Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Kita kurang ketahanan'

Posted:

Kuala Lumpur: Lucas Leiva sedia menjadi 'bapa' kepada Phillipe Coutinho di Liverpool, pemain tengah Chelsea dari Sepanyol, Juan Mata selesa apabila berkumpul dengan rakan sepasukan yang bertutur satu bahasa manakala Yohan Cabaye sedia membantu rakan sepasukan barunya dari Perancis untuk menyesuaikan diri di Newcastle.

Semua kisah itu mempunyai persamaan, iaitu mahu memastikan setiap pemain yang baru berpindah pasukan berasa bagaikan di rumah sendiri sekali gus memotivasikan mereka memenuhi matlamat pasukan.


Mungkinkah semua 'kelebihan' itu tidak dimiliki Nazmi Faiz Mansor hingga memaksa bekas pemain SC Biera Mar, Portugal itu pulang ke tanah air selepas berkelana tidak sampai lapan bulan? Biarpun Nazmi hingga kini belum mendedahkan apa sebenarnya faktor yang menyebabkan dirinya membuat keputusan mengejutkan dunia bola sepak tempatan, tidak dinafikan dia mungkin 'canggung' berada di negara orang pada usia semuda itu.

Pandangan itu disokong Profesor Psikologi Sukan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Shaharudin Abdul Aziz, (gambar) yang menyatakan orang Melayu masih kurang ketahanan apabila merantau ke negara orang.


Menurutnya, kurangnya semangat merantau itu menyebabkan ada yang lebih selesa berada dalam kelompok sendiri dan sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara lain.


"Jika dilihat pemain bukan Melayu seperti Titus James Palani lebih mudah menyesuaikan diri dan mampu meneruskan karier untuk satu tempoh yang panjang," katanya.

Ketika ditanya adakah kerana ketiadaan rakan untuk membantunya menyesuaikan diri mungkin menjadi punca pemain itu meninggalkan Portugal, beliau menjelaskan kebarangkalian itu tetap ada.


Beliau mengaku penghijrahan ramai pemain Perancis atau Sepanyol ke Liga Perdana Inggeris memudahkan mereka untuk membiasakan diri dengan suasana di England demi memastikan kerjaya mereka tidak menghadapi masalah.

"Apabila pergi ke sana, daya tahan memainkan peranan. Disebabkan bahasa, budaya, pergaulan dan penerimaan yang berbeza sehingga membentuk kepada terlalu banyak perbezaan, situasi itu menyebabkan seseorang tidak bertahan lama." Begitupun menurut Shaharudin, apa saja persoalan mengenai pemain itu mungkin dapat diselesaikan jika Nazmi membuka mulut apatah lagi beliau menganggap pendekatan itu 'kurang manis'.


"Pada mulanya semua orang anggap segala-galanya baik apabila pemain itu menceritakan pengalamannya ketika mula menyertai kelab itu tapi sebaik memutuskan untuk keluar secara tiba-tiba, ia mencetuskan banyak tanda tanya mengenai apa yang berlaku sebenarnya," katanya.


Pelbagai spekulasi dikaitkan dengan kepulangan pemain muda itu minggu lalu, antaranya dilepaskan sementara selama enam bulan oleh Biera-Mar, gaji yang dikatakan tidak mencukupi hinggalah krisis dengan teman wanita yang 'membawanya' pulang ke tanah air. Tetapi hanya pemain itu yang mempunyai jawapannya.


"Dia perlu sedar, dia kini sudah menjadi perhatian ramai seperti seorang artis. Walaupun kehidupannya sesuatu yang peribadi, dia perlu memberi penjelasan bagi mengelak ia berterusan." Justeru Shaharudin berpendapat dua aspek perlu diberi perhatian, sebaik seorang pemain meletakkan matlamat beraksi di luar negara, dia perlu berusaha ke arah itu selain perlu mempunyai daya tahan tinggi.


