Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


China guna panda ramal keputusan Piala Dunia

Posted: 03 Jun 2014 11:11 AM PDT

Beijing: Sekumpulan anak panda akan digunakan untuk meramalkan keputusan kejohanan bola sepak Piala Dunia.

Agensi berita Xinhua melaporkan, beruang berkenaan akan meramalkan pemenang sesuatu perlawanan dengan memilih makanan dari bakul yang disediakan dan memanjat pokok di pangkalan pemeliharaan panda di Sichuan.


China berharap haiwan berkenaan akan dapat menandingi kemampuan dan populariti Paul, sotong Jerman yang meramalkan dengan betul keputusan beberapa perlawanan Piala Dunia 2010 dengan menggunakan sesungutnya.

Pada perlawanan peringkat kumpulan, panda berusia antara satu dua tahun akan memilih makanan dari tiga bakul buluh, mewakili sama ada menang, kalah atau seri.


Untuk pusingan kalah mati, haiwan itu akan memilih pemenang dengan memanjat pokok yang ditanda dengan bendera kebangsaan negara yang bertanding.


Mereka bagaimanapun mempunyai perjalanan yang jauh untuk menandingi Paul yang berjaya meramalkan keputusan perlawanan dengan memilih tiram daripada dua kotak yang bertanda bendera negara peserta.

Foto

GAMBAR hiasan.

Sotong berkenaan mati pada 2010. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

66 burung dalam seluar

Posted: 03 Jun 2014 11:00 AM PDT

Havana: Seorang lelaki ditahan kerana cuba menaiki sebuah pesawat ke Amerika Syarikat bersama-sama dengan 66 burung di dalam seluarnya.

Lelaki itu ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Ignacio Agramonte di Camahuay di Cuba selepas ditahan untuk pemeriksaan kerana bonjol besar yang mencurigakan pada seluarnya.


Apabila ditahan oleh kakitangan kastam, lelaki itu berkata, dia hanya membawa seekor merpati sebagai hadiah untuk cucunya.

Tetapi, apabila dipaksa menanggalkan seluarnya, pegawai menemui puluhan anak burung cakar dan burung madu sebahagiannya dengan muncung mereka diikat rapat supaya kicauan mereka tidak didengari.


Polis berkata, semua burung itu dari spesies yang jarang ditemui dan mungkin dicuri. Ia dianggar bernilai ribuan ringgit.


Penyeludup itu hampir berjaya menaiki pesawat selepas pengesan logam gagal mengesan burung berkenaan.

Foto

SEBAHAGIAN daripada burung yang ditemui dalam tempat khas yang dijahit pada seluar lelaki itu.

Bagaimanapun, kerana bonjol besar dan cara dia berjalan, kakitangan kastam di lapangan terbang berkenaan menahannya untuk diperiksa.


"Dia cuba menipu dengan berkata, dia hanya membawa seekor merpati di dalam seluarnya," kata jurucakap kastam, Hermogenes Yonsiver. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Jurutera tak mandi 12 tahun

Posted: 03 Jun 2014 10:58 AM PDT

London: Seorang jurutera kimia tidak mandi sejak 12 tahun lalu.

David Whitlock sebaliknya menggunakan bakteria bakteria pengkosidaan ammonia (AOB) untuk membersihkan badannya setiap hari.


Whitlock, warga Amerika, mula tertarik dengan kuasa mikro-organisme itu yang hidup di tanah, sungai dan lautan apabila teman wanitanya bertanya mengapa kudanya sering berguling di kawasan berlopak.

Whitlock yang menjalankan kajian mendapati haiwan berkenaan bertindak demikian bagi memastikan mereka memperoleh bakteria secukupnya bagi mengelak peluh mereka berbau pada musim panas.


Peluh manusia bertindak serupa pecah menjadi ammonia dan berbau, tetapi boleh dineutralkan dengan kehadiran AOB.


Masalahnya, kata Whitlock, kebanyakan manusia tidak lagi mempunyai bakteria yang baik pada tubuh mereka ketika ini.

Sejak 12 tahun lalu dia menyembur tubuhnya dengan AOB yang dikumpulkan dari tanah di ladang ternakan haiwan.


Dia juga menghasilkan produk itu untuk mereka yang tidak berminat mandi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Junta awasi 3 jari

Posted: 03 Jun 2014 10:57 AM PDT

Bangkok: Junta tentera Thailand semalam berkata, mereka memantau protes bentuk baru yang mengecam kudeta melalui simbol tiga jari seperti dalam filem The Hunger Games dan akan membuat tangkapan ke atas sesiapa yang masih berdegil.

Amalan itu menjadi simbol tidak rasmi rakyat Thailand membantah campur tangan tentera yang membawa kepada rampasan kuasa pada 22 Mei lalu.


Ia juga dianggap tindak balas kreatif terhadap larangan menyatakan pandangan dikenakan junta tertera.

