Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


De Gea penyelamat

Posted:

Madrid: Penjaga gol Manchester United, David De Gea dikecam hebat sepanjang musim ini namun pujian melambung diberikan pengurusnya, Alex Ferguson selepas persembahan cemerlang ketika menentang Real Madrid pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Pemain remaja Sepanyol berusia 22 tahun itu menyelamatkan gawangnya daripada banyak percubaan tuan rumah untuk membantu United mengikat kedudukan 1-1 pada perlawanan pertama pusingan kedua di Bernabeu.

"Sukar untuk bertandang ke gelanggang ini kerana Real memiliki rekod menakjubkan di laman sendiri," kata Ferguson.

"Saya sedikit kecewa kerana kami terlalu bertahan hingga membuka peluang buat Real melakukan hantaran silang dan percubaan.

Foto

DE Gea (kanan) pamer aksi terbaik sekat serangan Real.


"Mujur De Gea beraksi cemerlang. Dia menyelamatkan tiga atau empat percubaan berbahaya."


De Gea sebelum ini dikritik sejak berpindah ke Old Trafford dari Atletico Madrid dengan harga 20 juta euro (RM82.4 juta) pada 2011 dengan saiz fizikalnya didakwa punca kelemahan sepanjang aksi Liga Perdana.

Bagaimanapun Ferguson tetap memberikan sokongan dan penjaga gol itu menghalang dua percubaan berbahaya Fabio Coentrao selain berdepan Mesut Ozil dalam situasi satu lawan satu.

"Dia mempamerkan peningkatan sepanjang musim ini," kata Ferguson.

"Pada babak pertama, dia bertindak dengan begitu menakjubkan untuk menepis bola keluar.

"Memang sukar untuk dia kembali dan beraksi mantap di stadium ini. Dia mewakili Atletico dan pastinya De Gea meraikan keputusan ini."

Rakan sepasukan, Ryan Giggs turut gembira menyaksikan persembahan yang dipamerkan De Gea di Madrid.

"Dia penjaga gol yang bagus dan caranya menghalang rembatan tiada tandingan.

"Dia semakin matang dan menunjukkannya malam ini (awal pagi semalam). Dia tampil ke Madrid dengan tekanan tinggi kerana pernah mewakili Atletico dan dia sudah membuktikan keupayaannya." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

Ambrose dipersalah

Posted:

Glasgow: Pemain tengah Celtic, Kris Commons menegaskan rakan sepasukan, Efe Ambrose perlu bertanggungjawab terhadap kesilapannya yang mengakibatkan kekalahan 0-3 kepada Juventus hingga hampir menutup peluang Hoops dalam kempen Liga Juara-Juara.

Pemain pertahanan Nigeria, Ambrose kembali ke Glasgow pagi Selasa hari perlawanan di Parkhead selepas membantu Super Eagles memenangi Piala Negara-Negara Afrika, Ahad lalu.


Keputusan pengurus Celtic, Neil Lennon menyenaraikan Ambrose dalam kesebelasan utama pada mulanya dianggap satu tindakan berani namun akhirnya dikecam hebat selepas bintang Nigeria itu mempamerkan aksi buruk.

Ambrose menghadiahkan Alessandro Matri gol awal, mensia-siakan peluang terbaik Celtic dalam perlawanan itu apabila sekadar menanduk tepat ke arah Gianluigi Buffon biarpun tidak dikawal dan kehilangan bola kepada Mirko Vucinic yang menyumbat gol ketiga untuk Juventus yang semakin selesa untuk mara ke suku akhir.


Tindakan Lennon menurunkan Ambrose dikecam hebat namun Commons dalam temuramah dengan beberapa akhbar Scotland berkata, kesilapan yang menyebabkan peluang mereka pada perlawanan kedua pusingan kedua di Turin tiga minggu lagi seharusnya dipikul pemain.


"Pengurus memilihnya," kata Commons. "Pengurus memanggilnya ke tepi padang dan menyoalnya sama ada dia dalam keadaan baik. Dia mengaku berasa sangat baik.

"Jika dia tidak dalam keadaan baik, dia sepatutnya memberitahu perkara sebenar.


"Jika dia berasa dirinya dalam keadaan baik, dia sepatutnya beraksi lebih baik," kata Commons. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

Menang mudah!

