Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Budak cicak

Posted: 21 Jun 2014 03:39 PM PDT

Seorang kanak-kanak digelar 'budak cicak' kerana mempunyai penyakit kulit yang jarang ditemui.

Zhasulan Korganbek, lima, mengalami penyakit ichthyosis yang teruk hingga menyebabkan sebahagian kulit tubuhnya menjadi keperangan dan bersisik kelabu Keadaan itu turut melarat ke bahagian telinga dan mukanya.

Ia akan bertambah teruk dan mungkin baik, bergantung kepada cuaca.

Walaupun media menggelarnya budak cicak, sebenarnya ichthyosis berasal dari perkataan Yunani kuno yang bermakna 'ikan' kerana persamaan kulit mati dan menggelupas seperti sisik ikan.

Zhasulan mewarisi penyakit itu daripada ibunya, Ulbibi, pembawa gen tidak normal.

Namun, Ulbibi tidak menunjukkan sebarang kecacatan kulit walaupun terdapat kira-kira 50 peratus risiko ia diturunkan kepada anaknya.

Nasib malang Zhasulan dijangka tidak akan berpanjangan kerana bantuan yang dihulurkan oleh orang ramai akan membolehkannya mendapatkan rawatan di luar negara.

Rawatan itu dijangka membolehkannya menjalani kehidupan normal.

Foto
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Al-Quran cetakan Madinah tiada kesilapan

Posted: 21 Jun 2014 03:24 PM PDT

Madinah: Naskhah kitab suci al-Quran yang dicetak di sini tidak mempunyai kesilapan seperti yang didakwa beberapa laman sosial media.

Setiausaha Agung Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd, Muhammad Al-Oufi mengulas kenyataan ulama terkenal Mesir, Sheikh Ishaq al-Huwaini.

Sheikh Ishaq, dalam video yang disiarkan di YouTube minggu lalu berkata, terdapat beberapa kesilapan dalam kitab suci itu yang dicetak di Madinah.

Dalam kenyataannya, Muhammad berkata, kitab suci yang tunjukkan oleh Sheikh Ishaq mempunyai 20 baris dalam setiap muka sementara al-Quran yang dicetak di kompleks di Madinah semuanya mempunyai 15 baris.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Wanita masak hati, hidung, kemaluan suami

Posted: 21 Jun 2014 03:23 PM PDT

Paris: Seorang wanita yang digelar 'Hannibal Lecter wanita' ditahan atas tuduhan membunuh suaminya dan memasak hati, hidung serta alat kelamin mangsa.

Pesara wanita berusia 71 tahun itu dituduh memukul suaminya yang berusia 80 tahun sehingga mati dengan batu lesung.

Menurut sumber, selepas membunuh suaminya 22 Mei lalu, suspek memasak anggota badan mangsa di dalam periuk di kampung Longwy, timur laut Perancis.

Sumber kehakiman berkata: "Suspek memasak hati, hidung dan alat kelamin di dalam periuk namun kami tidak pasti jika dia memakannya." Sumber itu menyamakan suspek 'Hannibal Lecter wanita,' watak dari filem ngeri yang pernah ditayangkan pada 1991, The Silence of the Lambs yang dilakonkan oleh Anthony Hopkins sebagai kanibal.

Peguam Caroline Depretz berkata anak guamnya mengalami masalah kecelaruan jiwa dan berkata: "Ia perbuatan orang kurang waras."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Boleh ambil lesen, tak boleh memandu

Posted: 21 Jun 2014 03:23 PM PDT

Riyadh: Majlis Syura Arab Saudi kini mengkaji cadangan untuk membenarkan wanita tempatan mendapatkan lesen antarabangsa di negara itu bagi membolehkan mereka memandu di luar negara.

Mereka masih tetap dilarang memandu di negara sendiri.

Latifa Al-Shaalan dan Haya Al-Manei, dua daripada 30 wanita yang menganggotai majlis berkenaan, menggesa ia menimbangkan cadangan itu.

Mereka mengemukakan usul itu sembilan bulan lalu.

Sumber berkata, jika diluluskan sekalipun, ia tidak bermakna wanita boleh memandu di Arab Saudi.

"Ia hanya berkait dengan kebenaran mendapatkan lesen antarabangsa supaya mereka tidak perlu ke luar negara untuk mendapatkannya," kata sumber itu.

