Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ais krim telur buaya

Posted: 16 Jun 2014 02:37 PM PDT

Davao (Filipina): Sebuah restoran di bandar ini mencipta pencuci mulut luar biasa selepas pemiliknya diberikan beberapa biji telur dari taman buaya berhampiran yang memelihara haiwan itu untuk daging dan kulitnya.

Pemilik restoran Sweet Spot berkata, pencinta haiwan tidak perlu bimbang kerana mereka tidak menggunakan daging buaya dalam resipi tetapi hanya lebihan telur sang bedal itu yang tidak menetas. Sweet Spot menggunakan telur buaya sebagai ganti kepada telur ayam dan mencampurkannya dengan ramuan biasa seperti susu, krim, gula dan perisa.


Sebelum ini, pemilik Sweet Spot, Dino dan Bianca Ramos, menerima telur buaya daripada bapa saudara Dino yang juga pemilik Taman Buaya Davao.

Tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan telur itu, Dino memutuskan untuk menggunanya bagi membuat aiskrim.


Hasilnya amat memberangsangkan kerana ternyata ia sedap! "Sudah pasti ia ais krim biasa yang tidak mempunyai rasa buaya kerana kami hanya mengguna telurnya, tetapi ia benar-benar sedap.


"Buaya ialah spesies haiwan terancam. Kami menggunakan telur lebihan atau yang tidak menetas," katanya.

Foto

AIS krim yang menggunakan telur buaya.

Menurut Sweet Spot, telur buaya terdiri daripada 80 peratus kuning telur dan lebih banyak nutrisi berbanding telur ayam, menjadikan ia pilihan lebih sihat untuk ais krim mereka.


Ia bagaimanapun bukan sesuatu yang luar biasa.

Ice Cream Parlour di Whitby, North Yorkshire menjual ais krim ikan dan kentang. Ia dibuat menggunakan ikan kod yang disalut tepung, kentang goreng dan kekacang. Selain itu, kedai ais krim di London, Icecreamists pula pernah menimbulkan kekecohan kerana menyediakan ais krim daripada susu ibu dan diberi nama Baby Gaga.


Namun, iani semua tidak dapat mengalahkan Jepun kerana mereka adalah 'Raja segala ais krim berperisa pelik.' Antaranya, termasuk daging kuda, lidah lembu dan sotong kurita. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Saman hospital sebabkan kemaluan pendek 2.5sm

Posted: 16 Jun 2014 02:33 PM PDT

Montreal: Seorang lelaki menyaman sebuah hospital setelah pembedahan yang dijalaninya menyebabkan kemaluannya menjadi pendek kira-kira 2.5 sentimeter (sm).

Lelaki berkenaan dikejarkan ke hospital pada 2011 kerana mengalami kecederaan pada kemaluannya ketika melakukan seks dengan isterinya.


Dia menjalani pembedahan tetapi ia meninggalkan parut pada kemaluannya dan juga menyebabkan senjata sulitnya itu bertambah pendek.

Lelaki itu, dalam samannya berkata, dia tidak dapat mengadakan seks sejak itu, menyebabkan isterinya meninggalkannya.


Dia menuntut bayaran sebanyak RM457,000 sebagai ganti rugi kerana kecuaian yang dilakukan pihak hospital.


"Kesan daripada kecuaian mereka terhadap kehidupan saya adalah lebih teruk daripada saya patah kaki sebelum ini," katanya kepada sebuah akhbar tempatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Kerja keras siang malam

Posted: 16 Jun 2014 02:32 PM PDT

Jakarta: Joko Widodo (Jokowi) semalam berkata, dia dan naibnya Jusuf Kalla berikrar untuk bekerja "siang dan malam" dalam tempoh lima tahun akan datang jika diberi mandat oleh rakyat memimpin Indonesia.

"Jika pengundi memberikan kepercayaan, kami akan bekerja bersungguh-sungguh dan hanya akan tunduk kepada perlembagaan serta kehendak rakyat Indonesia," katanya pada penutup Debat Calon Presiden anjuran Komisi Pemilihan Umum (KPU) yang disiar secara langsung stesen televisyen swasta di Jakarta, malam kelmarin.


Menurut Jokowi, dia yakin Indonesia pada masa depan dapat mewujud pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Justeru, katanya, jika rakyat memberi amanah kepadanya dan Jusuf, mereka bersedia bekerja sekuat tenaga tanpa mengira waktu untuk mengabdi diri kepada rakyat.

"Kami sudah berkeliling ke daerah-daerah di seluruh Indonesia dan bertemu dengan rakyat di Pulau Rote, Papua, Aceh, dan sebagainya. "Ada penduduk yang masih bekerja pada malam hari ketika sebahagian besar orang lain tidur. "Itulah yang menyentuh perasaan kami untuk bekerja keras mengabdikan diri kepada rakyat Indonesia," katanya.


