Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Blues mara bergaya

Posted:

Chelsea berjaya mengelak daripada menjadi mangsa terbaru pada saingan Piala FA apabila juara bertahan itu melangkah ke pusingan kelima selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas pasukan Divisyen Satu, Brentford semalam.

Arsenal, Tottenham dan Liverpool adalah antara kelab gergasi Liga Perdana Inggeris yang dimalukan pasukan liga bawahan musim ini, tetapi Chelsea bermula hambar.


Mujur jaringan pada separuh kedua menerusi Juan Mata, Oscar, Frank Lampard dan John Terry pada perlawanan ulangan semalam selepas sekadar seri 2-2 di Brentford sebelum ini, menggembirakan penyokong di Stamford Bridge.

Masih terlalu awal untuk melabelkan pasukan kendalian Rafael Benitez kembali berada di landasan tepat selepas melalui kempen yang tidak konsisten, namun sekurang-kurangnya keputusan itu mengelak mereka daripada malu di hadapan penyokong sendiri.


Chelsea yang memenangi Piala FA sebanyak empat kali sepanjang enam musim terakhir, akan berkunjung ke pasukan Liga Kejuaraan, Middlesbrough untuk menghadapi perlawanan pusingan kelima pada 27 Februari ini.


Terry, kapten Blues yang baru pulih daripada kecederaan lutut, adalah antara pemain utama yang membarisi skuad Chelsea sekali gus membuktikan betapa Benitez begitu menghormati lawan mereka itu selepas berjaya mengikat kedudukan seri 2-2 di Griffin Park.

Chelsea dilihat bergelut pada babak pertama dengan cubaan Branislav Ivanovic tersasar, begitu juga tandukan Mata.


Lampard juga beraksi cemerlang apabila melorongkan bola cantik kepada Oscar, namun rembatan jarak dekat pemain Brazil itu berjaya dinafikan pertahanan lawan, Harlee Dean. Aksi hambar Chelsea itu di bawah kendalian Benitez semakin menyukarkan bekas pengendali Liverpool itu dalam usahanya untuk memenangi hati peminat dan mereka sekali lagi secara terbuka mengejek pengendali dari Sepanyol itu di dalam stadium sebagai rasa tidak puas hati pemecatan pengurus terdahulu, Roberto Di Matteo.

Chelsea bangkit pada separuh masa kedua menerusi gol pertama Mata yang merembat deras menewaskan penjaga gol Brentford, Simon Moore pada minit ke-54. Gol pertama itu mengurangkan tekanan Chelsea yang kemudiannya terus membunuh aksi cemerlang Brentford.


Oscar menambah gol kedua pada minit ke-68 sebelum Lampard menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-72.


Gol itu adalah jaringan ke-199 peribadinya sepanjang bersama Chelsea sekali gus menjadikannya penjaring terbanyak kelab pada saingan Piala FA.


Terry menambah derita Brentford apabila menambah gol keempat pada minit ke-81.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Segera lupakan kekalahan: Wenger

Posted:

LONDON: Arsene Wenger (gambar) menggesa anak buahnya supaya bangkit semula daripada kekalahan memalukan kepada Blackburn pada saingan Piala FA apabila bakal turun bertemu Bayern Munich di saingan Liga Juara-Juara.

Jaringan tunggal Colin Kazim-Richards pada separuh mas kedua sudah cukup memberikan kemenangan 1-0 kepada Blackburn di Stadium Emirates kelmarin sekali gus menyaksikan mereka melangkah ke saingan suku akhir Piala FA.


Bayern akan berkunjung ke London untuk perlawanan pertama pusingan kedua.

Arsenal perlu bangkit apabila bertemu gergasi Jerman itu jika mereka masih mahu menamatkan kemarau lapan tahun tanpa trofi utama selepas Gunners ketinggalan 21 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester United.


"Amat penting untuk menunjukkan karakter sebenar kami," kata pengurus Arsenal itu dalam usaha menaikkan semula semangat anak buahnya.


