Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Glasgow tak penting'

Posted: 24 Jun 2014 02:50 PM PDT

Kuala Lumpur: Malaysia tidak akan menghantar skuad terkuat pada pentas Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland bermula 23 Julai bagi memberi laluan kepada pasukan utama negara melakukan persiapan rapi menghadapi Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September.

Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, Sukan Asia yang bermula 19 September lebih penting kerana ia menawarkan satu tiket automatik ke Sukan Olimpik 2016 Brazil bagi pasukan yang memenangi pingat emas.


Nur Azmi memberi bayangan kemungkinan mereka membariskan skuad Sukan Komanwel yang rata-rata bekas skuad Projek 2013 di bawah bimbingan ketua jurulatih skuad negara ketika ini, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

"Kami tidak mahu memberi tekanan kepada pasukan utama kerana mereka mempunyai misi penting di Sukan Asia sebab kami mahu layak automatik ke Sukan Olimpik.


"Untuk Sukan Komanwel, mungkin hanya ada lima atau enam pemain senior yang akan terpilih, tapi segala-galanya bergantung kepada jurulatih," katanya di sidang media ketika mengumumkan senarai 25 pemain menyertai kem skuad remaja negara semalam.


Mengenai sasaran di Sukan Komanwel, Nur Azmi berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) tidak memberi sebarang tekanan sebaliknya menuntut anak buah Dhaarma Raj meraih keputusan terbaik.

Foto

AZMI (tengah) mahu skuad utama negara pentingkan aksi Sukan Asia.

"Namun itu tidak bermakna kalau kalah semua perlawanan kami tidak kisah. Kami tetap memantau prestasi skuad negara dan mahu mereka membawa pulang keputusan yang bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/25

Pilih calon tempatan?

Posted: 24 Jun 2014 02:45 PM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mungkin mengalih tumpuan kepada jurulatih tempatan yang dilihat lebih 'realistik' untuk memimpin skuad kebangsaan memandangkan badan induk itu sudah tidak boleh terus menunggu.

Berikutan Piala AFF yang semakin hampir pada November ini menjadi misi utama Harimau Malaya, barisan baru Exco FAM yang dipilih pada kongres Mei lalu tidak boleh berlengah sebaliknya mengumumkan calon yang layak mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk K Rajagobal pada Disember lalu.


Buat masa ini, badan induk itu belum memberi sebarang bayangan pengganti walaupun sebelum kongres itu tiga nama menjadi perhatian iaitu bekas jurulatih kebangsaan Mozambique kelahiran Jerman Gert Engels, bekas jurulatih skuad remaja Sepanyol Luis Milla Aspas dan bekas jurulatih Iraq dari Jerman Wolfgang Sidka.

Namun dalam laporan Arena Metro semalam, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan mereka mempunyai beberapa nama baru namun dalam masa sama tidak menafikan calon tempatan iaitu pengendali sementara skuad kebangsaan dan Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee serta jurulatih Polis Diraja Malaysia Dollah Salleh.


Menurut sumber rapat dengan FAM, beliau percaya jurulatih tempatan bakal diberikan kepercayaan oleh badan induk itu untuk membimbing skuad kebangsaan bagi mengharungi Piala AFF hujung tahun ini.


"FAM sudah mengubah pendirian mereka. Mereka tidak lagi berminat mengambil khidmat jurulatih import sebaliknya lebih meneliti calon tempatan yang ada. Keputusan itu mungkin hadir selepas mereka berbincang dengan bekas pemain dan jurulatih kebangsaan baru-baru ini. "Daripada pertemuan itu, kebanyakan mereka menggesa FAM melantik jurulatih tempatan berbanding import. Jurulatih tempatan juga tidak kurang hebatnya, berdasarkan prestasi cemerlang jurulatih tempatan yang ditunjukkan dalam saingan Piala FA apabila final mempertemukan jurulatih Zainal Abidin Hassan (Pahang) dan Irfan Bakti Abu Salim (FELDA United).

"Saya percaya FAM akan mengumumkan jurulatih baru pada Mesyuarat Exco FAM, Sabtu ini," katanya.


