Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Tunggu aksi pertama'

Posted: 10 Jun 2014 12:13 PM PDT

Teresopolis, Brazil: Pemain pertahanan kanan Dani Alves menegaskan bahawa Brazil tidak sabar untuk membuat perhitungan dengan Croatia pada perlawanan pembukaan Piala Dunia dengan hasrat mahu memberi mesej jelas kepada penyokong dan pencabar kejuaraan mereka.

Kemenangan kurang meyakinkan 1-0 ke atas Serbia pada perlawanan pemanas badan Jumaat lalu mengundang rasa tidak puas hati penyokong tuan rumah sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kemampuan Brazil namun Alves pantas mengetepikan tanggapan buruk itu.

Dia berkata, pemain pasukan tuan rumah akan berada di prestasi terbaik apabila kejohanan itu bermula Jumaat ini.

"Kebenaran akan diketahui tidak lama lagi," katanya kepada pemberita yang merujuk kepada perlawanan pembukaan. "Ia bukan sekadar tiga mata, tapi kemenangan itu penting untuk memberikan mesej kepada pencabar kami yang lain.

Foto

DANI Alves (kanan)


"Saya fikir ia perlawanan paling penting dalam Piala Dunia dan ia dianggap seperti final."


Sokongan penyokong Sao Paulo terhadap skuad kebangsaan di Stadium Morumbi tidak begitu baik apabila mereka bergelut untuk mengalahkan Serbia.

Bagaimanapun Alves yakin situasi akan berubah di gelanggang baru Corinthians yang bakal menjadi gelanggang pembukaan kejohanan.

"Kami akan bermain di laman sendiri jadi saya yakin penyokong akan memberikan sokongan kepada kami," kata Alves. "Tidak dapat dinafikan bahawa pasukan Brazil adalah pasukan pilihan."

Sokongan kepada pasukan itu semakin dapat dirasai di pusat latihan di utara Rio de Janeiro di mana lebih 1,000 penyokong menyambut kepulangan mereka dari Sao Paulo kelmarin.

Suasana itu berbeza jika dibandingkan dua minggu lalu apabila sekumpulan guru mengepung bas pasukan sebagai tanda protes terhadap penganjuran Piala Dunia.

Kemarahan terhadap perbelanjaan besar kejohanan itu dan janji yang tidak ditepati menjelang kejohanan mendorong banyak demonstrasi dilancarkan tahun lalu oleh pihak pembangkang yang mempersoalkan kewajaran kejohanan sukan menjadi keutamaan kerajaan.

"Bagi kami ia seperti hadiah yang tidak ternilai untuk melihat penyokong, rakyat negara ini bersama-sama menyambut kedatangan piala ini di Brazil dan ia akan menjadi detik yang cukup menakjubkan," kata Alves.

"Saya tahu kadang kala ia sukar untuk mengetepikan situasi sukar negara ini namun seluruh dunia akan berada di sini dan mereka berhak untuk mendapat layanan terbaik Brazil." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

Tekad catat sejarah

Posted: 10 Jun 2014 12:08 PM PDT

Berlin: Penyerang veteran Jerman, Miroslav Klose hadir pada pusingan akhir Piala Dunia kali keempat bukan sekadar mahu muncul penjaring gol terbanyak sepanjang zaman bagi pasukan kebangsaannya malah berazam meninggalkan Brazil dengan memecah rekod penjaring terbanyak dalam sejarah Piala Dunia.

Klose, yang dilahirkan di Poland namun bapanya berpindah ke Perancis dan menetap di negara itu hingga berusia lapan tahun sebelum menyertai bapanya di Jerman, muncul penjaring gol terbanyak Jerman sepanjang zaman Jumaat lalu apabila dia menjaringkan gol ke-69 dalam 132 penampilan ketika mereka membenam Armenia 6-1 pada perlawanan persahabatan.

Dia mengatasi rekod terdahulu milik Gerd Mueller, yang menjaringkan gol kemenangan pada final Piala Dunia 1974 untuk meraih gol ke-68 dalam 62 penampilan buat Jerman Barat.

Klose mungkin pulang dari Brazil sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman pada pusingan akhir Piala Dunia ketika 14 gol dikumpulnya hanya kurang satu berbanding rekod bintang Brazil, Ronaldo yang menyumbat 15 gol.

Klose muncul penjaring terbanyak pada Piala Dunia 2006 di Jerman dengan lima gol, selepas menduduki tangga kedua dengan lima gol pada kejohanan 2002 sebelum menyumbat empat gol di Afrika Selatan empat tahun lalu.

