Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Boleh runding jika bermasalah

Posted:

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sentiasa bersikap terbuka dalam mengkategorikan atlet ke sebarang temasya sukan termasuk Sukan SEA, terutama bagi sukan tempur yang tidak mempunyai banyak kejohanan utama untuk dinilai prestasi mereka.

Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi (gambar) berkata, syarat itu telah lama dipraktikkan badan induk sukan negara itu dengan menetapkan ramai atlet sukan tempur seperti silat atas tiket kategori A kerana memahami situasi yang dihadapi mereka.


"Ketika saya menjadi atlet lebih 20 tahun lalu, penetapan kategori atlet sudah diperkenal sama ada penyertaan mereka atas tiket kategori A atau B. Perkara ini bukan baru.

"Misalnya pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, kami hantar ramai pesilat kategori A dan pencapaian mereka memuaskan. Tetapi kadang kala, prestasi mereka tidak baik dan kami bertanggungjawab kerana kami yang tentukan kategori atlet terbabit.


"Kami tidak terlalu tegas (terhadap penyertaan atlet sukan tempur) tapi mereka (persatuan sukan terbabit) perlu memberi justifikasi penyertaan atlet masing-masing dalam kategori A," katanya.


Kok Chi mengulas gesaan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mahu MOM melonggarkan syarat mengkategorikan atlet ke Sukan SEA terutama bagi sukan tempur yang tidak mempunyai banyak kejohanan antarabangsa.

Sebelum ini, MOM memperkenalkan kategori A dan B dalam pemilihan atlet yang layak menyertai sebarang temasya sukan dengan perbelanjaan atlet kategori A ditanggung sepenuhnya manakala atlet kategori B perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri.


MOM akan membayar semula semua perbelanjaan atlet kategori B jika mereka membawa pulang pingat emas atau sebahagian daripada kos perbelanjaan jika meraih pingat perak.

Mengulas lanjut, Kok Chi berkata, Pesaka juga perlu mengambil inisiatif dengan menghadiri perbincangan seperti mesyuarat Majlis MOM yang diadakan tiga bulan sekali bagi memberi pandangan berhubung penyertaan atlet mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Bangkit catat kemenangan

Posted:

Pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey meminta rakan sepasukannya belajar daripada kesilapan lalu dalam usaha mereka untuk bangkit apabila bertemu Bayern Munich pada pusingan 16 terakhir, Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Harapan untuk menamatkan kemarau lapan musim tanpa menjulang kejuaraan utama kembali mencetuskan keraguan selepas Arsenal disingkirkan pasukan Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers pada saingan Piala FA.


Ketika Arsenal sudah tersingkir pada saingan Piala Liga di tangan pasukan divisyen empat, Bradford City selain ketinggalan 21 mata di belakang pendahulu liga, Manchester United, hanya Liga Juara-Juara satu-satunya menjadi harapan kelab London itu untuk menjulang trofi.

Dua pengalaman terakhir pada pusingan kedua berakhir dengan keputusan mengecewakan apabila tewas menerusi agregat 3-4 kepada Barcelona pada 2011, diikuti tewas kepada AC Milan menerusi agregat sama tahun lalu.


Harapan naib juara 2006 itu untuk menjulang piala berprestij itu musim lalu lebur selepas tewas 0-4 pada perlawanan pertama di Milan dan Ramsey berkata, pasukannya tidak mahu perkara sama berulang apabila bertemu Bayern.


"Sudah tentu Bayern akan memberi tentangan sengit tapi kami yakin mampu memberikan saingan." Namun pada kempen sebelum itu, Arsenal berjaya menewaskan Barcelona 2-1 di gelanggang sendiri tetapi kemudian tewas 1-3 di Nou Camp.

Ramsey berkata, prestasi seperti ketika bertemu Barcelona pada pertemuan pertama amat diharapkan awal pagi esok.


"Kami berada di kedudukan baik ketika bertemu Barcelona tapi malangnya gagal mengulanginya pada perlawanan timbal balik.

