Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Kita tidak akan boikot'

Posted:

Kuala Lumpur: Malaysia tidak akan mengikut jejak langkah Filipina yang berhasrat memboikot temasya Sukan SEA yang dianjur Myanmar hujung tahun ini.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, mereka tetap memberi sokongan kepada negara tuan rumah biarpun tidak puas hati dengan penyenaraian beberapa acara sukan bukan Olimpik seperti vovinam dan kempo.


"Kami masih sokong Myanmar kerana selaku tuan rumah, mereka berhak memilih sukan yang memberi sedikit kelebihan kepada mereka.

"Apa yang diputuskan dalam mesyuarat SGF (Persekutuan Sukan SEA) sebelum ini sudah dipersetujui semua pihak.


"Kenapa dalam mesyuarat sebelum ini Filipina tidak membuat bantahan? "Memang kita ada buat bantahan kerana tidak setuju dengan acara vovinam dan kempo tapi ini bukan salah Myanmar kerana yang melobi acara ini adalah Indonesia dan Vietnam.


"Kita tidak boleh boikot daripada menyertai Sukan SEA kerana ini tidak menggambarkan semangat kesukanan.

"Filipina ketika menjadi tuan rumah 2005 turut menyenaraikan acara yang mereka suka dan menjadi juara. "Thailand pula pada 2007 menganjurkan hingga 43 acara, bagi saya mereka ini semua tipu saja," katanya kepada Arena Metro semalam.


Kok Chi berkata demikian sebagai mengulas laporan media Filipina mengenai hasrat Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) baru-baru ini yang ingin memboikot Sukan Sea Myanmar sebagai usaha mendesak SGF supaya menilai semula polisi pemilihan acara sukan oleh negara tuan rumah temasya dwi tahunan itu.

Menurut Pengerusi PSC, Richie Garcia tindakan memboikot Myanmar mungkin satu tindakan terlalu serius dan mereka kini menimbangkan untuk hanya menghantar delegasi kecil 10 atau 50 atlet untuk bertanding dalam acara bertaraf Olimpik saja.


Daripada 33 acara yang bakal dipertandingkan di Naypyidaw, 12 daripada sukan itu bukan acara yang dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik, namun Kok Chi tetap menegaskan temasya sukan terbesar di rantau Asia Tenggara itu masih relevan.


"Sukan SEA masih lagi penting bagi sukan seperti bola sepak, renang dan olahraga. Bagi bola sepak, selain Sukan SEA, Malaysia hanya menyertai Piala AFF dan pusingan kelayakan saja, mereka tidak mempunyai banyak kejohanan lain."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

China pembekal dadah atlet

Posted:

London: China didakwa menjadi lokasi utama mendapatkan bahan terlarang meningkatkan prestasi atlet, dakwa Presiden Agensi Anti Doping Sedunia (WADA), John Fahey.

Komennya dibuat selepas Ketua Pengarah WADA, David Howman dalam satu temuramah di sebuah hotel di London, kelmarin berkata, 99 peratus bahan terlarang itu diperoleh dari China.


Howman menambah, individu sama juga terbabit dengan kes mengatur perlawanan dan membekalkan dadah terlarang kerana ia membabitkan sejumlah besar wang dalam setiap kes itu.

Fahey berkata, usaha membendung perkara itu kini dilakukan bersama pihak berkuasa China tapi ia memerlukan usaha yang lebih lagi.


"Sudah beberapa kali kami kemukakan perkara ini kepada CHINADA (Agensi Anti Doping China)," kata Fahey.


"Saya sudah berbincang dengan Menteri Sukan China dan saya dimaklumkan, beberapa tindakan sudah diambil.

"Kami harap dapat menjalinkan kerjasama dengan mereka dan kami sedar banyak pembekal sudah menutup operasi hasil usaha sebelum ini.


"Namun kami tahu sumber bekalan utama mendapatkan bahan terlarang masih beroperasi." Fungsi WADA dipersoal UNI Sport PRO, satu kumpulan yang berada di bawah persatuan sukan kebangsaan dan antarabangsa yang mengecam pengendalian kes membabitkan Lance Armstrong.