"Saya harap berpeluang menjaringkan satu atau dua gol dan sesiapa yang mengenali saya tahu rekod jaringan Piala Dunia memang menjadi sasaran saya," jelas Klose.

Keupayaannya bertahan lama - Klose melakukan penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada 2001 - amat menakjubkan dan dia menyambut hari jadi ke-36 di pangkalan latihan Jerman di Brazil kelmarin dengan penuh bergaya.

Kira-kira 20 ketua suku kaum asli tempatan, Pataxos yang memakai baju tradisi dibuat daripada rumput, tanjak bulu ayam di kepala dan busur menari serta menyanyikan lagu sambil mengelilingi Klose.

Ketika ia pasti terpahat dalam memori Klose selama-lamanya selain gambar anak kembar lelakinya Luan dan Noah, dia masih percaya mempunyai masa depan selepas Piala Dunia.

Dia menandatangani sambungan kontrak bersama kelab Itali, Lazio bulan lalu hingga Jun 2015, dengan pilihan tambahan setahun lagi, namun menjangkakan musim depan adalah yang terakhir buatnya.

"Buat masa ini, saya berasakan 2015 adalah penamatnya tapi ia bergantung kepada kecergasan dan kecederaan," katanya.

Klose hadir di Brazil dengan persoalan mengenai tahap kecergasannya selepas musimnya dibelenggu kecederaan hingga menyebabkannya hanya menyumbat tujuh gol dalam 22 penampilan bersama Lazio.

"Apabila dia cergas, dia amat penting buat pasukan saya," tegas jurulatih Jerman, Joachim Loew, yang mengaku menjadi peminat Klose.

"Rahsianya adalah tahap profesionalisme, kekuatannya adalah keazamannya." Belum ada pasukan Eropah memenangi Piala Dunia di bumi Amerika Selatan dalam enam cubaan dan Klose berkata, cuaca pasti menjadi penghalang utama pasukan dari benua itu.

Selain rekod Ronaldo, satu rekod lagi makin dihampiri bekas bintang Bayern Munich, Werder Bremen dan Kaiserslautern itu iaitu rekod 150 penampilan Lothar Matthaeus bersama Jerman.

Dengan 19 penampilan pada Piala Dunia, dia mungkin turut memecah rekod Matthaeus 25 penampilan pada pusingan akhir Piala Dunia sekiranya Jerman berjaya mara ke final atau penentuan tempat ketiga.-AFP

Foto

KLOSE menjadi penjaring gol terbanyak Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

Balotelli bakal kahwini Fanny

Posted: 10 Jun 2014 12:07 PM PDT

Rome: Penyerang Itali yang terkenal dengan panas baran, Mario Balotelli membuat pengumuman bahawa dia bakal mengahwini teman wanitanya yang juga seorang model terkemuka Belgium, Fanny Neguesha.

Bintang AC Milan berusia 23 tahun itu yang kini berada di Brazil untuk Piala Dunia, turut memuat naik gambar pantai di Rio de Janeiro yang menjadi tempat di mana dia melamar Fanny.

"Dia setuju...

persetujuan yang paling bermakna di dalam hidup saya.

Tanda tanya saya selama ini sudah terjawab.


Saya cintakan awak dan selamat ulang tahun," kata Balotelli di laman Twitter miliknya.

Fanny yang dilahirkan di Belgium, memiliki darah Itali di sebelah bapanya serta darah campuran Congo-Rwanda-Mesir ibunya, juga memuat naik gambar cincin berlian yang dipercayai tanda pertunangan yang diberikan Balotelli.

"Malam ini, saya sudah memberikan jawapan kepadanya.


Ia adalah hadiah hari lahir saya.

Saya juga mencintai awak," kata Fanny.

Begitupun, kedua-duanya masih belum mendedahkan tarikh serta tempat yang dipilih untuk berkahwin.

Tarikh paling penting Balotelli selepas ini ialah ketika menentang England di Manaus, Sabtu ini.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

Ledakan Immobile

Posted: 10 Jun 2014 12:06 PM PDT

Rome: Bekas pemenang kasut emas, Salvatore 'Toto' Schillaci menyebut nama penggempur Itali Ciro Immobile sebagai pemain yang bakal meneruskan kebangkitan Azzurri dan yakin bintang muda itu akan menyinar di Piala Dunia Brazil.

