Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kian hampir

Posted: 27 Jun 2014 10:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Gandingan Tan Boon Heong-Hoon Thien How semakin hampir meraih kejuaraan sulung peringkat senior apabila mara ke separuh akhir Siri Super Terbuka Australia di Kompleks Sukan States, Sydney, semalam.

Bekas juara dunia remaja 2004 itu tidak berdepan masalah mengalahkan pasangan China, Cai Yun-Kai Lu 23-21, 21-16 di suku akhir.

Menanti mereka di separuh akhir hari ini pilihan keempat dari Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong yang mengalahkan satu lagi pasangan negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah 15-21, 22-24.

Jurulatih beregu lelaki negara Pang Cheh Chang, mengakui lawan dihadapi kedua-dua pasangan negara semalam sangat kuat namun Boon Heong-Thien How, bekas pemenang pingat perak Sukan Asia 2006 Doha berjaya melepasinya.

Foto

GANDINGAN Boon Heong (depan) dan Thien How serasi.


"Saya akan menganalisis keputusan perlawanan ini dan juga selepas selesainya kejohanan di Australia bagi mencari gandingan tetap," katanya.


Menurutnya untuk jangka masa panjang, beliau mesti mempunyai pasangan beregu yang stabil dan sekarang ini masih belum memutuskan gandingan yang perlu dikekalkan.

Boon Heong-Thien How digandingkan semula di Piala Thomas New Delhi, Mei lalu dan mereka berjaya menumpaskan gandingan nombor satu dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di separuh akhir kejohanan itu.

Hasrat untuk melihat beregu campuran, Chan Peng Soon-Lai Pei Jing mara ke separuh akhir bagaimanapun tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada gandingan Thailand yang juga pilihan kelima kejohanan, Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam 11-21, 15-21.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/28

Sekat penyerang import!

Posted: 27 Jun 2014 10:39 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad negara akan ketandusan penyerang berbakat dan merosot! Itu pandangan Setiausaha Kehormat Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) Datuk Khaidir Buyong susulan penguasaan berterusan penyerang import dalam senarai penjaring bagi Liga Super dan Perdana.

Hanya Norfarhan Muhammad dari Terengganu yang meledak tujuh gol berada dalam senarai 10 pemain teratas Liga Super manakala Indra Putra Mahayuddin menjaringkan 10 gol bersama FELDA United FC dalam kancah Liga Perdana.

Kasut Emas musim ini dimenangi penyerang Brazil, Paulo Rangel yang mewakili Selangor dan penyerang FELDA United, Edward Junior Wilson dari Liberia dengan masing-masing unggul dalam kancah Liga Super dan Perdana.

"Tiada apa yang boleh dilakukan kerana setiap pasukan ingin menang. Sesetengah pasukan menggunakan hingga dua penyerang import.

Foto

NORFARHAN (kiri) ledak tujuh gol buat Terengganu.


"Tapi, dalam jangka panjang, skuad negara yang akan mendapat kesan negatif kerana kita tidak mempunyai penyerang berwibawa untuk diketengahkan di pentas antarabangsa.


"Pada saya, kita harus berwaspada bermula daripada sekarang terhadap perkembangan ini dan seboleh-bolehnya hanya seorang penyerang import dibenarkan beraksi bagi sesebuah pasukan, namun terpulang kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk memantau perkembangan ini. Had empat pemain import tidak perlu dikurangkan cuma penyerang import dalam sesebuah pasukan perlu dihadkan," katanya.

Cadangan Khaidir itu dilihat bagi memberi peluang kepada penyerang tempatan untuk berada dalam kesebelasan utama, bergandingan bersama penyerang import.

Menurutnya, situasi melanda liga domestik ini bakal menjadikan ketua jurulatih baru 'pening kepala' kerana tidak mempunyai penyerang tempatan berkaliber untuk diketengahkan.

Kelibat penyerang tempatan dalam kancah domestik yang sering disisihkan pasti akan menjejaskan prestasi mereka apabila tampil bersama skuad negara kerana seseorang pemain perlu aksi kompetitif untuk mengekalkan prestasinya.

