Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kepulangan Nazmi tiada penjelasan

Posted:

Kepulangan pemain sensasi negara, Nazmi Faiz Mansor ke Malaysia seharusnya tidak disalah erti, sebaliknya ia adalah satu keputusan baik bagi meneruskan karier pemain muda negara itu.

Bapa pemain berusia 19 tahun itu, Mansor Mustapha berkata, beliau sendiri tidak dapat memberikan maklumat lebih lanjut mengenai anaknya itu kerana masih belum mendapat penjelasan terperinci dengan Nazmi sendiri yang pulang kelmarin.


"Nazmi pulang semalam (kelmarin) tapi setakat ini saya belum bersedia untuk memberi sebarang komen.

"Semua ini adalah untuk kebaikan Nazmi. Dia berada dalam keadaan baik dan tidak menghadapi sebarang tekanan," katanya.


Jelas Mansor, soal kepulangan Nazmi sudah dibincangkan oleh ejennya bersama kelabnya, S C Beira Mar serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


"Semua pihak perlu faham perkara ini masih belum jelas. "Yang pasti, semua ini tidak ada kena-mengena dengan isu yang timbul sebelum ini," katanya merujuk kepada percakaran antara Nazmi dengan Aidil Zafuan Abdul Radzak dalam laman sosial Twitter.

Usaha untuk mendapatkan komen Nazmi menemui jalan buntu selepas tinjauan ke rumahnya semalam mendapati tiada sesiapa menghuni rumah itu.


Arena Metro semalam melaporkan Nazmi yang berkelana di Portugal selepas menandatangani kontrak bersama Beira Mar pertengahan tahun lalu dilaporkan pulang untuk beraksi dengan pasukan Liga Super, Selangor PKNS.

Menurut laporan laman web FOX Sports.my, Nazmi mendapat pelepasan selama enam bulan.


Sementara itu, laman sosial Facebook PKNS FC semalam memuat naik gambar Nazmi bersalaman dengan pengurusan PKNS dengan menyatakan pemain itu sudah sah menjadi milik mereka.


Namun pengurus pasukan, Azmi Adnan enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengesahkan satu sidang media akan diadakan hari ini bagi merungkai segala persoalan membabitkan Nazmi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

'Kami akan berjaya'

Posted:

Penyerang Arsenal, Lukas Podolski menegaskan kelab yang disertainya itu pasti akan memenangi pemburuan untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara.

Arsenal akan menanti kunjungan Stoke malam ini untuk mengelak daripada meraih keputusan hambar selepas sekadar seri 2-2 ketika bertemu Liverpool.


Keputusan itu menyebabkan skuad kendalian Arsene Wenger menduduki tangga keenam liga, ketinggalan empat mata di belakang Tottenham yang menduduki tangga keempat, tetapi Podolski yakin Arsenal bukan saja mampu memintas Everton dan Tottenham, malah Chelsea yang menduduki tangga ketiga ketika ini.

"Kami perlu bersaing untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara dan inilah fokus utama kami.


"Kami mahukan tempat ketiga liga dan banyak perlawanan perlu dilalui. Kami juga bersaing dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara tapi fokus utama adalah Liga Perdana Inggeris.


"Kami mahu menamatkan saingan di tangga pertama tapi kami kehilangan banyak mata pada separuh saingan Liga Perdana dan kini jurangnya agak jauh," katanya.

Arsenal melepaskan gol pertama pada lima perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, satu fakta yang pasti akan diambil kira oleh Stoke yang sentiasa mencetus masalah buat Gunnners.


Liverpool di depan 2-0 menerusi gol Luis Suarez dan Jordan Henderson sebelum Olivier Giroud dan Theo Walcott menyamakan kedudukan dan Podolski berkata: "Masalah kami pada perlawanan terakhir ialah kami melepaskan gol dan terpaksa bangkit semula.

"Kami perlu bermula dengan baik sejak minit pertama dan menjaringkan gol pertama.


"Namun apabila anda ketinggalan 0-2, anda bangkit dengan penuh bersemangat. Inilah corak permainan kami sejak kebelakangan ini," katanya.


