Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Tiada layanan istimewa'

Posted:

Kuala Lumpur: Tiada 'layanan istimewa' akan diberikan oleh jurulatih Ong Kim Swee kepada Muhamad Nazmi Faiz Mansor sebaliknya pemain muda berbakat yang membuat keputusan mengejut pulang ke tanah air dari Portugal untuk menyarung jersi PKNS FC itu perlu berada pada prestasi terbaik jika mahu berada dalam skuad bawah 23 tahun negara (B-23) ke Sukan Sea Myanmar hujung tahun ini.

Sikap 'tidak pilih bulu' pengendali negara itu pastinya satu cabaran buat Nazmi, 19, yang terpaksa menunggu sehingga April ini untuk membuat penampilan bersama pasukan Liga Super itu selepas meninggalkan kelab SC Beira-Mar.


Kim Swee berkata, prestasi Nazmi akan dinilai sama seperti pemain luar yang tidak mewakili Harimau Muda A dan buat masa ini tiada perancangan untuk menyenaraikan pemain tengah itu bersama skuadnya bagi perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Myanmar di Yangon, 22 Februari ini dan ke Slovakia selama lima bulan bermula 15 Mac depan.

"Buat masa ini, Nazmi tiada dalam perancangan ke Yangon dan Slovakia kerana saya difahamkan statusnya kini sedang dirujuk oleh Jawatankuasa Status FAM. "Dia sekarang sudah menjadi hak milik kelab PKNS, jadi segala keputusan perlu merujuk kepada PKNS terlebih dulu kerana dia bukan pemain Harimau Muda. Bagi saya mudah, jika dia mempamerkan permainan yang baik, sudah pasti saya akan memanggilnya untuk menyertai skuad ke Sukan Sea.


"Tapi untuk mendapat penilaian itu, dia haruslah beraksi dalam kesebelasan utama pasukannya setiap minggu, sama dengan pemain luar yang lain seperti K Reuben (ATM), Nik Shahrul Azim Abd Halim (Kelantan) dan Zubir Azmi (Terengganu). Saya tidak akan memberikan layanan istimewa kepada mana-mana pemain, semua pemain akan dinilai berdasarkan prestasi semasa," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Nazmi yang mengikat kontrak tiga tahun bersama PKNS tidak dibenarkan beraksi apabila kempen Liga Super kembali bersambung Jumaat ini selepas permohonan pihak pengurusan kelabnya ditolak oleh FAM.

Foto

Muhamad Nazmi Faiz Mansor

Buat masa ini pemain kelahiran Kuala Lumpur yang menjadi tonggak skuad B-23 negara mempertahankan pingat emas Sukan Sea Jakarta 2011 itu hanya menjalani latihan bersama PKNS di bawah kendalian Abdul Rahman Ibrahim sehingga jendela perpindahan pemain dibuka pada April depan.


Dalam pada itu, skuad Harimau Muda A akan kembali menyambung latihan hari ini selepas diberikan cuti lima hari selepas pulang dari Australia Khamis lalu bagi persiapan menghadapi Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Barca 'makan besar'

Posted:

Madrid: Lionel Messi meledak jaringan ke-35 musim ini ketika membantu skuad tempang Barcelona membelasah Getafe 6-1 di laman sendiri kelmarin bagi membolehkan mereka 12 mata mengatasi Atletico Madrid di puncak La Liga.

Alexis Sanchez dan David Villa yang jarang berada dalam kesebelasan utama meledak gol pada setiap babak selain Messi, Andres Iniesta, Cristian Tello dan Gerard Pique turut berada dalam senarai penjaring ketika Barca mencatatkan kemenangan ke-20 dalam 23 perlawanan untuk mengumpul 62 mata.


Atletico yang kecewa tewas 1-2 kepada Rayo Vallecano kelmarin kekal dengan 50 mata, empat mata mengatasi pasukan di tempat ketiga Real Madrid yang membelasah Sevilla 4-1 di Bernabeu pada Sabtu menerusi hatrik Cristiano Ronaldo.

