Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Seri lebih baik

Posted:

Doha: Kekalahan 0-2 di tangan Qatar semalam pastinya bukan penamat kempen kelayakan Piala Asia 2015 buat skuad kebangsaan, namun ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal mengaku nasib mereka untuk melepasi halangan peringkat Kumpulan D pasti lebih baik jika dapat mencuri sekurang-kurangnya satu mata ke atas pasukan pilihan itu.

Bagi Rajagobal, dengan kesungguhan dipamer anak buahnya pada aksi pertama di Stadium Jassim Bin Hamad Doha itu, mereka sepatutnya tidak pulang tangan kosong.


"Melihat kepada aksi perlawanan tadi (semalam), kami sepatutnya membuat kejutan mungkin sekurang-kurangnya meraih satu mata.

"Qatar dan Bahrain pasukan pilihan untuk layak daripada kumpulan ini tapi kita akan lihat selepas ini. Kedudukan pasti berubah jika kami meraih keputusan seri hari ini (semalam)," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan itu semalam.


Tanpa tujuh pemain tonggak termasuk, kapten Safiq Rahim, Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, barisan pemain seperti Mohd Amri Yahyah, Mohd Shakir Saari, Mohamad Ashaari Samsudin, Azamuddin Mohd Akil dan K Reuben yang dianggap pemain 'skuad kedua' sebelum ini membuktikan mereka wajar diberi lebih peluang atas kesungguhan dalam aksi menentang Qatar.


Malah aksi pemain pertahanan kanan, Mahali Jasuli yang bermain di posisi tengah bersama Shakir juga harus dipuji kecuali kesilapannya yang memberikan sepakan percuma yang menghasilkan gol pertama Qatar.

Walaupun Qatar tampak lebih baik berbanding Harimau Malaya namun mereka terpaksa mengharapkan gol sepakan percuma Khalfan Ibrahim yang terbias pemain pertahanan negara pada minit ke-54 serta jaringan lewat permainan Yusef Ahmed untuk merekod kemenangan 2-0.


Kekalahan itu menyebabkan Malaysia kini menduduki tangga ketiga manakala Yaman yang tumpas 0-2 kepada Bahrain di tangga tercorot juga tanpa sebarang mata.

Tiga mata yang dikutip pada perlawanan pertama membolehkan Qatar dan Bahrain menduduki dua tempat teratas kumpulan.


Selepas ini Harimau Malaya bakal berdepan Yemen di Stadium Shah Alam pada 22 Mac dan hanya kemenangan akan mencerahkan peluang untuk meneruskan kempen merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.


"Kami perlu fokus kepada satu-satu perlawanan, sekarang untuk mendapat peluang (layak), kita perlu mendapat keputusan baik menentang Yemen di tempat sendiri. Qatar akan menentang Bahrain, salah satu daripada pasukan itu akan kalah atau seri dan perlu positif," kata Rajagobal yang menetapkan misi utama membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2015.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

Nadal pamer aksi bertenaga

Posted:

Vina del Mar, Chile: Rafael Nadal melakukan kemunculan semula dalam acara perseorangan selepas rehat tujuh bulan dengan mengalahkan pemain pusingan kelayakan, Federico Delbonis 6-3, 6-2 pada pusingan kedua kejohanan gelanggang tanah liat ATP, semalam.

"Saya gembira bermain perlawanan perseorangan selepas sekian lama," kata Nadal. "Saya perlukan masa mengembalikan semula permainan tapi setakat ini perasaan berada di gelanggang amat hebat.


"Paling penting menghabiskan banyak masa di gelanggang. Kemenangan ini memberikan saya peluang bermain sekurang-kurangnya dua lagi perlawanan, perseorangan dan beregu." Juara 11 Grand Slam dari Sepanyol itu tidak beraksi sejak mengalami kekalahan mengejut pada pusingan kedua Wimbledon Jun lalu sekalipun dia memanaskan badan di sini kelmarin dengan kemenangan acara beregu.

Tendon terkoyak dan radang lutut kiri menyebabkannya terlepas aksi Sukan Olimpik London dan Terbuka AS 2012 manakala jangkitan virus menangguhkan kemunculan semulanya tahun ini.