Posted:

Doha: Victoria Azarenka bermula langkah kanan untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Qatar dan mengekalkan kedudukan nombor satu dunia apabila mudah menewaskan pemain ke-62 dunia, Romina Oprandi, semalam.

Kemenangan 6-2, 6-3 ke atas lawannya itu cukup meyakinkan selepas bermula hambar pada awal permainan.


Pada satu ketika pemain berusia 23 tahun itu dilihat hendak menghempas raket tapi kekecewaan Victoria tidak lama apabila kembali fokus pada perlawanan itu.

Dengan tahap kecergasan Serena Williams masih menjadi tanda tanya dan Maria Sharapova mengharapkan Williams dan Victoria gagal beraksi dengan baik bagi membolehkannya merampas kedudukan teratas, ranking pertama dilihat masih mampu dikekalkan sensasi Belarus itu. "Saya bermula agak teruk dan perlu mencari rentak permainan selepas itu.


"Saya gagal melakukan pukulan balas dengan baik dan perlu lebih bersabar. Romina begitu sukar untuk ditewaskan dan dia sering melakukan pukulan balas berbeza dan tidak jangkakan. Saya perlu lebih fokus," katanya.


Juara bertahan itu juga beraksi baik di jaring apabila memenangi 15 daripada 20 percubaan, corak permainan yang bukan menjadi kunci kekuatannya.

"Saya mahu memperbaiki corak permainan sebegitu. Saya agak bagus di belakang dan mahu mencuba mengubah corak permainan.


"Saya mempunyai banyak ruang untuk melakukannya pada perlawanan ini." Pertemuan dengan Romina adalah perlawanan pertama diharungi Victoria sejak mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia di Melbourne tiga minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

Federer selesa ke pusingan kedua

Posted:

Rotterdam: Roger Federer memulakan misi mempertahankan kejohanan Tenis Dunia Rotterdam dengan menundukkan wakil Slovenia, Grega Zemlja 6-3, 6-1 dalam tempoh hanya 57 minit.

Federer melangkah ke pusingan kedua dan bakal bertemu Thiemo de Bakker dari Belanda.


Pilihan pertama kejohanan serta ranking kedua dunia itu melebarkan rekod kemenangan kepada 22 dan hanya tewas lima kali sepanjang lapan penampilan pada kejohanan itu dan tidak pernah tewas sebelum saingan suku akhir.

Zemlja terus mencatat rekod buruk bertemu lawan kelompok 10 terbaik selepas menewaskan pemain nombor sembilan dunia, Janko Tipsarevic pada separuh akhir di Vienna sebelum tewas kepada Juan Martin del Potro.


Federer menang set pertama dalam tempoh 29 minit sebelum meneruskan rentak cemerlang pada set kedua dan pada satu ketika mendahului 3-1 sebelum melengkapkan kemenangan mutlak.


"Saya sudah mengadakan latihan sejak beberapa hari lalu tapi perlawanan sebenar sentiasa berbeza berbanding sesi latihan," kata Federer.

"Saya perlu beraksi lebih baik apabila bertemu De Bakker. Saya pernah bertemunya pada Piala Davis tahun lalu. Seorang pemain tempatan pastinya mahu melakar keputusan terbaik.


"Saya perlu fahami corak permainan dan tidak memandang rendah Bakker." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

Nadal rehat lutut

Posted:

Sao Paulo: Rafael Nadal tidak turun beraksi pada acara beregu di Terbuka Brazil semalam kerana mahu merehatkan lututnya.

Penganjur bagaimanapun berkata, bintang Sepanyol itu tetap akan beraksi pada acara perseorangan bertemu Joao Souza dari Brazil.


Pemain nombor lima dunia itu dijadual bergandingan dengan David Nalbandian dari Argentina pada pusingan kedua dan bertemu pasangan Horacio Zeballos dari Argentina dan Oliver Marach dari Austria. Bekas pemain nombor satu dunia itu kembali beraksi di Chile minggu lalu tapi tewas pada aksi final selepas berehat tujuh bulan kerana kecederaan.

"Nadal memilih untuk berehat di hotel untuk bersedia menghadapi aksi perseorangan esok (hari ini)," kata jurucakap Terbuka Brazil.


