Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Badang Pahang digeruni

Posted: 01 Jun 2014 10:09 AM PDT

Kuala Perlis: Berbaki dua hari sebelum temasya SUKMA Perlis 2014 berakhir, kelibat atlet angkat berat Pahang semakin digeruni lawan selepas berjaya memenangi 10 emas setakat ini.

Sasaran sebelum ini hanyalah enam emas, tetapi anak buah jurulatih Sapri Abd Latiff, Zakaria Yusof dan Mohd Azizul Hakim Kadir berjaya menggegar Kompleks Sukan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dengan julangan yang membolehkan mereka menuai 10 emas.


Mohd Shahrizal Abd Razak memenangi emas acara snatch lelaki bawah 52 kilogram (kg) manakala Mohd Taufiq Idzham Razali merangkul pingat sama dalam acara clean and jerk kategori sama.

Mohd Azroy Hazalwafi Izhar Ramli pula menjulang emas dalam acara snatch lelaki bawah 56kg manakala Mohd Azril Huzairi Ramli mencatat rekod baru SUKMA acara snatch dan clean and jerk kategori bawah 69kg.


Kecemerlangan Pahang diteruskan Khairul Anuar Mohd yang memenangi acara clean and jerk kategori bawah 77kg dan Mohd Fazrul Azri Mohdad mengungguli acara snatch dan clean and jerk kategori bawah 85kg.


Atlet angkat berat wanita Pahang, Siti Zaleha Yusof memenangi emas acara snatch dan clean and jerk kategori bawah 48kg.

Foto

AZRIL perbaharui rekod acara snatch 69kg lelaki.

Sapri berkata, sasaran mereka tahun ini adalah menjulang kembali nama Pahang dalam sukan itu selepas berjaya melahirkan atlet kebangsaan yang pernah beraksi di Sukan Komanwel, Amirul Hamizan Ibrahim.


"Kami pada awalnya tidak sangka dapat pingat emas sebanyak ini kerana pada temasya sebelum ini, kami hanya menang dua emas.

"Jumlah ini agak mengejutkan dan saya mengucapkan tahniah kepada semua atlet angkat berat Pahang kerana berjaya membuktikan kemampuan.


"Jika semuanya berjalan lancar, kami yakin dapat memacu gelaran juara keseluruhan angkat berat pada temasya kali ini," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Marquez kukuh cengkaman

Posted: 01 Jun 2014 09:42 AM PDT

Mugello, Itali: Juara dunia Marc Marquez melakar kemenangan keenam berturut-turut, kali ini muncul juara Grand Prix Itali dengan penuh bergaya di Litar Mugello semalam.

Pelumba berusia 21 tahun yang menunggang jentera Honda itu, menewaskan rakan senegara yang juga juara dunia dua kali, Jorge Lorenzo dari Yamaha selepas bersaing sengit pada separuh perlumbaan hingga garisan penamat.


Marquez bagaimanapun nyata lebih pantas berbanding Lorenzo yang melalui permulaan sukar musim ini sementara rakan sepasukan Lorenzo, sensasi dunia Valentino Rossi menduduki tempat ketiga pada perlumbaan ke-300 serta kali ke-187 menaiki podium.

"Saya tidak bermula dengan baik hingga perlu mengejar semula kelompok depan.


"Lorenzo memberi saingan sengit sepanjang perlumbaan, tapi saya mempunyai ruang terbaik di hujung saingan untuk memintasnya.


"Apapun, pujian wajar diberikan kepadanya. Sekali lagi, terima kasih kepada rakan sepasukan yang menyediakan motosikal yang mantap," katanya.

Bagi kali kedua Marquez bermula agak perlahan dan dipintas Andrea Iannone.


Lorenzo bagaimanapun berjaya mencelah di depan selepas itu dengan memintas Iannone ketika berbaki 23 pusingan.

Sementara itu, pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin sekali lagi cemerlang apabila berjaya mengutip lima mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 bersama jentera Ongetta-AirAsia Honda.


Namun nasib berbeza dialami pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang sekadar menamatkan saingan di tempat ke-25 bersama pasukan PETRONAS Raceline Malaysia sekali gus gagal mengutip mata. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Nadal bukti kehebatan

Posted: 01 Jun 2014 09:41 AM PDT

Paris: Rafael Nadal sekali lagi mempamerkan dia pemain hebat pada Terbuka Perancis selepas mengatasi cabaran pemain Argentina, Leonardo Mayer untuk menang 6-2, 7-5, 6-2 dan layak ke pusingan keempat sekalipun mengalami sakit belakang, kelmarin.

