Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Makin serasi'

Posted: 19 Jun 2014 10:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Gandingan baru, Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong dilihat semakin serasi apabila mereka menempah tempat ke pusingan suku akhir Siri Super Premier Terbuka Indonesia 2014, semalam.

Bagaimanapun, Boon Heong-Wee Kiong dipaksa berhempas pulas untuk menyingkirkan beregu tuan rumah, Berry Angriawan- Ricky Karanda Suwardi dengan kemenangan 18-21, 21-18, 21-17.

Kemenangan beregu yang kali pertama digandingkan jurulatih Pang Cheh Chang itu sudah pasti akan menaikkan lagi semangat pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang turut mara mudah ke suku akhir.

Chong Wei yang diletakkan selaku pilihan pertama, boleh dikatakan tidak menggunakan kemampuannya 100 peratus untuk mengalahkan pemain Perancis, Brice Leverdez 21-4, 21-16.

Foto

KOMBINASI Boon Heong (kiri), Wee Kiong beri impak positif.


"Memang kami sudah mara hingga ke suku akhir, namun masih ada beberapa masalah yang perlu diperbaiki dan kami perlu terus bekerja keras," kata Wee Kiong.


Menanti mereka di suku akhir pasangan Korea Selatan yang juga pilihan keenam, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong apabila beregu itu mengalahkan gandingan China, Chai Biao-Hong Wei 21-17, 21-14.

"Kombinasi kami juga perlu diperkuatkan lagi, walaupun baru digandingkan bersama. Kelebihan kami berdua mungkin dapat menyerap suasana kejohanan sebenar.

"Memang ia sangat berbeza ketika sesi latihan, apa yang kami buat mempersiapkan diri sebaik mungkin," katanya yang akan berganding dengan Goh V Shem di Siri Super Terbuka Australia hujung bulan ini.

Hasrat untuk melihat pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng turut beraksi di suku akhir tidak kesampaian apabila tumpas kepada Kenichi Tago dari Jepun yang juga pemain pilihan keempat 18-21, 15-21.

Dalam pertembungan perseorangan wanita, Tee Jing Yi gagal melakukan kejutan ke atas pilihan keempat dari Thailand, Ratchanok Intanon apabila tewas 10-21, 24-26.

Sementara itu seorang lagi pemain perseorangan wanita, Yang Li Lian turut tersingkir apabila kalah kepada pemain pilihan keenam dari Korea Selatan, Bae Yeon Ju 11-21, 21-17, 8-21.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

'Kami celaru taktikal jurulatih'

Posted: 19 Jun 2014 10:39 AM PDT

Kuala Lumpur: Kapten skuad hoki Piala Dunia negara Azlan Misron tampil mendedahkan kepincangan sebenar prestasi buruk pasukan kebangsaan pada Kejohanan Hoki Piala Dunia di The Hague Belanda disebabkan kecelaruan dari segi taktikal dan gaya permainan yang harus dikuasai dalam tempoh singkat.

Sambil menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan wujudnya situasi tidak harmoni antara pemain remaja dan senior dalam skuad kebangsaan, Azlan berkata, suasana kem negara sepanjang berada di Belanda cukup baik dan harmoni ibarat seperti satu keluarga.

"Isu ini sengaja ditimbulkan pihak luar apabila kami meraih tempat tercorot. Tidak pernah timbul sebarang masalah atau rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain senior atau junior.

"Malah kami begitu rapat umpama keluarga dan saling bantu-membantu tidak kira di dalam atau luar padang. Cuma, mungkin kegagalan kami di Belanda kerana masalah kekeliruan strategi dan taktikal permainan di bawah kendalian jurulatih sekarang (Muhammad Dhaarma Raj Abdullah).

Foto

AZLAN (kiri) akui prestasi skuad negara masih ketinggalan.


"Sebelum ini kami dilatih Paul Revington yang menerapkan gaya permainannya, dan apabila Dhaarma naik sebagai jurulatih kami terpaksa tukar cara bermain mengikut gaya yang diajar.


