Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Label 'mati katak'

Posted: 15 Jun 2014 03:21 PM PDT

Kuala Lumpur: Kebanyakan penunggang motosikal di negara ini terdedah risiko 'mati katak' apabila topi keledar digunakan bukan sahaja tidak memenuhi piawaian keselamatan, malah turut dikesan menggunakan pelekat keselamatan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) palsu.

Topi keledar menggunakan pelekat SIRIM palsu itu dipercayai digunakan pengeluar topi berkenaan bagi mengaburi pengguna.


Kegiatan penipuan itu bagaimanapun berjaya dikesan selepas sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan melakukan operasi khas di beberapa premis menjual aksesori serta alat ganti motosikal sekitar ibu kota pagi kelmarin. Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, kewujudan topi keledar dengan pelekat SIRIM palsu itu dikesan hasil siasatan dijalankan pihaknya bagi membanteras topi keledar tidak selamat.

Menurutnya, susulan maklumat diperoleh, lima anggota penguat kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan diketuai Mohd Khairul Anuar Mohd Azmi melakukan serbuan mengejut di sebuah premis menjual aksesori motosikal di Jalan Ipoh di sini, jam 11.30 pagi.


Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya merampas 30 topi keledar yang dijual di premis itu yang disyaki memiliki pelekat SIRIM palsu.


"Topi keledar itu dijual pada harga RM30 setiap satu. Sekali imbas label SIRIM palsu yang dilekatkan pada belakang topi keledar kelihatan sama seperti label tulen.

Foto

PEGAWAI penguat kuasa melakukan pemeriksaan pada topi keledar di sebuah premis.

"Bagaimanapun, beberapa ciri khas pada label SIRIM tulen tidak dapat ditiru pada label palsu itu. Semua topi keledar bernilai kira-kira RM300 itu kemudian disita," katanya.


Beliau berkata, pemilik premis itu yang disoal siasat bagaimanapun memberi alasan tidak tahu label SIRIM itu adalah palsu kerana mendakwa ia diperoleh daripada pembekal.

"Pihak KPDNKK memandang serius penjualan topi keledar dengan label SIRIM palsu dan siasatan akan dilakukan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011. Jika sabit kesalahan, individu yang menjualnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Sebabkan 70% kematian

Posted: 15 Jun 2014 03:19 PM PDT

Kuala Lumpur: Penggunaan topi keledar tanpa kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) disahkan antara punca utama kematian dalam kalangan pengguna motosikal di negara ini apabila terbabit kemalangan.

Jurucakap Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) berkata, lebih 70 peratus punca kematian penunggang motosikal berpunca akibat kecederaan parah di kepala.


Menurutnya, ia ada kaitan dengan penggunaan topi keledar murah dan topi keledar yang tidak memenuhi piawaian ditetapkan SIRIM.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Gunting seluar mangsa

Posted: 15 Jun 2014 03:18 PM PDT

Miri: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang memakai penutup muka di bilik tidurnya sebelum menakutkan mangsa dengan menggunting seluar dipakainya dalam kejadian pecah rumah di Taman Perumahan Quadruplex di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.55 pagi, suspek turut bertindak ganas apabila menumbuk dahi mangsa berusia 20 tahun menyebabkan wanita itu hanya mampu tergamam dan menggigil ketakutan.


Difahamkan, mangsa tidur bersendirian dalam biliknya.

Katanya, akibat terlalu panik mangsa hanya mendiamkan diri manakala suspek mengugut supaya tidak berbuat apa-apa sambil memegang gunting. "Suspek tiba-tiba menghampiri mangsa di katil sebelum menggunting seluar dipakai.


"Sebaik selesai menggunting seluar mangsa, suspek menumbuk dahi wanita itu sebelum melarikan diri melalui pintu dapur," katanya.


Menurutnya, sebaik suspek melarikan diri, mangsa bergegas mengejutkan ibunya memaklumkan kejadian itu.

"Beg tangan ibu mangsa mengandungi dokumen pengenalan diri dan pelbagai kad bank dilarikan suspek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Konkrit 50,000 tan hempap kepala

Posted: 15 Jun 2014 03:18 PM PDT

Muadzam Shah: Seorang pemandu lori maut dalam keadaan mengerikan apabila pecah kepala selepas lori dipandu dihempap batu konkrit lebih 50,000 tan di sebuah tapak pembinaan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Ahmad Khussairie Saffari, 29, dari Muadzam Shah, maut di tempat kejadian akibat parah di leher, kepala dan patah kedua-dua tangan.


Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin Asisten Superintendan Mohd Razali Razak berkata, ketika kejadian, mangsa memberhentikan lori dipandu di tepi batu konkrit itu kerana dipercayai mahu berteduh ketika menunggu giliran mengangkut tanah.

Katanya, selepas 30 minit menunggu, konkrit berkenaan tiba-tiba terbalik lalu menghempap kepala lori menyebabkan mangsa yang berada di tempat duduk pemandu tersepit.


"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat dari Muadzam Shah dan Rompin ke tempat kejadian dan menggunakan dua kren dan dua jentera berat untuk mengalihkan konkrit bagi mengeluarkan mayat mangsa.


"Anggota bomba mengambil masa 30 minit dan siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada mendapan tanah sebelum lori dipandu mangsa dihempap batu konkrit berkenaan yang dianggarkan seberat 50,000 tan," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah (HMS), di sini, untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya, malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

Lahir bakal guru dinamik

Posted: 15 Jun 2014 03:17 PM PDT

Putrajaya: Menyedari keperluan melahirkan lebih ramai guru yang kompeten dan cemerlang, kerajaan perlu memastikan bakal pendidik dipersiapkan secukupnya selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang mahu melahirkan pelajar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr Lee Boon Hua berkata, transformasi IPG jelas dinyatakan dalam PPPM iaitu merombak IPG dan latihan guru. "Berteraskan hasrat ini, beberapa inisiatif diambil untuk menjadikan IPG sebagai sebuah institusi latihan guru bertaraf dunia," katanya.


Beliau berkata, IPG sudah melakar hala tuju untuk menjayakan inisiatif ini menerusi tujuh kategori yang dicadangkan iaitu memperkukuh saluran pengambilan guru pelatih; memantapkan kurikulum IPG; meningkatkan kualiti kepimpinan IPG; meningkatkan kualiti pensyarah; menaiktaraf prasarana; meningkatkan aktiviti penyelidikan dan inovasi serta meningkatkan profil IPG," katanya.

Menurutnya, bagi menjayakan hala tuju itu, jawatankuasa teknikal ditubuhkan untuk merancang dan membangunkan Pelan Tindakan Transformasi IPG berdasarkan enam domain yang perlu ditambah baik bagi memberi impak positif kepada kualiti guru iaitu organisasi, kualiti pensyarah, kurikulum, pelajar, prasarana dan pembangunan penyelidikan serta inovasi.


"Dengan adanya usaha ke arah membawa transformasi ini, IPG akan terus kekal relevan sebagai peneraju utama pendidikan guru di negara ini.


"Malah, dengan pencapaian itu, kita pada landasan yang tepat untuk menawarkan ijazah sarjana dan doktor falsafah kepada pendidik pada masa depan," katanya.

Pada masa ini, IPG mempunyai 40,182 siswa pendidik yang sedang mengikuti latihan pra-perkhidmatan di 27 kampus, malah IPGM bercadang melaksanakan Kursus Peningkatan Profesionalisme Secara Berterusan (CPD) kepada 32,680 guru dalam perkhidmatan.


Sehingga kini seramai 4,707 guru mengikuti CPD dan pensyarah IPG turut diberi tanggungjawab untuk melatih dan membimbing guru dalam perkhidmatan melalui Program Jurulatih Khas Peningkatan Sekolah (SISC+).

Bagi mencapai matlamat memartabatkan profesion keguruan sebagai profesion pilihan Kementerian Pendidikan juga akan memperkenalkan Pakej Kerjaya Guru baru yang secara dasarnya mengubah cara pemilihan, pembangunan profesional keguruan, dan pemberian ganjaran sepanjang tempoh kerjaya seorang guru.


Selaras itu, usaha sudah dibuat untuk menambah bilangan pensyarah yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah menerusi Program Pensarjanaan Pensyarah IPG.


Kini, dari 3,535 pensyarah, 335 orang (9.48 peratus) mempunyai kelulusan Doktor Falsafah dan 3,035 orang (85.86 peratus) mempunyai Sarjana manakala hanya 165 orang (4.66 peratus) saja mempunyai ijazah pertama.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/16

No comments:

Post a Comment