Schillaci meledak enam gol buat Itali ketika Piala Dunia 1990 dan bekas penyerang Juventus serta Inter Milan itu dapat melihat persamaan antara dirinya dengan Immobile yang menjaringkan hatrik ketika membantu kemenangan 5-3 Azzurri ke atas kelab Brazil, Fluminense Ahad lalu.

"Memang Immobile berhak ke Piala Dunia di bawah bimbingan Cesare Prandelli.

Dia sudah membuktikan keupayaannya musim ini dan aksinya tidak ubah seperti saya ketika Piala Dunia 1990," kata Schillaci, 49.

"Dia pantas dan bijak menghidu peluang.

Tambahan pula dia tidak begitu diperhatikan." Itali bakal memulakan kempen Kumpulan D menentang England di Manaus dan berkemungkinan besar Immobile bakal diturunkan walaupun Prandelli sebenarnya mahu memilih penyerang AC Milan Mario Balotelli.

Immobile melonjak di saingan Serie A musim lalu dan menjaringkan 22 gol buat Torino.

Aksi pemain berusia 24 tahun itu pantas memikat kelab gergasi Jerman Borussia Dortmund yang dikatakan mahu membuat tawaran lumayan untuk mendapatkan pemain itu selepas Piala Dunia nanti.

Prandelli dilihat membuka ruang buat Immobile apabila membandingkan pemain itu dengan Schillaci tetapi kemudian berkata, meletakkan dua penyerang di depan adalah tidak sesuai kerana Itali mempunyai ramai pemain tengah berkualiti.

"Saya membandingkannya dengan Schillaci kerana pada 1990, dia dilabel sebagai penyerang kelima tetapi berjaya muncul penjaring terbanyak," kata Prandelli.

"Ia membuktikan anda perlu bersedia dengan segala peluang yang ada." Prandelli lebih gemar memilih Balotelli di dalam kesebelasan utamanya tetapi beliau juga bakal menjadikan aksi di Piala Dunia sebagai ujian buat pemain muda sekali gus bermakna masih ada peluang buat Immobile untuk bermain.

"Adakah dia berpeluang menggantikan Balotelli? Hanya beberapa pemain yang tempatnya sudah dipastikan termasuklah (Andrea) Pirlo dan (Gianluigi) Buffon," kata Schillaci.

"Immobile perlu sentiasa bersedia dan jangan terlalu seronok tetapi jika dia diberi peluang, sudah tentu dia akan menyinar." - Reuters

Foto

IMMOBILE (kiri) dijangka beri impak buat Azzuri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

AFC dapat kerusi FIFA

Posted: 10 Jun 2014 11:56 AM PDT

Sao Paulo: Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa memenangi hak menduduki salah satu kerusi Naib Presiden FIFA dalam satu sidang kongres yang diadakan di Sao Paulo semalam.

Sheikh Salman memenangi pemilihan untuk bergelar Presiden AFC bagi menggantikan Mohamed Hammam yang digantung seumur hidup oleh FIFA pada 2011 atas kesalahan rasuah sepanjang dua penggal menduduki kerusi tertinggi badan induk Asia itu.

Mulai sekarang, setiap Presiden AFC akan secara automatik layak bergelar Naib Presiden FIFA dan ketika ini, slot itu diisi Putera Ali Al Hussein dari Jordan.

"Hari ini, satu keputusan penting dicapai selaras dengan amalan demokrasi AFC," kata Sheikh Salman.

"Kita setuju bahawa kerusi Naib Presiden FIFA hendaklah diberikan kepada Presiden AFC.

Semua anggota AFC percaya ia adalah keputusan paling tepat." Dalam satu surat terbuka kepada komuniti bola sepak Asia yang dikeluarkan April lalu, Putera Ali menyifatkan keputusan itu tidak adil.

Tahun lalu, Sheikh Salman turut memenangi satu lagi undian mengatasi wakil Qatar, Hassan Al Thawadi untuk menduduki kerusi Jawatankuasa Eksekutif FIFA.

AFC mempunyai empat kerusi di dalam FIFA dan tiga daripadanya akan kosong tahun depan.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

'Larangan pacak bendera'

Posted: 10 Jun 2014 11:55 AM PDT

Dhaka: Pihak berkuasa barat Bangladesh mengarahkan peminat bola sepak di negara itu supaya menurunkan puluhan ribu bendera Brazil serta Argentina yang dipacak di atas bumbung kediaman masing-masing ketika bahang Piala Dunia semakin hampir.