Wenger menyaksikan skuad kendaliannya menjaringkan 10 gol dalam tiga perlawanan terakhir tetapi turut dibolosi lima gol.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

Hukuman Hazard tidak ditambah

Posted:

London: Penggantungan tiga perlawanan Eden Hazard kerana menyepak seorang budak pengutip bola ketika Chelsea bertemu Swansea pada separuh akhir Piala Liga kekal selepas Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris tidak bercadang menambah hukuman itu.

Hazard dibuang padang kerana salah laku berikutan insiden di Stadium Liberty, yang menyaksikannya bergelut dengan budak pengutip bola, Charlie Morgan selepas remaja itu enggan memberikannya bola.


Kad merah pemain Belgium itu bermakna secara automatik digantung tiga perlawanan namun FA berasakan ia "tidak mencukupi" dan mempertimbangkan untuk menambah hukuman.

Namun satu kenyataan FA kelmarin menyebut: "Pemain Chelsea, Eden Hazard tidak akan dikenakan hukuman tambahan penggantungan tiga perlawanan kerana salah laku.


"Berikutan pendengaran kes hari ini, suruhanjaya peraturan bebas berasakan penggantungan tiga perlawanan kerana kesalahan itu wajar." Hazard, yang dibeli dengan harga £32 juta (RM157 juta) dari Lille hujung musim lalu, terlepas aksi seri Chelsea menentang Brentford dan Reading namun boleh diturunkan bagi perlawanan gelanggang sendiri menentang Wigan hujung minggu depan.


Walaupun sesetengah pemerhati bola sepak berasakan Hazard bertindak melampau, yang lainnya melahirkan simpati dan merujuk kepada Morgan, anak lelaki pengarah Swansea, yang menyatakan dalam laman sosial Twitter dia memang berniat melengah-lengahkan masa dan menghalang perancang utama Chelsea itu mengambil bola dengan berbaring di atasnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

Misi kembali prestasi terpuji

Posted:

Pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta mengakui pasukannya mesti melakar kemenangan berturutan jika mereka mahu mengembalikan semula kegerunan lawan apabila berdepan Blues.

Azpilicueta dan rakan sepasukannya berkunjung ke Newcastle malam ini selepas kecewa seri 2-2 di kelab bermasalah, Reading pada pertengahan minggu apabila mereka dibolosi dua gol lewat perlawanan selepas berada di ambang kemenangan.


Kekecewaan itu hadir selepas seri pada pusingan keempat Piala FA dengan kelab divisyen tiga, Brentford dan tersingkir pada separuh akhir Piala Liga di tangan Swansea.

Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez menegaskan pasukannya, ketika ini di tangga ketiga Liga Perdana namun hanya lima mata di depan pasukan tangga kelima, Everton, bermain cemerlang namun tidak menuai hasilnya.


Namun Azpilicueta sedar semakin lama prestasi semasa berterusan, sukar buat Blues untuk menggerunkan lawan mereka.


"Pasukan berasa takut apabila anda memenangi perlawanan berturut-turut. Menentang Reading kami beraksi baik dan mempunyai banyak peluang. Kami berasakan mereka bimbang dengan corak permainan kami tapi memang benar, apabila anda menang, anda akan lebih dihormati," kata Azpilicueta.

Azpilicueta turut akur kemerosotan prestasi semasa turut menjejaskan keyakinan pasukan dan memberi amaran mereka perlu melupakan kesan perlawanan Reading dengan segera menjelang pertemuan di St James' Park.


"Kami mempunyai ramai pemain berpengalaman. Mereka bermain banyak perlawanan penting. Kami berdepan situasi ini banyak kali," katanya.

"Ia juga berkaitan keyakinan. Apabila pasukan bagus, lebih mudah untuk membuka minda dan menangani situasi ini. Kini kami perlu memulihkan keyakinan diri kerana kami mempunyai perlawanan penting sebelum rehat aksi perlawanan antarabangsa."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

QPR pecah rekod perpindahan kelab

Posted:

London: Queens Park Rangers memecahkan rekod perpindahan mereka untuk mengikat Christopher Samba manakala Arsenal menyambar pertahanan Sepanyol, Nacho Monreal ketika jendela perpindahan pemain Januari ditutup di England, awal pagi semalam.

QPR ketika ini menghuni tangga tercorot Liga Perdana Inggeris dan pengurus, Harry Redknapp berharap bekas pertahanan tengah Blackburn Rovers, Samba mampu membantu mengukuhkan benteng pertahanannya.