Permainan berkarat ditunjukkan Nadal, kini di ranking kelima dunia, selepas servisnya dirampas pada permainan pertama perlawanan itu dan ketinggalan 0-2 di tangan pemain kidal Argentina itu.


Namun dia bangkit bergaya mengatasi Delbonis, pemain ranking ke-128, merampas semula servis pada permainan keempat dan melakukannya sekali lagi pada permainan kelapan sekali gus memberikannya peluang melakukan servis untuk menamatkan set pembukaan itu.

Dia mendahului selesa 4-0 pada set kedua, bergerak dengan licik di gelanggang tanah liat itu walaupun apabila meluru ke jaring selepas pukulan drop. Dia menamatkan perlawanan selepas 87 minit dengan empat servis ace dan berdepan hanya satu mata 'break'.


Pada suku akhir, dia berdepan pemenang pertemuan rakan senegara, Albert Montanes dan Daniel Gimeno-Traver. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

Masalah brek hantui Hamilton

Posted:

Jerez, Sepanyol: Lewis Hamilton mengalami masalah brek pada hari pertama mengemudi jentera Mercedes namun terselamat daripada kemalangan lebih buruk.

Juara dunia 2008 berusia 28 tahun itu, terbabas di Litar Jerez pada pusingan ke-15 dan menghentam penghadang tayar selepas beberapa ketika sebelum itu mencapai tahap kelajuan antara 260ksj dan 300ksj.


"Saya menekan brek dan sekelip mata ia tidak berfungsi. Pedal ditekan tapi tiada apa yang berlaku dan saya hanya menanti kesannya," kata Hamilton selepas kemalangan yang berlaku pada hari kedua ujian pramusim itu.

"Saya masih hidup. Saya berdepan banyak pengalaman seperti ini. Di Nurburgring, roda tertanggal dan ia lebih menyakitkan. Ada banyak kemalangan seperti ini dan saya sentiasa bangkit semula." Seorang lagi pemandu Mercedes, Nico Rosberg yang hanya mampu melengkapkan 14 pusingan sebelum berhenti kerana masalah teknikal menyebabkan kebakaran kecil pada ujian hari pertama Selasa lalu, memutuskan untuk tidak turun ke litar kelmarin.


Rosberg meneruskan ujian semalam manakala Hamilton dijangka kembali hari ini.


Di sebalik kemalangan itu, Hamilton masih mencatat masa keenam terpantas dengan satu minit 19.519 saat.

Pemandu Lotus, Romain Grosjean muncul pemandu terpantas apabila melakar 1:18.218s selepas 94 pusingan diikuti Paul di Resta dari Force India dan Daniel Ricciardo yang memandu Toro Rosso ketiga terpantas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

Cipta sejarah!

Posted:

Kuala Lumpur: Sekolah Sukan Seri Titiwangsa Kuala Lumpur (SSSTKL) mencipta sejarah apabila menjadi sekolah sukan pertama menjadi pusat sukan taekwondo.

Usaha itu menjadi kenyataan selepas Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani antara Pengetua SSSTKL, Nik Anuay Abdullah dan Presiden Persatuan Taekwondo Kuala Lumpur, Mej Jen (B) Datuk Khairuddin Abu Bakar, baru-baru ini.


Buat permulaan, seramai 30 pelajar, 15 lelaki dan 15 perempuan, sudah berdaftar mengikuti latihan intensif ini. Semua pelajar ditempatkan di asrama SSSTKL untuk mengikuti latihan enam kali seminggu. TKL juga membekalkan tenaga pengajar membabitkan mereka yang pernah mencipta nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti R Selvamuthu, Thilagawathy Avandai Thevar dan Lee Wan Yuen. Nik Anuay mengalu-alukan usaha TKL melatih pelajar mereka sebagai persediaan menghadapi kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSM) dan SUKMA 2014.

"Walaupun taekwondo bukan antara lima sukan dikenal pasti Kementerian Pelajaran Malaysia untuk dimajukan tetapi saya yakin sukan ini patut diwujudkan di semua sekolah demi memupuk semangat pelajar," katanya.