Pelumba basikal Amerika Syarikat itu yang mengaku menggunakan bahan terlarang, digantung seumur hidup dan tujuh kejuaraan Jelajah Perancis yang diraihnya dibatalkan serta merta selepas disiasat Agensi Anti Doping Amerika Syarikat (USADA).


Minggu lalu, Suruhanjaya Jenayah Australia melaporkan, penggunaan produk terlarang adalah sesuatu yang biasa dalam pelbagai disiplin sukan sekali gus mencetuskan kejutan di seluruh Australia, negara yang begitu mengutamakan sukan.


"Amat mengecewakan, Agensi Anti Doping Sedunia dan pihak berkepentingan gagal merealisasi misi mereka melahirkan atlet yang bersih daripada penggunaan bahan terlarang," ulas UNI Sport PRO. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Tonik terbaik Nadal

Posted:

Sao Paulo: Bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal bergandingan dengan pemain Argentina, David Nalbandian untuk memenangi aksi pusingan pertama acara beregu Terbuka Brazil, semalam.

Pemain nombor lima dunia yang beraksi selepas tewas di Terbuka Vina del Mar, Chile, Ahad lalu serta gandingannya menewaskan gandingan Sepanyol, Pablo Andujar dan Guillermo Garcia-Lopez 6-3, 3-6, 11-9 dalam tempoh 79 minit satu lagi kejohanan gelanggang tanah liat ATP.


Set ketiga begitu mendebarkan apabila Nadal dan Nalbandian menyelamatkan dua mata akhir sebelum menang 11-9. Bintang Sepanyol itu menerima sokongan padu peminatnya ketika meninggalkan gelanggang.

Perlawanan bermula lewat dua jam dari jadual asal dan Nadal menerima sambutan hangat ketika memasuki gelanggang yang mampu memuatkan 9,300 penonton di Gimnasium Ibirapuera.


Selaku pilihan utama, Nadal yang juga pemenang 11 gelaran Grand Slam hanya beraksi perlawanan pertama perseorangan lelaki hari ini selepas mendapat bye pusingan pertama.


Dia tewas final perseorangan dan beregu, Ahad lalu ketika membuat penampilan pertama di Vina del Mar, Chile selepas berehat tujuh bulan kerana kecederaan lutut.

"Saya agak penat selepas mengharungi perlawanan di Chile tapi ia tetap keputusan positif. Proses pemulihan ini perlu berterusan.


"Saya sentiasa mahu melakukan yang terbaik dan berharap segala-galanya kembali seperti biasa," kata Nadal.

Ditanya adakah dia mampu pulih 100 peratus, Nadal menjawab: "Saya tidak pasti. Jika lutut saya pulih sepenuhnya, saya akan lakukan yang terbaik.


"Saya seorang pemain yang menggunakan banyak tenaga dan agresif. Saya rasa ia melambatkan proses pemulihan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Jepun kecewa gusti tiada di Olimpik 2020

Posted:

Tokyo: Jepun yang mendominasi sukan gusti dan meraih empat pingat emas di London kecewa selepas Sukan Olimpik 2020 tidak mempertandingkan sukan itu sekali gus menjejaskan pungutan pingat mereka.

"Saya tidak tahu kenapa. Saya begitu kecewa dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan," kata Saori Yoshida, ratu gusti Jepun yang memenangi 13 pingat emas berturut-turut pada saingan Olimpik dan Kejohanan Dunia dalam tempoh 10 tahun.


Yoshida yang beraksi dalam kategori 55 kilogram dan menerima pengiktirafan kerajaan 'Anugerah Kehormat Rakyat' tahun lalu kerana kejayaan itu, menjadi watak penting untuk kempen Tokyo menjadi penganjur Sukan Olimpik 2020.

Keputusan menggugurkan sukan gusti di bawah kuasa 15 anggota Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) belum disahkan sepenuhnya tapi acara sukan itu perlu bersaing dengan tujuh lagi disiplin sukan untuk melengkapkan acara yang akan dipertandingkan pada temasya itu. Pengerusi Persekutuan Gusti Jepun, Tomiaki Fukuda kecewa dengan keputusan itu.