"Mereka perlu membulatkan tekad untuk menjadi pemain bertaraf dunia dan mempunyai daya tahan bersaing dan psikologi sukan memainkan peranan penting. "Pada era 1970-an dan 80-an, atlet Russia dan Blok Timur muncul juara dunia. Mengapa? Kerana mereka menganggap pihak lawan sama hebat dan mereka perlu berusaha untuk meningkatkan kemampuan untuk menjadi lebih baik."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Pusingan U Shahidan

Posted:

Kangar: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) membuat pusingan U semalam apabila menghantar surat jawapan lebih 10 muka surat berkenaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjawab surat pertuduhan diterima Presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Setiausaha Kehormat PFA, Ammar Hassan mengesahkan sudah menghantar surat itu petang kelmarin selepas menerima nasihat presiden dan pihak FAM mengesahkan menerima surat itu.


"Surat setebal lebih 10 muka surat itu dihantar melalui faks ke pejabat FAM dan disusuli pertemuan Rabu ini.

"Surat itu meminta Presiden mengakui pertuduhan yang dikenakan atau membuat rayuan," katanya selepas mempengerusi mesyuarat khas PFA.


Menurutnya, antara kandungan surat ialah penjelasan terperinci mengenai kenyataan Shahidan termasuk sokongan terhadap Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.


Katanya, surat jawapan itu juga menjelaskan maksud sebenar kenyataan yang disalah tafsir FAM.

Ammar berkata, dalam surat itu Shahidan menyatakan, dia ingin dibicarakan dan tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan itu.


Sementara itu, Shahidan berkata, dalam kenyataan sebelum ini, dia hanya mahu menyuarakan sokongan kepada FAM selepas badan induk itu dihentam mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Dalam kenyataan itu kita mahu kebaikan bagi meningkatkan mutu bola sepak, dan ia juga hasil mesyuarat PFA yang diadakan ketika isu itu hangat dilaporkan.


"Saya juga beritahu jika mahu kritikan dihentikan, transformasi dengan memberi bantuan kepada persatuan negeri yang lemah perlu dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Janji mula mantap

Posted:

Kuala Lumpur: Hari ini, masyarakat Cina seluruh Malaysia menyambut Tahun Baru Cina dan buat pasukan Harian Metro SCK Honda Racing, perayaan kali ini membawa makna yang amat mendalam kerana ia menandakan titik permulaan kempen mereka untuk bergelar pasukan paling mantap dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Bagi pengurus pasukan, Soong Chee Kieong kehadiran tahun baru kali ini amat berbeza. Jika sebelum ini mengharapkan tuah menyebelahi mereka untuk memenangi perlumbaan, tahun ini SCK Racing meletak sasaran tinggi mencipta rekod sebagai pasukan pertama memenangi kategori CP130 buat kali ketiga berturut-turut.


"Kami memiliki matlamat yang amat tinggi pada sambutan Tahun Baru Cina ini, iaitu mencipta hatrik sebagai juara individu dan berpasukan CP130 pada 2013," kata Chee Kieong.

"Secara realistik, sasaran ini amat sukar, hampir mustahil dicapai kerana tiada pasukan pernah melakukannya. "Tambahan pula, saban tahun, saingan pasti lebih sengit dan setiap pelumba dan pasukan terpaksa berusaha lebih gigih merebut podium. "Namun saya percaya jika SCK Racing boleh mempamerkan aksi serupa seperti musim lalu dan dengan sedikit nasib, kami mampu mencapai objektif ini." Sejak beralih ke jentera Honda pada 2011, SCK Racing dilihat antara pasukan paling pesat membangun di padok Cub Prix. Pada tahun pertama bersama jentera Honda, mereka berjaya memenangi gelaran juara keseluruhan CP130 melalui Norizman Ismail dan musim lalu, menerusi Azlan Shah Kamaruzaman. Lebih memberangsangkan, SCK Racing turut memenangi gelaran pasukan terbaik kedua-dua musim itu.


Kelibat Mohd Affendi Rosli juga tidak kurang hebat apabila muncul naib juara 2011 dan 2012 manakala pelumba muda, Mohd Fitri Ashraf Razali turut cemerlang menduduki tempat ketujuh keseluruhan pada musim pertamanya beraksi di pentas CP130 tahun lalu.


Namun walaupun meyakini kemampuan pasukannya, Chee Kieong tidak mahu terlalu yakin kerana dia berpendapat Tahun Ular tidak begitu 'ong' (bertuah) berbanding Tahun Naga.