Pertahanan Congo berbadan sasa itu diikat dengan kontrak empat setengah tahun dengan bayaran dilaporkan bernilai £12.5 juta (RM61.4 juta) dari kelab Russia, Anzhi Makhachkala.

"Saya amat gembira dapat kembali ke Liga Perdana. Ia liga terbaik di dunia," kata Samba dalam laman web QPR.


QPR turut melengkapkan pinjaman ke atas pemain tengah Tottenham Hotspur, Jermaine Jenas dan Andros Townsend, manakala pemain tengah Argentina, Alejandro Faurlin dibenarkan meninggalkan kelab untuk menyertai kelab Itali, Palermo secara pinjaman.


Arsenal pula mengumumkan perjanjian bernilai £8.3 juta (RM40.7 juta) buat mendapatkan pertahanan kiri antarabangsa Sepanyol, Monreal dari Malaga.

"Kami gembira Nacho Monreal bersetuju menyertai kami," kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger. "Kami sudah lama memantau perkembangannya dan hari ini semuanya selesai." Stoke City melakukan dua perpindahan lewat apabila membeli penjaga gol antarabangsa England, Jack Butland dari Birmingham City dan pemain sayap Amerika Syarikat, Brek Shea dari FC Dallas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

Kelebihan Ghana bertemu Cape Verde

Posted:

Port Elizabeth: Juara empat kali, Ghana bertindak cemerlang tepat pada masanya dan sepatutnya menamatkan kemaraan pasukan kerdil, Kepulauan Cape Verde apabila kedua-dua pasukan bertembung pada suku akhir Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi esok.

Selepas bergelut dengan keputusan seri pada perlawanan pembukaan kumpulan menentang DR Congo, Black Stars berada dalam kelas tersendiri apabila mudah mengatasi Niger 3-0 dengan satu daripada persembahan terbaik mereka buat sekian lama.


Namun, jurulatih, Kwesi Appiah melaungkan amaran kepada pencabar kejuaraan apabila berkata pasukannya masih belum mencapai prestasi terbaik.

"Kami bangkit menentang Niger tapi dengan 11 pemain yang beraksi kali pertama pada kejohanan ini, kami boleh bertindak lebih cemerlang," kata bekas pemain pertahanan antarabangsa itu.


"Ada beberapa perkara yang saya tidak suka mengenai perlawanan terakhir kami, kurang mempraktikkan taktikal tapi kami kini hanya 70 peratus pada tahap keupayaan sebenar." Sejak 2004, kedua-dua pasukan bertembung tiga kali dengan Ghana melakar rekod sempurna ke atas Blue Sharks.


November lalu, Ghana menumpaskan Cape Verde 1-0 pada perlawanan persahabatan di Portugal, namun Appiah berkata, beliau tidak terlalu mengambil kira keputusan itu.

"Ia tidak mudah menentang pasukan dengan permainan fizikal, penuh taktikal seperti Cape Verde, yang tidak rugi apa-apa pada peringkat ini," kata pengendali itu.


Ghana akan tampil dengan pasukan terkuat selepas tiga bintang yang dibelenggu kecederaan, Mubarak Wakaso, Anthony Annan dan Richmond Boakye-Yiadom kembali berlatih. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

Idam lepasi suku akhir

Posted:

Mali berhasrat untuk melepasi saingan suku akhir buat kali kedua berturut-turut pada saingan Piala Negara-Negara Afrika apabila mereka bertemu tuan rumah, Afrika Selatan awal pagi esok yang menyaksikan 60,000 tiket habis dijual.

Setahun lalu, penyerang berbadan sasa, Cheick Tidiane Diabate menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki enam minit untuk memaksa tuan rumah, Gabon beraksi pada masa tambahan serta penentuan penalti yang menyaksikan Mali muncul pemenang.


Afrika Selatan seperti Gabon adalah pasukan pilihan di sebalik kenyataan jurulatih, Gordon Igesund yang cuba meyakinkan media bahawa mereka bukanlah pasukan pilihan.

Mali menewaskan Afrika Selatan 2-0 pada saingan suku akhir ketika mereka menjadi tuan rumah kejohanan sama 11 tahun lalu dan sudah memenangi semua empat aksi suku akhir sebelum ini dengan tiga daripadanya pada masa sebenar sementara satu lagi menerusi penentuan penalti.