FAM pada 2012 membenarkan kembali penggunaan pemain import selepas mengharamkannya pada 2009, sehingga ada pihak berpandangan kejayaan skuad negara menjulang Piala AFF 2010 buat kali pertama berpunca daripada langkah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/28

Giliran Johor DT II pamer kuasa

Posted: 27 Jun 2014 10:36 AM PDT

Johor Bahru: Selepas Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menjuarai Liga Super dan layak automatik ke saingan Piala Malaysia, kini giliran Johor Darul Ta'zim II (Johor DT II) memburu slot ke saingan piala berprestij itu.

Begitupun laluan anak didik Azmi Mohamad tampak sukar apabila berdepan tugas getir bertemu PKNS FC pada saingan play-off Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam ini.

Namun bagi Azmi, sasaran untuk layak ke saingan kumpulan piala berprestij itu perlu diteruskan biarpun terpaksa berdepan kesukaran apabila menentang skuad bimbingan jurulatih baru PKNS, E Elavarasan.

"Saya akan turunkan barisan pemain terbaik dengan kelibat Zaquan Adha Abd Radzak, Shahril Ishak dan Aznie Taib menjadi sandaran kami mencari slot ke saingan Piala Malaysia.


"Ketika kami menang 1-0 ke atas Sabah pada aksi terakhir Liga Perdana, saya tidak menurunkan skuad terkuat kerana mahu pemain utama berehat. Perlawanan menentang PKNS menjadi misi utama kami, apatah lagi kekuatan mereka memang tidak boleh dinafikan selepas mengikat Selangor 2-2 pada aksi terakhir Liga Super," katanya.


Justeru, Azmi berkata, beliau akan mempertaruhkan kelibat kapten Izuan Jarudin dan Hardy Charles Parsi yang konsisten ketika digandingkan bagi mengemudi benteng pertahanan.

Kehadiran semula bekas penjaga gol FELDA United, Mohd Anis Faron yang keluar daripada persaraan nyata menguatkan semula gawang gol skuad Merah Biru kerana kehilangan K Sasikumar yang masih dibelenggu kecederaan.

"Pemain harus menamatkan saingan dalam tempoh 90 minit perlawanan dan mengelak daripada beraksi pada masa tambahan atau sepakan penalti," kata Azmi yang turut mengarahkan pemainnya merantai Patrick Ronaldinho.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/28

'Mereka serasi'

Posted: 27 Jun 2014 10:34 AM PDT

Kuala Lumpur: Teka-teki calon paling sesuai memikul tanggungjawab selaku pembimbing skuad Harimau Malaya bakal terjawab apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin hampir menemui jawapan dalam mesyuarat Exco pertama hari ini.

Mesyuarat itu buat pertama kali akan dipengerusikan Presiden baru FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas memenangi jawatan nombor satu itu pada pemilihan Kongres FAM Ke-50, 25 Mei lalu.

Sudah pasti antara tajuk utama akan dibincangkan dalam mesyuarat itu mengenai status ketua jurulatih kebangsaan yang masih kosong sejak enam bulan lalu selepas khidmat Datuk K Rajagobal tidak disambung.

Justeru, timbul beberapa nama untuk memegang jawatan itu terutama pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh dan jurulatih sementara skuad kebangsaan dan Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee menjadi calon hangat.

Namun begitu, legenda negara Datuk Santokh Singh tampil memberi cadangan dengan dua nama baru yang wajar dipertimbangkan iaitu jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan dan jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan.

Menurut Sathianathan, penghormatan diberikan Santokh dengan mengaitkan namanya untuk memegang jawatan berkenaan amat dihargainya.

Begitupun, bekas jurulatih kebangsaan dari 2007-2009 itu memilih untuk kekal bersama The Gladiators kerana menegaskan tidak mampu menangani tekanan.

"Jika benar FAM inginkan khidmat saya, mungkin saya terpaksa menolaknya.

Saya menolak bukan kerana tiada semangat patriotik, tapi tekanan dihadapi cukup hebat seperti pernah saya lalui dulu," katanya.

Malah, Sathianathan turut berkongsi pandangan dengan mencadangkan Dollah dan Zainal diberikan peluang mengendalikan Harimau Malaya.

"Saya melihat Dollah calon paling sesuai dilantik jurulatih dan Zainal pula sebagai pengurus.

Kedua-dua kombinasi ini sangat serasi dan terbukti apabila mereka berjaya membawa perubahan kepada Pahang.

