Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


15 tahun tidur dengan mayat

Posted:

Seorang bekas pekerja binaan mengaku dia tidur bersama mayat sejak 15 tahun lalu selepas berpindah ke tanah perkuburan di Nis, Serbia.

Media semalam melaporkan, Bratislav Stojanovic berkongsi liang lahad dengan abu mayat sebuah keluarga yang mati lebih 100 tahun lalu.


Menurut Stojanovic, 43, sebagai orang yang tiada rumah, dia terpaksa menjadikan kubur sebagai tempat tidur.

"Saya membuat beberapa ubah suai pada kubur berkenaan dan selepas itu, saya selesa di situ," katanya. Selain kering, hangat dan dilengkapi lampu, Stojanovic berkata, liang lahad itu menjadi tempat dia menyimpan barangannya. "Ia bukan sehebat istana, tetapi ternyata lubang itu jauh lebih selesa berbanding tidur di jalanan," katanya. Tidak pernah memiliki kerja tetap, Stojanovic terpaksa melepaskan rumahnya di Nis apabila dibelenggu dengan masalah hutang yang banyak. Selepas berbulan-bulan berkeliaran di jalanan, Stojanovic mengambil keputusan berpindah ke kubur itu untuk berlindung daripada cuaca sejuk dan gelap. Kata Stojanovic, hidup bersama mayat tidak begitu menakutkan seperti sangkaan sesetengah pihak.


"Pada mulanya saya takut, tetapi lama-kelamaan keadaan di situ menjadi biasa.


"Kini, selain masalah kelaparan, saya lebih takutkan manusia yang hidup berbanding dengan orang mati," katanya. Menurut Stojanovic, setiap kali dia mahu keluar dari 'rumah' itu, dia akan mengintai terlebih dulu bagi memastikan tiada sesiapa di situ.

Jika tidak, kata Stojanovic, dia mungkin menakutkan orang lain yang kebetulan ada di sekitar kawasan berkenaan.


Sementara itu, Stojanovic berkata, orang ramai melayannya dengan baik dan selalu datang membawa makanan atau pakaian untuknya. "Kadang-kadang saya terpaksa mencari makanan dari tong sampah dan kadang-kadang ia sangat berkhasiat.

"Saya hairan melihat makanan yang dibuang orang ramai," katanya.


Stojanovic berkata, dia juga bersedia jika ditakdirkan mati dalam kubur seluas dua meter persegi itu.


"Sekurang-kurangnya saya dapat mati di tempat yang sesuai," katanya. Sementara itu, pihak yang menguruskan tanah perkuburan itu berkata, Stojanovic boleh tinggal di situ selagi dia tidak mengganggu sesiapa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Polis jumpa 250 pistol, 1 bazuka

Posted:

Berlin: Polis yang menjalankan operasi mencari di sebuah rumah dinaiki air di Hannover terkejut menemui sejumlah senjata api termasuk 250 pistol dan satu bazuka.

Sumber polis Jerman semalam berkata, mereka mengunjungi rumah pangsa kosong itu selepas menerima laporan jiran mengadu ada kebocoran menyebabkan kediaman mereka diresapi air. Bagaimanapun, katanya, selepas masuk ke premis itu, polis terkejut apabila menemui senjata peribadi kepunyaan bekas penjenayah, Uwe Giesemann.


Giesemann, 69, kini masih belum ditemui dan polis merayu orang awam supaya membantu mengesannya. Penemuan itu mendorong polis membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Hannover yang dimiliki Giesemann.

Sumber berkata, secara keseluruhan polis menemui 250 pistol, mesingan, komponen senjata, bom tangan, teropong malam, bazuka dan peluru. Polis juga menemui wang bernilai RM1.2 juta serta pelbagai jenis jam mahal.


"Polis menemui senjata itu November tahun lalu, tetapi butirannya hanya didedahkan hari ini kerana pihak berkuasa masih memburu Giesemann," katanya.


Nilai rampasan itu dianggarkan lebih RM4.1 juta.

Sementara itu, jurucakap polis Hannover berkata, rampasan itu yang terbesar pernah dilakukan mereka setakat ini. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Jual dahi untuk bayar hutang

Posted:

London: Seorang lelaki David Taylor bersedia menyiarkan iklan di dahinya bagi membantu menyelesaikan hutang sebanyak 25,000 pound (RM 119,832) yang ditanggung keluarganya.

Dia mengiklankan kesediaannya itu di eBay bagi mendapatkan pengiklan.


Taylor, 30, kehilangan pekerjaan ekoran nahas kereta yang menyebabkan dia mengalami kecelaruan stres pasca-trauma.

