Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Banteras 'ulat tiket'

Posted: 04 Jun 2014 03:54 PM PDT

Kuantan: Penyokong Pahang dinasihatkan tidak membeli tiket final Piala FA daripada 'ulat tiket' kerana bimbang terpaksa membayar harga berlipat kali ganda.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Fuzzeimi Ibrahim berkata, nasihat itu juga bertujuan membendung aktiviti itu daripada berleluasa apabila ulat tiket mengambil kesempatan mengaut keuntungan.


"Kami tidak mahu menggalakkan mereka menjalankan kegiatan tidak sihat itu.

"Sudah pasti 'ulat tiket' menjual tiket pada harga lebih tinggi berbanding RM40 seperti diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya.


Beliau turut berkata, sebanyak 20,000 tiket akan dijual di Stadium Darul Makmur dan 6,000 tiket di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) bermula jam 9 pagi ini. Katanya, jumlah itu membabitkan 26,000 daripada 30,000 tiket diperuntukkan FAM, manakala baki 4,000 tiket diagihkan kepada ahli gabungan persatuan bola sepak daerah, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Bagaimanapun, setiap pembeli hanya boleh membeli dua tiket.

Foto

PENYOKONG perlu kerjasama bendung kegiatan 'ulat tiket'.

"Keputusan mengehadkan dua tiket seorang bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada skuad Tok Gajah," katanya.


Beliau berkata, pihaknya meminta kerjasama penyokong skuad Tok Gajah memahami situasi hanya 30,000 tiket yang diperoleh daripada FAM. "Peruntukan 30,000 tiket itu sememangnya tidak mencukupi sedangkan permintaan untuk menyaksikan final begitu tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

Zarena tidak pernah mohon pinda status

Posted: 04 Jun 2014 12:24 PM PDT

Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan Zarena Abdul Majid, 32, bakal pengantin yang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika mahu melangsungkan pernikahan dengan pasangan berlainan agama tidak pernah mengemukakan permohonan pindaan butiran kad pengenalan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Perhubungan Awam kepada media, semalam, jabatan itu juga bersedia memberi kerjasama sekiranya dia hadir sendiri ke JPN dan memohon pindaan berkenaan dengan membawa semua dokumen berkaitan untuk menyokong permohonan itu.


Kenyataan itu juga menyebut, JPN sudah mendapatkan pengesahan JAIS berkaitan maklumat Zarena dan menjelaskan bahawa syarat permohonan berkenaan perlulah disertakan kad pengenalan pemohon, sijil kelahiran, akuan bersumpah berkaitan permohonan dan Perintah Mahkamah Syariah bagi pertukaran agama daripada Islam kepada bukan Islam.

Sementara itu, MIC menyifatkan isu itu sepatutnya diselesaikan dengan cara lebih baik apabila Setiausaha Agungnya A Prakash Rao meminta JAIS memberikan Zarena hak untuk kesnya itu didengar di Mahkamah Syariah bagi menentukan status agama selepas dia mendakwa tidak mengamalkan Islam sejak kecil.


Dalam kenyataannya kepada media, Prakash Rao berkata, penahanan yang dibuat ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung adalah satu isu sensitif dan ia memberikan kesan kepada keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

4 emas: Rashid

Posted: 04 Jun 2014 11:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan badminton negara, Rashid Sidek yakin anak buahnya mampu mengulangi pencapaian Sukan Komanwel 2010 New Delhi dengan menggondol empat emas di Glasgow Ogos ini.

Kenyataan itu sedikit sebanyak menafikan sasaran ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang hanya mengharapkan dua emas daripada acara badminton.


"Saya dengar sasaran MSN, hanya mampu meraih dua emas tapi kami mahu kekalkan empat yang dimenangi di India," katanya selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Empat tahun lalu skuad negara membawa pulang empat emas dan satu perak untuk membantu kontinjen negara meraih kutipan keseluruhan 12 emas, 10 perak dan 13 gangsa.


Emas acara badminton disumbang Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (beregu lelaki), Chin Eei Hui-Kien Keat (beregu campuran) dan kategori berpasukan campuran.


"Berdasarkan senarai nama yang kita pilih, semua pemain boleh beraksi untuk merebut emas, terutama Chong Wei.

"Begitu juga beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Lai Pei Jing. "Senarai pemain terhad, kami perlu pilih yang sesuai untuk digandingkan dalam acara beregu lelaki, wanita dan campuran," katanya.


Ditanya mengenai pencabar utama yang mampu menghalang hasrat Malaysia meraih empat emas, Rashid berkata, England dan Singapura harus diberi perhatian.