"Kami tidak akan mengulangi semua pujian yang kami berikan terhadap dia (Messi)," kata Pengarah Sukan Barca, Andoni Zubizarreta dalam sesi temuramah bersama stesen televisyen Sepanyol, Canal Plus.


"Alexis dan Villa memberikan kelajuan permainan kepada kami dan mencipta peluang dan membuktikan mereka kekal hebat," kata bekas penjaga gol Barca dan Sepanyol itu.


"Sesetengah pemain yang jarang beraksi sangat mengagumkan." Pengendali sementara Barca, Jordi Roura yang menggantikan Tito Vilanova yang masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan tekak merehatkan beberapa pemain utama bagi menghadapi kunjungan Getafe ke Nou Camp termasuk tiga pemain Sepanyol iaitu Pedro, Cesc Fabregas dan Sergio Busquets.

Mereka turut kehilangan perancang tengah, Xavi kerana kecederaan dengan Thiago Alcantara dan Iniesta menggerakkan jentera tengah selepas ketiadaan rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan Sepanyol itu.


"Tiada apa yang boleh diperkatakan tentang perlawanan, kami cuma perlu melupakannya dan memikirkan perlawanan seterusnya," kata jurulatih Getafe, Luis Garcia dalam sidang media.

"Tidak banyak yang dapat anda lakukan kerana tidak berpeluang memegang bola," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Aksi pertama Beckham

Posted:

Paris: David Beckham berkemungkinan besar akan beraksi untuk Paris St Germain buat kali pertama apabila pendahulu Ligue 1 itu menentang musuh tradisi, Olympique Marseille pada Ahad depan, kata jurulatihnya Carlo Ancelotti semalam.

Bekas kapten England itu menyertai kelab Perancis itu sebagai pemain bebas bulan lalu namun perlu meningkatkan tahap kecergasannya sebelum mencabar tempat dalam skuad utama.


Ketika ditanya sama ada Beckham akan cergas sepenuhnya untuk disenaraikan, Ancelotti memberitahu akhbar harian Perancis, L'Equipe: "Saya fikir mungkin ketika menentang Marseille.

"Kami akan melihat beberapa hari selepas ini namun mungkin masa terlalu singkat untuknya bagi perlawanan menentang Sochaux (minggu ini)." -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Balotelli penyelamat Milan

Posted:

Milan: Penyerang sensasi, Mario Balotelli meneruskan persembahan hebat dalam penampilan semula di Serie A apabila meledak penalti lewat perlawanan untuk menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut bagi membolehkan kelab barunya, AC Milan terikat 1-1 di Cagliari.

Penyerang Itali itu mendapat penalti selepas dijatuhkan Davide Astori dan memperdayakan Michael Agazzi yang merebahkan badan ke arah bertentangan untuk meledak jaringan ketiga dalam dua perlawanan sejak meninggalkan Manchester City untuk pasukan di tempat kelima Serie A itu.


Astori, yang sudah dilayangkan kad kuning kerana mengasari Balotelli sebelum itu, dibuang padang ketika permainan Cagliari semakin merosot pada babak kedua selepas mendominasi 45 minit pertama dan mendahului menerusi tandukan Victor Ibarbo.

Jurulatih Milan, Massimiliano Allegri menggambarkan keputusan itu sebagai "mata yang berguna menentang pasukan yang bagus".


"Hari ini kami mempunyai empat pemain yang lahir pada 1992 berada di atas padang," katanya.


Palermo dan AS Roma, yang memecat jurulatih mereka selepas tewas perlawanan terdahulu, gagal meraih kemenangan namun Inter Milan menewaskan Chievo 3-1 untuk meredakan tekanan kepada jurulatih Andrea Stramaccioni. Pablo Osvaldo terlepas sepakan penalti untuk Roma ketika mereka tewas 1-3 kepada Sampdoria sekali gus menyaksikan kelab itu masih gagal meraih sebarang kemenangan dalam liga musim ini.

Juventus yang menewaskan Fiorentina 2-0 pada Sabtu berada di puncak liga dengan 55 mata, meninggalkan Napoli dengan lima mata selepas pesaing itu sekadar terikat 1-1 menentang pasukan di tempat ketiga, Lazio.


