Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ais kepal RM80,000

Posted: 31 May 2014 11:42 AM PDT

Alor Setar: Seorang pemaju perumahan sanggup membeli semangkuk ais kepal pada harga RM80,000 untuk disumbangkan kepada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) sempena Karnival Amal Hari Penyayang 2014 di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini, semalam.

Ahli perniagaan terbabit yang juga Pengerusi Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng menyifatkan pembelian dilakukan itu sebagai tanda sokongan terhadap penubuhan YSB khusus untuk membantu golongan kurang upaya di negeri ini.

Dia yang ditemui berkata, ais kepal dibelinya itu dari gerai jualan amal di karnival berkenaan dianggap paling mahal pernah dibeli sejak lima tahun lalu.

"Saya pernah membeli ais kepal dengan harga RM10,000 pada tahun 2010. Saya kemudian membeli ais kepal pada harga RM50,000 selama tiga tahun berturut-turut antara tahun 2011 hingga 2013.

Foto

FNG Ah Seng menunjukkan ais kepal yang dibeli dengan harga RM80,000 untuk tujuan amal.


"Namun saya mengambil keputusan untuk membeli ais kepal itu pada harga RM80,000 tahun ini. Bagi saya nilai semangkuk ais kepal ini bukan ukuran kerana wang ini akan disalurkan kepada golongan memerlukan," katanya.


Menurutnya, sumbangan itu dianggap bermakna buat Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah selaku penaung YSB yang banyak membantu golongan kurang upaya di Kedah,

Terdahulu Tuanku Abdul Halim mencemar duli merasmikan larian bendang disertai kira-kira 1,000 peserta.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah; Pengerusi YSB Tunku Panglima Besar Kedah yang juga Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim dan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Fng berkata, beliau turut membeli dua daripada 20 barangan dilelong ketika majlis lelongan amal bermula jam 11 pagi semalam.

"Saya berminat membeli sepasang potret milik Tuanku Abdul Halim bersama Tuanku Hajah Haminah selain lukisan minyak tertera 12 ekor kuda bernilai keseluruhan RM120,000. Bagaimanapun lukisan itu diserahkan kembali kepada yayasan untuk tujuan lelongan amal pada tahun depan.

"Saya tidak kisah apa orang mahu fikir, tetapi niat saya ikhlas hanya untuk membantu YSB, sekali gus golongan memerlukan di negeri ini," katanya.

Dalam majlis lelongan amal itu, sebanyak RM755,000 berjaya dikumpulkan hasil daripada penjualan 20 barangan membabitkan enam potret milik Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah, lukisan minyak, keris dan barangan perhiasan termasuk sebuah meriam tembaga berusia 200 tahun.

Turut dilelong ialah sebentuk cincin batu permata nilam koleksi peribadi milik Tunku Puteri Intan Safinaz berharga RM20,000 dan suara meniru bunyi enjin kereta lumba F1 yang dilakukan pelawak terkenal tanah air Lan Pet Pet bernilai RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

Penyembelih kanak-kanak ditemui lemas

Posted: 31 May 2014 11:41 AM PDT

Petaling Jaya: Mayat suspek pembunuh kejam membabitkan mangsa kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan kelmarin, ditemui terapung berhampiran sungai tidak jauh dari Plaza Tol Bandar Sunway di sini, kira-kira jam 3 petang semalam.

Mayat lelaki lengkap berpakaian itu ditemui orang awam sebelum ia memaklumkan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor serta pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, rupa paras dan pakaian mayat lelaki terbabit konsisten dengan imej Kamera Litar Tertutup (CCTV) di pusat membeli-belah terbabit.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati tiada pengenalan diri pada tubuh mayat itu berusia sekitar 20-an itu.

Foto

MAYAT suspek ditemui timbul di permukaan Sungai Klang petang semalam.

"Bentuk fizikal dan pakaian mayat lelaki itu didapati sama dengan gambar CCTV yang berjaya dirakam di pusat membeli-belah berkenaan ketika mangsa diculik suspek.

"Selain daripada itu, mayat suspek sama dengan gambaran diberikan oleh saksi yang mengejar penjenayah terbabit sebelum suspek bertindak terjun ke Sungai Klang," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Menurutnya, mayat suspek akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan pihak polis juga sedang berusaha mengenal pasti identiti suspek melalui semakan rekod cap jari serta mengenalpasti motif pembunuhan kejam itu.

Sehubungan itu, Gan yakin kes bunuh membabitkan kanak-kanak terbabit berjaya diselesaikan polis.

Gan berkata, pihak polis merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada orang ramai dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat serta agensi berkaitan yang membantu menyelesaikan siasatan kes itu.

Dalam kejadian jam 9 malam Jumaat lalu, seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati dalam keadaan kepalanya disembelih di tepi Sungai Klang berhampiran Stesen Kereta Api Lama, Jalan Hishammuddin.