"Kemudian ketika bertemu AC Milan kami terpaksa mengejar lawan dan hampir-hampir melakukannya di laman sendiri apabila menang 3-0.


"Harapnya kali ini kami dapat beraksi lebih baik pada perlawanan pertama dan saya pasti kami lebih berpengalaman untuk menghadapi perlawanan kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

McIlroy, Lowry mulakan cabaran

Posted:

Pacific Palisades, California: Pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy diundi bertemu pemain Ireland, Shane Lowry pada pusingan pertama Kejohanan Match Play WGC-Accenture minggu ini di Dove Mountain di Marana, Arizona.

McIlroy, pemain Ireland Utara yang merangkul kejuaraan utama kedua pada Kejohanan PGA Amerika Syarikat tahun lalu dengan rekod lapan pukulan, kecundang 1&2 di tangan pemain AS, Hunter Mahan pada final tahun lalu.


Pemain kedua dunia, Tiger Woods, juara tiga kali kejohanan elit dalam siri Kejohanan Golf Dunia (WGC) itu, berdepan rakan senegara Charles Howell III pada pusingan pertama esok manakala pemain ranking ketiga, Luke Donald dari Britain menentang Marcel Siem dari Jerman.

Pemain Afrika Selatan, Louis Oosthuizen, ranking kelima, bertemu pemain Britain, Richie Ramsay manakala pemain keenam dunia, Justin Rose dari England membuka kempen menentang KJ Choi dari Korea Selatan.


Dua pemain kelompok 10 terbaik dunia tidak beraksi dalam acara 64 pemain itu, ranking keempat Brandt Snedeker menarik diri kerana sakit tulang rusuk manakala Phil Mickelson, di tangga kesembilan, tidak bertanding kerana percutian keluarga.


Lowry yang menduduki tangga ke-65 minggu lalu, meraih tempatnya di Dove Mountain apabila Mickelson menarik diri manakala ketiadaan Snedeker menyaksikan penampilan Fredrik Jacobson dari Sweden. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Tonik terbaik!

Posted:

Kemunculan semula Rafael Nadal selepas berehat tujuh bulan kerana kecederaan membuahkan hasil apabila menumpaskan pemain Argentina, David Nalbandian 6-2, 6-3 untuk menjuarai Terbuka Brazil, awal pagi semalam, sekali gus meraih kejuaraan pertama sejak Terbuka Perancis 2012.

Pemain nombor lima dunia dari Sepanyol itu, bermain kejohanan kedua selepas kembali daripada kecederaan, merampas servis lawan dua kali pada set pertama dan bangkit daripada ketinggalan 0-3 pada set kedua sebelum menang dalam masa 78 minit.


Juara 11 Grand Slam itu yang mengaku lututnya masih sakit, memilih untuk kembali beraksi di gelanggang tanah liat dalam usaha mengembalikan kecergasannya.

"Apabila lutut sakit, saya tidak boleh bergerak dengan bagus. Jika saya tidak boleh bergerak dengan baik, saya tidak boleh memukul bola dengan sempurna. Apabila lutut saya beransur baik, permainan saya pasti lebih bagus, semuanya menjadi lebih baik," kata Nadal.


"Hari ini harinya saya berasa bagus di gelanggang." Nadal melakukan kemunculan semula di Chile minggu lalu namun tewas di tangan seorang lagi pemain Argentina, Horacio Zeballos pada final.


Namun tiada ulangan kekecewaan itu minggu ini apabila pemain Sepanyol berusia 26 tahun itu mendominasi permainan menentang Nalbandian.

Sekalipun masih jauh daripada persembahan terbaik, Nadal mempamerkan kegarangan yang melonjakkannya ke tahap tertinggi. Merujuk kemenangan sulungnya di sini pada 2005, dia berharap kemenangan itu menjadi penanda permulaan baru buatnya.


