Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lipas dianggap anak

Posted: 13 Jun 2014 03:15 PM PDT

Guangzhou: Seorang wanita warga Guangdong mendedikasikan hidupnya dengan menternak 100,000 lipas dan menganggap serangga itu anaknya.

Pembiakan lipas untuk tujuan perubatan dan kosmetik adalah antara industri yang berkembang pesat di China ketika ini.


Tetapi tiada siapa yang begitu tekun seperti Yuan Meixia, 37, yang menjadi terkenal di Guangdong kerana mempunyai lebih 100,000 lipas.

Dia memelihara lipas itu di sebuah rumah lama berhampiran hutan berhampiran hutan di kampungnya.


"Lipas yang sering anda dilihat ialah Blattella Germanica, tetapi baka yang saya biak ialah Periplaneta Americana.


"Ia penggemar makanan kanji dan manisan," katanya.

Foto

LIPAS yang diternak hanya memakan manisan dan makanan berkanji.

Bahagian siling dan dinding rumah lipas itu ditutup dengan konkrit. Ketika cuaca panas terik, Yuan menyejukkan suhu dengan menyiram air pada dinding rumah berkenaan. Apabila keadaan terlalu sejuk, dia memanaskan bilik itu menggunakan api dapur.


"Lipas paling aktif pada waktu malam. Ia akan mencari makanan dan pasangan," katanya.

Yuan menyediakan makanan untuk serangga itu dan mengasingkan anak dengan lipas dewasa, kemudian meletakkan mereka ke dalam kotak serta papan kayu pada jam 6 petang setiap hari.


Menurut Yuan, lipas akan mula mengawan selepas makan dan lipas jantan mati sejurus selepas itu.


Selain membiak lipas, Yuan mempunyai kerja tetap sebagai kerani farmasi.


"Tahun lalu, saya menonton program mengenai seorang wanita di wilayah Anhui yang membiak lipas untuk tujuan perubatan. "Saya menghabiskan ribuan yuan selama seminggu di sana untuk belajar memberi lipas makan. Saya juga menghabiskan 10,000 yuan (RM5,200) untuk membeli telurnya. Sekarang saya mempunyai 100,000 lipas dan menternaknya adalah tugas kedua saya," katanya.


Yuan berkata, setelah lipas dewasa, ia akan melemaskannya di dalam air, mengering dan membungkusnya ke dalam plastik sebelum menjualnya di kilang farmasi di Anhui. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Kerajaan sementara Ogos depan

Posted: 13 Jun 2014 02:35 PM PDT

Bangkok: Ketua junta yang merampas kuasa di Thailand bulan lalu berkata, sebuah kerajaan sementara akan didirikan menjelang Ogos.

Ini kali pertama Jeneral Prayuth Chan-ocha bercakap secara jelas mengenai tarikh untuk menyerahkan kuasa.


Beliau mengumumkan tarikh itu sebagai sebahagian daripada pelan tiga fasa, termasuk pembentukan kerajaan dan pilihan raya yang akan dilaksanakan Majlis Keamanan dan Ketenteraman Kebangsaan (NCPO), ketika berucap kepada pegawai kanan tentera.

"Sebuah kerajaan akan dibentuk menjelang Ogos, atau paling tidak, September ini," kata Prayuth pada mesyuarat itu yang ditugaskan untuk membincangkan bajet 2015.


Prayuth bagaimanapun tidak menyebut sama ada ia kerajaan awam atau tentera.


Tentera mengambil alih pemerintahan dalam rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 22 Mei lalu selepas tunjuk perasaan selama lebih enam bulan, yang kadang kalanya ganas, dilakukan pembangkang untuk menggulingkan kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Prayuth juga berkata, perlembagaan sementara akan dirangka dalam masa tiga bulan dan ia memerlukan sekurang-kurangnya setahun sebelum pilihan raya baru boleh diadakan.


"Dalam masa tiga bulan akan datang, kita perlu melakukan semuanya dengan betul, sama ada ia mengenai perlembagaan atau perkara lain. Semua hal dalam fasa pertama perlu disiapkan menjelang Ogos," katanya.

Sehingga semalam, kebanyakan penduduk Bangkok menerima baik rampasan kuasa itu.


Aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa sementara restoran dan pengangkutan awam terus sesak walaupun perintah berkurung dari tengah malam hingga 4 pagi masih berkuat kuasa.


Tentera menarik balik perintah terbabit di 30 wilayah, termasuk destinasi pelancongan, bagi menggamit semula pelawat asing ke negara berkenaan.