"Hanya itu saja yang kami mampu lakukan," tambahnya.

"Kami perlu buktikan betapa kuat dan bagusnya kami pada perlawanan seterusnya. Adalah satu kesilapan jika kami berasa bersalah ke atas diri sendiri," kata pengendali dari Perancis itu.


"Kami melalui perlawanan yang agak teruk dan sebab itu kami perlu bangkit semula." Tewas kepada Blackburn menyaksikan kekalahan kali pertama Arsenal kepada pasukan di Liga Kejuaraan pada saingan Piala FA sejak Wenger mengambil alih tugas selaku pengurus sejak 1996.

Pengurus Blackburn, Michael Appleton menegaskan beliau masih tidak percaya anak buahnya dapat menempah tiket ke suku akhir.


"Saya hanya meminta mereka yakin kepada diri sendiri bahawa mereka boleh menang," kata Appleton, pengurus ketiga Rovers pada musim ini.


"Kami ada berbincang mengenainya dalam mesyuarat pasukan.


"Kami kini tinggal selangkah sebelum ke separuh akhir di Wembley. Saya yakin barisan pemain begitu bersemangat untuk beraksi di Wembley," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Lebih mantap banding 1999

Posted:

Pengurus Manchester United, Alex Ferguson (gambar) yakin beliau memiliki barisan lebih kuat musim ini berbanding ketika kelab itu mencipta sejarah meraih tiga kejuaraan pada 1999.

Namun ia sama sekali tidak menghalang pengurus veteran itu daripada memberi amaran kepada pemainnya menjelang aksi pusingan kelima Piala FA bertemu pasukan bawahan Liga Perdana Inggeris, Reading di Old Trafford, awal pagi esok.


Pada kempen 1999, mereka tewas kepada Middlesbrough pada saingan liga tetapi mengharungi baki saingan tanpa kekalahan.

Bagaimanapun, Ferguson enggan membandingkan kekuatan musim ini berbanding era 1999. "Kami tewas kepada Middlesbrough dan tidak tewas lagi selepas itu. Ketika itu adalah musim yang cukup sukar pada saingan Piala FA. "Saya rasa agak lega melihat perkembangan pasukan ketika ini berbanding satu ketika dulu tanpa pasukan yang kuat seperti sekarang.


"Apapun, kami tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaan lalu, terutama pada saingan Piala FA kerana apa saja boleh berlaku. Sudah pasti anda tidak mahu dikejutkan oleh pasukan lain.


"Jadi sudah tentu semua menumpukan kepada perlawanan bertemu Reading selepas memperoleh keputusan agak baik di Madrid.

"Kami perlu menghormati lawan kami dan perlu diingat, Piala FA sentiasa menghadirkan kejutan," katanya.


Pengurus Reading, Brian McDermott menegaskan saingan Liga Perdana Inggeris lebih penting tetapi beliau tidak mahu anak buahnya terlalu leka di Old Trafford.

"Kami mahu beraksi cemerlang pada saingan Piala FA tetapi matlamat utama kami adalah untuk kekal pada saingan Liga Perdana Inggeris," kata McDermott.


"Beberapa pemain kami pernah beraksi di Old Trafford sebelum ini tetapi selebihnya tidak. Apa yang penting setiap pemain perlu sentiasa tenang beraksi di dalam stadium yang begitu besar.


Beliau menambah: "Kami perlu pastikan segala-galanya berjalan dengan baik. Kami perlu beraksi dengan baik, begitu juga ketika bertahan.


"Jika kami dapat beraksi seperti yang dimahukan, kami berpeluang untuk mara lebih jauh.


"Kini kami berpeluang bertemu Manchester United dan kedua-dua pasukan pasti mahu melangkah ke suku akhir." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Jaringan Totti kecewakan Juve

Posted:

Rome: Penyerang AS Roma, Francesco Totti menjaringkan gol cantik dari jarak jauh selepas hampir sejam beraksi untuk menewaskan pendahulu Serie A, Juventus 1-0 pada perlawanan di Stadium Olimpik, kelmarin.