"Dia sudah berbincang dengan Nalbandian dan mereka bersetuju untuk tidak turun dalam acara beregu." Nalbandian berkata, situasi semasa agak sukar.


"Gelanggang tidak berada dalam keadaan baik dan bola sangat sukar untuk dikawal.

"Dia perlu menjaga kecergasannya untuk persiapan perlawanan akan datang," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

Jaguh golf Pahang

Posted:

Pekan: Pengalaman luas menjadi kelebihan kontinjen Kuantan untuk muncul juara keseluruhan Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP) 2013.

Kejohanan di padang golf Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Lepar itu disertai 85 pemain Bawah 12, 15 dan 18 Tahun yang mewakili lapan daerah.


Pada kejohanan itu, Kuantan yang diwakili 27 pemain lelaki dan perempuan berjaya memenangi lima daripada enam kategori dipertandingkan.

Juara kategori lelaki B-18, Muhammad Feyyaz Azhari menganggap cabaran kali ini lebih mencabar terutama dengan penyertaan 16 pemain lain.


"Keseluruhan prestasi yang saya pamerkan kurang memuaskan apabila melakukan 160 pukulan sepanjang dua hari pertandingan.


"Persembahan saya sedikit terjejas kerana pernah mencatat pukulan lebih baik pada pertandingan lalu," katanya yang sudah enam kali mewakili Pahang pada saingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

"Bulan depan, saya akan cuba mempamerkan persembahan terbaik dan menjulang nama Pahang pada saingan MSSM di Sabah." Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dilakukan Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Raof Jali di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Lepar, Pekan.


Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah Pekan, Mohd Dzulkifli Nordin.

Bagi pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan, Sarah Shamimi Rozali, kejayaan kali ini menjadi asas kepadanya untuk berusaha mengulangi catatan serupa pada cabaran MSSM.


"Walaupun hanya melakukan 92 pukulan pada hari kedua kejohanan, saya yakin persembahan lebih baik mampu dilakukan pada pertandingan MSSM bulan depan.


"Pengalaman empat kali mewakili Pahang pada kejohanan sama akan digunakan sebaik mungkin untuk menjulang imej kontinjen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

Tidak minat

Posted:

Kuala Lumpur: Bendahari Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Lim Teong Kiat hanya berminat untuk mengekalkan jawatan sebagai ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 18 Mei ini dan tidak berminat bertanding kerusi Timbalan Presiden.

Beliau yang kini mempengerusikan jawatankuasa Kewangan BWF berkata, tiada alasan beliau perlu bertanding merebut kerusi kedua tertinggi itu.


"Saya hanya mahu kekal sebagai ahli Majlis. Lagipun sudah ada wakil Malaysia bertanding kerusi Presiden BWF, kita tidak boleh bolot kedua-duanya," kata Teong Kiat menafikan khabar angin mendakwa beliau bertanding kerusi Timbalan Presiden.

Beliau juga berkata, Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh sudah mengesahkan kepada BWF untuk bertanding kerusi tertinggi itu, 11 hari lalu.


Ketika mengulas peluang Nadzmi menang kerusi terbabit sekali gus menjadi warga Malaysia pertama memimpin badan induk badminton dunia itu, Teong Kiat berkata: "Pada masa ini kita belum tahu peluangnya selagi tidak mengetahui berapa calon yang bertanding, hinggalah tarikh tutup 22 Februari ini." Katanya, hingga kini hanya calon Indonesia, Justian Suhadinata dan legenda badminton Denmark, Paul Erik Hoyer Larsson menjadi lawan Nadzmi.


Pada Terbuka Malaysia lalu, Nadzmi menerima kunjungan rombongan China yang menyatakan Persatuan Badminton China (CBA) sedia menyokong pencalonan Nadzmi. Namun berdasarkan laman blog Justian, China turut menghantar surat sokongan kepadanya dalam surat yang ditandatangani Setiausaha Agung CBA, Liu Fengyan kepada Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI).

Justian menerusi laman blognya juga memaparkan surat sokongan kepadanya daripada persatuan badminton lain seperti Barbados, Ghana, Amerika Syarikat dan Thailand.