"Apa yang saya lihat, pemain sanggup bermati-matian untuk Dollah kerana karakternya begitu disenangi pemain di bawah jagaannya.


Saya pasti, skuad negara akan lebih kuat jika Dollah dan Zainal diberikan ruang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/28

Lima atlet MMA uji sengat

Posted: 27 Jun 2014 10:34 AM PDT

Kuala Lumpur: Lima atlet dipilih mewakili negara ke Kejohanan Dunia Antarabangsa Persekutuan Seni Mempertahankan Diri Campuran (IMMAF) yang julung kali diadakan di Las Vegas Nevada, Amerika Syarikat, bermula esok hingga 7 Julai.

Mereka membabitkan Prabu Somanaidu, Alllen Solomon Chong, Keanu Subba, Adrian Tham dan Jim Chong Jing Yi yang bakat mereka dicungkil melalui acara Malaysian Invasion Mixed Martial Arts Fighting Championship (MIMMA).

Kesemua mereka terpilih itu juara kategori masing-masing, sekali gus mengukuhkan kredibiliti mereka untuk mewakili negara ke IMMAF.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemilihan atlet seni mempertahankan diri itu sangat membanggakan kerana Malaysia menjadi negara tunggal Asia Tenggara yang mengambil bahagian.

"Tidak dapat dinafikan MMA berkembang pesat di negara kita dan MASMMAA (Persatuan Seni Mempertahankan Diri Campuran Malaysia) akan terus mengenal pasti dan bekerjasama dengan organisasi MMA seluruh dunia bagi memastikan atlet Malaysia mendapat peluang menonjolkan bakat mereka dalam sukan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/28

Nadal tebus kecewa 2012

Posted: 27 Jun 2014 10:33 AM PDT

London: Rafael Nadal menebus kekalahan mengejut di Wimbledon 2012 kepada Lukas Rosol apabila menyingkirkan lawan dari Republik Czech itu dengan keputusan 4-6, 7-6 (8/6), 6-4, 6-4.

Begitupun, pemain nombor satu dunia, Nadal melakukannya dengan cara sukar apabila tewas set pertama dan ketinggalan 2-4 di set kedua sebelum menyelamatkan satu mata akhir pada tie-break.

Namun, juara 2008 dan 2010 yang tewas di pusingan pertama kepada Steve Darcis pada 2013, memastikan tiket ke pusingan ketiga menerusi mata penamat ketiga.

Penguasaan dan kehebatan pukulannya ketika kemenangan yang menggegarkan Centre Court memadam kekecewaan dan penghinaan diterimanya dua tahun lalu.

"Saya berjuang dan menanti peluang," kata Nadal selepas tewas set pertama buat kali kedua dalam dua perlawanan di saingan Wimbledon tahun ini.

"Saya tidak fikir ia soal balas dendam," tegas Nadal.

"Semua perlawanan berbeza.

Apabila saya tewas pada 2012, ia kerana lawan bermain lebih baik." Juara tujuh kali, Roger Federer melangkah ke pusingan ketiga selepas mengatasi pemain Luxembourg, Gilles Muller 6-3, 7-5, 6-3 dan seterusnya berdepan pilihan ke-30, Marcel Granollers dari Sepanyol atau Santiago Giraldo dari Colombia.

Pilihan kelima dan juara Terbuka Australia, Stan Wawrinka turut layak ke pusingan ketiga selepas menewaskan pemain yang mara ke suku akhir 2010, Lu Yen-Hsun dari Taiwan 7-6 (8/6), 6-3, 3-6, 7-5.

Juara empat kali wanita, Serena Williams (gambar) menyingkirkan pemain Afrika Selatan, Chanelle Scheepers dalam tempoh 49 minit untuk mara ke pusingan ketiga dengan kemenangan 6-1, 6-1 dan bertemu pemain Perancis pilihan ke-25, Alize Cornet.

Foto

NADAL puas hati meskipun belum pamer aksi terbaik.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/28

Rossi 'buru' Marquez

Posted: 27 Jun 2014 10:32 AM PDT

Assen, Belanda: Juara dunia dari Sepanyol, Marc Marquez cuba melakar rekod lapan kejuaraan berturut-turut hujung minggu ini di Grand Prix Belanda manakala pelumba veteran Itali, Valentino Rossi pula berhasrat menghalang niat pelumba itu di salah satu litar kegemarannya.

