Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Perwira Tok Gajah

Posted: 30 May 2014 11:03 AM PDT

Kuantan: Jaringan tunggal Faizol Hussain membantu Pahang layak ke final Piala FA apabila menewaskan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menerusi agregat 2-1 selepas menang 1-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Jaringan pemain tengah itu pada minit ke-82 membantu Pahang menebus kehampaan apabila disekat Johor DT musim lalu.

Kesungguhan Pahang sudah dapat disaksikan sebaik perlawanan bermula terutama kelebihan beraksi di gelanggang sendiri yang nyata memberi semangat buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan untuk menjaringkan gol pendahuluan bagi mengukuhkan kedudukan.

Peluang terbaik Pahang hadir seawal minit ketujuh, tetapi tendangan Azamuddin Mohd Akil terus ke dakapan penjaga gol Johor DT, Izham Tarmizi Roslan.

Foto

PEMAIN Pahang meraikan kejayaan mara ke final.

Foto

FAIZOL melakukan sujud syukur selepas menjaringkan gol.


Begitu juga percubaan pemain tengah, R Gopinathan yang liar ke sebelah kanan gawang lawan pada minit ke-12 manakala peluang terbaik Johor DT pula diperoleh Luciono Figueroa dua minit kemudian.


Selepas itu kedua-dua pasukan berusaha membolosi gawang lawan namun kekebalan benteng menafikan jaringan.

Gol yang dinantikan Pahang hadir pada masa kecederaan separuh masa pertama, tetapi jaringan pemain pertahanan, Rehsan Rehman dibatalkan kerana offsaid oleh pengadil perlawanan Samsudin Ibrahim.

Bersambung babak kedua, permainan agresif dipersembahkan kedua-dua pasukan apabila masing-masing saling mengasak ke kubu lawan.

Pada minit ke-67, Johor DT turut melakukan jaringan menerusi pemain gantian, Mahali Jasuli tetapi gol itu juga tidak disahkan kerana ofsaid.

Akhirnya pemain tengah tuan rumah, Faizol menceriakan skuad Tok Gajah apabila tendangan kencang dari luar kotak penalti menerjah ke jaring Johor DT, selepas Izham Tarmizi gagal menepis keluar bola rembatannya.

Jaringan tunggal Faizol itu menyebabkan impian Johor DT mengulangi sejarah layak ke final Piala FA buat kali kedua berturut-turut berkecai.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

Harith, Husniah julang emas

Posted: 30 May 2014 10:59 AM PDT

Oleh Lokman Zainal Abidin, Mohd Firdaus Hashim, Shamsul Munir Safini, Hafizudin Mohd Safar dan Kamudin Baharom

Kangar: Harith Ammar Mohd Sobri dari Terengganu dan pelari Pulau Pinang, Zaidatul Husniah Zulkifli mengesahkan status selaku raja dan ratu pecut SUKMA 2014 selepas merangkul emas acara 100 meter (m) di Stadium Tuanku Syed Putra, semalam.

Catatan 10.61s yang dilakar sudah memadai buat Harith Ammar mengekalkan mahkota raja pecut selepas memenangi acara sama di Kuantan dua tahun lalu.

Atlet kebangsaan dari Terengganu itu meninggalkan pesaing terdekat, G Aravinthevar dari Perak serta pelari Pahang, Muhamad Amirul Mukmin Mohd Yusmiza yang memenangi perak serta gangsa.

"Saya bermula agak perlahan sepanjang 40m pertama, tapi selepas itu saya mengerahkan sepenuh tenaga dan akhirnya dapat memintas peserta lain. Saya puas hati dengan catatan 10.61s kerana ia catatan terbaik saya setakat ini," katanya yang melakukan 10.84s di Pahang, dua tahun lalu.

Foto

HARITH meraikan kejayaan menjuarai acara 100m lelaki.

Foto

ZAIDATUL Husniah (kanan) memeluk Zaidatul Husna ketika meraikan kejayaan maraih emas, gangsa 100m wanita.