"Brazil tetap berada dalam ingatan saya, ini kali kedua saya di sini," katanya. "Pada 2005, kejayaan gemilang bermula buat saya selepas menang di sini dan saya harap kali ini ia satu petanda permulaan sesuatu yang bagus."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Semangat pemain tonik kejayaan

Posted:

Kuala Nerang: Pasukan Felcra Tualak FC menjadikan kegagalan merebut kejuaraan dua tahun berturut-turut pemangkin muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala 3S di Stadium Mini Kuala Nerang selepas menewaskan Kolej Mara Kuala Nerang menerusi penentuan penalti 3-2, baru-baru ini.

Ketua pasukan Felcra Tualak FC, Mohd Sayuti Mahmood berkata, kejayaan pasukannya disebabkan semangat berpasukan dan latihan beberapa bulan bagi menggondol piala sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim.


"Pada perlawanan akhir, kami hampir tewas apabila Kolej Mara Kuala Nerang mendahului 1-0 selepas penjaga gol tertampan bola masuk ke gawang sendiri.

"Bagaimanapun gol itu tidak melemahkan semangat kami yang mengubah taktik menggunakan empat penyerang.


"Kami berhempas-pulas melakukan serangan hingga menimbulkan ketegangan tapi dapat dikawal pengadil.


"Kami berjaya mendapat gol penyamaan akibat kelalaian lawan yang cuba melambatkan permainan hingga memakan diri dan memaksa permainan ditentukan melalui penentuan penalti dan kami akhirnya menang 3-2," katanya Pada suku akhir, Felcra Tualak FC berjaya menewaskan pasukan Keda Pasir Putih, 3-2 dan menumpaskan Mamatoro, 1-0 pada separuh akhir.

Kejayaan itu membolehkan Felcra Tualak FC membawa pulang wang tunai RM10,000, piala pusingan dan pingat manakala Kolej Mara Kuala Nerang, RM7,000 dan pingat. Hadiah kepada pemenang disampaikan Syed Sobri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Penyertaan terbesar

Posted:

Kejohanan Taekwondo Remaja Koko Crunch 2013 edisi kelapan menyaksikan penyertaan 2,200 peserta, penyertaan terbesar sejak edisi pertama dilancar pada 2006.

Lebih menarik, kejohanan tahun ini turut disertai Singapura yang menjadi satu daripada empat tuan rumah pertandingan peringkat wilayah sekali gus menjadikan kejuaraan kali ini bertaraf antarabangsa.


"Ini perkembangan yang sangat menarik dan tentu sekali menjadi petanda baik untuk sukan taekwondo peringkat akar umbi," kata Presiden Taekwondo Malaysia (WTF), Tunku Imran Tuanku Ja'afar selepas melancarkan kejohanan itu semalam.

"Peserta kedua-dua negara berpeluang mempamerkan kemahiran masing-masing dalam pertandingan ini yang akan membantu mereka menjadi atlet lebih baik.


"Tahniah kepada Nestle Koko Crunch atas sokongan tidak berbelah bagi terhadap pembangunan sukan ini di peringkat akar umbi." Presiden Persekutuan Taekwondo Singapura, Milan Kwee berkata, penyertaan negara itu pada kejohanan ini dapat mengukuhkan hubungan kedua-dua badan induk sukan itu.


Selain Singapura, Pulau Pinang, Kelantan dan Johor menjadi tuan rumah pertandingan peringkat wilayah dengan setiap wilayah dihadkan kepada 400 peserta. Pusingan Akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur akan disertai oleh 600 peserta.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

'Pemain yang bersalah'

Posted:

Kangar: "Pemain yang perlu dipersalahkan dengan keputusan itu. Banyak peluang terhidang menggegar jaring gagal disudahkan. Manakala, pemain pertahanan pula melakukan kesilapan menjatuhkan pemain lawan yang membolehkan pengadil menghadiahkan sepakan penalti."

Jurulatih Perlis, Yunus Alif memberikan reaksi demikian selepas Perlis dan UiTM FC seri 1-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Utama Negeri Kangar, petang semalam.