"Kadang-kadang dalam acara berpasukan campuran susah dijangka. Begitu juga beregu campuran, banyak negara Eropah yang bagus dan tak boleh pandang rendah kemampuan mereka," katanya.


Acara badminton Sukan Komanwel 2014 Glasgow berlangsung di Arena Emirates dari 24 Julai hingga 7 Ogos dengan menawarkan enam emas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

Bintang dunia penyeri Terbuka Malaysia

Posted: 04 Jun 2014 11:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain nombor tujuh dunia, Juan Martin Del Potro antara tiga bintang utama dunia yang bakal menghangatkan Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia, September ini.

Selain bintang Argentina itu, kejohanan di Stadium Putra, Bukit Jalil, dari 20 hingga 28 September ini, turut disertai pemain nombor sembilan dunia, Milos Raonic (Kanada) dan pemain ke-10 dunia, Kei Nishikori dari Jepun.


Pengarah kejohanan Nick Freyer dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya tidak sabar-sabar untuk membawa barisan pemain tersohor tenis ke Malaysia.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada tiga pemain berkenaan serta mereka yang akan bertanding di sini kerana memilih Kuala Lumpur sebagai persinggahan pertama di Asia.


Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) Tan Sri Abdul Razak Latiff berkata, Persatuan Tenis Profesional (ATP), badan melindungi kepentingan pemain tenis lelaki antarabangsa, bersetuju menyokong kejohanan itu.


Menurutnya LTAM dijangka mengumumkan tiga wakil Malaysia menerusi 'wild-card' untuk kejohanan bernilai US$1,022,255 (RM3,305,328) pada Ogos ini.

Kejohanan itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi penaung kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

Hafiq tekad tebus hampa

Posted: 04 Jun 2014 11:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara, Amirul Hafiq Mohd Azmi berazam menebus kekecewaan apabila menyertai perlumbaan pusingan ketujuh MotoGP Dunia pada Grand Prix (GP) Catalunya, Sepanyol, 15 Jun ini.

Pelumba remaja berusia 17 tahun itu gagal menamatkan saingan pada GP Itali apabila terbabit dalam kemalangan pada pusingan akhir di Litar Mugello, Ahad lalu.


"Saya harap untuk terus belajar dan semakin bagus dalam beberapa perlumbaan baru-baru ini. Saya arif dengan trek di Catalunya dan berharap mencapai keputusan yang membanggakan," kata pelumba pasukan SIC-Ajo itu. dalam kenyataan di sini semalam.

Selepas GP Itali, Amirul Hafiq bersama beberapa pelumba lain melakukan sesi ujian sehari di litar itu semalam, sesi ujian rasmi pertama sejak musim MotoGP Dunia bermula Mac lalu.


"Kami melakukan pelbagai perubahan terhadap jentera. Walaupun tidak dapat menunggang pantas berbanding hujung minggu lalu, saya gembira kerana dapat melakukan banyak pusingan," katanya.


Pencapaian terbaik anak jati Kuala Lumpur itu ialah tangga ke-16 pada GP Argentina (27 April) dan GP Perancis, 18 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

Irfan, Jelinie gemilang

Posted: 04 Jun 2014 11:41 AM PDT

Kangar: Atlet kebangsaan Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet angkat berat Sarawak Jelinie Empera dinobat Olahragawan dan Olahragawati SUKMA Perlis 2014.

Irfan, 19, pemenang pingat emas acara lempar cakera dipilih sebagai olahragawan apabila mencipta rekod baru kebangsaan dengan catatan 54.26 meter sekali gus membaiki rekod miliknya sendiri di Sukan SEA Myanmar, tahun lalu (53.16m).


Atlet dari Seremban itu terharu dan gembira apabila diberi penghargaan sebagai Olahragawan dan gelaran itu menjadi pembakar semangat untuknya terus maju dalam arena olahraga selepas ini.

"Saya tidak sangka dipilih Olahragawan SUKMA kerana atlet lain juga mempamerkan aksi terbaik mereka sepanjang SUKMA. Saya ada terdengar dari rakan-rakan mengatakan atlet angkat berat lelaki Pahang mungkin dinobat Olahragawan kerana dia turut mencatatkan beberapa rekod baru.


"Sebab itu saya terus balik ke Seremban selepas selesai majlis penyampaian pingat. Tiba-tiba semalam (kelmarin) saya dimaklumkan yang anugerah itu menjadi milik saya dan ia amat mengejutkan.