Kapten Roma itu berlari mengejar bola yang disepak keluar dari kawasan berbahaya oleh Miralem Pjanic sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Gianluigi Buffon sekali gus menyaksikan Juve kekal 55 mata, lima mata di depan penghuni tangga kedua, Napoli yang boleh mengurangkan defisit kepada dua mata andai menang ke atas Sampdoria.


Penyerang yang kini mengumpul 224 jaringan dalam Serie A, hanya satu kurang berbanding pemegang rekod, Gunnar Nordahl itu sememangnya mempunyai rekod cemerlang menjaringkan gol dan melakukannya pada babak kedua.

Pengurus Juve, Antonio Conte nyata kecewa selepas persembahan mengecewakan pasukan yang kepenatan gara-gara jadual padat.


"Kami tidak gembira dengan corak permainan yang dipamerkan selepas beraksi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari," katanya sambil merujuk kepada kemenangan selesa pasukan itu 3-0 ke atas Celtic dalam saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dan kemenangan 2-0 ke atas Fiorentina minggu lalu.


"Kepenatan dalam tiga perlawanan sebelum ini, menentang pasukan besar menjadi alasan tunggal yang boleh saya berikan malam ini kerana kami tidak bermain sebagai satu pasukan, apabila kami tidak bermain sebagai satu unit, mana-mana pasukan boleh atasi kami.

"Saya harap pada masa depan, mereka menyusun jadual perlawanan dengan lebih baik dan menghormati pasukan Itali yang bersaing di peringkat Eropah." Kemenangan pertama Roma ke atas Juve itu membolehkan mereka melonjak ke tangga ketujuh dengan 37 mata daripada 25 perlawanan, selain menamatkan badi enam perlawanan terakhir tanpa kemenangan sehingga menyebabkan peminat mereka memberontak dan Zdenek Zeman dipecat dua minggu lalu. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Messi julang Barca

Posted:

Lionel Messi membantu Barcelona bangkit daripada ketinggalan satu gol apabila dua jaringannya membolehkan mereka menewaskan Granada 2-1 kelmarin, sekali gus melebarkan rekod jaringan peribadinya bersama kelab itu kepada 301 gol.

Pemain Terbaik Dunia itu menyamakan kedudukan pada minit ke-50 sebelum menambah gol kedua menerusi sepakan percuma yang cantik pada minit ke-73 yang juga gol ke-37 peribadinya sepanjang kempen La Liga setakat ini.


Mujur penjaga gol lawan, Tono berjaya menafikan cubaan satu lawan satu daripada Messi pada lewat permainan sekali gus menafikan hatrik untuknya.

Kemenangan itu meletakkan Barcelona selesa dengan kelebihan 15 mata di tangga teratas liga.


Barcelona yang akan berkunjung ke AC Milan untuk saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis, lebih 19 mata berbanding Real Madrid yang menduduki tempat ketiga.


"Melepasi jumlah 300 gol, ia sesuatu yang luar biasa berjaya dilakukan oleh Messi. Kami memiliki banyak peluang yang gagal disempurnakan tetapi dua jaringan Messi itu cukup penting untuk tiga mata penuh," kata penolong jurulatih Barcelona, Jordi Roura. Barcelona berkunjung ke Granada tanpa Xavi dan David Villa serta meletakkan Andres Iniesta, Jordi Alba dan Carles Puyol di bangku simpanan.

Pasukan tuan rumah yang dikendali oleh jurulatih baru, Lucas Alcaraz, memenangi dua perlawanan pertama tanpa melepaskan gol.


Granada menewaskan Real 1-0 dua minggu lalu selepas Ronaldo menjaringkan gol ke gawang sendiri sebelum tewas kepada Deportivo La Coruna 3-0 pada perlawanan terakhir.