Berikutan keputusan itu, impian Perlis meneruskan rentak kemenangan selepas mengejutkan Kedah, 2-1 pada aksi di Stadium Darulaman, Alor Setar, berkecai.

Bekas pengendali T-Team itu berkata, kegagalan jentera serangan melakukan penyudahan tepat selepas dihidang deretan peluang punca pelawat pulang dengan satu mata.


Selain itu, katanya, kesilapan mudah benteng yang menjatuhkan pemain lawan membolehkan skuad kendalian Azman Eusoff dihadiahkan sepakan penalti pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan.


"Kita sepatutnya boleh melakar kemenangan di laman sendiri. Bagaimanapun, ketumpulan jentera serangan yang mensia-siakan banyak peluang menyebabkan impian itu berkecai.

"Sebaliknya, UiTM FC bangkit menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan penalti berikutan tindakan kurang bijak pertahanan menjatuhkan pemain lawan," katanya.


Perlis membuka jaringan hasil sepakan percuma pemain gantian, Md Badrul Hisani Abd Rahman yang menggantikan Romdhizat Jamian pada minit ke-43.

Namun, pelawat berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas pemain pertahanan tuan rumah, Ahmad Faizal Sumar menjatuhkan Mohd Hakim Zainol m-63.


Sementara itu Kedah bertindak garang apabila menewaskan SPA Putrajaya FC 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Sarawak 'mandi peluh'

Posted:

Sarawak terpaksa 'bermandi peluh' sebelum mengutip mata berharga selepas menang tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan (NS) Betaria pada aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, petang semalam.

Walaupun lebih banyak menguasai permainan, pelawat hanya mampu menghasilkan jaringan kemenangan tujuh minit sebelum tamat perlawanan.


Terkejut dengan persembahan lawan yang sebelum ini dibelasah Sime Darby 0-6, Bujang Senang terpaksa berhempas pulas untuk menghasilkan jaringan, namun pergerakan penyerang Azizan Baba, Joseph Kalang Tie dan Guy Bwele gagal menghasilkan gol.

Peluang terbaik membuka jaringan hadir menerusi rembatan kencang Joseph Kalang m-54 tapi berjaya ditepis penjaga gol, Muhammad Khairul.


Mata berharga hanya mampu dikutip pada m-83 selepas Bwele menolak mudah bola ke dalam jaring susulan situasi kelam kabut dalam kotak penalti Betaria.


Jurulatih Sarawak, Robert Alberts mengaku pasukannya menghadapi tentangan sengit lawan sebelum berjaya menjaringkan gol.

Baginya, kejayaan meraih tiga mata amat bernilai terutama untuk menjarakkan kedudukan mata di pentas liga.


Katanya, lawan memiliki semangat juang tinggi dan hampir mengejutkan pasukannya namun benteng kukuh dibina berjaya menidakkan usaha tuan rumah.

"Kemenangan ini menguatkan azam kami memburu kemenangan apabila berdepan Johor, Jumaat ini," tegasnya.


Sementara itu, hasrat Sabah memperoleh tiga mata penuh di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada KL Pos Malaysia FC di Stadium Likas, petang semalam.


Sabahawaks dikejutkan jaringan pembukaan Mohd Saufi Mohd Ibrahim seawal minit kelima.


Kegembiraan pasukan pelawat hanya bertahan empat minit apabila Sabahawks berjaya menyamakan kedudukan menerusi Alto Linus pada minit kesembilan.


Namun Saufi muncul wira apabila menyumbat gol kemenangan KL Pos Malaysia FC pada minit ke-65.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Folan tekad akhiri kemarau jaringan

Posted:

Kuala Terengganu: Penyerang T-Team, Caleb Folan (gambar) percaya masa untuknya menjaringkan gol pertama Liga Super akan tiba jua.

Menurut pemain berusia 30 tahun itu, dia akan cuba sedaya upaya membuka akaun jaringan apabila skuad Titans menentang Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hari ini.


Folan mengaku kemarau gol enam perlawanan Liga Super setakat ini mengganggu tumpuannya terutama ketika melakukan persiapan menghadapi sesuatu perlawanan.

