedahan

Posted:

Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat pelumba tempatan khususnya yang skuad negara untuk menyarung jersi kuning (juara keseluruhan) Le Tour de Langkawi (LTdL) adalah sesuatu yang masih sukar untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

Salah satu punca yang dilihat Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) adalah ketiadaan kejohanan yang banyak di pentas antarabangsa bagi untuk disertai pelumba negara.


"Pasukan luar sebaliknya menyertai banyak kejohanan sebelum menyertai LTdL sedangkan skuad kebangsaan hanya bersaing dalam jumlah kejohanan yang terhad.

"Kita tidak boleh menyertai sesuatu kejohanan tanpa dijemput dan saya melihat pertandingan yang banyak akan memberi manfaat dengan program persediaan tidak tertumpu kepada latihan saja," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab ketika ditemui baru-baru ini.


Pandangan terbabit ada kebenarannya kerana kebiasaannya sesebuah pasukan berstatus negara tidak dijemput menyertai sesuatu perlumbaan yang besar.


"Sebab itu saya menekankan apabila kita menjemput pasukan luar yang bertanding dalam LTdL, perlu ada jemputan semula untuk skuad negara di masa depan sekiranya mereka mampu berbuat demikian," katanya.

Namun PKBM seharusnya mempunyai perancangan jangka panjang dalam memburu kegemilangan LTdL dalam aspek pelumba selepas 18 tahun menjadi penganjur yang cemerlang.


Antara langkah yang dilihat boleh menyelesaikan perkara ini adalah membentuk pasukan profesional dengan menghimpunkan barisan pelumba terbaik negara bagi memudahkan mereka mendapat jemputan bagi menyertai perlumbaan yang lebih mencabar dengan misi utama merebut kejuaraan di LTdL.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

No comments:

Post a Comment