Rossi yang dikalahkan Marquez buat kali ketujuh di hadapan penyokongnya sendiri di Catalunya 12 hari lalu, mempunyai sebab untuk membuktikan kemampuannya kerana sudah meraih enam kejuaraan di litar Belanda.

Kemenangan juga meletakkan Rossi yang kini ketinggalan 58 mata di belakang Marquez, mengatasi rakan senegaranya, Giacomo Agostini yang juga juara enam kali kategori utama perlumbaan motosikal di Assen di antara 1968-74.

Rossi akan mempertahankan kejuaraan dimenanginya tahun lalu ke atas Marquez.


Dia mendapat rentak kemenangan di Assen selepas dua tahun setengah tanpa sebarang kemenangan.


Rossi turut mahu menghalang pelumba Sepanyol itu meraih kejuaraan kali kelapan seperti dilakukan ketika meraih gelaran dunia 2002.

"Assen trek yang hebat dan menarik buat Yamaha," kata pelumba berusia 35 tahun itu.

Rossi memberi amaran, litar di Belanda itu sukar diramal serta memainkan peranan penting dalam perlumbaan.

"Anda tidak akan tahu adakah ia berlangsung dalam keadaan panas atau sejuk, basah atau kering. Perlumbaan tahun lalu memang tidak boleh dilupakan, tetapi secara jujur tahun ini saya rasa lebih kuat di setiap perlumbaan dan kami harus cuba dan menewaskan pesaing lain," katanya mengenai litar sepanjang 4.542 kilometer itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/28

Herrera, Shaw milik United

Posted: 27 Jun 2014 10:29 AM PDT

London: Manchester United semakin hampir mengikat pemain tengah Athletic Bilbao, Ander Herrera menerusi kontrak empat tahun ketika pada masa sama, Luke Shaw disahkan akan menyertai kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu dari Southampton untuk tempoh yang sama, bernilai £27 juta (RM147.5 juta).

United berkata, perpindahan itu sudah hampir selesai selepas Herrera, 24, tidak berdepan masalah dengan kontrak lamanya di Bilbao.

Herrera menyertai Bilbao dari Real Zaragoza pada 2011 dan pernah mewakili skuad bawah 20, 21 dan 23 Sepanyol.

"Bermain untuk United boleh dianggap sebagai satu mimpi menjadi kenyataan," katanya.

"Saya pernah bermain di Old Trafford, tapi ketika itu saya mewakili Athletic Club dalam saingan Liga Europa dan ia antara kemuncak karier saya setakat ini.

Saya mahu membantu United bagi mencapai objektif kelab.

"Saya tiba di Old Trafford Selasa lalu dan seronok tinggal di Manchester dan tidak sabar untuk turun pada perlawanan pertama dengan jersi United." "Saya tidak akan lupakan Athletic Club dan mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan kakitangan yang membantu saya dan saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pemain kelab itu." Sementara itu, Shaw berkata: "Saya teruja dan gembira kerana dapat menyertai Manchester United.


Saya berada di Southampton sejak saya berusia 8 tahun tapi sudah tiba masanya saya meneruskan kerjaya dan United menjadi tempat paling ideal untuk saya melakukannya." Pemain bek kiri berumur 18 tahun itu meletakkan dirinya sebagai prospek paling hangat di St Mary's, sekali gus mendorong minat banyak kelab besar.

Bagaimanapun, United memenangi perlumbaan mendapatkan tanda tangan Shaw selepas dia berjaya melepasi ujian perubatan kelmarin.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/28

Bahana selisih faham

Posted: 27 Jun 2014 10:29 AM PDT

Brasilia: Karier bintang Ghana, Kevin-Prince Boateng semakin kabur dan secara kebetulan, komitmennya terhadap skuad Black Star itu sudah terjejas sebelum tamatnya saingan Piala Dunia.

Pemain tengah kelahiran Jerman itu digantung daripada skuad Piala Dunia negaranya bersama Sulley Muntari, sejam sebelum perlawanan penting menentang Portugal gara-gara berselisih faham dengan jurulatih Kwesi Appiah serta pegawai Persatuan Bolasepak Ghana.