"Saya sangat terkejut. Saya tidak pasti mengapa mereka membuat keputusan itu.


"Saya tidak puas hati dan bingung. Saya ingin tahu mengapa IOC menggugurkan sukan gusti," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

UUM buat persedian awal

Posted:

Sintok: Seramai 1,200 atlet mewakili lima kontinjen berentap merebut kejuaraan Kejohanan Sukan Staf Universiti Utara Malaysia (UUM) Kali Keenam.

Pengarah Pusat Sukan, Shafferi Rejab berkata, kejohanan tahunan bermula 7 Februari hingga 27 Mac ini menyaksikan staf universiti itu mewakili lima kontinjen iaitu Nurul Huda, Mokhtar Dahari, Jegathesan, Misbun Sidek dan Nicol David.


Katanya, 19 acara sukan bakal dipertandingkan iaitu acara bola tampar, tenis campuran, sepak takraw antara regu, bola jaring, bola sepak, boling padang berpasukan, memanah, karom, ping pong campuran, badminton campuran, catur, tenpin bowling, futsal, golf, go-kart, merentas kampus, trek dan padang, hoki tujuh sebelah dan skuasy campuran.

"Temasya sukan tahunan ini sebagai persiapan awal kontinjen UUM menghadapi Kejohanan Sukan Badan Berkanun pada 24 Jun hingga 2 Julai yang dianjur Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kejohanan Sukan Staf Antara IPTA Ke-38," katanya.


Mesyuarat MKSK Bilangan 4, 2012 yang dipengerusi Naib Canselor bersetuju nama kontinjen dikekal berpandukan ikon sukan iaitu Mokhtar Dahari (bola sepak), Misbun Sidek (badminton), Jegathesan (olahraga), Nurul Huda (renang) dan Nicol David (skuasy). "Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak juga bersetuju melantik lima profesor mengetuai kontinjen menyelaras sukan itu." Mereka membabitkan Prof Dr Ku Ruhana Ku Mahamud (Mokhtar Dahari), Prof Dr Abdul Razak Yaakub (Misbun Sidek), Prof Dr Dzulkhairi Md Dahalin (Jegathesan), Prof Dr Nur Adiana Hiau Abdullah (Nurul Huda) dan Prof Dr Zurni Omar (Nicol David).


Sementara itu, pada kejohanan edisi lalu, Nurul Huda dinobat juara keseluruhan selepas mengumpul 390 markah, tempat kedua, Mokhtar Dahari (342) dan ketiga, Jegathesan (317).

Ketua Kontinjen Nurul Huda, Dr Nur Adiana melahirkan keyakinan pasukannya akan mempertahankan status juara.


"Saya yakin kami akan mengekalkan kejuaraan kerana barisan atlet yang ada adalah mereka yang mewakili universiti.

"Saya harap atlet Nurul Huda mengekalkan semangat, terus berjuang dan sama-sama kita meraih kecemerlangan," katanyadi Pusat Sukan, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Yayasan Kelantan tebus kecewa dua tahun lalu

Posted:

Pasir Gudang: Pasukan Yayasan Kelantan menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila meraih emas pada perlawanan akhir acara bola tampar lelaki di Stadium Tertutup Pasir Gudang, semalam.

Pada perlawanan itu, Yayasan Kelantan menundukkan Yayasan Perak, 2-0.


Pengurus pasukan, Kamaruzaman Mohamad, 54, berkata, anak buahnya mempamerkan persembahan cemerlang sejak pusingan awal.

"Kemenangan ini hasil komitmen semua pihak khasnya pemain yang bersungguh-sungguh berlatih. Dengan kemenangan ini, kami dapat menebus kekecewaan di Pahang dua tahun lalu apabila tewas kepada Yayasan Melaka," katanya.


Kamaruzaman ditemui pada Pesta Sukan Yayasan SeMalaysia (PESAYA) 2013.


