Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Salah bedah paru-paru

Posted:

London: Satu siasatan dilancarkan semalam selepas pakar bedah di sebuah hospital yang dikecam mengalihkan bahagian salah paru-paru pesakit.

Pembedahan tidak senonoh itu dijalankan di Hospital Basildon di Essex menyaksikan pakar bedah mengalihkan bahagian bawah paru-paru pesakit wanita walaupun mereka sebenarnya perlu memindahkan bahagian atas paru-parunya.


Kesilapan besar itu dikenali sebagai "pembedahan bahagian yang salah" dirujuk sebagai kesalahan dalam nota perubatan pesakit terbabit.

Pesakit wanita berkenaan bagaimanapun terselamat dalam prosedur Disember lalu itu, tetapi siasatan dilancarkan bagi mengetahui bagaimana kesilapan sebesar itu boleh berlaku.


Sumber hospital yang enggan dikenali berkata: "Kelihatannya nota perubatan pesakit dari Hospital Broomfield itu diisi secara salah dan menunjukkan bahagian salah pada paru-paru yang dibedah.


"Hospital Broomfield berkata, itu bahagian yang salah. Kelihatannya kesilapan itu dilakukan di Broomfield, tetapi siasatan akan menentukan sama ada ia dilakukan di Basildon." Pengarah Perubatan di Basildon dan Hospital Besar Thurrock, Dr Steve Morgan berkata: "Pada Disember lalu terdapat insiden pembedahan bahagian yang salah. Kajian sedang dibuat terhadap insiden serius itu.

Foto

HOSPITAL Basildon dikecam kerana pakar bedahnya dipercayai melakukan kesilapan dalam pembedahan.

"Tiada siapa digantung dan situasi insiden itu agak rumit." Jurucakap Hospital Broomfield di Chelmsford, Essex, berkata: "Hospital Basildon menyedari insiden itu dan seiring dengan polisi keselamatan dalaman dan pemerintahannya, siasatan penuh akan dilakukan.


"Ia akan mengkaji prosedur klinikal dalaman selepas siasatan itu." - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Sah rangka Richard III

Posted:

Leicester: Saintis berkata, mereka menemui sisa rangka pemerintah England Raja Richard III yang berusia 500 tahun di bawah ruang parkir kereta di bandar ini.

Penyelidik Universiti Leicester berkata, ia "melewati keraguan munasabah" bahawa rangka manusia yang digali tahun lalu itu ialah raja berkenaan yang mati ketika pertempuran di medan Bosworth pada 1485. Ahli Osteologi Jo Appleby semalam berkata, kajian terhadap tulang terbabit menunjukkan ia adalah "kes pengenalpastian identiti Richard III yang meyakinkan".


Dan DNA daripada rangka itu juga berpadanan dengan sampel yang dibawa daripada saudara jauhnya yang masih hidup.

Anggota monarki Inggeris yang mati dalam peperangan, Richard digambarkan dalam pementasan oleh William Shakespeare sebagai si perampas bongkok yang meninggalkan jejak mayat termasuk anak saudaranya yang dibunuh di Menara London dalam usahanya untuk meraih kuasa pemerintahan.


Ramai ahli sejarah berkata, imej kejam itu tidak adil. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Warga Britain jalani hukuman mati

Posted:

London: Pengedar dadah British, Lindsay Sandiford akan dihukum mati dalam tempoh beberapa minggu selepas Indonesia memberi isyarat untuk melaksanakan semula hukuman mati di negara itu.

Tiada siapa pernah dihukum mati di negara terbabit sejak 2008 dan disebabkan ini sekurang-kurangnya 12 banduan yang berdepan hukuman akan menjalaninya tidak lama lagi.


Peguam Negara Indonesia, Basrief Arief mengumumkan kelmarin hukuman mati akan dijalankan semula tidak lama lagi.

Sumber di Bali, tempat Lindsay, 56, ditahan selepas dijatuhkan hukuman bulan lalu mengatakan jenayahnya mendorong kerajaan Indonesia memutuskan untuk menjalankan semula hukuman mati.


Lindsay diberkas menyeludup kokain bernilai 1.6 juta pound (RM7.7 juta) di lapangan terbang Bali tahun lalu. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

MNLF serang Abu Sayyaf

Posted:

Manila: Militan al-Qaeda bertempur dengan kumpulan pemberontak lebih besar, Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh di selatan Filipina, kata polis semalam.