Jurucakap junta tentera Col Weerachon Sukhondhapatipak berkata, ketika ini mereka memantau gerakan itu sebelum mengambil sebarang tindakan.


"Jika ia jelas satu penentangan, kami terpaksa mengawalnya supaya tidak memudaratkan negara," katanya. Sejak melakukan kudeta bulan lalu tentera melarang sebarang perhimpunan politik lebih daripada lima orang.


Mereka juga cuba menghalang sebarang kritikan terhadap rampasan kuasa dengan menutup stesen televisyen yang ada kaitan dengan parti politik atau mana-mana kumpulan.

Foto

PENUNJUK perasaan antikudeta bergambar di depan barisan polis di sebuah kompleks beli-belah di Bangkok.

Puluhan laman sesawang juga turut ditutup. Ahad lalu hampir 6,000 tentera dan polis dikerah mematahkan protes yang dirancang rakyat.


Di sebalik kawalan ketat itu beberapa bantahan kecil-kecilan muncul di kawasan beli-belah di Bangkok.

Di situlah munculnya amalan tabik menggunakan tiga jari itu.


Penunjuk perasaan memberikan pelbagai tafsiran kepada simbol itu.


Sesetengah pihak mendakwa ia melambangkan tiga nilai dalam Revolusi Perancis - kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan.


Pihak lain pula mendakwa ia mewakili tiga unsur penting iaitu kebebasan, pilihan raya dan demokrasi. Filem The Hunger Games pula mempromosi tiga tuntutan iaitu tiada rampasan kuasa, kebebasan dan demokrasi. Weerachon berkata, tentera tahu ia diilhamkan daripada filem, tetapi ia melambangkan penentangan. "Kami akan membuat tangkapan jika ada mana-mana kumpulan membuat simbol itu selepas dinasihat menghentikannya," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Perintah berkurung di pusat pelancongan ditarik balik

Posted: 03 Jun 2014 10:56 AM PDT

Bangkok: Perintah berkurung ditarik balik oleh junta tentera semalam, tetapi cuma membabitkan tiga pusat percutian pantai.

Dalam pengumuman di televisyen, tentera berkata, perintah berkurung ditamatkan di Phuket, Koh Samui dan Pattaya untuk 'menggalakkan pelancongan dan mengurangkan kesan krisis' di kawasan aman serta bebas daripada protes politik.


Bagaimanapun, perintah berkurung di kawasan lain di seluruh negara antara tengah malam hingga 4 pagi masih dikekalkan.

Pada awal kudeta, tentera menetapkan larangan itu bermula antara jam 10 malam hingga 5 pagi. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

3 terbunuh diserang hendap

Posted: 03 Jun 2014 10:55 AM PDT

Yala: Dua renjer dan seorang penduduk kampung terbunuh dalam serangan berasingan di Pattani dan Yala kata polis semalam.

Di Pattani, dua renjer berusia 40 dan 26 tahun masing-masing berasal dari Chiang Mai dan Nakhon Si Thammarat diserang hendap ketika meronda bersama empat yang lain.


Jurucakap polis berkata, mereka menaiki motosikal di daerah Sai Buri apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari sebuah kenderaan pikap. "Berlaku tembak-menembak selama kira-kira 10 minit sebelum penyerang melarikan diri," katanya. Dua mangsa terbabit dikejarkan ke hospital berhampiran, namun disahkan meninggal dunia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Janda sorok dadah dalam kemaluan demi kekasih

Posted: 03 Jun 2014 10:55 AM PDT

Bandung: Demi cinta seorang janda beranak dua sanggup menggadai masa depannya dengan menyeludup syabu yang disembunyi dalam kemaluannya ke penjara Banceuy, lapor media semalam.

Dadah itu, kata polis, dibawa masuk untuk diserahkan kepada seorang daripada banduan di penjara berkenaan yang menjadi kekasih suspek. Bagaimanapun, kata sumber, cubaan itu digagalkan selepas pihak penjara menjalankan pemeriksaan teliti terhadap janda terbabit.


"Dadah itu seberat 25.3 gram disimpan dalam plastik jernih sebelum dimasukkan ke kemaluan," katanya.

Sementara itu, janda terbabit berkata, dia tidak tahu bahan berkenaan adalah dadah.


"Saya cuma menurut arahan kekasih saya.


"Dia memberitahu bahan yang saya bawa cuma ubat tidur," katanya. Polis berkata, suspek adalah penduduk Sumedang dan datang ke penjara itu untuk bertemu banduan terbabit yang baru dikenalinya setahun lalu. Menurut sumber, wanita itu mendapat arahan daripada dua lelaki lain di Jalan Sukarno - Hatta di Bandung.

"Suspek mendakwa dia melakukan penyeludupan itu secara sukarela, tanpa sebarang upah," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

'Kalau menang, jaga rakyat'

Posted: 03 Jun 2014 10:54 AM PDT

Yogyakarta: Di sebalik sikap berkecualinya, Gabenor Yogyakarta, Sri Sultan Hamengkubuwono X berharap gandingan Joko Widodo (Jokowi) - Jusuf Kalla akan memenangi pemilihan presiden bulan depan.