Pada majlis itu juga Jokowi menegaskan dirinya adalah warna negara Indonesia asli dan nasionalis. Kenyataan itu dibuat bagi menepis kempen pihak lawan yang mempertikaikan latar belakang serta status warga negaranya.


"Saya Jokowi. Saya lahir, besar dan dididik di sini. "Saya seutuhnya bangsa Indonesia," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Debat kali kedua macam Sepanyol lawan Belanda

Posted: 16 Jun 2014 02:32 PM PDT

Jakarta: Kem Prabowo Subianto Hatta Rajasa berkata, bekas jeneral tentera elit itu menyinar dengan cemerlang dalam debat pusingan kedua malam kelmarin.

Setiausaha Agung Parti Gerindra, Ahmad Muzani berkata, debat berkenaan boleh diibaratkan sebagai perlawanan Belanda melawan Sepanyol dalam Piala Dunia beberapa hari lalu. "Seperti Sepanyol, Joko Widodo dibelasah 5-1 oleh Prabowo," katanya.


Bagaimanapun, Ahmad berkata, pihaknya tidak akan mengambil mudah dengan keputusan itu.

Katanya, mereka akan menilai hasil debat berkenaan dan merancang strategi untuk membolehkan Prabowo lebih menonjol dalam debat akan datang.


Sebanyak lima siri debat diatur pengendali pilihan raya dan ia disiar secara langsung oleh lima stesen berbeza di Indonesia.


Debat itu memberi peluang kepada rakyat menilai wawasan dan kredibiliti calon yang bertanding dalam pemilihan 9 Julai ini. Timbalan Ketua Umum Parti Gerindra Fadli Zon turut bersependapat dengan kenyataan Ahmad.

Kata Fadli, Jokowi kalah teruk kerana Prabowo berjaya menyampaikan isu yang lebih utama, realistik dan asas.


"Sepatutnya skor malam kelmarin ialah 5-0," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Bayi 18 bulan nyaris disembelih abang

Posted: 16 Jun 2014 02:32 PM PDT

Riyadh: Seorang bayi berusia 18 bulan nyaris disembelih oleh abangnya.

Si abang yang berusia tiga tahun sebelum itu menemani bapanya ke pusat penyembelihan biri-biri di daerah Naseem di Riyadh dan menyaksikan cara haiwan itu disembelih.


Menurut akhbar Sabq, apabila pulang, dia mahu melakukan proses sama terhadap adiknya, Shawq.

Dia mengambil pisau di dapur dan cuba menyembelih adiknya.


Mujur kejadian itu disedari ibu bapa mereka yang membawa mangsa ke hospital.


Menurut si bapa, keluarganya didatangi tetamu dan dia keluar ke pusat penyembelihan untuk membeli daging biri-biri bagi meraikan mereka, membawa bersama anak lelakinya.

"Apabila pulang, kami terkejut melihat dia menyerang adiknya, menikamnya di dada dan leher. Dia meniru apa yang dilihatnya di pusat penyembelihan itu. "Darah keluar dengan banyak hingga menyebabkan kami cemas. Mujur saya sempat membawa Shawq ke hospital," kata bapa kedua-dua kanak-kanak itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Ginanjar sokong nombor 2

Posted: 16 Jun 2014 02:32 PM PDT

Jakarta: Ketua Jawatankuasa Pusat Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Maruarar Sirait berkata politikus kanan Parti Golkar Ginanjar Kartasasmita memberikan sokongan kepada Joko Widodo walaupun itu bercanggah dengan pendirian rasmi partinya.

Maruarar berkata, keputusan Ginanjar itu dijangka memberi kesan yang besar terhadap peningkatan sokongan Jokowi.


"Ginanjar adalah ahli politik dihormati dan berpengaruh di Jakarta Barat.

"Dia juga rapat dengan presiden," katanya kepada media di rumahnya semalam. Menurut Maruarar, berdasarkan ketokohan Ginanjar dia yakin keputusan menyokong Jokowi dibuat selepas membuat pertimbangan sewajarnya. Kata Maruarar tidak mungkin Ginanjar memberikan sokongan semberono kepada Jokowi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Awas! kereta curi jadi bom

Posted: 16 Jun 2014 02:32 PM PDT

Bangkok: Sebanyak 40 kenderaan yang dicuri mungkin akan diproses menjadi bom kereta, kata Pusat Pencegahan Kecurian Polis Wilayah Selatan Thailand, semalam.

Dalam kenyataan dikeluar semalam, agensi itu berkata, kenderaan terbabit dipercayai digunakan pejuang Islam di wilayah bergolak berkenaan.


Kebimbangan itu, kata agensi berkenaan, semakin meningkat kerana Ramadan bakal tiba akhir bulan ini. Dua poster dikeluarkan pusat berkenaan bagi menyebarkan maklumat mengenai 30 trak pikap, lapan kereta dan dua van yang dicuri daripada penduduk setempat di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla.