FAM sebelum ini cuba mendapatkan khidmat bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun kelahiran Perancis Phillipe Troussier namun usaha itu tidak berhasil kerana kedua-dua pihak tidak berpuas hati dengan kontrak dikemukakan.

Kegagalan itu mendorong mereka melantik Kim Swee selaku pengendali sementara dan prestasinya tidak mengecewakan biarpun dengan tempoh singkat, masih mampu membantu skuad Harimau Malaya menang 2-1 ke atas Yaman pada aksi terakhir kelayakan Piala Asia serta mencatat dua keputusan seri dengan Filipina pada aksi persahabatan di laman sendiri dan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/25

Kedah sentap ego PDRM

Posted: 24 Jun 2014 02:45 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup kempen Liga Perdana dengan kekalahan 2-3 di tangan Kedah pada perlawanan terakhir liga malam tadi, namun keputusan itu tidak mengubah nasib skuad kendalian Dollah Salleh yang sudah mengesahkan kejuaraan lebih awal.

Perlawanan menentang Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu sekadar pelengkap jadual buat PDRM yang sudah memastikan kejuaraan hasil kemenangan ke atas Negeri Sembilan, Jumaat lalu untuk mengumpul 52 mata yang tidak mampu dipintas pencabar terdekat FELDA United.


Kejayaan itu cukup manis buat Dollah yang meneruskan sentuhan magis bersama pasukan baru musim ini untuk membawa pulang trofi dan wang tunai RM300,000 serta slot automatik ke Liga Super musim depan.

Dalam perlawanan terakhir liga itu, Kedah yang menduduki tangga keempat liga dan memburu tempat beraksi dalam Piala Malaysia selesa mendahului menerusi jaringan Syazwan Zainon pada minit ke-44, Namgung Woong (m-56) dan Billy Mehmet (m-58).


Namun skuad The Cops tidak berdiam diri sebaliknya cuba bangkit mengejar, namun hanya mampu menyumbat dua gol hasil jaringan penyerang Ali Ashfaq pada minit ke-60 dan Fauzi Majid m-78.


Sementara itu FELDA United yang menamatkan saingan di tangga kedua liga mencatat kemenangan 3-2 ke atas Perlis pada perlawanan terakhir di Stadium Tuanku Syed Putra.

Sebagai ganjaran menduduki tempat kedua, anak buah Irfan Bakti Abu Salim meraih RM150,000 serta mengiringi PDRM bersaing dalam liga elit musim depan.


Pulau Pinang pula sekadar seri 2-2 dengan KL SPA namun kedudukan mereka di tangga ketiga tidak tergugat memandangkan jurang mata dengan Kedah dibezakan dengan enam mata.

Sementara itu bekas juara Liga Super, Perlis dan PBAPP FC tersingkir ke Liga FAM tahun depan apabila terperosok di tangga ke-11 dan 12 Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/25

Pohon Sarawak bantu

Posted: 24 Jun 2014 02:45 PM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor Mehmet Durakovic menaruh harapan tinggi kemampuan Sarawak untuk mengekang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) daripada meraih tiga mata penuh di Stadium Negeri dalam aksi terakhir Liga Super, malam ini.

Sarawak kendalian Robert Alberts mempunyai rekod cemerlang di laman sendiri musim ini apabila hanya tewas tiga kali iaitu kepada Kelantan, Selangor dan Terengganu di Kuching dalam kancah Liga Super serta mengikat Johor DT 1-1 dalam perlawanan pusingan pertama.


Durakovic menjelaskan bukan mudah buat mana-mana pasukan beraksi di Sarawak dan membawa pulang tiga mata.

"Mereka bagus apabila bermain di laman sendiri, kami pernah menentang mereka di sana. Mereka sangat hebat terutamanya dengan kehadiran penyokong fanatik yang sentiasa memenuhi stadium, satu atmosfera yang hebat untuk perlawanan bola sepak.


"Bukan mudah untuk Johor DT ke sana dan mendapat mata, semoga Sarawak dapat membantu kami. Bagaimanapun kami tetap fokus kepada perlawanan menentang PKNS FC untuk meraih tiga mata penuh," katanya.