Sementara itu, Zaidatul Husniah memastikan gelaran ratu pecut 100m wanita menjadi miliknya selepas mencatat 12.15s.


"Kemenangan ini cukup manis dan saya hadiahkan emas ini kepada ibu bapa yang sanggup datang ke sini untuk memberi sokongan kepada saya dan kakak," katanya.

Pelari Perak, Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri (12.20s) memenangi perak, manakala kembar Zaidatul Husniah, Zaidatul Husna Zulkifli ketiga (12.33s).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

Latihan empat tahun berhasil

Posted: 30 May 2014 10:57 AM PDT

Kangar: "Untuk SUKMA kali ini, kami bersiap sedia dengan pelbagai latihan sejak empat tahun lalu. Kami gagal di Pahang, tetapi kami menebus kehampaan itu di Perlis," kata Nur Shahirah Zulkifli selepas gandingannya bersama Juain Izni Jamil dan Siti Nur Izzati Mohd Sabki muncul juara acara 10m air rifle di Lapang Sasar Perlis di Sungai Batu Pahat, semalam.

Ia emas pertama Selangor dalam acara menembak dan lebih manis lagi, 1,216.1 yang dikumpul Nur Shahirah serta rakannya diiktiraf sebagai rekod baru kejohanan.

Bidikan trio Selangor itu menewaskan trio Perak dan Terengganu yang masing-masing terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.

"Di Pahang, kami sasar untuk memenangi emas tetapi gagal. Alhamdulillah ia berjaya dilakukan di sini," kata Nur Shahirah.

Foto

ATLET Selangor, Juain Izni, Nur Syahirah dan Siti Nur Izzati mempamerkan pingat menembak acara 10m air rifle.


Sementara itu, dalam saingan 10m air rifle individu wanita pula, atlet Johor Nur Ain Kamari memenangi emas sambil turut mencatat rekod baru SUKMA apabila mengumpul 409.8 mata manakala Juain Izni dan Nur Shahirah meraih perak dan gangsa.


Acara 50m pistol lelaki pula dimenangi penembak Negeri Sembilan, Jasmi Mohamad Zin yang mengumpul 540 mata - menyamai catatan rekod SUKMA - manakala perak dimenangi penembak Johor, Choo Wen Yan dan Siau Zianyi selepas masing-masing mengumpul jumlah mata sama - 531.

Begitupun, Johor tampil menjulang acara berpasukan apabila gandingan Eddy Chew, Choo Wen Yan dan Nor Affifuddin memenangi emas manakala perak dan gangsa dimenangi trio Melaka serta Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

Bumbung bocor

Posted: 30 May 2014 10:51 AM PDT

Kangar: Kawasan penonton di Dewan Badminton Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini digenangi air hujan selepas bumbung dewan berkenaan bocor ketika pertandingan badminton sempena Sukan Malaysia (SUKMA) ke-17 berikutan hujan lebat kira-jam 4.30 petang semalam.

Ketika kejadian, penonton dilihat terpaksa berdiri di tempat yang disediakan penganjur dan pihak urusetia menggunakan timba bagi menadah air hujan yang menitik masuk.

Salah seorang daripada ahli jawatankuasa di situ yang enggan dikenali berkata, kebocoran berkenaan dikesan kira-kira jam 4.30 petang selepas mendapat aduan daripada penonton pertandingan badminton yang sedang berlangsung.

"Kami kemudian terpaksa menadah menggunakan tong cat sebelum meletakkan kepingan surat khabar bagi mengelakkan air bertakung di lantai.

"Ketika hujan bertambah lebat, air yang menitik ke lantai dewan semakin banyak hingga terpaksa dilap menggunakan kain beberapa kali," katanya.

Tinjauan Harian Metro di situ mendapati, pertandingan masih berjalan seperti biasa kerana bumbung di gelanggang tidak terjejas sebaliknya hanya membabitkan kawasan penonton.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Azizan Ab Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat kesan dan punca kebocoran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

Shafiq pemusnah

Posted: 30 May 2014 10:50 AM PDT

Sintok: Impian Sabah untuk mempertahan emas acara bola sepak SUKMA, lebur apabila tewas 1-0 di tangan Johor pada perlawanan suku akhir di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Johor bakal mengiringi Kedah, Perlis serta Perak di separuh akhir yang bakal diadakan esok.