Kekalahan Afrika Selatan kepada lawan yang terletak di barat Afrika itu menamatkan rekod gemilang skuad Bafana Bafana yang muncul juara pada 1996, naib juara di Burkina Faso dua tahun selepas itu dan tempat ketiga di Ghana pada 2000.


Afrika Selatan tidak pernah melepasi pusingan pertama pada Piala Negara-Negara Afrika selepas itu sementara Mali meneruskan rentak cemerlang mereka apabila menduduki tempat ketiga tahun lalu di belakang Zambia yang muncul juara serta Ivory Coast.

Igesund yang berharap dapat memenangi Piala Negara-Negara Afrika selepas baru enam bulan mengambil alih kerusi panas itu daripada Pitso Mosimane, lebih bimbang dengan barisan pemain Mali berbanding penyokong setia mereka.


"Mali adalah sebuah pasukan yang mempunyai ramai pemain berbakat. Mereka menampilkan aksi berbeza berbanding pasukan lain yang kami temui sebelum ini.

"Barisan pemain mereka juga berbadan sasa. Saya menyaksikan perlawanan ketika mereka seri bertemu Congo dengan semua 11 pemainnya sangat tinggi.


"Kami perlu mengawal bola dengan baik dengan beraksi menerusi hantaran dari bawah," kata Igesund.


Sementara itu, jurulatih Mali yang juga bekas pertahanan Sunderland, Patrice Carteron dari Perancis mahu mengikut jejak langkah seorang lagi rakan senegaranya, Herve Renard yang membantu Zambia muncul juara tahun lalu.


"Setiap orang berharap Afrika Selatan dapat melangkah ke separuh akhir. Kami tidak berasa tertekan dan akan cuba mengecewakan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

Juve mungkin goyah tanpa Vucinic, Conte

Posted:

Milan: Kelebihan tiga mata Juventus ke atas Napoli di puncak Serie A mungkin tergugat hujung minggu ini apabila pasukan juara itu berkunjung ke Chievo tanpa penyerang, Mirko Vucinic dan jurulatih, Antonio Conte.

Vucinic seorang daripada beberapa pemain yang digantung satu perlawanan kerana kelakuan agresif terhadap pengadil selepas beliau enggan menghadiahkan penalti pada saat akhir ketika seri 1-1 dengan Genoa, baru-baru ini.


Turut tidak beraksi berikutan penggantungan itu pertahanan, Giorgio Chiellini (satu perlawanan) dan Leonardo Bonucci (dua) selain Conte (dua).

Pada pertengahan minggu, Juventus terkandas pada separuh akhir Piala Itali di tangan Lazio, yang menduduki tangga ketiga Serie A, enam mata di belakang pendahulu itu, berikutan gol lewat perlawanan Sergio Floccari di Stadium Olimpik.


Di samping itu, pemain tengah berpengaruh Claudio Marchisio mungkin diketepikan selama 10 hari selepas mengalami kecederaan pinggul kiri.


Menurut Juve, Chievo mungkin ada alasan terbaik melakukan kejutan. Kemungkinan Juve keciciran mata menceriakan Napoli, yang merapatkan kedudukan kepada tiga mata dengan mengatasi Parma minggu lalu hasil gol lewat bintang Uruguay, Edinson Cavani. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

Beckham dermawan

Posted:

Bekas kapten England, David Beckham menyertai kelab pendahulu Liga Perancis, Paris Saint-Germain menerusi kontrak selama lima bulan yang menyaksikan dia akan mendermakan keseluruhan gajinya kepada dana kebajikan kanak-kanak.

Pemain tengah berusia 37 tahun itu yang muncul antara ahli sukan popular di dunia dengan mempunyai kekayaan bersih £190 juta (RM934 juta), tidak menyertai mana-mana pasukan sejak meninggalkan Los Angeles Galaxy tahun lalu.


Namun selepas pelbagai spekulasi, bekas pemain Manchester United, Real Madrid dan AC Milan itu akhirnya diperkenalkan oleh pemilik PSG dari Qatar pada satu sidang media selepas dia melepasi ujian perubatan.

"Saya amat bertuah. Saya berusia 37 tahun dan menerima banyak tawaran. Saya memilih Paris kerana saya dapat melihat apa yang ingin dilakukan oleh kelab ini," kata Beckham yang tamat kontraknya pada 30 Jun ini.


