Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Api dari bilik tidur

Posted:

Kuala Lumpur: Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas unit pangsapuri mereka di Sentul Murni Blok 209 tingkat 12, Taman Dato Senu yang disewa sejak 10 tahun lalu musnah dalam kebakaran, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, kebakaran dipercayai bermula dari bilik tidur dan disedari jiran yang kemudian menjerit memaklumkan kebakaran berkenaan sebelum semua ahli keluarga terbabit bergegas keluar menyelamatkan diri. Penghuni di tingkat bawah unit itu turut keluar menyelamatkan diri bagi mengelak kejadian tidak diingini.


Mangsa, Azami Yusof, 37, berkata, dia mengetahui rumahnya terbakar jam 11.45 pagi selepas dihubungi kakaknya yang tinggal di tingkat 11.

Menurutnya, sebaik mendapat berita itu, dia bergegas pulang sebelum mendapati bomba memadamkan kebakaran.


"Kebakaran itu menyebabkan semua barangan dalam rumah musnah dan gagal diselamatkan namun bersyukur kerana isteri dan dua anak saya sempat menyelamatkan diri.


"Saya diberitahu api mula merebak dari bilik tidur namun tidak mengetahui bagaimana punca kebakaran itu berlaku," katanya ketika ditemui.

Foto

ANGGOTA bomba memecahkan siling rumah berhampiran bagi mengelak api merebak.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.43 pagi dan tiba di tempat kejadian 13 minit kemudian bersama enam jentera dan 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Titiwangsa, Gombak Selatan dan Hang Tuah. Menurutnya, api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 12.56 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


"Malah, tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan sebuah lagi rumah bersebelahan dengan kediamannya.

"Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sentul Muzammir Mohd Salim berkata, kerja memadam kebakaran pada mulanya berlaku sedikit masalah apabila pili bomba yang ditempatkan di pangsapuri berkenaan tidak berfungsi angkara vandalisme.


"Kami menggunakan tangga ke tingkat 12 bersama hos pili bomba bagi memadamkan kebakaran dan berjaya mengawal api walaupun pada mulanya berdepan kesukaran.


"Sehubungan itu, saya berharap masyarakat lebih peka dan sepatutnya pili bomba di pangsapuri ini perlu berada dalam keadaan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Lihat permukaan matahari di Planetarium Negara

Posted:

Kuala Lumpur: Orang ramai berpeluang melihat permukaan matahari menerusi teleskop sempena ulang tahun Planetarium Negara Khamis ini.

Dalam satu kenyataan, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) berkata, buat pertama kali Planetarium Negara membuka Balai Cerap kepada umum untuk melihat keadaan itu.


"Permukaan matahari boleh dilihat menggunakan teleskop robotik C14 bersaiz 14 inci yang pertama di Malaysia," katanya.

Sempena sambutan ulang tahun itu, turut diadakan tayangan filem sains fiksyen terbaru bertajuk 'Journey To The Star' dan 'Across The Universe:The Voyager Show', selain syarahan umum mengenai sains angkasa dan informasi berkenaan fenomena angkasa yang akan berlaku tahun ini.


Orang ramai dijemput menyertai sambutan ulang tahun itu bermula jam 9 pagi hingga 4.30 petang. — BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

SYABAS nafi gagal selenggara pam

Posted:

Kuala Lumpur: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menafikan dakwaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bahawa kejadian hakisan dan tanah runtuh di Taman Mega Jaya, Ampang, berpunca daripada kegagalan pihaknya menyelenggara rumah pam di lokasi berkenaan.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata, siasatan menyeluruh yang dijalankan pada 11 Januari lalu mendapati tiada rumah pam di lokasi berkenaan sebaliknya hanya loji simpanan air bagi kegunaan pengguna di Taman Mega Jaya dan kawasan sekitar.