Menurut kenyataan dikeluarkan itu, pemberontak sebelum ini pernah menggunakan kenderaan curi untuk dijadikan bom atau menggunakannya ketika melancar serangan ke atas tentera, polis atau orang awam.


Sementara itu Ketua Polis Pattani Photha Suaysuwan berkata, dia menghantar mesej berkenaan kepada 15 balai polis di 12 daerah wilayah itu.


Amaran berkenaan, katanya, perlu disebarkan kepada orang awam melalui pos keselamatan dikendali polis serta tentera. "Perhatian perlu diberi kepada kenderaan yang mencurigakan, terutama di kawasan ekonomi dan pejabat kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Vaksin denggi di pasar tahun depan

Posted: 16 Jun 2014 02:32 PM PDT

Singapura: Vaksin denggi pertama di dunia dijangka sedia untuk digunakan akhir tahun depan dan Singapura mungkin menjadi negara pertama memperolehnya.

Perkembangan itu memang wajar kerana wabak berkenaan mudah berjangkit dan menjadi masalah di lebih 100 negara di seluruh dunia.


Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), empat daripada 10 individu berisiko dijangkiti denggi.

Data agensi itu juga menunjukkan dua pertiga kes denggi dunia datang dari Asia dengan Asia Tenggara menjadi penyumbang utama. Syarikat pengeluar vaksin itu, Sanofi Pasteur berkata, ia akan dipasarkan di tempat yang paling memerlukannya, termasuk Asia Tenggara. Ketua unit vaksin syarikat berkenaan. Dr Guillaume Leroy berkata, matlamat umum mereka ialah menangani penyakit berkenaan di tempat utama.


"Vaksin itu berjaya diuji di klinik di beberapa Asia," katanya. Secara keseluruhan seramai 30,000 orang, termasuk 20,000 di Amerika Latin menggunakan vaksin berkenaan dalam tempoh percubaan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Junta nafi jalankan dasar 'sapu bersih'

Posted: 16 Jun 2014 02:32 PM PDT

Bangkok: Junta tentera Thailand semalam menafikan mereka menjalankan dasar 'sapu bersih' untuk menyingkirkan pekerja warga asing walaupun ribuan imigran Kemboja meninggalkan negara itu sejak rampasan kuasa bulan lalu.

Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi menganggarkan 100,000 pendatang tanpa izin dari Kemboja meninggalkan Thailand kerana bimbang 'digempur' tentera sejak kudeta 22 Mei lalu.


Majlis Keamanan Dan Ketenteraman Awam Kebangsaan (NCPO) pula bertegas warga Kemboja terbabit pulang atas kemahuan sendiri.

Sejak Sabtu lalu, menurut NCPO, sebanyak 60,000 warga Kemboja melintasi sempadan dan dianggarkan ada 90,000 pekerja asing di Thailand ketika ini.


Laluan menuju ke sempadan Kemboja pula sesak kelmarin dengan lori dan bas berisi pekerja yang memilih untuk pulang ke kampung sendiri berbanding berdepan dengan pihak berkuasa. Jurucakap NCPO berkata, masalah pekerja tanpa izin dihadapi negara itu sejak 10 tahun lalu.


"Pihak berkuasa perlu berkunjung ke pusat petempatan pendatang tanpa izin dan meminta mereka terus bekerja seperti biasa tetapi mesti menjaga keamanan," katanya.

Sementara itu Kementerian Luar Kemboja berkata, mereka akan meminta Bangkok memastikan layanan sewajarnya diberikan kepada pendatang tanpa izin terbabit. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

Rismaharini: Doakan kami, Surabaya

Posted: 16 Jun 2014 02:32 PM PDT

Surabaya: Datuk Bandar Surabaya Tri Rismaharini semalam berharap orang ramai mendoakan kesejahteraan bandar itu menjelang rancangannya menutup pusat pelacuran Gang Dolly.

Kata Rismaharini, dia berharap penutupan pusat maksiat berkenaan mampu membawa sebahagian penduduk Surabaya berhijrah ke jalan yang lebih baik.


"Kami akan membawa mereka ke jalan yang lebih terang dan lebih baik. "Justeru kami mohon orang ramai menitipkan doa restu supaya proses ini berjalan lancar," katanya di depan tokoh masyarakat dan ulama setempat semalam.

Majlis itu diadakan sempena ulang tahun ke-721 penubuhan Surabaya.


Rismaharini berkata, penutupan Gang Dolly adalah ikhtar kerajaan tempatan melakukan perubahan masyarakat menjadi lebih baik.


"Saya yakin ini niat baik, dan akan dimudahkan Tuhan," katanya. Rismaharini berharap masyarakat membantu proses penutupan Gang Dolly dengan cara menyedarkan penghuninya beralih pekerjaan menjadi aktivis ekonomi lebih produktif. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/17

No comments:

Post a Comment