Ia adalah bahana terbaru membabitkan pemain itu yang sebelum ini pernah terbabit dalam pelbagai kontroversi, tetapi dia juga disanjung banyak pihak kerana kuat melawan isu perkauman dalam bola sepak.

Lapan belas bulan lalu, ketika masih bermain untuk AC Milan dalam satu perlawanan persahabatan menentang kelab bawahan, Boateng membalas kutukan peminat berhubung isu perkauman dengan menyepak bola ke arah kelompok penonton berkenaan.

Beberapa rakan pasukannya mengikut tindakannya itu dan akibatnya, perlawanan terpaksa dihentikan.

Tindakan itu yang disifatkan berani oleh Presiden FIFA Sepp Blatter, mencetuskan debat berhubung isu perkauman di Itali dan keputusannya, perlawanan boleh dihentikan jika insiden seumpama itu berlaku pada masa depan.

Boateng yang mempunyai bapa berdarah Ghana, turut dijemput jawatankuasa bertindak FIFA berhubung isu perkauman untuk memberi ucapan dan pandangannya di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Ia bukanlah satu perdebatan untuk catatan sejarah atau sesuatu yang hanya berlaku di satu negara saja," katanya.

"Perkauman adalah satu masalah besar." Dibesarkan di sebuah bandar di Berlin, Boateng memulakan karier bersama Hertha Berlin dan bermain mewakili Tottenham Hotspur, Borussia Dortmund, Portsmouth, AC Milan dan kini Schalke 04.

Dia mula dikenali di Jerman selepas final Piala FA antara Portsmouth dan Chelsea apabila terjahan kerasnya ke atas Michael Ballack menyaksikan kapten Jerman itu terlepas aksi Piala Dunia.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/28

Penangan Suarez

Posted: 27 Jun 2014 10:28 AM PDT

Rio de Janeiro: Terkejut dengan insiden gigitan Luis Suarez, Uruguay akan memastikan mereka tidak terjejas tanpa pemain bintang itu apabila bertemu Colombia di pusingan kedua Piala Dunia, awal pagi esok.

Ketika pemain Uruguay seharusnya memberi fokus penuh terhadap ancaman James Rodriguez dan rakan sepasukan Colombia, mereka secara tiba-tiba menjadi tumpuan satu skandal terbesar dalam sejarah Piala Dunia.

Kelmarin, Suarez digantung sembilan perlawanan antarabangsa selain dilarang terbabit dalam apa jua aktiviti bola sepak selama empat bulan kerana menggigit bahu kiri pertahanan Itali, Giorgio Chiellini pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Ia kali ketiga dia didapati bersalah kerana menggigit pemain lawan, insiden terdahulu bersama Ajax dan Liverpool, namun hukuman paling berat itu menyaksikan dia perlu meninggalkan hotel pasukan, sekali gus mengejutkan semua pemain dan pengurusan Uruguay.

Persatuan Bolasepak Uruguay (AUF) akan mengemukakan rayuan manakala kerajaan negara itu menggambarkan hukuman FIFA tidak adil.

Pemberita hadir ke sesi latihan Uruguay di timur laut Natal kelmarin dan ketika Suarez kelihatan gembira menunjukkan tanda bagus kepada jurugambar, rakan sepasukannya pula dilihat sebaliknya.

Kapten Diego Lugano enggan mengulas insiden itu pada sidang media.

"Saya tidak tahu apa yang anda cakapkan".

Insiden berkenaan menjejaskan tumpuan kepulangan Uruguay ke Maracana, gelanggang yang menyaksikan mereka menewaskan Brazil pada final Piala Dunia 1950.

Selepas perlawanan di Rio de Janeiro antara Uruguay dan Colombia, mereka turut mengetahui lawan yang bakal ditentang pada suku akhir di Fortaleza pada 4 Julai sama ada Brazil atau Chile.

Bagi mengisi ketiadaan Suarez, pemain veteran, Diego Forlan dijangka berada dalam jentera serangan bersama Edinson Cavani, sama seperti dilakukannya ketika Suarez terlepas perlawanan pembukaan yang menyaksikan mereka tewas 1-3 kepada Costa Rica.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/28

No comments:

Post a Comment