Andai Johor DT kendalian Bojan Hodak menewaskan Bujang Senang, keputusan perlawanan Selangor menentang PKNS sudah tidak bermakna kerana Harimau Selatan akan mengumpul 44 mata untuk muncul juara Liga Super buat kali pertama.

"Ada yang melihat pertemuan Selangor dan PKNS mudah, namun bagi saya ia sangat sukar. Keputusan pusingan pertama mencerminkan segala-galanya apabila kami terikat 2-2. Saya mahu pemain memberikan fokus 90 minit jika tidak mahu dihukum lawan." Bekas bintang Selangor itu mengharapkan penyokong Merah Kuning memenuhi Stadium Shah Alam kerana pemain memerlukan sokongan mereka untuk aksi terakhir Liga Super ini.


"Andai situasi memihak kepada Selangor, pemain dapat meraikan kejayaan bersama penyokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/25

England tiada kelas

Posted: 24 Jun 2014 02:44 PM PDT

Pasukan England sekali lagi diketepikan dengan begitu senang di Piala Dunia 2014.

Pelbagai pendapat dan analisis sudah pun dibincangkan, tapi bukannya soalan mengapa pemain England tidak dilamar liga lain di Eropah.


Walaupun Liga Perdana Inggeris melacurkan produk mereka sebagai liga terkenal di dunia, tapi hanya lebih kurang 20 peratus pemain yang beraksi layak mewakili pasukan kebangsaan England. Ramai berpendapat pemain England tidak gemar ke luar negara kerana Liga Perdana Inggeris menawarkan kontrak lumayan, tapi itu bukan alasan.

Pemain England tidak ditawar kelab Eropah kerana 'tidak ada standard' dan kini di negara asal pun mereka tidak mendapat tempat atau peluang beraksi.


Pada pendapat saya, pasukan England kini mempunyai seorang jurulatih terbaik berbangsa Inggeris. Roy Hodgson seorang jurulatih yang boleh membuat perubahan dalam jangka masa panjang. Skuad England kini dibarisi beberapa pemain berbakat yang boleh dibimbing, tapi harus mencari pengalaman di luar negara itu.


Justeru, persoalannya adakah kesebelasan utama England yang beraksi di Piala Dunia 2014 layak dilamar kelab Jerman, Itali atau Sepanyol, sebagai contoh? Penjaga gol Joe Hart langsung tidak berkaliber beraksi di luar England dan kini boleh dikategori sebagai 'yang terbaik dalam kalangan paling buruk'.

Bek kanan, Glen Johnson masih boleh beraksi di Itali sebagai contoh kerana mempunyai teknik bagus serta keyakinan beraksi menyerang. Di bek kiri pula Leighton Baines tidak akan diminati kerana agak 'satu dimensi' dan terlampau British dalam corak serta cara permainannya.


Bek tengah, Gary Cahill akan ditertawakan kerana tubuh badannya yang 'keras' serta tidak selesa memegang bola berbanding Mats Hummels yang lebih 'anjal' walaupun berbadan besar.

Phil Jagielka pula sudah terlanjur umur untuk beraksi di Eropah, tetapi mungkin lima tahun dulu boleh diasuh sebagai bek tengah yang bergaya tenang. Di bahagian tengah pula Steven Gerrard tidak pernah dilamar kelab di luar England, malah tiada kelab di England mahukannya hingga mendorong Sir Alex Ferguson menggelarnya sebagai pemain yang gagal menyerlah.


Rakan di bahagian tengah, Jordan Henderson pula menjadi pemain yang harus membuat keputusan untuk beraksi di luar England kerana kebolehannya masih boleh diasuh di Bundesliga. Beraksi di Bundesliga akan memberi peluang kepadanya mempertajamkan kesedaran taktikal dan kecergasannya akan menjadi sanjungan.


Dua pemain penyerang yang mungkin 'tidak laku' di Eropah adalah Danny Welbeck serta Daniel Sturiddge. Corak permainan Welbeck seakan-akan ayam tanpa kepala atau tidak tentu arah yang tidak akan membawa faedah kepada mana-mana pasukan. Daniel Sturridge pula pemain yang terlampau tamak. Sikap itu tidak diminati di Eropah kerana persembahan berpasukan sentiasa diutamakan melainkan dia mempunyai kebolehan ala Leo Messi atau Cristiano Ronaldo.