Seorang komander MNLF berkata, kumpulannya menyerang Abu Sayyaf selepas militan terbabit enggan membebaskan beberapa warga asing yang menjadi tahanan mereka sejak beberapa bulan lalu.


Antara tebusan Abu Sayyaf ketika ini ialah wartawan stesen televisyen Jordan serta dua lelaki Eropah.

Sabtu lalu, dua tahanan Abu Sayyaf yang juga warga Filipina, ditemui polis selepas dibebaskan militan terbabit.


Sumber polis berkata, lapan anggota MNLF dan sekurang-kurangnya 13 militan Abu Sayyaf terbunuh dalam pertempuran di kawasan hutan pergunungan berhampiran bandar Patikul, Sulu itu.


Ratusan anggota MNLF berkhemah di kawasan berkenaan sejak tiga minggu lalu untuk memberi tekanan kepada Abu Sayyaf membebaskan tahanan mereka.

Walaupun dianggap pemberontak, MNLF yang beraliran nasionalis menandatangani perjanjian damai dengan Manila dan diberi kuasa autonomi pada akhir 1980-an. Sementara itu, Ketua Polis Sulu, Antonio Freyra, berkata tiada sebarang maklumat mengenai nasib tebusan Abu Sayyaf selepas pertempuran itu. "Pertempuran mula reda selepas anggota Abu Sayyaf berpecah kepada kumpulan lebih kecil dan berundur dari Patikul.


"Bagaimanapun, pertempuran boleh tercetus semula," katanya. Insiden semalam adalah pertempuran besar pertama di antara kedua-dua kumpulan.

Sesetengah pihak mengesyaki Abu Sayyaf pernah bekerjasama dengan MNFL menculik individu tertentu, selain menyerang tentera kerajaan di selatan Filipina. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Susilo digesa selamatkan Parti Demokrat

Posted:

Jakarta: Setiausaha Majlis Tertinggi Dewan Pimpinan Pusat Parti Demokrat, Jero Wacik, berkata sokongan diterima mereka terus menurun dari semasa ke semasa.

"Kami tak mahu Parti Demokrat akhirnya hilang sokongan sama sekali.


"Tiba masa untuk Susilo campur tangan," katanya di sidang media di rumahnya, semalam.

Menurut Jero, antara faktor yang menyumbang kepada penurunan sokongan itu ialah pembabitan beberapa pemimpin kanan parti berkenaan dalam kes rasuah. Turut memberi kesan, kata Jero, ialah dakwaan pembabitan rasuah Presiden Parti Demokrat, Anas Urbaningrum.


Disebabkan isu itu, kata Jero, masyarakat mengaitkan Parti Demokrat dengan kes rasuah.


"Jika Susilo tidak campur tangan, Parti Demokrat akan berada di ambang kehancuran," katanya. Beberapa hari lalu, kaji selidik mendapati, Parti Golkar berpeluang besar memenangi pilihan raya jika pengundian dijalankan pada waktu ini, diikuti Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan. - kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Ada lagi yang akan disiasat

Posted:

Jakarta: Parti Keadilan Sejahtera (PKS) mungkin menerima satu lagi tamparan hebat selepas agensi antirasuah Indonesia mendedahkan, lebih ramai akan ditahan dalam siasatan skandal pengimportan daging lembu kerajaan.

Jurucakap Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia, Johan Budi, berkata agensi itu mula menyoal siasat sejumlah saksi dalam kes berkenaan.


"Kita tunggu bagaimana proses ini berjalan dan kami tidak pernah mendiskriminasi sesiapa.

"Jika didapati ada individu lain terbabit, mereka juga akan didakwa," katanya.


Ketika ini, bekas pemimpin PKS, Luthfi Hasan Ishaaq, berada dalam tahanan agensi itu selepas disyaki terbabit dalam rasuah.


KPK juga mengambil kenyataan daripada penyalur maklumat di kalangan ahli PKS.

Tidak terkecuali, presiden baru PKS, Anis Matta. Rabu lalu, pembantu Luthfi, Ahmad Fathanah, ditahan selepas menerima wang bernilai kira-kira RM318,000 daripada dua eksekutif syarikat pengimport daging, PT Indoguna Utama, yang dianggap sebagai suapan.


Pengimportan daging terletak di bawah pengawasan Kementerian Pertanian yang diketuai Suswono, seorang pemimpin kanan PKS. - Republika

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Ratu Cantik Indonesia mahu bantu kanak-kanak jalanan

Posted:

Jakarta: Ratu Cantik Indonesia 2013, Whulandary Herman, berkata dia mahu membantu kanak-kanak jalanan sebagai sebahagian daripada tugasannya selepas dimahkotakan gelaran itu.