"Kemenangan ini menambah motivasi saya bagi menghadapi Kejohanan Remaja Asia di Taiwan (14 Jun) dan Kejohanan Remaja Dunia di Amerika Syarikat (Julai) dan saya bertekad meraih pingat pada kedua-dua kejohanan itu," kata atlet elit negara itu.

Sementara itu, Jelinie meraih emas bagi kategori melebihi 75 kilogram (kg) sambil meleburkan dua rekod SUKMA acara snatch serta clean and jerk.


Gadis berasal dari Miri itu melakukan angkatan 85kg berbanding rekod 84kg dicipta Nur Jannah Batrisyah dari Johor pada SUKMA 2010 dalam kategori snatch.

Bagi kategori clean and jerk, atlet berusia 20 tahun itu sekali lagi cemerlang memadamkan rekod 106kg yang juga milik Nur Jannah. Jelinie menjulang 107kg dalam acara berkenaan.


"Saya gembira kerana usaha selama ini berbaloi apabila bukan hanya berjaya meraih emas, tapi mendapat gelaran Olahragawati SUKMA.


"Kejayaan ini diharap memberi suntikan semangat kepada saya untuk lebih bersungguh-sungguh agar dipanggil menyertai skuad elit kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA Singapura tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

Wilayah Persekutuan buka mata pencabar

Posted: 04 Jun 2014 11:40 AM PDT

Kangar: Kontinjen Wilayah Persekutuan menyifatkan kejayaan mereka menjuarai temasya SUKMA Perlis 2014 sebagai sesuatu di luar jangkaan.

Wilayah Persekutuan dinobat juara keseluruhan temasya sukan terbesar negara itu selepas mengumpul 55 emas, 37 perak dan 49 gangsa.


Chief de Mission Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, kejayaan itu tidak pernah terfikir di benak semua anggota kontinjen kerana mereka sedar reputasi hebat Terengganu yang hadir selaku kuasa sukan nombor satu negara ketika ini.

"Sasaran kami di peringkat awal adalah 50 emas dan mahu berada di kelompok tiga teratas secara keseluruhan.


"Sejak dari mula kami sedar saingan daripada kontinjen lain seperti Terengganu, Selangor dan Sarawak begitu hebat dan ketiga-tiga negeri ini sering menamatkan kedudukan pada kelompok teratas setiap edisi.


"Untuk memenuhi impian itu, Menteri dan Majlis Sukan Wilayah memutuskan latihan dijalankan lebih awal sejak dua tahun lalu dengan mengenal pasti bakat baru bagi menghadapi SUKMA kali ini.

"Hasilnya, pasukan kami melepasi sasaran 50 emas malah tanpa disangka turut dinobat juara keseluruhan apabila meraih 55 emas," katanya pada sidang media di Kompleks Sukan Negeri, semalam.


Terengganu yang menjuarai edisi 2008, 2010, 2011 serta 2012 berada di tempat kedua dengan 51 emas, 55 perak dan 31 gangsa manakala bakal tuan rumah edisi 2016, Sarawak, menghuni tangga ketiga dengan 46 emas, 32 perak dan 35 gangsa.

Mohd Amin berkata, tugas mempertahankan gelaran itu pada SUKMA akan datang pasti sukar dengan Sarawak dikatakan antara pesaing terkuat edisi itu nanti.


"Saya melihat kontinjen Sarawak melakukan persiapan dengan baik dan ramai atlet remaja berjaya meraih pingat pada usia muda di sini.


"Kami perlu bekerja lebih keras selepas ini demi membuktikan pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan masih bagus dan mantap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

MSN ubah pendirian

Posted: 04 Jun 2014 11:39 AM PDT

Kangar: Pencapaian atlet pelapis kebangsaan meraih 40 peratus daripada 389 pingat emas ditawarkan pada edisi ke-17 Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis membuktikan prestasi mereka semakin meningkat di bawah program diselia Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketua Pengarah Datuk Seri Zolkples Embong berkata, atlet pelapis negara berjaya merangkul 160 daripada 389 pingat emas dalam 24 acara sukan yang dipertandingkan.


"Selepas ini, MSN akan mengadakan 'post-mortem' bagi menilai prestasi atlet pelapis negara yang boleh diserap ke program elit MSN," katanya pada sidang media semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

Bimbing pelapis: PM

Posted: 04 Jun 2014 11:38 AM PDT

Kangar: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) bukan sekadar melahirkan bakat baru sebaliknya perlu dijadikan pentas melahirkan generasi pelapis pelbagai bidang sukan sekali gus menaikkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu SUKMA menjadi antara ruang melahir dan mengetengahkan bakat baru kerana ketiadaan barisan pelapis secara tidak langsung menyebabkan mutu sukan negara merosot. Menurutnya, andai negara mempunyai ramai pelapis sukan tertentu, nama Malaysia akan harum di pentas antarabangsa.