Sebelum kejadian, kanak-kanak malang itu yang dikenali Siti Soffea Emelda Abdullah bersama ibunya, seorang gelandangan berada di tingkat empat, Plaza Kotaraya.

Mangsa dipercayai dilarikan oleh suspek ketika ibunya pergi ke tandas sebelum kanak-kanak itu dibawa ke Sungai Klang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

2 beg sarat ganja

Posted: 31 May 2014 11:40 AM PDT

Butterworth: Gelap mata dengan upah RM500 diterimanya menyebabkan seorang wanita sanggup menjadi `keldai dadah' dengan membawa dua beg pakaian berisi sarat ganja mampat.

Wanita warga asing berusia 47 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas ketika sedang menaiki sebuah bas ekspres dalam satu operasi bersepadu di Plaza Tol Sungai Dua di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 5.30 petang itu, wanita terbabit ditahan anggota Jabatan Imigresen selepas didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Sumber berkata, wanita terbabit dalam perjalanan dari Changlun, Kedah ke Kuala Lumpur kemudian diarahkan turun dari bas itu untuk tujuan pemeriksaan lanjut.

Foto

SUSPEK (menutup muka) ditahan bersama dua beg pakaian berisi ganja yang dibawanya.


"Pada masa sama pemandu bas ekspres terbabit turut mengeluarkan dua beg pakaian milik wanita itu dari dalam bas berkenaan.


"Namun kandungan serta berat beg itu menimbulkan curiga pihak berkuasa. Kedua-dua beg terbabit juga ditemui dalam keadaan berkunci dan wanita itu mendakwa dia tidak mempunyai anak kunci untuk membuka beg berkenaan," katanya.

Wanita itu yang disoal siasat mendakwa dia hanya diarah membawa beg berkenaan ke Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada seorang lelaki sejurus dia tiba di ibu kota.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

Mati sedut asap

Posted: 31 May 2014 11:38 AM PDT

Klang: Seorang warga emas mati akibat sesak nafas apabila biliknya terbakar ketika dia sedang tidur dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Ambang Botanik 2 di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa, Yap Soon Tian, 75, ditemui masih terbaring di atas katil dan dipercayai tidak sedarkan diri selepas biliknya dipenuhi asap.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 7.06 pagi daripada kakitangan keselamatan yang kebetulan melakukan rondaan pada ketika itu.

"Ketika kejadian, ada tiga penghuni di dalam rumah yang dimiliki anak mangsa namun mereka tidak menyedarinya sehinggalah dimaklumkan kakitangan keselamatan.

Foto

ANGGOTA bomba mengusung keluar mayat mangsa.


"Berikutan asap tebal, ahli keluarga mangsa menyangka dia sudah menyelamatkan diri namun sebaik api berjaya dipadam, kami menemui mayat Yap terbaring di atas katil," katanya.


Mohd Sani berkata, siasatan awal mendapati kebakaran hanya membabitkan bilik tidur mangsa dan ia dipercayai berpunca daripada penyaman udara yang dipasang di bilik berkenaan.

Mohd Sani berkata, jumlah kerugian dianggarkan lebih RM40,000

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

Diskaun buku untuk pemegang kad POPULAR

Posted: 31 May 2014 11:36 AM PDT

Petaling Jaya: Sebagai penghargaan kepada pemegang kad ahli, Kedai Buku Popular (M) Sdn Bhd (POPULAR) mengadakan jualan murah tertutup sehari untuk ahli sempena sambutan ulang tahun ke-90 kedai buku berkenaan di pusat beli-belah Ikano Power Centre (IPC) di sini, semalam.

Jualan buku yang diadakan selama sehari itu merangkumi pelbagai jenis bahan bacaan termasuk buku akademik, majalah, novel, komik dan peralatan sekolah di samping diskaun sehingga 25 peratus.

Pengarah Eksekutifnya Lim Lee Ngoh, berkata jualan istimewa untuk ahli itu kali pertama dianjurkan sebagai tanda terima kasih kepada pemegang kad yang tidak putus-putus memberi sokongan.

"Kami menjangkakan kira-kira 30,000 pengunjung akan datang sempena jualan tertutup ini.

Sehingga kini, di Lembah Klang saja kami sudah mempunyai 600,000 ahli berdaftar.

"Jualan ini juga adalah platfom kepada orang ramai yang mahu mendapatkan bahan bacaan kegemaran mereka dengan harga murah malah ada juga buku yang dijual dengan harga serendah 90 sen," katanya ketika ditemui, di sini.

POPULAR kini mempunyai 77 rangkaian di seluruh negara dan syarikat menyasarkan menambah sehingga lebih 100 cawangan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/01

No comments:

Post a Comment