Arab Saudi ialah satu-satunya negara di dunia yang tidak membenarkan wanita memandu.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Lelaki Saudi tunai dendam 37 tahun di Qatar

Posted: 21 Jun 2014 03:22 PM PDT

Riyadh: Seorang lelaki Saudi berlepas ke Qatar dan membunuh suspek yang membunuh abangnya hampir 37 tahun lalu.

Lelaki berkenaan dikatakan bertindak demikian bagi memenuhi tuntutan dan keinginan kabilahnya untuk melihat pembunuh dibunuh.

Akhbar Sada semalam melaporkan, lelaki Saudi itu yang namanya tidak disiarkan, berjaya mengenal pasti warga Yaman yang membunuh abangnya dan menjejakinya di Qatar, tempat dia sudah memperoleh kerakyatan.

"Dia berlepas ke Qatar selepas mengumpulkan maklumat tempat pembunuh abangnya menetap.

Dia terus berjumpa lelaki itu dan membunuhnya," lapor akhbar berkenaan, semalam.

Kabilahnya dilapor merancang mengadakan jamuan besar-besaran bagi meraikan kematian pembunuh berkenaan tetapi pihak berkuasa melarangnya.

Menurut laporan semalam, lelaki Saudi berkenaan menetap di bandar Sullayel, tetapi tidak menyebut sama ada dia ditangkap di Qatar atau sudah pulang.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Batam berjaga-jaga

Posted: 21 Jun 2014 03:22 PM PDT

Pusat maksiat di Batam bersiap sedia menangani kemasukan beramai-ramai pekerja seks selepas daerah pelacuran terkenal di Surabaya, Gang Dolly ditutup secara rasmi Rabu lalu.

Pentadbiran Surabaya memberi amaran, pekerja seks Gang Dolly mungkin dalam perjalanan ke Batam, kata Pengerusi Majlis Perbandaran Batam, Riki Solihin.

"Kami diberitahu untuk berdepan dengan kedatangan pekerja seks dari Gang Dolly.

Pusat pentadbiran di sini seharusnya bersiap sedia mengawasi perkembangan itu," kata Riki.

Menurutnya, Batam menjadi destinasi alternatif bagi bekas pekerja seks Gang Dolly kerana kawasan itu mempunyai banyak rumah pelacuran rasmi dan tersembunyi.

"Jika jumlah mereka terlalu ramai, ia akan membebankan kita," kata Riki.

Sementara itu, di Semarang penghuni daerah Argorejo yang juga dikenali sebagai pusat pelacuran Sunan Kuning bimbang penutupan daerah Gang Dolly memberikan kesan ke atas kawasan mereka yang terkenal sebagai pusat pelacuran terbesar di Jawa tengah.

Ketua masyarakat Argorejo, Suwandi berkata, pekerja seks dan pemilik rumah pelacuran memboikot pekerja seks dari Gang Dolly kerana komuniti di situ bimbang terhadap penyebaran penyakit HIV atau AIDS.

Sebelum itu, pusat pentadbiran Jambi dan Gorontalo turut menyuarakan kebimbangan sama mengenai penghijrahan pekerja seks Gang Dolly ke kawasan mereka.

Dalam pada itu, pelacur dan bapa ayam yang beroperasi di Gang Dolly dan Jarak di Surabaya mula mengambil pampasan sebelum pulang ke kampung asal.

"Saya akan membuka kedai di kampung dan hidup dengan aman di sana," kata Erna, 34 pekerja seks Gang Dolly dari Jember.

Dalam perkembangan sama, Datuk Bandar Surabaya Tri Rismaharini (Risma) berkata, pihaknya akan mengambil tindakan keras ke atas pemilik rumah pelacuran, bapa ayam dan pekerja seks di Dolly dan Jarak yang meneruskan aktiviti maksiat selepas kawasan itu ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Guna kabel besi paksa mengemis

Posted: 21 Jun 2014 03:21 PM PDT

Riyadh: Seorang lelaki Yaman di sini menggunakan kabel besi untuk mendera anak tirinya berusia lapan tahun supaya mengemis dan membawa pulang sekurang-kurangnya SR150 (RM130) sehari.

Kekejaman lelaki itu terbongkar selepas pihak berkuasa yang menahan kanak-kanak berkenaan di Bisha, selatan Saudi, menyedari kesan luka pada tubuhnya.