Penyerang, Odion Ighalo meletakkan Granda di depan menerusi cubaan jarak dekat pada minit ke-26 sebelum Messi menyamakan kedudukan.


Bintang Argentina itu menambah gol kedua menerusi sepakan percuma. Gawang Barcelona terancam pada lewat permainan, tetapi mujur Victor Valdes berjaya menyelamatkan dua cubaan berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Nadal dipaksa mandi peluh

Posted:

Sao Paulo: Rafael Nadal dipaksa bermain tiga set sebelum menang 6-3, 6-7, 6-1 ke atas pemain Argentina, Martin Alund awal pagi semalam sekali gus mara ke final Terbuka Brazil.

Kemenangan itu membuka laluan buat bekas pemain nombor satu dunia bertemu seorang lagi pemain Argentina, David Nalbandian yang mengatasi pemain Itali, Simone Bolelli 6-3, 7-5.


Nadal yang baru beraksi dalam dua kejohanan sejak pulih dari kecederaan lutut selama tujuh bulan, gembira mengulangi pencapaian ke final seperti di Chole minggu lalu.

Dia memberi amaran yang prestasinya masih jauh dari tahap terbaik, namun meletakkan Nalbandian sebagai pilihan untuk menjulang trofi itu.


"Selepas rehat tujuh bulan dengan lutut yang belum benar-benar pulih, dua final adalah pencapaian yang cukup positif," katanya.


"Secara fizikal, saya bersedia. Tapi saya tidak tahu lutut saya bersedia atau tidak," katanya sambil tersenyum.

Minggu lalu, Nadal tewas kepada pemain Argentina, Horacio Zeballos di final Terbuka Chile yang berlarutan ke tiga set.


Juara 11 Grand Slam itu dijangka bermain di satu lagi gelanggang tanah liat di Acapulco bulan ini sebelum cuba mempertahan gelaran Terbuka Perancis Mei depan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Ji-Yai singkir pilihan utama

Posted:

Pemain nombor lapan dunia dari Korea Selatan, Shin Ji-Yai (gambar) menjuarai Kejohanan Golf Wanita Terbuka Australia semalam, menamatkan permainan dua mata di depan pilihan utama, Yani Tseng dan empat mata di depan bintang remaja Lydia Ko dengan 18 bawah par.

Ji-Yai mendahului empat pukulan sebelum beraksi di pusingan terakhir di Kelab Golf DiRaja Canberra, sememangnya dijangka bersaing sengit dengan pemain amatur remaja New Zealand, Lydia, 15, yang mahu melakar sejarah meraih kejuaraan LPGA AS kedua.


Bagaimanapun, prestasinya pada hari terakhir bermula buruk, double bogey di lubang pertama dan bogey di lubang kedua, membolehkan Ji-Yai memiliki kelebihan tiga pukulan selepas merakam birdie.

Lydia bangkit menyamai catatan permainan Ji-Yai pada lubang berikutnya selepas mencatat tiga birdie, namun sehingga tamat permainan dia hanya merekodkan 14 bawah par sekali gus memberi laluan kepada pemain nombor satu dunia, Yani berada di kedudukan kedua dengan enam birdie, satu eagle untuk menamatkan permainan 16 di bawah par.


Ji-Yai, 24, pula mempamerkan aksi goyah dengan catatan 72 pukulan di pusingan terakhir untuk mengumpul 274 pukulan keseluruhan dan membawa pulang wang tunai Aus$180,000 (RM573,701), kejuaraan ketiganya dalam jelajah LPGA dan kejuaraan ke-11 keseluruhan.


Sejak beralih ke profesional pada Januari 2005, Ji-Yai muncul pemain Korea Selatan pertama memenangi pra pembukaan musim Terbuka Australia, sejarah baru sejak 21 tahun lalu.