Katanya, ketika menyertai pertandingan itu, penganjur membawa semua peserta melawat kanak-kanak yang terbiar di jalanan.


"Melihat keadaan itu, saya berjanji kepada diri sendiri sama ada menang atau kalah saya akan ke sana semula untuk membantu mereka," katanya.

Berdasarkan pemerhatiannya, Whulandary berkata, selain wang, kanak-kanak terbabit juga perlukan perhatian. Katanya, selepas diumum sebagai pemenang, dia akan menjadikan lawatan ke komuniti kanak-kanak jalanan sebagai sebahagian daripada program rasminya. Wanita kelahiran Sumatera Barat itu dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Indonesia, Sabtu lalu. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Israel akan menyesal

Posted:

Beirut: Iran semalam memberitahu Israel, rejim Zionis itu akan menyesal kerana melancarkan serangan udara ke atas Syria minggu lalu.

Tanpa menyatakan sama ada Iran atau sekutunya merancang tindak balas ketenteraan, Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Iran Saeed Jalili berkata, apa dilakukan Tel Aviv itu sama seperti serangan pernah mereka lakukan ke negara lain sebelum ini.


Katanya, insiden itu tidak ubah seperti perang 34 hari Israel dengan pejuang Hizbullah Lubnan pada 2006 serta konflik lain.

Semua perang itu, kata Saeed, menyebabkan Israel hidup dalam penyesalan.


"Hari ini juga, kerajaan dan rakyat Syria melihat isu serangan udara berkenaan dengan serius. Komuniti Islam turut berpihak menyokong Syria," katanya di sidang media di Damsyik, semalam.


Sebelum itu, Saeed mengadakan rundingan dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad Israel mengaku menyerang kawasan milik tentera Syria di barat laut Damsyik pada Rabu minggu lalu. Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak berkata, serangan ke atas kompleks tentera minggu lalu menunjukkan rejim Zionis itu serius menghalang aliran senjata ke Lubnan. Saeed berkata, Iran sebagai Ketua Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) akan bekerjasama bagi pihak Syria di peringkat antarabangsa bagi menyatakan tindak balas atas serangan berkenaan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Penunjuk perasaan ubah cerita

Posted:

Kaherah: Selepas mendakwa polis menyelamatkannya, seorang penunjuk perasaan yang dilihat dibelasah anggota keselamatan menukar pengakuannya, semalam.

Hamada Saber berkata, dia mengubah kenyataannya selepas keluarga memulaukannya dan seluruh rakyat Mesir marah atas pengakuan itu.


Hamada, 50, juga kecewa dijadikan bahan gurauan di Facebook.

Ketika dirawat di hospital polis, Hamada berkata, polis menyelamatkannya daripada diserang penunjuk perasaan yang sebelum itu membogelkannya.


Bagaimanapun, keluarganya mendakwa lelaki itu membuat pengakuan secara paksa. Agensi berita Mena pula melaporkan, Hamada menyebelahi polis untuk 'mengekang krisis' yang melanda Mesir ketika ini. Insiden menimpa Hamada menaikkan kemarahan orang ramai selepas rakaman kejadian itu dimuat naik di Internet. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Negara pengganas

Posted:

Moscow: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, menganggap Israel negara pengganas kerana menyerang wilayah Syria pada 29 Januari lalu.

"Seperti pernah saya katakan dulu dan hari ini saya nyatakan sekali lagi - Israel negara berminda pengganas.


"Apa dan di mana keganasan yang mereka lakukan tidak penting," katanya dipetik stesen televisyen al-Jazeera, semalam. Kenyataan Recep itu mengecam pendirian Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak yang berdalih kononnya serangan udara itu hasil pertemuan peringkat tinggi diplomat di Munich, Jerman. Kata Recep, tindakan Israel itu seolah-olah kemarahan anak manja yang meradang apabila keinginannya tidak dipenuhi. Pegawai Amerika Syarikat mengakui, serangan Israel itu disasarkan ke kompleks tentera yang menempatkan peluru berpandu.

Tel Aviv bimbang peluru berpandu berkenaan dihantar kepada kumpulan Hizbullah. Laporan terdahulu juga membayangkan, jet tentera Israel menyasarkan dua lokasi berasingan dalam serangan berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

No comments:

Post a Comment