Juruteknik dari Grimsby, Lincs itu yang dulu memperoleh pendapatan 40,000 pound (RM191,742) setahun dan mampu bercuti bersama keluarga dan membeli barangan mewah kini hidup melarat. Dia pernah bertugas di luar negara untuk syarikat audio serta menyertai persidangan perubatan berprestij kini cuba menjual kelengkapan rumahnya untuk menyara hidup dan membayar 25,493 pound (RM122,202) hutang kad kredit dan bil telefon keluarga.


Taylor berkata: "Saya sudah cuba semua cara untuk membayar hutang itu. Saya sudah lakukan pelbagai kerja dan membaiki beberapa kereta dalam usaha memulihkan kehidupan saya. "Kemalangan itu menyebabkan saya mengalami kecelaruan stres pasca-trauma dan saya tidak berupaya keluar dari rumah. Ia adalah penyakit yang paling buruk. Saya mendapat serangan keresahan yang teruk. Mereka tidak boleh mengubatinya." Taylor menambah: "Saya lakukan semua kerja bagi membolehkan keluarga saya terus hidup." Dia mendapat idea menjual dahinya untuk diiklankan selepas menyaksikan seorang rakyat Amerika memperoleh 10,000 pound (RM47,935) dengan cara itu.


Menurutnya, dia boleh membuat perjanjian dengan mana-mana syarikat tertentu, tetapi turut menimbangkan beberapa firma yang berminat. Taylor berkata, dia akan menghadiri sebarang acara promosi yang diperlukan syarikat terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Menangis di mahkamah

Posted:

Atlet berkaki kudung digelar Blade Runner, Oscar Pistorius, menangis di mahkamah semalam ketika dia didakwa membunuh kekasihnya, semalam.

Bintang paralimpik itu menekup muka dengan tangannya ketika tuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Pretoria.


Atlet berusia 26 tahun itu didakwa membunuh model yang pernah menjadi penghias muka depan majalah lelaki, FHM, pada awal pagi kelmarin (waktu tempatan).

Gagal mengawal emosi, Pistorius ditenangkan bapa dan adik-beradiknya dalam kamar mahkamah yang sesak dengan orang ramai dan jurugambar.


Perbicaraan pembunuhan Reeva Steenkamp, 30, semalam turut mendedahkan senjata didakwa digunakan Pistorius, iaitu sepucuk pistol 9mm.


Ia jelas kelihatan dalam bungkusan plastik dibawa polis. Media melaporkan, Reeva ditembak empat kali oleh Pistorious melalui pintu bilik mandi. Bapa Pistorius, Henke, serta adiknya, Carl dan Aimee, hadir untuk memberi sokongan moral kepada tertuduh. Pistorius mula teresak-esak dan menutup muka dengan tangannya ketika tuduhan dibacakan. Majistret Desmond Nair kemudian menenangkan Pistorius dan meminta dia duduk.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Polis Thai rampas 2j pil dadah

Posted:

Bangkok: Polis Thai merampas hampir dua juta pil methamphetamine daripada penyeludup dekat sempadan di utara negara itu dalam satu daripada serbuan dadah terbesar tahun ini.

Pegawai kanan polis, Kolonel Panudet Boonruang semalam berkata, pihak berkuasa menahan tiga lelaki etnik minoriti Hmong selepas mengejar dua trak pikap dekat sempadan Thai-Myanmar di wilayah Chiang Rai malam kelmarin. Polis merampas 1.97 juta pil methamphetamine dan 20 kilogram serbuk meth yang disembunyikan dalam satu daripada trak berkenaan.


Timbalan Perdana Menteri Chalerm Yubumrung berkata, pihak berkuasa Thai akan meminta Interpol membantu mengesan pengeluar dadah di Myanmar. Thailand adalah negara transit untuk dadah menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih daripada 15 juta pil methamphetamine diseludup melalui sempadan di utara dan timur laut negara itu pada 2011. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Digantung tugas kerana hubungan sulit

Posted:

Jakarta: Satu tribunal etik yang ditubuhkan bersama oleh Suruhanjaya Kehakiman dan Mahkamah Agung semalam menggantung seorang hakim wanita selama dua tahun kerana menjalinkan hubungan sulit.

Hakim terbabit yang hanya disebut dalam kes itu sebagai ADA dari Mahkamah Daerah Simalungun di Sumatera Utara, dibicarakan selepas menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin, anggota polis tempatan.


Sebelum ini, Mahkamah Agung mengenakan tindakan memotong elaun hakim itu kerana tidak mempunyai bukti secukupnya mengenai salah lakunya. Trinbunal etika itu mendapati ADA bersalah melanggar kod etika. Ia bagaimanapun mengambil keputusan untuk tidak memecatnya memandangkan ADA sudah memutuskan hubungan dengan lelaki itu dan berpendapat hakim berkenaan mempunyai karier yang panjang dalam bidang kehakiman.- JP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Tolak perintah berkurung

Posted:

Cadangan Timbalan Perdana Menteri Chalerm Yubamrung untuk menguatkuasakan perintah berkurung di selatan Thai ditolak oleh agensi pembangunan dan pemimpin Yala.

Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) dan pemimpin Yala semalam berkata, mereka lebih berminat jika kerajaan membenarkan penduduk menjaga dan mempertahankan hal ehwal mereka sendiri.


Bantahan itu disuarakan selepas perbincangan antara Setiausaha Agung SBPAC, Thawee Sodsong dengan pemimpin masyarakat Yala, semalam.

Charlem mengemukakan cadangan itu minggu lalu dengan alas an ia akan dapat mengekang keganasan di wilayah terbabit. Thawee berkata, pihaknya mahu menyerahkan kuasa kepada pemimpin tempatan untuk membolehkan mereka menjaga keselamatan masyarakat mereka sendiri. Menurutnya, meskipun orang luar menganggap kawasan itu berbahaya, penduduk tempatan berkata ia selamat.


Beliau menentang cadangan menguatkuasakan perintah berkurang kerana yakin penduduk tempatan lebih mengetahui masalah di kawasan mereka.


"Kerajaan perlu mendengar pendapat penduduk tempatan," katanya.

Pemimpin agama di daerah Krong Pinang di Yala, tempat perintah berkurung dijangka dilaksanakan berkata, kebanyakan penduduk menolak cadangan itu.


"Kerajaan perlu datang ke tempat kami untuk mendapat maklumat mengenai keadaan sebenar sebelum membuat sebarang tindakan. Dengan mengenakan perintah berkurung hanya akan mendorong lebih banyak keganasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Bulgaria usir delegasi Hamas

Posted:

Sofia: Bulgaria semalam mengusir delegasi pelawat dari Hamas, kata seorang ketua pertubuhan yang menjemput wakil rakyat pertubuhan itu ke negara Kesatuan Eropah (EU) berkenaan.

Pegawai Pusat Kajian Timur Tengah Mohd Abuasi berkata, ejen perkhidmatan keselamatan Bulgaria memasuki bilik hotel tiga ahli politik terbabit pada awal pagi dan membawa mereka ke lapangan terbang. "Ejen terbabit memberitahu, mereka terpaksa meninggalkan Bulgaria kerana negara itu mendapat tekanan kuat dari Israel.


"Delegasi Hamas itu kemudian berlepas menuju Istanbul," katanya. Menteri Dalam Negeri Bulgaria, Tsvetan Tsvetanov berkata, mengesahkan delegasi Hamas itu meninggalkan Bulgaria, tetapi tidak menyatakan sama ada mereka diusir atau sebaliknya. Seperti AS, EU menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas dan mereka hanya berhubung dengan Pihak Berkuasa Palestin mentadbir Tebing Barat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Tentera India tembak mati askar Pakistan

Posted:

Islamabad: Pihak berkuasa semalam berkata, seorang tentera Pakistan terbunuh di sepanjang sempadan yang memisahkan wilayah Kashmir.

Dalam mesej teks kepada media, seorang pegawai tentera Pakistan berkata, mangsa dilaporkan terbunuh malam kelmarin selepas melintasi sempadan secara tidak sengaja.


Jurucakap tentera India pula berkata, berlaku tembak-menembak di antara tentera Pakistan terbabit dengan tentera India.

"Seorang tentera India cedera akibat insiden itu," katanya. Jurucakap itu berkata, mayat tentera terbabit akan diserahkan kepada Pakistan dengan "penuh penghormatan." Januari lalu, tiga tentera Pakistan dan dua tentera India maut dalam siri serangan di sepanjang sempadan berkenaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

100 orang awam diculik

Posted:

Lebih 100 orang awam diculik kumpulan bersenjata di wilayah Idlib dalam beberapa insiden berasingan, kata sebuah pertubuhan semalam.

Menyatakan kebimbangan terhadap 'penculikan mazhab' itu, Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, kejadian itu berlaku dua kali di wilayah barat laut negara berkenaan. Menurut pertubuhan berpangkalan di Britain itu, sekumpulan 70 lelaki dan wanita menaiki empat bas mini ditahan dan diculik berhampiran pos pemeriksaan tentera.


"Mereka dalam perjalanan menuju bandar Idlib danditahan sekumpulan lelaki bersenjata prokerajaan," katanya. Pertubuhan itu berkata, penculik terbabit berasal dari perkampungan Syiah al-Fua dan Kafraya manakala mangsa kebanyakannya bermazhab Sunni dari kampung Saraqeb serta Binnish. Beberapa jam sebelum itu, sekumpulan lelaki bersenjata menculik sekurang-kurangnya 40 orang awam lain dengan sebahagian besar mereka adalah wanita dan kanak-kanak.

"Kedua-dua kejadian itu berlaku di kawasan sama," katanya. Majoriti pejuang antikerajaan adalah penganut Islam bermazhab Sunni, manakala tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad adalah Syiah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

No comments:

Post a Comment