Kalau peminat Wayne Rooney menyangkakan pemain ini bertaraf dunia, silalah berfikir semula. Pemain ini jaguh kampung dan akan sentiasa menjadi jaguh kampung walaupun beraksi dalam beberapa Piala Dunia.


Hanya seorang pemain dari kesebelasan utama England yang menentang Itali dan Uruguay boleh menjadi pemain sensasi serta bertaraf dunia. Pemain sayap tradisional dengan keupayaan menggelecek luar biasa, Raheem Sterling boleh beraksi untuk mana-mana pasukan gergasi Eropah. Pemain sayap tradisional sukar dicari dan kebolehan istimewa ini boleh meletakkan Sterling sebagai antara yang terbaik di dunia walaupun hanya baru berumur 19 tahun.


Dan selepas semua analisis ini, jelaslah betapa malangnya pasukan England.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/25

Tiada simpati

Posted: 24 Jun 2014 02:44 PM PDT

Kuantan: Tiada belas ihsan akan diberikan Pahang apabila bertemu Perak di Stadium Perak, pada perlawanan terakhir Liga Super, malam ini.

Pengendali Tok Gajah Zainal Abidin Hassan berkata, misi utamanya adalah memastikan permainan konsisten dan tiga mata menjadi milik skuad itu.


Justeru, bekas pemain kebangsaan itu berkata, kesebelasan terbaik akan diturunkan bagi memastikan keputusan cemerlang diraih di gelanggang lawan.

"Fokus kami untuk mengekalkan rentak kemenangan ketika bertemu Perak pada perlawanan terakhir.


"Saya percaya pemain mahukan kejayaan biarpun sedar berdepan tentangan memandangkan kedudukan Perak di tangga kedua tercorot.


"Sudah pasti mereka mahukan kemenangan untuk kekalkan tempat dalam Liga Super, tapi misi kami pula mengekalkan prestasi cemerlang," katanya.

Berdasarkan kedudukan semasa, Pahang yang menghuni tangga ketiga tidak berubah walaupun tewas, tapi jika Perak menang, mereka akan kekal beraksi dalam Liga Super sambil mengharapkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kalah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/25

ATM mahu kekal di Liga Super

Posted: 24 Jun 2014 02:44 PM PDT

Kuala Lumpur: "Semua pemain perlu bermain baik kerana kami bukan saja ingin mengelak ke Liga Perdana, malah kami juga mahu beraksi secara automatik dalam Piala Malaysia".

Itu kata pemain import Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bruno Sebastian Martelotto yang menuntut rakan sepasukan tampil dengan aksi bertenaga ketika berdepan Sime Darby FC pada perlawanan terakhir di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang), malam ini.


ATM wajib menang ke atas Sime Darby andai mahu terus berpeluang beraksi dalam Liga Super musim depan dan Piala Malaysia, September ini. Tetapi jika seri atau kalah dan Perak pula menumbangkan juara Piala FA Pahang di Ipoh, pasukan kendalian B Sathianathan kemungkinan besar tersingkir ke divisyen dua serta tidak layak bersaing dalam Piala Malaysia.

"Bertemu Sime Darby umpama perlawanan akhir Piala Malaysia yang pernah kami hadapi pada 2012 ketika tewas di tangan Kelantan (3-2). Kalau diikutkan aksi ini seperti hidup atau mati bagi menentukan hala tuju kami.


"Terus terang kami tidak tertekan untuk menghadapi perlawanan itu walaupun memikul seribu harapan peminat dan pengurusan pasukan yang mahu melihat kami menang.