Perlawanan Milan akhirnya berlangsung di Is Arena, Sardinian selepas ditukar ke Turin kerana alasan keselamatan dan kemudian kembali ke Cagliari minggu lalu.

Tuan rumah mempunyai peluang yang lebih baik pada separuh masa pertama dan mendahului menerusi penyerang Columbia, Ibarbo yang menanduk masuk bola sepak percuma.


Milan mengawal babak kedua dan jaringan akhirnya menjelma selepas Agazzi menafikan rembatan Robinho dengan kakinya dan Balotelli dikasari apabila cuba menanduk masuk bola itu.


Balotelli menjaringkan penalti kontroversi pada penghujung masa kecederaan untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Udinese seminggu lalu namun keputusan kali ini jelas dengan Astori menjatuhkannya walaupun mendapat bantahan tuan rumah. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Nadal kecundang

Posted:

Vina Del Mar, Chile: Horacio Zeballos menafikan mimpi dongeng Rafael Nadal yang kembali beraksi dalam kejohanan kelmarin, apabila menewaskan pemain Sepanyol itu di kejohanan ATP tanah liat bernilai AS$410,200 (RM1.271 juta), semalam.

Zeballos, ranking ke-73 dunia hanya bermain pada final ATP keduanya, menundukkan bekas pemain nombor satu dunia itu 6-7, 7-6, 6-4.


Kemenangan itu membolehkan dia muncul pemain ketiga selain Novak Djokovic dan Roger Federer, menewaskan Nadal di final tanah liat, pencapaian yang seharusnya dibanggakan pemain Argentina itu meskipun Nadal hanya beraksi buat kali pertama selepas rehat tujuh bulan.

"Ia adalah impian saya," kata Zeballos. "Dapat bermain di final menentang Nadal sudah cukup baik buat saya. Detik itu akan kekal dalam memori sepanjang hayat saya." Nadal kembali beraksi buat kali pertama minggu ini sejak kekalahan mengejut tersingkir di pusingan kedua Wimbledon pada Jun lalu.


Sejak itu, dia terpaksa berehat kerana tendonnya koyak dan mengalami rasa sakit pada lutut kiri yang membuatkan dia terpaksa menangguhkan aksi di pentas kejohanan akibat jangkitan virus.


Penghuni tangga kelima dunia, Nadal yang juga juara 11 Grand Slam itu diletakkan selaku pilihan utama dan hanya tewas 14 permainan dalam laluannya ke final.

"Ini adalah kejohanan yang bagus untuk saya," kata Nadal. "Jika dilihat dari segi keseluruhannya, ia adalah perkembangan positif.


"Memang benar saya mahu menang perlawanan akhir tapi tidak mustahil. Dia bermain lebih baik berbanding saya dan saya tidak bermain pada tahap terbaik.

"Saya hanya perlu terus berusaha, berlatih dan berharap, meningkatkan motivasi serta fokus dengan sikap terbaik. Saya harap ini adalah permulaan yang baik buat saya." -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Itali rebut slot separuh akhir Piala Fed

Posted:

Paris: Juara tiga kali, Itali mengatasi pasukan lemah, Amerika Syarikat (AS) 3-2 untuk melangkah ke separuh akhir Piala Fed dan menempah pertemuan dengan juara bertahan, Republik Czech, April depan.

Itali yang muncul juara 2006, 2009 dan 2010, memerlukan bantuan beregu teratas dunia, Roberta Vinci dan Sara Errani di atas gelanggang tanah liat di Rimini, apabila gandingan itu menang 6-2, 6-2 ke atas Liezel Huber dan Varvara Lepchenko.


Terdahulu, Lepchenko, pemain nombor 21 dunia membuat penampilan pertama dalam Piala Fed selepas ketiadaan Serena Williams dan Sloane Stephens, mengejutkan pemain nombor tujuh dunia, Erranni 7-5, 6-2 untuk meletakkan AS di depan 2-1.