Katanya, apabila menang nanti gandingan itu diharap dapat menggunakan kuasa yang ada untuk kepentingan rakyat Indonesia. Bercakap kepada media selepas menerima kunjungan hormat Jokowi - Jusuf di kediaman rasminya semalam, pewaris Kesultanan Yogyakarta itu sekali lagi menegaskan bersikap neutral dalam pemilihan nanti.


"Hari ini saya menerima kunjungan Jokowi dan Jusuf.

"Nanti jika Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa mahu datang ke sini, saya akan memberi sambutan sama untuk mereka," katanya. Terdahulu Jokowi dan Jusuf meluangkan masa kira-kira sejam bertemu Hamengkubuwono X dalam sesi tertutup di Kraton Kilen sempena lawatan mereka ke bandar purba itu. Turut mengiringi, sejumlah ahli parlimen Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan. Selain menjadi gabenor, Hamengkubuwono X dilihat penting dan dihormati kerana dianggap sebagai penjaga kebudayaan Jawa.


Sebarang 'restu' daripada Hamengkubuwono X dilihat memberi lonjakan kepada peluang calon yang bertanding dalam pemilihan 9 Julai nanti. Ditanya media, Hamengkubuwono X enggan mengulas mengenai calon yang akan dipilihnya nanti.


"Saya akan membuat keputusan ketika mengundi di pusat pengundian nanti," katanya. Sementara itu, Jokowi dan Jusuf enggan mendedahkan butiran perbincangan mereka semalam. Kata Jokowi, mereka cuma menerima banyak pandangan Hamengkubuwono X mengenai isu pentadbiran, kepemimpinan dan masalah negara. "Kami datang ke sini atas rasa hormat Hamengkubuwono X dan mendapatkan restu beliau," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Giliran menteri dapat teguran Susilo

Posted: 03 Jun 2014 10:54 AM PDT

Sentul, Bogor: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sekali lagi membuat teguran kepada pegawai kanan kerajaan menjelang pemilihan presiden bulan depan.

Semalam Susilo mencadangkan agar menterinya meletak jawatan jika gagal mengurus kementerian masing-masing kerana terlalu sibuk berpolitik.


Kata Susilo, fungsi asas sesebuah kerajaan mesti terus berjalan walaupun suasana politik semasa semakin panas.

"Jika tidak mungkin lagi mengurus kementerian kerana menganggotai mana-mana kumpulan kempen, atau terlalu sibuk ke sana-sini, saya persilakan anda berundur," katanya di perasmian perhimpunan memantapkan pelaksanaan pemilu. Kelmarin, Susilo membuat teguran keras terhadap pegawai kanan polis dan tentera yang dilihat memberi sokongan terbuka - atau berkempen - kepada calon presiden.


Kata Susilo, sebagai anggota keselamatan mereka mesti kekal neutral ketika bertugas. Susilo berkata, dia sudah melakukan penilaian terhadap prestasi menterinya.


"Ada sejumlah menteri yang harus diberikan teguran agar prestasinya kekal berkesan, memberi perhatian penuh kepada tanggungjawab dan tidak sibuk dengan tugasan lain," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

Jokowi: Kita digertak negara kecil tapi cuma diam?

Posted: 03 Jun 2014 10:54 AM PDT

Jakarta: Joko Widodo (Jokowi) berkata, jika dia menjadi Presiden Indonesia tiada mana-mana negara dapat menggertak Jakarta, sebaliknya akan memastikan kerajaan tegas menghadapi sebarang cabaran.

Kata Jokowi, dia seorang ahli politik yang tegas dan dapat membantu Indonesia menghadapi 'gertakan' negara asing.


"Bagaimana kita boleh takut digertak negara kecil? Ketika digertak kita cuma diam," katanya di majlis pertemuan dengan bekas pegawai kanan tentera dan polis di Jakarta Selatan semalam. Beberapa pesara tentera berpengaruh, seperti Wiranto, Da'i Bachtiar, Hendropriyono dan Luhut Panjaitan turut hadir. Kata Jokowi, andainya terpilih sebagai presiden dan Indonesia digertak, isu itu akan ditangani secara langsung.

"Jika perlu memimpin protes, saya akan turun dan memimpinnya sendiri.


"Tetapi, andainya panglima tentera kita saja sudah cukup berani, saya rasa biar dia saja yang memimpin," katanya. Menurut Jokowi, sesetengah pihak menilainya kurang wibawa serta lemah kerana tubuhnya yang kurus.


"Ramai orang lihat saya ini kurus, tidak tegas. "Pada pandangan saya, tegas itu ada dua - berani membuat keputusan dan berani mengambil risiko. "Maksud saya, risiko yang sudah diperkirakan, bukan emosional dan semberono," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/04

No comments:

Post a Comment