Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Muka ditusuk payung

Posted:

London: Seorang wanita yang mabuk bernasib baik selepas terjatuh ke atas payung sejurus selepas pulang dari berfoya-foya, lapor media semalam.

Jessica Yates dilaporkan terlalu mabuk dan secara tidak sengaja terjatuh dari katil hotel dan mukanya tercucuk dawai rangka payung yang baru digunakan.


Disebabkan payung itu tidak ditutup dengan betul, dawainya yang terbuka kemudian menusuk gusi dan tembus ke mulut.

Bagaimanapun, Jessica, 22, dari Solihull, West Midlands, mengakui dia terlalu mabuk ketika itu dan tidak dapat merasai kesakitan itu pada peringkat awal. Rakan Jessica, Laura Sullivan, menghubungi talian kecemasan selepas mendapati kecederaan itu serius dan terlalu berbahaya untuk ditarik sendiri.


Jessica kemudian dibawa berjumpa dengan anggota paramedik dan dikejarkan ke hospital dalam keadaan payung itu masih tergantung di mukanya.


Kata Jessica, di hospital, pegawai perubatan memotong patung berkenaan dan membiarkan kira-kira 15 sentimeter dawai itu masih tercucuk ke mulutnya.

Foto

KEADAAN Jessica bersama sebahagian daripada dawai rangka payung yang terlekat di mukanya.

Dia kemudian dibawa ke hospital kedua dan diberi ubat pelali sebelum membolehkan pembedahan untuk membuang dawai berkenaan dijalankan.


Pengurus kedai kasut itu dibenarkan pulang keesokan harinya dengan beberapa jahitan berserta cebisan payung itu yang masih kekal di gusinya.

Kata Jessica, kemalangan itu berlaku ketika dia dan beberapa kawan berkongsi bilik di Watford selepas puas berpesta.


"Kami menghabiskan malam dengan minum di bar tempatan dan pulang berpayung kerana hujan jam 2 pagi," katanya. Ketika tiba di bilik, kata Jessica, dia mencampakkan payung kecil itu ke lantai dan tidak menyedari ia dibiarkan dalam keadaan terbalik. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Pekerja berjam mahal dipecat

Posted:

Beijing: China berkata, kakitangan kerajaan yang tidak berdisiplin, dipecat daripada Parti Komunis dan berdepan tuduhan rasuah, semalam.

Menurut kenyataan pegawai kerajaan Shaanxi, Ketua Biro Pemeriksaan Keselamatan Wilayah, Yang Dacai, didapati bersalah "melakukan kesalahan disiplin serius" ketika bertugas.


"Yang juga disyaki melakukan beberapa jenayah lain," katanya.

Yang menjadi perhatian tahun lalu selepas gambarnya tersenyum lebar di lokasi kemalangan bas di lebuh raya mengorbankan 36 orang tersebar luas di Internet.


Gambar itu kemudian disusuli imejnya memakai pelbagai jenis jam tangan mahal.


Tindakan kerajaan Shaanxi itu membayangkan peranan Internet semakin meluas mendedahkan amalan rasuah kakitangan kerajaan di China. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Cubaan bawa lari pembunuh gagal

Posted:

Athens: Sebuah helikopter terbang rendah di kawasan lapang penjara semalam sambil kumpulan bersenjata melepaskan tembakan ke arah pengawal ketika tali diturunkan dalam usaha mereka membawa lari seorang pembunuh, Panagiotis Vlastos.

Bagaimanapun, tindakan nekad kali keempat pernah dilakukan itu gagal apabila pengawal penjara menembak pesawat dan memaksa juruterbang mendarat di kawasan meletak kenderaan. Cubaan melarikan diri penuh dramatik itu satu daripada beberapa insiden membabitkan helikopter dan kali pertama digagalkan. Pihak berkuasa berkata, helikopter sewa itu membawa dua penumpang bersenjata, seorang juruterbang dan seorang juruteknik.


Sumber berkata, pada awalnya mereka cuba merosakkan pagar di sekeliling penjara Trikala itu dengan cangkuk diikat pada tali.

"Apabila ia gagal, tali itu diturunkan bagi membolehkan Vlastos, dilarikan.


"Seorang banduan Albania yang ada di kawasan lapang ketika itu mungkin sebahagian daripada rancangan itu," katanya.