Mayer melakukan pukulan hebat pada set kedua yang tegang sebelum merampas servis pemain nombor satu dunia itu untuk mengikat kedudukan 4-4, namun pemain Sepanyol itu kembali menguasai penuh bergaya.


"Saya amat teruja bermain di gelanggang Philippe Chatrier, banyak memori terlintas di fikiran," ujar Nadal yang melakukan 10 unforced error, dua daripadanya pada set pertama.

Selepas perlawanan itu, Nadal mendedahkan dia mengalami sakit belakang namun tidak memberikan butiran terperinci.


"Lebih baik saya tidak bercakap mengenai sakit belakang saya. Saya akan bermain sebaik mungkin. Saya akan terus berjuang dan cuba menang," jelasnya.


Nadal akan berdepan pemain Serbia, Dusan Lajovic yang menyingkirkan pemain Amerika Syarikat, Jack Sock 6-4, 7-5, 6-3 dan seperti pemain Sepanyol itu, belum kalah sebarang set.

Jika menang, dia mungkin menentang rakan senegara David Ferrer pada suku akhir, pemain yang ditunduk pada final tahun lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

'Suarez 50-50'

Posted: 01 Jun 2014 09:41 AM PDT

Montevideo: Penyerang Uruguay, Luis Suarez akan beraksi pada Piala Dunia selepas melalui detik menakutkan kira-kira dua minggu lalu apabila ditimpa kecederaan teruk dan memerlukan pembedahan lutut.

Jurulatih Oscar Tabarez menyenaraikan pemain Liverpool yang muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lalu itu dalam barisan 23 pemainnya bagi kejohanan bermula 12 Jun ini.


Suarez mengalami kecederaan ketika perlawanan terakhir Liverpool sebelum doktor pasukan Uruguay mendapati dia perlu menjalani pembedahan.

Dia tidak beraksi ketika Uruguay menewaskan Ireland Utara, 1-0 pada perlawanan persahabatan di Centenario dan turut terlepas satu lagi perlawanan persahabatan bertemu Slovenia, Rabu ini.


"Situasi Suarez bergantung kepada keadaan semasa lututnya. Keutamaan kami adalah kesihatan pemain," kata Tabarez.


Uruguay akan memulakan kempen Kumpulan D menentang Costa Rica pada 14 Jun sebelum bertemu England dan Itali.

Tidak dapat dipastikan berapa lama masa diperlukan Suarez untuk pulih sepenuhnya.


Sementara itu, tiada yang mengejutkan mengenai skuad Uruguay yang diumumkan semalam dengan Tabarez terus meletakkan kepercayaan kepada 15 pemain veteran yang membantu negara itu menamatkan saingan di tempat keempat Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Rakan sepasukan Suarez di Liverpool, Sebastian Coates berjaya mendapat tempat selepas mengalami kecederaan ligamen lutut Ogos lalu yang menyaksikannya tidak beraksi hampir sepanjang musim lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Skuad terbaik Croatia ke Brazil

Posted: 01 Jun 2014 09:40 AM PDT

Osijek, Croatia: Jurulatih Croatia Niko Kovac mengumumkan senarai 23 pemain untuk Piala Dunia yang diketuai barisan pemain bintang seperti pemain tengah Real Madrid, Luka Modric dan penyerang Bayern Munich, Mario Mandzukic (gambar kiri).

Croatia akan memulakan saingan bertemu tuan rumah Brazil pada perlawanan pembukaan 12 Jun ini.


Sejak beliau menyenaraikan 30 pemain pada pertengahan bulan lalu, Kovac terpaksa mengetepikan empat pemain yang berdepan kecederaan iaitu Niko Kranjcar (QPR), Milan Badelj dan Ivo Ilicevic (Hamburg) serta Ivan Strinic dari Dnipro Dnipropetrovsk.

Pemain muda seperti penjaga gol Dinamo Zagreb, Oliver Zelenika yang dipinjamkan ke Lokomotiv serta pemain tengah Rijeka, Ivan Mocinic, turut tersenarai.


Kovac mengumumkan skuadnya selepas perlawanan persahabatan dengan Mali yang menyaksikan Croatia menang 2-1.