Seorang pegawai kanan tentera berkata, perintah berkurung itu akan dikendurkan lagi bagi membolehkan peminat bola sepak menonton perlawanan Piala Dunia di bar. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Mayat 'berparti' sebelum dikebumi

Posted: 13 Jun 2014 02:35 PM PDT

New Orleans: Seorang wanita dikebumikan baru-baru ini, tetapi hanya selepas parti terakhir diadakan untuknya.

Parti itu menyaksikan dia didudukkan berhampiran meja bersama-sama bir, wiski dan rokok mentol.


Tidak ada parti yang lengkap tanpa lampu disko. Begitu juga dengan majlis pengebumian Miriam Burbank, 53, turut dilengkapi dengan lampu berkenaan.

Miriam meninggal dunia pada 1 Jun lalu. Apabila pengurus rumah mayat di Charbonnet bertanya kepada dua anak perempuannya mengenai kegemaran ibu mereka, kedua-duanya memutuskan mereka mahukan upacara pengebumian yang menggambarkan kehidupannya yang sentiasa riang.


Kedua-dua anak Miriam mengilhamkan konsep menarik itu dengan meletakkan mayat ibu mereka seolah-olah seperti berada di satu parti, dengan dia duduk, menghisap rokok dan minum arak sementara lampu disko menerangi bilik itu.


Untuk memberi penghormatan kepada minat Miriam kepada pasukan bola sepak New Orleans, kukunya diwarnakan hitam dan emas - warna jersi pasukan berkenaan.

Menurut media, anak Miriam berkata, anggota keluarga lain turut menggemari idea itu, kerana menganggap ia ucapan perpisahan yang sesuai untuk ibu mereka.


Ini kali kedua tahun ini menyaksikan New Orleans menjadi hos kepada gaya pengebumian unik.

April lalu, seorang dermawan terkemuka, Mickey Easterling menjalani pengebumian serupa.


Lebih 1,000 orang menghadiri upacara pengebumian dermawan berusia 83 tahun itu dengan mayatnya didudukkan pada bangku besi dengan segelas champagne pada sebelah tangan dan rokok di sebelah lagi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

NU, Muhammadiyah sambut Ramadan tarikh berbeza

Posted: 13 Jun 2014 02:35 PM PDT

Surabaya: Kumpulan Islam terbesar Indonesia Muhammadiyah dan Nahdlatul Ulama (NU) akan memulakan Ramadan tahun ini pada tarikh yang berbeza tetapi dijangka menyambut Aidilfitri pada hari yang sama.

Muhammadiyah menetapkan 1 Ramadan pada 28 Jun ini sementara NU berkata, tarikh mula puasa itu ialah sehari selepas itu.


Pengarah Muhammadiyah Jawa Timur Nadjib Hamid berkata, di Surabaya anak bulan Ramadan sudah wujud pada 27 Jun.

Pengarah NU Jawa Timur, HM Sholeh Hayat pula menegaskan, 1 Ramadan 1435 akan jatuh pada 29 Jun dengan kewujudan anak bulan pada petang itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

'Saya bukan boneka'

Posted: 13 Jun 2014 02:35 PM PDT

Jakarta: Calon pilihan raya presiden Indonesia, Joko 'Jokowi' Widodo semalam mengecam tuduhan yang mendakwa dia hanya akan menjadi boneka Megawati Sukarnoputri sekiranya berjaya menjadi presiden.

Bercakap ketika berkempen di Pesantren Bustanul Ulum di Tasikmalaya, Jawa Barat, semalam, beliau berkata, dakwaan itu adalah satu daripada 23 kempen jahat yang dilakukan pihak tertentu terhadapnya.


"Walaupun saya dicalonkan oleh pengerusi parti (Megawati Sukarnoputri) ini tidak bermakna saya akan menjadi bonekanya sekiranya menjadi presiden.

"Presiden ada kuasa penuh membuat keputusan, termasuk memilih menteri. Tidak boleh ada campur tangan daripada pihak mana sekalipun. "Tidak juga daripada pengerusi parti saya, Megawati," katanya, semalam.


Di samping itu, Megawati sebelum ini turut menyelar kempen jahat berkenaan.