Menjelang aksi pembukaan Jumaat ini, beberapa bandar di Bangladesh menjadi lautan berwarna kuning, hijau, biru serta putih bagi membuktikan sokongan masing-masing terhadap dua negara pilihan, Brazil serta Argentina.

Bagaimanapun, gabenor daerah Jessore, Mustafizur Rahman berkata, perbuatan memacakkan bendera Brazil dan Argentina itu dilihat seolah-olah penghinaan terhadap bendera Bangladesh sendiri.

"Ketika saingan Piala Dunia semakin hampir, Bangladesh sudah menjadi seolah-olah Argentina dan Brazil.

Di mana-mana saja, anda dapat melihat bendera Argentina dan Brazil," katanya.

"Kami tidak kisah andainya rakyat kami mengenakan jersi negara tertentu tetapi adalah tidak elok sekiranya bendera asing dikibarkan di bumbung rumah anda." Arahan supaya menurunkan bendera terbabit dibuat menerusi akhbar dan pihak berkuasa tempatan juga menjalankan rondaan bagi memastikan ia dipatuhi.

Walaupun Bangladesh lebih terkenal dengan kriket, ada kalanya bola sepak mampu menarik jumlah penonton yang ramai.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

Ikrar Gervinho bantu Elephants

Posted: 10 Jun 2014 11:52 AM PDT

Sao Paulo: Penyerang lincah Gervinho berjanji mempamerkan aksi terbaik untuk membantu Ivory Coast mencapai misi melepasi halangan peringkat kumpulan Piala Dunia buat kali pertama.

Pemain sayap itu menjadi tonggak utama serangan Ivory Coast sejak beberapa tahun lalu namun gaya permainannya kadang kala tidak digemari rakan sepasukan dan penyokong sendiri.

"Memang benar kadang kala kehebatan individu boleh memberikan kejayaan dan saya berjanji kepada penyokong untuk memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan setiap kali kami beraksi," katanya.

"Dalam pasukan ini, objektif skuad Elephants menjadi keutamaan.

Ia pasti tidak bermakna dan tidak berkesan jika bermain untuk diri sendiri." Gervinho mendapat peluang beraksi dalam kejohanan ini selepas prestasi cemerlang bersama pasukan di tangga kedua Serie A, AS Roma bagi memulihkan reputasi buruknya ketika mewakili Arsenal.

"Saya boleh menyatakan bahawa ia musim yang sangat baik kerana kami mencapai misi kami layak ke Liga Juara-Juara.

Semua gembira dengan pasukan ini," katanya.

"Saya mengenali jurulatih (Rudi Garcia) dan saya berkongsi keyakinannya.


Ia memudahkan saya untuk membentuk persefahaman dalam pasukan ini." Gervinho meneruskan prestasi hebatnya dalam persiapan Piala Dunia apabila pemain sayap itu memainkan peranan penting buat Ivory Coast menumpaskan El Salvador pada perlawanan terakhir pemanas badan di Amerika Syarikat sebelum bertandang ke Brazil.


Dia menjaringkan gol pertama sebelum mencipta gerakan gol kedua buat kapten Didier Drogba.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

Tak perlu rantai Messi

Posted: 10 Jun 2014 11:51 AM PDT

Guaruja, Brazil: Jurulatih Bosnia, Safet Susic berkata beliau tidak bercadang untuk mengarahkan pemainnya merantai pergerakan Lionel Messi ketika kedua-dua pasukan bertemu di Maracana, Ahad ini.

"Kami tidak akan dan tidak pernah menugaskan seorang pemain saja untuk mengawal pemain lawan.

Kami mempunyai (Muhamed) Besic tetapi dengan mengarahkannya mengawal Messi bukanlah satu keputusan yang bagus," kata Susic selepas menang 5-1 ke atas skuad remaja Santos, kelmarin.

Susic memberitahu wartawan, beliau lebih gemar menggunakan sistem zon dan tugas itu akan diambil oleh pemain yang berada berhampiran Messi bergantung kepada kedudukan penyerang Barcelona itu dari semasa ke semasa.

Beliau tidak memberi sebarang bayangan mengenai kesebelasan utama tetapi menjelaskan semua pemain sudah bersedia untuk berdepan Argentina.

Bosnia menewaskan pasukan bawah 21 tahun Santos di Pulau Guaruja berhampiran kawasan persisiran pantai Santos di Sao Paulo.

Pemain Stuttgart, Vedad Ibisevic menjaringkan dua gol dan Izet Hajrovic (Galatasaray), Senad Lulic (Lazio) dan Edin Visca (Istanbul BB) juga mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan yang berlangsung dalam hujan itu.