"Prestasi kami ketika ini boleh dikatakan amat baik dan saya boleh jamin Azlan, Affendi, Norizman dan Fitri pasti akan sentiasa berada di depan dalam setiap perlumbaan. "Bagaimanapun, kami perlu berhati-hati kerana berbanding Tahun Naga yang membawa nasib baik dan tuah melimpah-ruah, Tahun Ular Air lebih sukar diramal kerana dari sudut pandangan feng shui walaupun ia membawa banyak kebaikan dan rezeki, ia turut membawa kesulitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Katrina contoh terbaik

Posted:

Kuala Lumpur: Koleksi lima emas di Sukan SEA Indonesia 2011 melonjakkan nama Katrina Ann Abdul Hadi dan populariti sukan renang berirama negara.

Katrina turut menduduki tempat kelima rutin solo di Sukan Komanwel New Delhi 2010, meraih tiga pingat emas di Kejohanan Renang Asia Tenggara di Singapura tahun lalu dan mewakili Malaysia ke saingan kelayakan Olimpik London 2012.


Lantaran itu, tidak disangkal rata-rata pelapis terutama Gan Hua Wei, 14 dan Veronica Lee Yiat Lum, 14, menjadikan Katrina sebagai contoh terbaik untuk melakar kejayaan lebih hebat buat Malaysia khususnya di Olimpik 2016 dan 2020. Ikuti temubual dua atlet itu bersama idola mereka, Katrina.

Soalan (S): Apa pandangan Katrina terhadap prestasi kami setakat ini? Jawapan (J): Prestasi pelapis amat baik dan berada di landasan tepat untuk melakar kejayaan lebih baik. Pastinya, sebagai senior saya ingin mereka mengembangkan lagi sukan renang berirama negara dengan mengutip lebih banyak kemenangan di persada antarabangsa sekali gus menaikkan lagi nama Malaysia.


Jika dibandingkan dengan saya dulu, saya sudah wakili negara ke Sukan Asia dalam acara duet pada usia 14 tahun. Bukan tugas mudah dan pelapis kini diharap mampu melakukan sesuatu yang lebih hebat meskipun pada usia muda.


S: Mungkin ada nasihat untuk kami bergelar perenang berirama yang hebat? J: Perlu lebih banyak menjalani latihan intensif dan peka terhadap apa yang senior lakukan ketika sesi latihan. Ambil kami sebagai contoh dan belajar dari situ. Apatah lagi mungkin anda harapan terbaik mewakili negara ke Sukan Olimpik Rio 2016 atau 2020.

Tahun ini, anda akan ke Kejohanan Remaja Asia dan bagi saya tidak mustahil merangkul pingat perak dan bonus andai meraih emas.


S: Mungkin ada diet perlu kami amal atau kawal? J: Ikutkan, semua atlet perlu bijak mengawal pengambilan makanan. Apatah lagi atlet renang berirama, pastinya anda perlu mengawal berat badan dengan diet makanan seimbang.

S: Selain renang berirama, mungkin anda ada meminati sukan lain? J: Hakikatnya saya tidak punya masa terluang untuk sukan lain. Saya mencintai sukan renang berirama meskipun awalnya membabitkan diri dalam sukan gimnastik artistik. Itu bukti saya sukakan renang berirama dan bagi saya sukan ini mempunyai masa depan cerah.


S: Mungkin ada aktiviti lain yang anda suka lakukan? J: Suka menari. Ya, menari juga menjadi rutin renang berirama. Selain itu, saya juga suka membaca dan menulis.


S: Sebagai senior bagaimana jangkaan anda masa depan sukan ini? Khususnya memburu slot ke Olimpik? J: Jujurnya, kita kekurangan pelapis. Yang sedia ada mempamerkan prestasi memuaskan namun bagi saya lebih baik lahirkan lebih ramai muka baru. Buat masa ini, kita hanya mempunyai empat negeri saja yang menyumbang pelapis iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.


Pelapis juga ketandusan kejohanan dan mereka hanya beraksi satu saja kejohanan peringkat negeri setiap tahun. Mungkin ini membantutkan semangat negeri lain menggilap bakat baru kerana tiada kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Gary idam jadi guru

Posted:

Kuala Lumpur: Pemain bola sepak skuad Harimau Muda A, Gary Steven Robbat dalam diam memendam keinginan untuk menjadi guru andai tidak bergelar atlet.

Soalan (S): Jika bukan atlet, anda seorang...