"Mereka mampu mempamerkan aksi lebih baik. Pemain memberitahu saya mereka terlalu letih," kata bekas kapten Croatia berusia 42 tahun itu.

Tarikh terakhir menghantar senarai pemain kepada FIFA adalah hari ini.


Turut berada dalam skuad Croatia dua pemain kelahiran Brazil iaitu penyerang Shakhtar Donetsk, Eduardo da Silva dan pemain tengah Sammir yang beraksi buat Getafe tahun ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Usah ulang mimpi ngeri: Cafu

Posted: 01 Jun 2014 09:40 AM PDT

Sao Paulo: Kapten Brazil yang kali terakhir memenangi Piala Dunia, Cafu meminta rakan senegara tidak mengulangi mimpi ngeri tewas kepada Uruguay pada edisi 1950 tahun ini.

Kekalahan 1-2 kepada lawan mereka 64 tahun lalu menyaksikan penyokong Brazil mula berang dan peristiwa itu diharap tidak berlaku tahun ini kerana pasukan meletakkan sasaran tinggi untuk memenangi Piala Dunia keenam.


Cafu berkata, hanya kemenangan tahun ini dapat melupakan mimpi ngeri 1950.

Brazil memulakan kempen Piala Dunia dengan bertemu Croatia pada 12 Jun ini.


"Jika kami gagal memenangi Piala Dunia, suasana pada 1950 akan berulang pada 2014 dan terus menghantui kami hingga menjadi tuan rumah Piala Dunia sekali lagi," katanya.


Cafu sebahagian daripada pasukan Brazil yang memenangi Piala Dunia 1994 dan 2002.

Dia muncul pemain tunggal beraksi dalam tiga perlawanan akhir Piala Dunia selepas tewas kepada Perancis pada 1998.


Cafu melakukan 142 penampilan bersama Brazil sepanjang kariernya.

"Semua pasukan mahu menewaskan Brazil. Brazil bertanggungjawab sentiasa melakar kemenangan," kata Cafu, 43, yang kini bertindak selaku duta Piala Dunia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Itali tempang!

Posted: 01 Jun 2014 09:39 AM PDT

Paris: Itali menerima tamparan hebat menjelang Piala Dunia apabila pemain tengah, Riccardo Montolivo patah kaki ketika seri 0-0 dengan Ireland pada perlawanan pemanas badan manakala Belanda menundukkan Ghana dan Greece seri dengan Portugal.

Kapten AC Milan Montolivo cedera pada awal babak persahabatan di gelanggang Fulham, Craven Cottage awal pagi semalam berikutan terjahan keras pertahanan Ireland, Alex Pearce.


Mengetuai Azzurri, dia memerlukan rawatan beberapa minit dan dilihat menjerit 'ia patah' sebelum akhirnya diusung keluar.

"Kami jangka Montolivo patah tulang tibia," menurut pakar perubatan Itali Enrico Castellacci.


"Saya belum melihat imbasan X-ray untuk menilai tahap kecederaannya, tapi jika patah ia memerlukan pembedahan." Montolivo bermain tujuh perlawanan kempen kelayakan Piala Dunia buat Itali dan dijangka menjadi pemain penting di Brazil.


Lebih memilukan, jurulatih Itali, Cesare Prandelli juga menyaksikan pemain tengah Fiorentina, Alberto Aquilani yang masuk menggantikan Montolivo terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan sebelum rehat babak pertama.

Di Rotterdam, Belanda meneruskan persiapan ke final dengan kemenangan 1-0 ke atas Ghana dengan penyerang Manchester United, Robin van Persie menyumbat gol tunggal pada minit kelima.


Belanda, yang memulakan kempen Piala Dunia menentang juara bertahan Sepanyol pada perlawanan ulangan final 2010, hanya mempunyai satu baki perlawanan persahabatan menentang Wales di Amsterdam, awal pagi Khamis ini.

Jurulatih Belanda Louis van Gaal yang akan mengemudi United selepas Piala Dunia berkata: "Kami mencipta beberapa peluang sekalipun perlawanan ini tidak berkualiti." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Deschamps harap Ribery cepat pulih

Posted: 01 Jun 2014 09:38 AM PDT

Nice, Perancis: Jurulatih Perancis Didier Deschamps berharap perancang utama, Franck Ribery akan pulih daripada kecederaan belakang tepat pada masanya bagi perlawanan pemanas badan Piala Dunia menentang Jamaica minggu ini.