Selepas dipujuk, budak berkenaan berkata, dia dipukul bapa tirinya yang memaksa dia mengemis dan membawa pulang wang sebanyak itu setiap hari.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

30 Taliban terbunuh dalam serangan Pakistan

Posted: 21 Jun 2014 03:21 PM PDT

Islamabad: Helikopter tentera Pakistan semalam melancarkan serangan terhadap kubu Taliban di barat laut negara itu, membunuh lebih 30 anggota kumpulan berkenaan.

Sementara itu, jumlah orang awam yang meninggalkan kawasan itu meningkat lebih 200,000.

Jurucakap tentera berkata, 30 anggota Taliban maut dalam serangan yang dilancarkan awal pagi di Khyber dan Waziristan Utara kawasan separa autonomi di sempadan Afghanistan yang menjadi pangkalan penting Taliban Pakistan.

"Menurut maklumat, pada jam 2 pagi pesawat kami memusnahkan dua tempat persembunyian berhampiran sempadan Pakistan-Afghanistan di Khyber dan membunuh 10 Taliban.

"Pada jam 5 pagi, tiga lagi tempat persembunyian di Hassu Khel di Waziristan Utara dimusnahkan, membunuh 20 lagi anggota kumpulan itu," menurut kenyataan yang dikeluarkan tentera.

Sehingga semalam, hampir 280 anggota Taliban terbunuh dalam operasi yang bermula Ahad lalu, kata pegawai walaupun jumlah sebenar kematian atau identiti mereka tidak mungkin dapat disahkan.

Operasi dilancarkan ekoran serangan Taliban di Lapangan Terbang Karachi dua minggu lalu, sekali gus menamatkan usaha kerajaan mengadakan rundingan damai.

AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Prabowo enggan ulas kenyataan Wiranto

Posted: 21 Jun 2014 03:20 PM PDT

Jakarta. Calon presiden yang juga bekas panglima pasukan komando tentera Indonesia, Prabowo Subianto enggan mengulas dakwaan bekas ketua tentera Wiranto bahawa dia dipecat daripada angkatan tentera kerana bertindak sendiri mengarah penculikan aktivis prodemokrasi pada 1997 dan 1998.

"Tak perlu ulas.

Saya tidak akan mengulas.

Biar rakyat yang tentukan," kata Prabowo, pengerusi Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), semalam.

Dia enggan menjawab soalan wartawan, sebaliknya berkata, rakyat Indonesia akan menjawabnya pada 9 Julai depan, hari mengundi untuk memilih presiden baru negara itu.

Wiranto, dalam kenyataan Khamis lalu berkata: "Tiada arahan daripada pemimpin tentera ketika itu untuk menangkap aktivis yang membantah pemerintahan Presiden Suharto." Wiranto, pengerusi Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) menyokong pesaing Prabowo, Joko 'Jokowi' Widodo dalam pilihan raya itu.

Wiranto bagaimanapun enggan memberitahu sama ada Prabowo dipecat secara terhormat atau sebaliknya tetapi membayangkan, pemecatan itu dilakukan secara tidak terhormat.

Pengerusi Suruhanjaya Mangsa Keganasan dan Orang Hilang (Kontras) berkata, kenyataan Wiranto sudah cukup untuk membolehkan pencalonan Prabowo dibatalkan.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

13 ditembak mati di Xinjiang

Posted: 21 Jun 2014 03:20 PM PDT

Beijing: Polis di wilayah Xinjiang semalam menembak mati 13 orang selepas mereka didakwa menyerang sebuah balai polis.

Menurut laporan kerajaan tempatan menerusi laman webnya, kumpulan lelaki itu memandu sebuah atau lebih kenderaan dan meletupkan bom di perkarangan balai berkenaan.

Tiga anggota polis cedera dalam kejadian di daerah Kashgar, barat daya Xinjiang itu.

Ia siri keganasan terbaru di wilayah terbabit.

Bulan lalu, 43 orang terbunuh dalam serangan bom di sebuah pasar di Urumqi, ibu negeri Xinjiang.

Pihak berkuasa China menuduh kumpulan pelampau yang berusaha memisahkan wilayah terbabit dari pemerintahan China bertanggungjawab dalam kejadian itu.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

No comments:

Post a Comment