Khairuddin pula berkata, dengan termeterainya perjanjian itu, TKL akan memberi sokongan penuh untuk memastikan pelajar sekolah itu meraih beberapa pingat emas dalam kejohanan disertai di samping memupuk semangat jati diri jitu, setiakawan dan disiplin tinggi. "Kami harap SSSTKL dapat mengembangkan sukan taekwondo di kalangan pelajar di samping banyak lagi perjanjian seperti itu dapat diwujudkan antara sekolah sukan dengan kelab taekwondo di masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

SMK Syed Hassan jaguh badminton

Posted:

Kangar: Pemain Sekolah Sukan Negeri (SSN), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, Kangar yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Negeri Perlis (PBNPs) mengungguli lima kategori utama Kejohanan Badminton Remaja Tertutup Perlis 2013 di Kangar, baru-baru ini.

Kejohanan siri pertama 2013 anjuran PBNPs dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di Dewan Badminton Perlis, Jalan Panglima, Kangar itu disertai lebih 400 peserta seluruh negeri.


Lima kategori utama diungguli pelajar SSN/PBNPs pada kejohanan itu ialah perseorangan dan beregu lelaki Bawah 17 Tahun (B-17), perseorangan dan beregu lelaki B-15 dan perseorangan wanita B-15.

Bagaimanapun, kategori perseorangan wanita B-17 menyaksikan kehebatan peserta Kolej Vokasional (KV) Arau yang dinobat juara.


Kejuaraan kategori perseorangan lelaki B-17 diraih Reza Rozain (SSN/PBNPs) selepas mengenepikan cabaran rakannya, Amir Syazwan Al-Razi di final, 17-21, 24-22, 21-16.


Manakala kategori beregu lelaki B-17 menyaksikan kombinasi Amir-Chang Yee Siang dinobat juara apabila mengatasi gandingan SSN/PBNPs, Mohamad Ajmal Anaqi-Reza, 21-9, 21-11.

Kategori perseorangan lelaki B-15 pula dimenangi pilihan pertama dari SSN/PBNPs, Ch'Ng Xue Yang selepas menewaskan rakannya, Yee Bing Xian, 21-13, 22-20.


Gandingan pilihan pertama SSN/PBNPs, Xue Yang/Ooi Ping Yuan pula menjuarai kategori beregu lelaki B-15 selepas mengatasi Farhan Fikri Abd Halim-Bing Xian (SSN/PBNPs), 21-19, 21-17.

Kejuaraan kategori perseorangan wanita B-15 milik Shifa Humaira Humaidillah (SSN/PBNPs) selepas mengatasi Khadijah Isa dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Ali, 21-9, 21-12.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

Tekad julang trofi

Posted:

Melaka: Walaupun gagal layak ke separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Sekolah Sukan Kebangsaan di Melaka, baru-baru ini, pasukan Bawah 16 Tahun (B-16) Sekolah Menengah Seri Kota, Air Leleh, Melaka bertekad mencipta kejayaan pada saingan 2013 yang dijadual berlangsung pertengahan Jun ini.

Penyelaras Sukan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, Kamarudin Othman tidak bimbang kerana pasukan itu yang menyenaraikan muka baru berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan tapi gagal mara lebih jauh.


"Tahun ini, skuad itu lebih mantap selepas semua pemain didedahkan pada kejohanan sama tahun lalu.

"Saya yakin majoriti pemain yang kini mencecah usia 16 tahun mampu menyerlah pada kejohanan tahun ini selepas menunjukkan peningkatan pada sesi latihan," katanya.


Selain sukan itu, atlet olahraga, bola sepak dan sepak takraw turut diyakini mampu mencapai kejayaan lebih membanggakan.


"Saingan olahraga dan sepak takraw bakal membabitkan pertarungan B-16 dan 14, bola sepak (13) dan bola jaring (16).

"Sebanyak 15 kontinjen bakal menyajikan persembahan terbaik bagi merebut kejuaraan.