Selain itu, beliau menafikan terdapat kebocoran pada loji berkenaan yang menyebabkan air dari loji terbabit mengalir mengakibatkan gangguan pada struktur tanah serta berlaku hakisan dan tanah runtuh.

"SYABAS turut mendapati hakisan tanah yang berlaku di luar kawasan loji air terbabit serta berdekatan longkang besar yang diselenggara MPAJ.


"SYABAS juga ingin menekankan bahawa kawasan loji air ini juga dilengkapi saluran longkang dalaman bertujuan untuk menyalurkan air hujan keluar ke longkang besar di kawasan luar kolam yang diselenggara pihak MPAJ," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.


Pada 11 Januari lalu, akhbar melaporkan MPAJ mendakwa kejadian hakisan dan tanah runtuh yang berlaku di kawasan bukit di Taman Mega Jaya, Ampang adalah disebabkan kegagalan SYABAS menyelenggara serta terdapat kebocoran di rumah pam SYABAS di sana.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kejadian yang berlaku bukan di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa SYABAS sebaliknya pihak MPAJ. — BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Geng Heng Tai tumpas

Posted:

Kuala Lumpur: Dua beradik dan seorang sepupu mereka yang dikenali sebagai Geng Heng Tai yang aktif mencuri dan menjual semula kereta curi itu pada harga murah tumpas selepas mereka ditahan dalam sebuah kereta di PPR Desa Petaling, di sini 22 Januari lalu.

Hasil penahanan semua mereka melalui Ops Lejang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras diketuai Asisten Superintendan Ong Seng Keong, polis turut menemui lima kereta curi.


Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata kumpulan terbabit dipercayai aktif mencuri kereta di Lembah Klang dan kereta yang dicuri itu kemudian dijual semula kepada pelanggan tertentu pada harga murah.

"Polis turut menemui sebatang kunci Allen yang diubah suai untuk memudahkan mereka membuka kunci kereta disasarkan sebelum melarikannya.


"Selain itu, kami turut menemui alat pengikir untuk membentuk kunci, serangkai kunci pelbagai jenis kereta, dua kunci jenis Toyota dan Nissan serta sebilah parang.


"Hasil soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek itu membawa kepada penemuan lima kenderaan Proton Waja, Proton Iswara, Honda City dan Honda Jazz yang dipercayai belum dijual kepada pelanggan.

"Semua kenderaan ini dipercayai dijual pada harga kurang 50 peratus daripada harga pasaran bagi menarik pelanggan dan dengan penahanan tiga ahli geng Heng Tai ini, polis berjaya menyelesaikan 17 kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lalu," katanya.


Beliau berkata, nilai rampasan semua kenderaan itu dianggarkan kira-kira RM250,000 dan tiga suspek itu ditahan reman hingga 9 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Isteri curang depan mata

Posted:

Petaling Jaya: Bukan sekadar curang, malah seorang wanita turut nekad mengacukan pisau serta mengugut untuk membunuh suaminya sejurus dia dicekup ketika asyik berasmara dengan lelaki lain di rumahnya di Desa Mentari, di sini, pagi kelmarin.

Itu perlakuan terlampau isteri berusia 38 tahun yang juga ibu kepada lima anak terhadap suaminya yang dikahwini selama 18 tahun lalu.

Sumber polis berkata, kejadian bermula kira-kira jam 6 pagi ketika suami wanita itu, seorang kontraktor berusia 41 tahun, baru tiba di rumahnya selepas menyelesaikan urusan kerja di luar kawasan.

Menurutnya, sebaik membuka pintu rumah, lelaki itu terkejut mendapati isterinya berada dalam keadaan mengaibkan bersama seorang lelaki tidak dikenali di ruang tamu.


"Berikutan itu berlaku pertengkaran antara suami isteri terbabit sebelum kekasih kepada wanita itu turut masuk campur dan mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan termasuk mahu membunuh kontraktor itu," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

No comments:

Post a Comment