Lydia, pemain Kiwi yang lahir di Korea Selatan pula muncul pemain jelajah termuda memenangi kejohanan LPGA di Terbuka Kanada, memadam rekod bintang Amerika Syarikat (AS) Lexi Thompson dengan memenangi kejuaraan pada usia 15 tahun, empat bulan dan dua hari.


Thompson pula memenanginya pada usia 16 tahun lapan bulan di Navistar Classic 2011, dan jika dia muncul juara semalam, dia akan menjadi pemain tunggal memenangi dua Jelajah LPGA sebelum usia memasuki 16 tahun, April ini.

Pemain Thailand, Moriya Jutanugarn menamatkan permainan di kedudukan keempat dengan 13 di bawah par bersama pemain Sepanyol, Beatriz Recari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Juara pertama!

Posted:

Pasukan Charok Bemban FC (CBFC) memahat nama selaku juara sulung sekali gus menggondol piala pusingan Kejohanan Liga Persahabatan Kelab Sukan Kupang (KSK) di padang awam Keda Kupang, dekat sini, baru-baru ini.

Mereka unggul untuk mengetepikan lawan hebat yang juga pasukan tuan rumah, KSK, di final 3-1.


Sebelum itu, CBFC bermula garang seawal saingan liga selama sebulan itu dengan membenam pasukan Klinik Kesihatan Baling 4-1 dalam perlawanan pertama dan sedikit kehilangan cengkaman pada perlawanan kedua selepas seri 0-0 dengan KSK.

Mereka kembali kental pada perlawanan ketiga dan menakluki skuad Titi Teduri dengan jaringan tipis 1-0 sebelum mengamuk ke atas pasukan JMFC 3-0 dan mengesahkan aksi final selepas menang saingan terakhir mengatasi Charok Sikin 1-0.


Pengurus CBFC, Abdul Malek Ghazali, berkata gelaran juara itu sekurang-kurangnya memadam rekod kekecewaan mereka dalam banyak saingan sebelum ini di daerah Baling.


"Kami banyak mengutip pengalaman dan memperbaiki taktikal hasil daripada saingan terdahulu. Itu mungkin menjadi antara faktor CBFC mantap di segenap posisi sekali gus memberi kelebihan.

"Gelaran juara sulung ini benar-benar membuatkan semangat setiap pemain CBFC kembali pulih dan berharap kami mampu memberi saingan lebih bermakna dalam apa juga kejohanan selepas ini," katanya.


Setiausaha kejohanan, Mohd Noor Ahmad, hadir merasmikan upacara penutupan dan menyampaikan hadiah kepada CBFC yang membawa pulang piala pusingan, set jersi dan medal.

Sementara itu, Presiden KSK, Nazril Fahmi Abdullah, berkata kejohanan berkenaan akan diadakan setiap tahun dengan mensasarkan lebih banyak penyertaan daripada pasukan yang bermastautin di daerah Baling.


"Penganjur berharap melalui liga ini dapat mencungkil bakat baru seawal usia 15 tahun dan memberi faedah kepada sukan bola sepak di daerah Baling.


"Kejohanan ini juga mengesan pemain berkualiti sekali gus menguntungkan komuniti atau sekolah yang mempunyai pasukan bola sepak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Sukan Lengan dapat sambutan menggalakkan

Posted:

Kuala Lumpur: Pertandingan Sukan Lengan Konsert Ekspresi Harian Metro mencapai matlamat apabila mendapat sambutan pelbagai bangsa dalam negara selain kehadiran perserta luar negara yang turut memeriahkan saingan.

Kejohanan yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Wilayah yang berlangsung di Dataran Merdeka kelmarin menarik penyertaan kira-kira 130 peserta dalam tiga kategori yang dipertandingkan bagi merebut hadiah wang tunai RM3,900 secara keseluruhan selain barangan eksklusif Harian Metro.


Bukan saja penggiat dan penggemar Sukan Lengan di kawasan Lembah Klang yang tampil beraksi malah ada yang datang dari Perlis dan Kedah semata-mata untuk bertanding.