"Jokowi dikatakan akan menjadi boneka saya apabila menjadi presiden. Itu tuduhan jahat. "Saya melantik dia menjadi calon. Dia kena ikut arahan saya supaya menjadi calon. Tapi kalau dia dia dilantik oleh rakyat untuk jadi presiden, dia kena bekerja untuk rakyat. Bukan untuk saya ataupun parti," kata Megawati ketika berkempen di Jayapura, Papua beberapa hari lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

ISIL tawan dua lagi bandar

Posted: 13 Jun 2014 02:35 PM PDT

Baghdad: Kumpulan bersenjata Sunni yang berjaya menguasai sebahagian besar penempatan puak itu di Iraq minggu ini semalam meluaskan penguasaan mereka ke wilayah timur laut bandar raya ini dan menawan dua lagi bandar.

Menurut laporan, tindakan itu diambil kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIL) ketika kerajaan Iraq pimpinan Perdana Menteri Nouri al-Maliki bergelut untuk menawan semula Mosul dan bandar yang ditawan kumpulan berkenaan.

Saksi di kawasan Dur, antara Tikrit yang dikuasai kumpulan Sunni itu dengan Samarra berkata, mereka melihat puluhan kenderaan membawa pejuang menuju ke selatan malam kelmarin.

Dan saksi di Samarra, kira-kira 110 kilometer ke utara Baghdad pula berkata, kumpulan pejuang ISIL sudah berkumpul di utara, timur dan tenggara bandar berkenaan.

Foto

PENDUDUK penganut Syiah berebut-rebut menaiki trak tentera ke Baghdad semalam untuk menyertai pasukan sukarelawan menentang kemaraan ISIL.


Seorang pemimpin kabilah berkata, kumpulan ISIL itu meminta tentera Iraq di bandar berkenaan supaya berundur secara aman dan berjanji tidak akan menyerang masjid yang dianggap suci oleh pengikut Syiah, Al-Askari.


Mereka juga mencadangkan pemimpin kabilah membentuk pasukan bagi melindungi masjid berkenaan dan penduduk sekitar.

Bagaimanapun, tentera Iraq enggan berundur.

Anggota ISIL sebelum ini melancarkan dua serangan ke atas Samarra, satu pada Rabu dan satu lagi hujung minggu lalu.

Kedua-duanya bagaimanapun berjaya dipatahkan pasukan keselamatan Iraq selepas pertempuran sengit.

Masjid itu dibom oleh pejuang Sunni pada Februari 2006, menyebabkan perang meletus antara puak Syiah yang menjadi penduduk majoriti Iraq dengan pengikut Sunni.

Sementara itu, polis berkata, anggota ISIL yang memandu pikap lengkap dengan mesingan memasuki dua bandar di wilayah Diyala lewat kelmarin - Jalula, 125 kilometer ke timur laut Baghdad dan Sadiyah, 95 kilometer ke utara ibu negara Iraq itu.

Tentera Iraq meninggalkan pos kawalan mereka tanpa memberi tentangan, kata pegawai yang enggan dikenali.

Pegawai lain berkata, pasukan bersenjata dari wilayah separuh autonomi Kurdis memasuki Jalula untuk menguasai pejabat parti Kurdis di bandar berkenaan.
Bagaimanapun, tidak ada pertempuran dilapor berlaku antara mereka dengan pejuang ISIL.

Ketika mara untuk meluaskan penguasaan mereka, ISIL yang sebelum ini berikrar untuk menggempur Baghdad disertai oleh kumpulan yang setia kepada bekas Presiden Saddam Hussein dan masyarakat Sunni lain yang berdendam dengan penduduk Syiah.

Dalam pada itu, ISIL mengumumkan, mereka akan melaksanakan undang-undang Syariah di Mosul dan di bandar yang mereka kuasai ketika ini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Sedia hadapi pusingan kedua

Posted: 13 Jun 2014 02:35 PM PDT

Jakarta: Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan presiden pada 9 Julai depan diadakan dua pusingan seperti yang ditetapkan undang-undang.

KPU semalam berkata, untuk diisytiharkan menang, seseorang calon perlu menerima sekurang-kurangnya 51 peratus dan pada masa sama menguasai paling tidak 20 peratus undi di lebih 17 wilayah.


Jika kedua-dua calon dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Joko 'Jokowi' Widodo-Jusuf Kalla atau calon Parti Gerindra Prabowo Subianto-Hatta Rajasa gagal memenuhi kedua-dua syarat, pusingan kedua perlu diadakan. KPU sudahpun menetapkan 9 September sebagai tarikh pusingan kedua jika ia terpaksa diadakan.

"Kemungkinan itu ada. Apa yang jelas ialah calon mesti memenuhi kedua-dua syarat sebelum diisytihar pemenang," kata Pesuruhajaya KPU Arief Budiman.