Pada perlawanan suku akhir lain, Kedah membelasah Pulau Pinang 7-1 manakala Perlis menundukkan Negeri Sembilan 2-1 dan Perak mengatasi Wilayah Persekutuan, 2-1.

Gol tunggal Johor dijaringkan Shafiq Shaharudin pada minit ke-105 masa tambahan dan ia sudah cukup untuk membawa pasukannya ke kelompok empat pasukan terakhir.

Kapten Johor, Shahrul Nizam Shamsuddin berkata, mereka tidak menyangka dapat menewaskan Sabah untuk melangkah ke separuh akhir memandangkan mereka bukanlah pasukan pilihan.

"Kami bersyukur dapat melangkah ke peringkat separuh akhir kerana ketika di Pahang, kami tewas di peringkat kumpulan.

"Walaupun sudah berpeluang memenangi pingat, namun kami akan cuba sebaik mungkin untuk membawa balik emas kali ini," katanya.

Sementara itu, Perlis turut dipaksa beraksi hingga masa tambahan sebelum menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Syed Faizuddin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau.

Gol kemenangan tuan rumah dijaringkan Mohd Qhairil Azwan Mohd Asri di minit ke-97 sekali gus menggembirakan lebih 3,000 penyokong tempatan.

Ketua jurulatih Perlis, Yusri Che Lah pantas menghamburkan pujian buat anak buahnya kerana mampu menyerap setiap asakan pemain lawan.

Meskipun terpaksa mengharungi tiga perlawanan yang agak tegang sebelum ini, saya bersyukur kerana hasrat dan impian untuk melangkah ke peringkat separuh akhir menjadi kenyataan.

"Saya harap penyokong dan peminat tempatan akan membanjiri venue perlawanan Ahad ini untuk memberikan sokongan moral kepada pasukan," katanya.

Foto

PEMAIN Perlis, Mohd Saifuddin Md Salim (kanan) diasak penjaga gol pemain Negeri Sembilan, Miuhammad Azwan Alimi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

Ibu bapa azimat Fariesha

Posted: 30 May 2014 10:48 AM PDT

Kangar: Kehadiran ibu dan bapa menjadi azimat paling utuh buat atlet Kelantan Nur Fariesha Irwana Mohd Supian, 18, melakar nama selaku pemenang emas acara snatch dan clean and jerk selain mencatat rekod baru SUKMA kategori wanita bawah 58 kilogram (kg) di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, semalam.

Nur Fariesha berkata, ibu bapanya sering mengikutinya setiap kali menyertai kejohanan dan kehadiran mereka menenangkan hati selain mengurangkan rasa gementar.

serta gugup yang dialaminya.

"Kejayaan ini saya hadiahkan buat ibu, Sharifah Dollah dan bapa, Mohd Supian Mohd Noor.

Mereka hadir memberi sokongan dan semangat kepada saya ketika bertanding hari ini (semalam).

"Pada mulanya saya hanya mensasarkan untuk menang emas buat Kelantan.


Tapi peluang memecahkan rekod SUKMA terbuka dan saya terus cuba melakukannya.


Tidak sangka percubaan itu berjaya," kata Nur Fariesha Irwana selepas memecahkan rekod acara clean and jerk dengan 96 kg, satu kg melebihi rekod catatan Frenceay Titus.

Walaupun gagal dalam percubaan ketiga untuk memecahkan rekod kebangsaan 101kg yang turut dipegang Frenceaydalam acara itu, Nur Fariesha sah dinobat pemenang mengatasi atlet Sabah, Fessy Felix di tempat kedua serta Farhana Nabila Muhd Shamsudin dari Kedah, ketiga.