Begitupun, Vinci menyamakan kedudukan di pusingan pertama itu selepas menang 6-2, 4-6, 6-1 ke atas Jamie Hampton.


Vinci juga meningkatkan rekod sempurna di Piala Fed dalam acara beregu kepada 18-0, pencapaian terbaik pemain beregu dalam sejarah kejohanan itu.


"Mereka (Vinci dan Errani) adalah senjata. Mereka bagaikan adik-beradik ataupun rakan karib, mereka boleh membaca bahasa badan masing-masing," kata Huber dalam fedcup.com.

"Itu sebabnya mereka nombor satu dan saya fikir mereka akan kekal di atas untuk banyak tahun lagi. Saya benar-benar seronok melihat mereka beraksi tapi bukan menentang saya." Sementara itu, Petra Kvitova, pemain kelapan dunia memimpin Republik Czech ke separuh akhir dengan memenangi perlawanan penentuan yang berlangsung ke set penentuan ketika menentang Australia di Ostrava dengan menewaskan Samantha Stosur 2-6, 7-6, 6-4.


Czech kini memburu pencapaian untuk muncul negara pertama dalam tempoh 18 tahun menjuarai Piala Fed sebanyak tiga kali berturut-turut, selepas menewaskan Australia 4-0 yang menyaksikan Andrea Hlavackova dan Lucie Hradecka menewaskan Casey Dellacqua yang bergandingan dengan pemain berusia 16 tahun, Ashleigh Barty 6-0, 7-6 dalam beregu.

"Saya sangat gembira. Saya rasa ini adalah salah satu perlawanan terbaik saya musim ini," kata juara Wimbledon 2011, Kvitova.


Stosur, juara Terbuka AS 2011 berkata, dia amat gembira dengan corak permainan yang dipamerkan biarpun tewas.


"Saya tidak fikir saya banyak melakukan kesalahan hari ini, saya rasa Petra bermain amat bagus," katanya. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Kegawatan ekonomi punca pelumba perlu bayar untuk aksi F1

Posted:

Paris: Situasi kewangan yang kini mengekang Formula Satu (F1), pelumba perlu membayar bagi mendapat tempat.

Pelumba yang perlu membayar bukan satu fenomena namun dengan suasana ekonomi semasa, menggugat sukan popular ini secara kewangan, memaksa aliran wang tunai dipotong pemilik pasukan dengan mengeksploitasi aliran pendapatan sebanyak mungkin.


Ia menyebabkan jalan keluar terpaksa ditunjukkan kepada pelumba yang dihormati seperti Timo Glock dan Heikki Kovalainen sehingga membawa isu pelumba yang perlu membayar, mengeluarkan kekayaan secara peribadi atau korporat, menjadi tumpuan sepanjang musim sejuk ini.

Glock digugurkan Marussia selepas tiga tahun bersama pelumba Britain, Max Chilton, dengan bapanya dipercayai sudah memasukkan duit sekitar £70 juta (RM340.2 juta) apabila menjual sahamnya di syarikat insurans, salah seorang pelumba yang mempunyai kewangan yang kukuh untuk meraih salah satu tempat bagi musim 2013.


"Cabaran berterusan dihadapi industri bermakna kami perlu mengambil langkah tertentu untuk memastikan masa depan terjamin," kata prinsipal Marussia, John Booth.


"Keadaan ekonomi yang sukar dan landskap komersil adalah sukar kepada semua orang, termasuk F1." Bekas pemandu McLaren, Kovalainen yang memenangi Grand Prix Hungary 2008, kecundang di Caterham, pergi bersama-sama pelumba Perancis, Charles Pic dan pelumba Belanda, Giedo van der Garde.

Pic, di mana ibunya meraih kekayaan menerusi operasi trak Perancis, tampil bersama Marussia pada 2012 namun menamatkan saingan di tempat ke-21 dalam kejuaraan.


Jumlah pemandu berbayar dalam F1 turut memberi kesan kepada perkembangan kewangan di selatan dan tengah Amerika.

Pemandu Williams, Pastor Maldonado dilaporkan membawa sekitar £45 juta (RM218.7 juta) kepada pasukannya apabila mendapat sokongan syarikat minyak Venezuela, PDVSA.


