Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pesta liar kantoi

Posted: 07 Jun 2014 08:18 AM PDT

Port Dickson: Sekumpulan 20 pelajar dan pekerja swasta, termasuk tujuh wanita, sanggup datang dari Kuala Lumpur dan Selangor serta menyewa sebuah bilik dengan harga RM1,800 di sebuah hotel di sini, semata-mata untuk mengadakan pesta liar.

Bagaimanapun, tindakan mereka menjerat diri apabila ditahan polis ketika berkhayal dan menari dalam parti liar itu, awal pagi semalam.


Mereka dipercayai sanggup berkunjung ke bandar peranginan ini untuk berkumpul dan menganjurkan pesta maksiat sambil menggunakan dadah bagi mengelak perbuatan itu diketahui keluarga.

Namun, hasil maklumat awam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menyerbu bilik itu jam 1.50 pagi dan berjaya menahan mereka serta menemui tiga peket dadah.


Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Abd Wahab Harun berkata, serbuan dijalankan oleh 10 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, manakala 13 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 19 hingga 28 tahun ditahan ketika menari dalam bilik itu.


"Hasil pemeriksaan, lapan adalah penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan kolej swasta, manakala selebihnya pekerja swasta.

Foto

ANGGOTA polis memeriksa dokumen 20 individu yang ditahan dalam bilik hotel.

"Dalam serbuan itu juga, kita merampas dua peket dadah disyaki ganja anggaran seberat tujuh gram (g) dan sepeket dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 1.34 g," katanya ketika dihubungi pemberita semalam.


Katanya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Port Dickson untuk soal siasat dan ujian air kencing.

Abd Wahab berkata, hasil ujian air kencing, 15 daripada mereka iaitu 12 lelaki dan tiga wanita positif dadah.


Menurutnya, mereka kini ditahan reman empat hari sehingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6 akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/07

Ibu mangsa bunuh terima panggilan ugutan

Posted: 07 Jun 2014 08:16 AM PDT

Serdang: "Seseorang pernah menghubungi ibu mangsa dua hari sebelum ini dan mengugut menembak mati mangsa jika tidak menutup kedai bunganya," kata Selvam, 40-an, abang ipar kepada seorang ahli perniagaan yang ditembak mati di depan sebuah kuil di Jalan Bandar 3, Puchong, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, A Ragan, 31, yang menjalankan perniagaan kedai bunga, kedai solekan pengantin dan syarikat keselamatan di Puchong dan Klang, mati di tempat kejadian akibat parah di leher, kaki kiri dan dada selepas ditembak dari jarak dekat.


Selvam berkata, adik iparnya tidak pernah terbabit dalam kegiatan berunsur jenayah dan komited dengan perniagaannya, namun dua hari lalu, ibu mentuanya menerima panggilan berbaur ugutan daripada seorang lelaki.

"Lelaki itu meminta ibunya memaklumkan Ragan supaya menutup kedai bunganya dalam tempoh dua hari iaitu hari ini (Jumaat) dan jika tidak, dia akan membunuh mangsa.


"Bagaimanapun, Ragan tidak risaukan keselamatan diri, sebaliknya risaukan isterinya yang bakal menjalani pembedahan Isnin depan untuk melahirkan anak sulung mereka.


"Disebabkan itu, dia bersama ibunya dan dua anak saudaranya mengunjungi kuil ini," katanya kepada Metro Ahad.

Katanya, isteri mangsa dimasukkan ke hospital dan belum dimaklumkan mengenai kejadian malang yang menimpa suaminya.


Sementara itu, anak saudara mangsa P Kalidasan, 15, berkata, mereka berempat pergi ke kuil bagi mendoakan ibu saudaranya selamat melahirkan anak sulung dan ketika itu, mereka baru selesai bersembahyang dan keluar dari kuil.

"Ketika kami bertiga berjalan ke arah kereta, saya nampak seorang lelaki berpakaian serba hitam berlari ke arah pak cik (mangsa) dari arah belakang.