Bintang Bayern Munich berusia 31 tahun itu, veteran final 2006 apabila Perancis kecundang di tangan Itali, tidak dapat berlatih dengan skuad itu sejak menyertai mereka minggu lalu.


Kecederaan itu menyebabkan Ribery diketepikan daripada skuad yang menewaskan Norway, 4-0 minggu lalu.

Di sebalik kebimbangan status bintang Bayern itu, Deschamps tikdak bercadang memanggil pemain pengganti.


"Saya tidak memikirkannya hari ini," kata bos Perancis itu. "Masalah Franck berkaitan kecederaan belakang dialaminya sejak beberapa minggu lalu. Jika keadaan ini berterusan, dia mungkin tidak boleh beraksi.


"Kami mahukannya kembali menjalani latihan bersama pasukan seperti bersama Bayern beberapa minggu lalu.

"Kami cuba sedaya upaya mencari jalan menyelesaikan masalah ini," jelas Deschamps. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Silva perlu rehat dulu

Posted: 01 Jun 2014 09:38 AM PDT

Teresopolis, Brazil: Kapten Brazil Thiago Silva tidak akan beraksi pada perlawanan pemanas badan Piala Dunia menentang Panama, awal pagi Rabu ini untuk memberikannya masa pulih daripada kecederaan kaki, umum pengurus Luiz Felipe Scolari, semalam.

"Dia tidak akan bersama kami, tapi masih terus berlatih secara sendirian," kata Scolari.


"Thiago menjalani pemulihan. Kami berdepan dua perlawanan persahabatan dan lebih baik menggunakannya apabila dia sudah pulih sepenuhnya." Brazil berdepan Panama di Goiania sebelum menentang Serbia di Sao Paulo, tiga hari kemudian. Tuan rumah membuka tirai kempen Piala Dunia menentang Croatia di Sao Paulo pada 12 Jun ini.

Silva yang mengetuai Brazil pada Piala Konfederasi tahun lalu dan seorang daripada tonggak kesebelasan Scolari, bermain 42 perlawanan buat Paris St-Germain musim lalu.


Tempatnya di samping David Luiz di pertahanan tengah mungkin diisi sama ada pertahanan Bayern, Dante, atau pertahanan Napoli, Henrique. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

Hodgson sokong!

Posted: 01 Jun 2014 09:33 AM PDT

London: Pengurus England Roy Hodgson secara terbuka menyokong perpindahan penyerang Southampton, Rickie Lambert ke Liverpool.

Lambert, 32, menjalani pemeriksaan kesihatan di Liverpool kelmarin dengan perpindahan pada awalnya bernilai £4 juta (RM21.5 juta) meningkat kepada £9 juta (RM48.4 juta) berserta syarat lain.


Bekas pelatih Liverpool, Lambert menjadi pemain penting untuk England sejak menjaringkan gol menentang Scotland menerusi sentuhan pertamanya mewakili skuad negara dalam perlawanan persahabatan tahun lalu.

Dia antara 23 pemain skuad Piala Dunia yang terbang ke Miami bagi kem latihan menjelang kejohanan dan Hodgson berkata, perpindahannya ke Anfield menjadi berita yang bagus untuk skuad negara.


"Dia sangat gembira. Saya gembira untuknya," kata Hodgson kepada pemberita selepas England menewaskan Peru, 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Wembley, kelmarin.


"Saya mengucapkan tahniah kepada Liverpool kerana membeli pemain yang bagus dan saya pasti pada Rabu, apabila dia turun menentang Ecuador, anda boleh melihat kegembiraannya.

"Dia amat gembira bersama England dan terlalu gembira perpindahannya ke Liverpool menjadi kenyataan." Liverpool dilapor turut mengemukakan bidaan £25 juta (RM134.6 juta) terhadap rakan sepasukan Lambert di Southampton, Adam Lallana, yang mencuri perhatian selepas beraksi cemerlang ketika menentang Peru.


Luke Shaw turut dijangka meninggalkan Southampton pada musim panas ini apabila menarik minat Manchester United dan Hodgson turut melahirkan simpatinya kepada kelab itu yang menamatkan saingan di tangga kelapan Liga Perdana.

"Pasti menyedihkan buat Southampton. Mereka amat hebat tahun ini dan saya mengucapkan tahniah dengan peningkatan mendadak dipamerkan," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/02

No comments:

Post a Comment