Namun pelumba berusia 27 tahun itu turut berbakat berlumba dengan musim lalu berada di kedudukan utama Grand Prix Sepanyol.


Pelumba dari Mexico, Sergio Perez yang menyertai McLaren musim ini bergandingan dengan Sauber dengan sokongan Telmex, syarikat yang dimiliki jutawan Carlos Slim.


Esteban Gutierrez akan menggantikan tempat rakan senegaranya, Sauber di McLaren musim ini susulan peranan yang dimainkan Telmex.


Pelumba Brazil, Bruno Senna yang juga anak saudara kepada juara dunia, Ayrton mendapat sokongan syarikat minyak gergasi Eike Batista ketika bersama Williams.


Jauh dari Amerika Selatan, bekas pemandu Lotus dan Caterham, Vitaly Petrov mendapat sokongan gergasi minyak Russia, Sibur.


Bintang Ferrari, Felipe Massa mengkritik tekanan terhadap pemandu muda untuk membawa sejumlah tunai bagi memastikan mereka dapat berlumba.


"Kita sedar bahawa ramai pelumba yang tampil dalam F1 perlu mempunyai penaja, mereka perlu membawa wang, terutamanya dalam pasukan kecil," kata Massa.


"Secara jujur perkara ini bukan sesuatu yang bagus untuk F1 dan mungkin ini adalah sebahagian daripada aspek komersil." -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Janji saingan sengit!

Posted:

Seremban: Cabaran Berpasir Antarabangsa Port Dickson (PDISC) 2013 yang akan berlangsung di Pantai Cahaya dan Pantai Selesa Port Dickson Negeri Sembilan, bakal menjanjikan saingan lebih sengit apabila 30 pasukan tempatan dan luar negara mengambil bahagian.

Cabaran kenderaan pacuan 4X4 edisi kedua itu yang akan diadakan 1 hingga 3 Mac depan akan disertai 11 pasukan dari luar negara antaranya India, Ireland, Belanda, Indonesia, Singapura dan Thailand selain pasukan tempatan.


Pengarah Teknikal PDISC, Dr Zaini Shaarani berkata, cabaran kali ini lebih sengit berbanding edisi pertama Oktober tahun lalu apabila terdapat peningkatan penyertaan peserta luar negara dari 30 pasukan yang akan mengambil bahagian.

Katanya, selepas kejayaan penganjuran pertama itu, PDISC yang menjadi cabaran pertama di rantau ini akan menguji kepakaran peserta kerana semuanya membabitkan laluan berpasir berbanding cabaran biasa yang membabitkan 99 peratus di laluan hutan, berbatu, sungai dan berbukit.


"Bagi edisi kali ini, peserta dijangka berdepan pelbagai halangan lebih berliku termasuk rintangan berpaya di Pantai Selesa dan lebih panjang bagi menjadikan ianya lebih mencabar sesuai dengan peningkatan jumlah hadiah wang tunai ditawarkan kepada juara iaitu daripada RM3,000 kepada RM5,000 selain piala pusingan, piala Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


"Manakala bagi naib juara meraih RM3,000 diikuti masing-masing RM2,000 dan RM800 bagi tempat ketiga dan keempat.

"Saya yakin, cabaran kali ini menjanjikan saingan lebih sengit dan menarik kerana peserta akan melalui beberapa kolam selain paya yang dalam," katanya.


Dr Zaini yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam sukan lasak 4X4 berkata, pihaknya yakin penganjuran PDISC kali ini bakal mencatat sejarah tersendiri kerana disertai pasukan berkaliber.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Zaidi Kassim berkata, acara itu yang turut menarik pembabitan entiti korporat antarabangsa, bakal mempopularkan lagi Port Dickson sebagai arena sukan lasak antarabangsa.


"Ini adalah pertandingan 4X4 yang unik dan mencabar dan dijangkakan sambutan dari pengunjung tempatan serta luar negara pasti memberangsangkan," katanya.