"Namun bagi saya, itu hanya masalah kecil yang biasa berlaku apabila jurulatih baru mengambil alih jawatan itu. Yang jelas, tahap permainan hoki kita jauh ketinggalan dengan pasukan handalan dunia lain.

"Saya akui, jurang antara pasukan kita dengan negara lain amat ketara. Realitinya bukan mudah untuk bersaing di Piala Dunia," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Pada saingan di Belanda itu, anak buah kendalian Dhaarma Raj gagal meraih sebarang mata pada lima aksi dalam saingan peringkat Kumpulan A sekali gus berada di kedudukan tercorot yang membabitkan enam pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Jangan tertekan!

Posted: 19 Jun 2014 10:37 AM PDT

Johor Bahru: "Usah beraksi dalam tekanan sebaliknya pamerkan aksi terbaik dan konsisten."

Itu pesanan ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Bojan Hodak yang menuntut kesebelasan utama menentang Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam ini tidak terikut-ikut dengan corak permainan skuad The Red Warriors itu.

Malah, Hodak mengakui rombakan kecil terpaksa dilakukan selepas beberapa tonggak utama skuad bergelar Harimau Selatan itu tidak dapat diturunkan akibat penggantungan dan mengalami kecederaan.

Katanya, rombakan itu tidak akan menjejaskan perancangan taktikal untuk memastikan kemenangan mampu diraih bagi menamatkan aksi di laman sendiri dengan rekod bersih tanpa kalah.

Foto


"Sudah pasti Aidil Zafuan Abd Radzak dan Daudsu Jamaluddin terpaksa diketepikan kerana penggantungan manakala Mahali Jasuli mengalami kecederaan dan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan tidak sihat akibat demam.


"Apa yang saya tekankan kepada pemain supaya tidak meletakkan bebanan dan tekanan kepada diri sendiri kerana ia akan menjejaskan rentak permainan, malah saya mahu pemain berada dalam keadaan tenang dan beraksi dengan komitmen tinggi.

"Baki dua perlawanan liga sememangnya amat penting buat Johor DT dan perlu menang kedua-dua perlawanan itu untuk mencapai impian muncul juara, malah saya harap pemain yang akan diturunkan memberi persembahan terbaik pada aksi menentang Kelantan," katanya semalam.

Hodak juga menegaskan jika Izham Tarmizi belum cergas daripada demam kemungkinan kelibat dua penjaga gol, Norazlan Razali atau Mohammad Al-Hafiz Hamzah bakal menggalas tugas menjaga gawang skuad Harimau Selatan itu.

Katanya, benteng pertahanan juga akan diperkemaskan tanpa kelibat Aidil Zafuan tatkala mengekang kelicikan Francis Forkey Doe yang sudah mula menunjukkan sentuhan berbahaya apabila berada di depan pintu gol.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Semangat Rangel

Posted: 19 Jun 2014 10:35 AM PDT

Kuala Lumpur: Penyerang Selangor, Paulo Rangel sudah bersedia untuk kembali menggegar gawang lawan bermula aksi menentang Sarawak di Stadium Shah Alam, malam esok.

Ayam tambatan Merah Kuning dari Brazil itu terlepas dua perlawanan akibat penggantungan kerana dilayang kad merah ketika menentang Terengganu pada 10 Jun lalu dan ketiadaannya memberikan impak besar kepada Selangor yang terlepas kedudukan teratas kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) selepas tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic kini mengumpul 37 mata, ketinggalan satu mata kepada Harimau Selatan ketika saingan berbaki dua perlawanan bagi menentukan kejuaraan Liga Super musim ini.

"Kami tetap berpeluang muncul juara liga.

Saya harap kami fokus memenangi baki dua perlawanan tanpa terlalu memikirkan pesaing, namun pada masa sama berharap Johor DT tewas atau seri," kata Rangel.

Menurutnya, tahap keyakinan dalam kalangan pemain Selangor untuk meraih kejuaraan tetap tebal walaupun dibolosi empat gol dalam dua perlawanan.

"Saya lihat semua pemain masih yakin.