Malah Justian kini giat melobi wakil Eropah dan kini berada di Bulgaria.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

Ayuh sertai cabaran Sukan Lengan!

Posted:

Kuala Lumpur: Konsert Ekspresi Harian Metro sempena sambutan Hari Wilayah di Dataran Merdeka esok menawarkan hadiah wang tunai kepada mereka yang berminat menyertai Sukan Lengan yang dilangsungkan pada sebelah pagi.

Kali ini Arena Metro hanya membuka penyertaan kepada tiga kategori iaitu 85kg ke atas, 75-85 kg dan bawah 75kg.


Dengan yuran RM10 dikenakan kepada setiap peserta, juara setiap kategori berpeluang membawa pulang wang tunai RM500, naib juara (RM300), ketiga (RM200), keempat (RM100) dan mereka yang menamatkan saingan di kedudukan kelima hingga lapan (RM50).

Pemenang tempat pertama hingga keempat juga memenangi medal serta hamper.


Borang penyertaan hanya boleh diperoleh di khemah Arena Metro di Dataran Merdeka bermula jam 9 pagi sebelum pertandingan dilangsungkan sejam kemudian.


Namun borang penyertaan hanya akan diserahkan kepada peserta yang membawa keratan kepala akhbar Harian Metro bertarikh 16 Februari.

Mereka yang berminat hendaklah hadir tepat pada masa kerana pertandingan akan ditamatkan lebih awal untuk memberi laluan kepada konsert.


Penyertaan dibuka kepada semua pengunjung. Bagaimanapun penyertaan selepas jam 10 pagi tidak akan dilayan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

Skuad hoki masih belum sedia 100%

Posted:

Kuala Lumpur: Tiga kemenangan bersih ke atas Ireland pada perlawanan persahabatan yang berakhir kelmarin tidak cukup untuk meyakinkan Paul Revington anak buahnya sudah bersedia menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 9 hingga 17 Mac ini.

Sepanjang tiga perlawanan itu, skuad negara mempamerkan peningkatan cukup drastik dengan mencatat tiga kemenangan meyakinkan ketika bertemu skuad sama yang diundi dalam satu kumpulan pada kempen kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Mac tahun lalu.


Sama seperti ketika membimbing Ireland yang menunjukkan prestasi mendadak dan hampir melangkah ke pentas Olimpik buat kali pertama, begitu juga sentuhan Revington ke atas skuad negara yang setakat ini tidak mengecewakan.

"Kita berjaya menjaringkan 10 gol, bolos tiga kali dan melakukannya tanpa beberapa pemain utama. Saya rasa pemain sudah melakukan yang terbaik.


"Saya harus pastikan mereka benar-benar bersedia untuk saingan Piala Sultan Azlan Shah. Jika mereka mempamerkan prestasi seperti tiga perlawanan persahabatan ini pada kejohanan itu, saya yakin kami mampu berada dalam kelompok empat pasukan terbaik.


"Sekiranya sudah berada dalam kelompok itu, kita mempunyai peluang lebih baik selepas itu.

"Masih ada beberapa minggu untuk kami memperkemaskan corak permainan, termasuklah pukulan sudut penalti," katanya ketika ditemui pada perlawanan persahabatan terakhir kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

Ranking jatuh

Posted:

Kuala Lumpur: Berikutan kekalahan 0-2 kepada Qatar pada perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala Asia 2015, Rabu lalu, pasukan Malaysia jatuh satu anak tangga dalam ranking bola sepak dunia.

Berdasarkan ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam, skuad kebangsaan bimbingan Datuk K Rajagobal itu turun ke tempat ke-159 dunia berbanding 158, bulan lalu.


Senarai kedudukan terkini itu menunjukkan skuad Harimau Malaya setanding beberapa pasukan yang diketahui umum mempunyai kekurangan infrastruktur dalam sukan bola sepak seperti Palestin, ranking ke-153, Hong Kong (156), Bermuda (157) dan Maldives yang berkongsi kedudukan dengan skuad negara. Di peringkat Asia, Malaysia kekal tempat ke-26 daripada 46 negara manakala di Asia Tenggara, Malaysia naik satu anak tangga ke tempat kelima, di belakang Vietnam (134), Thailand (141), Filipina (147) dan Singapura (158). - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

No comments:

Post a Comment