Sementara itu, kapten pasukan, Hasbullah Yaacob, 35, puas hati dengan kejayaan itu.

"Kami datang untuk menebus kekecewaan dua tahun lalu. Syukur kerana kemenangan berpihak kepada kami.


"Kami akan berusaha mempertahankan kejuaraan ini pada kejohanan akan datang," katanya.

Pada penentuan pingat gangsa, tuan rumah, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) mudah menewaskan juara bertahan, Yayasan Melaka, 2-0 selepas pencabar mereka menarik diri apabila seorang pemain mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Atlet pelapis pamer kehebatan

Posted:

Melaka: Unit Sukan Berprestasi Tinggi (USPT) Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) menghantar 23 atlet menyertai Sirkit Skuasy Remaja Rising Star Pertama CIMB 2013 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

Penyertaan atlet pelapis Persatuan Skuasy Negeri Melaka di kejohanan selama tujuh hari itu membawa pulangan lumayan selepas mereka berjaya meraih kejayaan dalam beberapa kategori dipertandingkan.


Siow Yee Xian, 12 dan olahragawan harapan 2012 , Adam Agan Aziz, 13, muncul naib juara dan tempat ketiga daripada 64 pemain bagi kategori lelaki Bawah 13 Tahun (B-13).

Bagi kategori wanita B-9, Nur Waffiah Khairul Tajuddin dan Alyssa Renai Aziz menduduki tangga ketiga dan kelima daripada 32 peserta.


Andrik Lim Kai Shan pula berjaya menduduki tempat ketujuh daripada 64 peserta kategori lelaki B-11.


Sementara itu, Pengarah MSNM Ismail Abdol Jalil berkata, kejayaan itu amat memberangsangkan dan membuktikan atlet Melaka memiliki bakat besar untuk lebih menyerlah.

"Sokongan semua pihak terutama pengurusan, jurulatih dan ibu bapa memberi impak besar terhadap pembangunan generasi muda.


"Saya harap lebih banyak kejayaan mampu diraih pada kejohanan lain selepas ini termasuk pada saingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Awang import Seladang tunjuk sikap profesional

Posted:

Ipoh: Sikap profesional awang import Perak, Rafael Souza Silva Novais (gambar) membuatkannya disenangi seluruh pasukan Perak.

Hakikat itu diakui jurulatih Seladang, Mohd Azraai Khor Abdulah ketika mengulas prestasi tonggak benteng dari Brazil itu.


"Dia menunjukkan teladan dan sikap baik yang menyebabkannya disukai semua pemain dan pegawai pasukan," katanya.

Azraai berkata, bekas pemain pasukan kelab Thailand, Bangkok Glass itu sentiasa mempamerkan kesungguhan tinggi dan mewujudkan persefahaman mantap dengan rakan sepasukan.


"Tiada lagi aksi bergaya dari pemain itu walaupun dia memang memiliki skil individu tinggi." Lebih mempesonakan Azraai ialah pemain dengan ketinggian 198sm itu juga memiliki tendangan kencang untuk berupaya menggugat penjaga gol lawan seperti dilakukannya ketika menentang Kedah United pada perlawanan persahabatan di Alor Setar, petang kelmarin. Perak menewaskan naib juara Piala Emas Raja-raja 2012, 3-1.


"Jaringan kencang dari tengah padang Rafael memang cantik selain melakukan hadangan saat akhir penting untuk menggagalkan peluang pasukan lawan." Selain Rafael, Azraai juga gembira dengan keupayaan Karim Rouani melakukan sentuhan pemusnah pada perlawanan itu dan berharap penyerang kelahiran Perancis itu berupaya melakukannya dalam perlawanan sebenar menentang Terengganu di Kuala Terengganu, petang esok.

"Saya gembira dia berjaya menemui sentuhan walaupun ia hanya perlawanan pemanas badan.


"Namun yang penting ialah persembahan bermakna dalam perlawanan sebenar.

"Tidak ada makna menjaringkan gol dalam perlawanan persahabatan tetapi longlai dalam aksi sebenar," katanya.