Sebelum itu, Nur Fariesha memperoleh emas pertama Kelantan dalam sukan angkat berat pada temasya kali ini dengan angkatan 76 kg dalam acara snatch.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

Terengganu terus kuasai acara memanah

Posted: 30 May 2014 10:47 AM PDT

Arau: Terengganu terus unggul menduduki takhta kutipan pingat emas temasya SUKMA Perlis dengan acara memanah menyumbang tiga lagi emas menerusi kategori 50m recurve lelaki dan wanita serta 50m compound lelaki di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin semalam.

Muhammad Shaiffuddin Mohd Kamro, 19, mengumpul 323 mata untuk meraih emas acara 50m recurve lelaki, menewaskan Billdean Bonilung dari Sabah yang mengumpul 320 mata manakala atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Aidid Azizi Azmi meraih gangsa, 319 mata.

"Alhamdulillah saya tidak berdepan sebarang kesukaran walaupun disaingi beberapa atlet pelapis kebangsaan.

"Ini emas kedua saya pada temasya ini selepas 70m recurve yang berlangsung semalam (kelmarin) dan saya sudah berjaya mencapai sasaran peribadi ditetapkan, tapi saya ingin terus memburu lebih banyak pingat kali ini.

"Kejayaan ini akan saya jadikan perangsang untuk beraksi cemerlang pada Kejohanan Universiti Dunia berlangsung di Poland, Julai ini," kata penuntut Diploma Rekaan Industri Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu Satu lagi emas Terengganu hadir menerusi Nuramalia Haneesha Mazlan dalam acara 50m recurve wanita yang mengumpul 312 mata manakala perak milik Kho Yee Ting dari Sarawak (305 mata) dan gangsa atlet Pulau Pinang, Loke Shin Hui (304 mata).

Emas ketiga Terengganu disumbang Lutfil Hadi Mohd Yusof menerusi acara 50m compound lelaki selepas melakukan catatan 341 mata manakala pingat perak menjadi milik Muhammad Ashraff Mohd Adzeman manakala Wong Co Wan dari Sabah menduduki tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

Gabung pemain

Posted: 30 May 2014 10:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Bekas pemain negara, Khalid Ali menyambut baik usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membenarkan sekurang-kurangnya satu pasukan tempatan beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Juara Liga Super akan mendapat peluang untuk beraksi di play-off ACL sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selain mendapat Lesen Kelab AFC.

Bagaimanapun Khalid berpendapat belum tiba masanya FAM menghantar mana-mana pasukan dari Liga Malaysia termasuk juara Liga Super beraksi di kancah tertinggi membabitkan saingan kelab di benua Asia yang menampilkan kelab dari Jepun, Korea Selatan, China, Australia, Arab Saudi dan sebagainya.

"Imej negara perlu dijaga.

Sekiranya tidak bercanggah dengan peraturan AFC, kita seharusnya menggabungkan barisan pemain terbaik daripada beberapa pasukan lain, iaitu membentuk pasukan baru khusus untuk bersaing di ACL atau pasukan terpilih boleh menggunakan khidmat sejumlah pemain daripada pasukan lain.

"Saya tidak setuju sekiranya slot ke ACL diberikan khas kepada satu pasukan saja, contohnya, Johor Darul Ta'zim (Johor DT) yang menghimpunkan pemain tempatan terbaik juga mempunyai kelemahan, begitu juga Selangor atau Kelantan yang sesetengah pemainnya lemah dalam beberapa posisi.

Contoh paling baik, anda boleh lihat sendiri apa yang terjadi kepada Kelantan dan Selangor dalam Piala AFC musim ini," katanya.

Kedua-dua wakil negara itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFC musim ini, kejohanan yang dilabel sebagai kelas kedua di benua Asia di belakang ACL, dengan kebanyakannya membabitkan kelab dari Asia Tenggara dan Asia Barat.

Beliau menambah mungkin juga terdapat beberapa kekangan seperti faktor jadual pertandingan, keserasian dan sebagainya, namun ia boleh dibincangkan antara pasukan tempatan demi kebaikan semua pihak.