Jawapan (J): Seorang pendidik, saya ingin bergelar guru.

S: Mengapa? J: Kerana guru melambangkan ilmu dan tugas sebagai seorang pendidik itu amat mulia. S: Mungkin ada pilihan mengajar subjek tertentu? J: Guru Bahasa Inggeris dan saya ingin mengajar di peringkat sekolah menengah kebangsaan.


S: Usia anda masih muda iaitu 21 tahun, mungkin ada rancangan merealisasikan impian ini? J: Mungkin cita-cita bergelar guru sekadar impian kerana saya sudah memilih sukan bola sepak sebagai kerjaya utama. Sukar untuk saya menyambung pengajian dalam bidang perguruan dan pada masa sama perlu fokus dalam bola sepak.


S: Adakah anda akan memupuk cita-cita menjadi guru kepada anak anda satu hari nanti? J: Mungkin. Tapi kalau boleh jika dikurniakan anak, saya mahu dia mengikut jejak saya dengan menjadi pemain bola sepak.

S: Anda belum berkahwin, mungkin sudah ada pilihan hati? J: Belum punya teman wanita. Saya ingin fokus pada kerjaya bola sepak terlebih dulu.


S: Apakah ciri-ciri wanita idaman? J: Hormat orang tua, lemah-lembut, pendiam dan kalau boleh berambut pendek boycut stail pixie kerana bagi saya ia bergaya.

S: Selain bola sepak mungkin ada meminati sukan lain? J: Saya suka badminton, malah akan bermain bersama rakan jika ada masa terluang.


S: Siapakah anda dalam tempoh lima atau 10 tahun lagi? J: Masih di padang, waktu itu saya ingin bergelar pemain terbaik serta sandaran negara. Saya memang cintakan bola sepak hinggakan jika sudah bersara sekalipun, saya ingin menjadi jurulatih kebangsaan pula.


S: Jika orang tidak mengenali anda, mereka menganggap anda seorang...


J: Pemalu. Saya akui memang pemalu apatah lagi bila ingin berbicara dengan seseorang yang tidak dikenali atau baru kenal. Kawan-kawan juga melabel saya sebagai seorang yang kurang bercakap.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Nazmi masih belum serasi dengan PKNS

Posted:

Pasir Gudang: Kehadiran bintang muda bola sepak negara, Mohd Nazmi Faiz Mansor pada separuh masa kedua perlawanan persahabatan antara PKNS dan Johor tidak memberi sebarang impak berikutan pasukan barunya itu tewas 0-2 kepada tuan rumah.

Pemain berusia 19 tahun itu tampak belum serasi bersama rakan sepasukan barunya pada perlawanan pertama bersama PKNS, selepas pulang secara mengejut dari kelabnya di Portugal, akhir bulan lalu. Johor mencatat kemenangan selesa 2-0 hasil jaringan minit ke-49 menerusi pemain import, Juan Muriel Orlando dan minit ke-59 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, semalam.


Nazmi ketika ditemui mengaku belum serasi bersama rakan sepasukan baru kerana baru pertama kali beraksi bersama.

Bekas pemain kelab Divisyen Satu Portugal, SC Beira-Mar itu berkata, dia memerlukan dua atau tiga perlawanan sebelum dapat membentuk keserasian tapi yakin boleh memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan barunya itu.


"Alhamdulilah perlawanan pertama saya bersama PKNS berjalan lancar tapi masih banyak aspek perlu diperbaiki, banyak kelemahan saya dan saya akan baikinya.


"Setakat ini saya belum mendapat keserasian dalam pasukan ini dan mungkin memerlukan dua atau tiga perlawanan sebelum kami mampu mengenali corak permainan masing-masing," katanya.

Pada masa sama, Nazmi berkata, dia akan menggunakan tempoh dua bulan untuk berlatih bagi memperkemaskan permainannya sebelum dibenarkan beraksi pada Liga Super April ini.


Pemain muda kebangsaan itu berkata, buat masa ini dia belum bersedia menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) kerana banyak perkara perlu diselesaikan.

"Bagi saya SPM perlukan persediaan rapi dan tidak boleh dipandang ringan." Pada perlawanan itu, Johor bermula garang dan terus mengasak namun nyaris terperangkap dengan serangan balas pantas pasukan pelawat.