"Apapun kami sudah kembali yakin dengan tiga keputusan positif dan percaya rentak kemenangan itu akan diteruskan apabila menentang Sime Darby," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Rekod pertemuan sepanjang musim ini memihak kepada kelab korporat itu apabila melakar dua kemenangan ke atas pasukan keselamatan itu. Pusingan pertama liga menyaksikan Sime Darby menang 3-2 disusuli kemenangan saingan Piala FA, 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/25

Chong Wei tak kisah

Posted: 24 Jun 2014 02:44 PM PDT

Kuala Lumpur: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengakui tidak akan berdepan masalah beraksi menggunakan sistem kiraan mata baru yang diperkenalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Juara Siri Super Terbuka Jepun itu berkata, sistem 11 mata dalam lima permainan tidak akan memberi masalah kepada pemain lelaki yang beraksi lebih pantas berbanding perseorangan atau beregu wanita.


"Memang kita belum cuba lagi, tapi ia mungkin mengambil masa buat saya membiasakan diri," katanya yang baru saja menamatkan saingan di Siri Super Premier Terbuka Indonesia minggu lalu.

Pemain kelahiran Bagan Serai, Perak itu berkata, sistem baru tidak akan mengheret permainan terlalu lama berbanding 21 mata sebelum ini.


Ketika Chong Wei dilihat menerima pertukaran itu dengan lebih positif, musuh tradisinya di China, Lin Dan pula merungut tidak menyukai sistem baru itu yang dirasakannya tidak akan mengubah permainan sedia ada.


Perubahan sistem baru ini tidak akan menjejaskan tumpuan Chong Wei dalam usaha meraih kejuaraan sulung Kejohanan Dunia di Copenhagen Ogos ini kerana ia akan menggunakan sistem pengiraan mata lama.

Jumaat lalu, BWF mengumumkan di laman web rasminya akan melakukan percubaan untuk sistem baru itu bermula Ogos ini di beberapa kejohanan kecuali Siri Super Premier, Siri Super dan Kejohanan Dunia.


Perkara itu mula dicadangkan pada Mesyuarat Majlis BWF pada 30 Mei lalu dan ia akan diuji dalam kejohanan tahap tiga serta empat termasuk Grand Prix sehingga November ini.

Ditanya adakah ia akan memberikan kelebihan kepadanya menjelang Sukan Olimpik 2016 Rio andai sistem kiraan mata itu dikekalkan, Chong Wei berkata, dia mampu untuk mempersiapkan diri selama setahun lebih.


"Ramai memang dengar perubahan ini berasa takut, tapi kita mempunyai tempoh lama untuk menyesuaikan diri dengan sistem kiraan mata ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/25

Padam memori hitam 2010

Posted: 24 Jun 2014 02:44 PM PDT

Manaus, Brazil: Switzerland akan bertemu Honduras pada perlawanan terakhir Kumpulan E esok dalam usaha memadam memori buruk 2010, apabila seri tanpa jaringan menentang lawan sama sekali gus tersingkir awal.

Pengurus Switzerland Ottmar Hitzfeld yang cuba memulihkan semangat pemain selepas tewas 2-5 kepada Perancis sebelum ini, mengetepikan persoalan mengenai peristiwa yang berlaku empat tahun lalu.


Pada 2010, kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan terakhir kumpulan dan kemenangan lebih dua gol mampu membawa mereka ke pusingan kedua.

Hitzfeld berkata, tidak ada guna melakukan perbandingan kerana mereka akan menang kali ini berbekal jentera serangan lebih ampuh.


Saingan sangat sengit dan Switzerland mampu mara jika Perancis mengalahkan Ecuador selepas kali terakhir melepasi peringkat kumpulan pada 2006 sebelum tewas kepada Ukraine.


Hitzfeld menegaskan, Switzerland perlu menang kerana itulah jalan terakhir mara ke pusingan kedua.

Semangat Switzerland memuncak sebelum perlawanan menentang Perancis apabila menewaskan Ecuador, 2-1 pada perlawanan pertama tetapi tersentak gara-gara terlepas dua gol dalam tempoh seminit.


"Pemain masih kecewa dengan apa yang berlaku ketika menentang Perancis," kata Hitzfeld.

Jurulatih dari Jerman itu memikirkan apa perlu dibuat terhadap pertahanan tengah yang rapuh ketika menentang Perancis selepas Steve von Bergen dikeluarkan pada minit kesembilan kerana patah tulang pipi dan sudah pulang ke Switzerland.