"Tiba-tiba dia melepaskan beberapa tembakan yang mengenai pak cik sebelum dia terjatuh dan suspek berjalan ke arahnya sebelum tembak sekali lagi di kepala," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Menurutnya, dia menjerit meminta tolong namun tiada sesiapa berani mendekati mereka dan nampak lelaki itu berlari anak ke arah lebuh raya dan menghilangkan diri. Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razimi Ahmad ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, suspek melepaskan empat das tembakan ke arah mangsa dari arah belakang dan tiga daripadanya mengenai mangsa di leher, kaki dan dada yang menyebabkan kematiannya.


Menurutnya, suspek berpakaian serba hitam hanya berjalan kaki dan melarikan diri melalui jalan utama sebaik mangsa rebah ke jalan.


"Kami masih menyiasat punca kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh," katanya.


Sementara itu, abang mangsa dikenali sebagai Rama, 43, berkata, isteri mangsa yang terkejut mendengar berita kematian suaminya beberapa kali jatuh pengsan, menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa menghantarnya ke hospital.


Menurutnya, adik iparnya yang sarat mengandung selamat melahirkan anak lelaki jam 2 pagi semalam di Hospital Serdang melalui pembedahan.


"Sepatutnya dia bersalin Isnin depan namun sebaik menerima berita itu, emosi adik ipar saya terganggu hingga menyebabkan dia bersalin lebih awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

Penduduk puji polis

Posted: 07 Jun 2014 08:15 AM PDT

Kuala Selangor: Penduduk di sekitar Puncak Alam, terutama di kawasan Fasa 3, di sini, memuji tindakan pantas polis dalam usaha mencegah jenayah di kawasan mereka.

Polis dari Balai Polis Saujana Utama mengadakan perjumpaan dengan wakil penduduk, Selasa lalu, bagi mendengar permasalahan yang timbul membabitkan kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan Puncak Alam.


Ini susulan laporan kes jenayah seperti samun dan ragut yang semakin membimbangkan di kawasan Puncak Alam yang disiarkan Metro Ahad, 1 Jun lalu.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Fasa 3 Mohd Rafrafi Mat Daud (gambar) berkata, tindakan polis perlu dipuji kerana pertemuan bersama penduduk membolehkan pihak berkuasa mendapat maklumat lebih mendalam mengenai kes jenayah.


"Saya setuju dan berpuas hati dengan tindakan pantas dilakukan dan seelok-eloknya aktiviti seperti rondaan dan sekatan jalan raya diteruskan dan ditingkatkan bagi mengurangkan kejadian jenayah.


"Saya lihat kelibat warga asing di kawasan ini juga semakin berkurangan, mungkin khuatir dicekup polis kerana ada antara mereka tiada dokumen sah.

"Kebanjiran warga asing di kawasan ini semakin menjadi-jadi sejak tiga tahun lalu dan kehadiran mereka mengganggu keselesaan penduduk di sini," katanya.


Katanya, kekerapan rondaan polis membuatkan penduduk berasa lebih selamat untuk meninggalkan rumah pada waktu siang ketika keluar bekerja dan berada di rumah pada malam.

"Saya juga ingin merakam terima kasih kepada polis kerana dapat memberi kerjasama dan prihatin kepada nasib penduduk yang diselubungi kebimbangan," katanya.


Mangsa pecah rumah Salman Mad Noor, 41, berkata, penjenayah semakin berani memecah masuk rumah penduduk berikutan kedudukan rumahnya terletak di kawasan terbuka dan dalam kejadian 1 Jun lalu dia mengalami kerugian kira-kira RM11,000.


"Sejak semalam (kelmarin) saya mendapati polis mengadakan rondaan serta sekatan jalan raya di kawasan perumahan dan keadaan nampak lebih terkawal dan aman.


"Saya sangat menghargai tindakan polis dan rata-rata penduduk di sini lega selain dapat lihat tindakan polis, terutama dari Balai Polis Saujana Utama, yang menepati janji seperti dibincangkan ketika perjumpaan dengan wakil penduduk," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, pihaknya sentiasa membuat rondaan berjadual di kawasan Puncak Alam bagi memantau keadaan di kawasan berkenaan.