Semua pemain perlu memainkan peranan masing-masing atas padang dan kami akan kembali ke landasan kemenangan seperti diharapkan." Peluang Selangor muncul juara dilihat cerah apabila baki dua perlawanan berlangsung di Stadium Shah Alam, menentang Sarawak dan PKNS FC manakala Johor DT berdepan Kelantan malam ini sebelum terbang ke Kuching bagi menghadapi Sarawak.

Selain persaingan merebut kejuaraan Liga Super, Rangel turut bersaing sengit dengan penyerang Johor DT dari Argentina, Luciano Figuera bagi merebut kasut emas musim ini.

Rangel sudah meledak 12 gol manakala Figuera ketinggalan dua gol dengan kedua-duanya berpeluang meledak jaringan dalam baki dua perlawanan.

"Jika saya mendapat kedua-duanya (Liga Super dan Kasut Emas), ia sesuatu yang bagus namun tumpuan utama tetap kejayaan Selangor menjuarai liga," katanya.

Foto

SENTUHAN Rangel ancaman Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

TRW hilang tonggak

Posted: 19 Jun 2014 10:33 AM PDT

Kota Bharu: Kelantan akan menentang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin, Johor Bharu malam ini tanpa empat tonggak utama.

Pasukan yang terkenal dengan jolokan The Red Warriors (TRW) itu kehilangan pemain utamanya selepas perlawanan dengan Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, Selasa lalu akibat dilayang kad kuning dan kecederaan selepas dikasari pemain lawan.

Penolong jurulatih Hashim Mustapha berkata, mereka akan berkunjung ke tempat lawan tanpa Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Fitri Omar kerana digantung permainan, manakala Farisham Ismail pula patah hidung ketika menentang Selangor.

"Seorang lagi yang tidak turut serta ke Johor Bharu adalah Piya (Mohd Badhri Radzi) berikutan keadaannya yang dilapor masih belum pulih sepenuhnya.

"Dia mungkin ke Johor menaiki kapal terbang, namun sama ada diturunkan atau tidak bergantung kepada pengurusan untuk buat keputusan," katanya.

Hashim berkata, Ahmad Fakri Saarani yang cedera ketika perlawanan lalu tidak direhatkan kerana kecederaan dialami kurang serius dan masih boleh beraksi.

Sebagai ganti 'kekurangan' yang ada, Nazri Ahmad, Famirul Ashraf Sayuti dan Mohd Faiz Suhaimi diarah menyiapkan diri menentang Johor DT.

Beliau turut menegaskan, Kelantan masih belum kehilangan taring berikutan mempunyai Forkey Doe, Hussien Alaa, Mohamed Shawky Aly, Brendan Gan dan Khairul Izuan.

"Tiada laluan mudah buat Johor DT untuk menjaringkan gol kerana kami juga mahukan kemenangan bagi memburu kelompok keempat terbaik liga musim ini.

"Tiada istilah menyerah kalah biarpun pengendali mereka Bojan Hodak tahu segala kelemahan dan kekuatan pasukan lamanya.

"Kami mahu balas dendam atas kekalahan 1-2 pada pusingan pertama di Stadium Sultan Muhammad IV," katanya.

Kelantan kini berada di tangga kelima liga selepas mengharungi 20 perlawanan dengan pungutan 31 mata, ketinggalan tujuh mata berbanding Johor DT.

Foto

HUSSIEN (kiri) mampu perkuat Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Tok Gajah tetap juang

Posted: 19 Jun 2014 10:31 AM PDT

Kuantan: Dua baki perlawanan Liga Super menjadi tumpuan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan bagi menentukan kedudukan terbaik sepanjang musim ini.

Justeru, kapten Pahang Mohd Razman Roslan mahu rakan sepasukan menumpukan dua baki perlawanan terutama melayan kunjungan PKNS FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Razman berkata, kemenangan menjadi keutamaan skuad itu dalam usaha mencatat keputusan membanggakan musim ini biarpun peluang menjulang trofi Liga Super begitu tipis.

