Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bidikan dendam

Posted: 21 Jun 2014 04:49 PM PDT

Sungai Petani: Motif dendam dipercayai punca seorang lelaki maut di tembak tiga das di dada oleh dua lelaki membonceng motosikal di Taman Songket, Batu 2, Jalan Kuala Ketil di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, M Gurubaran, 24, dari Taman Keladi di sini, yang menunggang motosikal, maut di tempat kejadian akibat parah di dada.

Menurut sumber polis, mangsa bergegas ke taman perumahan itu yang terletak lima kilometer dari rumahnya selepas menerima panggilan.

"Pada masa sama, kedua-dua suspek mengekori Gurubaran sebelum menghampirinya. Seorang suspek menembak mangsa.

Foto

AHLI keluarga sebak melihat mayat mangsa terbaring kaku di sebelah motosikalnya.


"Tembakan itu mengenai dada mangsa menyebabkannya terjatuh. Suspek melepaskan dua das lagi ke dada mangsa," katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Tempatkan di pusat perlindungan

Posted: 21 Jun 2014 03:40 PM PDT

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat akan menempatkan remaja orang kelainan upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15 tahun yang ditemui dalam keadaan menyayat hati di pusat perlindungan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat jika siasatan mendapati ada kes pengabaian.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang terkejut dengan penemuan itu berkata, hasil siasatan awal mendapati, remaja itu adalah OKU yang menghidap penyakit celebral palsy atau lumpuh otak.


"Keadaan fizikal remaja itu kurus akibat kekurangan zat makanan dan hanya mampu untuk merangkak," katanya.

Menurut Rohani, beliau sudah mengarahkan JKM melakukan siasatan terperinci, malah Pegawai Pelindung JKM Negeri Sembilan berada di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) memantau remaja itu.


Sementara itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan Abdullah Hanafi berkata, ibu Muhammad Firdaus boleh dikenakan tindakan undang-undang jika ada unsur penderaan.


"Kita (JKM) perlu menunggu laporan penuh daripada pihak hospital. Setakat ini, remaja itu di bawah jagaan JKM.

"Jika hasil laporan ada unsur penderaan, kita akan menyerahkan kes kepada pihak polis untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 atau Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan sengaja," katanya.


Abdullah berkata, remaja itu akan diletakkan bawah jagaan JKM sehingga kes selesai.

Menurutnya, Muhammad Firdaus yang dirawat di HTJS dilaporkan stabil dan JKM juga sudah mengambil keterangan ibunya untuk siasatan lanjut.


Menurutnya, ibu bapa boleh merujuk kepada JKM sekiranya mereka menghadapi masalah dalam penjagaan anak orang kelainan upaya (OKU) melalui beberapa syarat yang ditetapkan JKM. Katanya, ibu bapa yang mempunyai anak (OKU) memerlukan kesabaran yang tinggi dan perlu memberikan perhatian khusus terhadap golongan terbabit.


"Ibu bapa yang mempunyai anak OKU seharusnya peka dan meletakkan tahap kesabaran paling tinggi berbanding menjaga anak normal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Datuk cabul cucu

Posted: 21 Jun 2014 03:40 PM PDT

Kuching: Tangisan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang mengadu sakit di bahagian kemaluan membongkar kegiatan tidak bermoral datuknya yang sering mencabul kehormatan mangsa dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Astana Lot, Petra Jaya, di sini.

Tidak tahan dengan rasa sakit yang ditanggung, mangsa mengadu mengenai kejadian itu kepada ibu saudaranya berusia 18 tahun kelmarin, sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Gita, jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, dalam siasatan awal, mangsa mendakwa datuknya berusia 60 tahun sering memegang dan memasukkan jari dalam kemaluannya.

Katanya, kali terakhir suspek dipercayai melakukan perbuatan itu petang kelmarin menyebabkan mangsa mengadu kesakitan pada ibu saudaranya beberapa jam kemudian.


"Selain itu, mangsa juga mendakwa datuknya pernah menyuruhnya baring di atas badan datuknya beberapa kali," katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

Dipukul akibat salah faham

Posted: 21 Jun 2014 03:39 PM PDT

Chukai: Akibat perselisihan faham dengan seorang pelajar di sekolahnya, seorang remaja perempuan terpaksa menanggung kesakitan apabila dipukul abang kepada rakan sekolahnya itu menggunakan kayu dalam kejadian di sebuah sekolah di bandar ini, Rabu lalu.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku jam 10.05 pagi ketika mangsa berusia 14 tahun berada di dalam kawasan sekolahnya sebelum didatangi empat lelaki dengan seorang daripadanya dikenali mangsa.


Katanya, belum sempat mangsa berbuat apa-apa, suspek dikenali itu bertindak memukul paha kiri mangsa beberapa kali menggunakan kayu sementara tiga lagi rakan suspek hanya bertindak sebagai pemerhati.

"Sebaik puas memukul mangsa, suspek bersama rakan-rakannya meninggalkan mangsa yang berada dalam kesakitan. Kejadian itu menyebabkan paha kiri mangsa lebam.


"Mangsa mengesyaki kejadian itu berpunca daripada perselisihan dengan adik perempuan suspek berusia 13 tahun yang juga menuntut di sekolah sama," katanya.


Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa ada berjumpa dengan adik suspek yang dikatakan ada menyebar fitnah mengenai dirinya jam 10 pagi.

Katanya, bagaimanapun, adik suspek tidak mengaku dia bertanggungjawab menyebarkan fitnah itu dan ketika itu, mangsa yang gagal mengawal marah dikatakan menampar pipi remaja terbabit.


"Ekoran daripada kejadian itu, remaja terbabit menghubungi suspek yang kemudiannya datang tidak lama kemudian," katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa bersama bapanya membuat laporan di Balai Polis Ayer Jerneh untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

'Abang saya yang punya...'

Posted: 21 Jun 2014 03:35 PM PDT

Bestari Jaya: Dua lelaki, termasuk seorang remaja ditahan selepas didapati membawa senapang patah buatan sendiri bersama 28 butir peluru penabur dalam sekatan jalan raya di Jalan Tennamaram, di sini, jam 1.30 pagi semalam.

Kedua-duanya menaiki sebuah kereta sebelum ditahan untuk pemeriksaan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, pemeriksaan menemui senapang patah bersama peluru penabur yang diletak di dalam bonet kereta.

"Kedua-duanya yang berusia 43 dan 19 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Bestari Jaya untuk membantu siasatan.


"Dua jam kemudian, seorang lelaki berusia 41 tahun datang ke Balai Polis Bestari Jaya dan mengaku senapang terbabit adalah miliknya," katanya, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/22

No comments:

Post a Comment