"Kejohanan terbabit juga pentas membentuk dan melahirkan pelapis atlet Sukan Malaysia (Sukma) negeri."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

SSTMI lebur impian UniKL

Posted:

Kuala Lumpur: Hasrat UniKL Young Guns menafikan kejuaraan liga kedua berturut-turut Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Thunderbolt) lebur selepas tewas tipis 3-4 pada perlawanan terakhir Liga Hoki Remaja Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi mencatat kemenangan kerana keputusan seri hanya memberi laluan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merangkul kejuaraan liga buat kali pertama.


"Pada awal permainan, peluang UniKL lebih cerah kerana mereka mempunyai masa rehat lebih lama.

"Tetapi saya tetap minta setiap pemain untuk fokus dan pada lima minit terakhir, pemain berjaya menyerap tekanan lawan. Inilah kunci kejayaan mereka," kata jurulatih SSTMI, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman. UniKL di bawah bimbingan bekas pemain negara, K Embaraj begitu bersemangat untuk menghancurkan impian SSTMI apabila di depan seawal minit keenam menerusi gol padang Muhammad Azrul Hasbullah.


Bagaimanapun, SSTMI tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Azril Misron pada minit ke-14 sebelum di depan pada minit ke-27 menerusi jaringan Amir Zulkarnain A Robangi. Gol itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pemain mereka, M Najmi Farizal Jazlan melakukan kesilapan dengan menjaringkan gol sendiri sekali gus menyaksikan kedudukan terikat 2-2.


Azril menebus kesilapan rakan sepasukannya itu dengan menjaringkan gol ketiga SSTMI pada minit ke-31 hasil gerakan pukulan sudut penalti.

Bersambung babak kedua, UniKL sekali lagi mengikat kedudukan apabila Muhd Syafiq Zulzairin menjaringkan gol pada pada minit ke-38.


Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Amir Zulkarnain muncul wira SSTMI apabila menjaringkan gol kemenangan empat minit sebelum tamat perlawanan menerusi pukulan sudut penalti.

"Kami tidak akan berputus asa dan akan cuba membalas dendam pada saingan kalah mati," kata Embaraj.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

Safee kembali berlatih

Posted:

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad tampak lega dengan perkembangan terkini penyerang sensasi, Safee Sali yang sudah mula menjalani latihan selepas mengalami kecederaan serius hingga terlepas aksi bersama skuad Harimau Malaya mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Doha, Qatar.

Menurut Fandi, penyerang kebangsaan itu sudah mula melakukan larian bagi memulihkan tahap kecergasan selain berlatih di gimnasium di bawah pengawasan pegawai fisioterapi namun hanya terbabit program latihan ringan untuk mengelak kecederaan berulang.


Katanya, Safee akan pulih sepenuhnya dalam masa seminggu lagi dan pengawasan untuk memastikan dia sedia diturunkan pada saingan Liga Super bersambung 16 Februari ini dilakukan begitu rapi mengikut jadual ditetapkan pegawai fisioterapi.

Pada aksi persahabatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, kelmarin, skuad Harimau Selatan mudah menjinakkan kelab Liga Singapura (Liga S), Warriors FC yang dahulunya dikenali Singapore Armed Forces, 3-0 tanpa kelibat Safee dan Norshahrul Idlan Talaha "Ia petanda positif apabila Safee sudah mula berlari dan saya yakin dia akan pulih sepenuhnya sebelum saingan liga disambung namun jika dia belum ada keyakinan untuk beraksi, saya tidak mahu ambil risiko memandangkan saingan liga begitu panjang dan tahap kecergasan pemain harus dijaga," katanya.


Menurutnya, Norshahrul juga mengalami kecederaan tapi sudah pulih dan akan disenaraikan pada aksi persahabatan menentang Young Lions, di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam esok manakala Simone Del Nero yang sudah bersama Johor Darul Takzim masih belum cergas sepenuhnya selepas kembali mendapat rawatan di Itali, baru-baru ini.


Mengulas sama ada ketiadaan beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan mengganggu rancangan membentuk barisan mantap tatkala beraksi pada empat perlawanan persahabatan sepanjang tempoh rehat hampir tiga minggu, Fandi mengaku senario itu menjejaskan percaturannya.