"Saya kecewa kerana masih gagal menjaringkan gol dan saya juga tahu ramai peminat kecewa kerana mereka menaruh harapan tinggi pada saya.


"Saya harap penyokong bersabar kerana saya sentiasa berusaha dalam setiap perlawanan untuk melakukan jaringan namun buat masa ini, nasib belum menyebelahi saya," kata pemain kelahiran Leeds, England itu.


Folan yang memiliki beberapa peluang keemasan menjaringkan gol ketika menentang Johor Darul Takzim, Sabtu lalu, berkata dia juga hairan kerana masih gagal melakukan jaringan setakat ini.

"Kalau semasa perlawanan persahabatan pra-musim, saya mampu menjaringkan beberapa gol tapi selepas liga sebenar bermula, semua yang saya lakukan tidak menjadi walaupun dihidang peluang yang bagus." Sementara itu, jurulatih Peter Butler masih meyakini kemampuan Folan yang dianggapnya mempunyai kebolehan menjaringkan banyak gol.


"Buat masa ini, dia masih tercari-cari gol pertama tapi saya percaya, dia mampu melakukan lebih banyak jaringan selepas menghasilkan gol sulung.

"Kami harap peluang untuknya meledakkan gol tiba pada perlawanan menentang Felda United kerana itu akan membantunya mendapat lebih keyakinan bagi mengharungi perlawanan akan datang," katanya.


Butler yang bangga dengan persembahan anak buahnya ketika menentang Johor Darul Takzim meskipun tewas tipis 0-1 berkata, pemain pertahanan, Nuraliff Zainal Abidin yang mengalami kecederaan kepala di Johor Bahru disahkan cergas untuk diturunkan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Mat Yo, Safee perlu bangkit

Posted:

Usah terlalu bergantung kepada Daniel Guiza untuk menjaringkan gol. Itu kata pengendali Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad yang menuntut pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali bangkit dari aksi malap bagi memastikan skuad Harimau Selatan mengatasi LionsXII pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Selepas mengharungi enam perlawanan, Norshahrul Idlan yang kerap diturunkan dalam kesebelasan utama masih tercari-cari sentuhan penyudah biarpun sudah meledakkan dua gol namun tidak mencukupi selaku Pemain Paling Bernilai tiga musim berturut-turut.


"Saya mahu mereka yang berstatus pemain kebangsaan membuktikan kewibawaan sebenar dan mula menjaringkan gol dan bukannya menyerahkan tugas itu kepada Guiza kerana sebagai pemain yang beraksi dalam satu pasukan, mereka perlu ada kerjasama dan bijak ambil kesempatan mencipta gol.

"Pemain harus fokus menentang LionsXII memandangkan pasukan lawan yang diketuai kapten Shahril Ishak bijak mencorak permainan manakala penyerang, Fazrul Nawaz cukup berbisa apabila berada dalam kotak penalti jika pertahanan tidak menyekat pergerakannya.


"Kita perlu menang apabila beraksi di laman sendiri dan mesti mengelak daripada keciciran mata yang pasti mengundang kerugian jika mahu terus kekal dalam kelompok teratas liga dan saya akan tentukan pemain yang akan beraksi sebelum perlawanan bermula," katanya.


Fandi juga menuntut kesebelasan utama beraksi 110 peratus dan mengekalkan momentum dengan corak taktikal berkesan dan bukan hanya beraksi baik pada babak pertama tapi hilang arah pada babak kedua.

Katanya, posisi tengah harus lebih kreatif menjana gerakan bagi memastikan setiap perancangan ketika melancar serangan tidak disekat lawan.


"Apa yang ditekankan lebih kepada corak permainan tersusun dan elak kelekaan berulang ketika menentang T-Team dan saya juga mahu pemain menghabiskan perlawanan 95 minit dan bukannya 90 minit bagi memastikan lawan tiada ruang bergerak."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

No comments:

Post a Comment