Lebih membanggakan sukan lengan berjaya mengeratkan hubungan rakyat Malaysia sama ada di peringkat remaja dan dewasa seperti Melayu, Cina, India serta etnik bumiputera Sabah dan Sarawak yang tampil bersaing secara sihat.


Tidak ketinggalan, pertandingan sukan lengan anjuran Harian Metro turut mendapat penyertaan peserta luar negara dari Russia, Turki dan Singapura sekali gus menjadikan saingan lebih kompetitif.


Salah seorang penggiat sukan lengan yang sudah lama bergiat secara aktif, Lee Tiam Siew berterima kasih kepada Harian Metro kerana menganjurkan pertandingan itu.

Menurutnya, Harian Metro wajar menganjurkan lebih banyak pertandingan sukan lengan agar ia dapat diperkembangkan dengan lebih meluas lagi.


"Pertandingan hari ini (kelmarin) memang mendapat sambutan luar biasa. Selain penyertaan mereka yang sudah lama bergiat aktif, hampir 70 peratus adalah peserta baru.

"Mungkin mereka ingin mencuba selepas mengetahui mengenainya dalam akhbar Harian Metro. Ini sesuatu yang bagus," katanya yang datang dari Melaka untuk turut bersaing.


Namun dia menasihatkan peserta baru yang berminat untuk menyertai sukan itu secara serius supaya mendapat nasihat dan latihan daripada pihak yang tepat.


"Sesiapapun dialu-alukan, salah satu caranya adalah belajar daripada orang yang berpengalaman selain persatuan sukan itu sendiri yang wujud di setiap negeri," katanya.


Jelasnya mempelajari teknik yang betul dan tepat bukan saja memberikan kemenangan dalam sesuatu pertandingan namun dapat mengelakkan diri daripada mengalami kecederaan yang tidak diingini.


Saingan yang berlangsung sejak awal pagi hingga lewat petang itu jelas berjaya menarik ribuan penonton yang hadir di Dataran Merdeka untuk menyaksikan kekuatan dan ketahanan mental peserta.


Penonton dihidangkan dengan aksi bertenaga peserta dengan pelbagai gaya yang bersaing sejak peringkat awal hingga perlawanan kemuncak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Peserta Russia tunjuk belang

Posted:

Peserta dari Russia, Sergey Kardash membuktikan kejaguhannya apabila muncul juara kategori A iaitu 85 kilogram ke atas dalam pertandingan Sukan Lengan Konsert Ekspresi Harian Metro.

Kardash yang berusia 26 tahun mengenepikan cabaran peserta dari Perlis, Ku Rohaizad Ku Rubi dalam aksi final di Dataran Merdeka kelmarin.


"Pada awalnya saya menjangkakan akan bertemu Lee Tiam Siew pada final namun lebih menentangnya dan memenanginya. "Mungkin dia menyimpan kekuatan untuk satu lagi kejohanan di Indonesia minggu depan di mana saya turut menyertainya," kata pelajar jurusan kedoktoran itu.

Namun menurut Kardash, saingan di final menentang salah seorang peserta pilihan tetap mencabar kemampuan dirinya.


"Ini adalah kali kedua saya menyertai kejohanan anjuran Harian Metro, jadi tahap saingan yang diberikan memang sudah dijangkakan.


"Namun selain terpaksa bersaing dengan lawan, saya juga perlu bertarung dalam cuaca panas dan mujur keadaan semakin berangin dan hujan di sebelah petang," katanya.

Selaku juara Kardash membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan jelas gembira kerana matlamat peribadinya untuk muncul juara menjadi realiti.


Peserta tempatan turut mencuri tumpuan apabila Mervyn Siew memenangi Kategori B (75-85kg) dan Mohamad Nizar Yusof unggul dalam Kategori C (75kg ke bawah).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

No comments:

Post a Comment