"Kami hanya tinggal kurang dari seminggu sebelum saingan liga bersambung tapi usaha mencari persefahaman terbaik pemain tampak positif hasil kombinasi taktikal semua posisi.


"Umpanan juga tidak lagi tersasar dan barisan tengah kerap mendominasi permainan dengan hantaran bola pendek. Ia satu perkembangan positif dan saya perlu perbaiki sedikit lagi kelemahan bagi memantapkan pasukan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

Dollah utamakan tenaga tempatan

Posted:

Kuantan: Jurulatih Pahang, Dollah Salleh tidak menolak kemungkinan mengekalkan pemain tempatan yang membantu skuad kendaliannya berada di persada liga apabila Liga Super kembali bersambung 16 Februari ini.

Beliau berkata, prestasi dan komitmen pemain tempatan kini berada pada tahap terbaik dan tidak mustahil kudrat mereka terus ditagih.


Menurutnya, jika prestasi pemain tempatan lebih baik berbanding import, tiada yang perlu diubah kerana prestasi pasukan harus diutamakan.

"Saya puas hati dengan prestasi pemain tempatan yang berjaya meletakkan pasukan pada kedudukan terbaik liga. Sudah pasti jika mereka bagus, saya akan terus kekalkan kesebelasan sedia ada.


"Bagaimanapun, jika ada perubahan prestasi pemain import, mereka mungkin berpeluang disenaraikan dalam kesebelasan utama," katanya.


Sebelum ini, dua pemain import Pahang, Nikolche Klechkaroski dan Mohamed Borji dikecam peminat kerana mempamerkan aksi longlai dan setakat lima perlawanan Liga Super, kedua-duanya masih belum bermain sepenuh masa.

Keadaan itu memaksa Dollah menurunkan pemain tempatan dan hasilnya, Pahang kini menduduki tangga teratas liga.


Mengulas kemenangan 5-1 ke atas KL Pos pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh kelmarin, Dollah berkata, kemenangan itu membuktikan prestasi skuadnya amat meyakinkan.

"Tahniah kepada pemain kerana memenangi perlawanan persahabatan itu. Ahad ini, Pahang akan bertemu Sime Darby FC pada aksi persahabatan terakhir sebelum bertemu Lions XII di Stadium Jalan Besar, 16 Februari." Pada perlawanan menentang KL Pos, Abdul Malik Mat Ariff menjaringkan dua gol manakala bakinya disumbangkan Klechkaroski, R Gopinathan dan Amirulhadi Zainal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

Perak tak cadang ganti Bodjongo

Posted:

Ipoh: Perak tidak bercadang mengambil khidmat awang import musim lalu, Albert Bodjongo bagi menggantikan Karim Rouani semasa tingkap perpindahan Liga Super 2013 dibuka April ini.

Penolong pengurus dan Naib Presiden 2, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Ishsam Shahruddin menyangkal spekulasi mengenai pengambilan pemain Cameroon itu.


"Berita itu tidak benar. Pengurusan pasukan tidak berminat mengambil Bodjongo kembali. Kami mempertahankan saranan pengurusan lalu supaya kontrak Bodjongo tidak disambung.

"Tidak timbul soal mengambil semula khidmat pemain yang sudah disingkir itu," katanya.


Ishsam membuat penjelasan itu kerana tidak mahu berlaku salah faham hingga menyebabkan Karim berkecil hati dan terkilan.


Isu menukar pemain itu timbul berikutan kekecewaan sesetengah pihak terhadap penyerang kelahiran Perancis itu yang gagal memberi sumbangan kepada pasukan sejak Liga bermula 8 Januari lalu kerana mengalami kecederaan.

Peminat Seladang jelas kecewa kerana Perak pada awal musim dilanda krisis kecederaan meruncing hingga menjejaskan persembahan pasukan dalam lima perlawanan serta tersingkir awal dari Piala FA.


Bagaimanapun suasana sudah berubah dengan Karim serta rakan lain seperti Shahrulnizam Mustapa, S Chanturu dan V Thirumurgan sudah pulih dan kini menjalani latihan bersama pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

No comments:

Post a Comment