"Kami juga akan sentiasa bekerjasama dengan penduduk dan mendengar aduan mereka selain melakukan rondaan dan pemantauan untuk meningkatkan tahap keselamatan.


"Selain itu, saya berbesar hati mendengar reaksi positif dari penduduk berkenaan isu ini kerana ia membuktikan tindakan diambil polis mendatangkan hasil selain mengukuhkan hubungan antara polis dan masyarakat," katanya ketika dihubungi.


Metro Ahad pada 1 Jun lalu melaporkan, pembangunan yang semakin pesat di Puncak Alam kadangkala membawa kepada peningkatan kadar jenayah serta gejala sosial yang tidak terkawal jika penguatkuasaan undang-undang dipandang enteng.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

Kunjungan pererat hubungan

Posted: 07 Jun 2014 08:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Seramai 200 penghuni Rumah Anak Yatim Titian Kasih, Danau kota dihiburkan dengan kunjungan kelab pemotoran Pemilik Proton Saga BLM (Prosboc), di sini, semalam.

Timbalan Presiden Prosboc Faizrullah Abdul Rahman, 27, berkata, seramai 150 ahli dan 50 kenderaan kelab itu menjalankan kegiatan amal di rumah anak yatim terbabit sebagai satu daripada acara tahunan mereka.


"Kunjungan amal seperti ini adalah acara tahunan kelab kami. Selain berkongsi minat dalam bidang sama, kami peka dan tahu tanggungjawab kami terhadap golongan yang memerlukan.

"Kami mahu buktikan kami juga ada kesedaran dalam membantu insan kurang bernasib baik," katanya.


Faizrullah berkata, kunjungan amal yang diadakan sepanjang hari itu menyaksikan ahli kelab berganding bahu membantu dan bergotong-royong membersihkan kawasan rumah anak yatim.


"Kami mengecat tembok rumah supaya kelihatan baru dan ceria, membaik pulih pagar kawasan rumah yang rosak dan membersihkan kawasan rumah terbabit. Kami turut memberi sumbangan RM500 sebagai hadiah daripada ahli kelab kepada rumah terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

Tiada hasrat turunkan harga parkir klia2

Posted: 07 Jun 2014 08:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Pihak pengurusan tempat letak kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Segi Astana Sdn Bhd, tidak berhasrat menurunkan kadar bayaran meletak kereta dalam masa terdekat memandangkan tempoh operasinya masih baru.

Pengurusnya Vincent Chong berkata, kadar bayaran sememangnya berpatutan dengan perkhidmatan ditawarkan pihaknya berbanding caj dikenakan di tempat meletak kereta Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) sebelum ini.


"Kadar bayaran meletak kereta di klia2 dan LCCT masing-masing RM46 dan RM40.50 sehari. Jika dibandingkan dengan kadar bayaran di kedua-dua tempat, perbezaan kosnya sangat minimum.

"Ini disebabkan pihak kami juga meningkatkan pelbagai kemudahan seperti kawalan sekuriti 24 jam, tempat meletak kereta berbumbung dan berpagar, 'servis buggy' dan ruangan kapasiti sebanyak 5,690 petak tempat meletak kereta disediakan untuk keselesaan pengunjung," katanya.


Chong berkata, tempat meletak kereta lapan tingkat itu sentiasa penuh setiap hujung minggu serta cuti umum dan ini membuktikan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.


"Bagaimanapun, pihak kami akan terus mendapatkan maklum balas pengunjung untuk melakukan penambahbaikan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Azmi Murad berkata, tempat meletak kereta alternatif disediakan bagi mereka yang mahukan kadar bayaran lebih rendah iaitu di Long-term Car Park (LTCP) di Jalan KLIA.


"Ada 6,000 petak dengan kadar bayaran sebanyak RM2.50 bagi setiap jam atau RM32 untuk satu hari.

"Namun, pengunjung perlu menaiki bas ulang-alik yang disediakan secara percuma pada setiap 15 minit untuk ke terminal kerana jarak perjalanannya jauh iaitu tujuh kilometer dari LTCP," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/08

No comments:

Post a Comment