Philippe Senderos masuk menggantikan von Bergen, tetapi tidak mempamerkan aksi memberangsangkan dan Hitzfeld dijangka menurunkan pemain muda, Fabian Schaer.


Bagi Honduras pula, hanya kemenangan mampu menjamin tempat ke pusingan kedua.


Mereka perlu mengatasi Switzerland dan berharap Perancis menumpaskan Ecuador selain memerlukan jumlah jaringan besar bagi kedua-dua perlawanan untuk mengimbangi perbezaan negatif empat gol dengan Ecuador.


Honduras dikenali dengan corak agresif, tetapi tewas aksi pertama 0-3 kepada Perancis selepas bermain 10 orang.


Mereka dilihat kembali menyengat pada perlawanan kedua tetapi kalah 1-2 kepada Ecuador.


"Kami boleh memberi lebih lagi, ia sukar tetapi kami masih ada harapan dan ia sangat bagus," kata pemain tengah, Wilson Palacios yang diperintah keluar padang ketika menentang Perancis. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/25

Letusan Argentina

Posted: 24 Jun 2014 02:44 PM PDT

Porto Alegre, Brazil: Selepas persembahan kurang meyakinkan pada perlawanan awal, pasukan handalan Amerika Latin, Argentina serta juara Afrika, Nigeria mempunyai sesuatu untuk dibuktikan apabila mereka membuat perhitungan terakhir Kumpulan F Piala Dunia, awal pagi esok.

Argentina antara pasukan pilihan pada kejohanan kali ini, namun meskipun mempunyai empat penyerang hebat, mereka masih gagal mengancam melainkan sentuhan kemenangan yang disumbangkan Lionel Messi.


Nigeria mewakili negara Afrika paling kaya dan penduduk teramai juga terpaksa berusaha keras untuk beraksi sebagai satu pasukan.

Bagaimanapun, Argentina masih mampu menduduki tangga teratas Kumpulan F hasil enam mata yang diraih dalam kemenangan tipis ke atas Bosnia dan Iran.


Skuad The Sky Blues itu sudah melayakkan diri ke pusingan kedua, namun mereka berharap dapat menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat pertama bagi menempah pertemuan dengan lawan lebih mudah pada pusingan seterusnya.


Nigeria mengumpul empat mata selepas seri dengan Iran dan menang ke atas pasukan yang tampil buat kali pertama, Bosnia. Seri sudah memadai untuk mereka melangkah ke pusingan kalah mati, tapi kedudukan bakal menjadi sukar jika kalah kepada Argentina.

Iran yang membuat kejutan menerusi aksi hebat ketika menentang Argentina, masih boleh merampas kedudukan ketiga jika menumpaskan Bosnia dan memiliki kelebihan jaringan gol.


Melihat kepada kedudukan itu, perlawanan terakhir kumpulan pasti menarik.

Jaringan hebat Messi ketika menentang Iran pada masa tambahan di Belo Horizonte hanya mendedahkan kepincangan Argentina yang bergantung harap kepada bintang Barcelona itu. Ia tidak sepatutnya berlaku.


Dia dan gandingan serangannya Sergio Aguero, Gonzalo Higuain dan Angel di Maria yang pada awalnya dilabel sebagai gandingan penyerang paling mantap di kejohanan itu, hingga kini masih belum menjadi.


Pertahanan mereka juga dilihat goyah dengan pemain pertahanan tengah Ezekiel Garay kerap dibolosi ketika menentang Iran.


"Kami mempunyai beberapa sebab untuk berwaspada," kata ketua jurulatih Alejandro Sabella selepas mengakui mereka mendapat tentangan sengit Iran.


Dengan pasukan dari Amerika Latin seperti Chile dan Costa Rica melangkah bergaya di kejohanan kali ini, Argentina perlu meningkatkan prestasi mereka jika mahu meletakkan diri kembali dalam landasan terbaik untuk merebut kejuaraan.


Argentina bakal meraih sokongan padu ribuan penyokong mereka yang memasuki sempadan Rio Grande do Sul di selatan Brazil iaitu kawasan di mana mereka berkongsi budaya namun mempunyai permusuhan hebat dalam bola sepak. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/25

No comments:

Post a Comment