"Ia sebuah kelab yang bakal mencapai kejayaan dalam tempoh 10, 15 atau 20 tahun lagi." Bapa kepada empat anak itu yang menyaksikan ahli keluarganya kekal menetap di London, mendedahkan dia akan mendermakan gaji yang diterima sepanjang di Perancis kepada dana kebajikan kanak-kanak tempatan.


"Ia salah satu sebab yang saya gemari iaitu memberikan semua gaji saya kepada dana kebajikan kanak-kanak di Paris," katanya.

Berita mengenai ketibaan Beckham muncul pada hari terakhir pintu perpindahan pemain awal pagi semalam, setahun selepas bekas perancang tengah Old Trafford itu dikaitkan dengan kelab itu.


Dengan kejayaan mendapatkan Beckham, ia memberikan ruang kepada pemilik PSG dari Qatar mengembangkan jenama kelab itu ke pasaran baru, terutama di Asia.

Ia juga menaikkan reputasi Ligue 1 yang dilihat kurang menarik minat pemain bintang yang lebih cenderung memilih beraksi pada Liga Perdana Inggeris.


Beckham menegaskan banyak yang mahu disumbangkan kepada PSG yang ketika ini menduduki tangga teratas Ligue 1 dan beraksi pada pusingan kedua Liga Juara-Juara.


"Berapa banyak yang boleh saya sumbangkan? Saya mempunyai banyak pengalaman pada usia 37 tahun dan pernah memenangi 13 atau 14 kejuaraan sepanjang karier saya. Saya pernah beraksi dengan kelab gergasi dunia serta beraksi bersama barisan pemain bertaraf dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

Mickelson hampiri catatan magis

Posted:

Phil Mickelson (gambar) hampir melakar catatan magis golf 59 namun terlepas peluang pada lubang terakhir sekali gus menyebabkannya berpuas hati dengan 60 dan mendahului empat pukulan pada kejohanan Terbuka Phoenix, semalam.

Cubaan birdie Mickelson dari jarak 25 kaki pada lubang terakhirnya, lubang kesembilan par-empat di TPC Scottsdale, berlegar-legar di mangkuk lubang namun tidak masuk.


"Anda tidak selalu mendapat peluang melakar 59," katanya. "Saya agak kecewa ia tidak masuk." Hanya lima pemain mencatat 59 dalam Jelajah PGA AS, terbaru pemain Australia, Stuart Appleby pada kejohanan Klasik Greenbrieer 2010.

Paul Goydos turut melakar catatan sama pada 2010 di kejohanan Klasik John Deere. Al Geiberger (1977), Chip Beck (1991) dan David Duval (1999) turut mencatat 59 dalam jelajah AS.


Pemain Jepun, Ryo Ishikawa melakar catatan sepusingan terbaik dalam jelajah utama profesional dengan 12 bawah par 58 untuk memenangi kejohanan Crowns 2010 dalam Jelajah Jepun.


Catatan 11 bawah par 60 Mickelson membolehkannya mendahului empat pukulan di depan lima pemain apabila cuaca gelap menghalang permainan diteruskan pada pusingan pertama dengan 33 pemain masih berada di lapangan. Namun tiada pun pemain yang akan melengkapkan pusingan mereka itu mampu mencabar pendahulu.

Pemain Ireland, Padraig Harrington dan AS, Brandt Snedeker, Ryan Palmer, Ted Potter dan Jeff Maggert berkongsi kedudukan 64.


Namun hari pertama menjadi milik Mickelson, yang berkongsi kedudukan ke-51 di Torrey Pines minggu lalu dan ke-37 pada kejohanan pertamanya musim ini di La Quinta, California, awal Januari lalu.

Memulakan saingan dari lubang ke-10, juara empat kejohanan utama itu bermula dengan empat birdie berturut-turut. Dia membenam empat birdie lagi dari lubang ke-16 par-tiga hingga lubang pertama par-empat.


Dia melakaran birdie lubang ketiga par-lima sekalipun pukulan tee jatuh ke bunker dan meningkat kepada 10 bawah par dengan birdie pada lubang keempat. Dia membenam satu lagi birdie apabila melakukan tolakan dari tujuh kaki pada lubang ketujuh par-tiga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

No comments:

Post a Comment