Sebagai pemain, dia serta rakan sepasukan tidak mahu mengharapkan kesilapan lawan sebaliknya perlu berusaha mencatat keputusan terbaik pada baki dua perlawanan itu.

"Kami sedar peluang untuk muncul juara Liga Super agak tipis tapi kami tidak boleh mempersia-siakan enam mata daripada dua perlawanan ini terutama bertemu PKNS FC Sabtu ini.

"Setakat ini, fokus utama adalah untuk menewaskan PKNS FC dan memanfaatkan peluang sebaiknya apabila beraksi di gelanggang sendiri," kata pemain berasal dari Kajang, Selangor itu.

Namun Razman berkata, prestasi PKNS FC tidak harus dipandang rendah kerana pasukan itu mahu mengelak tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Habuan nanti 'Seladang' muda

Posted: 19 Jun 2014 10:30 AM PDT

Ipoh: Lawatan ke Perth, Australia menanti pemain Perak jika muncul juara Piala Presiden 2014 apabila turun bertemu Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Isnin ini.

Turut dijanjikan kepada skuad Seladang muda bimbingan Mohd Syamsol Saad itu ganjaran wang daripada kerajaan negeri.

Janji itu dibuat Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Azhar Ahmad ketika mengadakan pertemuan dengan pasukan itu malam kelmarin.

"Saya berharap pemain usah fikirkan ganjaran kerana habuannya pasti ada sebagai penghargaan daripada kerajaan negeri terhadap pengorbanan pemain.

"Secara peribadi saya berjanji akan membawa pasukan ke Perth jika Perak muncul juara," katanya.

Azhar berkata, pasukan Piala Presiden Perak mencatat sejarah tersendiri apabila mara ke final tiga tahun berturut-turut.

"Jarang berlaku sesebuah pasukan ke final tiga kali berturut-turut.

Saya harap pemain Perak akan mengusahakan kejayaan bagi menebus kehampaan tumpas di tangan Kelantan 2-1 di Kota Bahru, tahun lalu.

"Jika berjaya, pencapaian itu lebih manis kerana menambah koleksi pingat skuad ini yang muncul juara Sukan Malaysia (SUKMA) XVII di Kangar bulan lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Elak makin parah

Posted: 19 Jun 2014 10:29 AM PDT

Kuala Lumpur: Norizman Ismail memilih langkah selamat dan tidak mahu mengambil sebarang risiko kerana terpaksa beraksi dalam keadaan kaki tercedera pada saingan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Temerloh, Pahang, minggu ini.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu mengalami kecederaan buku lali selepas terjatuh ketika menjalani latihan baru-baru ini, namun masih berupaya menyertai saingan Underbone 130cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Sentul, Indonesia, minggu lalu.

Sekalipun beraksi dengan kaki berbalut, Norizman tampil cemerlang dalam saingan ARRC apabila menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ketiga dan tempat kelima Perlumbaan 2 sekali gus berada di tangga kedua dalam senarai keseluruhan.

Norizman perlu berhati-hati bagi mengelak kecederaan lebih teruk kerana perlumbaan di litar Cub Prix memerlukan penggunaan brek yang lebih banyak berbanding litar ARRC meskipun yakin mampu mempamerkan aksi sama di Temerloh yang juga antara litar kegemarannya.


"ARRC menggunakan litar sebenar yang lebih luas dan lebar dan saya tidak banyak menggunakan brek kaki. Berbeza dengan Cub Prix yang menggunakan litar jalan raya yang mempunyai banyak selekoh tajam dan mencabar, lebih banyak penggunaan brek diperlukan. Selain itu, kedudukan antara pelumba lebih rapat kerana tidak banyak ruang untuk menjarakkan diri.


"Saya tidak mahu memberi banyak tekanan terhadap kaki kerana ia masih belum pulih sepenuhnya. Saya tidak mahu terburu-buru memburu kemenangan sebaliknya sasaran saya hanya untuk mengutip seberapa banyak mata kejuaraan supaya kekal dalam persaingan memburu mahkota keseluruhan musim ini. Ia lebih memadai untuk saya," kata Norizman.