Ketika berbalas tembakan, kata sumber itu, pengawal penjara mencederakan Vlatos dan juruteknik helikopter berkenaan.

Vlatos, 43, kemudian terjatuh dari ketinggian tiga meter. Banduan itu disabitkan kesalahan membunuh dan dipenjara seumur hidup.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Seorang lagi dituduh rasuah

Posted:

Jakarta: Imej Parti Demokrat, parti utama dalam kerajaan Indonesia yang juga diasaskan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semakin buruk apabila seorang lagi anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) parti itu berdepan dengan tuduhan rasuah.

Bahan bukti membabitkan tuduhan skandal rasuah ke atas anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dari parti itu, Supomo diserahkan kepada akhbar Jakarta Post semalam. Supomo dipanggil majlis etika DPR minggu lalu untuk membincangkan tuduhan mengatakan dia menerima wang sogokan bagi menggunakan wang kerajaan untuk membayar kepada Agensi Pengurusan Bencana Alam, (BNPB) Cianjur. Satu lagi isu panas dalam skandal itu yang membabitkan wang sogokan berjumlah 1.2 bilion rupiah (RM386,683) yang didakwa dibayar bagi mempercepat pembayaran dana terbabit ialah seorang lagi anggota DPR dari parti itu juga, Gondo Radityo Gambiro.


Salinan resit pemindahan wang diperoleh Jakarta Post menyatakan Gondo, Timbalan Pengerusi Dewan Suruhanjaya VIII yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal sosial dan keagamaan dituduh menerima 21 juta rupiah (RM6,702) kononnya untuk mempercepat pembayaran wang itu.

Wang terbabit yang dipindahkan ke akaun bank pembantu khas Gondo, Hardian Haryanto dihantar oleh Endah Maryanisari, pembantu pegawai BNPB Cianjur, Muhammad Sukarya pada June 2011. Kata-kata yang tertulis pada resit itu berbunyi 'Untuk Bapak Radito G.' Pengerusi Majlis Etika Dewan, M Prakosa, berkata, pihaknya sudah memanggil Gondo dan Hardian untuk membincangkan tuduhan itu minggu depan. "Terdapat bukti pemindahan wang, menunjukkan bahawa kedua-dua pihak (Gondo dan Sukarya) berkomunikasi antara satu sama lain," kata Prakosa. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Mangsa kekejaman Marcos dapat pampasan

Posted:

Manila: Presiden Filipina Benigno Aquino semalam menandatangani undang-undang yang akan memberi pampasan kepada mangsa penindasan bekas diktator negara itu, Ferdinand Marcos, 27 tahun selepas revolusi 'kuasa rakyat' menamatkan pemerintahannya.

Sebanyak 10 bilion peso (RM756 juta) akan diagihkan kepada beribu-ribu rakyat yang diseksa, perkosa atau ditahan tentera Marcos, selain saudara-mara mereka yang terbunuh ketika pemerintahannya. Bercakap dalam satu majlis di Manila bagi memperingati ulang tahun revolusi yang dipimpin ibunya, Benigno berkata, undang-undang itu adalah sebahagian usaha kerajaannya untuk 'memperbaiki kesilapan lampau'. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

4 maut terkena bom buatan sendiri

Posted:

Bangkok: Empat orang terbunuh dan lebih 20 lagi cedera apabila bom buatan sendiri meletup ketika pergaduhan di festival agama Buddha di timur laut Thailand awal pagi semalam, kata polis.

Mereka yang terkorban ialah dua anggota polis dan dua pengunjung konsert di kuil wilayah Maha Sarakham, kata ketua polis daerah, Kritchai Sreumsri. Menurutnya, kejadian berlaku apabila polis bertindak akibat daripada pergaduhan itu dengan mengejar seorang lelaki yang membawa bom buatan sendiri yang kemudiannya meletup.


Konsert berkenaan diadakan sempena Hari Makha Bhucha yang diraikan bagi i memperingati ajaran Buddha pada hari bulan penuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Gesa kerah lebih ramai askar ke Papua

Posted:

Jakarta: Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Priyo Budi Santoso meminta kerajaan mengerah lebih ramai anggota keselamatan ke Papua.