Satu majlis penyampaian cek penajaan oleh syarikat Shell Refining Bhd turut diadakan di Hotel Royal Bintang, baru-baru ini.


Turut berangkat mencemar duli, Tuanku Muhriz serta anakanda baginda, Tunku Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin; Pengarah PDISC, Mohd Ghazi Yahya dan Pengarah Urusan Shell Refining Bhd, Rozano Saad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

Perlawanan amal demi rakyat Gaza

Posted:

Melaka: Kelab Bola Sepak Hospital Putra Melaka turut menyumbang kejayaan Program Save Gaza anjuran Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) yang berjaya mengumpul RM100,000 hasil sumbangan orang ramai di perkarangan Stadium Hang Jebat, Paya Rumput baru-baru ini.

Kapten Pasukan Putra FC, Rezuan Lau Abdullah berkata, penyertaan kelab bola sepak Putra dalam perlawanan amal di Stadium Hang Jebat berkenaan lambang keprihatinan dan kotmitmen pengurusan untuk membantu penduduk Palestin yang terus dihimpit rejim Zionis.


Menurutnya, perlawanan membabitkan lima pasukan itu termasuk skuad Perkasa FC, CTRM A dan B menyaksikan Putra FC menduduki tangga ketiga keseluruhan.

Katanya, keputusan perlawanan bukan menjadi keutamaan namun apa yang lebih penting kejohanan berkenaan memberi impak besar terhadap usaha membantu golongan memerlukan.


Pengurus pasukan, Nasri Rabu pula berkata, sokongan semua kakitangan kepada program berkenaan juga amat membanggakan terutama dalam menyokong kejayaan program.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

'Kami bantah'

Posted:

Melaka: Kelab Bola Sepak Bekas Pemain Melaka (KBPM) meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutama Majlis Bandaraya Melaka (MBMB) tidak merobohkan dinding dan pagar Stadium Hang Tuah bagi menjadikan sebahagian kawasan terbabit sebagai taman rekreasi dan riadah.

Setiausaha kelab berkenaan Tan Chin Yang berkata, cadangan PBT dan kerajaan negeri menjadikan kawasan itu sebagai lokasi hijau diharap tidak membabitkan stadium bersejarah berkenaan.


Katanya, stadium tertua di Melaka yang dibina 1954 itu harus terus dikekalkan bagi membolehkan kejohanan sukan selain Liga Malaysia terus diadakan di venue terbabit.

Menurutnya, cadangan merobohkan sebahagian pagar dan membentuk laluan orang ramai antara Pusat Transformasi Bandar (RTC) dengan kawasan stadium nyata menjejaskan aktiviti sukan.


Bagi presidennya yang juga bekas kapten negara, Datuk Soh Chin Aun dan Kelab Penyokong Bola Sepak Melaka (PBM) turut membantah sebarang usaha menjadikan Stadium Hang Tuah sebagai kawasan beriadah.


Bagi Chin Aun, beliau berharap kerajaan negeri tidak akan menjadikan sebahagian stadium terbabit kawasan hijau yang merubah sejarah unik pembentukan awal bola sepak Melaka dan negara.

Cadangan itu akan menyaksikan sebuah taman rekreasi dibina di antara stadium berkenaan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC), selain perlaksanaan kerja landskap bagi menghijaukan persekitaran.


Baginya, walaupun ada jaminan fungsi asal stadium tidak terjejas namun ia bakal merencatkan pembangunan bola sepak negeri walaupun cadangan Stadium Bukit Serindit dijadikan alternatif menggantikan venue berkenaan.

Malah, nostalgia muncul juara Liga M 1983 di stadium terbabit bersama pemain lain termasuk Akop Itam, Hashim Marman, Ng Jon Tai dan Lim Chuan Chin bakal lenyap walaupun masih segar dalam ingatannya.


Katanya, stadium berkenaan mempunyai nilai sejarah yang tinggi selain masih relevan dengan pembangunan sukan di Melaka. Beliau berkata demikian selepas perlawanan persahabatan antara pasukan terbabit dan PBM di stadium berkenaan baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12

No comments:

Post a Comment