Selepas empat pusingan, pelumba berusia 29 tahun itu kini berada di tangga ketiga senarai keseluruhan CP130 mengumpul 53 mata dan ketinggalan 22 mata di belakang pendahulu, Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) yang mengumpul 75 mata manakala Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha-CKJ) di kedudukan kedua, 65 mata.

"Saya berasa sedih kerana terpaksa beraksi di litar kegemaran saya bukan pada tahap terbaik. Selepas Temerloh, kami akan berehat panjang dan saya akan menggunakan tempoh itu untuk memastikan kaki pulih sepenuhnya sebaik perlumbaan bersambung selepas Aidilfitri, nanti. Sebab itu saya tidak mahu mengambil sebarang risiko minggu ini, tambahan pula masih ada baki lima pusingan selepas ini."

Norizman mendominasi litar sepanjang 1.082 kilometer di Temerloh dengan menguasai sesi latihan bebas untuk meraih petak pertama sebelum memenangi perlumbaan sebenar dengan menewaskan Mohd Zaqhwan dan Mohd Zamri Baba.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Debaran akhir

Posted: 19 Jun 2014 10:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Saingan Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2014 kategori B-12 dan B-16 tahun kini hampir ke kemuncaknya.

Lokasi Ampang Sports Planet sekali lagi menjadi medan buat sejumlah 1,400 pemain memperagakan aksi terbaik bagi merebut hadiah paling berprestij.

Juara akan menerima RM15,000, trofi, pingat dan barangan MILO-Figos serta barangan eksklusif bernilai RM3,000 manakala naib juara pula memperoleh RM10,000, pingat, barangan MILO-Figos.

Pasukan ketiga dan keempat masing-masing menerima RM7,000 manakala dari tangga kelima hingga kelapan (RM2,000).

Secara keseluruhan, kualiti diperagakan pemain meningkat dari tahun ke setahun sejak dipertandingkan lapan tahun lalu.

Pengurus Pemasaran dan Sukan Nestle Products Sdn Bhd Ng Ping Loong berkata, kualiti pasukan bertanding tahun ini jauh berbeza dari segi mental, kepantasan, disiplin serta pengurusan.

Grand Final pastinya menghadirkan kemeriahan.

"Saya yakin majoriti bakat remaja ini akan menjadi pemain bola sepak atau futsal yang bagus suatu hari nanti dan mewakili serta mengharumkan nama negara pada masa depan.

"Tempoh empat bulan memberi peluang kepada semua pemain menikmati keseronokan sukan ini, menanam semangat kesukanan tinggi dan memperhebatkan skil dan mutu permainan di peringkat akar umbi," katanya.

Turut hadir pada Grand Final legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Santokh Singh seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Kiara Batik ungguli Veteran 9's

Posted: 19 Jun 2014 10:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Aksi konsisten sepanjang kejohanan memberi impak hebat buat skuad veteran Kiara Batik dari Kelantan apabila mengungguli Pestabola Veteran 9 sepasukan KL-Antarabangsa 2014 Piala Raja Nong Chik di padang Universiti Malaya, baru-baru ini.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Taman Kinrara Puchong dari Selangor pada aksi final sudah cukup untuk mereka dinobat juara kejohanan.

Kiara Batik mengesahkan tiket ke perlawanan akhir selepas 'bermandi peluh' sebelum menumpaskan AT FC 4-3 melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 0-0 manakala Taman Kinrara Puchong memadam impian Veteran Nasmir dari Pulau Pinang, 1-0.

Hasil kejayaan itu, Kiara Batik membawa pulang wang tunai RM7,000, pingat manakala Taman Kinrara Puchong, RM4,000.

Veteran Nasmir dan AT FC masing-masing ( RM1,500).

Program anjuran PEKIDA Lembah Pantai itu disertai 32 pasukan veteran seluruh negara yang berlangsung selama dua hati.

Pengarah Program, Iliyas Awang puas hati kejohanan berjalan lancar tanpa insiden tidak diingi.

"Alhamdulillah semuanya berakhir dengan cemerlang.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua terbabit menjayakan program tahunan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

No comments:

Post a Comment