Malah beliau menggesa mana-mana peraturan Liga Malaysia diselaraskan dengan peraturan AFC seperti penggunaan pemain import yang masih terhad kepada tiga pemain dalam kancah domestik berbanding saingan peringkat benua yang membenarkan penggunaan empat pemain import.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

Farizal tekad kecewakan TRW

Posted: 30 May 2014 10:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Penjaga gol FELDA United FC, Mohd Farizal Harun berdepan tugas sukar untuk mengekang asakan juara bertahan Piala FA, Kelantan di Stadium Shah Alam, malam ini.

The Red Warriors (TRW) memerlukan sekurang-kurangnya jaringan 1-0 untuk membolehkan mereka melangkah ke pentas final pada minggu depan selepas terikat 3-3 di laman sendiri dalam aksi separuh akhir pertama awal bulan ini.

Menjelang separuh akhir kedua, FELDA United kendalian Irfan Bakti Abu Salim memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan dan berada pada landasan terbaik untuk mencipta sejarah ke pentas final buat kali pertama.

"Saya harap barisan pertahanan akan bersedia sepenuhnya, jangan leka seperti di Kota Bharu tempoh hari.

Kelantan pasti akan turun menyerang dan saya juga sudah bersedia untuk mempertahankan gawang sebaik mungkin," katanya yang berharap perlawanan mampu berakhir dalam tempoh 90 minit.

Pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, FELDA United kelihatan pasti melangkah ke final apabila meledak tiga gol dalam tempoh 35 minit pertama menerusi Edward Junior Wilson, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Aizul Ridzwan sebelum anak buah George Boateng bangkit meledak tiga gol untuk mencatatkan keputusan akhir 3-3.

"Kelebihan mungkin memihak kami kerana tekanan akan terarah kepada Kelantan.

Kami perlu mengambil kesempatan terhadap keghairahan mereka menyerang.

"Kami tampil sebagai pasukan underdog, paling penting kami mempertahankan kelebihan dimiliki," kata bekas penjaga gol ATM itu.

Bagaimanapun Farizal bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk penentuan sepakan penalti apabila turut melakukan persediaan ketika menjalani latihan.

"Orang mungkin mengharapkan Khairul Fahmi (Che Mat) kerana statusnya (penjaga gol kebangsaan) namun bagi saya apabila memasuki fasa sepakan penalti, peluang tetap seimbang," katanya.

Farizal pernah membuktikan kemampuannya dengan menepis dua sepakan penalti ketika membantu ATM menyingkirkan LionsXII untuk melangkah ke final Piala Malaysia 2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

Gugur Kevin

Posted: 30 May 2014 10:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Belum pun bermula saingan Piala Dunia, skuad hoki negara menerima 'malapetaka besar' apabila pemain pertahanan Kevin Lim yang disebut-sebut bakal menjadi tonggak utama pada kempen di The Hague, Belanda terpaksa menarik diri akibat kecederaan hamstring serius.

Kevin, pemain yang berpangkalan di Jerman, ditimpa kecederaan itu ketika diturunkan pada perlawanan persahabatan ketiga menentang kelab tempatan yang menyaksikan skuad negara menang 3-2.

Ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang dihubungi semalam berkata, Kevin mengalami kecederaan hamstring yang menyebabkan tisu di pangkal paha kaki kanannya koyak dan itu bermakna, Kevin tidak boleh beraksi sepanjang Piala Dunia.

Jelas beliau lagi, tempat Kevin akan digantikan Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin yang akan tiba di Belanda, pagi ini.

Foto

KEVIN cedera hamstring.


Sementara itu, Izad yang dihubungi semalam berkata, dia terkejut dipanggil pada saat akhir selepas putus harapan kerana terlantar di hospital akibat demam virus selama lebih seminggu.


"Saya mahu balas kepercayaan diberikan jurulatih. Setiap pemain mahu beraksi di Piala Dunia, begitu juga saya.

"Ini masa yang saya tunggu-tunggu," kata adik kepada penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

No comments:

Post a Comment