Selain Argentina dan Bosnia turut berada dalam Kumpulan E adalah Iran dan Nigeria.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

Ayew pamer belang

Posted: 10 Jun 2014 11:50 AM PDT

Miami: Pemain gantian Ghana, Jordan Ayew melakukan hatrik ketika menewaskan Korea Selatan dalam perlawanan pemanas badan Piala Dunia kelmarin seterusnya membuktikan dia berhak berada dalam kesebelasan utama.

Ghana yang berjaya mara sehingga suku akhir pada 2010, menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama menerusi Ayew dan Asamoah Gyan sebelum penyerang Marseille itu menambah lagi dua gol pada separuh masa kedua untuk The Black Stars.

Pasukan bimbingan James Kwesi Appiah itu bakal mendapat laluan sukar di Piala Dunia Brazil apabila membuka kempen menentang Amerika Syarikat Isnin depan sebelum bertemu Jerman dan Portugal untuk melengkapkan perlawanan Kumpulan G.

"Saya tidak melihat kepada jaringan tetapi bagaimana kami bermain secara individu dan berpasukan.

Kami mengambil peluang yang ada.

Korea melakukan serangan dengan baik tetapi saya perlu berhati-hati dengan barisan pertahanan.

"Jika pasukan kami tewas empat gol ia akan membantu saya untuk menilai kesilapan dan memperbetulkan keadaan sebelum Piala Dunia," kata jurulatih Ghana, Appiah.

Penyerang Ghana, Majees Waris mengalami kecederaan paha seawal minit keempat selepas dikasari Ki Sung Yueng seterusnya memberi peluang kepada Ayew, 22, untuk masuk sebagai pemain gantian.

Ayew tidak menunggu lama untuk memberi impak apabila menjaringkan gol pendahuluan buat Ghana pada minit ke-11 hasil rembatan kaki kanan untuk menewaskan penjaga gol, Jung Sung-ryong.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

Jangan 'peram' pemain muda

Posted: 10 Jun 2014 11:49 AM PDT

London: David Beckham menggesa pengurus England Roy Hodgson supaya memanfaatkan pemain muda dalam skuadnya di Piala Dunia.

Hodgson memilih beberapa pemain berbakat menampilkan Raheem Sterling, Ross Barkley dan Luke Shaw untuk kejohanan di Brazil dan bekas kapten England, Beckham percaya jurulatih berkenaan tidak perlu takut menggunakan mereka dalam perlawanan di Brazil walaupun kekurangan pengalaman di pentas antarabangsa.

Pemain sayap Liverpool Sterling, 19, pemain tengah Everton Barkley, 20, dan pertahanan kiri Southampton Shaw, 18, hanya mempunyai 12 kap setakat ini.

Namun, Beckham yang melangkah ke pentas utama ketika berusia 23 tahun di Piala Dunia 1998 di Perancis, menjaringkan gol pertamanya ketika menentang Columbia.


Bekas pemain tengah Manchester United dan Real Madrid itu yakin England akan mendapat manfaat sekiranya Hodgson meletakkan kepercayaannya kepada generasi baru yang berbakat itu.


Bercakap pada satu majlis amal di London kelmarin, Beckham berkata: "Orang ramai bercerita bagaimana kami memilih pemain muda ke Piala Dunia, iaitu salah satu kejohanan terbesar dunia dan adakah pemain muda berkemampuan? Saya tidak mempunyai keraguan bahawa mereka mampu.

"Pemain ini beraksi di liga terbesar dunia. Mereka menentang sesetengah pemain terbaik, terhebat, jadi tanpa keraguan, tidak mengapa jika mereka muda, tidak kira berapa umur mereka.

"Mereka bersedia untuk kejohanan itu. Anda boleh melihat perkara bagus mempunyai pemain muda ke kejohanan, malah mereka tidak gentar.

"Pemain muda tidak gentar untuk tampil, beraksi dan bermain untuk diri mereka serta pasukan, jadi mereka akan bersedia."

Selepas empat tahun gagal menempa kejayaan di kejohanan antarabangsa, hanya segelintir yang menjangka England mampu memenangi Piala Dunia buat kali pertama sejak 1966.

Mereka berada dalam kumpulan sukar yang menampilkan Itali, lawan
dalam perlawanan pembukaan pada Ahad, juara Copa America, Uruguay dan Costa Rica.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/11

No comments:

Post a Comment