Azraai setakat ini lega dengan persembahan pemain selepas kali pertama berpeluang menurunkan pemain yang dijangka menjadi tonggak pasukan seperti Shahrulnizam Mustapa, S Chanturu, V Thirumurugan dan Mohd Noor Hazrul yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.


"Berdasarkan persembahan pemain pada perlawanan itu, saya yakin Perak berupaya mencabar pasukan lain dalam kempen kami seterusnya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Hajat terbantut

Posted:

Kuantan: Hajat Pahang untuk menjalani latihan di Stadium Jalan Besar menjelang pertemuan dengan LionsXII pada aksi Liga Super, Sabtu ini, tidak kesampaian.

Justeru, pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh berharap ia tidak mengecewakan pemain kerana sedar cabaran beraksi di padang tiruan sememangnya berbeza.


"Saya harap pemain dapat menyesuaikan diri bermain di atas padang tiruan yang memerlukan pergerakan lebih pantas dan kawalan bola sempurna jika mahu menewaskan tuan rumah.

"Yang penting sekarang adalah pemain segera mengembalikan prestasi terbaik dan bijak memanfaatkan peluang dimiliki jika mahu mengekalkan kedudukan di persada liga," katanya.


Sebagai persiapan, Che Nasir berkata, Pahang menjalani latihan di Temerloh sejak kelmarin berikutan cuaca tidak menentu di Kuantan sejak Isnin lalu.


"Segala perancangan berjalan lancar terutama membentuk kembali barisan terbaik terutama kembalinya Azamuddin Mohd Akil dan Mohd Fauzi Rozlan.

"Sejak semalam, pemain memberi komitmen tinggi untuk memastikan rekod cemerlang dalam lima perlawanan liga dapat diteruskan pada perlawanan keenam.


"Mereka juga bersedia mempamerkan persembahan terbaik selepas liga berehat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

Amaran Hamidin

Posted:

Kelana Jaya: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memberi amaran terhadap pegawai dan pemain supaya menjaga tingkah laku ketika beraksi menentang Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam esok.

Ingatan terbabit disuarakan Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas pergaduhan membabitkan pemain Selangor ketika menentang juara Liga Perdana musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, bulan lalu.


"Pergaduhan dengan ATM kes terpencil namun ia masih boleh berlaku dan saya ingin ingatkan pegawai dan pemain supaya tidak melakukan sebarang provokasi supaya perkara seperti ini tidak berulang dan perlawanan berlangsung dengan lancar," katanya.

Menurutnya, FAS sudah merancang langkah keselamatan sewajarnya untuk mengetatkan kawalan bagi perlawanan seperti ini dan sudah mengadakan mesyuarat dengan polis dan prosedur operasi yang dijalankan seperti perlawanan final kejohanan bola sepak tempatan apabila menempatkan 1,200 anggota keselamatan termasuk pasukan pencegah rusuhan dan anggota berkuda.


Pertemuan Selangor menentang Kelantan menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan sejak beberapa tahun lalu dengan ketegangan antara kedua-dua penyokong pernah tercetus sebelum ini.


"Setiap perlawanan liga adalah final dengan setiap mata diambil kira bagi memburu kejuaraan pada hujung musim. Kami tidak memiliki pilihan selain mengutip tiga mata apabila beraksi di tempat sendiri dan perlu mengambil kesempatan terhadap prestasi Kelantan yang bermula hambar musim ini.

"Pemain perlu kekalkan semangat dan rentak kemenangan kerana perlawanan mendatang lebih mencabar," katanya mengenai skuad Merah Kuning yang turut memulakan saingan di Piala AFC hujung bulan ini.


Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu bagaimanapun boleh menarik nafas lega seketika apabila sudah mengesahkan tempat ke suku akhir Piala FA selepas menyingkirkan Sabah, 3-0 kelmarin.

Sementara itu tiket perlawanan dijual pada hari perlawanan bermula jam 9 pagi di pintu utama Stadium Shah Alam dengan RM15 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/14

No comments:

Post a Comment