Menurutnya, KPU sudah berunding dengan pakar perundangan dan perlembagaan dan mereka bersetuju dengan pendapat KPU.


"Kami sudah berbincang dengan pakar. Mereka juga percaya, pertama calon mesti menang sebanyak mungkin undi. "Kedua, mereka perlu mempunyai pengagihan undi yang rata, bermakna calon dipilih oleh pengundi dari banyak kawasan, bukan setakat pengundi di beberapa tempat saja," kata Arief. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Tolak hasil tinjauan LSN

Posted: 13 Jun 2014 02:35 PM PDT

Jakarta: Pasukan kempen calon presiden Joko 'Jokowi' Widodo-Jusuf Kalla (JK) semalam menolak hasil tinjauan pendapat yang dilakukan Lembaga Survei Nasional (LSN) selepas ia menunjukkan pasangan Prabowo-Hatta mendahului mereka.

Hasil tinjauan itu menunjukkan Prabowo-Hatta kemungkinan menang dengan 46.3 peratus berbanding pasangan Jokowi-JK, 38.8 peratus, sementara responden yang belum membuat pilihan, 14.9 peratus.


Jurucakap pasukan kempen Jokowi-JK, Abdul Kadir Karding berkata, hasil tinjauan LSN itu dibuat untuk mengalihkan pilihan pengundi ke pasukan Prabowo-Hatta. .

"Kami tidak percaya kerana hasil tinjauan LSN itu terlalu jauh berbeza dengan hasil tinjauan lain. "Kami merasa pelik dan merasakan ia sengaja diputar belit kerana mahu mempengaruhi fikiran pengundi supaya memilih Prabowo," katanya kepada wartawan di Jakarta.


Ahli politik dari Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) itu juga berkata, pihaknya percaya LSN sudah dikuasai pihak tertentu untuk memutar belit hasil tinjauan mereka.


"Saya merasakan LSN sudah menjadi alat atau kenderaan politik untuk menjatuhkan pasangan Jokowi-JK," katanya.

Ia turut menolak andaian LSM berkait dengan kemerosotan sokongan kepada Jokowi.


LSN, ketika mengumumkan hasil tinjauannya baru-baru ini menyebut tiga andaian itu - orang ramai sudah mula bosan dengan Jokowi, jentera parti yang menyokong Jokowi-JK tidak bekerja keras dan penduduk Indonesia sudah mula meragui kemampuan Jokowi.

"Selepas debat baru-baru ini, pencapaian Jokowi-JK sudah meningkat. Jentera parti bekerja keras di semua peringkat. LSN tidak melihat perkembangan itu," kata Abdul Kadir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

Baghdad tingkat pertahanan

Posted: 13 Jun 2014 02:35 PM PDT

Baghdad: Iraq semalam meningkatkan pertahanan di sekitar bandar raya ini ketika kumpulan militan menghampiri ibu negara itu selepas menawan Mosul dan beberapa bandar lain sebelum ini.

"Kami melaksanakan pelan baru bagi melindungi Baghdad," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Brigadier Jeneral Saad Maan.


Menurutnya, rancangan itu, termasuk meningkatkan jumlah tentera dan penggunaan teknologi seperti belon pemerhati, kamera dan kelengkapan lain.

Saad juga berkata, kerja menyelaras antara pasukan keselamatan juga diperhebatkan.


"Sudah sekian lama kami memerangi keganasan tetapi kali ini, keadaannya luar biasa," katanya Pasukan keselamatan setakat ini gagal menghalang kemaraan ISIL dengan sebahagian daripada mereka ketakutan dan lari dari medan perang.


Dengan populasi Syiah yang besar di Baghdad, ia memberikan kesukaran buat kumpulan penentang menawannya.

Setakat ini mereka berjaya menguasai kawasan penempatan Sunni dan bekas penempatan puak itu yang penduduknya sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan Syiah itu kerana didakwa mengamalkan diskriminasi dan memberi layanan buruk kepada mereka.


ISIL juga dijangka berdepan tentangan hebat bukan saja daripada tentera kerajaan malah militan Syiah.

Ulama Syiah, Muqtada al-Sadr dan kumpulan militan Asaib Ahl al-Haq berikrar mempertahankan tempat suci puak itu, meningkatkan lagi kebimbangan tercetusnya pertempuran di jalanan dan pembunuhan antara mazhab. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/14

No comments:

Post a Comment