Pada minit ke-27, gawang Johor nyaris dibolosi apabila pemain import PKNS, rembatan Patrick Welh Ronaldinho tepat ke pintu gol tapi berjaya ditepis penjaga gol, Mohd Fazli Paat.


Permainan bertambah menarik apabila kedua-dua pasukan saling menyerang namun kedudukan terikat 0-0 hingga akhir babak pertama. Johor mengubah corak permainan pada babak kedua dan hasilnya, Juan Muriel Orlando berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-49 hasil larian solo menarik dari kiri padang sebelum merembat deras menewaskan penjaga PKNS, Mohd Remezy Cheros.


Sepuluh minit kemudian, Juan Muriel Orlando menjaringkan gol kedua hasil hantaran silang Mohd Rashid Aya dari kanan pintu gol sebelum penyerang itu merembat masuk melepasi Mohd Remezy.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Perkuat mental

Posted:

Kuala Lumpur: Sukarkah menyesuaikan diri di tempat baru, apatah lagi di luar negara demi memastikan kelangsungan karier? Persoalan itu timbul sebaik mengetahui pemain muda, Nazmi Faiz Mansor hanya berada di Portugal selama lapan bulan bersama kelab SC Biera-Mar, sebelum kembali ke tanah air.

Bagi bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang pernah menarik perhatian peminat bola sepak negara apabila beraksi di dua kelab Perancis, Racing de Strasbourg dan FC SR Haguenau pada 2000 dan 2001, semua itu bergantung kepada diri sendiri.


Pemain yang kini beraksi dengan skuad negerinya, Kedah berkata, menyesuaikan diri dengan pasukan luar negara memang mencabar, terutama dengan cuaca, bahasa dan budaya berbeza.

"Jika kita ingin berjaya dalam bidang diceburi, semua itu perlu dihadapi. Saya mengambil masa tiga bulan untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Perancis, termasuk mengikuti kelas bahasa Perancis," katanya.


Berdasarkan pengalaman sendiri, Akmal menjelaskan, mempelajari selok-belok kehidupan serta bahasa sesebuah negara penting jika ingin meneruskan kehidupan sebagai pemain bola sepak di luar negara.


"Apatah lagi di negara seperti Perancis dan Portugal yang penduduknya kurang bercakap bahasa Inggeris. Begitupun kita perlu tekad dan nekad jika mahu menjadi pemain yang berjaya." Akmal, Juzaili Samion, Rudie Ramli dan Mohd Fadzli Shaari mencipta sejarah apabila diberi peluang mencuba nasib di Eropah pada awal alaf baru, apabila beraksi di Strasbourg, Perancis dan FC Wehen, Jerman.

Mengakui terkejut dengan apa yang berlaku kepada Nazmi Faiz, pemain veteran itu seperti peminat bola sepak lain, tidak dapat menduga apa yang sebenarnya dialami pemain itu.


"Cuma dia yang tahu apa sebenarnya berlaku dan kita perlu menghormati keputusannya. Bagi saya, dia mempunyai gaya permainan baik dan berpotensi pergi jauh.

"Saya harap pengalaman diperolehnya di Portugal dapat dimanfaatkan dalam permainan di Malaysia." Hakikat itu diakui Akmal sebaik pulang dari Perancis dan kembali beraksi di negara ini, apabila berpeluang menggunakan sepenuh pengalamannya untuk menjadi pemain yang lebih baik.


"Cuma saya tidak berpeluang meneruskan karier di Perancis selepas dua tahun di negara itu. Saya sepatutnya menyertai kelab divisyen satu Perancis tapi berdepan kecederaan hamstring," katanya.


Yang penting menurutnya, merebut peluang sedia ada dan melakukan persediaan mantap dari aspek fizikal dan mental demi menghadapi sebarang cabaran.


Ketika ditanya, adakah dia juga pernah berasa rindu ketika berada di rantau orang, Akmal sama sekali tidak menafikannya.


"Jika rindu, kita perlu kuat. Malah sekarang ada banyak kemudahan untuk berkomunikasi. Mungkin itu juga salah satu sebabnya, saya ketika itu baru berusia 18 tahun tapi hanya Nazmi Faiz sendiri yang tahu apa sebabnya dia berbuat demikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

No comments:

Post a Comment