"Baru-baru ini dalam saingan Piala Thomas, kita ham pir menang, tapi kini perlu tunggu lagi dua tahun selepas menunggu sejak 1992.

"Tapi kalau kita mempunyai ramai pelapis berwibawa yang menyokong Datuk Lee Chong Wei, mungkin kita boleh berjaya. Ini antara contoh bagaimana kita perlu bangunkan atlet muda dalam semua jenis sukan yang dikenal pasti untuk dipupuk daripada segi ketahanan fizikal dan mental untuk berjaya dalam bidang sukan di persada antarabangsa," katanya ketika berucap pada majlis penutupan SUKMA ke-17 2014 di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

Sejuta kemaafan

Posted: 04 Jun 2014 11:18 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya mohon maaf, saya tidak boleh benarkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) digunakan untuk final Piala FA".

Itu reaksi Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Rozabil Abdul Rahman susulan desakan penyokong Pahang dan FELDA United FC (FUFC) yang tetap berkeras aksi final Piala FA edisi ke-25 Sabtu ini berlangsung di SNBJ berbanding Stadium Shah Alam seperti diputuskan. "Saya memohon maaf dan meminta semua pihak memahami situasi ketika ini. Saya memohon maaf kepada penyokong Pahang kerana mereka tidak dapat ke SNBJ namun keputusan yang diambil itu mempunyai sebab. "Kalau ikutkan hati memang saya mahu final di Bukit Jalil kerana PSM turut mendapat pendapatan terutamanya setiap kali final acara bola sepak. Acara final sentiasa menjadi kebanggaan kita semua.


"Namun sekiranya saya benarkan mereka bermain Sabtu ini dengan keadaan rumput yang tidak kuat, PSM mungkin akan kembali terkena tempias apabila rumput mudah tercabut dan sebagainya. Malah kami terpaksa menjalankan semula proses membaikpulih rumput," katanya yang menjelaskan sudah membelanjakan RM2.4 juta untuk menukar rumput baru itu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini memutuskan final Piala FA membabitkan Pahang menentang FUFC akan berlangsung di Stadium Shah Alam selepas dimaklumkan akar rumput di SNBJ belum mencapai tahap matang sekali gus menimbulkan rasa kurang senang Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan penyokong Tok Gajah yang mengharapkan stadium terbesar itu menjadi gelanggang pertemuan.


Rozabil yang juga Naib Presiden FAM berkata, semua pihak perlu sedar rumput yang ditanam baru berusia dua bulan tiga minggu dan bukannya enam bulan seperti digembar-gemburkan sebelum ini.


"Memang kita menutup SNBJ sejak Oktober tahun lalu namun selepas itu kita melakukan proses menawarkan tender dan sebagainya. Proses kerja bermula seawal Disember dengan membawa keluar tanah, membaiki sistem perparitan dalam padang dan menanam rumput baru dengan keseluruhannya mengambil masa tiga bulan satu minggu. Bukannya enam bulan kita ambil masa untuk menanam rumput.

"Penyokong juga perlu faham struktur SNBJ yang tertutup menyebabkan kekurangan cahaya selain keadaan angin yang kurang baik kerana padang terletak 10 meter dari paras tanah. Untuk pertumbuhan rumput yang baik perlu ada angin dan sinaran cahaya yang mencukupi. "Malah kami sudah bercadang mendapatkan alat 'glow light' bagi memberikan cahaya mencukupi kepada rumput untuk tumbuh kerana cuaca yang kerap hujan kebelakangan ini," katanya.


Justeru, beliau berharap penyokong dapat melihat isu itu untuk jangka masa panjang dan bukannya semata-mata final Piala FA, Sabtu ini.

"Bukan saya sengaja tidak membenarkan penyokong Pahang memasuki Bukit Jalil. Malah saya berdoa Pahang akan layak ke final Piala Malaysia dan merasai nikmat bermain di stadium ini nanti. "Malah saya difahamkan bermula September akan ada tiga atau empat perlawanan antarabangsa untuk skuad negara sebagai persediaan menghadapi Piala AFF termasuk Piala Malaysia, jadi jika saya benarkan final Piala FA, mungkin saya kembali dipersalahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/05

No comments:

Post a Comment