Gesaan itu dibuat selepas kejadian serangan yang menyebabkan lapan anggota tentera terbunuh minggu lalu. "Kerajaan perlu menimbangkan penghantaran lebih ramai anggota keselamatan ke Papua di samping memastikan pendekatan tanpa keganasan bagi mengelak masalah itu menjadi lebih besar," katanya yang bertanggungjawab mengenai hal politik, undang-undang dan hak asasi kemanusiaan, kepada wartawan semalam. Dewan dan kerajaan dijangka membincangkan isu itu dalam mesyuarat minggu depan.


"Kami mahu bertanya kepada kerajaan mengenai usaha untuk mewujudkan keamanan di Papua dan sama ada ia sudah hilang kawalan terhadap situasi itu," kata ahli politik parti Golkar terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Syria sedia berunding

Posted:

Moscow: Menteri Pertahanan semalam berkata, Syria bersedia mengadakan rundingan dengan pejuang antikerajaan bersenjata tetapi kerajaan tetap meneruskan perjuangannya "menentang keganasan."

Kata Walid al-Moualem, Damsyik bersedia berdialog dengan sesiapa saja yang mahukan proses itu dijalankan, termasuk pihak yang "memiliki senjata api di tangan mereka." "Kami bersedia kerana kami percaya reformasi tidak boleh dicapai melalui pertumpahan darah, sebaliknya hanya melalui dialog," katanya kepada agensi berita Itar-Tass.


Itar-Tass tidak melaporkan komen lanjutan daripada Walid dan tidak menyatakan jika dia ada menetapkan sebarang syarat bagi memulakan dialog. Kata Walid, apa yang berlaku di Syria adalah perang ke atas keganasan. "Kami sangat mematuhi jalan keamanan dan menentang keganasan," katanya. Kenyataan Walid itu adalah isyarat paling jelas setakat ini ditunjukkan Damsyik setakat ini untuk berunding dengan pejuang yang cuba menggulingkan Presiden Bashar al-Assad. Perang saudara di Syria sejak hampir dua tahun lalu kini mengorbankan kira-kira 70,000 orang. Sementara itu, ketua kumpulan pembangkang Gabungan Kebangsaan Syria, Moaz al-Khatib, berkata pihaknya belum dihubungi Damsyik mengenai sebarang cadangan rundingan.

Bagaimanapun, Moaz berkata, dia menunda lawatannya ke Russia dan AS sehingga mereka dapat "melihat perkembangan selanjutnya." Beberapa minggu lalu, kerajaan Syria dan pembangkang membayangkan mereka bersedia untuk berhubung - langkah yang lebih lembut berbanding pendirian keras kedua-dua pihak sebelum ini.


Namun, pembangkang berkata, sebarang penyelesaian politik kepada krisis Syria mesti berasaskan kepada penyingkiran Bashar. Damsyik pula menolak sebarang prasyarat rundingan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Hamid arah AS tinggalkan Wardak

Posted:

Kabul: Hamid Karzai mengarahkan pasukan khas AS meninggalkan sebuah wilayah strategik di Afghanistan, membayangkan keinginannya mengawal militia serta menguatkan lagi ketegangan di negara itu.

Menurut Presiden Afghanistan itu, dia memberi tempoh dua minggu kepada pasukan terbabit keluar dari Wardak yang menjadi pusat aktiviti Taliban.


Akhbar The New York Times melaporkan, arahan Hamid dikeluarkan sebagai langkah terakhir selepas mereka cuba dan gagal mendapatkan kerjasama tentera asing dalam siasatan kes pembunuhan serta penyeksaan penduduk negara itu.

"Keputusan diambil kerana individu bersenjata yang bekerja dengan tentera AS terbabit mengganggu, menyeksa, malah membunuh rakyat tidak berdosa," katanya. Antara contoh diambil, kes seorang pelajar yang dilarikan dari rumahnya pada waktu malam dan ditemui mati dengan kesan penderaan serta dikelar di leher dua hari kemudian. Kabul tidak menamakan kumpulan yang terbabit tetapi difahamkan, AS melatih pelbagai kumpulan militia tempatan dan sesetengahnya beroperasi di luar kawalan kerajaan. Wardak adalah kawasan sangat bermasalah dan sebuah helikopter Chinook AS pernah ditembak jatuh oleh Taliban pada Ogos 2011.


Seramai lapan warga Afghanistan dan 30 warga AS terbunuh dalam insiden itu.


Sementara itu, tentera AS berkata, mereka akan membincangkan isu itu dengan pegawai Afghanistan dan memandang serius setiap dakwaan salah laku. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

No comments:

Post a Comment